Monday, August 04, 2008

PERGERAKAN PEMUDA DAN WANITA TURUT MENYANGGAH ABDULLAH?

Berasaskan maklumat terbaru yang dikirimkan kepada blog ini malam ini, jumlah cawangan UMNO di seluruh negara yang berani meluluskan usul mendesak bahagian masing-masing supaya menyanggah kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi - sama ada supaya proses peralihan kuasa dipercepatkan atau Abdullah tidak lagi dicalonkan semula sebagai Presiden UMNO Malaysia - kini meningkat kepada 88.

Hari ini juga Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Jalan Perdana, dalam Bahagian Puchong dan Pergerakan Wanita UMNO Cawangan Seksyen 12, dalam Bahagian Shah Alam, kedua-duanya di Selangor, telah meluluskan usul mendesak bahagian masing-masing membawa usul supaya proses peralihan kuasa daripada Abdullah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dilakukan dengan seberapa segera.

Jika usul oleh kedua-dua pergerakan ini diambilkira, jumlah keseluruhan cawangan akar umbi yang menyanggah kepimpinan Abdullah adalah 90.

Menurut satu e-mail, UMNO Cawangan Jalan Khamis, dalam Bahagian Kapar, Selangor, yang bersidang pada malam 2 Ogos 2008, telah meluluskan usul mendesak bahagiannya mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin ke jawatan Presiden UMNO.

Blogger Zeme yang sering mengirimkan info terkini mengenai persidangan cawangan di seluruh negara pula menyatakan bahawa limabelas cawangan UMNO dalam Bahagian Tumpat, Kelantan - satu daripadanya Cawangan Padang Pohon Tanjung - telah sebulat suara meluluskan usul mencadangkan kepada bahagiannya supaya Tengku Razaleigh Hamzah dicalonkan ke jawatan Presiden UMNO.

Tumpat

Zeme juga memberitahu blog ini bahawa UMNO Cawangan Jitra, Bahagian Kubang Pasu, Kedah, meluluskan satu usul yang menarik, iaitu meminta Bahagian Kubang Pasu mencalonkan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim sebagai Presiden UMNO dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Blogger Kedah Youngster pula melaporkan bahawa UMNO Cawangan Sri Pantai, Bahagian Kuala Kedah, Kedah, yang bersidang hari ini telah meluluskan usul dengan sebulat suara mendesak Abdullah meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO sebelum pemilihan parti Disember 2008 ini.

Pemuda UMNO Cawangan Jalan Perdana, bahagian Puchong, Selangor, dalam persidangannya pada 2 Ogos 2008, mengususlkan bahagian itu menggunakan Fasal 14.5.3 bagi mengemukakan usul ke peringkat Perhimpunan Agung UMNO 2008, meminta tempoh agar peralihan kuasa daripada Abdullah kepada Najib dilakukan mulai 1 Januari 2009.

Pergerakan Wanita UMNO Cawangan Seksyen 12, Shah Alam, dalam Bahagian Shah Alam pula membawa usul supaya UMNO Shah Alam mendesak proses peralihan kuasa daripada Abdullah kepada Najib disegerakan mulai Disember 2008. Pergerakan itu juga mengusulkan supaya UMNO Bahagian Shah Alam mencalonkan Najib sebagai Presiden UMNO dan Mahyuddin sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Sementara itu, Persidangan UMNO Cawangan Telok Mengkuang, dalam Bahagian Kuala Langat, Selangor, telah membuat satu usul tergempar mendesak agar peralihan kuasa Abdullah epada Najib dipercepatkan kepada 1 Disember 2008.

Rasional

Saya telah membaca seluruh usul oleh Pemuda UMNO Jalan Perdana, Bahagian Puchong, dan Wanita UMNO Sekyen 12, Bahagian Alam. Kedua-dua usul mereka dihujah secara rasional dan intelektuil demi agama, bangsa dan tanahair.
Contohnya, antara rasional untuk menyokong usul Pemuda UMNO Jalan Perdana adalah seperti berikut:

Satu: pentadbiran negara kini telah dipengaruhi oleh mereka yang berkepentingan peribadi (sehingga) menyebabkan banyak keputusan yang dibuat gagal mengambilkira kepentingan umum serta ahli UMNO.

Dua: Kelemahan kepimpinan UMNO kini memberikan persepsi kepada ahli UMNO bahawa negara ini seolah-olah dikuasai oleh negara asing, seperti Singapura serta kroninya, Israel.

Tiga: Kekalahan teruk UMNO dalam pilihan raya umum 2008 adalah disebabkan wujudnya kelemahan dalam pentadbiran yang diterajui oleh Abdullah.

Wanita UMNO Cawangan Seksyen 12, Shah Alam, pula merasional usul mereka seperti berikut:

Satu: PRU 12 adalah paparan jelas kehendak rakyat Malaysia yang mahukan perubahan dan tanda-tanda kebangkitan rakyat menolak kepimpinan Abdullah. Rakyat yang menyambut cabaran Abdullah telah membuktikan melalui peti undi, bahawa mereka mahukan perubahan dan usaha yang lebih komited untuk memperbaiki keadaan ekonomi dan sosial dalam negara.

Lemah

Dua: Pertama kali dalam sejarah Malaysia merdeka, UMNO dan kerajaan Barisan Nasional menjadi begitu lemah. Malangnya, sehingga kini tidak ada usaha-usaha yang menyerlah, menyeluruh dan benar-benar ikhlas untuk mengembalikan kekuatan dan kegemilangan UMNO dan BN.

Tiga: Abdullah sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia dilihat sebagai seorang yang lemah, tidak berkemampuan, mengamalkan kronisme dan nepotisme. Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ia akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Melayu secara umum dan menyebabkan huru-hara dalam negara. Untuk memastikan kesinambungan kepimpinan Melayu dan UMNO terus perkasa dan agar kestabilan berkekalan, kepimpinan perlu ditukar dan diperbaiki supaya orang Melayu kembali dihormati oleh semua peringkat kaum dalam negara dan seluruh dunia.

Empat: Kelemahan pentadbiran dan pucuk pimpinan negara telah menjejaskan nama baik Malaysia di mata dunia. Malaysia kini tidak lagi dianggap sebagai salah satu ‘Tiger Asia’ tetapi semakin berundur ke belakang menjadi negara dunia ketiga. Malaysia kini tunduk dengan kemahuan kuasa asing. Malaysia kini takut untuk bersuara kerana suara kita adalah ‘suara yang sumbang’ dan lemah. Abdullah telah diberi peluang selama 4 tahun untuk membuktikan kewibawaan beliau sebagai pemimpin dan mentadbir negara berdaulat ini. Malangnya beliau gagal dan akibatnya rakyat menjadi mangsa. Sekiranya 4 tahun masih gagal, bagaimana beliau boleh meyakinkan rakyat bahawa beliau mampu untuk melaksanakan tugas memperbaiki kepincangan negara untuk 2 tahun lagi?

Demikianlah suara Pemuda dan Wanita UMNO daripada Selangor. Bagaimanapun, anggota Wanita UMNO Cawangan Seksyen 12, Shah Alam, yang mengirimkan e-mail ke blog ini mengenai maklumat di atas mengeluh seperti berikut:

Polis

“Kami yang menolak Abdullah dan membawa usul Najib sebagai Presiden dan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden seolah-olah menjadi musuh dan pembangkang dalam UMNO. Kami diarah buat laporan oleh SB. Alangkah susahnya hidup di negara sendiri. Solah-olah kini Malaysia diperintah oleh diktator kuku besi!”

Saya telah meminta penjelasan mengenai penglibatan SB seperti di atas, dan inilah jawapannya:

“Saya tak pasti sama ada ini adalah lazim (bagi) setiap mesyuarat tahunan. Namun, selama 2 penggal saya di cawangan belum pernah kena buat laporan dan isi borang yang diberi oleh SB kepada saya selepas setiap mesyuarat agung. Semalam, selepas mesyuarat Wanita, saya diarah isi borang dan buat laporan termasuklah memasukkan usul yang dikemukakan. Ini atas arahan SB.”

Sekali lagi kita terdengar mengenai polis atau SB membabitkan diri dalam persidangan cawangan UMNO. Saya harap ini tidak benar. Tetapi, jika ini benar, harap insafilah bahawa warga UMNO akar umbi adalah bersuara secara demokratik dan selaras dengan Perlembagaan UMNO. Jika tindakan seperti ini pun mahu diganggu-gugat, terserahlah kepada warga UMNO untuk bertindak dengan sewajar-wajarnya demi kepentingan agama, bangsa dan tanahair.

Selamat berjuang dan salam takzim. – Ruhanie Ahmad

16 comments:

CUCU TOK KEDU said...

Dato Ron yang dihurmati!

Memang benar SB mengekori setiap persidangan UMNO cawangan sekarang ni. Di kawasan Parlimen kon pun SB buat begitu. Tapi dia juga terperangkap dengan tektik cawangan UMNO di sini. Dalam jadual petang, tapi buat malam. Kata hari ini tapi buat esok. Yang malangnya kata esok tapi buat hari ini. SB dengan SB pun kelabut jadinya oleh kerana kerakusan dan ketamakan pimpinan UMNO nak mempertahankan pangkat dan kuasa mereka!

politica said...

Datuk, saya ucapkan syabas kepada semua cawangan yang ambil pendirian alternatif terhadap kepimpinan Abdullah Badawi. Saya harap semua cawangan ini pastikan bahagian masing-masing tunaikan hasrat warga akar umbi.

Unknown said...

Moga-moga suara UMNO cawangan kali ini akan mencerminkan corak pencalonan pucuk pimpinan UMNO di peringkat bahagian. Kalau tak, kita bubarkan saja UMNO. Kata saya ini melulu sangat? Kalau dah tak hormat cawangan, apa guna ada bahagian? Bukankah bahagian wujud kerana adanya cawangan?

Unknown said...

Bro

Menjadi perjuang UMNO di cawangan dan bahagian lebih payah dan sukar.Kita disekat dengan berbagai akta yang kabur.Buat kenduri arwah pun dikira Politik Wang,jika ditangkap,BPR yang siasat.Tetapi di peringkat Negeri dan Negara cuma disiasat oleh Lembaga Displin UMNO.
Sekiranya isu dalaman UMNO terlalu terbuka kepada umum,nampak sangat UMNO banyak melakukan kesalahan.Pemimpin tertinggi UMNO terlalu kebal.Pemimpin akar umbi akan menjadi mangsa kegilaan kuasa pemimpin atasan.
Umno sudah matang dalam usia dan perjuangan.UMNO perlu berubah dan mengkaji sesuatu sistem dan corak kepimpinan yang sesuai dengan zaman.Rakyat cuma meluat pada segelintir pemimpin bukan khusus pada UMNO.
Pada 2hb lepas di Kulim,Kedah.Kerajaan Pas menganjurkan FORUM PERDANA sempena Israk Dan Mijrat.Tiga ahil panel cuma menceritakan 10% topik yang berkaitan pada mukadimah ucapan,yang cuma berkisar isu politik semasa dan kehebatan Kelantan.
Selepas setengah jam,pengunjung beransur pulang ke rumah.Mereka kian bosan dengan ceramah dan janji politik PAS.Kerajaan PAS banyak bercakap dari membuat kerja.
Disini pemimpin UMNO harus peka dengan keadaan semasa dengan mengambil kesempatan untuk berubah pemikiran.

marakarma said...

assalamaualaikum wak;;

tahniah kerana banya cawangan yang berani membuat usul. sekarang 100 dan menjelang 24 ogos mungkin 500 cawangan.

tapi cawangan ada 20,000. pencacai paklah akan kata 500 daripada 20,000 cuma 2.5 % saja. mereka akan anggap 19,500 cawangan lagi iaitu 97,5% majoriti senyap sebagai penyokong paklah

rasional kita pula ialah itu tip of the iceberg. majoriti senyap telah membuktikan pada pilihanraya 2008 menyatakan hasrat mereka menolak paklah

tq

donmny said...

TUAN

Tinjauan rambang dalam blog blog utama ahli umno, daripada kajian undi yang dibuat memang ternyata sokongan terhadap muhyiddin.

sekadar contah. lihat blog pantai barat, tunkuasiah. pantai timur dato Rosol. presiden Muhyiddin, diikuti Tg Razaleigh dan seterusnya Najib.

Bg ketua pemuda pula ramai memilih Mukhriz.

Entahlah.

Abdool said...

Ron,

China kolot dan sesat sudah jadi host Olimpik 2008. Lepas ni mungkin Vietnam akan jadi host Olimpik. Lepas tu mungkin Bangladesh juga. Orang lain semua sudah maju seribu satu malam.

Melayu pula dengan ketuanan nya, dengan main belakang nya, dengan hududnya, dengan tak boleh pakai kasut tumit tinggi, lipstick, model billboard kena pakai tudung dsbnya.

Saya sudah cukup fedup dengan UMNO, PKR, Pak Lah, Anwar dan semua sekali lah. Orang Melayu boleh berlagak sikit sebab ada hasil minyak. Ambil hasil minyak berbillion ringgit lepas tu bagi free kat orang Melayu. Kalau UMNO berkuasa orang UMNO dapat, kalau Pas berjuasa orang Pas dapat. Itu saja.

Budak hingus umur 25 tahun boleh dapat Dato. Bangsa lain tak dapat AMN pun. Bila minyak habis, atau dunia tak perlu lagi minyak, pingat 'Dato' itu akan nampak timah dan tembaga yang jadi isinya. Real value akan jadi jelas.

Saya harap kaum Melayu akan bangun dpd tidur. Jangan jadi jaguh kampong saja.

berasiam said...

Salam Datuk Ron

Tahniah kepada cawangan yang secara terus terang menolak Pak Lah sebagai Presiden Umno melalui usul yang diluluskan. Masalahnya bukanlah rumit sekiranya Pak Lah memahami dan menghayati tradisi Umno dan Perdana Menteri. Nampak sangat dia cuma sayang dan pentingkan jawatan dan keluarga, bukannya sayang serta utamakan parti dan negara.

Sepanjang pengalaman saya, memang setiap Persidangan Umno Cawangan serta Bahagian dipantau oleh SB bahagian politik. Kalau Perhimpunan Agung Umno di PWTC, SB politik dari seluruh negara pun berhimpun sama. Mungkin parti politik yang lain pun dipantau oleh SB sedemikian rupa. Itu sebahagian tugas mereka.

Lazimnya SB akan mengambil satu salinan laporan tahunan cawangan yang dibentangkan. Tidak ada dokumen yang diminta tandatangan oleh mana-mana ahli persidangan. Kalau ada tandatangan yang diminta, perbuatan itu luar biasa. Keadaan akan jadi lebih mudah jika kita mengenali dan berbuat baik dengan mereka kerana mereka juga menerima dan mematuhi arahan.

Unknown said...

90 berbanding 20,000.memang jauh bezanya tu.tapi kira ok la sebab Pak Lah pon macam tak kisah.lain lah kalau macam masa zaman Tun Dr.Mahathir dulu.memang tak sapa yang berani bersuara.kira skang ni lebih terbuka dari sebelumnya.

"China kolot dan sesat sudah jadi host Olimpik 2008. Lepas ni mungkin Vietnam akan jadi host Olimpik. Lepas tu mungkin Bangladesh juga. Orang lain semua sudah maju seribu satu malam."

nak buat Olimpik kat Malaysia?.kita boleh tapi nanti mesti ada "suara-suara sumbang" yang kata itu cuma membazirkan duit je :)

Nasionalis said...

Untuk mudah browing blog2 yang banyak ... sila mampir di sini .... http://nasionalis1946.blogspot.com/

Unknown said...

Datuk,

Agak lama juga tidak menjengah ke sini. Nampaknya harapan regular Joes semacam kami ini, yang mana bukan orang UMNO, bakal dipenuhi oleh warga UMNO kelak. Saya rasa setakat ini, di sinilah yang saya dapat baca "SB" terlibat secara langsung (atau tidak) dengan mesyuarat cawangan UMNO. Nampak sangat Polis sekarang sudah "neutral" (gelak sinis), hinggakan orang-orang UMNO pun kena selidik SB. Jangan salah anggap gelak sinis saya menghina orang UMNO, gelak itu sebenarnya ditujukan kepada polis/SB.

Apalah nak jadi hidup regular Joes macam kami ini. Datuk, sekali lagi saya mewakili regular Joes di Malaysia ini (walaupun tak dilantik mereka), minta dan pohon usaha daripada Datuk untuk kembalikan keadilan kepada yang berhak. Dan pancung luluh leher penderhaka negara. Bak kata, suara hanya satu orang mungkin tidak akan berkesan, tetapi suara ramai orang akan menggegarkan gunung-ganang, meruntuhkan bukit-bukau, dan harapnya melenyapkan korupsi dan kezaliman yang melanda negara.

Unknown said...

Alhadee,

"Kalau UMNO berkuasa orang UMNO dapat, kalau Pas berjuasa orang Pas dapat. Itu saja."

Mungkin anda tidak pernah ke Kelantan, ataupun anda tidak tahu menahu tentang politik di Kelantan.

Benarkan saya membetulkan statement anda itu, "Kalau UMNO berkuasa orang UMNO dapat, kalau Pas berkuasa orang Pas dapat, orang UMNO pun dapat juga." Tetapi fenomena itu hanya kedapatan di Kelantan SAHAJA (setakat yang saya tahu). Kalau tak percaya, tanyalah kepada orang-orang UMNO Kelantan. Mungkin mereka tidak mahu mengaku secara open, tetapi hakikatnya begitulah. PAS (Kelantan) lebih telus, itu adalah kerana pemimpinnya yang amanah.

Pokok isunya, dalam UMNO hanya kroni rapat sahaja yang dapat makan. Yang mana bukan kroni itu, sorry la nak makan sekaki. Tapi di Kelantan (PAS), UMNO tak kira kroni sapa pun dapat makan juga, sama rata. Hanya di Kelantan (Only in Kelantan) ketelusan terserlah. Sesapa pun dapat makan dengan aman bukan takat PAS, UMNO...malah Cina, India, Siam dan bangsa lain lagi.

Ismail Ibrahim said...

Salam Bro. Ron,

Cawangan Jalan Enggang Bhg Ampang Selangor didalam mesyuarat cawangan pada 26 Julai 2008 telah meluluskan usul sebulat suara supaya ketua dan perwakilan cawangan mencalonkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Presiden UMNO di mesyuarat Perwakilan Bahagian. Keputusan ini disiarkan dalam Sinar Harian pada 29 Julai 2008.

lamandau said...

Penglibatan SB. Mungkin kejadian ini 'isolated ' dan dilakukan olih anggota yang 'overzealous' untuk mencari maklumat sehingga hilang keprofesionalismanya!! Kita jangan mudah mengambil kejadian ini untuk menuduh yang bukan2. SB , saya percaya, telah, sedang dan akan sentiasa memantau pergolakan dalam apa jua pertubuhan demi memelihara kesejahteraan dan keselamtan negara!!

zeme said...

Salam Datuk,

Maklumat ini dipetik daripada blog bekas ADUN Pulau Manis di parlimen Pekan mengenai mesyuarat UMNO Cawangan Bandar Baru Jaya Gading, dalam bahagian Pekan. Mereka telah membuat usul bertulis pada mesyuarat cawangan Julai lepas, antaranya:-

-Supaya sistem kuota bagi semua jawatan yang memakainya di mansuhkan.
-Menyokong Tengku Razaleigh bertanding jawatan presiden UMNO
-Menyokong Dato' Seri Najib sebagai timbalan presiden
-Menyokong Tan Sri Muhyidin dalam apa sahaja jawatan
-Membenarkan jawatan² penting dalam parti di pertandingkan

Wasalam.

zeme said...

Salam Datuk,

Berita dari Johor, UMNO Cawangan Penggaram Utama dalam Bahagian Batu Pahat telah mengusulkan mencadangkan YBM Tengku Razaleigh bertanding sebagai Presiden UMNO pemilihan Disember nanti. Mesyuarat Cawangan tersebut bersidang pada 3 Ogos 2008.

Wasalam.