Wednesday, May 09, 2007

Eksport Pasir Ke Singapura Haram
Eksport Batu Dan Debu Kuari Halal?

Sejumlah kira-kira 1.8 juta tan metrik batu dan debu kuari dipercayai telah mula dieksport daripada Malaysia ke Singapura sejak dua bulan lalu.

Operasi ini dikatakan dilakukan oleh tiga buah syarikat pada kadar 10,000 tan metrik setiap hari oleh setiap syarikat.

Batu dan debu kuari yang diperolehi daripada sebuah kuari di Negeri Sembilan itu diangkut dengan lori ke Port Dickson sebelum dipunggahkan ke tongkang untuk dieksport melalui Selat Melaka.

Maklumat di atas disampaikan kepada saya menerusi telefon pada hari ini oleh seorang pemanggil yang tidak mahu disebut namanya.

Beliau memperolehi nombor telefon saya daripada salah satu posting saya dalam ini pada tahun lalu.

Pemanggil ini meninggalkan satu komen dalam blog ini semalam. Sila klik link berikut untuk membaca komen sepenuhnya.

https://www.blogger.com/comment.g?blogID=29933783&postID=956324317298000394

Tetapi, saya tidak boleh berbuat apa-apa dengan maklumat yang tidak lengkap daripadanya. Bagaimanapun beliau menelefon saya hari ini untuk memberikan maklumat selanjutnya.

Katanya, maklumat di atas diperolehinya daripada salah seorang “orang dalam” yang bekerja di sebuah kuari di Nilai, Negeri Sembilan.

Dalam keadaan biasa, katanya lagi, mungkin tidak salah untuk mengeksport batu-batan ke Singapura.

Tetapi, beliau bertanya, adakah yang dilakukan hari ini tidak salah bila kerajaan Malaysia sendiri pun telah mengharamkan eksport pasir ke Singapura sejak pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad beberapa tahun yang lalu?

Selepas itu beliau mengulagni kata-katanya yang ditinggalkan pada blog saya seperti berikut:

“Dari maklumat terkini yang saya perolehi, nampaknya Singapura tak perlu tunggu sampai 20 tahun untuk membesar kerana pada ketika dan saat ini lebih kurang 30,000 ton metrik batu dan debu kuari sedang dalam pelayaran ke Singapura dari salah sebuah negeri berdaulat Malaysia!. Sedangkan negara jiran (Indonsia) telah mengharamkan penjualan batu- batan dan pasir kepada Singapura, Malaysia pula yang beria-ia untuk membantu negara 'small red dot' menjadi red blob!”

Saya tidak dapat menjawab kemusykilan pemanggil berkenaan. Tetapi, saya juga sedang menunggu penjelasan daripada “orang dalam” sama ada pengharaman eksport pasir ke Singapura juga merangkumi batu-batan dan debu kuari.

Pada waktu yang sama saya juga masih menanti perincian daripada “orang dalam” yang sama mengenai ura-ura pasir pula akan dieksport ke Singapura daripada Melaka. – Ruhanie Ahmad

1 comment:

Unknown said...

Jika benar pasir dari Melaka atau NS dijual ke Singapura artinya pemimpin Melayu telah menjual negerinya kepada Singapura. Mengapakah Ahli Parlimen tidak menyentuh perkara ini di Parlimen. Mana perginya suara pembangkang. Mana perginya suara AP Jasin dan Kinabatangan? Apakah mereka juga ada agenda menyokong penjualan tanah dan pasir ke Singapura? Saya mahu mencabar mereka supaya berdebat buruk baiknya penjualan pasir ini ke Singapura. Jika Indonesia telah mengharamkan penjualan pasir ke Singapura mengapakah ada pemimpin negeri membenarkan tanah airnya dijual???