Monday, March 31, 2008

Ahmad Angkat Sumpah Sebagai Menteri Besar Terengganu

KUALA TERENGGANU, 30 Mac (Bernama) -- Datuk Ahmad Said hari Ahad mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru dan sekaligus mengakhiri krisis pelantikan Menteri Besar negeri ini yang berlarutan sejak 10 Mac.

Kesemua 22 anggota Dewan Undangan Negeri (Adun), yang sebelum ini tidak menyokong pelantikannya serta bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh, yang dinamakan sebagai Menteri Besar oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, menghadiri majlis angkat sumpah hari ini.

Istiadat di hadapan Pemangku Sultan Terengganu Tengku Muhammad Ismail Tuanku Mizan Zainal Abidin, berlangsung di Balairong Seri, Istana Maziah di sini, tiga hari selepas Majlis Tertinggi (MT) Umno membuat keputusan menyokong pelantikan Ahmad sebagai Menteri Besar oleh Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Terengganu.

Lagi:http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=323533

Saturday, March 29, 2008

Khairy Kahwini Cucu Lee Kuan Yew?

Ramai pengunjung blog ini agak kurang puas membaca posting saya mengenai Azalina Othman Said yang saya tulis secara lambang-lambang dan kenen-kenen sahaja.

Sebenarnya, dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada petang 27 Mac 2007, salah satu kisah yang disorot adalah mengenai perlantikan Menteri Besar Terengganu.

Azalina dikatakan turut bersuara mengenai perkara ini. Blog ini difahamkan, antara perkataan Azalina yang melekat di benak beberapa ahli MT adalah kisah sesetengah raja kononnya hanya tau “naik kuda turun kuda” sahaja. Kalau nak tau kisah selanjutnya, tanyalah pada Azalina sendiri.

Bagaimanapun, berikut ini adalah satu komen kiriman Azam yang baru saya terima sebentar tadi. Kisah ini mengenai Khairy Jamaluddin, sahabat baik Azalina. Komen sepenuhnya adalah seperti berikut:

Lama sudah saya tak muncul di ruang maya. Saya kecewa dengan tindakan Abdullah Badawi yang tak sensitif kepada tuntutan rakyat supaya dia letak jawatan Perdana Menteri Malaysia. Sebab itu saya malas nak bersuara lagi pasal Abdullah.

Ini satu berita pasal menantu Abdullah. Saya nak sahabat-sahabat lain tolong pastikan kebenarannya. Saya dapat info Khairy Jamaluddin dah mengahwini cucu Lee Kuan Yew di Singapura. Adakah ini betul atau fitnah? Kalau betul, bila? Kalau fitnah, mengapa tersebar kisah ini?

Saya suarakan ura-ura di sini kerna kalau betul Khairy kahwin dengan cucu LKY, ini mengesahkan hubungan intim dia dengan Singapura selama ini. Saya rasa ini bahaya bagi kita.

Saya juga diberitahu seorang rakan di Kuala Lumpur, Khairy akan menikahi akres genit yang selama ini digosipkan ada hubungan intim dengan Ahli Parlimen Rembau ini. Kata kawan saya, seorang pereka fesyen di KLCC dengan bangganya memberitahu banyak pihak yang dia sedang menyiapkan beberapa pasang baju perkahwinan aktres itu yang berharga berpuluh ribu. Sekali lagi, ini betul atau fitnah? Kalau betul, bila? Kalau fitnah, mengapa tersebar khabar ini?

Saya minta pengunjung kuda-kepang bantu saya dapatkan kepastian kedua-dua ura-ura di atas. Khairy orang penting negara. Apa terjadi pada dirinya tentu perlu diketahui semua rakyat Malaysia. - AZAM, 10:39 PM

Saya seperti Azam. Saya tak pasti sama ada kisah Khairy ini benar atau sebaliknya. – Ruhanie Ahmad
Azalina, Kuda Dan Air Mata Buaya

Dalam sehari dua ini, sesiapa sahaja antara kita yang ketemu dengan Menteri Pelancongan, Azalina Othman Said, harap minta dia ceritakan semula kisah penglipur laranya berjodol “naik kuda turun kuda.” Tanya juga kepadanya, sama ada dia menyaksikan babak-babak seorang tua mencucurkan air mata buaya kerana kononnya si tua itu sedang dilanda duka nestapa.

Saya pasti Azalina akan terkejut monyet. Dia pasti akan jadi begitu kerana baru petang semalam dia bercerita mengenai kisah “naik kuda turun kuda” tersebut dengan penuh semangat yang meletus daripada roh dan jiwanya.

Azalina pasti akan terkejut monyet kerana baru semalam juga dia menyaksikan babak-babak air mata buaya bercucuran!

Jika Azalina tak mau bercerita mengenai kedua-dua kisah ini, beritahu dia bahawa ramai rakyat Malaysia yang sebenarnya sudah tau mengenainya.

Kalau Azalina tanya, dari mana kita tau mengenai kedua-dua kisah di atas, kita beritahu dia: “kami tau apa yang anda ceritakan kepada sekumpulan manusia pada petang 27 Mac 2008.”

Sendainya Azalina terus mendesak kita mengenai hal berkenaan, beritahu dia bahawa kita tahu apa yang dia ceritakan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO petang semalam. Dan, tanya dia lagi, betul atau tidak dia ada bercerita mengenai kisah “naik kuda turun kuda”?

Akhir sekali kita bacakan kepada Azalina sekerat daripada posting blogger Ketua Perusuh seperti berikut:

Bagi kes MB Terengganu, yang mana Sultan Terengganu (Sultan Mizan Zainal Abidin) bukanlah cuma Sultan bagi Negeri Terengganu Darul Iman, namun Bagindalah juga YDP Agong Malaysia. Oleh yang demikian, bagi tindakan menghina atau menderhaka, bolehlah dikenakan mana-mana satu daripada berikut:

1. Hukuman Mati Mandatori
2. Buang Negeri (atas dasar Sultan Mizan Zainal Abidin adalah Pemerintah Negeri Terengganu)
3. Buang Negara (atas dasar Sultan Mizan Zainal Abidin adalah YDP Agong Malaysia)

Jika Azalina buat-buat tak faham mengapakah dia mesti mengetahui akan wujudnya hukuman-hukuman di atas, tanya dia semula, benar atau tidak semalam dia bercerita tentang kisah “naik kuda turun kuda” dalam konteks apa yang telah terjadi di Terengganu baru-baru ini? Kalau dia insaf akan hakikat ini, waspadalah!

Buat orang tua yang mencucurkan air mata buaya petang semalam, kita harap dia juga baca keratan posting Ketua Perusuh seperti diatas. Dan, tanya juga kepada orang tua terrbabit, adakah hukuman-hukuman di atas yang akhirnya merobah pendirian banyak pihak sehingga YAB Ahmad Said diterima sebagai Menteri Besar Terengganu?
DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU!!! – Ruhanie Ahmad

Thursday, March 27, 2008

Timbalan Menteri Alam Sekitar
Sekitar Meletakkan Jawatannya

Timbalan Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar, Datuk Abdul Ghapur Salleh, daripada Sabah, meletakkan jawatan berkenaan malam tadi.

Beliau merupakan Timbalan Menteri yang pertama sekali meletakkan jawatan setelah mengangkat sumpah baru-baru ini.

Blog ini difahamkan bahawa Datuk Ghapur bertindak sedemikian bukannya atas motivasi wang ringgit. Ini bermakna beliau tidak “dibeli” oleh mana-mana pihak.

Sebaliknya, adalah dipercayai bahawa tindakannya lebih kepada usaha memberikan tekanan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya meletakkan jawatan Perdana Menteri dan lain-lain jawatan politiknya.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Anifah Aman, juga dari Sabah, dan Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar, dari Pahang, menolak perlantikan masing-masing sejurus nama mereka diumumkan.

Blog ini difahamkan beberapa lagi Timbalan Menteri sedang diperingkat akhir membuat keputusan seperti Datuk Ghapur. – Ruhanie Ahmad

Perkembangan Mutakhir
Mungkin Menggemparkan?

Sumber-sumber memberitahu blog ini sebentar tadi bahawa beberapa perkembangan politik menggemparkan mungkin berlaku di Malaysia dalam tempoh sehari dua ini.

Perkembangan ini dikatakan mungkin membawa impak besar kepada status Barisan Nasional (BN) dan juga Barisan Rakyat (BR) di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia.

Bagaimanapun, buat setakat ini saya dapati tidak wajar untuk membuat apa-apa spekulasi mengenainya. Lantas, wajar kita ikuti perkembangan selanjutnya dengan cermat, sabar dan tenang.

Sementara itu, sumber-sumber lain pula memberitahu blog ini bahawa Majlis Tetinggi UMNO Malaysia akan bermesyuarat jam 3.00 petang ini. Agenda dijangka berkisar sekitar perkembangan politik semasa yang membabitkan UMNO secara khusus dan politik negara secara umumnya.

Tengku Razaleigh Hamzah pula dijangka menghadiri satu majlis makan tengah hari bersama sekumpulan pemimpin UMNO di Kuala Lumpur. – Ruhanie Ahmad

Wednesday, March 26, 2008

Hilang Gelap Timbul Terang!

Syukur Alhamdulillah. Tanda-tanda awal menunjukkan bahawa gerhana siasah yang kita lalui mutakhir ini mungkin segera berlalu menjadi satu titik sejarah malang yang akan kita wariskan kepada generasi mendatang supaya menjadi iktibar dalam perjuangan mereka di hari muka demi agma, bangsa dan negara.

Nampak gayanya, angan-angan blogger Hamizi yang diluahkan menerusi blog ini kira-kira sembilan bulan yang lalu, mungkin jadi kenyataan. [sila rujuk kepada siri Tengku Razaleigh Muncul Sesudah Gerhana yang saya ulang siar dua tiga hari yang lalu untuk merincikan angan-angan Hamizi yang saya maksudkan.]

Mudah-mudahan, hilang gelap timbul terang. Dan seluruh rakyat jelata pun akan menginsafi serta menghayati erti yang terselindung di sebalik kelima-lima prinsip Rukunegara, dan juga menginsafi serta menghayati erti demokrasi dalam konteks Malaysia tercinta.

Semoga gerhana yang kita lalui baru-baru ini akan mendewasakan kita selaku rakyat dan pemimpin bahawa perjuangan kita biar selamanya jujur, ikhlas dan kerana Allah. Mudah-mudahan cahaya terang yang akan kembali bersinar juga akan memandu kita ke arah perjuangan yang sentiasa lurus dan diredhai Allah SWT. Insya Allah.

DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU!!! – Ruhanie Ahmad
Abdullah Sudah Mengadap Agong

Saya baru sahaja selesai melayari beberapa blogs sahabat-sahabat seperjuangan. Banyak yang meramalkan bahawa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sedang berusaha untuk mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Berdasarkan maklumat yang saya terima daripada beberapa sumber yang berwibawa, Abdullah sebenarnya sudah pun mengadap Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur, pada kira-kira jam 6.30 petang, 25 Mac 2008.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pula diberitakan telah mengadap Baginda pada tengahari 24 Mac 2008.

Dan, seorang lagi tokoh UMNO yang kini dikatakan sebagai “the man on the spot” dipercayai mengadap Baginda selepas Abdullah pada senja 25 Mac 2008.

Berdasarkan info inilah saya membuat posting Percaturan Politik Malaysia Terkini: Adakah Sesuatu Sedang Menggelegak?

Selanjutnya, saya serahkan kepada kebijaksanaan dan imajinasi anda untuk meneruskan plot kisah ini. Sebagaimana saya tegaskan secara riddle dalam posting sebelum ini, “segala-galanya adalah demi masa depan dan demi kesejahteraan rakyat dan negara Malaysia seluruhnya - untuk menjernihkan suasana, untuk meleraikan kekusutan dan paling penting lagi utama, semoga aspirasi rakyat jelata menerusi PRU12 dihormati selaras dengan tuntutan sistem demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan!”

Oleh itu, sama-samalah kita tunggu perkembangan selanjutnya dengan penuh sabar. Sama-samalah juga kita panjatkan doa ke hadrat Illahi semoga segala-galanya beroleh restu, hidayah dan petunjuk menuju ke arah perjuangan yang lurus dan diredhaiNya. Insya Allah! – Ruhanie Ahmad

Tuesday, March 25, 2008

Percaturan Politik Malaysia Terkini:
Adakah Sesuatu Sedang Menggelegak?

Saya mendapat berita bahawa mulai tengahari semalam, pada dua tempoh waktu tertentu sebelah petang hari ini, dan dijangka bersambung lagi esok, terdapat beberapa percaturan aktif yang berlaku terhadap siasah dan kepimpinan negara yang mungkin membabitkan BN dan UMNO.

Bagaimanapun, saya rasa wajar untuk mentawakufkan dulu penyiaran apa jua info yang saya ketahui setakat ini. Saya sekadar boleh kongsikan dengan seluruh pengunjung blog ini bahawa segala-galanya adalah demi masa depan dan demi kesejahteraan rakyat dan negara Malaysia seluruhnya.

Kalau anda ingin tahu siapakah yang terlibat dengan percaturan ini, jawab saya adalah: semua pihak yang seharusnya terlibat, katanya, memang sudah dilibatkan. Matlamatnya? Untuk menjernihkan suasana, untuk meleraikan kekusutan dan paling penting lagi utama, semoga aspirasi rakyat jelata menerusi PRU12 dihormati selaras dengan tuntutan sistem demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan!

Sama-samalah kita tunggu perkembangan selanjutnya dengan penuh sabar. Sama-samalah juga kita panjatkan doa ke hadrat Illahi semoga segala-galanya beroleh restu, hidayah dan petunjuk menuju ke arah perjuangan yang lurus dan diredhaiNya. Insya Allah! – Ruhanie Ahmad
Renungan Buat Rakyat Malaysia

Hari ini saya kirimkan dokumen Rukunegara untuk renungan seluruh warga siber Malaysia dengan nota “saya harap ramai-ramai kita downloadkan dokumen ini dan kirimkan kepada seluruh pihak yang terbukti sedang menderhaka kepada Raja-Raja Melayu pada ketika ini. DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU!”

Saya berbuat demikian kerana prinsip kedua Rukunegara adalah “KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA.” Prinsip ini dimaktubkan sedemikian rupa kerana Raja-Raja Melayu dan institusinya adalah sendi utama kepada sistem pemerintahan demokrasi berparlimen di Malaysia. Ini juga kerana Raja-Raja Melayu dan institusinya adalah payung makhota kepada kesejahteraan, keharmonian dan kedamaian rakyat jelata seluruhnya.

Pada waktu yang sama, oleh kerana kekusutan yang sedang berlaku di Terengganu hari ini adalah membabitkan UMNO selaku tulangbelakang Barisan Nasional (BN), wajarlah pihak-pihak yang terbabit merujuk kepada Perlembagaan UMNO. Rujuklah kepada Fasal 3 perlembagaan tersebut seperti berikut:

FASAL 3

ASAS DAN TUJUAN

UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruh dan martabat bangsa, agama dan negara.

3.1 Mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.

3.2 Mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-negeri dan Raja Berpelembagaan.
3.3 Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebangsaan beragama.

3.4 Mempertahankan kedaulatan rakyat dan keadilan sosial dengan mengamalkan Sistem Pemerintahan Demokrasi Berparlimen serta memajukan ekonomi rakyat Melayu dan Bumiputera khasnya dan rakyat Malaysia amnya.

3.5 Menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan Kebudayaan Melayu.

3.6 Mewujudkan kerjasama antara kaum bagi melahirkan satu bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu berasaskan kepada hak-hak Asasi Manusia dan Hak-Hak Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera.


Sesudah itu, bacalah Fasal 3(2) yang menyatakan bahawa antara asas dan tujuan perjuangan UMNO adalah “Mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-negeri dan Raja Berpelembagaan.”

Sila baca Fasal 3(2) ini secara berulang kali sehingga semangat, roh dan jiwanya menggelorakan keinsafan kepada kita semua. Sesudah itu, tanya diri kita, adakah Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, insaf bahawa apa yang beliau lakukan pada hari ini, dalam konteks kemelut Menteri Besar Terengganu, mencanggahi Perlembagaan UMNO?

Seterusnya, tanyalah kepada pihak UMNO yang merentangkan banner dengan kata-kata: “Kami Mahu Idris, Natang” dengan soalan tegas, siapakah yang mereka maksudkan “NATANG atau BINATANG?” Kalau mereka jawab, “NATANG” yang dimaksudkan adalah lembu-lembu yang berkeliaran di Jalan Kuala Berang, tak mengapa!

Tapi kalau perkataan “NATANG atau BINATANG” ini ditujukan kepada pihak yang sedang dibantah keputusannya kerana melantik ADUN Kijal, YAB Ahmad Said, selaku Menteri Besar Terengganu, manusia yang derhaka ini mesti “disula” dengan serta merta! Heret mereka ke Balai Polis terdekat dan buat laporan bahawa perbuatan manusia berkenaan adalah satu penderhakaan!

Sesudah itu, kirimkan salinan laporan polis itu kepada Hishamuddin Hussein selaku Ketua Pemuda UMNO dan Khairy Jamaluddin selaku Naibnya. Beritahu kedua-dua “hero?” Melayu ini bahawa inilah waktunya kalau mereka mahu menghunus keris untuk menyula Melayu-Melayu yang derhaka kepada Rajanya!

Dan, jangan lupa kirimkan salinan juga kepada Abdullah. Katakan kepadanya, kalau beliau tidak bertindak tegas untuk menurunkan kain rentang itu, maka beliau perlu diheret sama dalam tuduhan berkenaan kerana bersekongkol dengan Melayu-Melayu derhaka.

Seterusnya, renungkanlah komen seorang pelayar blog ini dengan nama Hang Aku, mengenai apa yang sedang berlaku di Terengganu sekarang, seperti berikut:

Bandingkan dan fikirkan wahai orang yang berfikir:

1) DAP biadap kerana cuba boikot majlis angkat sumpah MB Perak. Tapi, UMNO tak biadap bila nak boikot majlis angkat sumpah MB Terengganu?

2) Datuk Ahmad Said (Terengganu) akan dipecat kerana langgar watikah Presiden UMNO. Tapi, Datuk Md. Isa Sabu (Perlis) tak dipecat kerana isu yang sama?

3) Zam (Datuk Seri Zainuddin Maidin, Kedah) diselar oleh pemimpin UMNO kerana komen yang dikatakan tidak benar pasal pembaziran wang dan usaha keras untuk menawan Kelantan. Tapi, Ku Li disuruh rampas Kelantan sebelum cabar Presiden UMNO kerana dikatakan banyak wang dan usaha yang telah digunakan untuk menawan Kelantan tapi gagal. Bazir dan guna...macam sama je maksudnya?

4) Kerajaan baru Perak dikatakan tiada muafakat kerana bertelagah untuk memilih Exco. Tapi, kerajaan Terengganu nak dapat MB pun payah? - Hang Aku: 8:40 PM

Demikianlah renungan untuk kita semua kali ini. Kepada sahabat-sahabat saya di Terengganu, fikir-fikirkanlah mesej di sebalik renungan ini. Kepada Abdullah, undurlah sekarang juga kalau masalah seperti ini pun susah sangat nak diselesaikan. DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU!!!! – Ruhanie Ahmad

Monday, March 24, 2008


RUKUN NEGARA


BAHAWASANYA negara kita Malaysia mendukung cita-cita untuk mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya; memelihara satu cara hidup demokratik; mencipta masyarakat yang adil bagi kemakmuran negara yang akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama; menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai-bagai corak; membina satu masyarakat progesif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden;

MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan prinsip-prinsip yang berikut:

KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
KELUHURAN PERLEMBAGAAN
KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
KESOPANAN DAN KESUSILAAN


Nota: Saya harap ramai-ramai kita downloadkan dokumen di atas dan kirimkan kepada seluruh pihak yang terbukti sedang menderhaka kepada Raja-Raja Melayu pada ketika ini. DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU! – Ruhanie Ahmad

Sunday, March 23, 2008

Pelantikan Ahmad Said Sebagai MB Terengganu Tidak Ikut Perlembagaan, Kata Abdullah

SEPANG, 23 Mac (Bernama) -- Pelantikan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Kijal, Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu dilihat sebagai tidak mengikut Perlembagaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Semua Adun yang bilangannya agak besar itu tetap menyokong Datuk Seri Idris Jusoh. Itu satu perkara yang tidak ada perubahan daripada segi sokongan.

"Dengan itu, maka sebarang lantikan yang dibuat terhadap orang lain itu, tidak kena dengan Perlembagaan," kata Abdullah ketika diminta mengulas mengenai tindakan 22 Adun daripada Barisan Nasional (BN) Terengganu yang membantah pelantikan Ahmad, Ahad.

Ahmad, 51, menerima watikah perisytiharan pelantikan sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru daripada Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) yang disampaikan oleh Yang Dipertuanya, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman dalam satu upacara tertutup di Istana Tetamu di Kuala Terengganu, Ahad pagi.

Majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar itu bagaimanapun masih belum ditetapkan lagi.

- BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=322195
UMNO Pecat Bakal MB Terengganu?

ADUN Kijal, Terangganu, Datuk Ahmad Said, yang menerima watikah pengisytiharan pelantikannya sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru dalam satu upacara di Istana Terengganu, semalam, hari ini dikatakan telah dipecat daripada UMNO.

Sumber-sumber memberitahu blog ini pada kira-kira 7.00 petang tadi bahawa UMNO Malaysia telah megehantarkan surat pemecatan berkenaan kepada Ahmad hari ini. - Ruhanie Ahmad
Siri Ketiga:

Tengku Razaleigh Hamzah
Muncul Sesudah Gerhana?

Posting saya mengenai Tengku Razaleigh Hamzah siri kedua semalam terus menerima respons warga maya Malaysia. Seperti posting siri satu, ia juga menerima komen yang majoritinya menyokong penuh Tengku Razaleigh bertanding jawatan Presiden UMNO Malaysia demi agama, bangsa dan negara. Bagaimanapun, saya dapat khabar bahawa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang kini dikatakan dalam keadaan serba salah, mungkin akan menundakan proses pemilihan UMNO hingga ke tahun depan. Mungkinkah begitu? Apakah kita semua akan berdiam diri jika Abdullah dan MT UMNO mengambil tindakan sedemikian? Fikir-fikirkanlah secara bijaksana!

Di bawah ini ikutilah siri ketiga mengenai Tengku Razaleigh yang pernah saya siarkan pada 25 Jun 2007. Semoga posting ini terus menggodak minda kita semua ke arah yang positif.

Blogger Hamizi mengirimkan angan-angannya ke blog ini mengenai kepimpinan tertinggi negara. Menerusi angan-angan itu, Hamizi mencadangkan Tengku Razaleigh Hamzah atau Tan Sri Muhyiddin Yassin “mengambilalih jawatan” Perdana Menteri Malaysia.

Angan-angan Hamizi sepenuhnya adalah seperti berikut: “Saya mengharapkan salah seorang daripada dua tokoh ini untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri (angan-angan)... Pertama, Ku Li. Kedua, Muhyiddin Yassin. Insya-Allah.”

Komen di atas mengusik perasaan saya. Lantas, saya jawab: “Banyak perkara bermula dengan angan-angan. Macam mana agaknya jika angan-angan anda jadi kenyataan? Boleh diterima oleh rakyat Malaysia?”

Hamizi menjawab: “Bagi masa sekarang, saya rasa rakyat Malaysia boleh menerima mereka. Cuma persoalan besarnya, adakah UMNO boleh menerimanya kerana ada orang lain yang sudah lama mengintai kedudukan nombor satu dan dua ini akan mula menggunakan taktik cantas-mencantas.”

Saya tidak memberikan reaksi lanjut kepada komen tersebut. Ini kerana saya tidak termampu untuk menjawab pertanyaan beliau sama ada angan-angan beliau itu akan diterima oleh orang-orang UMNO.

Lantaran itulah saya poskan angan-angan tersebut ke blog ini untuk dikongsikan oleh seluruh warga maya Malaysia. Moga-moga anda dapat membantu untuk menjawab kemusykilan hati kecil Hamizi seperti di atas.

Angan-angan yang dicetuskan oleh Hamizi mendapat sambutan hangat dan menarik. Ramai warga maya Malaysia pun membicarakan semula ‘teori’ R.A.H.M.A.N yang selama ini dikaitkan dengan susunan keperdanamenterian Malaysia.

‘Teori’ R.A.H.M.A.N wujud daripada singkatan nama-nama Perdana Menteri Malaysia sejak 1957 hingga sekarang, termasuk nama bakal Perdana Menteri yang dijangka menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, suatu hari kelak.

Inilah huraian ‘teori’ tersebut: R (Tunku Abdul Rahman Putra) A (Tun Abdul Razak Hussein) H (Tun Hussein Onn) M (Tun Dr Mahathir Mohamad) A (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dan N (Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak) yang dijangka menggantikan Abdullah bila tiba waktu dan ketikanya.

Banyak pihak yakin ‘teori’ R.A.H.M.A.N ini, jika dimakbulkan oleh Allah SWT, akan jadi kenyataan. Lantaran itu, teori inilah yang sering diulas dan dipolemikkan bila soal pengganti Abdullah dibicarakan secara terbuka.

Biarpun begitu hakikatnya, hari ini ada pula blogger Malaysia yang menggelarkan dirinya sebagai Harlim, memperkenalkan satu ‘teori’ baru – ‘teori’ R.A.H.M.A.T.

Harlim membuat beberapa posting mengenai ‘teori’ baru ini di dalam portal berita Malaysia Today, sebagai reaksi kepada tulisan saya berjodol Ku Li Sebagai PM, Mahyuddin DPM? Menurut Harlim, bezanya R.A.H.M.A.N dengan R.AH.MA.T adalah pada huruf N dan T.

Beginilah kata Harlim ketika memperkenalkan ‘teori’ R.A.H.M.A.T:

“Teori R.A.H.M.A.N kini bertukar jadi teori R.A.H.M.A.T, di mana T adalah PM kita yang terkhir bagi pusingan pertama sejarah Malaysia. T tersebut adalah Tengku Razaleigh Hamzah. Memang kurniaan Allah kepada rakyat Malaysia melimpahkan RAHMAT NYA sentiasa. T juga merupakan kelompok pertama negarawan ulung yang telah sama-sama banyak menaburkan jasa kepada bangsa Malaysia selama ini. Jadi, sudah sewajarnyalah beliau dinobatkan sebagai PM tanpa soal jawab. Kerana itu, N ataupun Najib, tidak wajar berada dalam kelompok pertama PM Malaysia. Seterusnya teori N.A.J.I.B akan menyusul pula dalam era pusingan kedua PM Malaysia. Yang ini semua orang boleh memasang angan-angan.”

Sebagai respons kepada komen seorang blogger lain, Harlim pula menyatakan seperti berikut:

“Malaysia memerlukan Tengku Razleigh sebagai kuasa pengimbang dan memperbetulkan apa yang telah disongsangkan sekian lama. Kerana itu juga Ku Li tidak perlu bertanding bagi merebut jawatan tersebut kerana beliau adalah layak dan merupakan pewaris jawatan tersebut. Dalam tempoh peralihan ini, Ku Li diperlukan bagi memperbetulkan semula susunan pentadbiran politik dan kerajaan yang nampaknya semakin terumbang-ambing hilang pedoman dan tenggelam punca.”

Begitulah perkembangan angan-angan yang mula-mulanya dicetuskan oleh Hamizi. Sebagai penutup, ikutilah komen anonymous yang diposkan kepada blog ini seperti berikut:

“Melihat keadaan sekarang ini, saya amat bersetuju Ku Li tampil menerajui negara. Saya juga sangat-sangat bersetuju TS Mahyuddin jadi TPM. TS Mahyuddin akhirnya akan jadi PM. He is the right material. Evidently, look at the ministeries he headed, all became successful. He got brain. A very sober person dan tidak suka diampu. He measures a person by his merit.”

AMARAN: Apa yang sedang dipolemikkan di sini hanya angan-angan blogger Hamizi. Tidak lebih dan tidak kurang daripada itu. Jadi, anggaplah ini sebagai angan-angan Mat Jenin, mengenai seekor burung yang sedang terbang, tetapi sudah dipipiskan lada!
– Ruhanie Ahmad ,Saturday, June 30, 2007

Nota terkini: Posting di atas sudah berusia lebih sembilan bulan. Nampak gayanya, angan-angan Hamizi seperti di atas mungkin jadi kenyataan tidak lama lagi. Insya Allah. Buat sementara waktu, saya dapat tahu bahawa seluruh Ahli Parlimen Malaysia yang memenangi PRU12 baru-baru ini akan mengangkat sumpah tidak lama lagi. Majlis itu dijangka berjalan selama dua hari berturut-turut. Pada hari ketiganya pula, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dijangka berangkat merasmikan sessi Parlimen yang baru. Kata sesetengah kaul, sesuatu yang menarik dijangka berlaku pada hari perasmian tersebut. Apa dia, saya kurang periksa. Jadi, kita tunggu dan lihatlah sama ada info ini benar adanya! - Ruhanie Ahmad

Saturday, March 22, 2008

Siri Kedua

Tengku Razaleigh Hamzah
Muncul Sesudah Gerhana?

Dua posting terbaru saya mengenai Tengku Razaleigh Hamzah dalam blog ini menerima sambutan hangat para pengunjung. Majoritinya positif. Kata mereka, memang tepat pada waktunya bagi anak raja berjiwa rakyat dari Kelantan ini diberikan sokongan padu untuk melaksanakan misi penting “merawat” UMNO demi agama, bangsa dan negara.

Seorang pengunjung yang bernama Zeme pula mengatakan bahawa andaian saya yang Tengku Razaleigh akan “muncul sesudah gerhana" Insya Allah menjadi realiti. Saya memohon maaf kerana kebelakangan ini saya tidak mampu menjawab seluruh komen anda, termasuk untuk lain-lain postings, secara satu persatu. Selanjutnya, ikutilah posting saya mengenai Tengku Razaleigh yang pernah tersiar dalam blog ini pada 12 Jun 2007, seperti berikut:

Posting saya bertajuk Tengku Razaleigh Hamzah Muncul Sesudah Gerhana? adalah suatu cetusan hati saya sendiri. Cetusan itu meledak secara spontan daripada jiwa saya yang terusik selepas menganalisa beberapa maklumat sensitif, spesifik, explosif, dan kontroversial yang saya terima sepanjang minggu lalu.

Sehingga hari ini saya masih lagi menilai, meneliti, menjalankan siasatan lanjutan serta menganalisa seluruh maklumat berkenaan. Proses ini saya lakukan untuk memperincikan apakah implikasinya kalau saya hamburkan seluruh maklumat itu ke intrnet secara total. Proses ini juga saya lakukan untuk membantu saya membuat keputusan sama ada saya akan berkongsi info berkenaan dengan seluruh masyarakat internet Malaysia atau pun biarkan sahaja maklumat-maklumat itu reput ditelan kerahsiaan.

Lantaran itulah saya berusaha mendapatkan maklum balas menerusi saluran internet untuk mengukur kesediaan anda menerima maklumat-maklumat seperti di atas. Sebab itulah saya mencari jalan mengukur kebijaksanaan anda menilai dan menterjemah mesej yang tersirat di sebalik yang tersurat.

Antara intisari posting saya semalam adalah: Mengapakah sewaktu menghadapi kecelaruan, saya memetik caption Pak Ya mengenai Tengku Razaleigh? Adakah kerana saya tertawan dengan kata-kata Pak Ya bahawa Tengku Razaleigh “mempunyai pengaruh, dihormati rakyat dan seorang tokoh politik yang berpengalaman, berwibawa dan boleh menjadi bakal PM.”? Atau, adakah kerana Pak Ya mengatakan bahawa “kalau Tun Mahathir dan Ku Li berkerjasama, besar kemungkinan scenario politik UMNO dan negara akan berubah tidak lama lagi.”?

Mungkinkah saya memetik kata-kata Pak Ya mengenai Tengku Razaleigh kerana naluri saya didorong oleh satu persepsi bahawa Tengku Razaleigh memang tokoh terbaik untuk mengembalikan semula cahaya ria yang akan ditenggelamkan oleh gerhana yang mungkin tiba? Mungkinkah kini sampai giliran Tengku Razaleigh untuk mewarnakan semula landskap siasah Malaysia selepas gerhana muncul di tanahair tercinta ini tidak lama lagi?

Dan, antara sedutan reaksi kepada posting saya semalam, yang dikirimkan ke blog ini dan menerusi laman berita Malaysia Today, adalah seperti berikut:

Hamizi: Perlu diakui, tiada tokoh yang layak dalam BN untuk mengambil alih kepimpinan negara. Saya harap Tun Dr Mahathir Mohamad akan membantu Ku Li untuk menjadi PM.

Harry: Gerhana dalam apa bentuk pun tidak akan berlaku di negara ini, andaikata PAS atau parti pembangkang tidak membuat "kerja rumah" mengenai dasar politik mereka.

Zed: Change is good and badly needed in this country. I for one will support Tengku Razaleigh should he decide to contest for the top post.

MM2007: Gerhana itu adalah kejadian alam ikut design Tuhan atau sunnatullah. Jangan kita takut gerhana.

Nasigoreng: Ku Li satu-satunya 'PM material' tetapi takdir Allah mengatasi kehendak manusia. Ku Li sepatutnya jadi PM sekarang jika Mahathir berfikiran lebih waras dalam menentukan pengganti. Keberanian Ku Li mencabar Mahathir dalam tahun 1987 sudah cukup bukti bahwa selepas Mahathir, Ku Li mengambil alih pemerintahan negara ini. Ku Li seorang yang cerdas dan dinamis. Sangat meyakinkan bila berucap, orang tidak mengantuk. Beliau tidak pernah tertangkap tertidur dalam mesyuarat

Begitulah antara reaksi kepada cetusan hati saya semalam. Reaksi itu diberikan walaupun gerhana sebenarnya masih belum tiba. Bagaimanapun, kalau terjadi gerhana, mungkinkah pembesar-pembesar tertentu akan mempunyai kekuatan moral untuk berjuang memberikan semula sinar kepada rakyat dan negara tercinta ini? Kalau tidak, di manakah relevannya Tengku Razaleigh Hamzah dalam keadaan sebegini? – Ruhanie Ahmad, Selasa, 12 Jun 2007

Nota: Begitulah posting saya mengenai Tengku Razaleigh kira-kira Sembilan bulan yang lalu. Kini gerhana benar-benar sedang melanda kita. Jadi, adakah kita akan menyokong Tengku Razaleigh membawa sinar perjuangan menghapuskan gerhana siasah mutakhir ini? Fikir-fikirkanlah!

Info terkini: Saya difahamkan Tengku Razaleigh membuat kunjungan hormat ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad pada petang 21 Mac 2008. Sama-samalah kita berdoa semoga pertemuan tersebut menghasilkan sesuatu yang positif. Siri ketiga akan disiarkan esok. – Ruhanie Ahmad
BERITA-BERITA POLITIK TERKINI

Tun Dr. Mahathir: Tiba Masa Melayu Perlu ‘Menderhaka’
Dan Ada ‘Majlis Presiden’ Untuk UMNO

Muhyiddin Fine With Razaleigh's EGM Move Provided It Is Constitutional

Hasrat Tengku Razaleigh Cabar Presiden UMNO Tidak Sesuai - Hishammuddin

Benarkah Sudah Berakhir Riwayat Politik Khairy?

Ke mana MP-MP Sarawak Menghilang?

Kunjungilah: http://maisuara.blogspot.com

Thursday, March 20, 2008

Raja Dr Nazrin Minta Pemimpin Ambil Iktibar Kisah Silam Kejatuhan Sesebuah Negara

IPOH, 20 Mac (Bernama) -- Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah meminta pemimpin negara ini untuk mengambil pengajaran dan iktibar daripada punca yang menyaksikan banyak kejatuhan empayar, kerajaan malahan raja dan pemimpin sesebuah negara seperti yang tercatat dalam sejarah dunia.

Baginda bertitah melalui sejarah, umum mengetahui bahawa ramai yang telah diberi peluang untuk menjadi pemimpin, namun hanya segelintir sahaja individu yang muncul sebagai pemimpin yang berjaya mencipta sejarah dan membina tamadun bangsa.

"Keadaan ini berlaku kerana ramai yang ketika diberi peluang untuk memimpin kehilangan pedoman apabila berada dalam kegembiraan dan keasyikan memiliki kuasa.

"Ada antaranya yang terleka, ada yang tersalah haluan, ada yang tersalah diberi nasihat, ada yang tersalah langkah dan ada yang tersalah perkiraan.

"Demikian terdapat himpunan sejarah berkaitan kepimpinan dan pemimpin yang sewajibnya dijadikan asas rujukan untuk ummah hari ini mempelajari dari kesalahan dan menjauhi dari mengulangi kesilapan yang sama," titah baginda pada majlis sambutan Maulidur Rasul dan penyampaian hadiah hafazan peringkat negeri Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Darul Ridzuan di sini hari ini.

Lagi:
http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=321629
BN Siasat Cubaan Beli Anggota Parlimennya

PUTRAJAYA, 20 Mac (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) akan menghantar pasukan risikannya ke Sabah dan Sarawak tidak lama lagi bagi menyiasat dakwaan kononnya parti pembangkang cuba membeli anggota parlimennya bagi menggulingkan kerajaan.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini berkata langkah itu penting bagi membolehkan BN mendapat maklumat yang tepat dan sahih ekoran terdapat pelbagai maklumat mengenai perkara itu kebelakangan ini.

"Maklumat yang diterima setakat ini ada yang sahih dan tidak sahih. Ada kata gini, ada kata gitu," katanya kepada pemberita di sini.

Lagi: http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=321669
Richard Riot Masih Anggota Parlimen BN Untuk Serian, Kata George Chan

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Anggota Parlimen Serian Richard Riot masih menganggotai Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) meskipun terdapat khabar angin kononnya beliau telahpun meninggalkan parti itu setelah tidak berpuas hati kerana tidak dilantik sebagai anggota Kabinet persekutuan.

Presiden SUPP Tan Sri Dr George Chan Hong Nam hari ini berkata parti itu tidak menerima sebarang surat peletakan jawatan daripada Richard, seorang berketurunan Bidayuh dan Anggota Parlimen Serian selama lima penggal.

"Saya dan setiausaha agung tidak menerima apa-apa pun. Saya tidak fikir ia benar. Saya cuba hubungi beliau tetapi tidak berjaya," katanya ketika dihubungi Bernama.

Chan mengakui Richard agak "kecewa" selepas beliau tidak dilantik menganggotai Kabinet persekutuan dan beliau (Chan) menasihati Richard supaya bersabar memandangkan parti sedang mengusahakan penyelesaian untuknya.

"Terdapat khabar angin bahawa beliau mahu menyertai pembangkang tetapi sehingga sekarang, kami masih belum dapat menghubungi beliau. Saya telahpun meminta YB Ranum (Mina) dan YB Francis (Harden) untuk mencari beliau memandangkan beliau tidak dapat dihubungi," katanya.

Chan berkata beliau mencadangkan nama Richard selain setiausaha pengelola parti Datuk Peter Chin Fah Kui, dua naib presiden Datuk Robert Lau dan Datuk Yong Khoon Seng untuk jawatan dalam Kabinet persekutuan.

Bagaimanapun, hanya tiga daripada empat yang dicadangkan itu mendapat tempat dalam Kabinet -- Chin (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi), Lau (Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dan Yong (Timbalan Menteri Kerja Raya).

Lagi: http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=321704
YB Richard Riot daripada SUPP bukan PBB!

YB Richard Riot yang diberitakan menganggotai PKR hari ini adalah daripada SUPP bukan PBB. Saya memohon maaf kepada PBB dan Tan Sri Abdul Taib Mahmud selaku presidennya di atas kesilapan yang tidak disengajakan ini.

Saya juga berterima kasih kepada Saudara Sahari yang sudi membetulkan kesilapan fakta ini. – Ruhanie Ahmad.

Kiriman Sahari selanjutnya adalah seperti berikut: YB Richard Riot daripada SUPP bukan PBB. Bagaimanapun kedua-dua parti ini merupakan komponen parti BN yang kuat di Sarawak. Sama- sama kita tunggu sama ada YB lain dalam parti komponen BN Sarawak akan mengikuti jejak langkah YB Richard Riot.

Mengikut sejarah pergolakan politik di Sarawak, pembentukan kerajaan campuran di permulaan era Tun Rahman Yaakub pada tahun 1970 adalah bermula dengan perlompatan beberapa tokoh politik yang memenangi pilihan raya daripada satu parti politik ke satu parti politik yang lain.

Nampak gaya, YB dari Sarawak akan memulakan percaturan politik untuk menggegarkan kepimpinan Pak Lah. Apakah bekas TPM mendapat ilham semasa kunjungan mengejut ke Sarawak baru-baru ini? – Sahari, 8:58 PM
Ahli Parlimen BN Sarawak Anggotai PKR?

Ahli Parlimen BN daripada Serian, Sarawak, Datuk Richard Riot Anak Jaem, hari ini diberitakan sebagai telah menganggotai PKR.

Richard adalah daripada parti PBB, komponen utama BN Sarawak, pimpinan Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Tindakan ini bermakna PKR kini mempunyai kerusi parlimennya yang pertama daripada Sarawak. Tindakan ini juga menjadikan jumlah perwakilan PKR di Dewan Rakyat kepada 32 kerusi.

Tindakan Richard juga menyebabkan BN Sarawak kehilangan dua kerusi parlimen, termasuk satu yang dimenangi oleh DAP menerusi PRU12 baru-baru ini.

Pada waktu yang sama, tindakan Richard - ahli parlimen yang sudah beberapa penggal berada di Dewan Rakyat - juga menyebabkan jumlah keseluruhan kerusi BN di parlimen berkurangan daripada 140 kepada 139 kerusi.

Sumber-sumber memberitahu blog ini bahawa tindakan Richard adalah permulaan kepada beberpa lagi tindakan di seluruh negara yang dijangka berlaku dalam tempoh terdekat ini.

Oleh itu, mungkinkah Barisan Rakyat yang bertulangbelakangkan PKR mungkin berjaya menubuhkan kerajaan di peringkat pusat tidak lama lagi, dan sekaligus menyebabkan BN pula menjadi parti pembangkang? Sama-samalah kita tunggu perkembangan selanjutnya! – Ruhanie Ahmad