Sunday, January 20, 2008

Apakah Kata Abdullah
Kepada Warga UMNO?

PWTC, 2.00 petang, Selasa, 22 Januari 2008, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan berdepan dengan kira-kira 4000 warga kepimpinan UMNO peringkat negeri dan bahagian dari seluruh negara untuk membincangkan isu PRU12.

Apakah mauduk pertemuan itu? PRU12 sudah hampir tiba? PRU12 lama lagi tarikhnya? Proses pemilihan UMNO peringkat bahagian dan pusat bagi semua peringkat yang sudah ditangguhkan sekian lama akan ditangguhkan lagi sehingga selesai PRU12?

Adakah Abdullah akan memberi kata dua kepada warga kepimpinan UMNO bahawa beberapa orang menteri, timbalan menteri, menteri besar, ketua menteri, exco negeri, ahli parlimen dan adun akan dipesarakan menerusi PRU12?

Orang Luar

Mungkinkah Presiden UMNO itu akan merayu kepada seluruh hadirin supaya menerima sesiapa sahaja yang diketengahkan oleh pucuk pimpinan BN sebagai calon di kawasan masing-masing, waima “orang luar atau orang dalam,” waima muka baru atau darah muda?

Beranikah Abdullah berterus terang kepada warga kepimpinan UMNO bahawa keadaan “gelanggang perang” di beberapa negeri mutakhir ini agak suram kepada UMNO dan BN akibat beberapa kelemahan UMNO sendiri di semua peringkat?

Atau, adakah pertemuan itu sekadar satu taklimat biasa untuk membolehkan Abdullah menghuraikan soal-soal sosio-ekonomi dan politik tanah air menjelang PRU12 dengan fokus kepada propaganda koridor pembangunan wilayah, kenaikan harga barang keperluan tidak dapat dielakkan kerana mekanisme pasaran, pembangkang dalam keadaan lemas, UMNO dan BN sentiasa cergas, dan status quo peratusan kemenangan BN dalam PRU12 kelak masih lagi menjulang manifesto cemerlang, gemilang, terbilang?

Reality Check

Pendek kata, mungkinkah banyak “sampah dan nanah” yang akan terus disorokkan ke bawah karpet, atau Abdullah akan secara ikhlas merungkai dada dan hatinya mengenai situasi sebenar yang menyelubungi UMNO dan BN ketika ini?

Akhir sekali, beranikah Abdullah mengulangi kata-katanya November 2007, bahawa “saya pantang dicabar” sambil menghentak-hentak rostrum di hadapannya?

Apa pun yang akan disuarakan oleh Abdullah, saya tetap kirimkan salam perjuangan yang abadi kepada seluruh hadirin, dengan harapan Abdullah kini mulai insaf bahawa UMNO di era kepimpinannya memang telah menyebabkan banyak pihak memendam rasa bagaikan api di dalam sekam akibat keengganannya membuat relity check ke atas dirinya sendiri selama ini! – Ruhanie Ahmad

4 comments:

Kamalkamal said...

Datuk,

Walaupun terdapat pelbagai spekulasi mengenai Pilihan Raya Umum ke-12 dan pelbagai aturcara disusun oleh pelbagai parti sebagai persediaan PRU, namun keputusan muktamat terletak ditangan PM. Samada beliau hendak menangguhkan pemilihan UMNO ataupun menangguhkan PRU. Apa yang pasti PRU akan tiba jua, yang penting bagaimana kita hendak menyediakan diri kita untuk menghadapi PRU akan datang. Apakah kita masih mahu BN memerintah dengan kuasa majoriti melebihi 2/3 di Parlimen ataupun sebaliknya.

Dalam situasi semasa hari ini amat sukar berlakunya pertukaran kerajaan memerintah walaupun PRU diadakan dalam masa terdekat. Apa yang boleh dilaksanakan hanya mengurangkan majoriti BN di Parlimen dan menafikan penguasaan 2/3 di Parlimen. Bila keadaan ini berlaku kerajaan tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya dalam menanggani masalah rakyat.

Jadikan sejarah PRU 1999 sebagai iktibar, dimana BN kehilangan banyak kerusi di Parlimen dan juga DUN. Kesan kehilangan banyak kerusi tersebut akan memberi banyak faedah kepada rakyat. Biarlah kekayaan negara diagihkan seimbang, bukan hanya dibolot oleh kumpulan tertentu sahaja.

HELICONIA said...

Satu kemungkinan :

Isu DVD seks dan pembunuhan berlaku di Johor, di mana di situlah simboliknya suatu kejatuhan.

UMNO juga diasaskan di Johor.

politica said...

Kalau saya jadi Dolah, saya akan kata begini: Saudara-saudari sekalian, atas nama kasih sayang saya kepada UMNO, dengan ini saya umumkan bahawa saya akan mengundurkan diri dari parti dan kerajaan menerusi PRU ke-12.....

kudakepang said...

Kamal, HELICONIA dan Politica, terima kasih kerana terus mengunjungi KK.

Kamal: Memang satu kemungkinan yang boleh berlaku dalam PRU 12 adalah seperti komen anda iaitu rakyat mungkin bertindak “mengurangkan majoriti BN di Parlimen dan menafikan penguasaan 2/3 di Parlimen.” Kalau boleh, ini tidak perlu berlaku. Tapi ada syaratnya. Sebelum membubarkan Parlimen Abdullah kenalah kaji balik berapa peratuskah janji-janjinya yang sudah ditunaikan. Dan, dia juga kena buat satu tindakan drastic terhadap menantunya.

HELICONIA: Seluruh DVD skandal politikus ketika ini mungkin dilakukan oleh satu komplot tertentu.

Politica: Anda bukannya Abdullah. Dalam manifesto BN PRU 11 Abdullah muatkan puisinya Damai Abadi di mana dia tak mau cari harta bertimbun atau kawan untuk berfoya-foya.. Waktu tu, rakyat happy. Hari ini adakah semangat puisi itu masih relevan? Hari ini adakah mustahil kalau ada rakyat tidak lagi mempercayai kata-kata “yang ku cari bukan harta bertimbun-timbun”?

Salam takzim dan selamat berjuang. – Ruhanie