Wednesday, April 06, 2011

PRU DUN SARAWAK: ANALISIS AWAL



Ruhanie Ahmad



Terdapat beberapa perkembangan menarik dalam PRU DUN Sarawak kali ini. Kesemuanya seolah-olah membuktikan bahawa BN Sarawak kali ini tidak ditentang secara serius oleh pembangkang di bawah Pakatan Rakyat (PR). Ini membawa erti bahawa pakatan pembangkang dalam PR DUN Sarawak ke-10 tidak sehaluan dan bersatu padu seperti dalam PR DUN Sarawak ke-9.


Pertama, adalah mengenai Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang hanya ditandingi oleh dua pupunya selaku mantan Timbalan Menteri Pelajaran---Datuk Salleh Jafaruddin---yang menggunakan tiket calon Bebas “bagi mewakili sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dinamakan Movement of Change Sarawak (MOCS).”


Penampilan Salleh sebagai calon Bebas membuktikan beliau tidak bekerjasama dengan PR. Tetapi, siapakah individu utama dalam MOCS? Pencalonan Suriati Abdullah, 50, yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula seolah-olah membawa mesej bahawa PKR hanya meletakkan calonnya sekadar untuk memenuhi kuota sahaja sebab calon tersebutnya bukannya heavy weight PKR di Sarawak. Tidakkah ini bermakna PKR tidak serius untuk menentang Tan Sri Taib?


Kedua, adalah status SNAP sebagai pembangkang yang tidak lagi bekerjasama dengan Pakatan Rakyat (PR). Ini membuktikan bahawa dalam pilihan raya kali ini, PR tidak lagi mempunyai legitimasi tempatan daripada Sarawak. Oleh sebab itu, tidakkah ini bererti bahawa PR berada dalam keadaan yang lemah?


Ketiga, adalah mengenai kerusi DUN Marudi yang “menyaksikan pertembungan empat penjuru” antara penyandangnya Sylvester Entrie ak Muran (BN-SPDP) dengan Gerang ak Dagom (PKR), Edwin Dundang ak Bugak (SNAP) serta Michael Ding Tuah (Bebas). Ini membuktikan bahawa SNAP dan PKR memang bergerak secara berasingan.


Mengambil kira seluruh hakikat di atas, adakah PRU DUN Sarawak ke-10 ini sukar dan berat untuk dimenangi dengan cemerlang oleh BN? Mungkinkah PRU DUN Sarawak kali ini akan menyaksikan prestasi PR---PKR campur DAP---yang kian tidak bermaya di Sarawak? Adakah perjuangan MOCS serius jika usahanya hanya dicerminkan menerusi seorang calon sahaja?


Bagaimanapun, kempen masih panjang. Pembuangan undi hanya dilakukan pada 16 April 2011. Dengan itu, perkembangan esok dan lusa masih tetap mendebarkan. Tetapi, oleh kerana Tan Sri Taib sudah pun mengumumkan niatnya untuk bersara selepas PRU DUN Sarawak ini, adakah pengundi di Sarawak masih mahu menentukan undi masing-masing kali ini berasaskan faktor Tan Sri Taib atau atas faktor kesinambungan survival Sarawak di bawah naungan BN? Fikir dulu pendapatan, fikir kemudian tiada gunanya! Begitulah kata bidalan Melayu. Pengundi Sarawak pastinya memahami erti kebijaksanaan silam ini….

1 comment:

computerguy said...

good luck rakyat sarawak... undi itu rahsia, use your vote correctly...