Wednesday, July 18, 2007

Kibarkan Bendera
Di Hujung Benua..

Johor adalah sebuah negeri dalam Malaysia yang sedang hebat dipolemikkan oleh rakyat jelata berikutan penubuhan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).

Di zaman purba, Johor dikenali sebagai Ujung Tanah. Kadang-kadang, ia juga dikenali sebagai Tanah Hujung Benua. Ini kerana Johor adalah tanah besar benua Asia yang paling selatan sekali lokasi geografinya.

Ujung Tanah ini kemudiannya dikenali sebagai Johor. Nama ini diperolehi daripada jauhar - perkataan Arab yang bererti permata, intan atau berlian.

Hingga ke hari ini, ejaan rasmi Johor dalam jawi adalah jim-wau-ha-ro. Kalau dieja jim-wau mati depan jo, dan ha-ro mati depan hor, bunyinya adalah Johor. Tetapi, kalau dieja jim-wau mati depan jo, dan ha-ro mati di atas har, bunyinya adalah jauhar.

Tidak wujud rekod terperinci untuk merasionalkan mengapa Johor memperolehi namanya daripada perkataan jauhar. Tidak juga terdapat maklumat sama ada perkataan jauhar ini diambil secara hakikat atau secara perlambangan sahaja.

Kalau perkataan jauhar diambil secara hakikat, ini bermakna intan dan berlian mungkin terdapat di bumi Johor di zaman purba kala. Tetapi, jika perkataan jauhar hanya diambil ertinya secara tersirat, ini adalah kerana lokasi Johor yang amat strategik diperlambangkan umpama intan dan berlian.

Menurut http://en.wikipedia.org/wiki/Johor, “The name Johor originated from the Arabic mohammadword Jauhar, gem/precious stone .” [maksudnya: nama Johor berasal daripada perkataan Jauhar – manikam atau batu permata.]

Sama ada jauhar, permata atau sebaliknya, Johor memanglah strategik daripada segi geopolitiknya. Kepada Malaysia, Johor adalah strategik dan penting kerana ia menguasai tiga perairan utama di wilayah ini - Selat Melaka di barat, Laut Cina Selatan di timur dan Selat Teberau di selatan.

Johor juga penting dan strategik kepada Malaysia kerana ia adalah wilayah yang jadi pintu keluar-masuk ke Republik Singapura.

Kepada Singapura, Johor adalah strategik dan penting kerana di negeri ini wujud dua loji air milik republik itu. Johor juga dirangkumkan ke dalam strategi pertahanan hadapan Singapura. Ini bererti, seandainya terjadi sebarang serangan di hari muka, Johor mungkin dijadikan medan pertempuran oleh tentera Singapura.

Jadi, salahkah saya berkempen semoga rakyat jelata Johor mengibarkan bendera negeri dan bendera Malaysia secara besar-besaran sempena sambutan 50 tahun kemerdekaan tanah air tercinta ini? Bukankah ini satu usaha simbolik untuk mengekspresikan perasaan prihatin, cinta, kasih dan sayang rakyat jelata kepada negara?

Kempen mengibarkan bendera negeri dan negara bukannya satu jenayah. Lantaran itu, marilah sama-sama kita kibarkan kedua-dua bendera ini mulai sekarang.

Hidup Johor
Hidup Malaysia
Kepada Allah Berserah!

- Ruhanie Ahmad

2 comments:

mdkamel said...

Tak payah serang....dah dalam poket mereka. Badan kecik tapi poket besar, semua boleh masuk! WPI,GLCs, blah,blah,blah...

kudakepang said...

Saudara Mdkamel

Terima kasih dan salam takzim.