Thursday, August 14, 2008

AKIBAT POLITIK WANG

Di bawah ini saya paparkan dua item berita Bernama mengenai politik wang. Baca dan kajilah kedua-dua mesej di sebalik berita ini. – Ruhanie Ahmad

ADNAN CADANG SEMUA ANGGOTA UMNO DIBERI HAK UNTUK PILIH PEMIMPIN

KUANTAN, 14 Ogos (Bernama) - Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob hari ini mencadangkan supaya setiap anggota UMNO diberikan hak untuk memilih pucuk pimpinan parti dalam usaha menangani gejala politik wang, yang disifatkannya kini semakin bermaharajalela.

Menteri Besar Pahang itu berkata gejala itu kini bukan sahaja berlaku di peringkat tertentu, malah mesyuarat peringkat cawangan yang sedang berlangsung ketika ini pun turut dicemari.

"Politik wang ini dah semakin "bermaharajalela"... saya fikir sudah sampai masanya UMNO perlu fikir cara (lain) untuk pilih pucuk pimpinan, biar semua ahli UMNO (ada hak untuk) pilih..," katanya kepada pemberita di sini. – BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newspolitic.php?id=352755

POLITIK WANG PUNCA SEBENAR BANYAK MASALAH DI BANYAK NEGARA ASIA, KATA KUAN YEW

SINGAPURA, 14 Ogos (Bernama) - Masalah politik yang dihadapi banyak negara Asia disebabkan politik wang, kata bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew.

Tetapi, masalah ini belum lagi menular di Singapura disebabkan "kita ada pasukan Bahagian Satu yang mengendalikan," kata Lee yang dilaporkan oleh akhbar tempatan hari ini pada satu perhimpunan di kawasan pilihan rayanya Tanjong Pagar malam tadi.

Beliau berkata di banyak negara Asia, politik wang sudah menjadi "perkataan kod" untuk membeli bagi memperoleh kuasa dan selepas itu, "untuk mendapatkan semula apa yang telah dibelanjakan termasuk sedikit keuntungan bagi pusingan akan datang dalam pembelian undi".

"Salah satu masalah besar yang mereka hadapi kini, di negara-negara lain, ialah orang yang berkuasa mahu menyimpan wang, simpan untuk dirinya sendiri. Jadi, mereka menyingkirkan orang muda yang mampu dan mahu menyertai pasukan mereka.

"Hasilnya, tidak ada bakat dalam parti-parti sekarang," kata Lee pada perhimpunan itu untuk menyambut Hari Kebangsaan Singapura ke-43, yang disambut Sabtu lepas. - BERNAMA

7 comments:

Gagak di Rimba said...

Salam,

Saya rasa sudah jadi pengetahuan umum bahawa sekarang dalam UMNO politik wang memang semakin bermaharajalela.

Kalau ketika UMNO di pimpin oleh Dr.Mahathir, seorang pemimpin yang kuat dan tegas pun, politik wang tidak dapat dihapuskan, apalagi di bawah pimpinan Pak Lah yang dianggap lemah dan kurang berwibawa.

Kita mungkin boleh mengharap BPR menolong membanteras politik wang dalam UMNO.

Akan tetapi melihat keadaan sekarang, BPR pun banyak kerja lain, dan tidak mungkin memantau politik wang di cawangan dan bahagian UMNO yang begitu banyak.

Jadi kemampuam BPR pun agaknya terbatas juga.

Sementara itu, politik dalam UMNO sekarang semakin berkait rapat dengan materialisme atau kebendaan.

Orang masuk politik (masuk UMNO) untuk dapat keduddukan dan kuasa, kerana dengan adanya kedudukan dan kuasa mudahlah mereka menghimpunkan wang dan harta.

Hanya "orang bodoh" barangkali yang tidak mahu menghimpun wang dan harta apabila sudah ada kuasa dan kedudukan.

Ini realiti yang terpaksa kita hadapi dan tidak boleh dielakkan.

Mungkin akan ini akan membawa kepada kehancuran UMNO. Tapi ini pun mungkin "hukum sejarah" yang tidak dapat dielakkan, kerana UMNO memang sudah tua dan banyak penyakit, dan mungkin akan sampai juga masanya UMNO menutup riwayatnya.

MD said...

Sebagai seorang ahli umno yang dah berpuluh tahun, tapi tak pernah sekalipun dijemput atau diberitau akan mesyuarat (Mungkin juga mesyuarat atas kertas saya rasa).

Saya sokong 100% saranan MB Pahang ni. Saya dah hantar e-mail kepada PM, dah berpuluh kali komen dalam blog - Saya besyukur MB Pahang mempunyai idea yang sama dengan saya.

Dato' Sri - I supported you for that. Syabas kerana memberi pandangan secara terbuka.

Unknown said...

kat singapura memang la tak de politik wang.
LKY memerintah dari dulu hingga sekarang.
Tunggula LKY mati,
politik wang di Singapura serupa la macam UMNO nanti.

Kerajaan Rakyat said...

Salam Datuk,

Saya memang tidak berkenankan Adnan Yaakob MB Pahang ni. Tetapi cadangkan untuk memberi hak kepada setiap ahli memilih pemimpin memang baik dan telah banyak kali diutara oleh ramai ahli umno.

Persolannya kenapakah susah sangat umno hendak laksanakannya??.

Kalau hendak seribu daya, tak nak seribu helah.

UMNO sudah semakin hampir ke kuburnya.

Salman Madani said...

Kalau benar di Singapura tidak ada politik wang, elok juga dipelajari kenapa begitu.

Adakah kerana LKY sendiri seorang pemimpin yang jujur dan bersih, dan boleh menjadi contoh kepada ahli PAP yang lain?

berasiam said...

Salam Datuk Ron

Cadangan ini baik pada dasarnya tetapi masih tidak boleh dikatakan akan mampu membanteras politik wang. Kalau cuma untuk memperlihatkan Umno lebih demokrasi, mungkin lebih tepat.

Badr said...

Datuk Ron,

Apa yang disuarakan oleh datuk Adnan itu sebenarnya perkara lumrah dan budaya hidup umno, dulu kini dan selamanya...

Mungkin selama ini pemimpin seperti datuk adnan cuba memekakkan telinga dan membutakan mata apabila yang menjadi mangsa rasuah politik (istilah politik wang itu sangat lembut untuk menggambarkan jenayah rasuah politik ini) itu orang lain. Bezanya sekarang ini orang seperti datuk adnan sendiri mungkin sudah tidak mampu mengikut rentak dan jumlah $$$$ yang perlu dirasuahkan kepada perwakilan cawangan dan bahagian umno untuk terus unggul dipersada kuasa. Itulah bahananya bila rasuah telah menjadi budaya dan cara hidup. Makin sehari makin tinggi nilai yang perlu disuap untuk menandingi offer pihak lawan! Akhirnya kemana halatuju umno? Saya terkenang kata-kata arwah Tun Ghafar Baba.. yang secara sinis mencadangkan agar semua jawatan dalam umno DITENDER. Sesiapa yang tawarkan harga paling tinggi, boleh dapat jawatan dalam umno. cara ini mungkin bagus juga kepada umno, setidak tidaknya umno akan menjadi parti yang kaya raya.