Sunday, July 01, 2007

Lee Kuan Yew Tuduh UMNO
Cuba Gulingkan PM Malaysia

Mentri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew, hari ini dipetik oleh Bernama sebagai berkata bahawa " pemimpin Umno, terutama dari Johor” kini “cuba menjatuhkan” Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Berita Bernama sepenuhnya adalah seperti berikut:

Pelabur S'pura Jangan Jangka Layanan Istimewa Di IDR, Kata Kuan Yew

Oleh Jackson Sawatan

SINGAPURA, 30 Jun (Bernama) -- Menteri Mentor Lee Kuan Yew berkata syarikat-syarikat dari Singapura yang berminat menyertai projek di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) tidak boleh menjangkakan layanan istimewa daripada Malaysia sebagaimana layanan murah hati China kepada Hong Kong di wilayah Shenzhen.

"Singapura tidak boleh menjangkakan layanan serupa dari Malaysia," kata Lee dalam wawancara khas dengan akhbar Berita Harian sempena ulang tahun ke-50 akhbar itu esok.

Lee, tokoh yang masih berpengaruh dalam kabinet Singapura, berkata syarikat-syarikat dari Singapura juga perlu menilai sama ada kehadiran mereka dialu-alukan di WPI memandangkan adanya suara bantahan di kalangan pemimpin Umno, terutamanya dari Johor.

"Adalah satu perkara bagi parti Pas cuba menjatuhkan Perdana Menteri, tetapi apabila pemimpin Umno, terutama dari Johor, turut bertindak serupa, pelabur dari Singapura mesti bertanya secara serius bila sikap itu akan berubah, dan sama ada mereka mengalu-alukan kita di IDR," kata beliau kepada akhbar itu.

WPI, seluas 2,217 km persegi di Johor selatan, merupakan projek utama kerajaan Malaysia yang disifatkan banyak pemerhati sebagai pelengkap kepada jiran serba modennya Singapura, sebagaimana Shenzhen melengkapi Hong Kong.

Lee juga berkata WPI boleh memberi tekanan kepada Singapura seperti juga Shenzhen yang memberi tekanan kepada kepada Hong Kong.

Menurut beliau, Shenzhen menarik industri-industri dari Hong Kong ke wilayahnya serta ke bandar-bandar berdekatan.

"Ini menyebabkan Hong Kong mempunyai hanya sedikit pusat pengilangan dan kadar pengangguran yang tinggi. Ekonomi Hong Kong kini bergantung kepada sektor perkhidmatan," kata beliau kepada Berita Harian, satu-satunya akhbar berbahasa Melayu di republik ini.

"Jika Singapura hilang banyak industri kepada IDR, kita akan menghadapi masalah pengangguran yang teruk kerana tidak semua pekerja kilang boleh mencari pekerjaan dalam sektor perkhidmatan."

Beliau bagaimanapun berkata Singapura tetap memberi sokongan kepada WPI kerana ia akan saling menguntungkan kedua-dua negara.

"Kita percaya dari perspektif lebih luas, adalah lebih baik bagi kedua-dua negara, dengan Malaysia menerima manfaat daripada pertumbuhan ekonomi Singapura, dan begitu juga Singapura," kata beliau.

Menurut beliau, politik dalaman dan bantahan terhadap penyertaan Singapura di WPI bertujuan mengeksploitasi isu-isu itu dan menjejas sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan terhadap kerjasama di wilayah pembangunan itu.

-- BERNAMA
30 Jun, 2007 12:53 PM
http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=270514

Komen:

Tuduhan LKY di atas amat serius. Apakah motif beliau berbuat demikian? Untuk melemahkan UMNO? Untuk memporak-perandakan UMNO Johor? Untuk menutup mulut para pengkritik WPI? Atau sekadar reversed psychological warfare supaya Abdullah tidak lagi dikritik oleh rakyat Malaysia?

Apa reaksi UMNO? Apakah yang pentadbiran Abdullah akan buat? Bagaimanakah Wisma Putra menangani kenyataan LKY kali ini? Ruhanie Ahmad

5 comments:

joe penang said...

Dah berbuih mulut kita bercakap mengenai Singapura. Apa kita dapat? Isu2 penting terus menjadi lapok cam CLOB & perairan udara Johor(Malaysia) masih tertangguh.

Walaupun Johor dianggap Darul UMNO sesekali Hang Tuah dari Johor akan menongkah arus. Contohnya isu WPI & BI dalam sains dan matematik.

Memetik kata2 P Ramlee. Tuahkah yg silap atau Jebatkah yang derhaka? tambahan dari saya. Atau sultan yg sengaja membiarkan menyebabkan Melaka dijajah? Ingatlah pepatah seperti Belanda meminta tanah. Jangan kita mengulang kesilapan lalu....

Hamizi said...

joe... teringat semasa di MRSM Jasin, guru sejarah saya bertanya siapakah hero Melayu... kesemua kami mengatakan Jebat...

jawapan guru kami, Tuah lah hero Melayu, kerana di zaman itu orang Melayu taat setia kepada pemimpin dan raja tanpa persoalan... dan Jebat adalah penjenayah dan pembelot...

saya harap UMNO johor akan jadi Jebat kali ini, kerana di zaman sekarang jika masih ingin menjadi Tuah mereka akan diinjak-injak...

http://angan-angan.blogspot.com

A Voice said...

Hamizi

Wahai putera puteri bangsa aku
... Negara perlukan jasamu
Janganlah rasa malas lagi...
(mungkin versi lama)

Jangan lupa tu Hamizi!

Hamizi said...

a voice,

terima kasih kerana mengunjungi blog saya...

mayaputera said...

Joe, Hamizi, Voice

Terima kasih. Waspadalah kita semua. Jangan diizinkan sesiapa mengancam kita. Biar putih tulang, jangan putih mata.

Selamat berjuang,
Ruhanie Ahmad