Friday, December 30, 2011

NOTA HUJUNG TAHUN II: UMNO DAN AUDIT PERSEPSI

Ruhanie Ahmad

Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menerajui kepimpinan Negara, UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan latar belakang siasah yang bercelaru --- serupa dengan latar belakang sewaktu ayahanda beliau, Allahyarham Tun Razak Hussein, mengambil alih teraju negara pada tahun 1971.

Namun Datuk Seri Najib pastinya sudah melakukan audit hujung tahun untuk mengukur prestasi seluruh Jemaah Menteri, kesemua Menteri Besar dan Ketua Menteri serta Exco Negeri di kalangan warga BN, serta seluruh barisan kepimpinan UMNO dan BN di semua peringkat.

Paling penting lagi, oleh kerana politik adalah membabitkan persepsi, audit yang dilakukan perlulah merangkumi seluruh persepsi rakyat terhadap pemerintahan, UMNO dan BN.

Ini akan membolehkan Datuk Seri Najib melakarkan strategi, sama ada segala persepsi negatif yang wujud boleh di atasi secara berkesan hanya menerusi jelingan mata yang tajam, atau perlu dihapuskan menerusi strategi pulas tangan, strategi piat telinga, strategi melontarkan fail berpalang merah ke muka pihak-pihak berkenaan, atau strategy of last resort dalam bentuk pukul maut secara siasah.

Tetapi, oleh kerana kaedah audit mutakhir ini berbagai ragamnya --- termasuklah audit kreatif, audit pengurusan, audit perundangan, audit kewangan dan audit teknologi --- audit yang wajar dilakukan oleh Datuk Seri Najib perlulah berpaksikan kaedah konvensional, iaitu proses audit yang mengambil kira stok, aset, liabiliti, accrued payment, sunken cost dan lain-lainnya, dengan secara tegas.

Maksudnya, usah lakukan kaedah audit kreatif yang digunakan oleh sesetengah corporate players untuk menunjukkan kunci kira-kira dan penyata kewangan tahunan yang kononnya bersih, semata-mata untuk mengaburi mata pemegang saham bahawa syarikat terbabit masih berdayasaing dan berpotensi untuk maju.

Lantas apa jua faktor yang menimbulkan persepsi negatif dan menjadi liabiliti yang boleh memudaratkan entiti, integriti dan kredibiliti BN, UMNO dan Kerajaan --- waimah persepsi mengenai ayam, itek, lembu, kerbau, kadal, celeng atau gondorowo --- perlu dijadikan faktor debit dan kredit dalam proses auditing berkenaan.

Ini adalah untuk membolehkan kunci kira-kira dalam penyata tahunan yang disediakan oleh Datuk Seri Najib menunjukkan keadaan yang sebenar-benarnya bersih dan biru ….

Mudahan-mudahan nota ini, serba sedikit, membantu Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Pengerusi BN, menyusun strategi mempertahankan survival pemerintahan negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

Akhir sekali, survival ini, jika perlu, wajarlah distrategikan menerusi prinsip Niccolo Michiavelli yang merumuskan bahawa a political leader must be as brave as a lion, as cunning as a fox, and able to analyze the right timing to strike, and possibly kill, just to ensure the very survival of its empire dan rakyat jelata seluruhnya.

No comments: