Monday, August 01, 2011

Menjalani Ramadhan Dalam Kesederhanaan

Ruhanie Ahmad


Setiap kali tiba Ramadhan saya terkenangkan zaman silam di kampung pendalaman di Batu Pahat yang daif dan mundur di era penjajah.

Pada ketika itu, sekolah cuti sepanjang bulan Puasa dan dibuka semula selepas seminggu Hari Raya.

Di minggu pertama, kami sibuk menebang buluh betong untuk dijadikan meriam menggunakan kuasa karbait. Duit karbait kami himpun daripada jualan kelapa, kopi dan nenas.

Mulai minggu kedua, kami sibuk menjemur sabut kelapa untuk dijadikan pembakar kuih tradisional buatan ibu, termasuk kuih bangkit dan bahulu bagi hidangan di Hari Raya.

Pada minggu ketiga kami di bawa oleh ayah ke Bandar Penggaram untuk membeli sepasang kasut. Baju Melayu sudah disiapkan oleh ibu sepanjang bulan Muharam.

Pada minggu ini juga kami akan “memunjung” iaitu amalan keturunan Jawa untuk menghantar serba sedikit makanan dan kuih-muih kepada kelompok tertua di dalam keluarga kami.

Pada waktu yang sama, golongan yang muda dalam keluarga kami dan sudah berumahtangga pula akan “memunjung” keluarga kami.

Amalan ini adalah tradisi mengenang serta menghormati jasa kelompok tertua dalam keluarga sempena bulan Ramadhan dengan harapan mereka akan panjang umur dan sentiasa dalam peliharaan Allah SWT.

Pada dua hari terakhir bulan Puasa kami mula menghimpun daun kelapa muda dan daun pisang untuk dijadikan rangka ketupat, pembalut lepat dan juga kelongsong lontong.

Tetapi setiap petang Ramadhan kami akan menghantarkan serba sedikit juadah kepada jiran-jiran dan pada malam sepanjang bulan Puasa kami dimestikan bertarawih di surau berhampiran serta bertadarus sehingga khatam Quran.

Begitulah jadual kami selaku anak kampung di era penjajah. Kami melalui Ramadhan dan Syawal dalam kesederhanaan.

Dan, kesederhanaan inilah yang kami amalkan sehingga ke hari ini sebab Ramadhan, hari baik bulan baik, bukannya pesta makanan, tetapi tempoh waktu di mana kami semua meningkatkan ibadat kepada Allah SWT.

Selamat menjalani Ramadhan daripada kami sekeluarga… Kepada adik beradik serta sahabat handai yang mengirimkan sms sepanjang hari ini untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadhan, kami ucapkan jutaan terima kasih dan tataplah posting ini sebagai renungan bersama.

3 comments:

zeme said...

Salam Dato',

Selamat menyambut dan mengimarah ibadah Ramadhan al-Mubarak.

Wasalam.

Anonymous said...

Sori tok, sekarang barang semua mahal. Hanya dapat kunjung raya je. Maklumlah setiap kali BN menang barang naik. Tok simpan ajale kenangan tu......

Saed Barakat said...

Bung Ruhanie Ahmad,
Salaam Ramadhan

Mubarak! Mubaraq!
(adat si hanafiah di al quds)

Teringatkan si muslim malang di Somalia, Palestina, Uyhur dan di Malaysia sendiri.

Teringakan si muslim bertuah di US,UK, Norway dan di Malaysia sendiri.

Di Iran, Iraq, Bahrain, Yemen, Syria,Tunisia, Libya mereka sungguh-sungguh bermain mercun menyambut bulan-bulan mulia Islam.

Salam Al-Mubarak dan Hosni juga yang beruntung.


Terima Kasih