Saturday, July 07, 2007

Kibarkanlah Bendera Johor

Hari Khamis lalu saya ke Johor Bahru. Hati saya sayup dan sedih mengenang nasib bumi di hujung benua ini yang kini seolah-olah digadaikan kepada maharaja pulau sekangkang kera.

Dalam keadaan demikian, saya terpandang bendera Johor berkibaran di bangunan Hospital Sultanah Aminah, bangunan Pusat Islam Johor dan lain-lainnya.

Lantas, semangat saya pun membara. Dan teringatlah saya bahawa rakyat bumi Johor sebenarnya adalah antara yang pertama sekali mempelopori perjuangan menentang penjajahan British yang memperkenalkan Gagasan Malayan Union pada 1946.

Di Batu Pahat, buat pertama kalinya tercetus slogan Hidup Melayu dari rongga ribuan orang Melayu yang berhimpunan di Kelab Melayu Batu Pahat pada awal 1946. Ketika itu mereka baru sahaja selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek di Jalan Ampuan. Mereka bergegas ke Kelab Melayu untuk menghadiri satu sidang raksaksa.

Dalam persidangan itu, mereka mencetuskan U.M.O atau United Malays Organisation. Mereka dipimpin oleh DO Batu Pahat, Dato’ Onn Jaffar. UMO inilah yang pada 11 Mei 1946 bertukar menjadi UMNO atau United Malays Natinal Organisation atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, atau PEKEMBAR.

Sesudah itu, saya terkenangkan pula bahawa di Istana Besar Johor Bahrulah UMNO dirasmikan penubuhannya. DYMM Sultan Johor ketika itu turut mencemar duli. Begitulah keramatnya UMNO. Dan seasudah itu, Ibupejabat UMNO pun diwujudkan di JB.

Saya insaf, kisah di atas adalah kisah lapok. Tapi lapok-lapoknya kisah itu ada relevannya dengan situasi mutakhir. Relevannya adalah: Johor yang jadi kubu kuat UMNO selama ini kenapa seolah-olah sedang dipermain-mainkan oleh kepimpinan tertinggi UMNO? Kenapa wujudkan WPI untuk majukan Johor? Selama ni pun Johor dah maju. Lepas Selangor dan Pulau Pinang, Johorlah antara yang termaju di Malaysia.

Jadi, apa mimpi pembesar negara hingga wujudkan WPI? Apa istimewanya WPI? Kenapa sebut WPI umpama Shenzen kepada Hong Kong? Shenzen dan Hong Kong bawah satu bendera. Tapi WPI dan Singapura berlainan bendera. Kenapa guna rasional tu? Johor dalam wilayah Singapura atau Singapura dalam wilayah Johor seperti di zaman purba kala?

Memang orang boleh tuduh saya berfikiran kolot. Ya lah. Tapi, kolot-kolotnya saya tidaklah sampai tergamak bertindak menggelarkan Johor Bahru sebagai Shenzen kepada Singapura!!!!!

Lepas tu ada pula jawatankuasa bersama peringkat Menteri Malaysia dan Singapura untuk WPI. Apa perlunya jawatankuasa itu kalau WPI dibuka kepada semua pelabur dari seluruh dunia? Jadi, what is so bloody damn special about Singapore????

Insaflah wahai pembesar negara. Ramai anak Johor kini makan hati berulam jantung. Titah DYMM Sultan Johor supaya Tambak Johor dipecah dan digantikan dengan sebuah jambatan, hanya dipadang sepi. Sewaktu bumi Johor selatan mahu dijadikan Shenzen kepada Singapura pun DYMM Sultan tidak dirundingi terlebih dulu.

Adakah ini bererti perjuangan silam warga DiRaja Johor dan anak-anak Johor dalam melakarkan perjuangan ke arah kemerdekaan negara, khususnya menerusi UMNO, kini sudah tidak lagi dikenang atau dihargai?

Tapi, siapalah saya untuk mempersoalkan semua ini? Pembesar negara tentu bijaksana dan tidak perlu dipersoalkan keputusannya. Teruskankahlah. Kalau ada jiwa yang terluka dengan tindakan itu, usah peduli.

Dalam keadaan begini, apa yang kita mampu hanyalah mengibarkan bendera Johor. Jadi, marilah seluruh anak-anak Johor perkuatkan semangat juang kita semua. Sebagai langkah awal, marilah kita kibarkan bendera Malaysia dan bendera Johor dengan seberapa banyak yang boleh menjelang bulan kemerdekaan negara kita Ogos ini.

Marilah kita kibarkan bendera kita mulai sekarang. Kalau boleh atas pokok dan atas bangunan pun kita kibar. Sapa boleh saman kita nak kibar bendera?

Korbankanlah sikit wang saku kita. Ayuh, bendera itulah lambang kemerdekaan dan kedaulatan kita. Kalau zaman dulu, orang sanggup mati kerana bendera. Hari ini, apa salahnya kita berkorban sedikit untuk beli bendera?

Insaflah wahai anak-anak Johor. Setiap inci bumi Johor mesti kita pertahankan kedaulatannya. Kibarkanlah bendera tanda kasih dan sayang kita kepada Johor. Kibarkanlah bendera Johor untuk kita beritahu sesiapa saja bahawa bumi Johor adalah bumi bertuah, bumi bersejarah, bumi berdaulat dan bumi merdeka dalam Malaysia!!!! – Ruhanie Ahmad

11 comments:

Dr. Hamizi said...

datuk... biasanya bulan Julai ini saya sudah mula megibarkan jalur gemilang di kereta-kereta saya...

namun tahun ini saya rasa tidak bersemangat seperti tahun-tahun dahulu...

jika dengan mengibarkan jalur gemilang, kerajaan mempolitikkannya..maka saya ingin protes kepada kerajaan dengan tidak mengibarkan jalur gemilang tahun ini...

cintakan negara tidak semestinya dengan mengibarkan bendera sahaja... tetapi dengan menyuarakan pendapat dan pandangan secara terus terang mengenai kelangsungan masa depan negara juga adalah tanda cinta kepada negara...

pemerhati said...

Salam AMBANG KEMERDEKAAN

Maaf Dato, kawan nak tanya sikit.. berapa ramai rakyat johor terutamanya orang UMNO yang berani kibar bendera JOHOR dalam kawasan WPI? Dato' seolah lupa bukankah WPI sebahagian S'pura! Tidak perlu Dato' berkempen kibar bendera Johor, buang masa saja. Tiada seorang ahli UMNO Johor berani pasang bendera Johor dan M'sia dalam kawasan WPI. Titah Tuanku Johor tiada daulatnya tapi arahan PM orang UMNO Johor takut sebab boleh hilang jawatan..

Teruskan kempen Dato' kita lihat bagaimana orang Johor menghina titah raja negerinya sendiri.

Anonymous said...

Saudara Hamizi dan Pemerhati.

Tindakan paling mudah untuk kita lahirkan perasaan cinta, kasih dan sayang kita kepada negara menjelang sambutan kemerdekaan tanahair adalah dengan mengibarkan bendera - bendera Persekutuan dan bendera Negeri masing-masing. Kita persetankanlah kalau ada pihak nak politikkan hal nak kibarkan bendera ini. Pihak ini bertindak untuk cari perbatuan politik. Kita rakyat marhain ini bertindak ikut jiwa, hati dan naluri kita yang murni.

Oleh itu, saya harap Hamizi kibarkanlah bendera. Soal kita nak memperkatakan yang benar tu pun teruskanlah.

Untuk menjawab posting Pemerhati, saya tak salah untuk kita kibarkan bendera Johor di WPI. Kawan (kawan adalah bahasa Johor maknanya saya)rasa tak semua orang UMNO macam yang Saudara katakan.

Pokoknya bukan mereka takut. Kibar bendera negeri apa nak takut? Pokoknya, mereka harap ada orang beri mereka bendera untuk dikibarkan. Ini mentaliti subsidi yang mengecewakan.

Oleh itu, saya sebagai anak Johor, harap-haraplah seluruh anak Johor beli bendera sendiri. Alahai, lebih kurang $11 saja sehelai! Kalau tidak, masing-masing pakatlah pau ahli politik setempat. By hook or by crook, dengan apa cara apa jua sekalipun, kita mesti kibarkan bendera Johor kali ini di merata negeri, khususnya di WPI.

Insaflah, inilah satu-satunya cara kita membuktikan kepada DYMM Sultan Johor bahawa bumi Johor Darul Takzim adalah bumi berdaulat dan merdeka di bawah naungan DYMM Tuanku Sultan.

Kita kibarkan banyak-banyak bendera tu di WPI dan seluruh Bandaraya JB supaya seram tengkok orang seberang tu. Biar mereka seram sejuk dan kecut perut. Biar mereka tak berani nak berlagaj di bumi Johor. Biar mereka insaf, Johor dalam Malaysia, WPI dalam Malaysia, bukan hak mereka!!

Saya harap seluruh NGO, pertubuhan belia, ahli-ahli UMNO dan siapa jua rakyat Johor, akan berkorban untuk mengibarkan bendera Johor. Ingat. Kali ini kita sambut kemerdekaan kita yang ke 50 tahun. Jangan kita relakan dalam usia ini ada pula orang asing nak tunjuk lagak di negeri kita.

HIDUP JOHOR.
KEPADA ALLAH BERSERAH.

Salam takzim.

mdkamel said...

Singapore is only a tiny dot on the world map. So is Israel.

Tapi awas mereka mempunyai aspirasi dan cita-cita yang sama; kerana satu adalah guru sementara yang satu lagi adalah muridnya. Mereka ini boleh diumpamakan seperti virus HIV yang semakin hari semakin bermaharajalela dan angkuh semata-mata kerana belum ada lagi penawar yang boleh menyekat kemaraannya.


Sedihnya kini negara yang tercinta seolah olah-olah sudah lama dijangkiti virus yang serupa iaitu "virussinga". Kita sudah mengalami demam yang agak berpanjangan sejak timbulnya isu air, isu tambak, isu pencerobohan ruang udara dan lain-lain. Malangnya, belum sempat kita sembuh dari demam ini, virus ini pula sudah merebak ke satu lagi "organ terpenting kita" apabila diwujudkan WPI.

Inilah bahayanya jika "kita" membiar dan merelakan diri "kita" menjadi hamba abdi kepada nafsu yang tiada had dan harinya serta sifat tamak haloba dan terlalu mementingkan diri kononnya atas nama pembangunan negara.

Bagi AIDS orang yang menderita adalah mereka yang banyak berseronok kerananya. Tapi jika terkena "virusinga" pula hanya rakyat yang merana dan menderita.

Saya berdoa ke hadrat Allah SWT semoga semangat kemerdekaan dan ketuanan Melayu yang telah "dilahir" di Johor tidak akan menemukan ajalnya dan "dikuburkan" di Johor....

Jika mengibar bendera kibarlah di hati sanubari kita dulu sebelum ianya dikibar di mana-mana.

Rockybru said...

Syabas anak Johor! Saya ni bukan anak kelahiran Johor tapi saya mengaji kat sana selama 3 tahun - 1 tahun di JB dan 2 tahun di Muar. Semasa di Singapura, saya belajar baca muqadam dan bernasyid di sebuah madrasah yang di(fund) oleh kerajaan Johor. Masa tu, zaman 60an, pengaruh terkuat untuk orang2 melayu di Singapura ialah pengaruh Johor. Apa taknya, Singapura tu pun dulu Johor yang punya. Bahasa Melayu yang ditutur pun loghat Johor-Riau. Baju Melayu yang kami pakai pun baju Melayu Johor. Jadi semangat saya ni memang macam anak Johor. Tak sekental Pak Ron tapi takkan undur kalau musuh menyerang ..

Anonymous said...

Saudara Md Kamel dan Ahirudin Attan.

Terima kasih. Mudah-mudahanlah anak-anak Johor berasa insaf.

Saudara Md. Kamel, pandangan anda relevan untuk jadi renungan bersama.

Saudara`Ahirudin, semoga jiwa dan semangat anda akan menyemarakkan lagi rasa cinta, kasih dan sayang rakyat Johor kepada bumi tumpah darahnya.

HIDUP JOHOR.
KEPADA ALLAH BERSERAH.

Salam takzim.

mdkamel said...

YBhg Datuk, walaupun saya bukan anak Johor tapi saya menumpang kebangaan orang-orang Johor yang telah banyak berkorban dalam menyemai benih-benih semangat kemerdekaan sehingga tertubuhnya gagasan Malaysia.

Oleh itu, seperti pepatah Melayu jika orang Johor merasa kesakitan jika dicubit "paha kanan" negara, kita di sebelah "paha kiri"juga turut merasakannya.

Selamat Maju Jaya Johor dan rakyatnya!!

Anonymous said...

Saudara Md Kamel,

Terima kasih di atas perkongsian sentimen anda terhadap Johor. Semoga ia akan mendorong lbih ramai anak Johor menyahut kempen bendera ini.

Salam takzim.

Anonymous said...

Datuk,

Saya anak Kedah,saya menyahut seruan Datuk dan akan saya kibarkan Bendera Negeri Johor di perkarangan pejabat dan rumah saya.Kita harus berani menegak keadilan.

kudakepang said...

Ahh:

Terima kasih. Sokongan moral anda sangat dihargai.

Salam takzim.

wakcantuk said...

sedih ....... hiba..... berendam air mata mengenangkan negeri johor..... insyaallah bendera negeri johor berkibar di jalan pengkai.....batu pahat