Monday, July 09, 2007

Bendera Johor Jadi Khazanah
Keturunan Melayu Cape Town

Pada pertenghan 90-an saya berpeluang menziarahi sekumpulan komuniti Melayu Cape Town di Afrika Selatan. Di antara mereka, ada yang nenek moyangnya berasal daripada Johor. Salah seorang daripadanya adalah Ismail Harrison.

Saya bertemu Ismail sewaktu menghadiri suatu majlis anjuran Melayu Cape Town untuk meraikan lawatan rasmi Tun Dr Mahathir Mohamad. Sebaik sahaja Ismail mengetahui bahawa saya berasal daripada Johor, beliau pun mempersilakan saya berkunjung ke rumahnya di Malay Quarters, Bakap, hanya beberapa kilometer daripada pusat Bandar Cape Town.

Setelah kami berjemaah Asyar di Masjid Bakap, Ismail membawa saya ke rumahnya. Dia dan keluarganya menjamu saya dengan hidangan nasi beryani. Sesudah itu, Ismail membawa keluar satu kotak berukuran tiga kaki panjang, dua kaki lebar dan enam inci tingginya.

Saya tidak tahu apa kandungan kotak itu. Dengan wajar berseri-seri, Ismail membuka kotak tersebut. Isinya adalah adalah satu kain yang dilipat rapi.

“This our family treasure,” katanya. [maksudnya, ini adalah khazanah keluarga saya.]

Saya amat terkejut kerana khazanah keluarga Ismail yang dikeluarkan daripada kotak tersebut adalah sehelai bendera Johor berukuran kira-kira satu depa panjangnya dan kira-kira setengah depa lebarnya.

Saya pun membelek-belek bendera itu yang telah dihamparkan oleh Ismail di atas karpet di ruang tamu rumahnya. Ia diperbuat daripada kain satin. Ia sudah reput di makan zaman. Tetapi kilau warna biru, merah dan putihnya masih tetap menawan.

Sesudah itu, Ismail pun menceritakan kisah dan sejarah bendera berkenaan. Katanya, bendera itu dihadiahkan oleh Almarhum DYMM Sultan Abu Bakar kepada Allahyarham datuknya pada kurun ke-19.

Menurut Ismail, pada zaman itu Almarhum Sultan Abu Bakar sering berulang-alik dari Malaya ke London. Dan, Cape Town adalah salah satu destinasi persinggahan baginda.

Bendera itu dianugerahkan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar kepada datuk Ismail setelah baginda mendapat tahu bahawa datuk Ismail berasal daripada Johor. Dia dibuang daerah oleh Inggeris kerana kononnya terlibat dalam gerakan anti-penjajah di Johor.

Kata Ismail: “I have no chance to fly this flag in Cape Town. But, I am very proud of this royal gift to my family. It has been with us for three generations.” [Maksudnya: Saya tidak berpeluang mengibarkan bendera ini di Cape Town. Tapi, kami amat bangga atas anugerah diraja ini kepada keluarga kami. Bendera ini sudah berada dalam simpanan kami selama tiga generasi.]

Katanya lagi: “I may not have the chance to set foot on Johore. But, I am a Johore Malay. My family are honoured to have you here today so that you can tell the people in Johore that we are part of you. This flag is the proof.” [maksudnya: Saya mungkin tidak akan berpeluang memijak bumi Johor. Tapi, keluarga kami berasa dihormati dengan kesudian anda berkunjung ke rumah kami supaya anda boleh sampaikan salam kepada warga Johor bahawa kami juga adalah anak-anak Johor. Bendera ini adalah saksi dan buktinya.”

Ismail menyatakan kata-kata di atas dengan nada yang sayu. Begitu pun, sayu suaranya dihiasi dengan wajah yang bangga sebagai anak Melayu keturunan Johor.

Saya mendengar kata-kata Ismail dengan penuh khusyuk. Pada ketika itu juga air mata saya berlenangan. Saya gembira. Saya bangga. Saya juga terharu di atas rindunya seorang keturunan Johor terhadap bumi tumpah darah nenek moyangnya. Saya juga terharu kerana keluarga Ismail sentiasa memuliakan bendera Johor yang sudah dalam simpanan selama beratus tahun.

Sesudah itu, saya pun jelaskan kepada Ismail erti lambang bintang dan bulan sabit serta warna-warna yang terdapat pada bendera Johor. Ismail kelihatan lebih bangga. Bendera itu pun dikucup dengan penuh takzim.

Ismail adalah seorang mekanik. Beliau juga seorang pelukis. Di Afrika Selatan, beliau terlibat dengan perjuangan anti-apartheid. Beliau menghormati bendera Afrika Selatan, bumi tumpah darahnya. Biarpun begitu, bendera Johor sentiasa berkibar di pelusuk hati dan sanubari dirinya dan seluruh keluarganya.

Demikianlah kisah ringkas Ismail dan bendera Johor di Cape Town, Afrika Selatan. Saya paparkan kisah ini untuk membuktikan betapa seorang anak Melayu keturunan Johor yang dilahirkan di bumi asing tetap memuliakan bendera negeri asal nenek moyangnya.

Maka, bagaimana kita semua? Kita anak-anak Johor, tidakkah kita terusik jiwa dengan kisah Ismail seperti di atas. Tidakkah kita kini terpanggil untuk memuliakan bendera Johor dan bendera Malaysia. Bukankah hari ini sangat-sangat diharapkan semoga seluruh anak Johor memuliakan bendera itu kerana situasi mutakhir menimbulkan persepsi bahawa bumi Johor seolah-olah sedang terancam?

Kibarkanlah bendera Johor seberapa banyak yang boleh di bumi Johor menjelang sambutan kemerdekaan negara yang ke-50 ini, Ogos ini. Kita mulakan dari sekarang. Mari sama-sama kita banjirkan seluruh Bandaraya Johor Bahru, kawasan WPI dan seluruh bumi Johor dengan bendera Johor yang melambangkan kedaulatan DYMM Sultan Johor, yang melambangkan jiwa kepahlawanan anak-anak Johor, dan melambangkan kesejagatan kerajaan Johor.

[nota: esok akan saya paparkan sokongan kempen ini daripada anak-anak Johor di seluruh negara dan juga sokongan moral daripada sahabat-sahabat kita yang bukan anak Johor.]

HIDUP JOHOR
HIDUP MALAYSIA
KEPADA ALLAH BERSERAH!

- Ruhanie Ahmad

5 comments:

sahabat said...

Salam datuk,

Datuk kena panggil TV3, buat sidang media, kempen kibarkan bendera malaysia, terutama di WPI.

Mungkin Datuk boleh jawab kenapa johor dan kenapa penekanan kepada WPI. dan kenapa datuk beria-ia mengetuainya.

Apakah kaitan dengan Melayu Cape Town di Afrika Selatan.

Ada kemungkinan Datuk adalah hero pemberontakan ini, penentangan ini, dan merupakan orang sebenar yang dimaksudkan oleh LKY, yang tak sukakan Pak Lah dalam Umno itu.

Kerana Datuk telah istihar yang Datuk sukakan TDM secara total, walaun TDM itu sendiri pernah memecat Datuk kerana bos datuk iaitu Musa Hitam dipecat dari jawatan Timbalan Pendana Menteri.

Musa Hitam bukankah orang kuat WPI

TV3 akan siarkan, datuk.

A Voice said...

Saya amat berbangga dengan semangat juang anak Johor di perantauan bernama Ismail yang melibatkan diri menentang apartheid.

Secara tidak sengaja, ada seorang anak johor bernama pojok a voice yang menyokong dan melibatan diri juga dalam gerakan anti apartheid semasa belajar di Amerika. Sokongan yang diberi adalah juga atas kesedaran anak bangsanya, seperti Ismail di Cape Town, di aniayakan.

Unknown said...

Datuk,

This is the spirit that is lacking among our leaders and the majority of the malays in malaysia,they are no more interested about defending their rights,they will sell everything to the SINGAPOREANS for as long as they can make fast buck.

kudakepang said...

Malaysia, Voice, Aah.

Terima kasih.

Pandangan Malaysia adalah pendapat peribadi beliau. Saya hanya mnyarankan anak-anak Johor mengibarkan bendra sempena sambutan kemerdekaan kita ke-50 tahun. Kalau ada orang anggap lain, itu hak mereka. Kalau orang tak suka apa yang saya sarankan, kibarkanlah bendera Singapura atau Amerika Syarikat...

Voice. Saya cacatkan peristiwa Ismail di Cape Town untuk menyuntik semangat kepada anak-anak Johor supaya memuliakan bendera kita. Saya ucapkan syabas kerana anda juga terlibat dengan aktiviti anti apartheid sewaktu di AS.

Aah: Tq. Welcome to KK. Hopefully what you said here will make some of us get out of the artificial confort zone they are in right now.

Salam takzim

-thethinker- said...

Datuk.. kalau boleh , saya nak tau pendapat datuk mengenai pendirian Ismail.. Ismail merupakan rakyat Afrika Selatan tapi masih cintakan negara asal datuknya yakni Johor ( Malaysia ) ... dan Datuk menyanjungi semangat Ismail... bukankah itu yg juga dilakukan oleh sebilangan rakyat Malaysia , menyalurkan bakti dan taat setia kpd tanahair Malaysia , tetapi pada masa yg sama , tetap berpegang teguh kepada bahasa dan budaya kaum masing-masing...