Wednesday, March 23, 2011

JUTAAN MAAF!!!

Rahim Thamby Chik akui terlibat dedah video seks
KUALA LUMPUR 23 Mac - Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik hari ini berkata, beliau adalah antara tiga orang yang dikenali sebagai Datuk T yang terlibat mendedahkan video skandal seks melibatkan seorang pemimpin pembangkang.

Rahim dalam satu sidang akhbar di sini hari ini berkata, dua lagi individu itu adalah ahli perniagaan, Datuk Syazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim.

Beliau turut meminta supaya satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat ketulenan video itu.

Jelaskan, huruf T dipendekkan bagi perkataan Trio. – Utusan: 23.03.2011 5:42pm

Laporan di atas membuktikan posting blog ini awal pagi tadi meleset. Jutaan maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR, dan terima kasih kepada Hamba Allah yang menggunakan email grassroots yang menegur saya mengenai posting berkenaan.---Ruhanie Ahmad.

VIDEO SKANDAL SEKS: MELENCONGKAN ISU DNA

Ruhanie Ahmad


Lewat pagi semalam, setelah tamat membaca posting dalam beberapa blogs serta laporan beberapa akhbar tempatan mengenai pendedahan video oleh Datuk T yang kononnya memaparkan skandal seks seorang pemimpin besar PKR, saya terus membuat rumusan bahawa tindakan tersebut adalah perbuatan reversed-psychology yang pre-meditated dengan tujuan prima berikut:

Satu: mewujudkan diversion atau lecongan untuk mematikan isu desakan umum terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menyerahkan DNAnya kepada mahkamah.

Dua: mewujudkan persepsi umum bahawa video berkenaan adalah perbuatan musuh Anwar, musuh PKR dan musuh Pakatan Rakyat, terutamanya UMNO.

Tiga: mengerakkan simpati umum supaya Anwar disifatkan sebagai seorang insan yang kononnya sentiasa dirundung fitnah.

Empat: memulihkan imej PKR yang kini calar-balar bagi membolehkan PKR bersuara lantang dalam Pilihan Raya DUN Sarawak.

Percaturan seperti ini lazimnya dilakukan oleh sesuatu pihak yang mempunyai team penasihat yang pakar dalam bidang perang saraf dan operasi saraf.

Pendekatan seperti ini juga sering menjadi permainan implisit AS. Contohnya, untuk menghalalkan serangannya ke atas Iraq menerusi perang terorisme, AS mempropagandakan bahawa Presiden Saddam Hussein mempunyai WMD termasuk senjata kimia yang kononnya boleh menggugat keselamatan negara AS serta sekutunya di seluruh dunia.

Propaganda ini diulang-ulang mulai akhir 2001 sehingga awal 2003 sebelum AS menyerang Iraq. Walaupun team persenjataan AS dan IAEA yang membelanjakan ratusan juta USD tidak menemui sebarang WMD atau senjata kimia di Iraq, AS tetap menyerang negara tersebut sebab majoriti komuniti dunia sudah terpengaruh dengan propaganda bahawa Iraq adalah negara yang menaja terorisme.

Suatu ketika dulu, pernah seorang tokoh politik Malaysia menulis surat layang memburuk-burukkan dirinya sendiri semata-mata untuk membolehkan individu yang merebut salah satu jawatan tinggi dalam UMNO ini meraih simpati para perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO Malaysia.

Malam ini, setelah membaca kenyataan dua ahli Parlimen Bebas---Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan Zulkifli Noordin---mengenai subjek yang sama, saya jadi lebih yakin bahawa rumusan mengenai tindakan pre-meditated seperti dihuraikan di atas adalah tidak meleset.

Banyak rasional boleh menyokong rumusan ini. Jika kita meneliti seluruh berita mengenai kes ini secara teliti, kita akan menemui rasionalnya. Jika kita membaca seluruh berita ini dan merangkumkannya ke dalam konteks perkembangan mutakhir mengenai desakan umum supaya Anwar menyerahkan DNAnya kepada mahkamah, rasionalnya akan menjadi jelas. Jika kita membaca keseluruhan berita berkenaan dan merangkumkannya pula ke dalam konteks kenyataan Zahrain dan Zulkifli, maka rasionalnya menjadi lebih jelas.

Kesimpulannya, politik Malaysia mutakhir ini, terutama sekali politik di kalangan sesetengah parti pembangkang adalah politik yang amat kotor---politik matlamat menghalalkan cara---politik yang sudah tidak lagi berpaksikan kepada norma serta amalan ketimuran yang menitikberatkan elemen budi bahasa dan tindakan berhemah.

Monday, March 21, 2011

PENGGANTI TAIB MAHMUD: SATU TEKA-TEKI YANG AMAT SUKAR

Oleh Ruhanie Ahmad


Pehin Seri Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang memimpin Sarawak sejak 1981 sudah pasti akan bersara sebagai Ketua Menteri setelah ditemui penggantinya yang sesuai dalam tempoh peralihan kuasa selepas Pilihan Raya DUN bulan depan.

Ini bermakna Tan Sri Taib akan terus memimpin Sarawak buat beberapa ketika setelah PRDUN berkenaan sebelum bakal penggantinya dipilih dan dimuktamadkan oleh BN Pusat. Ini dilakukan untuk mengelakkan perebutan kuasa dan untuk memantapkan politik BN di negeri tersebut.

Persoalannya sekarang, siapakah bakal pengganti berkenaan? Apakah kriteria khusus yang diutamakan? Dan, adakah individu tersebut perlu dimunculkan daripada suku Melanau?

Ketika ini dinamika politik BN Sarawak lebih berpaksikan kepada tiga persoalan ini. Sejak dua tiga hari lalu sudah ada beberapa representasi disuarakan. Ada pihak yang mahukan Tan Sri Adenan Satem. Ada pihak lain yang melobi untuk Datuk Abang Johari Tun Haji Openg. Tidak kurang juga kumpulan yang cuba menlonjakkan nama Datuk Awang Tengah.

Seluruh nama di atas dikenali ramai di Sarawak. Mereka adalah tokoh-tokoh kepimpinan PBB sejak beberapa tahun yang lalu dan mempunyai jawatan dalam Kabinet Negeri..

Pun begitu, ada juga spekulasi mengatakan bahawa terdapat satu lagi nama yang kini tersenarai sebagai bakal pengganti Tan Sri Taib. Setakat ini individu berkenaan hanya dikategorikan sebagai calon “yang tidak disangka-sangka.”

Kesimpulannya, bakal pengganti Tan Sri Taib kini menjadi satu teka-teki yang cukup sukar untuk dirungkai. Bagaimanapun, siapakah individu ini, apakah kesitimewaannya, dan adakah beliau juga daripada suku Melanau? Jawapannya mungkin sudah diketahui oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan juga Tan Sri Taib.

Tuesday, March 15, 2011

Nisab Terakhir

kalau salah cakap salah
usah gentar usah geletar

Mungkar Nangkir tak putus zikir
merangka nisab pengadilan terakhir

Ruhanie Ahmad
14 Mac 2011

http://panggilan-pertiwi.blogspot.com

Sunday, March 13, 2011

Panggilan Pertiwi: laman karya pemuisi tanahair

BILA AYAM JANTAN HILANG KOKOK
kura-kura pun memanjat pokok yang bongkok….
[Yassinsalleh]

MEGA DUKA MENIKAM BADAI
purnama luka melakar rindu…..
[Ruhanie Ahmad]

http://panggilan-pertiwi.blogspot.com




Saturday, March 12, 2011

Peperangan Gaya Baru di Abad ke-21

Tulisan ini sekadar menerminkan kebimbangan peribadi yang amat sangat terhadap perkembangan dunia mutakhir terutamanya mengenai serangan virus serta siri gempa bumi dan letupan gunung berapi yang kian menjadi-jadi di rantau Asia-Pasifik, termasuk di Malaysia. Bagaimanapun, ini tidak bermaksud saya tidak mempercayai qada' dan qadar Allah SWT.

Kebimbangan ini mendorong saya merujuk kembali kepada beberapa buah buku mengenai gaya peperangan di era kontemporari---sama ada peperangan psikologi (propaganda), peperangan ekonomi, peperangan kimia atau peperangan teknologi, khususnya yang menggunakan teknologi scalar yang kini dikuasai oleh Amerika Syarikat (AS).

Peperangan psikologi: Peperangan ini kian berkesan berikutan ledakan ICT. Contohnya, CNN diperkenalkan sempena Perang Teluk Pertama bila AS menyerang Iraq setelah Iraq melanggar Kuwait pada tahun 1990. Dalam peperangan itu, rangkaian CNN hanya memaparkan kejayaan AS, tetapi menyorokkan segala fakta mengenai depleted uranium yang terkandung dalam bom yang digugurkan oleh AS dalam peperangan berkenaan sehingga menyebabkan kecacatan bayi, menyebabkan keguguran serta lain-lain penyakit kronik, termasuk penyakit misteri dikenali sebagai Gulf War Syndrome yang dialami oleh tentera AS.

Dalam Perang Teluk kedua atau perang terorisme AS terhadap Iraq, propaganda TV ini jadi semakin canggih. AS memperkenalkan embedded journalism atau kewartawanan khas di mana wakil-wakil rangkaian TV hanya membuat laporan berdasarkan fakta dan maklumat yang disalurkan oleh bahagian propaganda tentera AS. Oleh sebab itulah tidak disiarkan bahawa 100,000 rakyat awam Iraq terkorban dalam tempoh setahun, majoritinya akibat napalm bom dan juga depleted uranium (Brecher, Cutler dan Smith 2005).

Dengan itu, seluruh kezaliman AS dalam peperangan ini tersorok daripada pandangan komuniti dunia. Oleh sebab itulah terdapat penganalisis menamakan peperangan berkenaan sebagai TV War atau peperangan yang dipentaskan untuk liputan TV dan dipancarkan ke serata jagat.

Peperangan ekonomi: Peperangan ini telah menyerang beberapa negara di Asia Timur dan Asia Tenggara, termasuk Malaysia, menerusi krisis mata wang Asia 1997-1998. Hakikat ini dihuraikan secara panjang lebar oleh Kenichi Ohmae (2000). Oleh sebab itulah Tun Dr Mahathir Mohamad melabelkan serangan spekulator mata wang yang menyebabkan krisis berkenaan sebagai neoimperialisme.

Peperangan kimia: Senjata kimia banyak digunakan oleh kuasa-kuasa besar. Tetapi, kuasa besar seperti AS pula menghalalkan serangannya ke atas Iraq pada 2003 sebab kononnya Iraq mempunyai senjata kimia---antrax----yang boleh menggugat AS.

Setelah membelanjakan berjuta-juta dollar, tidak satu pun kilang antrax ditemui di Iraq. Juga tidak ditemui sebarang tanda bahawa Iraq mempunyai WMD. Hakikat ini dihuraikan sendiri oleh Han Blix, ketua IAEA dalam buku beliau terbitan 2005. Tetapi, Saddam Hussein sudah dihukum gantung dan Iraq sudah dijajah AS hingga ke hari ini.

Berkait dengan senjata kimia ini, adalah penyebaran pelbagai virus baru yang dipercayai virus yang dikeluarkan menerusi makmal ujian pihak keselamatan beberapa negara besar. Kisah ini kita sering tonton dalam siri TV. Kisah ini bukan fiksyen, tetapi kisah benar.

Oleh sebab itulah China di serang virus SARS menjelang olimpik di negara berkenaan. Oleh sebab itulah kini muncul pelbagai virus yang tidak pernah dikenali oleh para saintis. Lantaran itu (bukan dengan niat menghasut) autoriti kesihatan Malaysia perlu cemburu terhadap serangan virus yang kini terjadi di PULAPOL dan Hospital Besar KL.

Kita tidak buruk sangka terhadap sesiapa. Tetapi, kita mesti cemburu akan asal-usul virus seperti ini, lebih-lebih lagi bila ianya tidak pernah ditemui di mana-mana tempat di Malaysia sebelum ini.

Saya bukan mempercayai teori konspirasi. Tetapi terdapat sebuah buku 2004 yang mendedahkan bahawa apa sahaja kini boleh dijadikan senjata untuk menghuru-harakan sesebuah negara sasaran sesetengah kuasa besar tertentu.

Contohnya, buku berkenaan menyebutkan tentang wujudnya teknologi untuk menjadikan musim menuai yang lazimnya musim kemarau, menjadi musim hujan selebat-lebatnya sehingga memusnahkan seluruh hasil tuaian; dan menjadikan musim menanam yang lazimnya musim hujan supaya menjadi musim kemarau kontang sehingga musnah seluruh benih tanaman berkenaan.

Hakikat ini pernah terjadi di Russia dan Korea Utara sehingga ratusan ribu rakyatnya dilanda kebuluran dan sehingga mereka menerima bantuan makanan daripada beberapa kuasa besar tertentu kononnya untuk membuktikan mereka mempunyai sifat peri kemanusiaan yang tinggi.

Dalam konteks ini, wujud pula teknologi scalar yang dipercayai boleh memanipulasikan cuaca menerusi gelombang radio biasa, sehinggga terjadi ribut taufan dahsyat seperti di Myanmar beberapa tahun lalu, sehingga terjadi banjir besar yang luar biasa di China juga beberapa tahun lalu, dan juga gempa bumi dahsyat di Iran dan Pakistan.

Dalam konteks ini juga, saya jadi bimbang----sekadar kebimbangan biasa---kalau-kalaulah teknologi scalar ini juga boleh menanipulasikan gempa bumi atau pun tsunami!

Kepada para peminat blog ini yang ingin mengetahui lebih lanjut apa yang saya huraikan secara singkat dalam posting ini, bacalah sendiri buku-buku ini: Bruce Berkowitz, 2003, The new face of war, New York: The Free Press; Chris Hables Gray, 1997, Postmodern war: the new politics of conflicts, London: Routlesge; Kenichi Ohmae, 2000, The invisible continent: four strategic imperatives on the new economy, London: Nicholas Brealey Publishing; Jeremy Brecher, Jill Cutler dan Brendan Smith, 2005, In the name of democracy: American war crimes in Iraq and beyond, New York: Metropolitan Books, Hans Blix, 2005, Disarming Iraq: the search for weapons of mass destruction, London: Bloomsbury; dan Lawrence Dunegan, 2004, The new barbarians: the diabolical plot for an imminent totalitarian world government exposed! Selangor: Thinker’s Library.

Friday, March 11, 2011

Tsunami dan gempa bumi melanda Asia-Pasifik?

Umat manusia di Asia-Pasifik sedang dilanda dugaan Allah SWT. Gunung berapi meletup di Indonesia beberapa bulan lalu. Kemudiannya gempa bumi di New Zealand. Gunung berapi di Hawaii sedang memuntahkan lahar tanpa berhenti. Hari ini Miyagi di Jepun dilanda gempa bumi berskala besar dan tsunami.

Sampai bila agaknya dugaan ini akan berakhir? Bagaimana dengan kita di Malaysia? Bagaimana dengan saudara-mara kita di Indonesia?

Persoalan ini menggamit jiwa sebab cuaca mutakhir ini sukar diramal dan iklim dunia juga jadi huru-hara.

Saya cuma bimbang---kebimbangan semata-mata---kalau-kalau dengan tiba-tiba dan tanpa diduga Selat Melaka juga akan turut bergelora menggila sehingga haru-biru rakyat Malaysia di barat Semenanjung dibuatnya… Kejadian seperti tidak lojik jika diteliti mengikut hukum akal. Tetapi, siapa tau kalau ini akan berlaku? Hanya Allah SWT sahaja yang maha berkuasa…. Mudah-mudahan kita semua selamat sejahtera!

Wednesday, February 16, 2011

ROMBAKAN KABINET: TAN SRI SAMSUDDIN OSMAN MENTERI HAL EHWAL KAKITANGAN AWAM?

Ruhanie Ahmad

Utusan Malaysia on-line jam 8.40 malam tadi menyiarkan satu berita daripada Bernama dengan tajuk Spekulasi rombakan kabinet cetuskan kekalutan. Antaranya, disebut bahawa “spekulasi liar oleh para pemerhati politik mengenai rombakan Kabinet yang tersebar dalam Twitter dan blog mereka hari ini telah mencetuskan kekalutan di pihak media untuk mengesahkan kesahihan berita itu.”

Tidak ada sesiapa mampu untuk mengesahkan atau menafikan berita ini kerana sesungguhnya hak merombak Kabinet adalah hak YAB Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri Malaysia.

Oleh itu, jika spekulasi ini benar, diharapkan YAB Perdana Menteri akan menimbangkan dua cadangan berikut yang disampaikan kepada saya menerusi peti komen blog ini dan menerusi pesanan teks telefon bimbit. Mesejnya adalah seperti berikut:

Satu: YAB Perdana Menteri perlu memberikan pertimbangan serius untuk melantik seorang warga kakitangan awam atau mantan kakitangan awam sebagai seorang menteri. Cadangan ini dikemukan oleh pengirimnya dengan alasan bahawa perlantikan ini akan menambahkan semangat dan dedikasi warga perkhidmatan awam dalam melaksanakan tugas masing-masing, terutama sekali dalam melaksanakan seluruh program transformasi nasional yang dipelopori oleh YAB Datuk Seri Najib. Cadangan ini juga, kata pengirim email berkenaan, akan membolehkan kerajaan mewujudkan satu kementerian yang khusus mengenai warga kakitangan awam yang jumlahnya adalah besar. Warga perkhidmatan awam yang sangat diharap-harapkan ke perlantikan jawatan ini adalah mantan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsuddin Osman.

Dua: YAB Perdana Menteri juga wajar menimbangkan secara serius untuk melantik seorang duta bertaraf menteri ke Indonesia. Cadangan ini dikirimkan menerusi sms. Kata pengirimnya, perlantikan seperti ini akan memberikan penghormatan yang tinggi kepada Indonesia, sama seperti penghormatan kerajaan Malaysia kepada AS apabila melantik Datuk Seri Jamaluddin Jarjis sebagai Duta Malaysia ke AS dengan taraf menteri.

Mudah-mudahan YAB Perdana Menteri menimbangkan kedua-dua hasrat di atas yang datangnya daripada rakyat jelata yang majoritinya sedang berikrar kepada diri masing-masing untuk sama-sama mengukuhkan kerajaan menerusi PRU13 kelak. Tetapi, itu pun jika benar bahawa beliau akan melakukan rombakan Kabinet dalam waktu terdekat ini!

Tuesday, January 25, 2011

PAKCIK SPRING RETURN DI BBB?

Baru-baru ini seorang sahabat blogger minta saya link blognya di Kuda Kepang. Hari ini baru saya terluang masa mengunjungi blog tersebut berjodol BANGI-O-BANGI. Menarik juga kandungannya. Posting terbarunya mengisahkan Pakcik Spring Return. Kunjungi blog ini dan ketahui sendiri apa maksud posting berkenaan. Alamatnya ada di sidebar blog ini. Salam takzim: Ruhanie Ahmad.

Thursday, January 20, 2011

REVOLUSI UMNO DI TENANG?

Pemilihan seorang penolong pegawai daerah (ADO), Mohamad Azahar Ibrahim, sebagai calon PRK DUN Tenang, di Labis, Johor, merupakan satu pembaharuan yang dilakukan oleh Datuk Sri Najib Tun Razak. Syabas!

Sehubungan dengan pembaharuan ini, saya turunkan di bawah ini tujuh perenggan daripada buku Revolusi UMNO (1994) seperti berikut:

Satu lagi pendekatan yang wajar diberi pertimbangan ialah mewujudkan sistem mengesan bakat kepimpinan di dalam UMNO. Sistem ini tidak perlu dimunculkan secara rasmi dan penuh gembar-gembor. Sebaliknya, sistem ini hanya dipertanggungjawabkan kepada segolongan kumpulan yang menerima mandat dari pucuk kepimpinan parti.

Matlamat sistem ini adalah untuk mengesan, mengenalpasti, dan mengembangkan bakat kepimpinan seseorang individu, khususnya dari kalangan generasi pelapis dari segenap bidang, sektor dan profesion. Ini bermakna individu tersebut tidak semestinya dari kalangan ahli-ahli UMNO sahaja.

Individu-individu Bumiputera dari generasi pelapis yang sudah dikenalpasti hendaklah diberi bimbingan dan didikan parti supaya mereka membangun sebagai golongan yang seimbang, dengan semangat perjuangan, keagamaan, rohani serta inteleknya yang serasi dengan idealism UMNO.

Kumpulan ini wajar dijadikan kumpulan teras yang akan menerima latihan di Kolej Parti kerana mereka merupakan sebahagian dari sumber kepimpinan UMNO di hari muka. Ini bererti walaupun kumpulan teras ini berpotensi besar memimpin UMNO di abad ke-21, tidaklah pula individu-individu Bumiputera lain yang jujur, ikhlas, tegas, berdedikasi dan perprinsip akan terlepas peluang memimpin parti di masa akan datang.

Memang akan terdapat pihak yang akan mengatakan langkah seperti ini amat radikal, progresif dan boleh jadi regimented. Ataupun, mungkin wujud kalangan yang akan memperkecil-kecilkan perkara ini.

Pokoknya, dalam UMNO mencari kecemerlangan masa depan, adakah parti tersebut mahu terus menerus memaksa perjuangannya dibelenggu negativisme dan kekunoan sepanjang masa? Atau, tidak wajarkah UMNO bersikap inovatif dan positif demi survival satu wadah perjuangan yang memang serasi dan sentimental kepada majoriti orang Melayu?

Pada waktu yang sama, apakah UMNO mempunyai pilihan? Sampai bilakah UMNO harus tertunggu-tunggu untuk melaksanakan satu revolusi ke arah menjernihkan lagi perjuangannya? Jika masalah revolusi ini tidak dilaksanakan segera sebagai usaha pelengkap kepada segala reformasi pengurusannya, siapa yang akan bertanggungjawab jika sekali lagi UMNO dibunuh oleh sesetengah ahli-ahlinya sendiri? Dan, siapa pula yang harus dipersalahkan jika usaha seperti ini tidak dijalankan dan akibatnya UMNO akan terbunuh dalam keadaan yang lebih dahsyat daripada tahun 1988?
(Ruhanie Ahmad dan Sazali Kamilan 1994: 62-64).

Perenggan-perenggan di atas saya dedikasikan kepada seluruh warga UMNO, terutama sekali warga UMNO Labis yang sedang mengendalikan PRK DUN Tenang. Selamat berjuang dan selamat maju jaya!

Tuesday, January 11, 2011

CABARAN TAHUN 2011

Ruhanie Ahmad
Kedatangan tahun 2011 diiringi rungutan rakyat mengenai ketiadaan bekalan barang-barang kawalan di pasaran, terutamanya minyak masak. Tahun ini juga berhadapan dengan persoalan sama ada Pilihan Raya Umum (PRU) 13 akan diadakan dalam tempoh terdekat, mungkin selari dengan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Jun atau Julai 2011. Paling mendebarkan lagi, apakah peluang BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Tenang, Labis, Johor, yang hari pembuangan undinya pada 30 Januari 2011.

Bekalan minyak masak: Sampai bilakah rakyat akan didera oleh pihak pembekal dengan masalah kekurangan bekalan barang-barang kawalan seperti gula, minyak masak, dan lain-lainnya? Apakah ini melambangkan sikap tamak pihak pengeluar dan pembekal atau mencerminkan ketidakcekapan pihak penguatkuasa di kementerian yang bertanggungjawab? Di mana pun silapnya, janganlah rakyat yang terus dijadikan mangsa deraan mereka. Mungkin juga wajar SPRM memberikan tumpuan kepada persoalan ini untuk memastikannya ianya bebas daripada amalan rasuah!

PRU13: Banyak penganalisis dan pemerhati sentiasa memperkatakan kemungkinan PRU13 diadakan tahun 2011---dua tahun lebih awal daripada tempoh tamatnya Parlimen ke-12 pada Mac 2013. Blog ini telah memberikan pendapatnya menerusi posting pada Jumaat 10, Disember 2010, dengan tajuk Persoalan Strategik Menjelang PRU13. Antara komen yang menarik mengenainya adalah daripada Spycatcher yang mengketengahkan soal perisikan terhadap kesiapsediaan BN di peringkat akar umbi. Saya amat setuju dengan Spycatcher kerana perisikan memainkan peranan penting untuk menentukan kesediaan BN mengadakan PRU13 pada bila-bila masa sebelum Mac 2013. Selain itu, BN perlu mewujudkan sistem perisikan multi-sumber, jangan hanya bergantung kepada risikan rasmi KEMAS, JASA, SERANTA FELDA, MIO dan SB sahaja. BN perlu mempunyai satu mekanisme khas untuk double check seluruh laporan rasmi pihak-pihak ini, bukan kerana tidak mempercayai mereka yang selama ini pun sudah menjalankan tugas cemerlang, tetapi untuk menentukan segala-galanya adalah sahih dan benar kerana PRU13 adalah amat mencabar dan penuh dugaan.

PRK DUN Tenang: Saya mengenali DUN ini secara peribadi sewaktu bertugas sebagai Setiausaha Politik Tun Musa Hitam (1982-1986). Ramai sahabat dan kenalan saya daripada semua kaum. Ada Koon Yew, ada Abang Juraimi, Penghulu Ibrahim, Cikgu Ismail dan lain-lainnya. Pastinya mereka sudah pun lebih lanjut usia daripada saya. Lantas, kemenangan PRK DUN Tenang bukan sahaja bergantung kepada mereka malahan pengundi generasi barunya. Tapi, bila saya tinjau beberapa blog tempoh hari, nampaknya seakan-akan ada juga perebutan soal calon di Tenang. Moga-moga ini cuma ribut dalam cawan yang tidak akan menjejaskan peluang kemenangan DUN Tenang. Saya yakin YAB Ghani Othman yang jadi pengarah PRK tersebut mampu mengekalkan kemenangannya.

Thursday, December 30, 2010

SENAMROBIK DAP CABAR KESELAMATAN NEGARA

Ruhanie Ahmad

Tindakan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching, bersenamrobik bersama-sama jemaah masjid---termasuk lelaki---sempena Karnival Maal Hijrah di pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong, baru-baru ini, adalah masalah keselamatan negara.

Ia boleh memprovokasikan reaksi negatif terhadap Teo, parti yang diwakilinya, serta umat Islam yang menganjurkan acara berkenaan secara sedar.

Tindakan tersebut, walaupun pastinya dilakukan dengan kerelaan jawatankuasa dan jemaah masjid, adalah tindakan yang melangkaui politik.

Ia adalah isu keselamatan negara yang mesti segera ditangani mengikut undang-undang yang tegas dan berkesan.

Tulisan ini tidak mencerminkan ekstremisme Islam. Sebaliknya, mencerminkan kebimbangan terhadap tindak-balas negatif yang boleh tercetus akibat tindakan tersebut senandainya wujud segelintir umat Islam yang hilang sabar dan terlalu amat marah terhadap perbuatan yang mengenepikan prinsip-prinsip asas sensitiviti keagamaan.

Pihak berkuasa Malaysia perlu segera mensekuritisasikan tindakan seperti ini dan bertindak membanteras ianya daripada berulang.

Tidak ada gunanya peristiwa seperti ini dijadikan polemik kepartian. Isu keselamatan negara di sesebuah negara majmuk seperti Malaysia mesti dibanteras menerusi ketegasan undang-undang.

Friday, December 17, 2010

AL-FATEHAH BUAT DATUK SULAIMAN TAHA ADUN TENANG, JOHOR

Datuk Haji Sulaiman Taha, 59, ADUN Tenang merangkap Ketua UMNO Bahagian Labis, Johor, kembali ke rahmatullah di Hospital Ampang Puteri, Kuala Lumpur, pada jam 1.10 pagi, 17 Disember 2010. Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Labis selepas Fardhu Jumaat.

Allahyarham Sulaiman yang juga mantan Setiausaha Kerja Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di bawah kepimpinan Datuk Sri Najib Tun Razak, di masukkan ke Pusat Perubatan Ampang Puteri pada 24 November 2010 untuk menjalani rawatan penyakit kencing manis.

Sama-samalah kita hadiahkan Al-Fatehah kepada Allahyarham dan doakan semoga rohnya akan sentiasa dicucuri rahmat Allah SWT… Al-Fatehah!

Wednesday, December 15, 2010

DIGNITI MELAYU DI ABAD KE-21

RUHANIE AHMAD

Artikel ini difokuskan khusus kepada persoalan digniti Melayu kontemporari untuk menyanggah pelbagai polemik mengenai ketuanan Melayu yang kebelakangan ini dipolitikkan oleh sesetengah golongan di Malaysia. Ianya bertujuan supaya polemik berkenaan tidak berlarutan sehingga mengancam keselamatan dan perpaduan nasional yang dibina asasnya menerusi Perlembagaan Persekutuan.

Hipotesis artikel ini adalah: konsep ketuanan Melayu bukannya elitis, tidak diwujudkan untuk mengagung-agungkan bangsa Melayu, atau untuk mencanggahi aspirasi melahirkan bangsa Malaysia yang bermaruah di hari muka. Sebaliknya, konsep ini wujud untuk memberikan digniti kepada bangsa Melayu dan Bumiputera yang jadi daif serba-serbinya akibat penjajahan selama 446 tahun. Dalam ertikata lainnya, ketuanan Melayu adalah konsep anti-penjajahan biar dalam bentuk apa sekalipun dalam era pasca-merdeka.

Hakikatnya sedemikian kerana Persekutuan Tanah Melayu adalah entiti negara yang diwujudkan oleh para pemimpin multi-keturunan menerusi kemerdekaan tanah air pada 31 Ogos 1957. Malaysia juga terbentuk daripada permuafakatan multi-etnik di Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, dan Singapura.

Maksudnya, sebelum Tanah Melayu dijajah mulai 1511 hingga 1957, bumi ini adalah gabungan negeri-negeri Melayu yang dikategorikan sebagai nation-state atau negara-bangsa kerana majoriti rakyatnya terdiri daripada satu rumpun bangsa yang sama, berkogsi sejarah dan warisan budaya yang serupa, serta berasal daripada wilayah geografi yang satu, iaitu kepulauan Nusantara (rujuk Buzan 1983:36-72).

Realiti sejarah

Hakikat ini diakui oleh pelbagai sejarawan asing dan tempatan. Purcell (1965:40) menegaskan “dari sejarahnya, Malaya adalah negara Melayu.” Oleh sebab itulah “dasar British di Tanah Melayu sebelum Perang Dunia Kedua bersifat pro-Melayu dan menerima hakikat bahawa Tanah Melayu adalah untuk masyarakat Melayu” (Mohd Ashraf Ibrahim 2004:50).

Lantaran itu juga “pentadbir-pentadbir British memandang istimewa terhadap orang Melayu. Mereka menganggap orang Melayu sebagai penduduk bumiputera Malaya. Mereka mengakui bahawa orang Cina mempunyai peranan ekonomi yang penting tetapi ini bukanlah memberi orang Cina hak untuk memainkan peranan dalam politik. Malaya adalah tanah air orang Melayu” (Saunders 1978:35).

Selanjutnya, Tanah Melayu dan bangsa Melayu adalah negara dan bangsa yang telah mencipta tamadunnya di era Kesultanan Melayu Melaka. Pada ketika itu sudah wujud undang-undang syariah dan undang-undang maritim Melayu yang komprehensif.

Contohnya, “kurun ke-15 adalah satu peringkat di mana, secara umumnya, kegiatan ahli-ahli hukum berkisar kepada pengkanunan prinsip-prinsip shari’ah” dan “Undang-Undang Laut Melaka ialah kanun yang mengandungi hukum dan peraturan di laut yang berkaitan dengan tatacara dan undang-undang pelayaran serta penggunaan kapal” (Abdul Aziz Bari 2008:306-307).

Seluruh huraian di atas membuktikan Malaysia bukannya sebuah state-nation atau negara majmuk sejak sebelum era penjajahan. Sebaliknya, Malaysia hanya menepati kategori state-nation kerana kemerdekaannya diperjuangkan oleh bangsa Melayu menerusi UMNO, keturunan Cina menerusi MCA, dan keturunan India menerusi MIC, dan kewarganegaraannya pula merangkumi seluruh keturunan ini serta lain-lain kelompok etnik di Sabah dan Sarawak.

Sejarah silam juga membuktikan bangsa Melayu adalah bangsa yang mempunyai dignitinya yang tersendiri sejak berkurun lamanya. Lantas, bukan satu jenayah untuk membicarakan konsep ketuanan Melayu dalam konteks Malaysia kontemporari. Ini kerana bangsa Melayu adalah bangsa yang wujud bersama sejarah bumi Melayu yang kini diidentitikan sebagai Malaysia.

Konsep ketuanan Melayu juga tidak boleh ditafsirkan sebagai instrumen penindasan atau pendiskriminasian terhadap rakyat bukan Melayu dan bukan Bumiputera. Sebaliknya, konsep ini diterjemahkan ke dalam pelbagai dasar dan program pemerintah supaya wujud keseimbangan dalam survival dan digniti warganegara Malaysia yang berbilang keturunan dalam era merdeka.

Perlembagaan Persekutuan

Perjuangan memajmukkan Tanah Melayu menerusi kemerdekaan tidak diterima sepenuhnya oleh majoriti bangsa Melayu di era pra-merdeka. Tunku Abdul Rahman selaku Presiden UMNO dan Pengerusi Perikatan terpaksa menghadapi cabaran serius daripada kalangan UMNO dan bangsa Melayu di luar UMNO yang mencurigai implikasi perjuangan memerdekakan negara bersama-sama keturunan Cina dan India di hari muka.

Tetapi, Tunku Abdul Rahman tetap bertegas. Beliau menegaskan “ada yang berkata kita (orang Melayu) hendak berlawan dengan Raja-Raja Melayu. Tetapi, tuduhan yang palsu ini tidak ada tempat dalam perjuangan kita kerana kita telah mengisytiharkan bersama-sama MCA bahawa kita akan menjaga dan memelihara taraf Raja kita dan juga agama kita yang maha suci” (Tunku Abdul Rahman 2009:76).

Kenyataan ini membuktikan bahawa kemerdekaan tanah air pada 1957 adalah perjuangan yang mengiktiraf keindukan Melayu, status Raja-Raja Melayu, serta kedudukan Islam sebagai agama orang Melayu. Ia juga membuktikan bahawa ketuanan Melayu diiktiraf oleh seluruh pejuang kemerdekaan yang multi-keturunan bukan untuk mengagung-agungkan bangsa Melayu, tetapi untuk memanifestasikan kesinambungan sejarah kewarganegaraan Melayu di bumi Melayu dalam era pra-penjajah.

Antara buktinya, Perikatan secara sebulat suara memperakukan bahawa Islam dijadikan “agama rasmi Persekutuan Tanah Melayu” (Ahmad Ibrahim1978:48). Perikatan juga menyetujui supaya Perlembagaan Persekutuan memaktubkan perkara khusus mengenai struktur kewarganegaraan rakyat jelatanya yang berbilang kaum “untuk mengelakkan kebimbangan mereka bahawa struktur kewarganegaraan ini akan dipinda jika ianya digubal menerusi undang-undang biasa” (Sinnadurai 1978:93).

Hakikat ini membuktikan bahawa perkara khusus mengenai Islam dan struktur kewarganegaraan di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah antara dua peruntukan penting yang dimaktubkan sebagai manifestasi permuafakatan bangsa Melayu, keturunan Cina, dan keturunan India dalam era menjelang merdeka.

Kedua-dua peruntukan ini bukannya dimaktubkan atas dasar ketuanan Melayu. Sebaliknya, atas dasar kesinambungan sejarah pra-merdeka dan atas dasar memelihara keselamatan masyarakat dan keselamatan nasional.

Lantas, apakah kaitannya konsep ketuanan Melayu dengan kedua-dua peruntukan ini sehingga wujud pihak yang mencadangkan supaya konsep ini digantikan dengan konsep ketuanan rakyat kononnya “supaya anak-anak membesar dengan visi ‘bangsa bermaruah’ atau ‘Melayu bermaruah”? (rujuk Suara Keadilan 27 November 2010, Utusan Malaysia 28 November 2010, Berita Harian 28 November 2010, Bernama 2 Disember 2010 dan the Malay Mail 2 Disember 2010).

Dasar afirmatif

Konsep ketuanan Melayu juga sering dikecam menerusi perspektif dasar afirmatif kerajaan yang berpaksikan kepada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Dalam konteks ini, tidak ramai antara kita menyedari hakikat bahawa dasar-dasar berkenaan adalah sebahagian daripada ciri-ciri keselamatan insan, keselamatan ekonomi dan keselamatan nasional Malaysia selaras dengan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat yang memberikan digniti kepada insan manusia (rujuk mukadimah the Universal Declaration of Human Rights 1948).

Lantaran itu, segelintir parti siasah yang mendakwa sebagai jaguh hak asasi manusia sejagat semestinya menginsafi hakikat bahawa bangsa Melayu dan Bumiputera adalah kelompok warganegara Malaysia yang kehilangan digniti ekonomi dan sosialnya akibat polisi-polisi penindasan sistemik penjajah yang silih berganti selama 446 tahun.

Lantas, apa faedahnya dibangkit dan diungkit soal kuota 30 peratus yang dikhususkan kepada Melayu dan Bumiputera menerusi Dasar Ekonomi Baru apabila kedua-dua kelompok ini langsung tidak pernah mempersoalkan kuota 70 peratus yang dinikmati oleh bukan Melayu dan kapitalis asing di Malaysia selama ini?

Oleh sebab itulah orang Melayu dan Bumiputera menyifatkan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan dan pelbagai dasar afirmatif yang berindukan perkara ini “sebagai sesuatu yang suci, manakala sesetengah orang bukan Melayu mempersoalkan peruntukan tersebut adalah berkaitan dan mengikat hingga ke hari ini. Mengikut mana-mana tafsiran yang munasabah, manka peruntukan tersebut di dalam Perlembagaan adalah bahawa kesejahteraan ekonomi dan sosial orang Melayu yang lemah dari segi ekonomi hendaklah dilindungi dan digalakkan berbanding dengan orang bukan Melayu yang lebih maju” (Faaland, Parkinson & Rais Saniman 2002:16).

Sebagai balasan kerana diberikan perlindungan menerusi Perkara 153 “orang Melayu mengadakan konsesi yang berpadu mengikut kuasa politik dengan memberikan kewarganegaraan Persekutuan kepada orang bukan Melayu. Sebagai tambahan, orang bukan Melayu dijaminkan bahawa mereka bebas menjalankan perniagaan tanpa diganggu, dan mereka juga boleh mengekalkan dan mengembangkan budaya serta warisan bahasa mereka sendiri, dan boleh hidup secara berasingan” (ibid: 17).

Demikianlah hakikatnya semangat yang lahir daripada konsep ketuanan Melayu yang dijelmakan menerusi Perikatan dalam era menjelang kemerdekaan tanah air. Konsep tersebut tidak pernah membakar atau menyemarakkan sentimen perkauman di Malaysia sebelum munculnya konsep Malaysian Malaysia dalam tempoh 1963-1965 yang mempertikaikan seluruh perkara strategik dalam Perlembagaan Persekutuan, terutamanya mengenai Bahasa Melayu, Agama Islam, dan keistimewaan Melayu dan Bumiputera (rujuk Ghazali Ismail 1990).

Setelah Singapura tersingkir daripada Malaysia pada 1965, konsep Malaysia Malaysia diteruskan perjuangannya oleh DAP sebagaimana terkandung dalam the Setapak Declaration yang diperakukan dalam kongres DAP pertama pada 29 Julai 1967. Deklarasi tersebut “menjadi prinsip panduan perjuangan DAP sejak kelahirannya” (salinankarbon.com 14 Julai 2009).

DAP mengaplikasikan prinsip deklarasi ini dalam PRU 1969 dengan “menyerang MCA kerana menyerahkan hak-hak keturunan Cina kepada UMNO menerusi Perikatan. Pletfom DAP ketika itu adalah Setapak Declaration of Principles yang secara prinsipnya menentang hegemoni Melayu dan menyokong konsep Malaysian Malaysia” (Comber 2001:65).

Ini membuktikan bahawa isu mengenai struktur kewarganegaraan Malaysia, Bahasa Melayu, Agama Islam, Raja-Raja Melayu, dan keistimewaan bangsa Melayu dan Bumiputera hanya menjadi isu politik akibat kemunculan konsep Malaysian Malaysia yang kemudiannya diperjuangkan oleh segolongan parti pembangkang di Malaysia.

Contohnya, sepanjang kempen Pilihan Raya Umum 1969 “segolongan calon pembangkang telah menyerang Perlembagaan menerusi perspektif perkauman. Mereka memutarbelit dan menyalahtafsirkan sesetengah peruntukan dalam Perlembagaan, terutamanya Perkara 152 dan 153. Mereka mendesak supaya Perkara 153 yang memberikan perlindungan kepada keistimewaan Melayu dimansuhkan” (Tun Abdul Razak Hussein dalam Majlis Gerakan Negara 1969:v).

Kesimpulan

Kesimpulannya, ketuanan Melayu adalah konsep yang memanifestasikan kesinambungan sejarah dan tamadun Melayu sebelum tanah air ini dijajah selama 446 tahun. Ia bukannya konsep yang menglorifykan bangsa Melayu. Sebaliknya, adalah konsep yang memberikan digniti kepada bangsa Melayu sama seperti digniti keturunan bukan Melayu di negara asal masing-masing.

Dalam ertikata lain, konsep ketuanan Melayu tidak menggugat survival bukan Melayu di Malaysia. Sebaliknya, konsep Malaysian Malaysia yang dijelmakan semangatnya ke dalam the Setapak Declaration 1976 yang terbukti telah menggugat keselamatan insan, keselamatan politik, keselamatan ekonomi, keselamatan masyarakat, dan keselamatan nasional di Malaysia.

Maka, adalah meleset untuk menyifatkan konsep ketuanan Melayu bertujuan mengagung-agungkan bangsa Melayu dan bercanggah dengan kewujudan bangsa Malaysia yang bermaruah di hari muka. Konsep ketuanan Melayu lahir untuk memberikan digniti kepada bangsa Melayu dan Bumiputera yang jadi daif serba-serbinya akibat penjajahan. Konsep ketuanan Melayu adalah konsep anti-penjajahan biar dalam bentuk apa sekalipun dalam era kontemporari.

Friday, December 10, 2010

PERSOALAN STRATEGIK MENJELANG PRU13



RUHANIE AHMAD



Banyak pihak meramalkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan diadakan pada tahun 2011 walaupun tempoh Parlimen ke-12 hanya akan berakhir pada Mac 2013. Spekulasi ini mengundang pelbagai persoalan strategik mengenai kesiap-sediaan BN menghadapi PRU berkenaan.

Pertama, dalam keadaan BN mutakhir ini tidak mempunyai majoriti yang mantap di peringkat parlimen apakah faktor-faktor yang menyebabkan BN berhasrat mengadakan PRU13 tahun depan dan cukup yakin untuk memenangi dengan majoriti lebih selesa daripada PRU12?

Kedua, oleh sebab BN tidak menguasai kerajaan negeri Kedah, Pulau Pinang, Selangor, dan Kelantan menerusi PRU12, apakah faktor-faktor yang memungkinkan keputusan sebaliknya jika PRU13 diadakan tahun depan?

Ketiga, oleh kerana PRU adalah proses di mana parti pemerintah menyerahkan kembali kuasanya kepada rakyat bagi membolehkan mereka memutuskan sama ada mandat kekuasaan tersebut akan diserahkan semula atau sebaliknya, adakah BN akan mengadakan PRU13 pada 2011 jika ianya belum yakin mengenai pola sokongan pengundi terhadapnya?


Lantaran itu wajar dipersoalkan seluruh faktor yang mendorong kemungkinan BN mengadakan PRU13 pada 2011 dan juga pola sokongn pengundi kepada BN dalam PRU berkenaan. Persoalan ini perlu membabitkan BN selaku parti pemerintah, komponen BN selaku pengendali PRU13 di peringkat negeri, dan rakyat jelata selaku pengundi.


BN selaku pemerintah

Persoalan di peringkat ini difokuskan kepada aspek berikut: Satu, sudahkah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak mengatasi majoriti sebab kenapa BN gagal mendapatkan kelebihan suara yang besar di peringkat parlimen dan kehilangan kuasa di Kedah, Pulau Pinang, dan Selangor, di samping gagal menawan semula Kelantan daripada PAS, dalam PRU12?

Dua: adakah pelbagai dasar, strategi, dan program pembaharuan sosio-politik dan ekonomi yang diperkenalkan oleh kerajaan BN sejak awal 2009 (1Malaysia rujuk Utusan Malaysia 27 Jun 2009; NKRA rujuk pmr.penerangan.gov.my; dan Model Baru Ekonomi rujuk Bernama 2 Mei 2009) sudah menerima legitimasi penuh daripada segolongan besar rakyat? Atau, adakah keseluruhan transformasi ini masih boleh menyebabkan sokongan majoriti pengundi terhadap BN mungkin terhakis menerusi PRU13?

Tiga: adakah persepsi rakyat terhadap kerajaan BN yang terhakis sewaktu pemerintahan sebelumnya sudah mampu dipulihkan ke tahap yang selesa untuk membolehkan PRU13 diadakan dalam tempoh terdekat ini?

Empat: adakah kecelaruan dalam Pakatan Rakyat (PR) serta kontroversi dan kesembronoan pemimpin tertingginya mutakhir ini menyebabkan majoriti pengundi berasa muak terhadap PR sehingga diterjemahkan dalam bentuk undi yang memihak kepada BN dalam PRU13?

Seluruh persoalan di atas memerlukan kajian teliti, terperinci, dan komprehensif oleh jentera-jentera risikan politik dan sosio-ekonomi kerajaan BN di semua peringkat. Kesemuanya memakan masa untuk memperolehi kesimpulan muktamadnya.

Kerajaan BN akan mendapat gambaran sebenar sokongan pengundi terhadapnya menerusi kajian di atas. Berikutan itu, BN perlu melakukan pelbagai program koreksi sekiranya wujud kelemahan, dan melaksanakan konsolidasi yang lebih rapi jika keputusannya cukup menggalakkan.

Jika kesemua ini diambilkira, adakah logik PRU13 diadakan tidak lama lagi? Sebaliknya, tidakkah ini membayangkan bahawa spekulasi PRU13 diadakan pada 2011 adalah sesuatu yang sukar untuk dirasionalkan sebab-sebabnya?


Komponen BN

Kepimpinan BN sebelum ini meninggalkan legasi negatif kepada sesetengah komponennya, terutama sekali di Malaysia Semenanjung. Lantaran itulah tercetus nada-nada sumbang yang menjejaskan permuafakatan serta wibawa BN. Walaupun ditegur oleh Najib dan kepimpinannya, nada-nada tersebut kelihatan belum reda, malah seolah-olah masih menggelegak dan terus membara.

Manifestasi serta impak perkembangan ini terpancar menerusi keputusan beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) di Terengganu, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, dan Sarawak sepanjang tempoh 2008 hingga 2010.

Hanya PRK di Sabah dan Kelantan baru-baru ini sahaja memberikan hasil positif kepada BN. Ini boleh dijadikan indikasi bahawa segolongan pengundi mungkin sudah muak dengan apa yang sedang berlaku dalam PR. Tetapi, tidakkah indikasi ini perlu dipastikan semasak-masaknya sebelum tergesa-gesa diadakan PRU13?

Pada waktu yang sama, UMNO, MCA, MIC, dan Gerakan selaku komponen terbesar di Malaysia Semenanjung masih dan sedang menjalani fasa transformasi untuk mengukuhkan jenteranya dan memulihkan kredibilitinya supaya sokongan bukan Melayu terhadap BN mampu dipulihkan. Selagi usaha ini masih samar-samar dan belum menunjukkan indikasi positif, adakah wajar PRU13 diadakan pada tahun 2011?

Apa yang diumumkan oleh Najib mengenai kepelbagaian keanggotaan BN di samping usaha mewujudkan Rakan Muda BN dan Kelab Sahabat BN baru-baru ini adalah sebahagian contoh utama mengenainya (rujuk Utusan Malaysia 20 November 2010 dan 27 November 2010).

Selanjutnya, sudahkah UMNO selaku tunggak BN, khususnya di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, dan Kelantan, diperkukuhkan semula organisasi dan komitmen perjuangannya untuk menang dengan cemerlang dalam PRU13?

Najib mengumumkan akan melakukan pembaharuan dalam hiraki kepimpinan UMNO. Ini belum dilaksanakan dan ini juga memerlukan masa untuk mengukuhkan legitimasi hiraki kepimpinan yang baru.

Sementara itu, penangguhan pemilihan kepimpinan UMNO yang diumumkan baru-baru ini tidak boleh dijadikan petanda bahawa PRU13 akan diadakan tidak lama lagi. Langkah itu mungkin untuk membolehkan UMNO melakukan pembaharuan menyeluruh dan besar-besaran.

Dan, oleh kerana tempoh Dewan Undangan Negeri Sarawak dijangka berakhir pada pertengahan 2011, adakah wajar PRU13 dilakukan serentak dengan PRU13? Bukankah lebih praktikal diadakan PRU DUN Sarawak sebelum PRU13?

Mengambilkira seluruh persoalan di atas serta kedudukan PR yang jelas sedang kucar-kacir, adakah benar tahun 2011 merupakan waktu terbaik bagi BN mengadakan PRU13? Tidakkah wujud kebijaksanaan lain untuk membuktikan bahawa seluruh komponen BN masih memerlukan penggemblengan kekuatan dan permuafakatannya menjelang PRU13?


Persepsi pengundi

Persepsi pengundi terhadap pemerintahan BN adalah determinen penting kepada sesuatu PRU atau PRK. Determinen ini sukar untuk diapa-apakan bagi sesuatu PRK. Tetapi, ia boleh diperbaiki jika didapati kurang menyakinkan menjelang sesuatu PRU.

Oleh itu, sesiapa sahaja, berasaskan perkembangan yang wujud mutakhir ini, boleh meramalkan bahawa PRU13 akan diadakan pada 2011. Tetapi, apa faedahnya PRU13 tahun depan jika keputusannya belum dipastikan lebih memihak kepada BN?

Dalam konteks ini, apakah persepsi pengundi terhadap BN dan PR? Adakah kenyataan dan perilaku sembrono PR menguntungkan BN? Adakah segolongan pengundi akan terus menyokong PR walaupun ianya terbukti kucar-kacir di Selangor dan penuh kontroversi di Pulau Pinang?


Banyak perkara perlu dijalankan mengenai hal ini. Sudahkah BN menjalankan kajian menyeluruh terhadap sikap dan persepsi pengundi terhadapnya di peringkat nasional, negeri, kawasan pilihan raya dan kawasan peti undi? Apakah sistem pembacaan serta pemantauan sikap ini sistematik dan efektif?

Maka, terbuktilah di sini bahawa BN memerlukan masa secukupnya untuk mendapatkan kepastian terhadap persoalan di atas kerana proses pembacaan sikap dan pemantauannya adalah rumit dan panjang. Mustahil BN akan mengadakan PRU13 sebelum usaha-usaha ini dibereskan.

Hakikatnya demikian kerana persepsi dan sikap pengundilah yang akan dijadikan asas penggubalan manifesto PRU BN dan juga bagi panduan dalam pemilihan dan penentuan calon-calon BN di peringkat Parlimen dan DUN.

Dalam PRU13, BN tidak boleh menyediakan manifestonya secara sembarangan kerana PRU12 membuktikan “kad laporan BN” (Bernama 21 Februari 2008) yang seolah-olah mempersendakan kebijaksanaan pengundi, merupakan antara faktor yang menigkatkan kemuakan pengundi terhadap BN dalam PRU12 (rujuk kuda-kepang.blogspot.com. 22 Februari 2008).

Contohnya, ‘kad laporan’ BN dalam PRU12 mendakwa prestasi kerajaan BN dalam ekonomi membuahkan perdagangan antarabangsa yang rancak dan menguntungkan. Maksudnya, ekonomi negara ketika itu sihat dan indeks kesejahteraan rakyat berada dalam tahap cukup selesa (Utusan Malaysia 8 Februari 2007, 16 Februari 2007, dan 22 Februari 2008).

Bagaimanapun, keputusan PRU12 membuktikan bahawa dakwaan itu meleset dan pengundi berasa marah dengan ilusi ekonomi yang dibentangkan oleh kerajaan BN kepada mereka.

Demikian juga dengan soal rasuah. Jika dalam manifesto BN bagi PRU11 pada tahun 2004, soal anti-rasuah mendominasikan agenda kerajaan BN, elemen ini langsung tidak disebut dalam ‘kad laporan’ BN bagi PRU12. Ironi ini juga membawa padah kepada BN (rujuk laporan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia 7 November 2003, 12 Disember 2003, 13 Januari 2004, 9 Februari 2004, 13 Februari 2004, 15 Februari 2004, 16 Februari 2004, 18 Februari 2004).

Begitu juga dengan proses memilih dan menentukan calon. Dalam PRU12, dakwaan dan desas-desus bahawa pemilihan dan penentuan calon kononnya hanya dilaksanakan oleh segelintir insan di keliling kepimpinan tertinggi ketika itu, gagal dinafikan untuk mengukuhkan sokongan pengundi terhadap BN (rujuk Kamalamir dalam Malaysia Today 18 Februari 2008).

Pada waktu yang sama, terdapat dakwaan bahawa “ada golongan muda telah membuat percubaan untuk mengambil alih kepimpinan negara secara terurus dan terancang melalui PRU12” tetapi gagal akibat tsunami politik yang melanda negara (rujuk Utusan Malaysia 11.3.2008).

Seluruh persoalan dan hujah ini membuktikan bahawa persepsi dan sikap pengundi perlu diurus dan diperbaiki menjelang sesuatu PRU. Proses pemilihan calon juga wajar dilaksanakan secara telus bagi memastikan konsensus kepimpinan semua peringkat BN.


Kesimpulan

Oleh kerana tempoh Parlimen ke-12 hanya akan berakhir pada MAC 2013, mengapakah BN diramalkan akan mengadakan PRU13 pada tahun 2011?

Persoalan-persoalan strategik terhadap BN selaku parti pemerintah, komponen BN selaku pelaksana PRU13, dan rakyat selaku pengundi bagi PRU13, menggambarkan bahawa BN masih memerlukan masa bagi memantapkan kekuatannya menjelang PRU13.

Lantas, logikkah untuk meramalkan bahawa PRU13 akan diadakan tahun depan? Jika ramalan itu tepat, apakah peluang BN dalam PRU berkenaan?

Sunday, December 05, 2010

MANIFEST DESTINY @ SURATAN TAKDIR BN

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menghuraikan manifest destiny atau suratan takdir BN menerusi ucapan yang penuh tekad, padat, tepat, dan mujarab.

Ucapan tersebut adalah suntikan semangat juang yang wajar dijadikan amanat kepada seluruh rakyat dalam perjuangan mengembalikan digniti rakyat Malaysia dan kedaulatan negara Malaysia mutakhir ini.

Teks penuh ucapan beliau di Konvensyen BN di Dewan Lee San Choon, Kuala Lumpur, sebentar tadi adalah seperti berikut:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_14.htm


KETUANAN. PERMUFAKATAN. KEWARGANEGARAAN. PERLEMBAGAAN.


Ruhanie Ahmad

Seseorang individu bebas memilih bentuk dan aliran pemikirannya. Ada individu liberal, ada konservertif, ada super hipokrit, dan tak kurang juga yang berlagak pseudo Islamis par excellence. Tetapi, yang malang sekali adalah individu yang tidak mengenali asal-usul diri dan sejarah bangsa sendiri.

Lantas tulisan saya kali ini adalah mengenai diri saya sebagai seorang anak Bangsa Melayu yang dilahirkan di bumi bertuah bernama Tanah Melayu dalam lokasi geografi Alam Melayu. Tanah Melayu dijajah orang asing dari 1511 hingga 1957, iaitu 446 tahun lamanya. Sepanjang tempoh itu Bangsa Melayu kehilangan digniti, maruah, dan harga diri. Tanah Melayu pula tergadai integriti dan kedaulatannya.

Bangsa Melayu yang kehilangan digniti ditindas secara sistemik. Hidup mereka terbiar, mundur, dan daif di pinggir desa. Tanah Melayu yang kehilangan integriti pula diinjak-injak pendatang asing. Hasil buminya dirampok dan dieksploitasikan ke peringkat maksimum.

Bangsa Melayu yang kehilangan digniti tidak mampu berbuat apa-apa untuk menebus integriti dan kedaulatan Tanah Melayu. Lantas penjajah pun datang dan pergi silih berganti. Penjajah terakhir adalah British. Mereka hanya memelihara dan menitikberatkan pedagangannya dengan Negara China (Cowan 1970:367).

Oleh sebab itulah berjuta-juta buruh asing di import masuk ke Tanah Melayu untuk melombong bijih timah dan mengusahakan ladang getah milik kapitalis British. Akibatnya, bancian tahun 1921, 1931, dan 1941, mendapati jumlah Bangsa Melayu pada tahun 1921 hanya 49% daripada seluruh penduduk Tanah Melayu, pada tahun 1931 hanya 47%, dan pada tahun 1941 hanya 42%. Ini membuktikan bahawa pada tahun 1921 jumlah buruh asing di Tanah Melayu adalah 51%, pada 1931 sebanyak 53%, dan pada 1941 sejumlah 58%. (Ahmad Atory Hussain 1987:9).

Apabila jumlah mereka kian besar dan mereka juga sudah beranak-pinak di Tanah Melayu, mereka mula mendesak supaya diberikan nasionaliti Tanah Melayu. Ini menyebabkan penjajah British jadi dilemma sehingga terdapat cadangan supaya digubal undang-undang kerakyatan baru bagi membolehkan pekerja asing ini jadi rakyat Raja-Raja Melayu (Lau 1991:16).

Cadangan berkenaan ditolak. Tetapi, sesudah tamat Perang Dunia Kedua, British kembali menjajah Tanah Melayu dan cuba melaksanakan dasar Malayan Union yang antaranya mengandungi cadangan undang-undang memberikan kerakyatan kepada buruh asing yang diimportnya ke Tanah Melayu.

British merancang gagasan radikal ini semasa zaman perang kerana ketika itu orang-orang asing kononnya membantu tentera British menentang Jepun, sementara Bangsa Melayu kononnya rata-rata memihak kepada Jepun.

Apa yang sengaja dipadamkan daripada sejarah British ketika itu ialah pengorbanan pemuda-pemuda Bangsa Melayu yang bertungkus-lumus mati-matian mempertahankan tanah air mereka daripada Jepun. Contohnya kisah Leftenan Adnan dan Sarjan Hassan.

Juga sengaja dipadamkan daripada sejarah kolonial ketika itu adalah kisah Bangsa Melayu dibunuh, disula, dibakar, dan dikuburkan hidup-hidup oleh gerombolan Komunis Bintang Tiga yang mengganas sewaktu Jepun sudah berundur dan sebelum British kembali menjajah pada Jun-Julai 1945

Pada ketika itu Bangsa Melayu yang kehilangan digniti hanya pasrah kepada Allah. Dengan jeritan Allahuakbar, mereka berjuang mati-matian untuk menumpaskan gerombolan Komunis Bintang Tiga. Kaum kerabat dan saudara mara saya turut menjadi mangsa gerombolan ini di Simpang Kiri, Batu Pahat, Johor. Kisah kepahlawanan Bangsa Melayu menumpaskan gerombolan ini di bawah pimpinan Kiyai Salleh tercatat dalam buku sejarah Malaysia (rujuk Harper 1999:53).

Pada tahun 1946, berpuluh ribu Bangsa Melayu Batu Pahat yang darah saudara mara mereka pernah ditumpahkan oleh pihak gerombolan Komunis Bintang Tiga menunaikan Fardhu Jumaat di Masjid Jamek di Jalan Ampuan, Bandar Penggaram. Sesudah itu mereka mengadakan perhimpunan Melayu secara besar-besaran di bawah pimpinan Dato’ Onn Jaffar selaku Pegawai Daerah. Sebelum bermesyuarat, mereka melaungkan perkataan Hidup Melayu dengan lantang dan bersemangat.

Bertolak dari detik itu tertubuhlah Pertubuhan Melayu Bersatu atau United Malays Organisation. Gagasan UMO itu di bawa ke Kongres Melayu di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur, pada Jun 1946. Di kongres itulah UMO ditambah dengan abjad N atau National dan menjadi United Malays National Organisation---UMNO---atau dulunya dikenali sebagai Pekembar.

Untuk memendekkan kisah, gagasan kerakyatan untuk insan-insan pendatang yang termaktub dalam perancangan Malayan Union dijadikan senjata British untuk mendesak Bangsa Melayu bergabung dengan pendatang bagi memerdekakan Tanah Melayu.

Bangsa Melayu yang baik hati pun setuju walau golongan berkenaan masih bertaraf pendatang, bukannya rakyat Tanah Melayu. Menerusi kemerdekaan Tanah Melayu, mereka menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu.

MANA ADA NEGARA DI DUNIA INI MEMBERIKAN HAK POLITIK KEPADA PIHAK PENDATANG UNTUK BERGANDING BAHU DENGAN BANGSA MELAYU SELAKU PRIBUMI DALAM PERJUANGAN MEMERDEKAKAN NEGARA? PARADOKS INI HANYA TERJADI DI TANAH MELAYU DENGAN KERELAAN HATI BANGSA MELAYU YANG TERLALU GAIRAH UNTUK MENEBUS DIGNITI BANGSA MELAYU DAN KEDAULATAN TANAH MELAYU MENERUSI KEMERDEKAAN TANAH AIRNYA!

SEBAGAI TANDA MUHIBAH KEPADA KESUCIAN HATI BANGSA MELAYU YANG MEMBERIKAN HAK POLITIK DAN KEWARGANEGARAAN, KELOMPOK PENDATANG ITU PUN SETUJU BAHAWA RAJA MELAYU JADI YANG DI-PERTUAN AGONG, ISLAM MENJADI AGAMA RASMI PERSEKUTUAN, BAHASA MELAYU JADI BAHASA KEBANGSAAN, DAN BANGSA MELAYU DIBERIKAN SEDIKIT KEISTIMEWAAN DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN. (RUJUK TUNKU ABDUL RAHMAN 2009:112).

Kelompok-kelompok pendatang yang ketika itu belum jadi warganegara dan tidak pula aktif dalam politik juga berperanan menentukan corak Perlembagaan Persekutuan. Di antara 131 memorandum yang diterima oleh para penggubal Perlembagaan Persekutuan, 47 adalah daripada pihak pendatang, 43 daripada Bangsa Melayu, dan selebihnya daripada parti-parti politik, kesatuan buruh, dan kelompok kapitalis barat. Dalam kalangan 47 yang diterima daripada pendatang itu termasuklah daripada persatuan guru-guru, dewan perniagaan dan lain-lainnya (rujuk Report of the Federation of Malaya Constitutional Commission 1957:7).

Seluruh kisah di atas adalah kisah Bangsa Melayu dan kisah Tanah Melayu. Khususnya kisah Bangsa Melayu yang kehilangan digniti dan Tanah Melayu yang tergadai integritinya. Dalam bahasa mudahnya, kisah di atas adalah kisah Bangsa Melayu yang kehilangan maruah dan Tanah Melayu yang hilang kedaulatan.

Lebih jelas lagi, kisah di atas adalah kisah Bangsa Melayu dan Tanah Melayu tanpa ketuanannya. Oleh itu, jangan rasa jijik dan gerun dengan perkataan KETUANAN MELAYU kerana ia bukannya bermaksud Melayu mahu jadi tuan. Hakikatnya begitu kerana KETUANAN MELAYU adalah konsep anti-penjajahan yang disemarakkan oleh Bangsa Melayu untuk mengembalikan digniti Bangsa Melayu dan menebus maruah kedaulatan Tanah Melayu. Konsep ini konsep anti-penjajahan. Bukannya konsep hendak mendabik dada dan mengagung-agungkan Bangsa Melayu di Tanah Melayu yang kini dikenali sebagai Malaysia dengan rakyatnya yang berbilang keturunan.

Thursday, December 02, 2010

MENANTI KEMUNCULAN KING GHAZ DI ABAD KE-21

Oleh RMF7


Siapakah yang layak menerima gelaran Pahlawan KDN selepas pemergian Tan Sri Ghazali Shafie @ King Ghaz. Sehingga kini Malaysia masih lagi tercari-cari pemimpin yang boleh menjiwai kepahlawanan King Ghaz dalam menangani isu-isu keselamatan negara Malaysia.

Sejarah telah membuktikan King Ghaz adalah seorang patriot yang sukar dicari gantinya. Beliau sanggup melakukan apa sahaja demi untuk menjamin keselamatan dan keamanan negara bagi manfaat seluruh rakyat Malaysia.

Contohnya, King Ghaz berani menahan Sidek Ghause yang masa itu Setiausaha Politik kepada Tun Dr Mahathir Mohamed di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri semata-mata dengan tujuan murni demi keselamatan negara.

Ini membuktikan King Ghaz adalah seorang yang sangat cintakan negaranya. Beliau sanggup menahan sesiapa sahaja yang menganggu-gugat keselamatan dan keharmonian negara sama ada menerusi hasutan, mempersendakan perlembagaan negara, atau menunjukkan ketidaksetiaan kepada negara dan Raja-Raja Melayu.

Keberanian King Ghaz kini hanya tinggal kenangan. Malaysia masih menanti kemunculan seorang pahlawan baru yang peka terhadap isu-isu sensitif dewasa ini.

Nota: Posting di atas saya muat-turunkan daripada blog RMF7 yang berjodol KDN “Tersungkur” lagi, disiarkan pada 2 Disember 2010. Saya membuat suntingan terhadap posting tersebut untuk mengelakkan sebarang implikasi undang-undang. Saya juga hanya memfokus kepada legenda King Ghaz sekadar untuk memenuhi nostalgia diri terhadap Allahyarham Tan Sri Ghazali Shafie yang sedikit sebanyak telah menyemaikan semangat patriotisme kepada saya dan sahabat-sahabat seangkatan di ITM pada tahun 1969. Ketika itu King Ghaz adalah Pengerusi Majlis Penglola ITM.

Tuesday, November 30, 2010

TRANSFORMASI JAMIN SURVIVAL



Ruhanie Ahmad


Datuk Seri Najib Razak Tun Razak melaksanakan transformasi siasah yang radikal dan bersejarah apabila Barisan Nasional (BN) membuka keanggotaan bersekutunya kepada individu, pertubuhan bukan kerajaan dan organisasi politik yang sudi mendukung misi perjuangannya, serta menyediakan ruang kepada generasi muda menyertai aktivitinya menerusi Kelab Rakan Muda BN dan Kelab Sahabat BN.

Transformasi ini mencerminkan pemikiran progresif kepimpinan kontemporari BN yang selaras dengan hasrat mempercepatkan pengintegrasian masyarakat Malaysia yang multi-etnik, secocok dengan transformasi sosioekonomi nasional, dan sesuai dengan cabaran modenisasi pada abad ke-21.

Dari perspektif kajian strategi dan keselamatan, transformasi ini bertujuan menghindarkan konflik dan pertembungan matlamat di kalangan rakyat, di samping untuk menjamin kelangsungan negara, keselamatan politik, keselamatan masyarakat, keselamatan ekonomi, dan keselamatan nasional Malaysia.

Realitinya demikian kerana satu daripada punca konflik yang boleh mengancam kelangsungan negara dan keselamatan nasionalnya adalah “ketidakseimbangan kuasa dan dispariti ekonomi yang mendorong kekecewaan” (Jeong 2009:43).

Bagaimanapun, “sesetengah konflik etnik yang lahir daripada ketidaksamarataan dan diskriminasi domestik boleh diatasi menerusi pluralisme dalam perwakilan pemerintahannya” (Azar & Moon 1988:288).

Kepimpinan Najib prihatin terhadap soal etnisiti ini kerana konflik etnik yang merupakan antara “ciri-ciri asas dalam sesuatu masyarakat majmuk” (Marger 2003:6) adalah “alah satu punca yang menimbulkan keadaan tidak selamat di seluruh dunia sejak zaman berzaman” (Kaufman 2008:201).

Keprihatinan ini diasaskan oleh Tunku Abdul Rahman Putra menerusi kewujudan mekanisme perkongsian kuasa di ambang kemerdekaan negara. Ia diperkukuhkan lagi oleh Tun Razak Hussein selepas konflik 1969.

Tunku Abdul Rahman mempelopori pembentukan Perikatan pada 1952 untuk menggabungkan UMNO selaku wakil majoriti orang Melayu dengan MCA mewakili keturunan Cina serta MIC mewakili keturunan India.

Mekanisme ini menghasilkan permuafakatan siasah yang positif dan sejati. Kemuncaknya adalah pemeteraian “apa yang disebut sebagai kontrak sosial (social bargain) pada 1957 di antara tiga kumpulan etnik utama sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan” (Mahathir 2002:iv).

Ini mencerminkan bahawa struktur parti pemerintah Malaysia iaitu dahulu Perikatan dan kini BN adalah gabungan parti siasah yang menitikberatkan perkongsian kuasa, permuafakatan, perpaduan, kesejahteraan, dan keselamatan masyarakat serta negara.

Bagaimanapun, kempen Malaysian Malaysia sepanjang tempoh 1963-1965 yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew telah menebalkan sentimen perkauman. Ini menyebabkan Perikatan terpaksa ditransformasikan menjadi entiti baru setelah meletus konflik etnik pada 13 Mei 1969.

Transformasi ini dilaksanakan oleh Tun Razak menerusi pembentukan BN pada 1 Julai 1974 yang memperluaskan gabungan UMNO, MCA dan MIC kepada lain-lain parti politik yang sanggup mendukung idealisme politik sederhana dan demokratik.

Tun Razak menggandingkan transformasi siasah ini dengan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebagai asas kepada penyusunan semula masyarakat dan pengenalan Rukun Negara sebagai asas perpaduan nasional.

Perdana Menteri Malaysia Kedua itu melaksanakan transformasi ini untuk mengukuhkan institusi negara, memelihara kelangsungan negara, memulihkan keselamatan nasional, memulihkan keselamatan masyarakat, memulihkan perpaduan rakyat, dan melindungi keselamatan ekonomi Malaysia.

Oleh sebab itulah, selepas konflik etnik pada 13 Mei 1969, kerajaan Malaysia segera melantik sekumpulan perunding dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat untuk merumuskan dimensi penyatuan nasional di Malaysia (Faaland, Parkinson & Rais 2002:352) dengan matlamat utamanya untuk menjamin survival serta memulihkan ketenteraman awam dan keselamatan nasional.

Lantaran itulah juga “strategi dan objektif asas DEB yang telah diperhalusi oleh Majlis Perundingan Negara dibentangkan di Parlimen Malaysia pada Februari 1971 menerusi Kertas Putih berjudul Ke Arah Keharmonian Nasional” (Gordon P. Means 1991:23).

Proses transformasi yang dilaksanakan oleh Tun Razak berjaya melonjakkan perpaduan rakyat, meningkatkan kemakmuran ekonomi, dan menstabilkan keselamatan nasional. Realiti ini membolehkan Tun Dr. Mahathir Mohamad memfokus kepada program pemodenan negara berasaskan gagasan Wawasan 2020.

Ia juga membolehkan Malaysia memberikan kepimpinan kepada komuniti dunia Selatan-Selatan. Dalam konteks ini, “Malaysia mempelopori penubuhan G-15 iaitu organisasi untuk menggalakkan kerjasama Selatan-Selatan pada 1989” (Milne & Mauzy 1999:134).

Bagaimanapun, evolusi pemikiran dan tindakan rakyat mutakhir ini seolah-olah mencabar kemampuan BN dalam menangani masalah sosiopolitik dan ekonomi kontemporari pada abad ke-21, khususnya sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008, suara dan tindakan komponen BN dan juga parti pembangkang jelas didasari sentimen perkauman yang kian meningkat.

Inilah sebabnya Najib melakukan transformasi terhadap struktur keahlian BN yang diumumkannya pada 20 November 2010. Beliau melakukan transformasi siasah ini tanpa merombak struktur komponen BN yang diasaskan oleh ayahandanya pada 1974.

Sebaliknya, beliau memperluaskan penyertaan rakyat Malaysia di dalam BN menerusi keanggotaan bersekutu serta menerusi kewujudan Rakan Muda BN dan Kelab Sahabat BN.

Usaha ini bijaksana kerana tidak menjejaskan status quo keanggotaan komponen BN sedia ada. Tetapi, transformasi ini radikal kerana ia mempunyai manfaat jangka panjang yang positif jika ia diuruskan secara sistematik dan berkesan.

Antara manfaatnya ialah keanggotaan individu, NGO dan pertubuhan politik sebagai ahli bersekutu BN akan membolehkan mereka menyalurkan sebarang rasa tidak puas hati atau kekecewaan mereka terhadap kerajaan secara langsung kepada BN untuk penyelesaian segera dan efektif.

Keanggotaan bersekutu ini juga dapat memperluaskan idealisme perjuangan BN kepada rakyat. Ini bermakna transformasi ini benar-benar memasyarakatkan BN dalam kalangan majoriti rakyat tanpa mengira kaum.

Penyediaan Kelab Rakan Muda BN dan Kelab Sahabat BN pula akan memudahkan proses sosialisasi politik dalam kalangan generasi pelapis Malaysia menerusi aktiviti tersusun dan positif.

Proses ini akan menjamin kesinambungan semangat perjuangan dan prinsip permuafakatan politik BN pada hari muka supaya perpaduan rakyat, kesejahteraan ekonomi serta keselamatan nasional sentiasa terjamin masa depannya.

Kesimpulannya, transformasi politik yang dilaksanakan oleh Najib adalah radikal, futuristik, dan demi kelangsungan negara dan bangsa Malaysia. Ini menepati aspirasi Gagasan 1Malaysia serta transformasi sosioekonomi yang dilaksanakan mutakhir ini. Bagaimanapun, sekali lagi saya tegaskan bahawa transformasi ini perlu diurus secara sistematik dan berkesan.

[Disiarkan oleh Utusan Malaysia : 27 November 2010]

Sunday, November 21, 2010

HAYAT PKR TIBA KE PENGHUJUNGNYA?



Ruhanie Ahmad


Rakyat Malaysia mengetahui susur-galur sejarah kemunculan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Oleh itu, mereka perlu mengaudit gelagat PKR dan karenah perilaku kepimpinan tertingginya mutakhir ini untuk memastikan ianya parti bermaruah atau sebaliknya.

Gelagat paling terakhir yang patut diaudit adalah episod pemimpin PKR keluar parti dan kisah baling-membaling kerusi dalam mesyuarat tahunan PKR baru-baru ini.

Gelagat ini merupakan elemen baru dalam perjuangan PKR yang mendakwa sebagai jaguh demokrasi par excellence di Malaysia.

Tetapi, kisah perilaku kepimpinan tertinggi PKR adalah episod sensasi paling terkini yang mesti diaudit oleh rakyat Malaysia.

Sebuah akhbar Australia menyiarkan berita sekumpulan Ahli Parlimen dan Senator Australia mendesak Malaysia menggugurkan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim atas nama demokrasi dan hak asasi kemanusiaan.

Laporan penuh Australian politicians lodge protest for sodomy trial against Anwar Ibrahim to be dropped boleh diakses di sini:

http://www.theaustralian.com.au/news/world/australian-lawmakers-lodge-portest-for-sodomy-trial-against-anwar-ibrahim-to-be-dropped/story-e6frg6so-1225829761369

Rakyat Malaysia, khususnya anggota PKR dan anggota PAS, perlu mengaudit berita ini dengan teliti. Mereka juga perlu memahami mesej di sebaliknya.

Satu lagi berita membabitkan Datuk Seri Anwar adalah Malaysian opposition leader Anwar Ibrahim has urged the Gillard government to step up pressure against his homeland yang juga terbit di Australia baru-baru ini. Berita sepenuhnya seperti berikut:

http://www.theaustralian.com.au/news/world/anwar-ibrahim-pleads-for-support/story-e6frg6so-1225953433729

Sesudah membaca kedua-dua berita di atas, seluruh rakyat Malaysia, terutamanya ahli PKR dan PAS, buatlah proses pengauditan tehadap PKR dan pemimpin tertingginya secara kritis, ikhlas dan jujur menerusi kerangka minda yang sejati.

Berikutnya, tepuk dada dan tanya selera masing-masing, adakah atas nama demokrasi dan hak asasi manusia, Malaysia boleh mengizinkan amalan liwat dihalalkan di negara ini?

Lantas, adakah fitnah jika dikatakan maruah politik PKR mutakhir ini sedang dicemari berita-berita seperti di atas?

Adakah hasutan jika dicadangankan supaya anggota PKR mendesak perhimpunan agungnya tahun ini untuk menyingkirkan sesiapa sahaja pemimpinnya yang mencemari nama baik partinya?

Dan, adakah hasutan jika dicadangkan supaya seluruh anggota PKR bangkit mendesak kepimpinan tertinggi partinya untuk mendefinisikan corak perjuangan PKR, sama ada ia parti multiracial, parti demokrasi liberal, atau parti yang tidak mempunyai sebarang corak dan warna perjuangan yang khusus bagaikan pelangi yang indah dalam kesementaraannya.

Perhimpunan agung PKR akan diadakan tidak lama lagi. Ini merupakan detik terbaik untuk ahli-ahli PKR menuntut proses pendefinisian ini dilakukan. Ini juga waktu terbaik untuk menyingkirkan mana-mana pemimpin parti yang songsang perilakunya.

Jika tidak, PKR akan terus digerhanai oleh publisiti negatif mengenai kesongsangan perilaku politik dan peribadi. Dan, kesembronoan inilah yang mungkin mentalqinkan PKR tidak lama lagi.