Saturday, June 27, 2009

Perlembagaan Payung Keselamatan Rakyat

Ruhanie Ahmad

Kerajaan perlu menghayati semula Perkara 149 dan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan sebelum meminda mana-mana akta keselamatan negara, khususnya ISA. Kedua-duanya memperuntukkan kuasa mecegah perbuatan subversif, kekerasan terrancang, perbuatan serta jenayah yang memudaratkan awam, dan mengenai kuasa-kuasa darurat.

Dalam konteks kajian keselamatan kontemporari, kedua-dua peruntukan perlembagaan ini menjamin keselamatan negara, keselamatan politik, keselamatan rejim, keselamatan pribumi, keselamatan etnik, keselamatan masyarakat dan keselamatan ekonomi, serta aspek acaman yang dijangka muncul (perceived threats) dan keselamatan bukan tradisional seperti terorisme, sabotaj, ekstremisme, cauvinisme dan pengkhianatan terhadap negara.

Seluruh aspek ini dikaji secara serius, meluas dan mendalam sejak awal tahun 1990-an, setelah meletus beberapa konflik etnik yang menyebabkan peperangan di era pasca Perang Dingin. Antara kajian ini terkandung dalam buku-buku Buzan (1991), Buzan, Waever, De Wilde (1998), Scherrer (2003), Mackerras (2003), Guzzini & Jung (2004), Sheehan (2005), dan Booth (2007).

Perkara 149 dan Perkara 150 juga adalah lambang keprihatinan pemimpin Malaysia pelbagai kaum yang proaktif dan futuristik terhadap perceived threats dan ancaman bukan tradisional yang terbukti dengan tercetusnya tragedi 13 Mei 1969.

Keselamatan Politik

Keselamatan politik merangkumi keupayaan organizational sesebuah negara, sistem kerajaan dan ideologi yang melegitimasikan kerajaan berkenaan (Buzan 1991:19). Aspek ini di Malaysia dihuraikan dalam Perkara 149(1)(b) yang mencegah tindakan “membangkitkan perasaan tidak suka terhadap Yang diPertuan Agong atau mana-mana kerajaan dalam Persekutuan,” dan Perkara 149(1)(d) yang melarang tindakan ”untuk mendapatkan diubah, dengan apa-apa cara lain daripada cara yang sah, apa-apa jua yang tertubuh menurut undang-undang.” Ini kerana Yang diPertuan Agong adalah lambang demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan, dan usaha merobah kerajaan secara demokratik adalah mencanggahi amalan demokrasi.

Keselamatan Masyarakat

Keselamatan masyarakat adalah mengenai kemampanan pola tradisional bahasa, kebudayaan dan agama serta identiti dan adat resam dalam suatu keadaan yang melalui evolusi (Buzan 1991:19). Dalam konteks yang seluas-luasnya, aspek keselamatan masyarakat juga merangkumi keselamatan insan, keselamatan pribumi, keselamatan etnik dan keselamatan identiti. Hal ini dilundungi oleh 149 Perkara 149(1)(a) yang mencegah tindakan “menyebabkan kekerasan yang dirancang terhadap orang atau harta, atau untuk menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan kekerasan itu,” Perkara 149(1)(c) yang mencegah perbuatan “mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan antara beberapa kaum atau golongan penduduk yang mungkin menyebabkan kekerasan,” dan Perkara 149(1)(f) yang melarang tindakan “mendatangkan mudarat ketenteraman awam atau keselamatan, dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya.”

Ini membuktikan bahawa ISA yang bersumberkan Perkara 149 dan 150 bukannya undang-undang, seperti kata Lim Kit Siang (1978:180), yang menjadi instrumen politik untuk melenyapkan pengkritik kerajaan, ketua parti pembangkang, pemimpin pelajar dan peneraju kesatuan sekerja.

Sebaliknya, Perkara 149 dan 150 serta ISA adalah instrumen undang-undang yang menghalalkan tindakan sesiapa juga yang memerintah Malaysia secara demokratik untuk melindungi keselamatan rakyat supaya identiti mereka tidak terjejas, konflik etnik dapat dibendung dan keganasan etnik dapat dielakkan.

Keselamatan Ekonomi

Keselamatan ekonomi adalah melibatkan akses kepada sumber-sumber, kewangan dan pasaran yang diperlukan untuk memelihara tahap kebajikan rakyat dan kuasa negara (Buzan 1991:19). Aspek keselamatan ini termaktub dalam Perkara 149(1)(a) yang melarang tindakan “kekerasan yang dirancang terhadap harta”, Perkara 149(1)(e) yang memfokus kepada tindakan yang “mendatangkan mudarat kepada ketenteraman awam atau keselamatan dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya,”dan Fasal 8(1) ISA yang khusus mengenai tindakan individu yang “boleh mendatangkan mudarat kepada penyenggaraan perkhidmatan perlu di dalam negara atau kepada kehidupan ekonominya.”

Keselamatan Rejim

Seluruh peruntukan dalam Perkara 149 dan Perkara 150 serta ISA juga memberikan perlindungan kepada keselamatan rejim. Konsep ini memfokus kepada negara, individu, dan kumpulan sosial yang wujud dalam sesebuah negara. Antara nilai-nilai teras yang dipertahankannya adalah ideologi politik pemerintah, perpaduan etnik, keharmonian agama, institusi raja, pembangunan dan kemakmuran.

Ini membuktikan konsep ini hampir serupa dengan konsep keselamatan politik, keselamatan masyarakat dan keselamatan ekonomi. Keselamatan rejim disifatkan sebagai keselamatan kerajaan (Buzan 1985) kerana konsep ini penting kepada kelangsungan negara Dunia Ketiga, khususnya bila wujud masyarakat majmuk yang tidak berkongsi nilai dan kepentingan nasional yang serupa.

Keselamatan Pribumi

Konsep keselamatan pribumi dihuraikan secara tidak langsung menerusi konsep keselamatan etnik dan identiti. Oleh sebab itu, antara cabang keselamatan masyarakat yang dihalusi oleh Buzan serta rakan-rakannya di Copenhagen Peace Research Institute (COPRI) adalah mengenai migrasi serta dampaknya kepada pribumi. Menurut Sheehan (2005:92), Buzan menyifatkan migrasi sebagai ancaman kepada masyarakat (pribumi), bukan kepada negara, dan mulai 1990-an, isu migrasi didilabelkan sebagai ancaman keselamatan.

Pendapat ini membuktikan masalah keselamatan pribumi adalah isu penting mutakhir ini. Scherrer (2003:95-97) menyatakan, serangan berterusan terhadap elemen-elemen mengenai identiti sesuatu kelompok mewujudkan penentangan yang mendorong pemberontakan; perbuatan mempolitikkan etnisiti makin bertambah; dan etnisiti terus menjadi elemen dalam sesuatu pertelingkahan sosial.

Tindakan Proaktif

Pejuang kemerdekaan tanah air yang pelbagai kaum berfikiran jauh bila identiti pribumi Malaysia dikonstruk secara berperlembagaan menerusi Perkara 160, Perkara 161A, (6)(a)), 161A(7) dan 161A(6)(b) Perlembagaan Persekutuan; dan konsep kewarganegaraan bagi bukan pribumi pula dikonstruk menerusi Perkara 14, 15, 15A, 16, 16A, 18, 19 dan 22 Perlembagaan Persekutuan serta digandingi oleh prinsip muafakat dan toleransi supaya mereka turut mendukung prinsip kehidupan secara aman, rukun dan damai.

Etnik keturunan Cina yang membangkang huraian ini wajar membaca beberapa buku mengenai etnisiti, termasuk Ethnicity in Asia (Mackerras (2003), yang membuktikan etnisiti di Malaysi adalah lebih baik berbanding layanan kepada kaum minoriti di China, Singapura, Indonesia dan Thailand.

Pelindung Rakyat

Kesimpulannya, tragedi 13 Mei yang meletus setelah tidak wujud lagi ancaman komunis dan konfrontasi, adalah disebabkan adanya kelompok politik menyemarakkan isu etnisiti menerusi kritikan terhadap beberapa peruntukan mengenai pribumi dalam Perlembagaan Persekutuan. Tragedi ini boleh berulang berasaskan faktor-faktor yang dihuraikan di atas. Ia juga boleh meletus kerana soal-soal hak asasi dan kebebasan asas kini digandingkan dengan isu-isu etnisiti.

Wacana mengenai hak-hak asasi ini muncul dalam pelbagai bentuk, termasuk hak-hak sivil, politik, etnik dan demokrasi.Ia terbahagi kepada aliran universalis yang popular di Barat dan aliran komunitarian yang wujud di Asia (Mackerras 2003:4-5). Aliran universalis menitikberatkan hak sesuatu kelompok. Mereka ketepikan elemen sejarah dan permuafakatan kaum di Malaysia serta enggan mengambilkira dampak perjuangannya kepada keselamatan negara dan rakyat.

Gerakan ini kian menonjol di Malaysia. Kes-kes membabitkan Islam diheret ke mahkamah sivil. Keistimewaan pribumi terus dipolitikkan. Bahasa Melayu mahu disinonimkan dengan bahasa etnik lain, termasuk untuk kegunaan di papan tanda jalan. Ini membuktikan kebenaran hujah bahawa tragedi 13 Mei akan berulang jika fenomena aliran universalis dalam memperjuangkan isu etnisiti di Malaysia tidak dibendung secara berkesan.

Ini juga membuktikan Perkara 149 dan 150 Perlembagaan Persekutuan serta ISA adalah pelindung kepada seluruh peruntukan perlembagaan mengenai pribumi yang masih dipolitikkan oleh sesetengah pemimpin parti politik di negara ini. Ia juga memperkukuhkan hujah bahawa seluruh peruntukan perlembagaan mengenai Agama Islam, Raja-Raja Melayu, orang Melayu, Bumiputera, dan Bahasa Melayu tidak akan mencetuskan konflik etnik seperti tragedi 13 Mei jika kesemuanya tidak dijadikan permainan kuasa oleh segolongan pemimpin politik dan pertubuhan sivil.

Lantaran itu, orang Melayu dan Bumiputera tidak harus terpengaruh dengan dakyah bahawa ISA yang bersumberkan Perkara 149 dan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan adalah akta yang memindas rakyat. Bukan Melayu dan bukan Bumiputera juga perlu memahami hakikat ini kerana jika negara dilanda konflik etnik, mereka juga turut terjejas, keselamatan ekonomi tidak terjamin, keselamatan etnik juga turut tergugat.

Orang Melayu, umat Islam dan bukan Bumiputera di Malaysia juga perlu bersyukur dengan kewujudan Perkara 149 dan Perkara 150 yang menjadi sumber kepada ISA dan lain-lain undang-undang keselamatan kerana kesemuanya adalah payung kepada keselamatan negara dan rakyat.

Kerajaan tidak wajar memansuhkan seluruh undang-undang ini. Sebarang pindaan yang wajar dilakukan tidak boleh mengkompromikan Perkara 149 dan 150 yang melindungi kepentingan serta kelangsungan pribumi, rakyat bukan pribumi dan lain-lain peruntukan strategik dalam Perlembagaan Persekutuan.

Thursday, June 25, 2009

Jambatan bengkok penting, jambatan ketiga tidak diperlukan....

Satu kesilapan besar era pemerintahan lalu adalah membatalkan projek Jambatan Bengkok bagi menggantikan Tambak Johor. Untuk membaca huraian mengenai isu ini sila baca buku Mahathir Menyinga yang dipaparkan di sidebar blog ini.

Antara kesilapan yang mungkin terjadi di hari-hari mendatang pula adalah jika kerajaan pada hari ini menyetujui cadangan jirannya untuk membina Jambatan Ketiga merentangi Selat Teberau bagi menghubungkan timur Johor dengan zon timur Singapura.

Banyak sebab-sebab strategik untuk menyokong hujah di atas. Antaranya adalah seperti yang dinyatakan oleh Datuk Abdul Halim Suleiman, ADUN BN-Puteri Wangsa, Johor, bahawa kerajaan wajar mengkaji semula cadangan pembinaan jambatan itu kerana terlalu banyak pintu keluar masuk dari Johor ke Singapura hingga boleh menimbulkan masalah daripada segi kawalan keselamatan (Utusan Malaysia 24.6.2009).

Minggu lalu, blog ini mencadangkan supaya kerajaan memerkenalkan kajian impak keselamatan negara bagi projek penting dan stategik di perbatasan tanah air seperti di sempadan Johor-Singapura.

Ini kerana soal keselamatan negara mutakhir ini tidak lagi wajar berasaskan rasional pemikiran era Perang Dingin (PD) yang ditentukan oleh pertimbangan antara peperangan dan keamanan. Sebaliknya, keselamatan negara yang kontemporari wajar berpaksikan kepada lima faktor utama, iaitu keselamatan militari, keselamatan politik, keselamatan ekonomi, keselamatan masyarakat dan keselamatan alam sekitar. Berdasarkan komponen keselamatan negara yang kontemporari ini, wajar diwujudkan satu sistem kajian impak keselamatan (KIK) bagi mana-mana projek penting kerajaan, terutamanya di lokasi yang strategik, termasuk di kawasan perbatasan negara. Sebagai permulaan, wajar dilakukan KIK terhadap cadangan projek Jambatan Ketiga di perbatasan Malaysia-Singapura. Kajian KIK ini penting untuk memastikan secara terperinci bahawa projek berkenaan memenuhi seluruh aspek keselamatan di atas. Jangan sampai kemudian hari kelak projek ini menjejaskan keupayaan militari, politik, ekonomi, masyarakat dan alam sekitar Malaysia. Kajian ini juga amat penting untuk mengelakkan sebarang implikasi kepada keselamatan negara seluruhnya. Ini kerana Malaysia sudah pun mempunyai precedent mengenai ancaman keselamatan kepada satu projek besar di sempadan Singapura (kuda-kepang 19.6.2009).

Kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin pastinya amat prihatin terhadap suara ADUN Johor dan saranan kuda-kepang seperti di atas. – Ruhanie Ahmad

Friday, June 19, 2009

Perkenalkan kajian impak keselamatan negara bagi projek penting dan stategik

Ruhanie Ahmad

Rejim keselamatan dunia dan keselamatan sesebuah negara sentiasa melalui evolusi. Oleh sebab itu soal keselamatan negara mutakhir ini sewajarnya tidak lagi berasaskan rasional pemikiran era Perang Dingin (PD) yang ditentukan oleh pertimbangan antara peperangan dan keamanan. Sebaliknya, keselamatan negara yang kontemporari wajar berpaksikan kepada lima faktor utama, iaitu keselamatan militari, keselamatan politik, keselamatan ekonomi, keselamatan masyarakat dan keselamatan alam sekitar.

Demikian pendapat kritikal beberapa sarjana keselamatan, termasuk Barry Buzan, Ken Booth serta lain-lainnya, terutama sekali mereka yang memperjuangkan aliran pemikiran Copenhagen Peace Research Institute atau COPRI.

Menurut Buzan (1991:19), keselamatan militari menjurus kepada kemampuan ketenteraan dalam konteks ofensif dan defensif. Keselamatan politik merangkumi keupayaan organizational sesebuah negara, sistem kerajaannya dan ideologi yang melegitimasikan kerajaan berkenaan. Keselamatan ekonomi melibatkan akses kepada sumber-sumber, kewangan dan pasaran yang diperlukan untuk memelihara satu tahap kebajikan dan kuasa yang sewajarnya di sesebuah negara. Keselamatan masyarakat mengenai kemampanan pola tradisional bahasa, kebudayaan dan agama serta identiti dan adat resam dalam suatu keadaan yang melalui evolusi. Keselamatan alam sekitar mengenai pemuliharaan biosphere lokal dan planetary yang diperlukan oleh manusia.

Berdasarkan komponen keselamatan negara yang kontemporari seperti di atas, wajar diwujudkan satu sistem kajian impak keselamatan (KIK) bagi mana-mana projek penting kerajaan, terutamanya di lokasi yang strategik, termasuk di kawasan perbatasan negara.

Sebagai permulaan, wajar dilakukan KIK terhadap cadangan projek Jambatan Ketiga di perbatasan Malaysia-Singapura. Kajian KIK ini penting untuk memastikan secara terperinci bahawa projek berkenaan memenuhi seluruh aspek keselamatan di atas. Jangan sampai kemudian hari kelak projek ini menjejaskan keupayaan militari, politik, ekonomi, masyarakat dan alam sekitar Malaysia.

Kajian ini juga amat penting untuk mengelakkan sebarang implikasi kepada keselamatan negara seluruhnya. Ini kerana Malaysia sudah pun mempunyai precedent mengenai ancaman keselamatan kepada satu projek besar di sempadan Singapura.

Contohnya: Kota Iskandar, the sprawling new (Johore) state administrative capital in Nusajaya, faces a major security risk as it is located near a Singapore firing range. The range, inside the Sarimbun Camp, is operated by the Singapore Armed Forces and involves the use of a live ammunition from tanks and aircraft including helicopter gunships.There have been instances when the explosions at the range have caused vibrations on the Malaysian side less than 2km away (The Star 21.5. 2009).

Contoh di atas sukar untuk dipastikan akibat kesilapan siapa -- Malaysia atau Singapura. Perbincangan mengenainya hanya akan jadi sesuatu yang akademik. Tetapi, ancaman seperti ini pasti boleh dielakkan jika ianya adalah kesilapan Malaysia. Dan ancaman ini juga pasti boleh dijadikan isu dua-hala jika sebelum ibu negeri Johor itu dibina, apa yang kini wujud di Singapura itu memang belum lagi wujud.

Demikianlah contoh mengenai kepentingan KIK. Ia sangat penting untuk dilakukan bagi cadangan projek Jambatan Ketiga. Ini kerana projek tersebut masih dalam peringkat kajian. Tetapi, mungkin juga lebih bermanfaat besar jika Malaysia langsung ketepikan projek ersebut, lebih-lebih lagi bila DYMM Sultan Johor sendiri pun tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan. DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU!

Tuesday, June 16, 2009

1 Malaysia bukan untuk lenyap identiti kaum etnik - PM

KUALA LUMPUR 15 Jun – Perdana Menteri menegaskan bahawa gagasan 1 Malaysia adalah amat berbeza daripada konsep asimilasi yang diamalkan di negara lain, di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan bagi digantikan dengan satu identiti nasional baru.

Datuk Seri Najib Tun Razak juga berkata, konsep gagasan tersebut juga jauh berbeza daripada konsep Malaysian Malaysia parti pembangkang yang tidak bertunjangkan kepada Perlembagaan Persekutuan.
– (Utusan, 15.06.2009 1:10pm)

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_04.htm

Dalam pertemuan dengan PERKASA di pejabatnya di Putrajaya, Jumaat lalu, Najib menyatakan dengan setegas-tegasnya bahawa Gagasan 1 Malaysia tidak akan menjejaskan status pribumi Malaysia dalam Perlembagaan Persekutuan, sama ada secara yang tersurat atau yang tersirat. Katanya lagi, 1 Malaysia juga bukannya Malaysian Malaysia.

Konsep Malaysian Malaysia adalah ciptaan Lee Kuan Yew. Setelah Singapura diusir keluar dari Malaysia pada 9 Ogos 1965, Lee Kuan Yew dipetik oleh Utusan Zaman, 15 Ogos 1965, seperti berikut:

Mereka juga berpendapat mereka boleh memberhentikan Malaysian Malaysia daripada tercapai sekiranya Singapura keluar dari Malaysia.

Kenyataan ini seolah-olah memberikan mesej kepada pemimpin dan rakyat Malaysia, bahawa walaupun PAP sudah terkeluar dari Malaysia, konsep Malaysian Malaysia akan diteruskan oleh proksinya di negara ini.

Proksi tersebut adalah DAP. Hakikat ini ditegaskan oleh Dewan Masyarakat Februari 1975, seperti berikut:

Sebenarnya, pemisahan Singapura dari Malaysia pada 8 Ogos 1965 itu sama sekali tidak menamatkan kempen Malaysian Malaysia. DAP yang lahir sebagai “anak PAP” hasil daripada pemisahan itu terus memperjuangkan matlamat PAP itu. DAP pun menyuarakan tuntutan hak-hak yang sama untuk masyarakat bukan Melayu di Malaysia.

Malaysian Malaysia yang diilhamkan oleh Lee Kuan Yew bermakna bahawa negara dan negeri tidaklah diidentitikan dengan keutamaan dan faedah-faedah satu komuniti atau bangsa sahaja

Berikut adalah kenyataan Tun Tan Siew Sin, ketika memidas konsep Malaysian Malaysia seperti yang dilaporkan oleh Utusan Melayu, 8 Julai 1965:

Tun Tan Siew Sin mengingatkan rakyat, khasnya orang-orang Cina, supaya sentiasa berhati-hati terhadap tindak-tanduk segolongan orang-orang Cina di negara ini yang berpura-pura menjadi ‘juara’ orang-orang Cina dengan menyuarakan tentangan hak-hak istimewa orang-orang Melayu. Orang-orang ini, berpura-pura untuk memperjuangkan nasib Malaysia tetapi pada hakikatnya, mereka ini adalah berusaha hendak menghancurkan Malaysia bagi kepentingan mereka sendiri. Kita tidak mahu jaguh-jaguh seperti ini yang bertujuan semata-mata untuk menimbulkan kacau-bilau dan pecah-belah bukan sahaja di kalangan orang-orang Cina, tetapi juga Malaysia seluruhnya.

Ini pula laporan Berita Harian 16 April 1969 yang memetik kenyataan seorang lagi pemimpin MCA, Khaw Kai Boh, mengenai konsep Malaysian Malaysia seperti berikut:

Sikap DAP yang anti-Melayu dengan sendirinya akan merosakkan kepentingan seluruh orang Cina di masa depan. Kalau DAP meneruskan dasarnya yang anti-Melayu itu tidak syak lagi huru-hara dan pergaduhan kaum akan berlaku di negara ini. Walaupun DAP tidak berterus-terang menyatakan anti-Melayu, tetapi rakyat faham dasar perjuangannya hendak menghapuskan Raja-Raja, hak orang-orang Melayu dan kecamannya terhadap MARA.

Akhir sekali, ikutilah kenyataan bekas Presiden MCA, Datuk Lee San Choon, dalam Berita Harian 15 November 1982, juga mengenai Malaysian Malaysia seperti berikut:

DAP cuba mewujudkan perpecahan dan suasana yang tidak harmoni di antara kaum di negara ini menerusi perisytiharan “yang paling jahat” menentang dasar kerakyatan, kebudayaan dan Bahasa Malaysia. Saya tidak pernah terjumpa mana-mana parti lain seperti DAP yang begitu oportunistik dan tidak jujur dalam mengeksploitasi dasar kerajaan dalam bidang-bidang itu.

Berdasarkan kenyataan Najib mengenai 1 Malaysia serta kenyataan-kenyataan Tan Siew Sin, Khaw Kai Boh dan Lee San Choon yang membidas konsep Malaysian Malaysia, terbuktilah bahawa Gagasan 1 Malaysia bukannya sama dengan Konsep Malaysian Malaysia.

Maka, wajarlah kita semua bebaskan diri masing-masing daripada propaganda bahawa Gagasan 1 Malaysia adalah sinonim dengan Konsep Malaysian Malaysia. – Ruhanie Ahmad

Tuesday, June 09, 2009

Melayu memang amat rindu kepada perpaduan

Ruhanie Ahmad

Gagasan kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh PAS adalah inisiatif optimistik. Ini kerana perpaduan siasah Melayu adalah teras kepada kemantapan siasah negara. Bila siasah Melayu kembali intim, bagai aur dengan tebing, lenyaplah kelompok oportunis yang selama ini melukut di tepi gantang atau menangguk di air keruh.

Hati pemimpin besar UMNO dan PAS kini hampir bertaut untuk merealisasikan gagasan ini. Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, bersikap terbuka terhadap gagasan berkenaan. Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula menegaskan, partinya tidak akan menutup pintu rundingan dengan mana-mana pihak kerana ia merupakan satu tuntutan dalam Islam (Utusan Malaysia 8.6.2009).

Hadi juga yakin gagasan tersebut mampu menyelesaikan masalah negara. Katanya, gagasan ini juga adalah untuk kebaikan kita semua yang sekarang begitu rapuh dari segi perpaduan (Utusan Malaysia 6.6.2009).

Lantaran itu, gagasan ini wajar disokong oleh orang Melayu yang memang amat merindui perpaduan tulen lagi abadi. Sokongan ini penting. Survival bangsa Melayu hanya dapat dikekalkan jika wujud kesatuan hati di antara sesama Melayu. Bangsa Melayu juga hanya boleh terselamat jika kuat. Dan, hanyalah boleh kuat jika bersatupadu (Datuk Onn Jaafar, 1.3.1946).

Oleh sebab itu, seluruh orang Melayu wajar juga mengiringi usaha merealisasikan gagasan ini dengan jutaan doa dan harapan. Cendikiawan Melayu perlu membantu proses mengartikulasikan gagasan ini dari segi roh, jiwa, semangat, falsafah dan formatnya.

Pihak-pihak yang berhasrat untuk membangkang, insaflah bahawa gagasan ini adalah demi kepentingan Melayu yang kebelakangan ini diprovokasikan kesabarannya dan dihiris jiwanya oleh sesetengan elemen bukan Melayu.

Kekuatan sesuatu bangsa bergantung kepada perpaduan. Kesediaan pemimpin parti-parti politik Melayu untuk bertemu dan bermusyawarah sudah lama ditunggu setelah pertarungan politik menjerumuskan masyarakat Melayu di negara ini ke gaung perpecahan yang membimbangkan (Mustapa Mohamed 2001:73).

Gagasan kerajaan perpaduan ini masih samar-samar. UMNO dan PAS, dengan bantuan intelektual Melayu, perlu menghalusi seluruh kaedah, konsep dan teori yang serasi. Mereka wajar merujuk kepada al-Quran dan Sunnah Nabi. Mereka juga boleh melakukan kajian perbandingan berasaskan apa juga pandangan yang merujuk kepada gabungan serta kerjasama politik di seluruh dunia.

Banyak ruang yang perlu diterokai dan banyak aspek yang perlu didihalusi oleh UMNO dan PAS. Proses ini memerlukan kebijaksanaan dan kesabaran paling maksimum.

Pertama, adakah kerajaan perpaduan ini bermatlamat untuk melakukan satu koreksi total terhadap segala kepincangan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri supaya relevan dengan tuntunan zaman mutakhir ini?

Kedua, adakah kerajaan pepaduan ini bertujuan untuk mendorong UMNO dan PAS supaya menjadi lebih dedikated, fokus dan sensitif kepada permasalahan pribumi Malaysia dalam konteks kemajmukan masyarakat Malaysia hari ini?

Ketiga, adakah penubuhan kerajaan perpaduan ini memerlukan satu emansipasi serta perubahan struktur yang radikal dalam organisasi UMNO dan PAS? Mungkinkah konsep kerajaan berkenaan memerlukan UMNO dan PAS dibubar dan dijelmakan semula menerusi satu wadah, imej, fokus, keutamaan, aspirasi, falsafah serta kombinasi aktor perjuangan yang baru?

Keempat, adakah kerajaan perpaduan ini merupakan kerajaan gabungan yang longgar atau satu ikatan yang erat seperti yang diamalkan oleh BN sejak 1 Julai 1974?

Kelima, bagaimanakah reaksi komponen bukan Melayu dalam BN mengenai gagasan ini? Bagaimana pula respons rakan seperjuangan PAS dalam PR mengenai gagasan yang sama?

Selain itu, wajar dipersetujui bentuk-bentuk manfaat, faedah dan ganjaran untuk semua pihak terbabit. Ini bukan soal remeh. Pengalaman di beberapa negara tertentu, soal-soal inilah yang lazimnya mencetuskan perbalahan antara komponen sesuatu gabungan sehingga menyebabkan keretakan dan perpecahan.

Dalam hal ini, UMNO, PAS dan BN wajar menyetujui prinsip-prinsip pembahagian kuasa di antara mereka. Contohnya, tidakkah PAS layak diberikan kerusi Timbalan Perdana Menteri Kedua? Kementerian manakah yang akan dikendalikan oleh menteri penuh daripada PAS?

Mungkinkah komponen BN akan mengizinkan UMNO dan PAS berperanan utama dalam mewujudkan pelbagai dasar sosio-ekonomi yang affirmatif dan lebih berorientasikan syara’? Apa pula ciri-ciri keseimbangan yang akan diwujudkan untuk mencerminkan kemajmukan Malaysia dalam konteks ini?

Sebagai strategi tempoh sederhana dan jangka panjang, UMNO dan PAS juga wajar mengemukakan satu blue-print bersama mengenai sosialisasi dan integrasi siasah bagi seluruh anggota mereka di peringkat akar umbi. Ini adalah untuk meleburkan sikap permusuhan siasah yang wujud selama ini supaya semangat ukhwah yang baru boleh ditransformasikan menjadi tenaga perjuangan yang jitu demi Islam dan Melayu.

Semua pandangan di atas hanyalah satu hipotesis. Bagaimanapun, ianya adalah berdasarkan observation peribadi saya terhadap kegagalan gabungan UMNO dan PAS dalam BN sebelum ini.

Contohnya, antara faktor utama yang menggagalkan perpaduan UMNO-PAS dalam BN sebelum ini adalah percakaran siasah yang wujud daripada rasa tidak puas hati mengenai pembahagian kerusi dalam sesuatu pilihan raya umum, pembahagian kerusi dalam kabinet, pembahagian jawatan di peringkat negeri dan daerah, serta petembungan sefera (spherre) pengaruh politik di peringkat akar umbi.

Oleh itu, soal pengaruh politik dan soal manfaat, faedah dan ganjaran ini wajar dihalusi secara tuntas dan rinci. Soal-soal strategik membabitkan orientasi, fokus serta falsafah BN yang baru juga perlu dibereskan secara telus dan jujur.

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara saudara kamu (yang bertelengkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat (Al-Qur’an, Al-Hujuraat 49:10).

Friday, June 05, 2009

Selamat datang Lee Kuan Yew. Selamat berjuang Samy Vellu!

Ruhanie Ahmad

Lee Kuan Yew akan menjelajah Malaysia minggu depan. Beliau akan mengadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Perak dan Sultan Pahang. Beliau juga akan mengunjungi Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Seterusnya, beliau akan menemui Naib-Naib Presiden UMNO, Presiden MCA, Menteri Besar Selangor, Menteri Besar Perak, Menteri Besar Kelantan dan Ketua Menteri Pulau Pinang (The Malaysian Insider).

Semalam Samy Vellu mahu Awang Selamat dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan semata-mata kerana kolumnis itu menyiarkan semula kenyataan Tan Siew Sin mengenai fakta sejarah etnisiti di Malaysia (atikel Awang Selamat ini disiarkan dalam Mingguan Malaysia 31.5.2009).

Hari ini ada pemimpin pemuda MIC buat laporan polis terhadap Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, semata-mata kerana ayat ini: Bila orang Melayu membela hak Melayu, mereka kata perkauman, namun apabila mereka membela hak mereka dan ada kalanya menyinggung perasaan orang Melayu dan raja-raja Melayu, mereka tidak menganggapnya sebagai perkauman (Ibrahim Ali, Presiden Perkasa, Utusan Malaysia: 4.6.2009).

Secara kebetulan, antara rumusan posting saya malam tadi adalah kenyataan ini: Bila orang Melayu dan Bumiputera bertindak untuk menyuarakan kebenaran, tindakan itu cepat-cepat dilabelkan oleh sesetengah bukan Melayu sebagai tindakan rasis dan anti-perpaduan. Tetapi, bila sesetengah bukan Melayu mengungkit-ungkit, mengasak dan cuba menginjak-injak kedudukan Melayu pada hari ini, tidak ada siapa pula yang berani melabelkan tindakan segolongan bukan Melayu itu sebagai cauvinis dan rasis. Jika beginilah keadaannya, bilakah akan wujud perpaduan nasional yang tulin di Malaysia? Jika beginilah keadaannya, sampai bilakah orang Melayu dan Bumiputera akan menjadi mangsa label yang double-standard semata-mata kerana sebagai peribumi, orang Melayu dituntut supaya sentiasa bersabar dan bersikap amat toleran terhadap gelagat sesetengah bukan Melayu yang seolah-olah mahu mencabar kesebaran orang Melayu dan Bumiputera (Ruhanie Ahmad, Ketua Penerangan Perkasa, kuda-kepang: 3.6.2009).

Seterusnya, untuk renungan Samy Vellu, anak buahnya yang membuat aduan polis mengenai Ibrahim Ali, Lim Guan Eng yang diberitakan menyekat wartawan Utusan Malaysia daripada menghadiri satu sidang akhbar anjuran PKR di Pulau Pinang, Lim Kit Siang yang diberitakan sebagai memfitnahkan MARA kononnya kehabisan dana untuk membiayai biasiswa pelajar Bumiputera, orang kuat Gerakan yang nak bawa balik Chin Peng, dan lain-lainnya yang pada hujung tahun 2008 mengungkit-ungkit hal ehwal orang Melayu, saya paparkan di sini imbasan berita daripada Berita Harian 25 Jun 1965 seperti berikut:

KUALA LUMPUR, 24 JUN 1965 – Menteri Kerjayara, Pos dan Telekom, Datuk V.T Sambanthan, hari ini telah bertanyakan Lee Kuan Yew, Perdana Menteri Singapura, di negeri mana di dalam dunia ini bangsa-bangsa yang mendatang diterima baik menjadi warganegaranya beramai-ramai.

Beliau menegaskan bahawa hanya negara ini sahaja di dalam dunia ini telah memberi segala kemudahan kepada semua bangsa yang mendatang di sini menjadi warganegaranya.

Datuk Sambanthan berkata demikian di dalam Dewan Rakyat tadi ketika dewan mendebatkan titah ucapan Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong.

Di dalam ucapannya selama 45 minit, Datuk Sambanthan telah mengkecam hebat sikap Lee Kuan Yew yang memainkan peranan perkauman di sini untuk kepentingan diri sendiri.

Beliau menuduh Lee Kuan Yew cuba memainkan politik perkauman dengan mengatakan Kerajaan Melayu Pusat cuba menguasai Kerajaan Negeri.

Datuk Sambanthan telah bertanyakan Lee Kuan Yew di mana letaknya logik tuduhannya itu.

Katanya: “Jikalau sungguhlah dakwaan Lee Kuan Yew itu, memang bodohlah pemimpin-pemimpin Melayu di sini dalam tahun 1957 dahulu memberi segala kemudahan kepada bangsa-bangsa asing di sini menjadi warganegara di sini.

“Jika benar laungan-laungan Lee Kuan Yew itu bahawa Kerajaan Melayu Pusat hendak mengusai bangsa-bangsa lain, mengapa mereka membenarkan bangsa-bangsa asing itu dengan senang saja menjadi warganegara di sini”.

“Ini amat bodoh sekali kerana adanya lebih ramai bangsa-bangsa asing (khususnya Cina dan India) menjadi rakyat di sini, tentu sukar bagi orang-orang Melayu di sini hendak menguasai bangsa-bangsa lain itu.

“Jika benar mereka hendak menguasai bangsa-bangsa asing di sini, mereka denga mudah sahaja berbuat demikian dalam tahun 1957 dahulu dengan tidak memberi kemudahan untuk bangsa-bangsa asing menjadi warganegara.

Beliau menerangkan bahawa sungguhpun orang-orang Melayu telah bermurah hati menerima baik bangsa-bangsa asing, tetapi sekarang ini mereka itulah (Melayu) golongan bangsa yang termiskin sekali.

Datuk Sambanthan bertanya: “Siapa yang memiliki bandar-bandar dan gudang-gudang serta ladang-ladang di sini. Adakah gudang-gudang dan ladang-ladang ini dimiliki oleh orang-orang Melayu?” (Berita Harian: 25.6. 19650).

Hansard yang menjadi asas kepada kenyataan Sambanthan di atas pastinya masih tersimpan di pusat data Parlimen Malaysia. Kenyataan tersebut amat relevan kepada Samy Vellu, DAP dan kita semua, khususnya orang Melayu yang asyik dituduh sebagai perkauman, walaupun dalam menyatakan kebenaran mengenai sejarah etnisiti di tanah air ini. Fikir-fikikanlah!

Wednesday, June 03, 2009

Pendidikan etnisiti di Malaysia

Ruhanie Ahmad

Para pelajar institut pengajian tinggi awam kini diwajibkan mempelajari soal etnisiti di Malaysia. Ini langkah yang positif. Menerusi pendekatan ini proses assimilasi dan integrasi etnik diharap dapat menghasilkan sebuah negara Malaysia yang benar-benar aman, rukun, damai dan muafakat.

Untuk menghayati subjek ini, sewajarnya para pelajar didedahkan kepada fakta-fakta sejarah di negara ini. Contohnya, kemajmukan Malaysia bukannya atas pilihan sesiapa, melainkan atas agenda penjajah British.

Perangkaan-perangkaan tertentu juga perlu diketengahkan untuk membuktikan betapa tindakan British membawa masuk orang asing tanpa kawalan ketika itu pernah menyebabkan jumlah mereka mengatasi jumlah penduduk peribumi di Tanah Melayu.

Contoh satu: pada 1871, terdapat 104,615 orang rakyat Cina dan 33,390 rakyat orang India, iaitu 45 peratus daripada seluruh penduduk Tanah Melayu pada ketika itu. Bilangan ini meningkat kepada 583,396 orang rakyat Cina dan 74,081 orang rakyat India pada 1891, atau 57 peratus daripada seluruh penduduk Tanah Melayu pada tahun 1901. Pada tahun 1941 terdapat seramai 2,418,651 rakyat Cina dan 767,693 rakyat India menetap di Tanah Melayu. Mereka merupakan 58 peratus daripada jumlah penduduk Tanah Melayu pada tahun berkenaan (Ooi 1986:20)

Contoh dua: akibat dasar British membawa masuk orang asing ke Tanah Melayu tanpa sebarang kawalan, banci penduduk Tanah Melayu pada tahun 1931 mendapati jumlah orang asing di Tanah Melayu ketika itu telah mengatasi jumlah seluruh peribumi. Kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 1932-1933 menyebabkan ramai orang asing tersebut balik ke negara asal mereka. Tetapi, selepas Perang Dunia Kedua pada 1945, bancian penduduk Tanah Melayu, termasuk Singapura, masih mendapati daripada 5.7 juta penduduk ketika itu, orang Melayu dan Bumiputera hanya 2.5 juta orang, sedangkan bukan Melayu adalah seramai 3.2 juta orang. Banci penduduk Tanah Melayu pada 1947 pun masih mendapati yang jumlah orang asing di Tanah Melayu ketika itu masih mengatasi jumlah penduduk peribumi ketika itu (Cheah 2007:42).

Contoh tiga: pada 1957, jumlah rakyat Melayu dan bukan Melayu adalah hampir seimbang. Daripada 6.36 juta orang penduduk pada ketika itu, 3.12 juta adalah orang Melayu, 2.33 juta etnik Cina, 690,000 orang etnik India dan 120,000 orang lagi daripada lain-lain etnik (Federation of Malaya Year Book 1959). Dari segi ekonomi, etnik Cina pada 1957 menguasai ekonomi Tanah Melayu secara kukuh sementara orang Melayu masih dalam kemiskinan (Deptartment of Statistics 1958-1960). Ini kerana seawal tahun 1937, pelaburan etnik Cina di Tanah Melayu adalah sebanyak US$200 juta berbanding pelaburan asing lainnya sejumlah US$454.5 juta (Ling 1995:3).

Contoh empat: pada tahun 1950-an, syarikat-syarikat Eropah menguasai 65 peratus hingga 75 peratus perdagangan eksport dan 60 peratus hingga 70 peratus perdagangan import. Syarikat-syarikat milik etnik Cina menguasai 10 peratus daripada agensi eskport. Syarikat-syarikat yang dikuasai oleh etnik India pula menguasai 2 peratus daripada perdagangan berkenaan. Orang Melayu langsung tidak memiliki sebarang ekuiti dalam mana-mana perdagangan (Gomez & Jomo, 1997:14-15).

Contoh lima: penduduk Malaysia pada tahun 2008 adalah 25.056 juta, iaitu Melayu 13.667 juta, Bumiputera 2.963 juta, etnik Cina 6.256 juta, etnik India 1.880 juta, lain-lain etnik 290,000 dan bukan rakyat 2.826 juta (Unit Perancang Ekonomi:2008).

Contoh enam: pemilikan modal saham pada tahun tersebut adalah RM100 bilion atau 18.9 peratus di tangan Bumiputera, RM215 bilion atau 40.6 peratus dikuasai oleh bukan Bumiputera, RM42.3 bilion atau 8 peratus dikuasai oleh syarikat nomini dan RM172.3 bilion atau 32.5 peratus dipegang oleh pemodal asing. Ekuiti Bumiputera terbahagi kepada RM 79.4 bilion atau 15 peratus milik individu, RM11.9 bilion atau 2.2 peratus milik institusi, dan RM8.7 bilion atau 1.7 peratus milik agensi anamah. Ekuiti milik bukan Bumiputera pula sebanyak RM207 bilion atau 39 peratus dikuasai oleh Cina, RM6.4 bilion atau 1.2 peratus dalam tangan India, dan RM1.9 bilion atau 0.4 peratus kepunyaan lain-lain kaum (The Star: 27.6.2008).

Kesimpulan: kajian etnik yang diajarkan di IPTA perlu menjelaskan bahawa statistik seperti terpapar di atas adalah faktor yang merangsang serta mendorong kerajaan mewujudkan beberapa dasar affirmatif mengenai Melayu dan Bumiputera. Ini kerana statistik seperti di atas, walaupun membuktikan jumlah penduduk Melayu dan Bumiputera berbanding lain-lain etnik yang hampir seimbang sewaktu kemerdekaan tanah air telah meningkat secara prominen pada 2008, tetapi kenyataan mengenai kemiskinan serta lain-lain indikator ekonomi di era pra merdeka adalah manifestasi dan dampak dasar pecah dan perintah yang dilaksanakan oleh penjajah British yang memihak kepada bukan Bumiputera dan menindas orang Melayu dan Bumiputera.

Perlu juga ditegaskan kepada para pelajar, bahawa indikator ekonomi di era pasca merdeka pula adalah realiti dan manifestasi bahawa orang Melayu dan Bumiputera adalah golongan yang memang masih jauh ketinggalan berbanding bukan Bumiputera dan pemodal asing di Malaysia pada hari ini. Hakikat ini jadi lebih ketara jika dikaji lain-lain indikator sosio-ekonomi seperti pendapatan isirumah, kadar kemiskinan relatif dan kemiskinan tegar, jumlah professional Melayu dan Bumiputera dan sebagainya.

Oleh itu, dikaji ikut perspektif mana sekalipun, adalah jelas bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB), dan kemudiannya Dasar Pembangunan Nasional (DPN), masih belum berjaya mengatasi jurang perbezaan ekonomi dan kadar kemiskinan antara orang Melayu dan Bumiputera dengan bukan Bumiputera di Malaysia.

Begitulah realtinya Melayu dan Bumiputera di Malaysia sekarang. Mereka tidak pernah mempersoalkan kehadiran etnik Cina dan India yang kini menjadi sebahagian penduduk Malaysia.

Tetapi, pastinya wujud di kalangan mereka yang tersinggung perasaan bila kedudukan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera, seperti kuota ekuiti Melayu dan Bumiputera sebanyak 30 peratus, dan kuota mengenai biasiswa pelajar Melayu, asyik diungkit-ungkit oleh segolongan bukan Melayu pada ketika ini.

Ironisnya, bila orang Melayu dan Bumiputera bertindak untuk menyuarakan kebenaran, tindakan itu cepat-cepat dilabelkan oleh sesetengah bukan Melayu sebagai tindakan rasis. Anehnya, tindakan itu juga disifatkan sebagai anti-perpaduan.

Tetapi, bila sesetengah bukan Melayu mengungkit-ungkit, mengasak dan cuba menginjak-injak kedudukan Melayu pada hari ini, tidak ada siapa pula yang berani melabelkan tindakan segolongan bukan Melayu itu sebagai cauvinis dan rasis.

Jika beginilah keadaannya, bilakah akan wujud perpaduan nasional yang tulin di Malaysia? Jika beginilah keadaannya, sampai bilakah orang Melayu dan Bumiputera akan menjadi mangsa label yang double-standard semata-mata kerana sebagai peribumi, orang Melayu dituntut supaya sentiasa bersabar dan bersikap amat tolerans terhadap gelagat sesetengah bukan Melayu yang seolah-olah mahu mencabar kesebaran orang Melayu dan Bumiputera?

Saya sajikan realiti seta persoalan di atas berasaskan kesedaran bahawa hubungan etnik adalah satu daripada faktor yang penting kepada kelangsungan Malaysia. Seperti kata Shamsul (2007:1), berdasarkan pengalaman 13 Mei 1969, ternyata faktor hubungan etnik yang harmonis menjadi anak kunci bagi keseimbangan antara kekukuhan ekonomi dan kestabilan poltik. Dan, seperti pendapat Sanusi (1989:108), apabila perasaan perkauman ditonjol-tonjol sehingga menjadi satu prinsip penting dalam sebuah masyarakat yang berbilang etnik, besar kemungkinan ia akan menimbulkan berbagai reaksi di kalangan anggota kumpulan etnik yang berlainan.

Sunday, May 31, 2009

Melayu dikhianati?

Awang Selamat

Hati Awang semakin hari semakin ditoreh-toreh oleh tuntutan pelbagai pihak bukan Melayu yang bersikap terlalu rasis selepas Pilihan Raya Umum ke-12. Kita boleh tafsir apa sebabnya. Awang tidak mahu mengulas panjang kali ini, cukup sekadar disiarkan semula petikan kenyataan seorang pemimpin MCA, Tun Tan Siew Sin pada 30 April 1969 (dipetik daripada buku Khalid Awang Osman dan pernah diulas Ridhuan Tee Abdullah) untuk renungan kita semua.

''Orang Melayu menerusi UMNO bermurah hati melonggarkan syarat-syarat dalam undang-undang negara ini sehinggakan dalam masa 12 bulan selepas kemerdekaan, 90 peratus penduduk bukan Melayu menjadi warganegara. Ini berbeza dengan keadaan sebelum merdeka di mana 90 peratus daripada mereka masih tidak diiktiraf sebagai rakyat Tanah Melayu walaupun hampir 100 tahun hidup di bawah pemerintahan penjajah. Sebagai membalas kemurahan hati orang Melayu, MCA dan MIC bersetuju meneruskan dasar memelihara dan menghormati kedudukan istimewa orang Melayu dan dalam masa yang sama mempertahankan kepentingan-kepentingan sah kaum lain''.

Sebelum itu, seorang pemimpin MIC Tun V.T Sambanthan pada 1 Jun 1965 pernah berkata: ''Pada tahun 1955 kita telah memenangi pilihan raya dengan majoriti yang tinggi, selanjutnya mendapat kemerdekaan dalam masa dua tahun kemudian. Dalam jangka masa itu, kita terpaksa berbincang dan menangani pelbagai perkara termasuk soal kewarganegaraan. Persoalannya di sini, apakah yang dilakukan oleh orang Melayu memandangkan kita bercakap menyentuh perkauman? Apakah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Melayu? Mereka mempunyai 88 peratus daripada pengundi menyokong mereka.

Apakah yang mereka putuskan mengenai isu kewarganegaraan? ''Jika kita lihat di serata negara Asia dan Asia Timur, kita akan mendapati kaum India tidak akan diterima di Ceylon dan juga tidak diterima di Burma. Sama halnya dengan kaum Cina, mereka tidak diterima di Thailand, Vietnam, Kemboja dan di negara-negara lain. Apakah bantuan berhubung kewarganegaraan yang mereka peroleh di semua wilayah tersebut?

"Di Burma, seperti yang kita semua sedia maklum, kaum India telah diusir keluar, di Ceylon mereka tidak diberikan taraf warganegara seperti juga di Burma. Saya tahu dan anda juga tahu. Apa yang sedang berlaku di Malaya? Di sini kita mendapati pemimpin Melayu berkata, ''Kita akan menerima mereka sebagai saudara, kita akan berikan mereka sepenuh peluang untuk meneruskan kehidupan di negara ini, kita akan beri mereka peluang untuk menjadi warganegara''. Seterusnya pada tahun 1957, dengan tidak mengambil kira kebolehan berbahasa (Melayu) ribuan orang India, Cina dan Ceylon menjadi warganegara. Seperti yang saya nyatakan, saya amat bernasib baik kerana dilahirkan di negara ini. Di manakah anda boleh berjumpa bangsa yang lebih prihatin, bersopan-santun dan tertib selain daripada bangsa Melayu. Di manakah anda boleh mendapat layanan politik yang baik untuk kaum pendatang? Di manakah dalam sejarah dunia? Saya bertanya kepada anda. Ini adalah fakta. Siapakah anda untuk menjaga keselamatan kami? Saya adalah kalangan 10 peratus kaum minoriti di sini. Tetapi saya amat gembira di sini.''

Persoalannya, kini apakah pengorbanan Melayu dikhianati oleh kaum lain?

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0531&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm

Nota: Tulisan sahabat saya, Awang Selamat, yang dipaparkan di atas saya down-load daripada Mingguan Malaysia hari ini. Tulisan tersebut mempunyai kaitan dengan satu esei yang sedang saya siapkan. Dalam proses menyediakan satu esei mengenai keresahan serta dilema etnik di Malaysia mutakhir ini, saya terbaca beberapa pandangan pemikir luar dan dalam negara seperti berikut:

Barry Buzan mendapati masalah migrasi memang boleh menjejaskan nasib peribumi di sesebuah negara. Beliau menyifatkan migrasi sebagai satu ancaman kepada masyarakat di sesebuah negara. Ini kerana migrasi mengancam identiti peribumi di negara yang menerima kedatangan orang asing secara besar-besaran.

Buzan, Waever, De Wilde (1998:124) menyatakan, tahap ancaman daripada migrasi adalah bergantung kepada tiga faktor. Satu: jumlah kemasukan warga asing ke sesebuah negara. Dua: kapasiti peribumi di sesebuah negara untuk menyesuaikan diri dengan kedatangan warga asing. Tiga: cara-cara pembinaan identiti peribumi di sesebuah negara.

Michael Sheehan (2005:92) menghuraikan, keprihatian peribumi terhadap kemasukan warga asing secara besar-besaran ke negaranya bukan masalah baru. Penolakan peribumi terhadap kaum pendatang juga adalah hakikat yang tercatat dalam sejarah beberapa negara besar termasuk di England. Mulai 1990-an, keperihatinan dan penolakan peribumi terhadap kelompok pendatang ini pula diberikan label keselamatan.

Dari kajian ringkas yang sedang saya lakukan, saya dapati kedatangan rakyat China dan rakyat India secara besar-besaran ke Tanah Melayu di era penjajahan Inggeris seolah-olah dibiarkan sahaja oleh orang Melayu ketika itu. Oleh sebab itu, jumlah rakyat China dan rakyat India yang berdagang dan mencari rezeki di Tanah Melayu di era penjajah menjadi semakin ramai dari tahun ke setahun.

Menurut Ooi Jin Bee (1986:20), pada 1871 terdapat seramai 104,615 warga China dan 33,390 warga India menetap untuk mencari rezeki di Tanah Melayu. Jumlah ini adalah 45 peratus daripada seluruh penduduk Tanah Melayu ketika itu. Jumlah ini meningkat kepada 583,396 orang warga China dan 74,081 warga India pada 1891. Ini menjadikan warga asing ketika itu adalah 57 peratus daripada seluruh penduduk Tanah Melayu. Pada tahun 1941 terdapat seramai 2,418,651 warga China dan 767,693 warga India menetap di Tanah Melayu. Mereka merupakan 58 peratus daripada jumlah penduduk Tanah Melayu pada tahun berkenaan.

Sukar untuk dipastikan sebab-sebab mengapakah orang Melayu ketika itu tidak bertindak. Mungkin kerana data-data mengenai jumlah rakyat asing yang besar ketika itu, seperti dihuraikan di atas, sengaja dirahsiakan oleh pihak penjajah Inggeris supaya tidak mencetuskan reaksi dan kemarahan orang Melayu. Mungkin juga kerana orang Melayu sendiri memang tidak mempedulikan implikasi serta masa depan mereka akibat daripada fenomena tersebut.

Tetapi, Asrul Zamani (2002:150-151) berpendapat, secara semulajadi, orang Melayu memang merupakan bangsa yang bertoleransi. Boleh jadi mereka adalah bangsa yang paling bertoleransi di dunia ini. Oleh sebab itu terdapat peribahasa: monyet di hutan disusukan, anak sendiri kelaparan. Sikap toleransi orang Melayu ini, walaupun mulia, telah mendatagkan kesan yang detrimental kepada mereka sendiri. Sewaktu masyarakat imigran datang ke Tanah Melayu, mereka diterima oleh orang Melayu tanpa sebarang pertanyaan dan tanpa sebarang bangkangan.

Ahmad Attory Hussain (1987:8) pula menegaskan, kedatangan orang-orang asing ke Tanah Melayu adalah hasil galakan penjajah sehingga masyarakat di negeri ini yang dulunya bercorak tradisional dan satu rumpun bangsa telah bertukar kepada masyarakat majmuk. Orang mendatang ini menggerhanakan suasana kehidupan orang Melayu. Apabila penjajah Inggeris yang membawa buruh China dan India itu meninggalkan Malaya setelah merdeka 1957, buruh-buruh itu atau keturunan-keturunan China dan India itu, tidak dihantar pulang ke negeri-negeri asal mereka. Sebaliknya mereka ini tinggal menetap di negara ini dan seterusnya dari semasa ke semasa, menuntut hak-hak mereka tanpa berasa malu dan segan, bersikap begitu agresif sekali serta tidak kira apa orang lain kata.

Huraian Asrul seperti di atas menjadi sebahagian daripada faktor yang mencirikan dilema etnik di Malaysia mutakhir ini. Huraian Ahmad pula menjadi landasan kepada dilema Melayu di era pasca merdeka. Huraian Asrul dan Ahmad ini membuktikan pendapat Buzan, iaitu kedatangan warga asing secara besar-besaran adalah satu ancaman kepada masyarakat, adalah pendapat yang tepat dan benar. Di Malaysia, hakikat ini juga bukan sahaja menjadi masalah masyarakat. Tetapi, ia juga menjadi masalah negara.

Biarpun begitu, kajian ringkas saya yang belum selesai ini bukannya untuk merobah keadaan dan memusnahkan legasi malang yang dibebankan oleh penjajah Inggeris kepada pemimpin dan orang Melayu di era kemerdekaan.

Kajian ringkas saya hanya berhasrat untuk merungkai persoalan, mengapakah pada ketika ini kelompok-kelompok tertentu daripada sesetengah etnik bukan Melayu dan bukan Bumiputera di Malaysia seolah-olah enggan menghormati pelbagai peruntukan strategik mengenai Islam, Melayu dan Bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, sebagaimana nenek moyang mereka menghomati serta memahaminya di era pra kemerdekaan tanah air ini?

Dan, adakah Malaysia akan terbebas daripada keresahan dan dilema etnik jika sesetengah elit politik dan elit masyarakat sivil tertentu tidak berusaha dan memperjuangkan kepentingan etnik masing-masing menerusi pendekatan yang kelihatan berkonfrontasi, penuh dengan sentimen rasis dan dengan keyakinan kononnya mereka boleh membina satu masyarakat impian atau imagined society mereka di bumi yang amat berbeza sejarah dan sosio-budayanya berbanding negara asal nenek monyang mereka?

Fikir-fikirkanlah! – Ruhanie Ahmad

Friday, May 29, 2009

Satu sekolah untuk semua

Ruhanie Ahmad

Saya tidak mengenali blogger Kijang Emas dan siapakah tuan punya blog Demi Negara (DN). Tetapi saya hormati keikhlasan dan dedikasi kedua-dua entiti siber ini kerana melancarkan kempen satu sekolah untuk semua demi satu bahasa, satu bangsa, satu negara.

Pelancaran kempen berjiwa besar ini menjadi manifestasi kepada satu fenomena baru di alam siber, iaitu kemunculan masyarakat sivil menerusi internet. Dan, oleh kerana kempen ini dilaksanakan menggunakan blog, maka usaha murni ini juga melambangkan kepelbagaian kegunaan media komunikasi baru ini kepada masyarakat.

Minggu lalu saya melayari blog DN dan cuba meninggalkan komen mengenai kempen yang diperjuangkannya. Tetapi, mungkin kerana saya hanya seorang blogger dengan ilmu ICT yang terhad, nampaknya hanya perkataan kuda-kepang sahaja yang tercatat di dalam ratusan komen mengenai kempen berkenaan. Oleh itu, anggaplah ini komen rasmi untuk menandakan sokongan saya kepada kempen tersebut.

Hakikat tersirat yang dimanifestasikan menerusi kempen ini adalah cukup beranika tafsirannya. Antaranya seperti berikut:

Satu: Kempen ini menandakan awal mulanya kebangkitan suara warga Malaysia yang non-partisan dan non-political terhadap destini negara-bangsanya di hari muka.

Dua: Kempen ini menandakan bahawa penggilapan serta penonjolan identiti oleh sesetengah pihak di negara ini menerusi pembinaan satu imagined society yang menguasai jiwa mereka selama ini adalah suatu tindakan yang disanggah oleh majoriti warga Malaysia.

Tiga: Kempen ini memandakan kemunculan iltizam baru ke arah pembinaan negara-bangsa menerusi satu wadah tunggal, iaitu menerusi pendidikan. Iltizam ini sedang mencari legitimasi serta dukungan daripada kita semua.

Empat: Kempen ini adalah isyarat pertama kepada pihak-pihak oportunis, rasis, cauvisis dan ekstremis yang mendakwa diri mereka adalah juara etnik di Malaysia supaya mereka insaf bahawa permainan politik kuasa mereka selama ini mesti segera diberhentikan kalau mahu mengelakkan pertembungan etnik dan identiti yang mungkin fatal kepada kita semua di masa depan.

Lima: Kempen ini perlu menginsafkan kerajaan bahawa strategi memberikan betis dan peha kepada puak-puak yang sedang pushing the limit of our tolerance pada hari ini adalah strategi yang kaunter-produktif dan berbahaya.

Enam: Kempen ini perlu dipandang serius oleh pemerintah supaya mereka insaf betapa malangnya Malaysia jika perjuangan etnik yang mempersoal, mempertikai, mempolemik dan mempolitikkan seluruh peruntukan strategik dalam Perlembagaan Persekutuan serta dasar-dasar affirmatif yang lahir daripada semangat Perlembagaan berkenaan menjurus ke arah konflik etnik yang akan menggegarkan suasana di hari muka.

Tujuh: Semoga kempen ini berjaya merintis pembinaan negara-bangsa Malaysia yang benar-benar bersatupadu tanpa sebarang hiprokrasi dan kepalsuan total.

Akhir kata, renungkanlah beberapa pendapat Tun Dr Mahathir dalam Dilema Melayu seperti berikut:

Di tempat-tempat lain di Asia Tenggara orang Cina sudah tinggal lama seperti lamanya rnereka tinggal di Malaysia. Tetapi di mana-mana pun, mereka tidak pernah mendakwa ataupun diterima sebagai penduduk peribumi negara berkenaan (Mahathir, 1982:150).

[nota: buku Dilema Melayu boleh dibaca menerusi Blog Pemuda Malaysia. Untuk membacanya, sila klik pada ikon buku Dilema Melayu di sidebar blog ini.]

Tuesday, May 26, 2009

Please dont push the limit!

Ruhanie Ahmad

Saya sedang menyiapkan satu esei mengenai dilema etnik dan implikasinya kepada keselamatan negara. Saya terpaksa membaca semula buku Dilema Melayu karya Tun Dr Mahathir Mohamad [untuk baca klik pada ikon di sidebar blog ini] untuk mendapatkan maksud dilema Melayu sebenarnya. Saya juga membaca 10 buku tulisan etnik Cina Malaysia termasuk the Chinese dilemma dan Ketuanan Politik Melayu. Saya juga kecewa dengan gelagat Singapura yang terus bersifat kiasu terhadap pembinaan Jambatan Bengkok [klik pada ikon untuk membaca buku mengenainya] bagi menggantikan Tambak Johor.

Seterusnya, saya digamit nostalgia mengenai kekejaman gerombolan komunis Bintang Tiga (PKM) pimpinan Chin Peng yang menyembelih dan membunuh orang Melayu dan menguburkan mereka secara beramai-ramai di dalam satu liang lahad di kampung saya. Saya teringatkan cerita ibu saya bagaimana gerombolan komunis itu merendamkan orang Melayu ke dalam kawah gergasi penuh dengan minyak kelapa yang panas menggelegak sehingga orang Melayu yang tidak berdosa itu mati terkejang.

Seluruh rentetan kisah yang saya lalui sepanjang sehari dua ini menyebabkan darah saya juga menggelegak. Ini bukan kerana saya rasis atau cauvinis. Tetapi kerana saya hairan mengapakah kita orang Melayu sentiasa diasak dan didesak sedemikian rupa oleh beberapa kategori etnik Cina Malaysia dari dulu sampai sekarang. Menurut kata Mahathir dalam Dilema Melayu, ini kerana orang Melayu terlalu bersikap budiman (gentleman) dan bersopan-santun. Kita marah dengan apa yang belaku tetapi kita pendamkan saja rasa marah itu di dalam dada kita sendiri sehingga kita kurus kering makan hati berulam jantung. Mahathir menghuraikan selanjutnya dalam buku itu bahawa orang Melayu juga mempunyai satu sifat yang amat terkenal di seluruh dunia, iaitu AMUK atau MENGAMUK.

Orang Melayu yang budiman dan bersopan santun memang susah untuk menjadi berang dan mengamuk. Oleh itu, sewaktu kita terus diasak dan didesak oleh tuntutan demi tuntutan oleh etnik Cina tertentu pada hari ini, termasuk untuk memberikan kewarganegaraan kepada Chin Peng yang memimpin PKM dan bertanggungjawab menyembelih, menyula, merendamkan orang Melayu ke dalam kawah minyak menggelegak, membakar Balai Polis Bukit Kepong di Muar, Johor, dan membunuh seluruh anggota Polis di Rumah Pasong itu, apa yang harus kita buat sekarang?

Saya tidak akan mencadangkan kita mengamuk dan lakukan apa yang telah dilakukan oleh Chin Peng dan pengganas komunisnya kepada orang Melayu. Ini perbuatan menghasut dan boleh menjejaskan ketenteraman awam serta keselamatan negara. Ini boleh menyebabkan saya mendarat di Kemunting bawah ISA.

Jadi, sebagai orang Melayu yang patuh undang-undang, cintakan kedamaian dan bersopan santun, apakah yang harus kita lakukan? Moga-moga pemimpin Melayu turut memikirkan perasaan seperti ini dengan serius yang total. Kepada para penyokong Ching Peng. Please dont push the limit!

Seterusnya bacalah kenyataan mutakhir dan terdahulu mengenai Chin Peng di bawah ini.

Tolak komunisme

PUTRAJAYA 25 Mei – Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim mahu sentimen bahawa komunisme mempunyai nilai-nilai nostalgia dan positif dilupuskan sama sekali dalam pemikiran seluruh rakyat Malaysia.

Sambil menyuarakan rasa amat terkejut dengan tindakan pihak tertentu yang cuba membangkitkan sentimen itu, beliau mengingatkan bahawa adalah satu bencana kepada negara ini jika ada pihak cuba menggalakkan kemunculan semula komunis di Malaysia termasuk menerusi media cetak dan blog.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Hiris perasaan anggota ATM

SEREMBAN 25 Mei - Sebarang usaha membawa masuk bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke negara ini menghiris perasaan seluruh warga anggota dan bekas anggota serta keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha tersebut juga meningkatkan semula rasa kemarahan meluap-luap mereka terhadap Chin Peng dan PKM.

Pada masa ini, katanya, seluruh anggota, bekas anggota dan keluarga ATM serta pasukan keselamatan lain menolak sebarang usaha membawa masuk Chin Peng.

"Saya mewakili warga ATM, sama ada yang sedang bertugas atau yang telah tamat perkhidmatan, berasa amat terhiris jika keputusan dibuat untuk Chin Peng diberi taraf kewarganegaraan.

"Ini kerana lebih 50,000 anggota pertahanan termasuk tentera dan polis terkorban akibat angkara pengganas PKM. Jika ini berlaku, rasa terluka yang amat sangat di kalangan anggota dan keluarga ATM," kata beliau.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm

Pindah ke negara lain jika nak buat tuntutan melampau - Pewaris

KUALA LUMPUR 25 Mei - Rakyat negara ini yang kecewa kerana permintaan melampau mereka tidak dipenuhi oleh kerajaan diminta berpindah ke negara lain yang mungkin dapat melayani permintaan tersebut.

Sehubungan itu juga, Penasihat Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Dr. Ahmad Zaki Ismail menggesa kerajaan membatalkan status warganegara mereka yang tergamak membuat tuntutan yang bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_02.htm

Gerakan Pulau Pinang 'buta sejarah'

JOHOR BAHARU 25 Mei - Persatuan Bekas Komando Negeri Johor menyifatkan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Dr. Teng Hock Nan sebagai 'buta sejarah' berikutan saranannya agar kerajaan membenarkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng kembali ke negara ini.

Penasihatnya Datuk Abdul Aziz Sapian berkata, PKM pimpinan Chin Peng itu bertanggungjawab terhadap ribuan kematian dan kecederaan yang dialami sama ada oleh anggota pasukan keselamatan serta orang awam.- BERNAMA

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_04.htm

PBPM beri amaran

KUALA LUMPUR 25 Mei - Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) memberi amaran keras kepada semua pihak yang bersimpati dengan perjuangan komunis agar tidak berusaha membawa pulang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke tanah air.

Presidennya, Shafie Bakri menegaskan, sesiapa juga yang bercita-cita hendak membawa pulang Chin Peng kononnya atas dasar kemanusiaan, bakal berdepan dengan tindakan keras daripada bekas anggota polis yang sebelum ini mempertaruhkan nyawa mempertahankan kedaulatan negara.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_05.htm

Imbasan semula: Kuda Kepang, 12 Disember 2008

Nyawa dan darah Melayu membuktikan Chin Peng bukan pejuang kemerdekaan

Ruhanie Ahmad

Sejarah negara kita sedang dipersendakan ke peringkat paling maksimum. Mana boleh ketua Partai Komunis Malaya (PKM) bernama Chin Peng digelar pejuang kemerdekaan?

Saya kenali Chin Peng menerusi namanya sejak saya kecil di Kampung Separap, Simpang Kiri, Batu Pahat, Johor. Ayah, Ibu dan guru-guru saya sering menceritakan hal Chin Peng dan PKM kepada saya. Dari cerita-cerita mereka, saya insaf bahawa Chin Peng adalah pengganas yang perlu disula.

Kata Ibu saya, di kampung saya sendiri masih wujud bukti keganasan PKM pada tahun 1945. Di kampung saya banyak rumah dibakar secara rambang. Di kampung saya ada sekeluarga Melayu di kuburkan hidup-hidup dan beramai-ramai oleh pengganas PKM. Di kampung saya ada orang yang di sula dan digantungkan ke pohon pedada di pinggir Sungai Simpang Kiri.

Di suatu kampung yang kira-kira empat kilometer dari kampung saya, terdapat sejarah penduduknya di humbankan ke dalam minyak yang menggelegak dalam kawah gergasi. Mereka mati bagaikan katak.

Di satu lagi kampung pendalaman kira-kira enam kilometer dari kampung saya, sebuah surau pernah dijadikan pusat pengganas Bintang Tiga (PKM) untuk berpesta meminum arak dan menikmati juadah khinzir panggang. Di situ juga sekumpulan perawan Melayu pernah dirogol dan diperkosa oleh gerombolan pengganas yang sama.

Berikutan seluruh peristiwa di atas, bangkitlah angkatan pemuda parang panjang pimpinan Allahyarham Kiayai Salleh. Kumpulan ini lebih dikenali sebagai Pejuang Selempang Merah. Mereka bertindak dan berjuang semata-mata untuk memansuhkan kezaliman PKM. Mereka adalah pahlawan yang tidak pernah didendang. Mereka berjuang demi agama, bangsa dan tanahair.

Saya belum pernah berterus-terang sebegini menerusi tulisan di blog ini sebelum ini kerana khuatir dituduh sebagai mengapi-apikan semangat perkauman. Tetapi, saya pernah suarakan kisah di atas di Dewan Rakyat sehingga membuatkan pihak DAP senyap dan tergamam.

Oleh itu, tanpa apologi kepada sesiapa, hari ini saya katakan bahawa saya hilang sabar bila ada individu mengatakan pejuang kemerdekaan negara adalah Chin Peng. Pastinya luahan suara bangkangan saya ini disetujui oleh penduduk di sekitar Pagoh, Bukit Pasir dan Bukit Kepong, Muar, yang terdapat waris-waris mereka dibunuh oleh PKM yang zalim. Pastinya orang Pontian juga turut menyimpan kisah seperti ini dalam lipatan sejarah keluarga masing-masing.

Begitu juga dengan masyarakat Melayu di Bahau, Negeri Sembilan; di Sekinchan, Selangor; dan di Sungai Manik, Perak. Mereka juga mempunyai sejarah keganasan PKM yang hampir serupa bentuk dan kisahnya.

Beribu-ribu keluarga bekas Polis Khas atau Special Constable (SC), Polis biasa dan Askar Melayu juga pastinya amat arif akan kezaliman PKM. Beratus-ratus ayah, pakcik, dan anggota keluarga mereka di bunuh anggota PKM sewaktu mempertahankan tanahair di zaman darurat.

Waris-waris askar Melayu yang hilang kaki, hilang tangan dan hilang nyawa akibat bom dan jerangkap samar PKM di Lembah Gubir pun pastinya mengakui bahawa Chin Peng dan PKM bukan pejuang kemerdekaan negara.

Cukuplah setakat ini curahan rasa bangkangan saya terhadap individu yang sedang mempersendakan sejarah perjuangan bangsa kita memerdekakan negara. Saya harap pihak berkuasa akan segera bersuara dan bertindak untuk membetulkan fakta dan hakikat sejarah yang sebenar-benarnya.

Comments:

Cina: I am a Chinese. I know who is Chin Peng. He is a terrorist and a disgrace to all Malaysia Chinese who choose Malaysia as their motherland. - 9:00 PM

Putera Bentan: Saya anak Johor. Tok nenek saya juga selalu cerita pasal komunis dan Chin Peng. Hanya orang mabuk boleh sifatkan pengganas sebagai juara kemerdekaan kita. - 9:02 PM

Nakhoda: Chin Peng pejuang kemerdekaan? Saya cucu cicit polis yang dibunuh komunis di Balai Polis Bukit Kepong kata, Chin Peng adalah pengganas. - 9:06 PM

Limado: Komunis tetap komunis. Di Indonesia mereka tanam mereka di lubang buaya. Saki baki mereka kita hapuskan. - 9:13 PM

Azam: Orang yang kata Chin Peng pejuang kemerdekaan adalah orang gila. Warning dia jangan panaskan orang Melayu yang hari ini memilih untuk hidup aman damai dengan semua kaum di Malaysia. - 9:20 PM

Fireroll: Saya juga anak Johor. Saya juga mendengar cerita pengganasan oleh Chin Peng. Beliau seorang yang tidak berperikemanusiaan, pembunuh anggota polis, orang kampung, dan sudah tentu rakyat Malaysia. Orang yang berkatakan Chin Peng merupakan individu pembebasan negara dalam menuju kepada usaha kemerdekaan adalah buta sejarah, dan sudah tentu beliau tidak layak duduk di Tanah Malaysia ini. - 9:55 PM

Akal: Bagi saya sekarang ni bukannya masa untuk berlembut. Kita kadang-kadang terpaksa biadap demi menghadapi kebiadapan mereka yang tak sedar di untung. Namun tidakkah kebiadapan ini bercambah akibat kegagalan para pemimpin kita dalam melaksanakan amanah yang di junjung mereka. - 9:57 PM

Azman: Ramai orang Melayu pun tidak tahu sejarah perjuangan Selempang Merah Kiyai Salleh tu, terutama generasi muda-mudi. Adakah salah jika sejarah perjuangan Selempang Merah itu diceritakan di blog Datuk? -12:14 AM

Garden: History should always be told as honestly as possible. Bila kita sanggah Chin Peng sebagai pejuang kemerdekaan, tidak bermakna orang-orang Cina lain pun patut disanggah sebagai pejuang. Chin Peng bukan sahaja mengganas kepada orang-orang Melayu, malah juga kepada bangsa-bangsa lain juga pada tika itu. Chin Peng sepatutnya tidak dialu-alukan di bumi Malaysia ini. Bukti keganasan Chin Peng ke atas orang-orang yang tidak berdosa sudah cukup sebagai bukti betapa dia bukan lagi pejuang, malah pengkhianat kepada orang Malaysia dan juga orang-orang sebangsa dengannya.- 12:47 AM

Anak Jati Melayu: Datuk saya seorang pegawai polis pada tahun 1945 dan bertugas di Seremban. Pada 31/10/45 dia mendapat telegram yg isterinya selamat melahirkan seorang anak lelaki iaitu anak sulung mereka. Dengan berita yg mengembirakan itu beliau bersiap sedia untuk pulang ke Taiping dengan keretapi. Tetapi hayat beliau tidak lama dan hasrat untuk melihat anak sulung dan isteri tidak kesampaian kerana, beliau ditikam oleh seorang anggota PKM di Stesen Keretapi Seremban. Saya harap PRK hayatilah peristiwa ini. Jangan jadi pengkianat kepada bangsa dan agama. Salam - 2:45 AM

Pesanan Keramat: Chin Peng tidak boleh langsung dikatakan sebagai pejuang kemerdekaan. Hanya seorang komunis atau Cina cauvanis mengatakan Chin Peng pejuang kebebasan. Tanahair mana yang ingin dibebaskan? Ini bukan tanahair Chin Peng. Dia bukan warganegara! Semasa perang China-Jepun, dia mahu pergi ke China membantu Mao Tze Tong. MPAJA adalah caturan British untuk mengambilalih tanah jajahannya. British gunakan orang Cina, semasa itu kaum imigren dan pendatang, dan bukan membantu orang Melayu untuk memenangi kembali tanahairnya. - 5:19 AM

Anak mamak: Apakah mereka yang memperjuangkan Chin Peng dah lupa tragedi Bukit Kepong...ni akibatkanya kita org ISLAM..berpecah di negara Malaysia... - 9:50 AM

Kamarudin Awang: Orang-orang lama di Kuala Sedili, Kota Tinggi Johor juga masih ingat. Arwah ayah saya sendiri pernah bercerita tentang keganasan PKM di Sedili Besar kepada saya. - 10:46 AM

OTAI: Ayah saya s/c polis dan tok bini saya askar british di mana anaknya abdul jalil dibunuh komunis ni. bintang 3...banyak cerita. sampai taukeh ikan, sayur, taukeh babi dah pangkat jeneral dan kolonel dalam PKM tu... - 11:57 AM

Azlan: hairan bagaimana ada pula sesetengah orang yang menganggap Chin Peng sebagai "pejuang kemerdekaan". Saya marah dengan Chin Peng dan komunis tapi tidak pernah saya salahkan orang Cina. bukan semua orang Cina menyokong komunisme. sangat-sangat tidak bersetuju Chin Peng dianggap sebagai "pejuang kemerdekaan." - 11:59 AM

Amirhamzah64: Chin Peng berhutang darah dengan Melayu. Bagi majoriti orang Melayu, PKM ditolak kerana ideologinya dan hasratnya ingin membentuk sebuah Republik Komunis berkiblatkan China dan Rusia. Secara tidak langsung akan menghapuskan institusi Raja-Raja Melayu dan hak-hak orang Melayu di buminya sendiri. - 12:58 PM

Apocryphalist: Bagi saya, teriak-teriakan mengagungkan Chin Peng adalah suatu usaha terancang sesetengah pihak untuk “menguji kedalaman air” dengan mengetengahkan isu-isu yang jorok yang dilihat orang-orang Melayu, sebagai satu prelud sebelum dilancarkan serangan-serangan yang lebih menggegarkan kita semua. Kalau hanya setengah generasi dahulu penduduk bukan Bumiputra negeri ini mengakui akan ketuanan Melayu umpamanya, dewasa ini isu ini pulak yang digembar-gemburkan, dengan menyama-ratakan kependatangan mereka dengan penghijrahan Melayu dari tanah sebarang ratusan tahun dahulu.- 2:52 PM

Jeremy adnan: Ramai orang awam dan pejuang yang terbunuh dan dibunuh dek kekejaman PKM di Malaysia.tak cukup dengan itu ramai yang telah diseksa dan ramai anak gadis dirogol oleh mereka. Orang sebegini yang hendak di angkat sebagai hero?-4:48 PM

Cheng Ho: Chin Peng adalah persona non grata tidak perlu buang masa untuk bincang.- 8:46 PM

Tok iskandar: Tok setuju dengan komen tentang Chin Peng itu.- 8:57 PM

Antubiul: Ching Peng sebenarnya pejuang Kemerdekaan murtad! - 12:26 AM

Haji: Kita berharap agar kerajaan mengkaji kerakyatan mereka yang menyokong komunis dan yang menganggap Chin Peng sebagai pejuang kemerdekaan. KDN mesti mengambil tindakan termasuk membatalkan kerakyatan.- 1:21 AM
Wira: Saya seangkatan dengan Datuk dan saya tetap mengatakan PKM dan ahli-ahlinya pengkhianat penduduk di negara ini kerana keganasannya. Fakta tetap fakta dan insaflah supaya kita semua hidup aman dan berkongsi bersama membina hidup baru. Jangan lakar semula sejarah. Sejarah menjadi sempadan untuk kitan insafi.- 2:52 AM

Mozafar: Generasi muda yang buta sejarah akan terima bulat-bulat definasi konon Chin Peng pejuang kemerdekaan jika tiada yang bangkit menjelaskan keadaan sebenar. Malangnya propaganda isu ini dipelopori oleh orang Melayu sendiri. Sungguh mengecewakan.- 9:28 AM

The Author: Chin Peng ketua komunis tidak berhak untuk diberi peluang memasuki Malaysia..atas perbuatan membunuh dengan kejam. Inilah Terorist yang patut dibunuh bukannya dibiarkan. Sungguh malang jika pihak berkuasa dan undang-undang tidak berupaya menghalang..Bangkitlah dan sedar. - 7:44 PM

Saturday, May 23, 2009

Hubungan Malaysia-Singapura bagaikan duri dalam daging?

Ruhanie Ahmad

Hubungan Malaysia-Indonesia adalah persahabatan saudara senusantara, biduk lalu kiambang bertaut, air dicincang tak akan putus. Hubungan Malaysia-Brunei adalah persahabatan abadi dua negara di mana persamaan sentiasa diraikan, perbezaan pula sentiasa dihormati. Hubungan Malaysia-Singapura adalah persahabatan yang berasaskan kepada pertalian sejarah bumi Melayu yang malang. Ada pihak mengatakan ianya bagaikan aur dengan tebing. Banyak pihak pula menyifatkannya umpama duri dalam daging. Begitulah hakikatnya menurut logika pemikiran Melayu tradisi.

Secara ilmiahnya, kajian hubungan antarabangsa adalah mengenai interaksi politik dan sosial antara negara, aktor bukan negara dan individu (Griffiths, O’Callaghan & Roach 2008:vii). Konsep hubungan antarabangsa pula merujuk kepada hubungan antara negara-bangsa. Tetapi, oleh kerana negara adalah aktor utama hubungan antarabangsa, pelbagai wacana oleh majoriti sarjana klasik mempersetujui bahawa hubungan antarabangsa adalah hubungan antara negara (Viotti & Kauppi 1999:26). Sementara itu, Millar (1969) pula menegaskan, dasar luar adalah dasar yang mempunyai dampak kepada hubungan sebuah negara dengan negara lainnya.

Berikutan lawatan rasmi Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak ke Singapura semalam, apa agaknya diskripsi yang paling sesuai untuk menghuraikan hubungan Malaysia-Singapura? Bagai menanam tebu di bibir, di mana dengan wajah manis pemimpin besar Singapura menolak ide pembinaan jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor? Umpama madu dan racun di mana Malaysia yang membekalkan berjuta-juta gelen air mentah ke Singapura setiap hari, tidak langsung dihormati sehingga menyebabkan Singapura enggan memahami matlamat Malaysia untuk menggantikan Tambak Johor? Atau seperti melepaskan anjing tersepit, di mana Singapura yang amat memerlukan bekalan air diberikan bekalan air secukupnya, dan Singapura yang memerlukan ruang bumi baru-baru ini disediakan Iskandar Malaysia sebagai taman permainannya yang baru di bumi Malaysia, tetapi republik itu tidak langsung rasa terhutang budi walaupun setitik nilainya kepada Malaysia?

Dasar luar Malaysia memang berasaskan teori realisme di mana kelangsungan, kepentingan, kedaulatan dan keselamatan negara adalah nilai-nilai teras utamanya. Tetapi, proses evolusi menyebabkan Malaysia mempunyai hubungan luar yang sentiasa disesuaikan dengan perkembangan semasa. Oleb sebab itu Malaysia mengamalkan dasar luar yang digandingkan dengan teori interdependensi terhadap jiran tetangganya. Malaysia melaksanakan dasar luar untuk memperkayakan jiran tetangganya. Malaysia percaya kepada dasar luar yang digabungkan dengan teori keamanan. Ini bermakna, ciri-ciri resalisme yang menjadi asas kepada dasar luar Malaysia sentiasa digabungkan dengan teori interdependensi dan keamanan semata-mata untuk mewujudkan peaceful co-existence atau kehidupan bersama secara aman.

Tetapi, bagaimana dengan dasar luar Singapura? Mungkinkah Republik pulau itu akan terus tidak berganjak dengan dasar luarnya, iaitu realis-independen, tanpa sebarang ruang kompromi dan bertolak ansur dengan jiran tetangganya? Jika begitu hakikatnya, mungkinkah Malaysia akan mengkaji semula dasar luarnya dengan Singapura supaya sesuai dengan fahaman realis-independen yang dianuti oleh republik tersebut? Jika itulah hakikatnya, wajarkah Malaysia bertegas dengan Singapura bila satu daipada perjanjian airnya dengan Malaysia mansuh tempohnya pada 2011? Jika begitu hakikatnya, mustahilkah untuk Malaysia mengkaji seluruh hubungan dua halanya dengan republik itu supaya selaras dengan fahaman realis-dependen yang dipegang teguh oleh Singapura?

Pandangan di atas adalah cetusan minda peribadi saya selaku rakyat biasa Malaysia. Saya mencetuskan pandangan ini kerana saya beranggapan Singapura sejak era kepimpinan Abdullah Badawi seolah-olah tidak langsung mahu bertolak ansur dengan Malaysia. Silap siapa, saya tidak mampu untuk memastikannya. Tetapi, silap Malaysia paling ketara adalah sikap kita yang sentiasa mahu menjaga hati jiran tetangga tanpa mengira hakikat dan realiti pihak yang berjiran dengan kita.

Berasaskan cetusan pendapat ini, fikirkanlah semasak-masaknya berita ini yang saya petik daripada halaman N6 akhbar The Star bertarikh 21 Mei 2009 seperti berikut:

JOHOR BARU: Kota Iskandar, the sprawling new state administrative capital in Nusajaya, faces a major security risk as it is located near a Singapore firing range.

The range, inside the Sarimbun Camp, is operated by the Singapore Armed Forces and involves the use of a live ammunition from tanks and aircraft including helicopter gunships.

There have been instances when the explosions at the range have caused vibrations on the Malaysian side less than 2km away.

Banyak persoalan strategik timbul daripada berita di atas. Mengapa jadi begitu? Silap siapa? Atas nasihat siapa? Mengapakah sesuatu perancangan besar di kawasan sempadan tidak melalui kajian impak keselamatan yang menyeluruh?

Berasaskan cetusan pandangan ini juga saya ingin bertanya, jika Malaysia hendak membina jambatan ketiga merentangi Sulat Tebeau, di manakah lokasinya? Adakah lokasinya adalah lokasi yang sudah dikenalpasti oleh Singapura, iaitu lokasi yang betul-betul mengarah ke Nusajaya? Jika itulah lokasinya, bukankah satu syarikat swasta pernah membuat satu presentation di sebuah hotel lima bintang di Singapura kira-kira tiga tahun lalu, mengenai hasrat Singapura mahu membina sebuah jambatan raya atau superbridge yang kalis bom menuju ke Nusajaya? Jika itulah lokasinya, benarkah jambatan itu akan dibina mengikut spesifikasi keselamatan dan pertahanan Singapura?

Waspadalah Malaysia. Ibu negeri Johor Darul Takzim kini berada dalam jarak bedilan kereta kebal dan kapalterbang berpeluru milik Singapura. Jika jambatan ketiga yang mahu dibina kelak adalah jambatan yang mengikut spesifikasi keselamatan dan pertahanan Singapura menuju ke Nusajajaya, perbetulkanlah keadaan ini dengan serta merta.

Dengan Singapura, hubungan Malaysia tidak perlu lagi berlembut atau berkasar. Tetapi, hubungan Malaysia-Singapura cukuplah sekadar untuk berhubungan tanpa pihak di pulau itu beranggapan Malaysia adalah negara yang boleh dipermainkan, dimanipulasi atau tidak perlu dihormati kedaulatan dan kemerdekaannya. Fikir-fikirkanlah!

Pilihan raya kecil Penanti saksikan pertandingan empat penjuru

BUKIT MERTAJAM 23 Mei — Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti menyaksikan pertandingan empat penjuru antara seorang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan tiga calon bebas.

Empat calon itu ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, 56, bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Nasional (KeAdilan) Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56, Pengurus syarikat yang juga bekas Ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti di sini, Nai-Khan Ari a/l Nai Keow, 41 dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42. – BERNAMA (Utusan online, 2:03pm)

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0523&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_05.htm

Friday, May 22, 2009

Al-Fatehah: ADUN Manek Urai meninggal dunia


Ini berita tebaru. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manek Urai, Kelantan, Paksu Wel, kembali ke rahmatullah jam 5.55 pagi tadi, demikian menurut SMS daripada Dato’ Ibrahim Ali kepada blog ini sebentar tadi. Semoga roh Allahyarham berada di kalangan orang yang soleh. Al-Fatehah!

Hindraf memusuhi Bumiputera orang Melayu dan umat Islam?

Ruhanie Ahmad

Dalam kenyataannya yang disiarkan dalam Utusan Malaysia 10 Disember 2007, P. Uthayakumar selaku pemimpin Hindraf “mengisytiharkan secara terbuka bahawa musuhnya adalah UMNO, bukan orang Melayu.”

Tetapi dia terlupa bahawa ahli UMNO adalah orang Melayu, umat Islam dan juga Bumiputera. Jadi, siapa yang dia nak perdayakan bila berkata bahawa musuh Hindraf bukannya orang Melayu?

Anehnya, MIC yang menjadi komponen Barisan Nasional (BN) tidak pernah bersuara untuk membantah kenyataan ini. Lebih aneh lagi bila ahli-ahli UMNO, orang Melayu, umat Islam dan Bumiputera juga seolah-olah memandang ringan kenyataan berkenaan.

Lebih ironis lagi, hari ini terdapat pemimpin-pemimpin politik Melayu dan Islam yang turut menjulang orang-orang Hindraf yang telah memenangi PRU12 atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menjadi keluarga Pakatan Rakyat (PR) di mana antara sekutunya adalah PAS.

Saya lampirkan di bawah ini kenyataan Uthayakumar pada 9 Disember 2007. Kaji dan telitilah sendiri. Tidakkah kenyataan ini membawa maksud bahawa musuh Hindraf adalah orang Melayu, umat Islam dan Bumiputera? Apa agaknya reaksi orang Melayu, umat Islam dan Bumiputera setelah memahami kenyataan tersebut? Fikir-fikirkanlah!

BUTTERWORTH 9 Dis. – Hindu Rights Action Force (Hindraf) hari ini mengisytiharkan secara terbuka bahawa musuhnya adalah UMNO, bukan orang Melayu.

Seorang peguam yang mendakwa mewakili Hindraf, P. Uthayakumar berkata, ini kerana parti itu didakwa mengetepikan masyarakat India dalam arus pembangunan negara.

‘‘Kami telah hidup dengan baik dan bekerjasama erat dengan orang Melayu bukan setakat 50 tahun lalu tetapi sejak 200 tahun dahulu.

‘‘Kami tidak bermusuh dengan orang Melayu kerana mereka banyak membantu. Hindraf hanya memusuhi UMNO,” katanya ketika berucap semasa menghadiri upacara keagamaan di Kuil Sri Mahamariamman di Jalan Jeti Lama di sini hari ini.

Kira-kira 2,000 orang India berhimpun secara aman di kuil itu bagi mengadakan upacara keagamaan untuk mendoakan pembebasan 31 penyokong Hindraf yang ditahan ekoran terlibat dalam perhimpunan haram di ibu negara 25 November lalu.

Perhimpunan yang bermula kira-kira pukul 11 pagi hingga 1 petang itu turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Sungai Puyu, Phee Boon Poh dari DAP.

Uthayakumar berkata, masyarakat India tidak menghadapi masalah untuk terus hidup harmoni bersama masyarakat Melayu dan tidak sekali-kali berasa marah atau benci kepada orang Melayu.

Menurutnya, Malaysia tetap menjadi negara tumpah darah yang dipertahankan oleh masyarakat India negara ini, namun apa yang menjadi masalah ialah kerajaan pimpinan UMNO mengabaikan masyarakat India.

Beliau yang ditemui selepas itu juga berkata, kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang mendedahkan tindakan Hindraf meminta sokongan dan bantuan pengganas antarabangsa iaitu Pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dari Sri Lanka adalah satu pembohongan.

Menurut Uthayakumar, pembohongan itu bertujuan untuk mengalih isu yang ditimbulkan oleh Hindraf dengan mengaitkan mereka dengan kumpulan pengganas.

Menurutnya, langkah itu bertujuan memastikan badan bukan kerajaan antarabangsa dan kerajaan negara asing menjauhi dan tidak menyokong Hindraf.

Justeru, kata beliau, pihaknya membuat laporan polis berhubung tuduhan Musa terhadap Hindraf itu kira-kira pukul 3 petang semalam di Kuala Lumpur.

‘‘Kalau Ketua Polis Negara gagal buktikan kebenaran tuduhan itu dalam tempoh 24 jam, ternyata ia palsu,” katanya.

Mengenai penahanan 31 penyokong Hindraf, beliau berkata, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengadili kes mereka perlu ditukar kepada hakim baru. -- Utusan Malaysia, 9 Disember 2007.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_07.htm

Tuesday, May 19, 2009

Hindraf ancam nilai-nilai teras nasional?

Ruhanie Ahmad

Dilema keselamatan masyarakat boleh mencetuskan perbalahan, keganasan dan peperangan. Begitulah pandangan sarjana keselamatan dunia selepas beakhirnya Perang Dingin. Fenomena ini tidak mustahil. Lazimnya terjadi di sesebuah negara majmuk. Contohnya adalah di Bosnia Herzegovina.

Oleh sebab itu jangan pandang ringan tindak-tanduk Hindraf. Nilai-nilai teras yang diperjuangkan oleh pertubuhan ini mungkin legitimate. Tetapi, pendekatan, gelagat dan kenyataan segelintir pemimpinnya terbukti menghiris jiwa dan memprovokasikan sentimen Melayu dan Islam.

Maka, memang wajar Hindraf dijadikan referent object untuk di securitised kan sebagai ancaman. Ini kerana nilai-nilai teras yang mesti dipertahan dan dilindungi oleh pemerintah Malaysia dan majoiti rakyat adalah keharmonian agama, perpaduan nasional dan kepentingan negara. Kalau nilai-nilai teras ini dikompromikan, kita semua mungkin terjejas di kemudian hari.

Kebelakangan ini pertubuhan haram ini kembali menarik perhatian umum. Pada Januari 2008 saya menerbitkan sebuah buku mengenai pertubuhan ini bertajuk Hindraf satu konspirasi? Di bawah ini adalah antara sedutan kandungannya.

Siapa Hindraf? Sebuah pertubuhan haram? Organisasi pelampau? Pengkhianat negara? Sekutu kepada satu pertubuhan teroris Tamil antarabangsa berpangkalan di Sri Lanka? Sekutu kepada satu kumpulan facist yang dikenali sebagai RSS berpangkalan di India? Seekor merak yang amat bongkak, seekor naga perkasa yang tergila-gilakan pancaran sinar sebutir berlian misteri, atau seekor mengkarung yang sentiasa pintar menukar warna badannya mengikut kesesuaian persekitarannya?

Mengapakah Hindraf memfitnah Malaysia kononnya melakukan pembersihan etnik ke atas penganut Hindu? Mengapakah Hindraf mendesak kerajaan untuk melantik keturunan Cina sebagai Menteri Kewangan Kedua? Mengapakah Hindraf mendesak kewujudan jawatan Timbalan Perdana Menteri Kedua dari kalangan bukan Melayu?

Banyak pihak hairan, mengapakah dengan tidak semena-mena, Hindraf bangkit mewarna-warnikan suasana politik Malaysia dengan seribu satu macam tuduhan, fitnah dan provokasi. Tidak mungkinkah tindakan atas platform agama itu hanya satu permulaan untuk mencapai objektif Hindraf yang rahsia, lebih besar dan lebih menyeluruh bentuknya?

Demonstrasi Hindraf penuh dengan babak sensasi dan kenyataan provokatif. Beberapa orang pegawai polis yang mengawal demonstrasi itu tercedera akibat tindakan peserta demonstrasi tersebut. Beberapa peserta demonstrasi Hindraf juga turut menerima nasib yang sama akibat tindakan balas pihak pasukan keselamatan.

Satu lagi ironi dalam demonstrasi Hindraf adalah mengenai keengganan kepimpinannya menyerahkan petisyen Hindraf kepada pihak Pesurujaya Tinggi British, di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Hakikat ini amat menghairankan. Kalau matlamat tunggal demonstrasi Hindraf dikatakan untuk menyampaikan petisyen tersebut, mengapakah petisyen itu tidak diserahkan kepada pihak Pesuruhjaya Tinggi British? Adakah Hindraf berkonspirasi dengan mana-mana pihak untuk menganjurkan demonstrasinya?

Oleh sebab itu, kajilah Hindraf secara terperinci berasaskan dokumen rasmi yang telah dikeluarkan oleh Hindraf dan dikirimkan kepada Perdana Menteri Malaysia, Perdana Menteri British, Ratu Elizabeth II, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan lain-lainnya.

Mengapakah pemimpin-pemimpin Hindraf hanya ditahan di bawah Seksyen 8 ISA yang tidak membolehkan pihak polis menyiasat mereka secara rapi? Mengapakah mereka tidak disoal-siasat mengenai latarbelakang yang menyebabkan mereka membuat tuduhan mengenai pembersihan ektik dan mini-genocide ke atas kaum India di Malaysia?

Mengapakah tidak dipastikan mengapakah mereka membuat kenyataan penuh provokasi terhadap UMNO, umat Islam dan orang Melayu sehingga hampir-hampir mencetuskan perbalahan kaum dan pertumpahan darah? Mengapakah tidak disoal-siasat kenapa mereka merayu komuniti antarabangsa untuk mendesak Kerajaan Malaysia memansuhkan Perlembagaan Persekutuan?

Hindraf telah menjadi seperti Hindraf hari ini akibat kedolak-dalikan pemerintah. Kepimpinan semasa mestilah segera perbetulkan keadaan supaya rakyat selamat, negara aman, dan seluruh nilai-nilai teras nasional mengenai keselamatan negara sentiasa terpelihara dan terjamin.

BN bertindak waras dan berani

BN tidak akan bertanding dalam PRK DUN Penanti. Ini satu keputusan yang waras, tindakan yang berani, dan strategi yang bijak. Dengan keputusan, tindakan dan strategi ini PR akan mati langkah dan hilang ghairah. Antiklimeks!

BN sebagai parti yang rasional tidak perlu terdorong dengan rentak politik kuasa oleh pihak yang sedang mengigal bak merak kayangan. BN wajar menumpu kepada soal kesejahteraan rakyat dan kelangsungan negara.

BN hanya perlu menyertai sesuatu PRK bila kerusi berkenaan kosong kerana ADUN penyandangnya meninggal dunia atau hilang kelayakan akibat sesuatu implikasi undang-undang.

Pihak yang mempermainkan mandat rakyat, walaupun demokratik, seperti di Penanti, adalah pihak yang sengaja untuk bermain politik kuasa semata-mata untuk kuasa, bukannya untuk rakyat jelata.

Memang seronok bermain politik kuasa ala-machiavelli, matlamat menghalalkan cara. Tetapi, dalam soal PRK Penanti, matlamat siapakah yang telah menghalalkan cara PR untuk bertandak dan bertindak sedemikian rupa?

Adakah PRK Penanti mahu mencapai matlamat PR untuk membuktikan kepada umum kononnya ia masih didukung dan dijulang oleh rakyat jelata di Penanti?

Adakah PRK Penanti mahu mencapai matlamat untuk membuktikan kononnya BN pengecut dan mengangkat bendera putih sebelum memasukki medan tempur?

Tidak mungkinkah PRK Penanti hanya mahu mencapai matlamat seseorang individu tertentu yang kini sedang diselubungi krisis moral? Matlamat siapakah yang sebenarnya menghalalkan cara PR memanipulasikan ADUN Penanti sehingga menyebabkan kerusi DUN itu dikosongkan untuk membolehkan PRK ini diadakan?

Pastinya pengundi di Penanti dapat menghalusi seluruh pertanyaan ini dan memberikan jawapannya secara tepat. Pastinya para penyokong BN juga dapat memahami matlamat siapakah yang sebenarnya telah menghalalkan cara dalam konteks PRK Penanti.

Oleh sebab itu, kita saksikan betapakah merak yang sedang gian untuk mengigal akan mengigal di Penanti tanpa audiens yang amat dinanti-nantikan. Sesudah itu, kita nantikan dimana pula agaknya merak itu akan mengigal dan mengigal untuk membuktikan dialah mahkluk terhebat, tercantik dan terhandal dalam siasah tanah air ini! – Ruhanie Ahmad

Sunday, May 17, 2009

Pengenalan: Dilema etnik di Malaysia menerusi perspektif keselamatan negara

Ruhanie Ahmad

Malaysia adalah negara majmuk. Penduduknya pada tahun 1957 seramai 6.36 juta orang, iaitu 3.12 juta Melayu, 2.33 juta Cina, 690,000 India dan 120,000 lain-lain keturunnan (Federation of Malaya Year Book 1959). Etnik Cina pada ketika itu menguasai ekonomi negara secara kukuh, orang Melayu pula dalam kemiskinan (Deptartment of Statistics, Kuala Lumpur, 1958-1960). Pada tahun 2000, penduduk Malaysia meningkat kepada 23,274,690 orang, iaitu 11.7 juta Melayu, 2.6 juta Bumiputera, 5.7 juta Cina, 1.7 juta India, dan lain-lain kaum 269,000 orang (Utusan Malaysia: 18.9.2003). Penduduk Malaysia pada tahun 2008 adalah 25.056 juta, iaitu Melayu 13.667 juta Bumiputera 2.963 juta, Cina 6.256 juta, 1.880 juta, lain-lain keturunan 290,000 dan bukan rakyat 2.826 juta (Unit Perancang Ekonomi:2008).

Pemilikan modal saham pada tahun yang sama pula adalah RM100 bilion atau 18.9 peratus di tangan Bumiputera, RM215 bilion atau 40.6 peratus dikuasai oleh bukan Bumiputera, RM42.3 bilion atau 8 peratus dikuasai oleh syarikat nomini dan RM172.3 bilion atau 32.5 peratus dipegang oleh pemodal asing. Daripada perangkaan ini, ekuiti Bumiputera terbahagi kepada RM79.4 bilion atau 15 peratus milik individu, RM11.9 bilion atau 2.2 peratus milik institusi, dan RM8.7 bilion atau 1.7 peratus milik agensi anamah. Ekuiti milik bukan Bumiputera pula sebanyak RM207 bilion atau 39 peratus dikuasai oleh Cina, RM6.4 bilion atau 1.2 peratus dalam tangan India, dan lRM1.9 bilion atau 0.4 peratus kepunyaan lain-lain kaum (The Star: 27.6.2008).

Statistik di atas membuktikan jumlah penduduk Melayu dan Bumiputera berbanding lain-lain kaum yang hampir seimbang sewaktu kemerdekaan tanah air telah meningkat secara prominen pada 2008. Kenyataan mengenai kemiskinan serta indikator mengenai pegangan modal pula adalah manifestasi bahawa orang Melayu dan Bumiputera adalah golongan yang masih jauh ketinggalan berbanding bukan Bumiputera dan pemodal asing di Malaysia mutakhir ini.

Lantaran itu, etnik manakah yang sebenarnya sedang mengalami dilema di Malaysia? Adakah kaum Cina yang dilanda dilema kononnya akibat kewujudan hegemoni kekuasaan Melayu mulai 1969? Benarkah hegemoni Melayu yang bertunjangkan kekuasaan politik UMNO membawa peminggiran politik masyarakat Cina, dan manifestasi hegemoni ini ialah dasar kerajaan yang menekan masyarakat Cina (Thock Ker Pong 2005:2-3).

Adakah kaum India yang dibelenggu dilema di abad ke-21 ini? Oleh sebab itukah dengan secara ironisnya Hindraf mengisytiharkan secara terbuka bahawa musuhnya adalah UMNO, bukan orang Melayu (Utusan Malaysia: 29.12.2007).

Oleh sebab itukah juga Hindraf menyatakan bahawa sejak 50 tahun kemerdekaan tanah air, Kerajaan Malaysia yang dikuasai oleh UMNO, bersama dengan kekuatan majoritinya, serta disokong oleh pihak Polis, Pejabat Peguam Negara, Judiciary, Perkhidmatan Awam dan media massa telah mencabul Perlembagaan Persekutuan dan mencipta apartheid ala-Malaysia yang khususnya menyebabkan degeneration kepada sekurang-kurangnya 70 peratus daripada minoriti etnik India sehingga mereka menjadi kelompok underclass dan tergolong dalam kategori kemiskinan tegar di Malaysia (Fasal 4 dalam Memorandum 18 Perkara yang disampaikan oleh Hindraf kepada Perdana Menteri Malaysia pada 12.8.2007).

Persoalan-persoalan di atas akan dihuraikan secara terperinci berasaskan konsep keselamatan kemasyarakatan (societal security) yang dipelopori oleh Barry Buzen dalam bukunya People, states and fear (1983) dan juga huraiannya oleh Michael Sheehan dalam bukunya International Secuity (2005).

Penemuan-penemuan oleh lain-lain sarjana keselamatan negara dan keselamatan antarabangsa seperti Paul Roe menerusi buku Ethnic violence and the societal security dilemma (2005), Ray David dan Donald Rothchild menerusi buku The international spread of ethnic conflict, fear, diffusion and escalation (1998), Ole Waever, Barry Buzan, Morten Kelstrup dan Pierre Lemaitre menerusi buku Identity, Migration and the New Security Agenda in Europe (1993) dan Barry Posen menerusi tulisannya The security dilemma and ethnic conflict dalam jurnal Survival, volume 35, No. 1(1993), serta kajian oleh beberapa sarjana serta pemimpin politik Malaysia juga akan diambilkira dalam analisis ini.

Pemikiran Ken Booth dalam bukunya Theory of world security (2007) dan Emil Kirchner dan James Sperling dalam buku Global security Governance competing perceptions of security in the 21st century (2007) juga akan dijadikan sebahagian daripada asas kajian ini.

Inisiatif ini saya usahakan menerusi kapisiti saya yang terhad untuk menginsafkan kepimpinan dan warganegara Malaysia bahawa isu societal security dan dilema etnik mutakhir ini amat wajar dijadikan salah satu referent object atau objek rujukan yang perlu dihalusi, diperdalami dan diperluaskan menerusi perspektif keselamatan negara. Ini kerana ramai sarjana dunia mendapati bahawa isu-isu identiti etnik, dilema etnik terbabit, implikasi dilema tersebut terhadap ketahanan nasional serta keharmonian kaum mungkin mencetuskan konflik, keganasan dan peperangan di sesebuah negara majmuk di masa akan datang.

Kajian para sarjana ini adalah berasaskan perkembangan di negara Balkan seperti Bosnia Herzegovina dan Croatia. Mereka melakukan kajian terperinci tersebut berikutan Perang Balkan 1990-1995, terutamannya di Bosnia Herzegovina, yang mengalami genocide dan pembersihan etnik paling serius dalam sejarah dunia berbanding Perang Dunia Kedua.

Kajian mereka juga dilaksanakan kerana isu keselamatan negara di era pasca Perang Dingin bukan hanya membabitkan masalah ketenteraan dan pertahanan tetapi melibatkan juga soal-soal ketahanan nasional, perpaduan masyarakat dan kesejahteraan warganegara seluruhnya. -- (ikuti sambungannya dalam posting akan datang).

Friday, May 15, 2009

Prolog: Dilema etnik di Malaysia menerusi perspektif keselamatan negara

Ruhanie Ahmad

Ramai sarjana dunia kini mengkaji aspek keselamatan negara menerusi perspektif identiti etnik minoriti, dilema etnik terbabit, implikasi dilema tersebut terhadap ketahanan nasional serta keharmonian kaum, dan kemungkinan dilema berkenaan mencetuskan konflik, keganasan dan peperangan di sesebuah negara majmuk di masa akan datang.

Kajian berkenaan adalah berasaskan perkembangan di negara Balkan seperti Bosnia Herzegovina dan Croatia. Kajian terperinci ini dilakukan berikutan Perang Balkan 1990-1995, terutamannya di Bosnia Herzegovina, yang mengalami genocide dan pembersihan etnik paling serius dalam sejarah dunia berbanding Perang Dunia Kedua.

Antara sarjana keselamatan antarabangsa yang memberikan tumpuan kepada kajian di atas adalah Paul Roe menerusi buku Ethnic violence and the societal security dilemma (2005), Ray David dan Donald Rothchild menerusi buku The international spread of ethnic conflict, fear, diffusion and escalation (1998), Ole Waever, Barry Buzan, Morten Kelstrup dan Pierre Lemaitre menerusi buku Identity, Migration and the New Security Agenda in Europe (1993) dan Barry Posen menerusi tulisannya The security dilemma and ethnic conflict dalam jurnal Survival, volume 35, No. 1(1993).

Pemikiran Ken Booth dalam bukunya Theory of world security (2007) dan Emil Kirchner dan James Sperling dalam buku Global security Governance competing perceptions of security in the 21st century (2007) juga relevan terhadap kajian berkenaan.

Oleh sebab itu, kenyataan Presiden PERKASA, Dato’ Ibrahim Ali, yang dipetik oleh Utusan Malaysia 15 Mei 2009, sebagai mendesak kerajaan supaya bertegas terhadap tuntutan masyarakat Cina yang minta dikaji semula dasar biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kerana menurut Ibrahim tuntutan tersebut ”hanya mementingkan politik kaum semata-mata,” dan kerajaan sewajarnya memastikan agar kepentingan Melayu dan Bumiputra yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutan ”sentiasa terpelihara,” adalah satu kenyataan yang perlu mendapatkan perhatian serius daripada seluruh pihak di Malaysia.

Kenyataan Ibrahim ini boleh menyebabkan beliau dikecam oleh segolongan oportunis dan ektremis bukan Melayu. Beliau juga mungkin dibidas oleh golongan Melayu universalis atau Melayu yang lupa asal-usul bangsa sendiri.

Kepada semua kumpulan ini, sila rujuk kepada muka surat 6, 70 dan 71 Report of the Federation of Malaya Constitutional Commission 1957 yang menghuraikan sejarah mengapakah keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kumpulan ini juga wajar memahami dan menghayati mesej di sebalik kenyataan akhbar Majlis Raja-Raja Melayu pada 16 Oktober 2008 mengenai peranan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu. Antara lain, kenyataan berkenaan menegaskan, Raja-raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, melindungi Agama Islam, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.

Cadangan ini dikemukakan kerana sesetengah golongan politik bukan Melayu kini mula menyuarakan pelbagai isu dan kecaman terhadap orang Melayu dan Bumiputra yang menjuruskan kepada beberapa Fasal asas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Cadangan ini juga diketengahkan kerana kebelakangan ini muncul golongan Melayu, termasuk pemimpinnya, yang sangat apologetik bila dituntut untuk membicarakan ketuanan Melayu atau mempertahankan hak-hak Melayu dan Bumiputra dalam Perlembagaan Persekutuan.

Memang Malaysia pada hari ini adalah sebuah negara yang majmuk. Hakikat ini diterima sepenuhnya oleh orang Melayu. Tetapi, sejauh manakah hakikat ini diiktiraf, diakui dan dihormati oleh bukan Melayu?

Biarpun begitu, orang Melayu dan bukan Melayu perlu insaf bahawa kemajmukan Malaysia bukan atas pilihan orang Melayu. Kemajmukan masyarakat Malaysia hari ini adalah hasil tipu muslihat penjajah Inggeris.

Menurut Ahmad Attorey Hussein (1987:56), hujah-hujah yang mengatakan kalau tidak ada penyertaan MCA dan MIC untuk merdeka negara adalah hujah yang sangat lemah, satu pembohongan politik dan satu helah penjajah kerana ia tidak mahu bertanggungjawab jika terjadi satu-satu hal nanti. Penjajah terhutang budi kepada orang Cina dan India kerana orang-orang inilah yang membantu Inggeris menjadi kaya, menjadi kuasa besar. Jadi, sebelum Inggeris keluar dari bumi Malaya, ia pastikan supaya hak warganegara diperolehi oleh bekas buruh-buruhnya itu.

Menurut Tunku Abdul Rahman (1997:170), tujuan mereka (bukan Melayu) hendak duduk dalam Tanah Melayu ialah kerana mencari nafkah dan kekayaan dan kita tahu yang mereka itu berkehendak berebut hak-hak siasah di dalam negeri ialah kerana hendak mempertahankan hak-hak mereka yang ada sekarang.

Oleh sebab itulah pada masa kita bangkit dan meruntuhkan Malayan Union, bangsa-bangsa asing cuma melihat dan memandang sahaja. Mereka tidak masuk campur atau ambil tahu apa-apa kerana mereka sedar bahawa yang kita tuntut itu adalah hak kita sendiri dan bangsa asing itu tidak mengambil bahagian kerana pada fikiran mereka itu yang mereka tidak kena-mengena dengan pemerintahan negeri ini (Tunku Abdul Rahman 1997:170).

Tetapi, Tanah Melayu menuntut kemerdekaan dengan cara berkongsi antara tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India, padahal semasa orang Melayu menentang Malayan Union pada tahun 1946, tidak ada langsung penyertaan kaum bukan Melayu. Dengan kata lain, British menjajah atau mengambil Tanah Melayu dari orang Melayu sendiri, tetapi semasa menuntut kembali Tanah Melayu untuk merdeka, kita terkial-kial mengajak sangat kaum-kaum yang bukan Melayu untuk menuntut Tanah Melayu dari British (Ahmad Attorey Hussein 1987:55).

Berdasarkan kenyataan-kenyataan di atas, seluruh pihak di Malaysia wajar waspada terhadap fenomena etnik yang terjadi di Wilayah Balkan. Bukan Melayu tidak seharusnya mencabar perkara-perkara yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan wajar memberikan perlindungan yang setegas-tegasnya kepada seluruh peruntukan asas mengenai Melayu dan Bumiputra yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Orang Melayu dan Bumiputra pula perlu berani mempertahankan status mereka dalam Perlembagaan Persekutuan secara berhemah dan bijaksana.

Pada waktu yang sama, kerajaan perlu memastikan bahawa seluruh dasar affirmative mengenai Melayu dan Bumiputra tidak akan dikompromikan. Projek-projek di kawasan sepmpadan juga harus mempunyai kajian impak terhadap kedaulatan negara. Jikalau sesuatu dasar perlu melalui penyesuaian, lakukanlah secara bijaksana. Elakkanlah fenomena kera di hutan tidak disusukan, dagang lalu tidak ditanakkan, ayam di kepok tidak mati kelaparan, itik di air pula tidak mati kehausan!

[Nota: saya sedang menyediakan satu esei mengenai tajuk posting ini sebagai satu usaha kecil dan usaha awal untuk mengkaji konflik etnik dan implikasinya kepada keselamatan negara. Semoga anda sudi memberikan buah fikiran untuk kesejahteraan Malaysia di hari-hari mendatang. – Ruhanie Ahmad]