Monday, July 05, 2010

Kerajaan BN Dan Keselamatan Rejim: Pengenalan

Ruhanie Ahmad

Satu daripada kategori keselamatan bukan tradisional dalam era kontemporari adalah keselamatan rejim atau keselamatan pemerintah sesebuah negara. Dalam konteks Malaysia, ianya adalah mengenai keselamatan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditulangbelakangi oleh UMNO.

Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden UMNO, kebelakangan ini terbukti amat prihatin terhadap keselamatan rejim BN. Kedua-duanya sentiasa mengeluarkan kenyataan, ingatan, serta harapan, semoga semua pihak turut prihatin terhadap hakikat yang sama.

Tetapi, keprihatinan, ingatan, dan harapan Najib serta Muhyiddin seolah-olah tidak menerima reaksi sewajarnya. baik oleh sayap-sayap terpenting dalam UMNO, mahupun oleh komponen terbesar BN di Malaysia Semenanjung.

Latarbelakang

Senario seperti ini boleh mengancam keselamatan Kerajaan BN. Memang pakatan pembangkang sendiri sedang bercelaru dan dilanda oleh pelbagai skandal dan masalah, seperti yang terjadi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Penasihat PKR, dan juga Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor. Tetapi, BN dan UMNO juga berada dalam keadaan yang kurang mantap.

Contohnya, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO terus digerhanai oleh “krisis kredibaliti” akibat tuduhan politik wang dalam pemilihan parti tempoh hari. Ketua Pergerakan Pemuda MCA juga dilanda pelbagai tohmah dan dakwaan, terutamanya menerusi beberapa blog yang disasarkan khusus kepadanya.

Pada waktu yang sama, permuafakatan dalam BN, terutamanya di Malaysia Semenanjung, jelas rapoh. Polemik demi polemik tercetus. Sesetengah komponen BN tergamak bermain api yang impaknya membakar perasaan dan jiwa orang Melayu dan Bumiputera yang menjadi penyumbang undi terbesar kepada BN.

Di dalam UMNO sendiri wujud protes senyap terhadap kredibaliti sesetengah pegawai bergaji dan tidak bergaji yang dilantik untuk berkhidmat di Ibupejabat UMNO Malaysia.

Hakikat ini bagaikan api dalam sekam. Jika tidak segera diatasi, ia boleh menyebabkan segolongan warga UMNO bersikap acuh-tak-acuh dalam perjuangannya untuk agama, bangsa, dan tanah air. Sokongan warga UMNO terhadap Kerajaan BN juga mungkin merosot.

Persoalan Pokok

Oleh sebab itu, persoalan pokok dalam tulisan ini adalah: apakah destini Kerajaan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)? Jika dalam PRU12 BN kehilangan kuasa di Selangor, Perak, Pulau Pinang, dan Kedah; hanya menang dengan majoriti dua kerusi di Negeri Sembilan; dan gagal merampas semula Kelantan yang dikuasai PAS sejak 1990; apakah BN mampu menguasai semula negeri-negeri terbabit, menambahkan majoritinya di Negeri Sembilan, serta mengekalkan prestasinya di lain-lain negeri yang dikuasainya pada hari ini, menerusi PRU13?

Persoalan ini akan dirungkai menerusi pendekatan berikut. Satu, analisis terhadap BN, UMNO, serta beberapa komponen utamanya. Dua, menyorot kredibaliti kepimpinan tertinggi sayap-sayap terpenting dalam komponen utama BN. Tiga, merungkai prestasi perkhidmatan awam yang sewajarnya berperanan mengukuhkan institusi negara. Empat, memperincikan dasar-dasar baru Kerajaan BN dan impaknya kepada sokongan rakyat jelata.

[Nota: Anda dipersilakan untuk berkongsi pendapat---pro dan kontra---untuk merungkai seluruh persoalan di atas menerusi blog ini bagi membolehkan persoalan-persoalan tersebut dibicarakan secara terperinci demi manfaat bersama.]

Sunday, July 04, 2010

Pentadbiran Awam Dan Rasuah: Kesimpulan

Ruhanie Ahmad

Siri ini merumuskan bahawa pentadbiran awam yang cekap adalah tidak bebas dari rasuah. Ini bermaksud bahawa kecekapan warga perkhidmatan awam tidak boleh dijadikan indikator total kepada ketiadaan amalan rasuah dalam sektor berkenaan.

Sebaliknya, hanya warga pertadbiran awam yang cekap dan membenci rasuah sahaja yang boleh mengurangkan tahap rasuah dan lama kelamaan menghapuskan jenayah tersebut secara komprehensif.

Dalam konteks ini, seluruh institusi negara dan NGO berkaitan dengannya wajar melaksanakan prorgam membanteras rasuah menerusi pemupukan iman yang lurus dan jiwa yang murni.

Seterusnya, kerajaan wajar memastikan bahawa pelbagai institusi anti-rasuah untuk memupuk sikap membenci jenayah ini perlulah fokus dan tidak terjebak dalam sesawang birokrasi yang akhirnya melunturkan impak perjuangan anti-rasuah.

Akhir sekali, pihak penguatkuasa undang-undang anti-rasuah mestilah mempunyai pegawai di semua peringkat yang benar-benar bebas daripada persepsi, tuduhan, dan amalan rasuah.

[nota: sepanjang siri ini tidak ada sesiapa yang sudi menyahut rayuan saya untuk memberikan bukti-bukti konkrit mengenai amalan rasuah di sektor awam dan swasta di Malaysia. Sekali lagi saya merayu agar anda yang mempunyai maklumat sahih kirimkanlah ke blog ini atau kirimkanlah menerusi e-mail saya yang tercatat di sidebar blog ini. Rayuan ini adalah untuk membolehkan saya menulis sebuah buku ringkas mengenai rasuah demi untuk manfaat kita bersama.]


Tuesday, June 29, 2010

Perkhidmatan Awam Dan Rasuah: Siri Lima

Ruhanie Ahmad
Siri sebelum ini membuktikan bahawa kecekapan sesuatu pentadbiran awam atau syarikat swasta hanya boleh mengurangkan tahap rasuah atau membasmi rasuah keseluruhannya jika semua individu dalam organisasi berkenaan membenci rasuah.

Lantaran itu, analisis ini berpendapat bahawa rasuah hanya boleh dihapuskan menerusi tiga kaedah utama. Pertama, menerusi sistem perundangan yang tegas, penguatkuasaan undang-undang yang berkesan, dan penalti undang-undang yang berat.

Bagaimanapun, pastikan pihak penguatkuasa undang-undang itu sendiri tidak terlibat dengan rasuah. Benveniste (1997:119) yang menitikberatkan masalah ini menegaskan ”rasuah hanya akan terhapus jika pihak berkuasa yang bertanggungjawab membanteras rasuah tidak boleh dirasuah oleh sesiapa. Situasi seperti ini wujud jika badan berkuasa berkenaan mempunyai komitmen kepada ideologi perjuangan negara dan komitmen kepada profesionalisme kerjaya.”

Kedua, rasuah boleh dihapuskan menerusi pelaksanaan dasar, konsep serta program anti-rasuah yang berterusan, program yang menerima iltizam politik yang jujur, serta program yang digandingi oleh strategi penjernihan minda menerusi ajaran agama dan pemupukan norma-norma masyarakat yang positif. Ini penting kerana sasaran utama program, konsep dan dasar anti-rasuah adalah individu dalam perkhidmatan awam dan swasta.

Dalam konteks ini, Caiden et. al. (2001:253) menegaskan, ”warga perkhidmatan awam perlu mengamalkan sistem etika dan tanggungjawab moral yang murni. Mereka boleh mengamalkannya jika mereka menginsafi bahawa mereka berkhidmat untuk negara dan kesejahteraan rakyat. Amalan ini sangat diutamakan dalam negara yang demokratik kerana jika tidak, warga perkhidmatan awam akan dituduh mengamalkan birokrasi ala-Nazi yang mengorbankan kepentingan rakyat demi memenuhi matlamat birokrasi yang kejam.”

Dobel (1999:95) pula menyatakan ”jika penjawat awam tidak menjunjung nilai-nilai demokrasi, mereka akan dijebak dilema moral. Jika mereka hanya menentingkan keselesaan peribadi, mereka akan berleluasa tanpa mengambilkira hak-hak rakyat serta integriti perlembagaan negaranya.”

Ketiga, jenayah rasuah boleh dihapuskan menerusi kebangkitan serta kewujudan masyarakat sivil yang berani bersuara dan bertindak secara berwibawa dalam soal-soal anti-rasuah. Hakikat ini signifiken kerana di kebanyakan negara, jenayah rasuah berleluasa sebab rakyat jelatanya tidak peduli, takut atau berasa terancam jika mereka berbicara tentang rasuah.

Johnston (2007:197) menegaskan, “penyertaan masyarakat sivil diperlukan dalam pembanterasan rasuah kerana jenayah ini adalah sistemik. Oleh sebab itulah reformasi menghapuskan rasuah perlukan dukungan minat serta tenaga masyarakat.”

Kesemua pra-syarat di atas wujud di Malaysia. Negara ini mempunyai institusi serta undang-undang anti-rasuah yang berwibawa. Tetapi, kredibiliti penguatkuasaan yang lahir daripada institusi dan undang-undang itu masih diragui dan dipertikaikan oleh rakyat.

Malaysia mempunyai dasar, konsep serta program anti-rasuah yang dilaksanakan secara berterusan. Tetapi, sesetengah program berkenaan terlalu dibelenggu oleh kewujudan institusi birokrasi yang tidak fokus terhadap misi membanteras rasuah. Pada waktu yang sama, program-program keagamaan dan ketatanegaraan yang disasarkan khusus terhadap aspek anti-rasuah juga masih berkurangan.

Akhir sekali, Malaysia mempunyai pelbagai pertubuhan masyarakat sivil untuk menjana minat serta tumpuan umum kepada kegiatan membanteras dan membenci rasuah. Bagaimanapun, sebilangan pertubuhan ini jelas terikat kepada parti-parti politik tertentu. Oleh sebab itu, suara dan tindakan organisasi ini lebih disorot daripada perpektif politik. Itulah sebabnya suara dan tindakan mereka hanya menerima respons yang sinis daripada pemerintah.

Oleh sebab itu, Kerajaan Malaysia tidak perlu menjadikan pentadbiran awam yang cekap sebagai indikator untuk mengukur tahap rasuah di kalangan warga perkhidmatan awam ataupun pemimpin kerajaan. Sebaliknya, di samping kewujudan dan pematuhan kepada seluruh peraturan, arahan, prosidur dan undang-undang untuk meningkatkan mutu, kecekapan, dan sikap membenci rasuah, kerajaan perlu memberikan emfasis secara konsisten kepada usaha penjernihan minda dan pengukuhan iman dan moral menerusi pendekatan agama dan ketatanegaraan.

Seterusnya, kewujudan organisasi masyarakat sivil yang anti-rasuah dan bebas daripada naungan atau kongkongan politik perlu digalakkan. Moga-moga dengan cara ini rasuah dapat diminimumkan dan lama kelamaan berjaya dihapuskan.

Dengan itu, pentadbiran awam yang cekap adalah tidak bebas dari rasuah. Tetapi, pentadbiran awam yang cekap dan mempunyai warganya yang jijik dan benci kepada rasuah adalah ideal uuntuk membebaskan organisasi berkenaan, kerajaan dan negara daripada belenggu gejala rasuah. [Siri penutup mengenai rasuah akan disiarkan Jumaat depan.]

Monday, June 28, 2010

Universalis, Gedebe Dan Natey

Sabtu lalu, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, menulis kisah Melayu universalis dalam Utusan Malaysia. Kini beliau diserang oleh seorang universalis dengan tuduhan gedebe. Jika universalis itu mengetahui maksud perkataan natey, mungkin dia juga akan menggunakannya untuk mendiskripsikan Ibrahim.

Semua ini terjadi bukan kerana Ibrahim benar-benar gedebe. Tetapi kerana beliau kini menikmati limelight yang suatu ketika dulu mungkin milik orang lain, dan orang lain itu mutakhir ini seolah-olah ketandusan publisiti akibat fenomena perubahan cuaca dan suhu siasah negara.

Maka, orang lain yang berkenaan itu pun mencipta polemik dangkal membabitkan Ibrahim semata-mata untuk memperolehi sedikit limelight yang kebelakangan ini menggerhanai siasahnya.

Inilah pendekatan siasah di kalangan segelintir universalis. Jika Ibrahim dianggap berminda katak bawah tempurung, universalis terbabit sentiasa berfikiran out-of-the-box. Oleh sebab itulah Ibrahim sentiasa mengapresiasi falsafah mengenai hujan lembing di tanah airnya sendiri, sementara universalis itu terus terpesona dengan the glittering diamonds in the sky sehingga tak tergapai tangan untuk mencapainya!

Saya tertunggu-tunggu komen universalis terbabit mengenai saranan Tuanku Paduka Sultan Johor supaya jambatan baru di bina menggantikan Tambak Johor yang usang. Ini kerana banyak pihak pasti bahawa universalis itu mengetahui seribu satu kisah di sebalik pembatalan projek jambatan itu oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi beberapa tahun yang lalu!

Jambatan: Dolah Badawi Pun Sambut Baik?

Sesiapa yang membaca komen Tun Abdullah Ahmad Badawi yang saya petik daripada Utusan Malaysia di bawah ini pasti akan terpinga-pinga. Adakah kenyataan ini memanifestasikan bahawa pembatalan yang dilakukannya dulu adalah suatu keputusan unilateralnya sendiri tanpa restu Kabinet Malaysia?

Sambut baik kaji semula bina jambatan ganti Tambak Johor

KUALA LUMPUR 27 Jun - Beberapa pemimpin negara menyambut baik titah Sultan Johor agar Kerajaan Pusat mengkaji semula rancangan asal membina jambatan baru menggantikan Tambak Johor.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau menyambut baik hasrat kerajaan untuk mengkaji semula rancangan asal pembinaan jambatan itu.

"Bagus, terserah kepada kerajaan kerana ini projek besar. Kerajaan sendiri tahu apa nak buat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Puteri UMNO Bahagian Kepala Batas di Pulau Pinang, hari ini.

Semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mahu Kerajaan Persekutuan menimbangkan semula rancangan asal pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor yang dibatalkan pembinaannya sebelum ini.

Ekoran itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan mengkaji semula rancangan asal pembinaan jambatan berkenaan.

Pembinaan jambatan bengkok yang menghubungkan Tanjung Puteri di Johor dan Woodlands di Singapura merupakan cetusan idea bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bernilai RM600 juta bagi menggantikan Tambak Johor yang dibina pada 1924.

Sementara itu, UMNO Bahagian Pasir Gudang pula menyatakan bahagian itu akan membawa usul menyokong penuh titah Sultan Johor untuk mengkaji pembinaan jambatan itu ke Perhimpunan Agung UMNO akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usul tersebut diluluskan untuk dibawa ke peringkat ibu pejabat pada mesyuarat perwakilan UMNO bahagian itu hari ini.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman pula berkata, kerajaan negeri menyifatkan pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor itu sebagai satu keperluan bagi memenuhi hasrat rakyat.

Abdul Ghani berkata, dari sudut perdagangan antarabangsa, kapal-kapal kargo dari Selat Melaka tidak perlu lagi mengelilingi Singapura sebaliknya mempunyai pilihan untuk terus melalui Selat Tebrau untuk ke arah laut China Selatan.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula berpendapat, pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor tidak akan memberi sebarang implikasi negatif terhadap tahap keselamatan Malaysia dan Singapura.

Sunday, June 27, 2010

Sultan Johor, Najib, Jambatan, Dan Pemikiran Strategik

Ruhanie Ahmad

Dua berita di bawah ini merupakan perkembangan yang amat menarik kepada rakyat Malaysia, terutamanya majoriti warga Johor dan kepada blog ini. Sebabnya kerana blog ini adalah antara yang sangat kritikal terhadap keputusan mendadak pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi membatalkan projek Jambatan Bengkok yang dirancangkan dalam era kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, dengan alasan yang sukar untuk dirasionalkan oleh mereka yang berfikiran strategik.

Lantaran itulah saya menerbitkan buku Mahathir Menyinga untuk mendokumentasikan kenyataan-kenyataan para pemimpin Malaysia dan Singapura, termasuk Tun Abdullah, yang positif sebelum projek berkenaan dibatalkan. (Bagaimanapun, jutaan maaf kerana buku yang diPDFkan dan terpapar ikonnya di sidebar blog ini sudah tidak dapat diakses secara digital akibat masalah teknikal.)

Tindakan Tun Abdullah membatalkan projek berkenaan menjadi kontroversi politik. Ia mencetuskan perang dingin antara Tun Mahathir dan penyokongnya terhadap pentadbiran Tun Abdullah; menyebabkan warga Johor kecewa; dan bertambah marah apabila tidak lama selepas itu diwujudkan pula projek Iskandar Malaysia yang disifatkan oleh sebilangan besar warga Johor sebagai penggadaian kedaulatan Malaysia dan bumi Johor Darul Takzim kepada sebuah negara di seberang Selat Teberau yang sememangnya amat dahagakan tanah.

Akibatnya, kemarahan warga Johor pun diterjemahkan dalam bentuk undi rosak dalam PRU12 pada 2008. Oleh sebab itulah jumlah undi rosak dalam PRU12 yang terbesar sekali datangnya daripada pengundi Johor. Hakikat ini dihuraikan secara terperinci oleh blogger Amir Hamzah Mohamad---sahabat saya di Parlimen Parit Sulong---dalam blog Segalanya Mungkin seperti berikut http://amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com/2009/05/undi-rosak-tertinggi-di-johor-apa.html

Oleh itu, semoga Datuk Seri Najib Tun Razak yang berminda strategik akan mengkaji semula saranan Baginda Sultan Johor secara positif. Gunakanlah hubungan baik Malaysia-Singapura mutakhir ini untuk menyakin Republik Pulau berkenaan bahawa pembinaan jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor yang usang adalah demi manfaat dan kepentingan bersama.

Sultan mahu jambatan ganti Tambak Johor

JOHOR BAHRU 26 Jun - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar hari ini mahu Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan semula rancangan asal pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor.

Sultan Ibrahim bertitah, usaha menaik taraf Tambak Johor dengan membina jambatan tersebut amat penting bagi institusi Kesultanan Johor dan sentiasa ditunggu-tunggu oleh rakyat negeri ini sejak dahulu.

"Saya yakin seluruh rakyat Johor berasa gembira dengan terbinanya bangunan JB Sentral yang serba lengkap dan indah ini, namun masih terdapat kekurangan dan kecacatannya apabila komponen utamanya iaitu jambatan masih belum dilaksanakan hingga hari ini.
"Sekali lagi, saya ingin menyeru kerajaan Persekutuan agar dapat mempertimbangkan rancangan asal pembinaan jambatan yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Johor," titah baginda.---Mingguan Malaysia 27 Jun 2010.

Kerajaan kaji semula ganti jambatan

KUANTAN 26 Jun - Kerajaan akan mengkaji semula rancangan asal pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung cadangan yang dititahkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini.

"Kita akan kaji," katanya ringkas kepada pemberita selepas merasmikan program Mengukuh Wadah Memperkasakan Ummah anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) di sini hari ini.---Mingguan Malaysia 27 Jun 2010.

Saturday, June 26, 2010

Timbang Semula Pembinaan Jambatan Ganti Tambak Johor

JOHOR BAHRU 26 Jun - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar mahu Kerajaan Pusat mempertimbangkan semula pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor. Baginda bertitah demikian pada majlis perasmian JB Central dan melancarkan Kembara Mahkota Johor di sini pagi ini (Utusan 26.6.2010 11:09am).

Komen: Ampun Tuanku! Patek merafak sembah menyokong penuh saranan ini. Untuk membolehkan anda semua mendapatkan latarbelakang mengenai kisah Jambatan Bengkok ini sila klik di sidebar blog ini dan baca buku tulisan saya mengenainya---Ruhanie Ahmad.

Thursday, June 24, 2010

Pentadbiran Awam dan Rasuah: Siri Empat

Ruhanie Ahmad

Tiga siri sebelum ini cuba membuktikan bahawa kecepakan pentadbiran awam tidak boleh dijadikan indikator total untuk mengukur tahap rasuah dalam perkhidmatan awam. Dalam konteks Malaysia, rasuah juga gagal dibanteras secara efektif antaranya kerana agensi pencegahannya dituduh sebagai tidak partisan dalam penyiasatannya terhadap kes-kes rasuah membabitkan ”ikan jerong” (Caiden, Dwivewdi & Jabbra 2001:141).

Tetapi, oleh kerana banyak pihak pastinya mempertikaikan pokok persoalan utama dalam siri-siri sebelum ini, iaitu pentadbiran awam yang cekap tidak boleh dijadikan indikator total kepada ketiadaan amalan rasuah dalam sektor awam, sama-samalah kita pastikan bagaimanakah hakikatnya dalam sektor swasta.

Di Malaysia jarang kedengaran kes rasuah di sektor korporat, melainkan yang melibatkan seorang peneraju syarikat yang telah dibicarakan di mahmakah. Namun perbicaraan itu diberhentikan dan kesnya ditutup kerana pihak tertuduh meninggal dunia.

Tetapi, adakah ini bermakna bahawa sektor swasta Malaysia adalah bebas dari rasuah? Mungkinkah kisah-kisah hangat mengenai Sime Darby mutakhir ini merupakan manifestasinya?

Kes Rasuah Siemens AG

Untuk memberikan jawapan kepada persoalan di atas, sama-samalah kita tinjau kes rasuah yang membabitkan sebuah syarikat multinasional yang pernah berlaku di Jerman dan Amerika Syarikat (AS).

Dalam konteks ini, Siemens AG telah dihadapkan ke mahkamah secara serentak di Jerman dan di AS. Menurut Sidhu (2009:1343), kes tersebut selesai di bicarakan di Munich dan Washington D. C. pada 15 Disember 2008, dimana syarikat tersebut dikenakan denda dan bayaran perundangan sejumlah dua bilion Euro.

Ironisnya, syarikat ini mempunyai sistem urus tadbir yang cekap. Ia juga mempunyai 500 pegawai penguatkuasa urus tadbir di merata dunia. Tetapi, dana untuk rasuah, menurut Sidhu, adalah sebahagian daripada elemen kos yang diselindungkan di sebalik wang pengurusan syarikat berkenaan.

Ini bermakna rasuah adalah sebahagian daripada budaya korporat dalam sesetengah syarikat multinasional, walaupun ianya cekap dan sentiasa menitikberatkan sistem tadbir urus yang berkesan.

Oleh sebab itu, jika pentadbiran awam yang cekap tidak menjamin ianya terbebas daripada rasuah, adakah syarikat korporat yang cekap juga terbebas daripada jenayah ini?

Jika kes Siemens AG ini boleh dijadikan rujukan, tidakkah benar bahawa kecekapan dalam sektor korporat juga tidak memastikan sama ada ianya akan bebas daripada amalan rasuah?

Senario di Malaysia

Hasill tinjauan dengan sahabat-sahabat di sektor korporat, termasuk GLCs, dan menerusi pengalaman peribadi sebagai seorang bekas pengerusi jawatankuasa audit di sebuah organisasi korporat tertentu, saya dapati wujud sekurang-kurangnya tiga kategori rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam sektor swasta.

Oleh itu, jika di penghujung siri tiga saya paparkan petikan ini---fenomena korupsi sistemik kini dipergunakan oleh penjenayah untuk menyogok jentera kerajaan, daripada kalangan pembikin dasar, sektor pentadbiran, penguatkuasa undang-undang, hinggalah kepada anggota judisiari, bagi memudahkan operasi jenayah rentas sempadan di sesebuah negara (Williams 2007:199; Holmes 2007:84; Nadelmann 1993)---tidak mungkinkah korupsi sistemik ini juga diamalkan oleh warga korporat di Malaysia? [Siri kelima mengenai rasuah akan disiarkan Isnin depan.]

Monday, June 21, 2010

Pentadbiran Awam dan Rasuah: Siri Tiga

Ruhanie Ahmad

Saya amat bersimpati dengan insan-insan mulia dalam perkhidmatan awam Malaysia yang dipalitkan dengan persepsi rasuah akibat perbuatan segelintir penjawat awam di semua peringkat.

Ini kerana walaupun rasuah adalah jenayah peribadi seseorang individu, persepsi buruk jenayah ini distereotaipkan sebagai amalan keseluruhan warga perkhidmatan awam.

Oleh sebab itu, saya tetap berpendapat bahawa hanya perkhidmatan awam atau kerajaan yang tidak mempunyai kakitangan serta pemimpin yang rasuah sahaja yang boleh terbebas daripada persepsi rasuah.

Oleh itu, NGO perkhidmatan awam Malaysia wajar sensitif terhadap persepsi negatif ini. Mereka wajar melaksanakan pelbagai tindakan anti-rasuah di semua peringkat.

Seluruh institusi negara yang diwujudkan untuk memantau dan memerangi rasuah wajar diorientasikan semula bagi membanteras rasuah dalam sektor awam tepat kepada sasarannya. Janganlah institusi-insitusi ini akhirnya terkubur dengan tindihan pita birokrasi.

Kajian di Argentina

Bagaimanapun, persepsi seperti ini bukan sahaja wujud di Malaysia. Satu kajian di Argentina untuk mendapatkan pandangan rakyat mengenai rasuah dan definisinya, membuktikan hakikat ini.

Menurut kajian Boniolo & Elbert (2005), rakyat Argentina mendefinisikan rasuah sebagai karenah dan perilaku individu besar dan kecil dalam perkhidmatan awam. Sebagai kesimpulan kepada kajiannya, Boniolo & Elbert (2005:3) menegaskan:

”Rasuah telah memusnahkan demokrasi di Amerika Latin kerana kesannya terhadap prestasi institusi ekonomi di negara-negara terbabit dan kerana rasuah telah menyebabkan rakyat jelata di negara-negara terbabit hilang keyakinan kepada institusi kerajaan mereka.”
Anti-rasuah 2004-2008

Hakikat di Argentina ini hampir serupa dengan di Malaysia dalam tempoh 2004-2008. Akibat persepsi bahawa segelintir pemimpin negara, ahli keluarganya, serta sekelompok kakitangan awam Malaysia adalah bergelumang dengan rasuah, segolongan rakyat di negara ini telah hilang kepercayaan kepada kerajaan.

Biarpun demikian, pemimpin terbabit langsung tidak bertindak untuk menghapuskan persepsi ini secara tegas. Akibatnya, jika agenda membasmi rasuah menjadi tema utama dalam manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) 2004, tema yang sama langsung tidak tersenarai dalam manifesto PRU 2008. Impak kepada hakikat ini sudah pun dimanifestasikan menerusi keputusan PRU 2008.

Sebagai imbasan, manifesto Barisan Nasional (BN) dalam PRU 2004 dengan tema Ke arah Malaysia Cemerlang, Gemilang, Terbilang, menyatakan dalam perenggan pertamanya bahawa “memerangi rasuah dan memperbaiki mutu perkhidmatan kerajaan” adalah matlamat utama kerajaan BN.

Agenda anti-rasuah dalam manifesto PRU 2004 ini didahulu dengan beberapa kenyataan Perdana Menteri Kelima mengenai usaha membanteras rasuah. Contohnya, Utusan Malaysia 7 November 2003, melaporkan PM Kelima mengarahkan pihak polis “mempercepatkan siasatan terhadap kes-kes rasuah, termasuk isu Perwaja, supaya imej kerajaan tidak tercemar.”

Rakyat Kecewa

Utusan Malaysia 13 November 2003, memetik beliau mengeluarkan arahan “semua siasatan kes rasuah diselesaikan bagi mengelakkan timbul tanda tanya mengenai status kes tersebut.”

Sempena 100 hari kepimpinannya, salah sebuah saluran TV Malaysia bertanyakan soalan mengenai rasuah. PM Kelima menjawab: “rasuah adalah amalan jijik. Pendekatan lebih berkesan menangani rasuah hendaklah diterokai. Pendekatan pencegahan sama penting dengan pendekatan punitif.”

Utusan Malaysia 12 Disember 2003, memetik PM Kelima “mempelawa pemimpin ASEAN menghantar peserta ke Akademi Pencegahan Rasuah” yang akan ditubuhkan di Malaysia.

Pada 13 Januari 2004, PM Kelima membuat kenyataan ”kerajaan akan menjadikan sistem pemberian tender terbuka sebagai amalan bagi mengurangkan rasuah dan mengekang peningkatan kos perniagaan di negara ini. Rundingan secara langsung pula akan dihadkan hanya kepada kes istimewa yang tertentu sahaja.” Pada 18 Februari 2004, beliau menyatakan di Tehran, Iran, beliau “komited dalam usaha perangi rasuah.”

Bagaimanapun, selepas PRU 2004, PM Kelima dibelenggu tuduhan skandal ECM-Libra yang didakwa membabitkan anggota keluarganya. Mulai ketika itu beliau sentiasa berada dalam sindrom penafian. Oleh sebab itulah agenda membasmi rasuah tidak langsung disebut dalam manifesto BN dalam PRU 2008.

Impak Kepada PRU 12

Impak daripada kedolak-dalikan pemerintahan PM Kelima dalam melaksanakan agenda anti-rasuahnya telah kita semua ketahui. Di samping lain-lain isu, kekecewaa rakyat Malaysia terhadap agenda anti-rasuah dalam era 2004-2008 adalah antara penyumbang kepada kehilangan keyakinan rakyat terhadap parti pemerintah.

Imbasan di atas adalah hakikat. Saya yakin masih ramai rakyat jelata insaf akan hakikat ini. Ianya perlu dijadikan cermin sejarah kepada kepimpinan mutakhir dalam agendanya membanteras rasuah.

Untuk mengakhiri siri ini sama-samalah kita fahami kenyataan ini: Fenomena korupsi sistemik kini dipergunakan oleh penjenayah untuk menyogok jentera kerajaan, daripada kalangan pembikin dasar, sektor pentadbiran, penguatkuasa undang-undang, hinggalah kepada anggota judisiari, bagi memudahkan operasi jenayah rentas sempadan di sesebuah negara (Williams 2007:199; Holmes 2007:84).

Mungkinkah rasuah sistemik seperti ini wujud di Malaysia, contohnya dalam jenayah pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah, transmigrasi haram, dan lain-lainnya? [Siri keempat mengenai rasuah akan disiarkan Khamis depan.]


Friday, June 18, 2010

Pentadbiran Awam dan Rasuah: Siri Dua

Ruhanie Ahmad

Adakah benar pentadbiran awam yang cekap menjadi indikator bahawa ianya bebas daripada amalan rasuah? Adakah meleset untuk mempertikaikan bahawa pentadbiran awam yang cekap belum pasti terbebas daripada amalan rasuah? Persoalan pokok ini dikemukakan kerana pada hakikatnya, kecekapan warga pentadbiran awam tidak menjamin bahawa segolongan mereka pastinya berjiwa murni, beriman kukuh, dan bermatian-matian menjauhi serta membenci rasuah.

Contohnya, Malaysia sentiasa menitikberatkan aspek mutu, produktiviti, dan kecekapan pertadbiran awam. Hakikat ini diperincikan oleh Ahmad Sarji (1991) yang menghuraikan bahawa Kerajaan Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha memupuk serta menerapkan budaya kerja cemerlang dengan emfasis kepada nilai-nilai murni, disiplin, kualiti, produktiviti, akauntabiliti, dan amalan bersih dari rasuah. Mohd Sidek (2008:9) pula berkata, ”usaha menyediakan satu Perkhidmatan Awam Kelas Pertama adalah merupakan satu usaha berterusan Kerajaan Malaysia.”

Selanjutnya, pada 19 Mac 1983, Tun Dr. Mahathir Mohamad, melancarkan kempen Penerapan Nilai-Nilai Islam dan Kepimpinan Melalui Teladan. Kedua-dua kempen ini didasari oleh pelaksanaan konsep Bersih Cekap, Amanah (BCA) yang antara matlamat terasnya adalah untuk melahirkan warga pentadbiran awam ”yang mempunyai moral yang tinggi, bertatatertib dan berdisiplin, tidak menyeleweng dan tidak rasuah.” Konsep BCA kemudiannya dirangkumkan ke dalam Wawasan 2020 yang diumumkan pada 28 Februari 1991.

Pada 23 April 2004, Tun Abdullah Ahmad Badawi, melancarkan Pelan Integriti Negara (PIN) yang sasaran utamanya adalah untuk ”mengurangkan gejala rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan secara berkesan.”

Menerusi pelan ini, kerajaan berazam untuk meningkatkan kedudukan (ranking) anti-rasuah di Malaysia yang ditentukan oleh Transparancy International (TI), daripada tangga ke-37 dari 133 negara di seluruh dunia, dengan skor 5.2 mata pada tahun 2003, kepada skor 6.5 mata pada 2008. Ironisnya, ranking anti-rasuah di Malaysia yang statis pada tangga ke-43 dengan skor 5.1 pada tahun 2006 dan tahun 2007, meredum kepada tangga 47 juga dengan skor 5.1 mata, pada tahun 2008.

Pada awal 2009, Parlimen Malaysia pula meluluskan kewujudan instrumen perundangan serta institusi anti-rasuah yang baru menerusi kewujudan SPRM dengan harapan kedua-duanya akan memperhebatkan pembanteras rasuah di kalangan sektor awam dan swasta.

Selain itu, pada 28 April 2009, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengisytiharkan pelaksanaan Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi meningkatkan keberkesanan pentadbiran awam. Pada 27 Julai 2009, Najib pula mengumumkan Bidang Keberhasilan Utama Nasional atau National Key Results Area (NKRA) yang antara sasaran utamanya adalah membasmi rasuah. Ini kerana menurut Najib (27 Julai 2009), ”kerajaan amat komited dalam usaha memerangi rasuah.”

Kecekapan Pentadbiran Awam

Seluruh program di atas memang membuktikan komitmen Kerajaan Malaysia untuk meningkatkan mutu serta kecekapan pentadbiran awam. Ia juga membuktikan kesungguhan kerajaan untuk membanteras rasuah di kalangan warga sektor awam. Tetapi, adakah inisiatif tersebut menjamin bahawa pentadbiran awam yang cekap adalah bebas daripada rasuah?

Tidakkah analogi ini mengelirukan? Tidakkah ia memberi gambaran seolah-olah kecekapan dalam pentadbiran awam adalah sinonim dengan sikap anti-rasuah; boleh dijadikan determinan utama kepada amalan menjauhi rasuah; dan boleh mengikis mentaliti kotor pemberi serta penerima rasuah?

Persoalan in penting diperdalami. Ini kerana Harvey (2007) yang mendefinisikan kecekapan perkhidmatan awam sebagai kadar bandingan (ratio) antara input dan output, menegaskan bahawa kadar ini rumit untuk dipastikan secara tepat, kualitatif dan kuantitatif.

Mukherjee (2000) pula menyatakan, usaha mengukur prestasi dan kecekapan sektor awam adalah sukar. Pertama, sebab sektor ini tidak mempunyai satu indikator prestasi yang khusus seperti sektor swasta yang boleh diukur prestasinya menerusi kadar perolehan keuntngan atau berasaskan penguasaan pasarannya. Kedua, sebab sektor awam bertanggungjawab untuk mengendalikan barangan yang rendah tahap ukuran keuntungannya.

Biarpun begitu, kini memang wujud sistem penilaian prestasi bagi warga perkhidmatan awam. Tetapi, menurut Klingner & Nalbandian (2003:262-263), penilaian ini hanya menitikberatkan matlamat teknikal dan pengurusan organisasi awam. Ia juga bertujuan untuk memberikan motivasi kepada warga pentadbiran awam disamping memastikan soal-soal kenaikan gaji dan pangkat.

Ini bermakna sistem penilaian prestasi ini tidak boleh dijadikan pengukur kepada kecekapan perkhidmatan awam, apatah lagi untuk mengetahui secara sistematik sama ada kecekapan organisasi awam itu akan mengurangkan kadar rasuah secara keseluruhannya.

Bagaimanapun, kajian oleh Antonio, Schuknecht & Tanzi (2003:6) mendapati bahawa memang mutakhir ini soal pengukuran kecekapan sektor awam mulai ditikberatkan di negara-negara maju.

Tetapi, usaha ini masih terhad. Keputusan kajian berkenaan mendapati ”negara yang mempunyai tahap kecekapan yang tinggi di dunia adalah Jepun, Luxembourg, Australia, Amerika Syarikat (AS) dan Switzerland.”

Oleh sebab itu, jika mauduk perbincangan siri ini mengandaikan bahawa pentadbiran awam yang cekap adalah bebas dari rasuah, benarkah rasuah di negara-negara ini rendah tahapnya ataupun sifar kadarnya?

Indeks Persepsi Rasuah

Oleh sebab itu wajar dipastikan apakah tahap rasuah di negara-negara tersebut. Kepastian ini akan diperolehi menerusi perbandingan Indeks Persepsi Rasuah (IPR) yang diterbitkan oleh TI pada tahun 2006, 2007, dan 2008.

Menurut IPR pada tahun 2006, daripada 163 negara yang dikaji, Switzerland menduduki tangga ke-7 dengan skor 9.1 mata; Australia di tangga ke-9 dengan skor 8.7 mata; Luxembourg di tangga ke 11 dengan skor 8.6 mata, Jepun di tangga ke-17 dengan 7.6 mata, dan AS di tangga ke-20 dengan skor 7.3 mata.

Daripada 179 negara yang dianalisis pada tahun 2007, Switzerland berada di tangga ke-5 dengan skor 9 mata; Australia di tempat ke-11 dengan skor 8.6 mata; Luxembourg di tahap ke 12 dengan skor 8.4 mata; Jepun di peringkat ke-17 dengan skor 7.5 mata; dan AS di tangga ke-20 dengan skor 7.2 mata.

Daripada 180 negara yang dikaji pada tahun 2008, Switzerland menduduki tangga ke-5 dengan skor 9 mata; Australia di tangga ke-9 dengan skor 8.7 mata; Luxembourg di tangga ke 11 dengan skor 8.6 mata; sementara Jepun dan AS sama-sama menduduki tangga ke-17 dengan skor 7.5 mata.

Ironisnya, kedudukan IPR bagi ketiga-tiga tahun di atas didahului oleh Denmark, New Zealand, Sweden, Singapura dan Iceland yang kecekapan pentadbiran awamnya belum dikaji secara sanitifik. Oleb sebab itu, adalah tidak salah untuk mengatakan bahawa IPR di atas membuktikan bahawa analogi pentadbiran awam yang cekap adalah bebas dari rasuah, adalah analogi yang stereotaip dan meleset.

Ini kerana jika andaian ini benar, pastinya IPR di atas menujukkkan kadar anti-rasuah di Switzerland, Australia, Luxembourg, Jepun dan AS adalah lebih rendah daripada Denmark, New Zealand, Singapura dan Iceland.

Maka terbuktilah bahawa tahap rasuah dalam pentadbiran awam tidak boleh dipastikan tinggi-rendahnya berasaskan kecekapannya. Ini kerana tahap kecekapan perkhidmatan awam tidak memberikan korelasi positif kepada kadar rasuah dalam organisasi berkenaan.

Sebabnya, rasuah bukannya dilakukan oleh pentadbiran awam. Sebaliknya, rasuah diamalkan oleh sekelompok individu dalam perkhidmatan awam atau oleh sesetengah pemimpin dalam kerajaan. Namun begitu, impak jenayah rasuah tetap dibebankan kepada perkhidmatan awam dan kerajaan. Hakikat ini selaras dengan maksud pribahasa di mana seekor kerbau bergelumang lumpur, seluruh kandang akan pasti terpalit!
[Siri ketiga mengenai rasuah akan disiarkan Isnin depan.]


Tuesday, June 15, 2010

Pentadbiran Awam dan Rasuah: Siri Satu

Ruhanie Ahmad


Rasuah boleh meruntuhkan negara. Rasuah juga boleh menjejaskan pembangunan nasional. Oleh sebab itulah Kerajaan Malaysia sentiasa berusaha untuk membanteras rasuah menerusi pelbagai pendekatan administratif, termasuklah peningkatan kecekapan warga perkhidmatan awam, penguatkuasaan undang-undang, pengamalan prosidur operasi, dan menerusi pelaksanaan mekanisme trasparensi..

Ini semua dilakukan kerana kepimpinan negara berpendapat bahawa rasuah adalah gejala yang wujud daripada ketidakcekapan warga perkhidmatan awam. Oleh sebab itu lahir andaian bahawa kecekapan sesuatu pentadbiran awam boleh dijadikan indikator kepada tahap minimanya rasuah di sesebuah negara. Program dan dasar anti-rasuah juga diandaikan boleh dijadikan pendekatan tunggal untuk membanteras jenayah tersebut.

Tetapi, adakah ini benar? Adakah benar bahawa perkhidmatan awam yang cekap akan terbebas daripada amalan rasuah? Jika ini benar, pastinya perkhidmatan awam Malaysia hari ini sudah terbebas daripada rasuah. Ini kerana Kerajaan Malaysia sentiasa melaksanakan pelbagai program dan strategi membanteras rasuah. Pada waktu yang sama, wujud pula pelbagai agensi dan mekanisme untuk memantau dan menghapuskan rasuah.

Siri ini mempertikaikan andaian sedemikian rupa. Ia akan membuktikan andaian bahawa pentadbiran awam yang cekap adalah bebas dari rasuah adalah andaian yang meleset.

Perkhidmatan Awam

Sebelum itu, fahami maksud perkhidmatan awam. Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan mendefinisikan perkhidmatan awam sebagai Angkatan Tentera, Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-Undang, Perkhidmatan Awam Am Persekutuan, Pasukan Polis, Perkhidmatan Awam Bersama, Perkhidmatan Awam Negeri, dan Perkhidmatan Pelajaran.

Ahmad Atory Hussain (1983:1) mendifinisikan perkhidmatan awam secara umumnya sebagai “organisasi yang mengurus manusia dan benda-benda untuk mencapai tujuan-tujuan kerajaan.” Dimock et al. (1983:5) menyifatkan pentadbiran awam ”sebagai satu operasi pengeluaran barangan dan perkhidmatan untuk memenuhi kehendak rakyat.”

Milakovich dan Gordon (1995:6) pula menegaskan, ”pentadbiran awam adalah segala proses, organisasi, dan individu yang terlibat dalam perlaksanaan undang-undang dan peraturan yang diputuskan atau dikeluarkan oleh badan perundangan, eksekutif dan kehakiman, di samping terlibat dalam proses penggubalan undang-undang dan peraturan yang berkenaan.”

Definisi Rasuah

Selanjutnya, kenali pula apa itu rasuah. Jenayah rasuah di Malaysia tidak diberikan perspektif perundangan yang serius seperti jenayah pengedaran serta penyeludupan dadah yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati.

Sebaliknya, rasuah di Malaysia hanya tertakluk kepada Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009; Ordinan 22 Darurat 1970 berkaitan rasuah; Akta Kastam 1967 (Disemak 1980) berkaitan rasuah (167); Kanun Keseksaan (Akta 574); Akta kesalahan pilihanraya berkaitan rasuah(2009); dan Akta pengubahan wang haram 2001 berkaitan rasuah.

Namun begitu, siri ini hanya akan menghuraikan rasuah takrifan SPRM dan definisi umum oleh kalangan tempatan dan antarabangsa.

SPRM mentakrifkan rasuah sebagai ”wang, derma, alang, pinjaman, fi, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta, sama ada alih atau tak alih, atau apa-apa manfaat seumpama itu yang lain; apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan, dan apa-apa perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa sifat; apa-apa bayaran, pelepasan, penunaian atau penyelesaian apa-apa pinjaman, obligasi atau liabiliti lain, sama ada keseluruhannya atau sebahagian daripadanya; apa-apa jenis balasan berharga, apa-apa diskaun, komisen, rebat, bonus, potongan atau peratusan; apa-apa perbuatan menahan diri daripada menuntut apa-apa wang atau nilai wang atau benda berharga; apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain, seperti perlindungan daripada apa-apa penalti atau ketakupayaan yang di kenakan atau yang dikhuatiri atau daripada apa-apa tindakan atau prosiding yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah, sama ada atau tidak sudah dimulakan, dan termasuk penggunaan atau menahan diri daripada menggunakan apa-apa hak atau apa-apa kuasa atau kewajipan rasmi; dan apa-apa tawaran, akujanji atau janji, sama ada bersyarat atau tidak bersyarat, untuk memberikan suapan mengikut pengertian mana-mana perenggan (a) hingga (f) yang terdahulu.”

Demikianlah definisi rasuah oleh SPRM---berjela-jela dan sukar untuk difahami oleh rakyat biasa. Tetapi, begitulah takrifan rasuah secara undang-undangnya.

Dalam bahasa yang mudah, Mahathir Mohamad (1980:180-181) menegaskan, “umumnya rasuah ditafsirkan sebagai pemberian saguhati kepada seseorang yang berkuasa supaya menyalahgunakan kuasa dan memilih kasih dalam tindakannya.” Pada waktu yang sama, “penyalahgunaan wang kerajaan sudah tentu patut dianggap rasuah sama seperti penyalahgunaan kuasa.”

Syed Hussein Alatas (1995:vii) mendefinisikan rasuah sebagai ”dengan sengaja melakukan kesalahan atau melalaikan tugas yang diketahui sebagai kewajipan, atau tanpa hak menggunakan kekuasaan, dengan tujuan memperolehi keuntungan yang sedikit sebanyak bersifat peribadi.” Beiau juga menghuraikan tujuh kategori rasuah---transaktif, extortif, investif, neopostik, defensif, autogenik, dan suportif.

Bernveniste (1997:113) menyatakan, ”rasuah adalah perilaku yang melanggar undang-undang, regulasi dan peraturan yang lazimnya dilakukan secara rahsia. Rasuah juga adalah penyalahgunaan kuasa dan mandat awam untuk memperolehi keuntungan kewangan dan material.”

Klitgaard (2001:31) mendefinisikan rasuah sebagai ”tingkah laku yang menyimpang dari tugas-tugas rasmi sebuah jabatan negara kerana keuntungan status atau wang yang menyangkut peribadi (perseorangan, keluarga dekat, kelompok sendiri); atau melanggar atura-aturan pelaksanaan beberapa tingkah laku peribadi.”

Fethi Ben Jomma Ahmed (2005:26-27) pula menghuraikan bahawa rasuah atau disebut dalam Quran dan Sunnah sebagai fasad, adalah melibatkan sifat-sifat murni termasuk kemuliaan, reformasi, istiqamah, dan amanah.

Kepada saya, rasuah adalah pendapatan, ganjaran, atau faedah kewangan dan bukan kewangan yang diperolehi oleh seseorang individu yang berkuasa menerusi amalan haram, amalan mengkhianati mandat rakyat, dan mengkhianati mandat negara. Amalan seperti ini mesti dikategorikan sebagai amalan yang melanggar nilai-nilai teras keselamatan nasional.

Impak Rasuah

Definisi pentadbiran awam seperti di atas membuktikan betapa pentingnya perkhidmatan tersebut kepada Kerajaan Malaysia kerana keseluruhannya membabitkan hal ehwal ketenteraan, pertahanan dan keselamatan; urusan pembangunan insan; serta tanggungjawab pelaksanaan dasar pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat. Oleh sebab itu INTAN (1991:831) menegaskan bahawa “perkhidmatan awam adalah tunggak yang dapat menentukan jatuh bangunnya sesebuah negara.”

Definisi rasuah di atas pula mengilustrasikan impak pengkhianatan kepada negara menerusi rasuah. Lantaran itu jika segolongan warga perkhidmatan awam adalah pengamal rasuah, dan sesetengah pemimpin kerajaan juga adalah penerima rasuah, impaknya pasti mengancam keselamatan negara, menggerhanakan masa depan generasi muda di bidang pendidikan dalam dunia yang kompetatif, dan memudaratkan kelangsungan ekonomi dan rakyat dalam era globalisasi dan liberalisasi yang mencabar.

Impak total daripada amalan rasuah adalah, rakyat yang tidak berpendidikan akan terpinggir, pembangunan negara menjadi lembab, pasaran kerja profesional dikuasai oleh tenaga mahir asing, nikmat kemajuan ekonomi dimonopoli oleh pihak yang kaya raya, rakyat yang miskin pula dinafikan keselesaan hidup di tanah airnya sendiri. Fenomena ini boleh menyebabkan kerajaan kehilangan wibawa dan dan rakyat kehilangan keyakinan. Lantas proses demokrasi pun boleh jadi kucar-kacir akibat kemelut dan asymmetrik kuasa.

Inilah antara sebabnya penganalisis seperti Johnston (2005) memprovokasikan pemikiran warga jagat supaya memberikan perspektif baru kepada soal pembanterasan rasuah. Oleh sebab itu juga Jonhston (2005:42-46) membahagikan rasuah kepada empat kategori khusus supaya rasuah sistemik dapat dirincikan secara mendalam.

Pertama, rasuah mempengaruhi pasaran (influeance markets corruption) yang membabitkan pemimpin politik untuk memperolehi sumbangan secara sah atau sebaliknya.

Dua, rasuah kartel elit (elite cartel corruption) yang melibatkan sesetengah pihak dengan pelbagai sumber kuasa seperti tentera, birokrasi, perniagaan, dan parti politik.

Tiga, rasuah oligarki dan kelompok (oligarchy and clan corruption) yang menjurus kepada pertarungan antara segolongan pihak yang berkuasa dengan pihak yang berpengaruh untuk menggadaikan kuasa bagi memperolehi kekayaan peribadi.

Empat, rasuah tokoh rasmi (official mogul corruption) yang memfokus kepada sesetengah pihak yang mempunyai pertalian politik untuk menghalalkan jenayah rasuah.

Sementara itu, Williams (2007:197) yang menganalisis amalan rasuah sistemik pula menegaskan, mutakhir ini kelompok teroris antarabangsa serta penjanayah juga menjadikan rasuah sistemik sebagai instrumen penting bagi memudahkan pelaksanaan teorisme atau jenayah rentas sempadan.

Caiden et.al. (2001:245-246) pula menghuraikan peri mustahaknya diadakan pemikiran semula terhadap kod etika rasmi pentadbiran awam di seluruh dunia supaya rasuah sistemik dapat dibanteras secara berkesan dan menyeluruh.

Seterusnya, Johnson (1995:184) memperkenalkan konsep rasuah struktural sebagai rasuah yang disasarkan khusus kepada pemimpin tinggi sesebuah negara untuk memudahkan urusan perniagaan sesuatu syarikat multinsasional.

Perry (1997) pula menghuraikan secara terperinci soal rasuah politik dan impaknya kepada negara. Contohnya, Perry (1997:27) menyatakan bahawa gejala rasuah politik adalah sama seriusnya dengan ketagihan arak atau penyalahgunaan dadah.

Demikianlah takrifan perkhidmatan awam dan definisi rasuah oleh pelbagai agensi awam dan sarjana. Takrif dan definisi seperti ini menyebabkan majoriti rakyat agak kurang memahami impak rasuah kepada diri mereka, kepada masyarakat, dan kepada negara. [Siri kedua mengenai rasuah akan disiarkan Khamis depan.]

Friday, June 11, 2010

Pentadbiran Awam dan Rasuah: Pengenalan


Ruhanie Ahmad

Rasuah mengancam demokrasi dan keselamatan negara. Jenayah ini juga menjejaskan proses pembangunan ekonomi dan menggugat kesejahteraan rakyat. Lazimnya rasuah dilakukan oleh segolongan anggota birokrasi yang tergamak untuk menggadaikan kuasa awam yang diamanahkan kepada mereka untuk memperolehi keuntungan peribadi. Ia juga dilakukan oleh sesetengah pihak yang mempunyai kuasa atau naungan politik.

Oleh sebab itulah Perry (1997:30) menghuraikan kewujudan rasuah politik dan rasuah pentadbiran. Ini kerana pertalian antara pentadbian awam, politik, dan rasuah sistemik adalah fenomena yang universal.

Oleh sebab itu juga Fethi Ben Jomma Ahmed (2005:104) menghuraikan masalah rasuah ekonomi kerana jenayah ini ”mengurangkan aktiviti ekonomi dan keuntungan.”

Lantaran itulah juga Syed Hussein Alatas (1995:viii-xiv) menyifatkan rasuah sebagai “pengkhianatan kepercayaan yang membawa pengaruh buruk kepada pemerintah, pembangunan, kesejahteraan masyarakat, institusi swasta atau masyarakat umum.” Dan, Mahathir Mohamad (1980:181) pula menegaskan, “rasuah boleh membawa keruntuhan kerajaan.”

Huraian-huraian di atas adalah antara faktor utama yang menyebabkan Kerajaan Malaysia sentiasa prihatin terhadap usaha pembanterasan rasuah.

Terbaru sekali, Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, di Dewan Rakyat, Khamis 10 Jun 2010, antara lainnya menghuraikan tindakan Kerajaan untuk membanteras rasuah.

Keprihatinan Perdana Menteri terhadap jenayah ini sangat dihargai dan sewajarnya mendapat sokongan serta kerjasama daripada rakyat jelata di semua lapisan masyarakat.

Antara fokus tindakan pembanterasan rasuah yang terkandung dalam Ringkasan Eksekutif RMK-10 (Unit Perancang Ekonomi 2010:30) adalah seperti berikut:

Memperkukuh pematuhan agensi barisan hadapan menerusi pemantauan secara berkala ke atas proses pengkuatkuasaan serta penyiasatan kes rasuah yang dilaporkan.

Mempertingkat ketelusan dalam Kerajaan termasuk meneruskan edaran Laporan Ketua Audit Negara kepada umum dan mengamalkan ketelusan melalui portal MyProcurement yang akan memaparkan maklumat perolehan Kerajaan kepada rakyat.

Mengenakan hukuman dengan cepat serta lebih berat untuk mencegah amalan memberi rasuah termasuk mendedahkan kepada umum maklumat terperinci individu yang didapati bersalah mengamalkan rasuah.

Meningkatkan kesedaran awam mengenai peranan penting mereka dalam menangani rasuah.

Menilai semula institusi utama yang memerangi rasuah bagi meningkatkan kebebasan dan pemerkasaan institusi tersebut.

Memupuk sistem nilai berteraskan integriti dan moral melalui pelan tindakan Tekad integriti yang akan diperkenalkan sebagai penambahbaikan kepada Tekad 2008.

Sehubungan dengan keseriusan Kerajaan membanteras rasuah, blog ini akan menyiarkan beberapa siri posting mengenai rasuah. Persoalan utama posting ini ialah, adakah benar bahawa pentadbiran awam yang cekap adalah pentadbiran awam yang bebas dari rasuah?

Saya harap para pembaca blog ini akan bersama saya untuk merungkaikan persoalan ini. Saya juga amat berbesar hati jika anda sekalian sudi berkongsi maklumat sahih dengan saya mengenai rasuah di Malaysia.

Contohnya, saya mendapat maklumat yang masih belum dapat disahkan, kononnya kekurangan gula di Malaysia mutakhir ini adalah akibat amalan rasuah di kalangan beberapa agensi Kerajaan.

Tuduhan ini sedang hangat dikedaikopikan kerana kononnya bekalan gula yang sampai di pelabuhan Malaysia kemudiannya diseludupkan pula ke sebuah negara jiran. Adakah ini benar? Adakah ini fitnah? [Siri pertama mengenai rasuah akan disiarkan Isnin depan.]

Wednesday, June 09, 2010

Etnisiti, Kewarganegaraan, dan Nation


Ruhanie Ahmad

Malaysia negara majmuk. Kajian keselamatan mengketagorikan negara seperti ini sebagai state-nation, bukannya nation-state seperti Jepun. Kemajmukan Malaysia ini dimanifestasikan menerusi struktur kewarganegaraannya yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

State-nation dan nation-state adalah berpaksikan kepada perkataan nation yang ditakrifkan sebagai sekelompok besar umat manusia yang berkongsi warisan budaya yang serupa dan hidup di sebuah lokasi geografi yang sama (Buzan 1983:45).

Berdasarkan definisi di atas, Tanah Melayu sebelum era penjajah mulai 1511, adalah sebuah nation-state kerana pada ketika itu majoriti penduduk Tanah Melayu adalah sekelompok besar manusia yang berkongsi warisan budaya yang sama, iaitu budaya Melayu, dan hidup di lokasi geografi yang sama, iaitu Alam Melayu.

Bagaimanapun, status Tanah Melayu ini berubah menjadi state-nation setelah merdeka pada 31 Ogos 1957. Ini kerana para pejuang kemerdekaan tanah air kita sanggup bertolak-ansur untuk memberikan kewarganaan kepada rakyat asing dan sekaligus negara ini menjadi negara pelbagai keturunan.

Biarpun begitu, para pejuang kemerdekaan yang multi-etnik juga bersetuju mengekalkan elemen nation-state Tanah Melayu secara simbolik dengan memaktubkan beberapa Fasal strategik di dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai agama Islam, Bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu, serta keistimewaan Melayu dan Bumiputera.

Oleh itu, walaupun Malaysia sebuah negara yang majmuk atau state-nation, kemajmukan ini sebenarnya berpaksikan kepada elemen-elemen nation-state Tanah Melayu di era pra penjajah.

Hakikat ini difahami oleh para pejuang kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Malangnya, elemen nation-state inilah yang kini menjadi duri dalam daging dan sentiasa dipolemik dan dipolitikkan oleh elit-elit sosial, politik, dan ekonomi rakyat Malaysia bukan Melayu dan bukan Bumiputera.

Soal inilah yang kini menjadi punca kepada pelbagai tuntutan rakyat bukan Melayu dan bukan Bumiputera di Malaysia. Soal inilah juga yang menjadikan orang Melayu dan Bumiputera berasa cemas dan lemas.

Apa tidaknya? Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan mengenai keistimewaan Melayu dan Bumiputera sentiasa diungkit-ungkit oleh bukan Melayu dan bukan Bumiputera kontemporari. Dasar-dasar affirmative kerajaan dikatakan menindas. Dasar pendidikan kebangsaan dipersoalkan. Dasar Ekonomi Baru yang semangatnya diterapkan ke dalam Dasar Pembangunan Nasional dijadikan isu politik. Status Islam sebagai agama Persekutuan mahu disamatarafkan dengan agama-agama lain. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan juga mahu disamaratakan dengan Bahasa Cina dan Tamil.

Semasa Singapura berada dalam Malaysia, perjuangan seperti ini digerakkan menerusi Malaysian Malaysia---sama rata, sama rasa. Hari ini, sesetengah elit politik dalam Barisan Nasional sendiri bersuara lebih vokal daripada suara Lee Kuan Yew di era Malaysian Malaysia.

Saya yakin masalah yang berpunca daripada struktur Perlembagaan Persekutuan yang memanifestasikan secara simbolik elemen-elemen nation-state Tanah Melayu ini akan terus menjadi masalah strategik dalam pembinaan bangsa Malaysia.

Kepada pihak yang buta sejarah, khususnya elit-elit sosial, politik, dan ekonomi bukan Melayu, saya cadangkan mereka kaji kedudukan beratus ribu warga keturunan Korea dan China yang menetap di Jepun, sejak dulu hingga ke hari ini.

Negara Jepun mengamalkan model differential exclusion dalam soal kewarganegaraannya (Yamanaka 2004:69). Ini kerana Jepun sebagai sebuah nation-state mahu mengekalkan satu rupa bangsa yang tunggal, iaitu bangsa Jepun. Negara Jepun mengamalkan model ini kerana ia menganggap kemajmukan rakyatnya akan mengancam status Jepun sebagai nation-state.

Oleh itulah hingga ke hari ini Jepun tidak memberikan taraf kewarganegaraan kepada 700,000 keturunan Korea dan 200,000 keturunan China yang nenek moyang mereka berhijrah ke Jepun di era penjajahan Jepun di Korea dan China.

Kelompok ini mengalami social exclusion, tidak mempunyai civil rights, dan hidup dalam prejudis. Generasi kedua dan generasi ketiga kelompok ini menerima layanan dingin daripada kerajaan Jepun, warga korporat Jepun menyifatkan mereka sebagai pekerja sementara, dan rakyat Jepun mengkategorikan mereka sebagai kelas bawahan (Yamanaka 2004:67-68).

Bagaimana agaknya jika rakyat keturunan Cina dan India di Malaysia menerima layanan seperti generasi kedua dan generasi ketiga Korea dan China di Jepun? Bagaimana agaknya jika di era menjelang kemerdekaanj tanah air seluruh orang Melayu bersikap seperti orang Jepun?

Oleh itu, jangan kita bercakap mengenai etnisiti, kewarganegaraan dan nation secara melulu. Hakikatnya, Malaysia kontemporari adalah sebuah state-nation. Pakar-pakar keselamatan berpendapat, sesebuah negara seperti ini perlu dibina menerusi dasar kerajaan yang tegas.

Jika di sesebuah nation-state, bangsa yang membina negara, di sesebuah state-nation, negara yang berperanan penting membina bangsanya. Oleh sebab itulah Gagasan IMalaysia adalah satu daripada mekanisme penting ke arah pembinaan bangsa Malaysia.

Oleh sebab itu jangan kelirukan 1Malaysia dengan Malaysian Malaysia. Ini kerana bangsa Malaysia tidak boleh dibina menerusi Malaysia Malaysia yang dulu diperjuangkan oleh Lee Kuan Yew, dan kini dijuarai oleh DAP dan beberapa elit BN yang buta sejarah. Sebabnya, pendekatan ini adalah konfrontasional serta menjejaskan struktur Perlembagaan Persekutuan.

Akhir sekali, kerajaan perlu bertegas untuk mengekalkan status quo dasar yang digubal dan dilaksanakan berasaskan Fasal-Fasal strategik dalam Perlembagaan Persekutuan. Jika tidak, negara Malaysia yang majmuk ini boleh jadi kacau-bilau. Jika tidak, pasti akan ada pihak yang akan menginjak-injak kepala orang Melayu dan Bumiputera.

Mereka akan bertindak sedemikian kerana mereka tidak mahu menerima hakikat bahawa Malaysia, yang dulunya dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu, adalah sebuah nation-state bernama Tanah Melayu di era pra penjajahan.

[Saya menyepikan diri selama enam bulan kerana misi peribadi. Jutaan maaf saya pinta daripada seluruh pengunjung].

Sunday, January 10, 2010

Keselamatan Negara Malaysia

Ruhanie Ahmad

Tahun 2009 menyaksikan beberapa polemik yang boleh menjejaskan keselamatan nasional. Contohnya, polemik mengenai taraf bukan bumiputera, status Melayu dan peribumi dalam Perlembagaan Pesekutuan, soal kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, dan isu Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Kemunculan polemik ini menandakan transformasi pemikiran segolongan rakyat Malaysia terhadap status jatidiri atau identiti mereka, khususnya identiti Melayu-Bumiputera berbanding bukan Bumiputera di era merdeka.

Transformasi ini memang lumrah akibat peredaran zaman dan evolusi persepsi masyarakat. Tetapi, ianya jelas menafikan soal jatidiri rakyat Malaysia yang telah dibina secara perlembagaan di mana penggubalan serta kelulusannya adalah berasaskan persetujuan pejuang kemerdekan yang multi-etnik, budaya, agama, sejarah dan latarbelakang ekonomi.

Oleh itu, pelbagai kelompok elit – politik, agama, sosial, budaya atau ekonomi – yang berjuang merobah status jatidiri komunitinya di negara ini wajar menyedari aspek-aspek sejarah, agama, budaya dan lain-lainnya untuk menghindari perilaku serta kenyataan mereka mencetuskan masalah keselamatan nasional di Malaysia.

Hakikatnya demikian kerana soal keselamatan nasional di sesebuah negara plural yang muda dan membangun seperti di Malaysia wajar dianalisis berdasarkan wisdom dan permuafakatan pejuang kemedekaan negara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kini rakyat pelbagai etnik memang berhak membicarakan pembinaan jatidiri masing-masing serta boleh menyuarakan desakan demi desakan termasuk yang sensitif dan mencanggahi beberapa peruntukan teras dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tetapi, janganlah proses pembinaan jatidiri ini meminggirkan sama sekali prinsip-prinsip perpaduan nasional, ketahanan nasional dan keselamatan nasional atau boleh mencetuskan masalah keselamatan nasional.

Ini kerana prinsip-prinsip keselamatan nasional di negara maju yang sebenarnya American-centric tidak boleh dijadikan asas kepada pensekuritisasian keselamatan nasional di Malaysia.

Ini juga sebab core-values atau nilai teras dan referent object atau objek rujukan keselamatan di negara muda dan membangun seperti di Malaysia adalah amat berbeza dengan nilai teras, objek rujukan dan proses pensekuritisasian di negara maju.

Hakikatnya demikian kerana keselamatan nasional di negara maju hanya difokus daripada konteks ancaman luaran sahaja.

Nota: jutaan maaf kerana blog ini tidak dikemaskinikan sekian lamanya akibat pelbagai konstrains teknikal dan peribadi.

Friday, November 27, 2009

Ombudsman Dan Whistleblowers

Ruhanie Ahmad

Ombudsman berbeza daripada whistleblowers. Ombudsman institusi pemantau bebas untuk menangani perbuatan salah laku, keputusan tidak saksama, atau perilaku penjawat awam yang menindas rakyat.

Konsep serta amalan ombudsman sektor awam diperkenalkan di Sweden pada tahun 1809. Institusi ini kemudiannya diperkenalkan di beberapa negara Scandinavia. New Zealand adalah negara pertama yang memperkenalkannya di luar Eropah. Kini beratus-ratus negara termasuk Papua New Guinea dan Cooks Island mempunyai institusi ini.

Ombudsman di peringkat negara dilantik oleh dan bertanggungjawab kepada parlimen. Anggotanya adalah individu berwibawa, berintegriti, dan terhormat. Tugasnya menyiasat aduan salah laku jabatan kerajaan, dan memperakukan koreksi serta penyelesaiannya.

Di kebanyakan negara asing wujud badan yang sama di peringkat jabatan, agensi awam, universiti, kerajaan tempatan, dan hospital untuk membolehkan masalah rakyat disiasat dan diselesaikan di peringkat berkenaan.

Whistleblowers adalah individu yang secara sukarela menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa mengenai rasuah dan salah laku. Mereka terdiri daripada individu yang berkhidmat dengan kerajaan, bekerja di sektor swasta, menjadi pemimpin dan ahli organisasi politik, penggerak dan ahli pertubuhan sukarela, atau rakyat biasa di semua peringkat. Di kebanyakan negara, kelompok ini diberikan perlindungan undang-undang.

Ini bermakna whistleblowers adalah individu penyampai maklumat kepada pihak berkuasa sementara ombudsman adalah institusi yang bertindak untuk menyiasat maklumat berkenaan untuk membuat perakuan kepada pihak berkuasa bagi memperbaiki atau menyelesaikannya.

Whistleblowers dan umbudsman penting untuk membanteras rasuah dan penyelewengan kuasa. Mereka memperkukuhkan keberkesanan agensi antirasuah serta pelaksanaan undang-undang mengenainya yang diwujudkan oleh sesebuah negara.

Ombudsman merupakan istilah yang sering dipoltikkan oleh pembangkang di Malaysia terutamanya bila mereka membicarakan soal rasuah dan penyelewengan kuasa oleh pihak pemerintah.

Sebuah akhbar Inggeris tempatan melaporkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, pada 10 April 2006, bahawa kerajaan bercadang mewujudkan ombudsman bagi menyiasat aduan terhadap pihak berkuasa termasuk menteri dan badan pencegah rasuah.

Agensi berita AP 11 April 2006 pula memetik kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Malaysia mungkin menubuhkan sebuah badan bebas untuk menyiasat aduan terhadap seluruh agensi kerajaan termasuk para menteri dan penggubal undang-undang.

Oleh itu, bila agaknya kerajaan Malaysia akan menubuhkan ombudsman di peringkat nasional? Usaha ini pasti akan memperkukuhkan lagi Akta Whistleblowers yang akan digubal dan dikuatkuasakan mulai 2010.

Saturday, November 21, 2009

Peranan Whistleblowers Membanteras Rasuah


Ruhanie Ahmad

Malaysia akan memperkenalkan undang-undang anti-rasuah yang dikenali sebagai The Whistleblowers Act. Ini diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan belanjawannya tempohari.

Penggubalan dan penguatkuasaan undang-undang ini membuktikan betapa seriusnya kepimpinan Najib terhadap usaha membanteras rasuah dan salahguna kuasa di Malaysia.

Undang-undang ini banyak manfaatnya. Satu: ia memberikan perlindungan serta kekebalan kepada rakyat jelata yang menyampaikan maklumat mengenai rasuah dan salahguna kuasa dalam sektor awam, swasta, dan sukarela.

Dua: perlindungan dan kekebalan diberikan supaya rakyat menyampaikan maklumat mengenai rasuah dan penyalahgunaan kuasa kepada media massa atau lain-lain agensi anti-rasuah tanpa takut dan bimbang.

Tiga: undang-undang ini mewujudkan persekitaran anti-rasuah yang lebih menggerunkan pihak yang cuba memberi rasuah dan menerima rasuah kerana tindakan mereka boleh dipantau oleh sesiapa sahaja dan pada setiap masa.

Empat: undang-undang ini memantapkan lagi undang-undang dan institusi anti-rasuah yang sudah wujud di Malaysia.

Lima: undang-undang ini dijangka mendorong kewujudan civil society anti-rasuah yang lebih komprehensif dan tidak berpaksikan politik.

Undang-undang Whistleblowers telah dikuatkuasakan di beberapa negara asing sejak bertahun lamanya. Keberkesanannya dicerminkan menerusi pengaplikasian beberapa peruntukan mengenai whistleblowers ke dalam peraturan syarikat, jabatan kerajaan, dan pertubuhan sukarela.

Contohnya, terdapat syarikat di India memaktubkan sebahagian undang-undang Whistleblower India ke dalam kod etika syarikatnya bagi membolehkan pekerjanya menerima perlindungan bila melaporkan salahlaku dan penyelewengan kepada pihak majikannya.

Di Amerika Syarikat, banyak jabatan kerajaan yang mewujudkan perlindungan whistleblowers dalam organisasi mereka sebagai strategi mencegah penyelewengan dan rasuah.

Di AS juga wujud National Whistleblowers Center (NWC) yang memantau whistleblowers (penyampai maklumat) yang cuba dianaiya oleh pihak yang didedahkan penyelewengannya.

Ini mencerminkan bahawa whistleblowers adalah golongan berpengaruh dalam mendedahkan perilaku negatif dalam sesebuah organisasi awam dan swasta.

Nota: Jutaan maaf kerana tidak membuat posting buat sekian lama akibat peperiksaan yang baru sahaja berakhir. Dalam posting akan datang akan saya paparkan perbezaan peranan whistleblowers dengan ombudsman dalam membanteras rasuah dan salahguna kuasa.

Saturday, October 17, 2009

Sekat Kemunculan Broker Kuasa Di Peringkat Negeri Dan Bahagian

Ruhanie Ahmad

Pindaan perlembagaan UMNO, terutama sekali mengenai kaedah baru pemilihan pucuk pimpinan parti dilakukan di peringkat cawangan, yang diluluskan oleh Perhimpunan Agung UMNO semalam adalah perubahan yang perlu dilaksanakan dengan segera.

Ia akan memperbaiki kelemahan organisasi dalam pemilihan pucuk pimpinan parti. Jika tidak UMNO akan terus dibelenggu oleh gejala politik wang dan akan kehilangan wibawa serta integritinya.

Perubahan ini perlu juga dilaksanakan dengan cekap, secara sistematik, dan lengkap dengan regulasi dan prosidur pencegahannya supaya kaedah baru ini pula tidak menimbulkan fenomena kelemahan yang baru di dalam parti.

Satu fenomena baru yang boleh wujud daripada kaedah pemilihan yang baru ini adalah perilaku Ketua Perhubungan UMNO Negeri dan/atau Ketua UMNO Bahagian yang akan bertindak sebagai broker kuasa untuk menentukan calon manakah yang perlu disokong oleh warga UMNO akar umbi.

Ketua Perhubungan dan/atau Ketua UMNO Bahagian boleh menggunakan kuasa mereka dan menjual kuasa itu kepada calon-calon yang sanggup merasuah mereka.

Setelah dirasuah, Ketua Perhubungan dan/atau Ketua UMNO Bahagian terbabit pula akan menggunakan kuasa mereka untuk menekan warga UMNO cawangan supaya memilih calon pilihan Negeri atau Bahagian.

Jika ini berlaku, demokrasi tiada maknanya, Ketua Perhubungan dan/atau Ketua UMNO Bahagian akan menjadi broker kuasa dan gejala politik wang yang dulunya berleluasa di kalangan perwakilan ke perhimpunan agung UMNO akan berlaku pula secara meluas di peringkat Negeri dan/ atau peringkat Bahagian.

Gejala ini boleh berlaku jika kaedah baru pemilihan pucuk pimpinan UMNO ini tidak diurus dengan baik dan tidak pula digandingi dengan regulasi serta prosidur untuk mencegah penyalahgunaan kuasa oleh Ketua Perhubungan dan/atau Ketua Bahagian.

Di sinilah sendi kelemahan paling utama kepada kaedah pemilihan pucuk pimpinan UMNO yang baru diluluskan. Masalah ini perlu diatasi menerusi peraturan dan prosidur yang ketat. Peraturan serta prosidur ini pula perlu dikuatkuasakan dan dipantau secara bersih, cekap, dan amanah.

Dengan cara ini amalan rasuah sistemik dalam UMNO akan terhapus dan pengamal serta penerima rasuah sistemik ini pula akan terpinggir dengan sendirinya.

Hanya dengan ini sahaja akan tercipta satu norma,nilai serta budaya baru dalam UMNO yang kemudiannya menjadi pemacu serta pemangkin kepada kewujudan tamadun politik baru di tanah air tercinta ini.

Friday, October 16, 2009

Tubuhkan Suruhanjaya Pilihanraya UMNO

Ruhanie Ahmad

Perhimpunan Agung Khas UMNO semalam memberikan kuasa kepada 146,500 warga UMNO akar umbi untuk memilih pemimpin parti di peringkat pusat. Ini satu perubahan radikal dan berani.

Syabas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak kerana memberikan kepimpinan yang tegas untuk mengorak langkah pembaharuan ini.

Dengan itu terserahlah kepada warga UMNO akar umbi untuk memilih pucuk pimpinan parti secara bijaksana tanpa dipengaruhi oleh sesiapa.

Jika ini mampu dilakukan tanpa politik wang atau rangsangan kebendaan pastinya UMNO akan memiliki barisan pemimpin yang benar-benar kuat, berwibawa, dedikated, bersih dan amanah.

Bagaimanapun perubahan ini memerlukan satu sistem dan jentera pilihanraya UMNO yang telus, cekap, dan berkesan. Untuk itu UMNO wajar melantik satu badan bebas bagi mengendalikan sistem dan jentera berkenaan.

Kini eloklah warga UMNO yang telah jauh hati akibat kepincangan organisasi ini kembali ke pangkuan perjuangan parti untuk sama-sama memertabatkan semula wadah perjuangan ini.

Ini selaras dengan seruan najib supaya ”setiap pemimpin dan ahli UMNO bangkit menyalakan obor perubahan bagi memartabatkan perjuangan parti dengan keutamaan kepada kebajikan dan keperluan rakyat untuk membentuk kerajaan yang kuat serta stabil..”

Thursday, October 15, 2009

Transformasi UMNO Atau Transformasi Diri Sendiri?

Ruhanie Ahmad

Di bawah ini saya siarkan sebahagian kenyataan Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang dilaporkan oleh BERNAMA hari ini. Kata kunci dalam kenyataan beliau adalah “transformasi sikap, transformasi keahlian UMNO, dan pandangan 1Dunia.”

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin hari ini berharap pindaan perlembagaan yang dijadual dibentangkan pada perhimpunan agung khas UMNO Khamis ini turut menuntut perubahan sikap semua para perwakilan khususnya Pemuda.

''Saya istilahkan perhimpunan Pemuda dan perhimpunan agung sebagai satu perhimpunan transformasi di mana perubahan bukan hanya berlaku kepada peraturan dan undang-undang dalam perlembagaan tetapi juga melibatkan kompas politik kita.

''Harapan kita bahawa pindaan ini akan mendorong kepada seluruh keahlian terutama Pemuda UMNO untuk membuat transformasi sikap kita. Transformasi perlembagaan sahaja tidak mengubah segala-galanya dan kita perlu kepada transformasi keahlian itu sendiri,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda di Menara Dato' Onn di sini.

Khairy berkata, mesyuarat hari ini juga menyentuh mengenai bagaimana Pemuda dapat memainkan peranan mereka dalam menjayakan gagasan 1Malaysia.

''Kita mesti mempunyai pandangan 1Dunia iaitu satu pandangan politik yang lebih terbuka yang boleh diterima oleh seluruh rakyat Malaysia. Kita kena tunjuk kepimpinan Pemuda UMNO dan UMNO bukan hanya untuk orang Melayu sahaja tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia,'' katanya.

Perkataan transformasi lazimnya membawa erti dan implikasi yang positif. Jadi, apakah yang dimaksudkan dengan “transformasi sikap”? Daripada pengamal politik wang menjadi penentang politik wang? Daripada pengamal kronisme kepada penentang kronisme? Daripada kodong dapat cincin jadi lilin membakar diri?

Apa pula maksud ”transformasi keahlian”? Daripada ahli UMNO yang boleh dirasuah kepada ahli pembenci rasuah? Daripada ahli yang menentingkan diri kepada ahli yang prihatin terhadap penderitaan rakyat? Daripada bergelumang dengan kepura-puraan jadi ahli yang jujur dan ikhlas kepada perjuangan parti?

Akhir sekali, apa ertinya ”pandangan 1Dunia”. Universalisme? Globalisme? Tidak payah cemburu dengan jiran yang berniat buruk terhadap negara? Meritokrasi? Demokrasi liberal? Liberal internasionalisme? Postmodernist? Konstruktivist? Beri betis, peha, dan semuanya kepada sesiapa sahaja bukan Melayu yang memintanya?

Bagaimanapun, sebelum banyak pihak ikut melalut dengan retorik dan lambongan idea bombastik yang indah kabar dari rupa, sama-samalah hayati sebahagian daripada Perlembagaan UMNO seperti berikut:

FASAL 3: ASAS DAN TUJUAN

UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruh dan martabat bangsa, agama dan negara.

3.1 Mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.

3.2 Mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-negeri dan Raja Berpelembagaan.

3.3 Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebangsaan beragama.

3.4 Mempertahankan kedaulatan rakyat dan keadilan sosial dengan mengamalkan Sistem Pemerintahan Demokrasi Berparlimen serta memajukan ekonomi rakyat Melayu dan Bumiputera khasnya dan rakyat Malaysia amnya.

3.5 Menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan Kebudayaan Melayu.

3.6 Mewujudkan kerjasama antara kaum bagi melahirkan satu bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu berasaskan kepada hak-hak Asasi Manusia dan Hak-Hak Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera.

Wednesday, October 14, 2009

Nyahkan Kaki Rasuah, Batu Api, Talam Dua Muka, Musuh Dalam Selimut, Pengampu, Dan Tukang Kipas....

Ruhanie Ahmad

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memang tepat bila menegaskan UMNO mesti bersihkan seluruh batu api, kaki cucuk, dan talam dua muka daripada jemaah perjuangannya.

Mahyuddin mahukan ahli-ahli kategori perosak ini dimansuhkan daripada UMNO kerana beliau mahukan satu UMNO yang mantap, progresif dan berwibawa.

Beliau juga mahukan pembaharuan ini supaya warga UMNO mampu mengamalkan empat rukun perjuangan yang beliau cadangkan, iaitu Kesatuan Minda (Wahdatul Fikr), Kesatuan Hati (Wahdatul Qalb), Kesatuan Amal (Wahdatul Amal) dan Kesatuan Matlamat (Wahdatul Hadaf).

Apa yang Muhyiddin tidak sebutkan ialah kelompok kaki rasuah, pengampu, pembodek, tukang kipas, musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan, bodoh sombong, kacang lupakan kulit, kadok naik junjung dan beruk dapat bunga. Kelompok ini sama juga bahaynya seperti kategori yang disenaraikan oleh Muhyiddin. Mereka mesti dinyahkan daripada UMNO dengan seberapa segera.

Bagan Pinang Dan PRU 13

Kemenagnan BN di DUN Bagan Pinang memang hakiki. Tidak ada dakwa dakwi mengenainya. Tetapi, kemengan ini usah dijadikan petanda terhadap peluang BN dalam PRU 13 kelak. Tindakan seperti ini bahaya padahnya.

Sempenan Perhimpunan Agung UMNO kali ini janganlah kemenangan BN di Bagan Pinang dijadikan indikator kononnya UMNO sudah pulih dan BN kian mantap. Sebaliknya, berdebatlah secara jujur dan ikhlas. Mana yang bengkok, luruskan segera. Mana yang cacat, mansuhkan parutnya. Mana yang salah, tegur secara membina. Mana yang silap, cadangkan pembetulannya secara menyeluruh.

Kalau boleh, PAU kali ini usah dijadikan medan lawak jenaka dan gurau senda oleh para badot kelas atasan. Sebaliknya, perah otak dan jenihkan minda. Kemukakan kaedah untuk perbaiki jemaah bperjuangan, dari cawangan sampai ke bahagian, dari peringkat negeri sampai peringkat pusat.—Ruhanie Ahmad.

Monday, October 12, 2009

ISA MEMANG BESAR TAPI TEE KEAT KALAH BESAR?


Tahniah kepada BN dan Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad kerana menang besar dalam PRK DUN Bagan Pinang. Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dipetik oleh Utusan Malaysia sebagai berharap bahawa kemenangan BN di DUN Bagan Pinang menjadi titik permulaan dalam menjana perubahan berterusan dan percaya pengundi menyokong kepada kepimpinan dasar yang dilakukan oleh BN.

Tetapi, bagaimana dengan Ong Tee Keat dan MCA? Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga dipetik oleh Utusan Malaysia sebagai berkata, ”jawatankuasa pusat MCA perlu buat keputusan berdasarkan kepada resolusi yang telah diputuskan oleh perwakilan pada EGM Sabtu.”

Kemenangan Isa mahu dijadikan pembekal semangat kepada mana-mana pilihan raya di masa akan datang. Benarkah begitu? Bagaimana dengan kekalutan dalam MCA dan kegelabahan dalam MIC? Bolehkah ini dijadikan indikasi kepada masa depan BN yang kurang mantap jika kekalutan dan kegelabahan ini berlarutan?---Ruhanie Ahmad

Monday, October 05, 2009

Bagan Pinang, Serapah Minang, Siapa Menang?

Orang Negeri Sembilan adalah pengamal adat Minangkabau. Satu dari societal dictum atau madah serapah yang menggemblengkan kemuafakatan masyarakatanya ialah: bukit sama didaki, lurah sama dituruni; hati nyamuk sama dicicah, hati gajah sama dilapah; dan, kerbau dipegang talinya, manusia dipegang janjinya.

Namun orang Melayu juga mempunyai bidal dan kata nasihat bahawa bila guruh berdentum di langit, air tempayan jangan curahkan; burung terbang jangan pipiskan lada; jong pecah, yu kenyang; dan, akibat nila setitik, rosak susu sebelanga!

Lantas, bagaimana agaknya madah serapah dan bidal kata ini akan dimanifestasikan di Bagan Pinang? Pengundi India yang jadi penentu dalam PRK ini memang bingung total untuk memahaminya. Para pengundi Melayu bagaimana rentaknya? --- Ruhanie Ahmad

Friday, October 02, 2009

Peranan Masyarakat Sivil Membanteras Rasuah

Ruhanie Ahmad

Rasuah banyak jenisnya. Teroris dan penjenayah rentas sempadan amalkan rasuah sistemik (Nadelman 1993; Holmes 2007). Rasuah jenis ini disasarkan kepada pihak pembuat dasar, warga birokrat, pegawai penguatkuasa dan juga warga kehakiman di negara sasaran mereka.

Di kalangan pemimpin tinggi kerajaan ada rasuah yang dikategorikan sebagai rasuah struktural (Johnson 1995). Rasuah jenis ini pernah menggegarkan Jepun dalam tahun 1990-an.

Dalam siasah, ada rasuah politik yang disinonimkan dengan penagihan dadah (Perry 1997). Oleh sebab itulah rasuah jenis ini sering disebut dan diungkit-ungkit oleh rakyat jelata di sesebuah negara.

Secara umum, ada rasuah pasaran (influeance markets corruption) yang membabitkan pemimpin politik untuk memperolehi sumbangan secara sah atau sebaliknya. Ada rasuah kartel elit (elite cartel corruption) yang melibatkan sesetengah pihak dengan pelbagai sumber kuasa seperti tentera, birokrasi, perniagaan, dan parti politik.

Ada rasuah oligarki dan kelompok (oligarchy and clan corruption) yang menjurus kepada pertarungan antara segolongan pihak yang berkuasa dengan pihak yang berpengaruh untuk menggadaikan kuasa bagi memperolehi kekayaan peribadi; dan ada rasuah tokoh rasmi (official mogul corruption) yang memfokus kepada sesetengah pihak yang mempunyai pertalian politik untuk menghalalkan jenayah (Jonhston 2005).

Ada pihak menganggap rasuah boleh dikurang atau dimansuhkan dengan wujudnya kecekapan dalam sistem penyampaian awam dan juga kecekapan warga perkhidmatan awam. Maka timbullah macam-macam konsep ke arah ini---Bersih, Cekap, Amanah; Pelan Integriti Nasional, KPI dan NKRA.

Usaha-usaha ini semuanya baik. Tapi, rasuah hanya akan kurang atau mansuh bila pihak pemberi takut merasuah, dan pihak penerima takut dirasuah. Ini bermakna kecekapan tidak kena-mengena secara langsung dengan amalan rasuah. Hanya minda dan mentaliti yang bersih sahaja akan menghapuskan rasuah.

Persekitaran takutkan rasuah ini akan wujud jika semua rakyat di sesebuah negara komited untuk membanteas rasuah. Oleh itu perlu wujud banyak civil society mengenai pembanterasan rasuah. Civil society ini pula jangan main poilitik atau ada kaitan dengan mana-mana parti politik.

Jenayah rasuah boleh dihapuskan menerusi kebangkitan masyarakat sivil yang berani bersuara dan bertindak secara berwibawa dalam soal-soal anti-rasuah. ”Penyertaan masyarakat sivil diperlukan dalam pembanterasan rasuah kerana jenayah ini adalah sistemik. Oleh sebab itulah reformasi menghapuskan rasuah perlukan dukungan minat serta tenaga masyarakat” (Johnston 2007).

Ini kerana ”rasuah hanya akan terhapus jika pihak berkuasa yang bertanggungjawab membanteras rasuah tidak boleh dirasuah oleh sesiapa. Situasi seperti ini wujud jika badan berkuasa berkenaan mempunyai komitmen kepada misi perjuangan negara dan komitmen kepada profesionalisme kerjaya” (Benveniste 1997).

Pada waktu yang sama, ”warga perkhidmatan awam perlu mengamalkan sistem etika dan tanggungjawab moral yang murni. Mereka boleh mengamalkannya jika mereka menginsafi bahawa mereka berkhidmat untuk negara dan rakyat. Amalan ini sangat diutamakan dalam negara yang demokratik. Jika tidak, warga perkhidmatan awam akan dituduh mengamalkan birokrasi ala-Nazi yang mengorbankan kepentingan rakyat demi memenuhi matlamat birokrasi yang kejam” (Caiden et. al. 2001).

Tetapi, ”jika penjawat awam hanya menentingkan keselesaan peribadi, mereka akan berleluasa tanpa mengambilkira hak-hak rakyat serta integriti perlembagaan negaranya” (Dobel 1999).

Oleh sebab itu, rasuah wajar disekuritikan sebagai elemen keselamatan negara. Mereka yang memberi rasuah dan menerima rasuah perlu diheret ke mahkamah atas tuduhan menjejaskan keselamatan masyarakat, keselamatan insan dan keselamatan ekonomi sesebuah negara.

Dengan pensekuritian seperti ini, dan dengan wujudnya masyarakat sivil yang anti-rasuah, maka rasuah politik akan reda, rasuah sistemik akan kurang, rasuah sktuktural akan hilang. Lantas ramai-ramailah bangkit untuk mewujudkan pertubuhan sivil membanteras rasuah!

Tuesday, September 29, 2009

Bagan Pinang Dan Karenah Segelintir Elit India

Kebelakangan ini segelintir elit India Malaysia amat menduga kesabaran orang Melayu. Kelompok ini wujud dalam pertubuhan haram seperti Hindraf dan dalam pertubuhan halal seperti PKR dan MIC.

Segelintir elit Hindraf mengheret kerajaan hingga ke peringkat antarabangsa dengan tuduhan kononnya Perlembagaan Persekutuan adalah represif. Dua tiga kerat elit India PKR menayangkan kejagohannya di Dewan Undangan Negeri Perak. Seorang elit MIC amat gian untuk mengalungkan selipar jepun kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mengapa jadi begini? Mahu tunjuk biadap? Hendak jadi kurang ajar? Untuk tonjol dan pertahankan identiti? Atau bertujuan untuk menggelodakkan sentimen etnisiti supaya tercetus kebencian India-Melayu?

Tetapi, kerana segala-galanya dilihat dari kaca mata politik, maka layanan yang mereka terima juga cukup political. Biar orang Melayu marah, biar orang Melayu tersula jiwa, biar orang Melayu dendam kesumat, kesemua ini diketepikan demi politik!

Persoalannya di sini, adakah layanan yang politically friendly ini akan membawa keuntungan politik kepada pihak yang berkuasa? Bagaimana jika keuntungan ini dikaut oleh puak yang cuba hendak berkuasa?

Dan, adakah layanan yang cukup politically freindly ini akan akan membawa keuntungan relatif kepada BN di Bagan Pinang tidak lama lagi? Bukankah pengundi India dikatakan jadi faktor penentu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di DUN tersebut?

Saya terlalu terbakar dengan gelagat segelintir elit India Malaysia sejak Disember 2007 bila pertubuhan haram bernama Hindraf berlagak besar kepala. Mereka pukul anggota polis. Tapi, ada elit Melayu bela mereka dan kes berkenaan pun langsai tanpa bicara. Saya cukup terguris dengan perilaku segelintir elit India PKR di Perak. Tapi ada lagi elit Melayu yang lintang pukang mempertahankannya. Saya amat terkedu dengan tebiat segelintir elit MIC dua tiga minggu yang lalu. Kali ini baru ada elit Melayu yang berani bersuara, waima sekadar melepaskan batuk di tangga!

Saya amat menantikan bagaimana agaknya segelintir elit India daripada ketiga-tiga kelompok ini akan mencorakkan pengundian kaum India dalam PRK Bagan Pinang kelak. Saya juga tertunggu-tunggu bagaimana agaknya elit Melayu akan menawan hati mereka!

Akhir sekali saya tegaskan: SAYA BUKAN RASIS. Bicara saya kali ini adalah bicara hati seorang anak Melayu yang menentang rasisme oleh segelintir elit India yang bertindak rasis di balik topeng keadilan dan kesaksamaan untuk mengukuhkan identiti mereka di Malaysia---identiti yang mereka perolehi menerusi sifat toleransi Melayu di era pra merdeka dan terus dipertahankan oleh orang Melayu hingga ke hari ini!-Ruhanie Ahmad

Monday, September 28, 2009

Al-Fatehah: Takziah kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Rahim Bakar

Pada Khamis, 24 Septembe 2009, seorang sahabat yang saya sifatkan sebagai abang, Tan Sri Abdul Rahim Bakar, bekas Menteri Besar Pahang, 66 tahun, kembali ke rahmatullah di kediamannya di Jalan U Thant, Kuala Lumpur, akibat serangan jantung.

Allahyaham seorang cendikiawan, idealis dan nasionalis yang saya kagumi. Saya sekeluarga mengucapkan takziah kepada keluarga beliau. Moga-moga roh Allahyarham akan berada dalam golongan orang yang soleh. Al-Fatehah.---Ruhanie Ahmad

Selamat Hari Raya

Saya sekeluarga memohon jutaan maaf zahir batin kepada seluruh sahabat saya di mana mereka berada dan juga kepada kesemua pengikut setia blog ini. Akibat masalah teknikal, blog ini tidak dapat berfungsi selama 20 hari sejak sebelum Hari Raya. Harap maklum.--- Ruhanie Ahmad

Friday, August 28, 2009

DILEMA POLITIK DAN PERUT RAKYAT

Ruhanie Ahmad

Insan manusia sering diandaikan sebagai individu atau kelompok yang sentiasa dikuasai oleh pelbagai prasangka dan naluri negatif terhadap satu sama lain. Walaupun kini kita berada dalam era dunia pasca moden, negitiviti ini tetap wujud dan tiada penghujungnya. Situasi ini mewujudkan dilema kepada pihak-pihak prihatin. Dalam konteks dilema politik Malaysia mutakhir, pihak-pihak ini adalah UMNO, BN dan pemerintah.

UMNO dicengkam dilema kerana kredibilitinya yang tercemar sejak kepimpinan pra-Najib. UMNO mutakhir memang berusaha keras untuk memperbetulkan dirinya. Tetapi, kerana kebokrokan era pra-Najib---dari segi imej, persepsi, karenah, personaliti, kepimpinan, dan daya juang---masih gagal ditemui punca-puncanya secara menyeluruh, maka apa jua yang dilaksanakan oleh kepimpinan Najib nampaknya masih diterima secara sinis oleh segolongan warga dan simpatisan UMNO.

Sebagai tulakbelakang BN, UMNO juga dibebani masalah parti-parti komponennya. MCA bercelaru. MIC haru-biru. Gerakan seolah-olah jadi keris makan tuan. PPP asyik dengan episod rebutan kuasa. Lain-lainnya walaupun kurang berdetik, ini tidak bermakna mereka tidak bermasalah.

Kelemahan BN ini pula mencetuskan dilema kepada pemerintah. Ini kerana bila BN lemah akibat UMNO yang luntur kredibalitinya dan akibat permuafakatan antara komponen BN yang agak rapoh, maka timbullah kelompok oportunis, penangguk di air keruh, pelukut di tepi gantang, pemeras-ugut dan segala-galanya yang akan memberikan tekanan demi tekanan kepada pemerintah untuk mendapatkan apa jua yang sukar diperolehinya sewaktu UMNO kuat dan BN kukuh.

Dilema siasah di atas memerlukan penyelesaian segera dan efektif. UMNO, BN dan pemerintah wajar menggunakan konsep dan pendekatan keselamatan politik dan keselamatan rejim untuk menyelesaikannya.

UMNO perlu mengadakan analisis tiga aras---di aras terbawah, kajilah kekuatan dan kelemahan UMNO akar umbi dan bahagian; di aras tengah, kajilah UMNO peringkat negeri; di aras tertinggi, kajilah UMNO di peringkat kepimpinan pusat. Aktor-aktor politik di seluruh aras terbabit perlu di analisis dengan ikhlas, tegas dan berani---kayu mati mesti disingkir, duri dalam daging mesti dihapus, gunting dalam lipatan mesti dimusnah. Segala masalah di kesemua aras ini mesti diterima dengan dada terbuka---jangan disorok bawah permaidani, jangan diatasi dengan sindrom penafian, jangan diselesaikan menerusi tindakan selektif.

Begitu juga dengan BN. Ia perlu melakukan analisis SWOT menerusi kaedah analisis tiga aras. Pertama, di aras bawah sekali, bedah dan siasatlah semua parti komponen BN di semua peringkat. Di aras pertengahan, kaji dan bedahlah BN di peringkat pusat. Di arah paling tingi, bedah dan siasatlah BN sebagai pemerintah negara. Seluruh aktor politik BN di semua aras ini mesti dianalisis---jika perlu diberi amaran, berikanlah sekeras-keras dan setegas-tegasnya. Jika ada yang perlu dipecat, pecat mereka dengan segera. Permuafakatan mestikan dijadikan matlamat utama. Becakap biar senada. Bergerak biar sederap dan sama langkahnya.

Akhir sekali, pemerinah juga mesti melakukan analisis tiga aras. Di aras terbawah, kaji dan siasatlah masalah serta prestasi agensi-agensinya. Di aras pertengahan, kaji dan siasatlah prestasi semua kementerian. Di aras tertinggi, kaji dan siasatlah prestasi kepimpinan tertinggi pemerintah, baik orang politik atau pun birokrat.

Dalam konteks ini, jika konsep re-inventing government menikitberatkan anti-rasuah, autoriti pencegah rasuah mestilah bebas daripada rasuah (walaupun dari segi persepsinya) sebelum ia boleh bertindak tegas dan jujur terhadap pihak lain yang disyakki terbabit denbgan rasuah.

Pada waktu yang sama, sewaktu melaksanakan tindakan anti-rasuah, jangan pilih golongan marhaen. Sebaliknya sasarkan kepada golongan dewa besar. Kalau hendak menguatkuasakan undang-undang, laksanakan dengan tegas, tetapi juga dengan hemah dan budibahasa.

Jangan ada double-standard dan jangan pilih kasih. Kalau sesuatu tender kerajaan itu adalah tender terbuka, jangan ada tender terbuka yang boleh jadi negotiated tender.

Pendek kata, jika 1Malaysia benar-benar mendahulukan rakyat, periuk nasi rakyat dan perut rakyat mestilah didahulukan. Ini kerana dalam situasi kemelesetan ekonomi mutakhir, majoriti rakyat memang amat menitikbeatkan soal-soal periok nasi dan perut!

Lebih penting lagi, jika sesuatu dasar itu adalah khusus dan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan, jangan sekali-kali dasar itu dikompromikan semata-mata kerana pihak birokrasi ditekan oleh pemerintah yang mahu menyelematkan keselamatan rejimnya demi kuasa yang dikuasainya buat sekian lamanya!

[JUTAAN MAAF. Agak lama saya tak terdaya untuk update blog ini kerana kesuntukan masa. Maklumlah assignments terlalu mendesak. Salam takzim - Ruhanie Ahmad]

Thursday, August 13, 2009

Berkongsi duka dan luka

Seniman Abdul Muluk Daud @ Dharmala N.S., 62 tahun, kembali ke Rahmatullah 8.30 pagi, 12 Ogos 2009, akibat serangan jantung selepas bersahur pada awal pagi 4 Ogos 2009. Jenazah beliau dikebumikan di kampung halamannya di Negeri Sembilan.

Dharmala menulis dalam semua genre termasuk novel, cerpen, puisi, rencana, skrip drama pentas, televisyen dan filem. Allahyarham merupakan pemenang hadiah sastera nasional 1974 kategori cerpen, sayembara novel Yayasan Sabah Gapena 1979 dan 1981, dan hadiah cerpen Esso-Gapena 1981 dan 1982. Beliau menganggotai jawatankuasa penyelidikan budaya Muzium Negeri Sembilan 1990-2003. Hingga ke akhir hayatnya, beliau memimpin NGO Prima atau Warga Prihatin Malaysia dan mengendalikan dua blog---Suara Prima dan Pustaka Adimul.

Saya kehilangan seorang sahabat. Moga-moga roh Allahyarham akan berada di kalangan orang-orang yang soleh. Al-Fatehah!

Bagaimanapun, penyair Yassinsalleh, kehilangan seorang anak saudara. Di bawah ini Yassin mendedikasikan puisi untuk Allahyarham. -- Ruhanie Ahmad

Berkongsi duka dan luka

Malam ini lagu angin mengulit daun-daun rimbun
bagaikan sengaja mahu menambah nestapaku di dada sarat gundah
bagaikan sengaja
melodinya mempersenda aku fakir kasih yang sedang amat sengsara ini.

Aduhai betapalah ya mampunya aku memujuk pilu yang kian menghimpit
bagaikan ranjau karang menampan angin
menunda buih ke pasir rindu yang tak kesampaian.

Lagu angin yang aku tak mau dengar itu
tetap jua tidak berhenti menggenta sepiku
merancakkan rontaan rinduku yang kian bertambah.

Aduhai
pilu yang singgah
katakanlah esok akan datang seorang gadis
yang hatinya juga sengsara
untuk ku balut lukanya
dan kami akan menutup telinga
bila angin malam bernyanyian di daun-daun rimbun
sambil kami saling berkongsi duka dan luka...

yassinsalleh
11.38 malam
11 Ogos 2009

Tuesday, August 11, 2009

Kesabaran orang Melayu kian menipis

Ruhanie Ahmad

Gelagat sesetengah ahli politik alternatif tertentu kebelakangan ini cukup melampau. Institusi Raja-Raja Melayu dipolemikkan secara kurang ajar. Soal-soal pribumi dipertikaikan secara provokatif. Orang Melayu yang bersuara untuk mempertahankan hak-hak bangsanya dilabelkan sebagai rasis. Pihak-pihak yang membakar kemarahan orang Melayu mendabik dada dan menganggap dirinya sebagai pejuang kesaksamaan dan kesamarataan. Ironinya, ada juga segelintir pemimpin politik Melayu dan umat Melayu tertentu yang turut menyokong seluruh tindakan anti-Melayu ini kononnya atas dasar liberalisme dan pragmatisme.

Sebagai individu yang didewasakan di era penjajah dan kemudiannya menceburi alam kerjaya---profesional dan politik---di era merdeka, saya amat terganggu dengan perkembangan mutakhir ini yang bertitik tolak daripada apa yang didakwa sebagai era keterbukaan yang dilakukan sejak 2004.

Tetapi, ini tidak bererti saya menentang keterbukaan. Apa yang saya kesali hanyalah keterbukaan yang dilakukan semata-mata untuk menutup sesuatu kelemahan pimpinan tertentu, keterbukaan yang tidak secocok dengan tuntutan keselamatan negara, keterbukaan yang memberikan muka kepada pertubuhan haram tertentu walaupun ianya telah mengheret negara ini ke arena antarabangsa dengan tuduhan kononnya Perlembagaan Persekutuan adalah menindas sesetengah kaum, keterbukaan yang double-standard di mana anak-anak muda di Terengganu diburu ”ibarat sampai ke lubang cacing” kononnya atas jenayah membakar Jalur Gemilang sementara penunjuk perasaan di sebuah ladang babi di Melaka yang menginjak-injak Jalur Gemilang di hadapan sekumpulan pegawai pemerintah dibiarkan bebas tanpa hukuman, keterbukaan yang mengizinkan peguam pemerhati untuk mengujjah perbicaraan kes murtad, keterbukaan yang menghalalkan hukuman selektif ke atas individu tertentu yang terbukti terbabit dengan rasuah politik, keterbukaan di mana individu yang terbukti rasuah masih dikekalkan dengan tanggungjawab memimpin negeri dan rakyat, keterbukaan di mana soal kronisme dilindungi dan kebenaran disanggah secara habis-habisan walaupun tindakan itu telah melunturkan keyakinan segolongan rakyat terhadap pemerintah.

Keterbukaan ini sedang menjadi senjata yang makan tuan. Mangsanya adalah orang Melayu dan umat Islam. Sebilangan orang Melayu di sebuah negeri tertentu dikatakan sedang beramai-ramai meninggalkan parti politik mereka untuk mendampingi sebuah parti yang baru. Hak-hak Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan dipertikaikan. Kerajaan dituduh sebagai pendukung dasar apartheid. Bumiputera dipanggil babiputra. Hak orang Melayu menerima biasiswa yang dilindungi oleh perlembagaan diasak dan didesak atas prinsip meritokrasi. Urusan pentadbiran Islam di sebuah negeri tertentu diganggu-gugat oleh sesetengah pihak bukan Islam. Tulisan Cina dan Tamil cuba dimasyarakatkan menerusi papan tanda jalan (walaupun gagal untuk dilaksanakan, percubaannya cukup simbolik untuk membuktikan niatnya!).

Pada waktu yang sama, undang-undang preventif seperti ISA diperjuangkan secara bermati-matian supaya dimansuhkan. Pihak yang mempertahankannya walaupun dengan beberapa cadangan untuk pindaan yang wajar, dituduh sebagai kuno dan anti hak asasi kemanusiaan sejagat. Pihak yang cuba menansuhkan ISA atas alasan yang cetek dan tanpa memahami rasional penting undang-undang ini pula disokong dan dilonjakkan sebagai wira.

Ke mana akhirnya Malaysia, orang Melayu, umat Islam dan bumiputra jika perkembangan mutakhir seperti ini terus berlarutan? Jika Lee Kuan Yew yang mempertikaikan seluruh hak Melayu, Agama Islam, Bahasa Melayu dan Raja-Raja Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan pada 1964, kita faham mengapa beliau bertindak sedemikian. Beliau memperjuangkan Konsep Malaysian Malaysia dan tergamak mengguris hati dan jiwa orang Melayu pada ketika itu atas desakan elemen-elemen komunis yang menganggotai PAP. Tetapi, apakah rasional terkini yang menyebabkan elemen-elemen Malaysian Malaysia kembali menggugat orang Melayu pada hari ini? Adakah ini bermakna bahawa sesetengah parti politik tertentu di negara ini sedang melalui renaissance anti-Melayu kerana kerajaan yang memberikan keterbukaan mulai 2004 kini dianggap lemah dan boleh diugut serta digugat secara berterusan?

Jika tidak begitu hakikatnya, mengapakah kini wujud kebimbangan di kalangan sesetengah pihak orang Melayu bahawa negara ini mungkin akan menghadapi satu lagi tragedi kaum tidak lama lagi? Saya persoalkan kemungkinan ini bukan untuk menghasut. Tetapi, apabila ada pihak sudah tergamak untuk menulis---biarpun secara bertopeng dan menerusi blog clandestine---bahawa bumiputra adalah babiputra, bila secara terang-terangan hak-hak bumiputra dan Melayu dipertikaikan pada setiap masa, tidak mungkinkah ada golongan bumiputra yang akan menerima provokasi ini menerusi manifestasi keganasan? Dan, jika Raja-Raja Melayu pun sudah mengulangi semula wasiat keramat yang menunjangi kemerdekaan tanah air ini pada 1957 supaya wasiat itu difahami dan dihayati oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, salahkan untuk sesiapa yang prihatin untuk mentafsir bahawa keadaan etnisiti di negara ini memang sedang menuju suatu musibah yang serius?

Inilah cabaran terbesar di Malaysia pada hari ini. Di samping masalah perut rakyat yang sentiasa digugat oleh konstrain ekonomi, di samping retorika pemerintah yang masih belum menyelesaikan soal perut dan sandang-pangan rakyat dengan sepenuhnya, di samping perasaan sesetengah orang Melayu yang kini sedang diancam keterbukaan songsang mulai 2004, inilah cabaran yang mesti diakui sebagai ancaman utama dalam tempoh terdekat ini.

Lantas, apakah objek rujukan untuk menangani perkembangan seperti ini? Apakah nilai-nilai teras yang mesti dipertahankan di sini? Bagaimanakah kerajaan selaku securitizing authority kepada keselamatan negara akan bertindak dalam situasi seperti ini? Dan, apa pula pendekatan terbaik dan berkesan untuk menghapuskan fenomena ini? KEPADA ALLAH BESERAH!

Thursday, August 06, 2009

Isytiharkan Selsema Babi masalah keselamatan negara

Ruhanie Ahmad

Kerajaan perlu mengisytiharkan pandemik Selsema Babi sebagai masalah keselamatan negara, seperti masalah terorisme, subversion, atau pun espionage.

Ini kerana pandemik ini sedang mengancam keselamatan rakyat Malaysia dengan jumlah kematian setakat ini seramai 12 orang dan jumlah jangkitannya meningkat kepada 1,476 orang akibat penularan domestik.

Pengisytiharan ini pasti akan memaksa perubahan mentaliti seluruh pegawai perkhidmatan kesihatan di negara ini daripada bertindak dengan mentaliti sambil lewa kepada mentaliti darurat dalam menangani pandemik ini.

Mutakhir ini banyak kritikan terhadap kakitangan perubatan awam dalam menangani pandemik Selsema Babi. Antara contohnya adalah seperti berikut:

Dua hari lalu, sepasang suami isteri membawa anaknya yang berumur satu setengah tahun ke Hospital Kajang kerana anak itu dikatakan in contact dengan seorang anak sahabatnya yang disyaki dijangkiti Selsema Babi.

Hospital Kajang merujukkan kes anak kecil itu ke Hospital Serdang. Pasangan itu dan anak kecilnya tiba di Hospital Serdang jam 9.00 pagi. Malangnya, sehingga jam 9.00 malam, iaitu 12 jam setelah mereka berada di hospital berkenaan, barulah mereka mendapat layanan.

Itu pun setelah ayah anak kecil itu naik berang kerana layanan yang diberikan di hospital itu tidak mengikut nombor giliran. Ada pelanggan yang lebih lewat sampai mendapat layanan yang segera, sementara yang sudah lama menunggu tidak dilayan langsung.

Pada waktu yang sama, pada ketika itu terdapat ramai pelanggan lain yang disyaki dijangkiti Selsema Babi datang untuk mendapatkan pemeriksaan di hospital itu. Tetapi, pihak hospital tidak langsung melaksanakan langkah-langkah pencegahan awal seperti memberikan kepada mereka topeng penudung mulut, sedangkan alat itu dikatan bertimbun-timbun di atas meja salah seorang pegawai kesihatan di hospital tersebut.

Suami yang saya maksudkan dalam kisah ini adalah seorang pelajar program masters di sebuah universiti tempatan, sementara isterinya adalah seorang pendidik. Kisah mereka kisah benar. Kisah seperti inilah antara sebab penularan Selsema Babi secara domestik menjadi semkin membimbangkan.

Bayangkanlah kalau kakitangan perubatan di Hospital Serdang yang moden mempunyai sikap yang sedemikian rupa terhadap mereka yang disyaki dijangkiti Selsema Babi, bagaimana agaknya gelagat di hospital di luar Putrajaya atau di luar Kuala Lumpur?

Bayangkanlah jika anak kecil yang disyaki dijangkiti Selsema Babi hanya dilayan selepas 12 jam berada di Hospital Serdang, bagaimana agaknya layanan di hospital kecil di daerah-daerah?

Soal keselamatan masyarakat, keselamatan rakyat dan keselamatan insan akibat perebakan pandemik Selsema Babi ini janganlah sekali-kali dikompromikan dengan sikap sambil lewa seperti di atas.

Menteri Kesihatan mesti dipertanggungjawabkan dengan mentaliti sambil lewa seperti yang dihuraikan di atas. Jika beliau tidak mahu bertanggungjawab, elok beliau letakkan jawatan seberapa segera.