Thursday, January 10, 2008

Bahagian Akhir:
PAKATAN HINDRAF - KHAIRY
MATLAMAT HALALKAN CARA?

Ini adalah siri terakhir dalam kisah Pakatan Hindraf-Khairy: Matlamat Halalkan Cara? Berasaskan enam siri sebelum ini, cubalah sama-sama kita fikirkan, tidak mungkinkah para pegawai Abdullah dan menantunya mula menyiapkan rancangan demonstrasi Hindraf sebaik sahaja mereka mendapat tahu bahawa Bersih akan mengadakan satu perhimpunan besar di Kuala Lumpur? Oleh kerana ura-ura perhimpunan Bersih itu mula diketahui umum pada pertengahan bulan Ramadhan, tidak mungkinkah pada ketika itu juga menantu Abdullah mula mengadakan pertemuan sulit dengan Hindraf? Kalau tidak begitu, mengapakah Khairy tidak menafikan tulisan Anak Jati Rembau yang mendakwa Khairy mengadakan pertemuan sulit dengan Uthayakumar? Mengapakah sehingga hari ini Khairy tidak menyerang Anak Jati Rembau?

Oleh itu, walaupun tidak ada bukti nyata mengenai konspirasi Khairy dan Hindraf, tidak cukupkah seluruh penghujjahan dalam enam siri sebelum ini mendorong rakyat jelata mengambil kesimpulan bahawa kesemua tindakan “matlamat menghalalkan cara” yang dihuraikan dalam siri ini membuktikan bahawa demonstrasi Hindraf adalah ciptaan kelompok Abdullah?

Jika tidak, mengapakah Hindraf yang dikatakan mempunyai kaitan dengan teroris antarabangsa tidak disiasat hingga ke akar umbi untuk membuktikan tuduhan tersebut? Jika tidak, mengapakah pemimpin Hindraf yang dituduh sebagai melakukan pengkhianatan tahap tertinggi hanya ditahan bawah ISA mengikut Seksyen 8?

Mengapakah pemimpin Hindraf tidak ditahan di bawah Seksyen 73 supaya mereka boleh disiasat oleh pihak Polis secara habis-habisan untuk membolehkan kerajaan membentangkan satu kertas putih di Parlimen Malaysia bagi membuktikan Hindraf adalah sekutu terois asing dan pemimpin Hindraf pula memang telah melakukan pengknianatan tahap tertinggi kepada negara?

Kuasa Asing

Sebenarnya terdapat banyak lagi persoalan yang boleh menjurus kepada konspirasi di sebalik demonstrasi Hindraf ini. Tetapi, hampir keseluruhan persoalan tersebut hanya memfokus kepada konspirasi Hindraf dengan kelompok Abdullah yang dipercayai mengheret nama UMNO. Tidak ada banyak pihak yang dapat membaca kalau-kalau proksi Abdullah mungkin juga berkonspirasi dengan Hindraf atas galakan dan bimbingan pihak ketiga yang terdiri daripada elemen-elemen kuasa asing dan negara asing tertentu.

Andaian ini tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Ini kerana bukankah desas-desus selama ini mengatakan bahawa sekelompok pegawai Abdullah dan orang kuat Abdullah adalah proksi kepada sesuatu elemen asing dan negara asing tertentu?

Untuk memahami andaian ini, cuba bayangkan senario seperti berikut:

Kalaulah akibat provokasi Hindraf baru-baru ini tercetus pertumpahan darah antara orang Melayu dan kaum India serta antara umat Islam dengan penganut Hindu, siapakah pihak yang akan mengaut keuntungan daripada tragedi berkenaan? Pihak ketiga? Siapakah pihak ketiga ini? Pihak yang selama ini dikatakan telah menguasai sekelompok pegawai peribadi Abdullah dan orang kuat Abdullah?

Tetapi, oleh kerana provokasi itu terbukti tidak menyebabkan pertumpahan darah, tetapi orang Melayu dan umat Islam terus menyokong padu Abdullah sehingga beliau mungkin berjaya memenangi PRU ke-12 dan kembali berkuasa sebagai Perdana Menteri selepas itu, siapakah yang akan mengaut keuntungan besar di sebalik kekuasaan Abdullah? Pihak ketiga? Siapakah mereka? Pihak yang selama ini dikatakan telah menguasai sekelompok pegawai peribadi Abdullah dan orang kuat Abdullah?

Mengapakah salah satu tuntutan terbaru Hindraf adalah meminta diwujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri Kedua yang perlu diisi oleh keturunan bukan Melayu? Kenapakah Hindraf juga menuntut supaya jawatan Menteri Kewangan Kedua diberikan kepada keturunan Cina? Siapakah yang mengarahkan Hindraf berbuat begitu? Pihak ketiga? Siapakah pihak ketiga ini? Pihak yang selama ini dikatakan mempunyai talibarutnya di kalangan sekelompok pegawai dan orang kuat Abdullah? Kalau tidak, mana mungkin Hindraf yang mendakwa sebagai pejuang kaum India, meminta jawatan Menteri Kewangan Kedua diberikan kepada kaum Cina? Mengapakah tidak dituntut untuk diberikan kepada keturunan India?

Publisiti

Beberapa hari sebelum demonstrasi Hindraf, salah seorang pemimpinnya telah berkunjung ke sebuah negara asing tertentu dan membuat kenyataan akhbar bahawa beliau tidak dapat menduga kalau tidak ada keganasan dalam demonstrasi yang akan dianjurkan. Apakah muslihat di sebalik kunjungan tersebut?

Pemimpin Hindraf ini juga kembali berkunjung ke negara asing tertentu yang sama setelah Hindraf berdemonstrasi. Sekali lagi beliau diberi publisiti media di negara berkenaan. Tidakkah ini menimbulkan persoalan-persoalan kemungkinan kaitan demonstrasi Hindraf dengan elemen asing, menerusi proksinya yang dikatakan berada dalam kalangan sekelomok pegawai Abdullah dan orang kuat Abdullah?

Pada waktu yang sama, media cetak dan media elektronik di negara asing berkenaan telah memberikan liputan berita yang luas kepada demonstrasi Hindraf dan kenyataan-kenyataan pemimpin Hindraf. Mengapakah begitu? Adakah udang di sebalik batu?

Sebaik sahaja Hindraf berdemonstrasi, seorang pemimpinnya dijadikan duta untuk melobi sokongan dan simpati di luar negara. Sewaktu pemimpin Hindraf itu berada di India, dia menemui Ketua Pembangkang di negara berkenaan. Seorang menteri kanan dari sebuah negara asing tertentu berada di India pada tempoh yang sama. Beliau juga membuat kunjungan hormat kepada Ketua Pembangkang yang sama dan diberitakan, antara lainnya, menteri kanan itu turut menyorot kisah Hindraf di Malaysia. Adakah ini satu kebetulan sahaja?

Penutup

Tidakkah seluruh senario di atas menjentik pemikiran dan imajinasi kita semua bahawa tindakan “matlamat menghalalkan cara” yang dilakukan oleh kelompok Abdullah mungkin didalangi oleh elemen-elemen asing dan sebuah negara asing tertentu seperti di atas?

Maka, berasaskan seluruh hujjah di atas, walaupun saya seorang ahli UMNO, saya tetap tidak mahu rakyat jelata Malaysia terus dipesongkan dengan tuduhan melulu kononnya demonstrasi Hindraf adalah angkara dalang daripada pihak pembangkang. Sebaliknya, tanyalah diri sendiri, tidak mungkinkah demonstrasi itu angkara pihak yang sedang lemas dan terkapai-kapai?

Bukankah ini sebabnya maka pihak terbabit telah melaksanakan tindakan “matlamat menghalalkan cara” menerusi perbuatan mendalangi demonstrasi Hindraf? Tidak mungkin jugakah tindakan itu sebenar-benarnya didalangi oleh sebuah negara asing tertentu yang didesas-desuskan selama ini sebagai sedang memanjangkan agendanya di Malaysia di era kepimpinan Abdullah?

Oleh itu, imbaslah kembali kenyataan Anak Jati Rembau yang mengatakan “saya berharap agar orang Melayu tidak lagi bodoh dan membiarkan diri mereka diperalatkan oleh segelintir pihak yang hanya gila kepada wang dan kekuasaan.”

Oleh itu juga, fikir-fikirkanlah dengan penuh bijaksana, tidak mungkinkah demonstrasi Hindraf adalah satu tindakan “matlamat menghalalkan cara” yang amat klasik di Malaysia kerana sekaligus ia memenuhi cita-cita kelompok Abdullah, dan juga memenuhi agenda rahsia elemen-elemen asing tertentu dan sebuah negara asing tertentu di abad ke-21? – Ruhanie Ahmad

3 comments:

ibn_nukman said...

Assalamualaikum, Dato`.

Saya rasa pembunuhan ADUN MIC dari johor itu juga merupakan satu konspirasi bagi membangkitkan politik perkauman dan ketakutan dikalangan rakyat supaya terus mendakap BN. ini juga mungkin rentetan perancangan mereka yang bijak itu selepas himpunan hindraf, dan penangkapan dan kenakan ISA kepada pemimpinan yang terlibat dengan himpunan tanpa permit polis. saya rasa mereka masih kata "rakyat masih bodoh" sedangkan mereka tertipu dengan andaian mereka itu.

kudakepang said...

Saudara Ibn_Nukman, selamat datang ke kuda kepang dan terima kasih.

Di zaman ini memang banyak komplot dan persekongkolan. Semoga kepimpinan kita insaf dan bertindak mencegahnya.

Salam takzim.

Hashim Bin Kalil said...

Saya kecewa dengan Pak Lah yang sejak kebelakangan ini terlalu berlembut dan memberi muka kepada golongan minoriti India. Kuil mereka jauh lebih banyak daripada masjid dan surau kita. Entah berapa banyaklah peruntukkan yang diberikan kepada kuil berbanding dengan masjid dan surau.

Sekarang, ni Batu Caves sudah pun dihiasi dengan patung berhala yang amat besar. Kita masih bertolak ansur.

Tetapi apabila Samy Vellu mohon cuti untuk seluruh negara. Pak Lah mula mempertimbangkan untuk meluluskan cuti tersebut. Semata-mata kononnya untuk menjaga hati dan perasaan orang India.

Penduduk di Kajang Perdana mohon surau untuk memudahkan muzakarah dan mengeratkan ukhwah tidak pula diluluskan. Alasannya masjid sudah ada. Surau memainkan peranan untuk merapatkan persaudaraan penduduk kawasan tidak pula diambil kira.

Apa sudah jadi dengan Islam Hadhari? Perkampungan Islam? Silap-silap haribulan tertukar jadi Hindu Hadhari atau Perkampungan Hindu.

13 orang ahli kumpulan Hindraf dibebaskan daripada pendakwaan. Alasannya mereka ini jahil dan tertipu. Sedangkan beberapa peringatan telah pun diberikan oleh menteri-menteri tentang perhimpunan haram Hindraf. Malahan pihak polis juga turut memeberi amaran keras sebelum perhimpunan itu. Tup tup..... aje maafkan mereka diterima dengan mudah. Negara kita kucar-kacir. Anggota polis kita tercedera. 13 orang ahli Hindraf dimaafkan Pak Lah begitu mudah.

Di manakah ketegasan Pak Lah? Boleh menerima maaf golongan pengganas dengan mudah?