KEMBALILAH PANGLIMA JEBAT
MERAWAT UMNO YANG TENAT
Posting ini saya dedikasikan kepada Saudara Zainal Sikum @ Unggal - seorang sahabat lama saya di High School Muar, Johor - yang kini menetap di London. Hari ini Unggal melayarai kuda-kepang dan meninggalkan komen bahawa “as for now, many Melayu have left UMNO.”
Saya tidak akan jawab komen di atas. Sebaliknya, saya harap Unggal dan seluruh sahabat saya di merata tanahair, fahamilah maksud tersirat di sebalik posting ini yang saya petik daripada epilog kepada buku terbaru saya yang akan terbit tidak lama lagi, seperti berikut:
Saya pernah melalui hidup di zaman darurat di era Penjajahan British. Dari pengalaman peribadi, zaman itu bolehlah ditakrifkan sebagai suatu fasa kehidupan rakyat jelata yang sentiasa diancam bahaya keganasan, kekejaman, kezaliman, kemaharajalelaan dan kedurjanaan pengganas bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM). Di Mukim Empat, Batu Pahat, Johor, pengganas komunis ini lebih dikenali sebagai Komunis Bintang Tiga.
Walaupun ketika itu saya masih mentah, saya tetap menginsafi bahawa kehidupan dalam zaman darurat adalah fasa kehidupan yang sangat-sangat menuntut seluruh rakyat di kampung saya untuk memiliki peraturan, disiplin, matlamat, nilai, mindset, semangat dan jiwa perjuangannya yang tersendiri.
Seluruh tuntutan ini pula mestilah berasaskan prinsip kesamarataan, perpaduan, kerukunan, permuafakatan dan kesukarelaan. Hakikatnya begitu semata-mata untuk menjamin keselamatan nyawa dan survival seluruh penduduk kampung seandainya gerombolan Komunis Bintang Tiga datang menyerang, mengganas, membunuh dan membinasa dengan secara tiba-tiba.
Survival
Lantaran itu, seluruh penduduk kampung - kecil dan besar, tua dan muda, miskin dan kaya - dimestikan menggemblengkan minda, semangat, jiwa dan tenaga pada setiap masa. Seluruh arahan mesti diikuti, seluruh peraturan mesti dipatuhi, seluruh tuntutan mesti dipenuhi, seluruh larangan mesti dijauhi. Seluruh kemestian ini jika diengakari dan jika dikhianati, akan hanya berakhir dengan kematian dan kemusnahan.
Sebab itulah penduduk kampung saya di zaman itu sentiasa bersiap sedia, waspada dan siaga dalam melaksanakan tanggungjawab memelihara keselamatan kampung dari ancaman gerombolan Komunis Bintang Tiga.
Pada ketika itu juga penduduk kampung saya mempunyai satu set prosidur survival yang cukup rapi, berkesan serta mudah untuk diamalkan dan dipatuhi. Contohnya, adalah sistem amaran mengenai kedatangan musuh di waktu malam. Bila kami terdengar bunyi kentong bertalu-talu di tengah malam buta, itulah tandanya kami mesti segera bangun dan terus lari daripada rumah masing-masing dan bersembunyi di tempat yang selamat. Selepas itu, bila kami terdengar bunyi kentong dengan rentak yang agak lunak, itu maknanya kami boleh pulang ke rumah masing-masing kerana keadaan sudah bebas dari ancaman musuh.
[Nota: Kentong adalah sejenis alat semboyan tradisional jawa yang diperbuat daripada kayu. Sila sebut ken seperti dalam perkataan kenalan dan tong seperti dalam perkataan kelentong]
Begitu juga dengan sistem catuan makanan. Seluruh penduduk kampung dilarang menyimpan makanan berlebihan di rumah masing-masing. Sebab itulah kami terpaksa melalui sistem catuan beras kerana khuatir beras yang berlebihan akan jatuh ke tangan musuh yang lazimnya berkubu di bukit bukau, hutan belantara dan belukar di pinggiran kampung.
Berkorban
Pendek kata, waktu di zaman darurat, seluruh penduduk kampung memang dituntut untuk berkorban dengan penuh disiplin demi survival masing-masing. Dan, pengorbanan itu pula mestilah total, ikhlas dan abadi.
Demikianlah serba ringkas coretan hidup saya di zaman darurat. Iktibar yang hendak saya kongsikan daripada fasa kehidupan di zaman itu ialah: setiap anggota masyarakat yang hidup di zaman darurat sentiasa dituntut mematuhi seluruh peraturan dan arahan, sentiasa dituntut bermuafakat dan bekerjasama, sentiasa dituntut berkorban dengan penuh disiplin, secara total, ikhlas dan abadi.
Pendek kata, masyarakat yang dalam darurat mesti dijauhi daripada sebarang pengkhianatan serta sikap tamak, haloba, hasad dan dengki. Tuntutannya begitu kerana yang jadi pertaruhan kepada perjuangan anggota masyarakat yang dalam darurat adalah survival, keselamatan dan nyawa seluruh anggota masyarakat berkenaan.
Hari ini kita tidak lagi hidup dalam zaman darurat. Kita merdeka, aman, makmur dan sejahtera. Tetapi, seluruh warga UMNO sebenarnya sedang berada dalam era darurat politik. Akibat ledakan emosi, marah dan kecewa terhadap kepimpinan negara, segolongan warga UMNO telah pun memilih untuk berkelana buat sementara daripada semangat dan jiwa perjuangan UMNO.
Perkelanaan ini dilakukan bukan untuk menderhaka atau mengkhianati sesiapa. Tindakan ini dilakukan untuk memberikan isyarat yang amat serius dan cukup jelas kepada pucuk pimpinan UMNO bahawa wadah perjuangan UMNO mestilah dibersihkan daripada segala bentuk kepura-puraan, penipuan, kedurjanaan, pembohongan dan penghkianatan. Tindakan ini juga terpaksa dilakukan untuk menyingkirkan seluruh kelompok penipu, pembohong, durja dan pengkhianat daripada UMNO.
Kini, misi hati dan jiwa itu sudah dilaksanakan dengan jayanya. Kini seluruh barisan pejuang yang berkelana mesti segera kembali ke pangkuan UMNO yang dalam darurat akibat ledakan emosi, marah dan kecewa. Kini, UMNO perlu dirawat dan dipulihkan dengan segera. Kini seluruh angkatan jebat yang berkelana buat sementara waktu dalam tempoh PRU12 mesti kembali ke medan juang yang asal dan memberikan semula perjuangan mereka yang total, ikhlas dan abadi kepada UMNO.
Angkatan Jebat
Mudah-mudahan, kembalinya semula seluruh angkatan jebat ke pangkuan UMNO akan berjaya mengusir seluruh penipu, pembohong dan pengkhianat lari lintang pukang dan keluar untuk selama-lamanya daripada gelanggang perjuangan yang keramat yang diwarisi daripada datuk nenek kita sejak zaman berzaman.
Bagaimanapun, seluruh angkatan jebat mestilah kembali dengan satu ikrar panglima bahawa UMNO perlu diremajakan semula dengan semangat juang yang membara dan visi perjuangan yang nyata. Segala-galanya mesti segera dilaksanakan demi manfaat agama, bangsa dan negara.
Dan insaflah, bila sudah kembali, terapkanlah gaya perjuangan masyarakat yang dalam darurat yang sentiasa mematuhi seluruh peraturan dan arahan, sentiasa bermuafakat dan bekerjasama, dan sentiasa berkorban dengan penuh disiplin, secara total, ikhlas dan abadi.
Insafilah, sesuatu perjuangan di era darurat mestilah jauh daripada sebarang pengkhianatan serta sikap tamak, haloba, hasad dan dengki. Tuntutannya begitu kerana yang jadi pertaruhan kepada perjuangan dalam darurat adalah survival, keselamatan dan nyawa. Kepada warga UMNO, survival, keselamatan dan nyawa yang dimaksudkan adalah survival, keselamatan dan nyawa UMNO dalam konteks politik Malaysia di era pasca PRU12.
Saya pasti Unggal yang berasal daripada Lenga, Muar, faham maksud posting di atas. Lenga pun pernah dikategorikan sebagai kawasan hitam di zaman darurat dulu. Lengan dekat dengan Pagoh dan beberapa batu sahaja jauhnya daripada Bukit Kepong. Semua kawasan ini adalah tempat permainan Mat Indera, komunis Melayu yang akhirnya dibunuh hanya dengan memakan daun kecubung! - Ruhanie Ahmad