Monday, November 12, 2007

Abdullah Lakukan Kesilapan Besar
Ketepikan Perkenan Istana Negara

Ruhanie Ahmad

Gelombang kuning yang menggelora secara aman di Kuala Lumpur pada 10 November 2007 adalah satu kebangkitan rakyat yang unik, mengandungi pelbagai mesej tersirat dan wajar dirungkai implikasinya kepada kelangsungan kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di hari-hari terdekat ini.

Hakikatnya demikian kerana gelombang kuning telah membuktikan wujudnya satu anjakan strategik di kalangan rakyat jelata yang mula memasrahkan nasib dan masa depan mereka kepada Institusi Raja yang menjadi satu daripada tunggak dalam sistem pemerintahan Malaysia, iaitu sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlambagaan.

Saya yakin para penasihat professional di Istana Negara yang memungkinkan kedatangan delegasi gelombang kuning pada 10 November 2007, sudah membuat kajian awal terhadap jangkaan wujudnya anjakan strategik seperti ini. Lantaran itulah permohonan delegasi gelombang kuning diperkenankan. Dan, perkenan itulah yang telah dijadikan pengukur untuk memastikan sejauh manakah kebenaran jangkaan tersebut. Kalau tidak, mana mungkin Istana Negara secara senang-senang sahaja bersetuju menerima kedatangan delegasi gelombang kuning!

Kedaulatan Negara

Hakikat ini akan jelas kelihatan jika semua pihak, termasuk Abdullah, sedia menginsafi bahawa matlamat gelombang kuning adalah lebih besar daripada tuntutan mewujudkan suatu sistem pilihan raya yang lebih adil dan saksama.

Gelombang kuning adalah manifestasi suara hati rakyat jelata yang hilang keyakinan terhadap kepimpinan Abdullah. Gelombang kuning adalah cetusan hati nurani rakyat jelata yang beranggapan Abdullah adalah Perdana Menteri yang lemah. Gelombang kuning adalah cermin realiti yang memancarkan imej-imej kebimbangan rakyat jelata terhadap kedaulatan negara dan maruah bangsa yang makin jelas tercabar di era kepimpinan Abdullah.

Gelombang Rakyat

Gelombang kuning adalah gelombang rakyat. Oleh sebab itu, bukan semua rakyat jelata yang menyertai gelombang kuning jadi ahli organisasi yang menuntut pilihan raya umum yang adil dan saksama. Di kalangan mereka adalah ribuan pesara perkhidmatan awam peringkat tinggi, terutama sekali daripada sektor keselamatan dan pertahanan. Di kalangan mereka adalah anak-anak muda tanpa parti yang cukup prihatin dan sensitif terhadap kelangsungan negara-bangsa. Di kalangan mereka adalah golongan professional muda. Di kalangan mereka adalah insan-insan akar umbi yang sudah mula loya dengan karenah, perilaku dan keangkuhan segelintir anak muda di sekeliling Abdullah. Di kalangan mereka adalah ahli-ahli UMNO dan lain-lain komponen Barisan Nasional (BN) yang rindukan pembelaan. Di kalangan mereka adalah ribuan warga Johor yang mahu membawa mesej bahawa projek mega Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) adalah mempertaruhkan kedaulatan dan keselamatan negara. Sebab itulah perarakan gelombang kuning tidak membawa apa-apa sepanduk politik, melainkan Jalur Gemilang!

Lantaran itu, Abdullah memang sangat-sangat tersilap perkiraan bila kerajaannya enggan memberikan permit kepada gelombang kuning. Lantaran itu, adalah tidak bijaksana bila RTM bertindak secara pre-emtif untuk memberikan persepsi umum bahawa gelombang kuning adalah demonstrasi jalanan yang liar, ganas dan boleh mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Kini gelombang kuning sudah menggelora. Tiada satu pun harta benda yang dimusnahkan oleh para peserta. Kini gelombang kuning sudah melanda. Tiada seorang pun anggota pasukan keselamatan yang tercedera, waima akibat dibaling dengan sebutir pasir sekalipun.

Dilemma Pemerintah

Tidakkah hakikat ini membuktikan usaha pre-emtif RTM sebelum ini adalah semberono dan tidak bijak? Tidakkah hakikat ini membuktikan kenyataan Abdullah pada petang 9 November 2007, kononnya gelombang kuning adalah demokrasi jalanan, sebagai kata-kata emosi yang tidak seharusnya dinyatakan oleh seorang pemimpin besar?

Lantas, siapakah yang terbukti bijaksana dan siapakah pula yang terbukti tidak bijaksana menerusi pancaran hakikat ini? Siapakah yang kini dalam dilemma bila prinsip kedua Rukun Negara, iaitu kesetiaan kepada Raja dan Negara, tidak dipandang serius oleh pemerintahan Abdullah?

Memang ada juga insiden di mana pihak pasukan keselamatan bertindak ke atas para peserta gelombang kuning. Mereka bertindak begitu atas arahan dan perintah. Mereka menjalankan tugas dan tanggungjawab. Tetapi, hakikat bahawa para peserta gelombang kuning tidak liar dan tidak ganas seperti yang mahu digambarkan oleh RTM, akhirnya melembutkan juga jiwa dan hati anggota pasukan keselamatan!

Kesilapan Besar

Saya yakin para peserta gelombang kuning tidak akan terus menerus mempertikaikan tindakan pasukan keselamatan. Sebaliknya, saya pasti mereka mempersoalkan di manakah kebijaksanaan kepimpinan Abdullah? Di manakah kebijaksanaan Menteri Penerangan?

Berita gelombang kuning sudah diketahui sejak hampir dua bulan sebelumnya. Kenapakah tidak disiasat, tidak dikaji dan tidak diselidik menggunakan seluruh mekanisma perisikan yang ada dalam kerajaan? Mungkinkah tindakan-tindakan seperti tembakan gas pemedih mata ke dalam masjid, bekalan air ke masjid dipotong sehingga menyebabkan kesukaran kepada mereka yang mahu menunaikan solat Zohor, rakyat jelata berbaju kuning ditahan di sekatan jalanraya, akan berlaku sekiranya kerajaan bijaksana dalam persiapannya mengendalikan kemaraan gelombang kuning?

Bagaimanapun, apa yang telah berlaku bukannya silap pasukan keselamatan. Apa yang telah berlaku adalah kesilapan besar kepimpinan Abdullah. Paling besar kesilapannya ialah permit tidak diberikan walaupun pihak Istana Negara sudah berkenan menerima kemaraan gelombang kuning pada 10 November 2007.

Perkecilkan Raja

Mengapakah jadi begini? Adakah Abdullah sengaja mahu mencabar Institusi Raja Berperlembagaan atas sebab-sebab tertentu yang mungkin sentiasa menghantui beliau selama ini? Adakah kenyataan Abdullah bahawa beliau “pantang dicabar” sebenarnya ditujukan khas kepada Istana Negara? Atau, apakah tindakan membelakangkan perkenan Istana Negara ini terjadi kerana Abdullah memang sebenar-benarnya seorang Perdana Menteri yang lemah?

Lantaran itu, apakah tindakan selanjutnya oleh Abdullah setelah kebijaksanaan beliau tercabar oleh gelombang kuning? Apakah tindakan Abdullah bila kini terbukti bahawa beliau seolah-olah memperkecil-kecilkan perkenan diraja terhadap kemaraan gelombang kuning ke Istana Negara? Tidakkah Abdullah insaf bahawa label “haram” yang beliau berikan kepada gelombang kuning sebenarnya telah terlebih dulu dan secara tidak langsung “dihalalkan” oleh perkenan diraja yang sudi menerima kedatangan delegasi gelombang kuning?

Abdullah Berundur?

Saya harap Abdullah akan mengarahkan seluruh penasihatnya meneliti reaksi rakyat jelata berikutan gelombang kuning. Kutip, baca dan analisalah seluruh komen menerusi blog dan portal berita. Buatlah perkiraan dan perhitungan sendiri bila ada komen-komen yang menggesa Abdullah supaya segera berundur secara terhormat. Kajilah sendiri bila ada komen mengatakan gelombang kuning menghantarkan isyarat serius kepada Kabinet Abdullah. Fahamilah maksudnya bila ada komen mencadangkan ahli-ahli akar umbi UMNO pula perlu melancarkan gelombang merah untuk menyampaikan suara mereka kepada Abdullah. Garaplah apa tafsirannya bila ada komen yang menyeru gelombang kuning menyelamatkan Malaysia daripada Sindrom Khairy.

Saya sendiri sudah melancarkan kempen supaya rakyat jelata Malaysia mengenakan pakaian berwarna kuning pada setiap Sabtu mulai hujung minggu ini. Saya lancarkan kempen ini kerana warna kuning perlu dijadikan simbol kasih dan sayang rakyat jelata Malaysia kepada Raja dan Negara.

Raja Dan Negara

Tindakan ini amat bersesuaian dengan prinsip kedua Rukun Negara di mana kita mengikrarkan kesetiaan kita kepada Raja dan Negara pada setiap masa. Saya juga lancarkan kempen ini untuk memperingati Sabtu 10:11 atau Sabtu 10 November 2007, sebagai tarikh bermulanya gelombang kuning di negara ini.

Pada waktu yang sama, kuning adalah warna yang melambangkan kebijaksanaan, persahabatan dan kesetiakawanan. Ini bermakna warna kuning adalah warna kebijaksanaan rakyat jelata Malaaysia dalam memperjuangkan kesejahteraan, keadilan dan kesaksamaan. Ini bermakna, kuning juga adalah warna solidariti, perpaduan dan permuafakatan di kalangan seluruh rakyat Malaysia.

Untuk makluman Abdullah, kempen ini Insya Allah merebak dan berjaya. Saya menerima sokongan sebilangan besar bloggers yang dilabelkan sebagai penembak curi, goblok atau penyanyi karaoke. Lepas ini, apa pula label yang akan diberikan bila bloggers berkempen supaya rakyat Malaysia berpakaian kuning pada setiap Sabtu sebagai simbol cintakan Raja dan Negara dan sebagai manifestasi kepada solidariti, kesetiakawanan, perpaduan dan permuafakatan di kalangan sesama rakyat? Adakah selepas ini kerajaan Abdullah akan mewartakan supaya warna kuning diharamkan dari dipakai oleh rakyat Malaysia pada setiap masa dan sepanjang masa?

Apa Kesudahannya?

Akhir kata, saya ulangi sekali lagi. Abdullah membuat kesilapan besar bila beliau enggan mengarahkan polis memberikan permit kepada gelombang kuning. RTM membuat kesilapan yang menjejaskan kebijaksanaannya bila ia memaparkan secara pre-emtif kilp video kononnya gelombang kuning adalah ganas dan liar.

Kini gelombang kuning sudah mula membibitkan keresahan dan kecelaruan di kalangan pemerintah. Abdullah wajarlah bersedia daripada sekarang untuk merungkai seluruh kemungkinan apa yang akan terjadi pada hari-hari terdekat ini. Fikirkanlah apa akan terjadi kalau tuntutan terhadap mewujudkan sistem pilihan raya yang adil dan saksama, diperkenan untuk dilaksanakan. Mungkinkah pilihan raya umum ke-12 akan ditangguhkan? Fikirkanlah kalau kempen berpakaian kuning setiap Sabtu merebak luas ke seluruh tanahair. Siapakah yang akan berputih mata? Fikirkanlah jika gelombang kuning merangsang suatu kebangkitan suara rakyat secara menyeluruh. Apa akan terjadi? Fikirkanlah!!!

30 comments:

Pyanhabib said...

meh, kita pakai kuning!

kudakepang said...

Saudara Pyan, terima kasih dan selamat datang ke KK.

Panjang-panjangkanlah kempen kuning ni ya.

Akhir kata, sila komen puisi kontot ni:

Gelombang Kuning

Bila senja berlabuh
Pastikanlah
Kedamaian adalah warisan
Sepanjang hayat

Salam takzim.

anakmama said...

Pak ruhanie, saya percaya memang pak ruhanie memperjuangkan kebenaran setelah tidak begitu aktif dalam politik sebagai ahli parlimen atau jawatan dalam parti.

cuma laporan dari masa ke semasa pak ruhanie disiarkan oleh harakahdaily pada november 10 mengalahkan berita yang dihantar oleh pemberita sah harakah sendiri.

Ini yang membuat saya tersenyum

sendirian. saya ingatkan ada pemberita baru di harakah bernama Ruhanie Ahmad....:)

Saya tidak ada apa kepentingan dan saya percaya pak ruhanie pun sama. kita berpegang kepada prinsip kebenaran dan keadilan. Dan saya percaya selagi ada ruang untuk memperkatakan kebenaran kita seharusnya menggunakan ruang itu sebaik mungkin. Ini lah tanggung jawab kita semua yang sayangkan tanah air kita dan ingin melihat keadilan tertegak seterusnya dijunjung dan sentiasa diamalkan.

Malangnya hari ini semua telah menjadi tonggang terbalik, kemana tempat lagi harus kita mengadu.

kesemua agensi agensi kerajaan telah bekerja untuk abdullah dan Co.

Saya juga percaya agenda Umno tidak lagi menjadi agenda perjuangan utama mereka kini sebagaimana yang dirintih oleh pemimpin pemimpin umno terdahulu. Secara simboliknya ahli ahli umno kini lebih mengenali parti ISLAM HADHARI ciptaan abdullah dari perjuangan asal umno.

Bayangkan lah sejarah sejarah umno dan kemerdekaan negara telah diubahsuaikan. kemana hilangnya pejuang bangsa seperti datuk bahaman, ahmad boestaman, mat kilau, Dr. Burhanuddin ,tok janggut, Hj abdul rahman limbung termasuk juga yang menjadi komunis pada asalnya juga memperjuangkan kemerdekaan. Maka terpaksa pulak kita rakyat Malaysia membaca dua versi sejarah kemerdekaan Malaysia.

Satu dari versi bukan regim abdullah dan satu lagi versi regim abdullah and Co.

Persoalanya kenapa kita nak mengubah fakta sejarah. Untuk apa? Apa untungnya? Kalau sejarah mereka boleh ubahsuaikan apa lagi manipulasi dalam pilihanraya tentu lebih hebat.

Siapa yang bakal menerima kehancuran kalau bukan generasi malaysia.

Oleh itu saya percaya parti yang didokong oleh abdullah hari ini bukan ketulinan perjuangan umno lagi. Tetapi parti dia sendiri dan company. Nasib rakyat diperkotakkatikan semakin hari semakin susah.

Yang kaya dan senangnya siapa?

Apa kah kejayaan yang dicapai oleh Abdullah dan CO. sehingga kini?

pemerhati said...

Askum Dato. kawan merasa bangga kerana rakyat Malaysia berpegang teguh dan memahami RUKUN NEGARA. Harap siarkan di sertakan untuk pembaca budiman.

RUKUN NEGARA
Sebelum Rukun Negara diperkenalkan, telah berlaku rusuhan antara kaum pada 13 Mei 1969. Ketenteraman negara telah terjejas akibat kejadian itu. MAGERAN (Majlis Gerakan Negara) telah mengambil alih pentadbiran negara. MAGERAN telah menubuhkan Majlis Perundingan Negara (MPN) untuk membincangkan dan menilai isu perpaduan Negara. MPN telah memperkenalkan ideologi negara iaitu Rukun Negara.
MATLAMAT DAN PRINSIP RUKUN NEGARA.
i)Matlamat Rukun Negara
mengukuhkan perpaduan.
memelihara corak hidup demokratik.
mencipta sebuah masyarakat yang adil.
menjamin sikap liberal terhadap tradisi kebudayaan yang pelbagai.
membina masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi.

ii)Prinsip-prinsip Rukun Negara
a)Kepercayaan kepada Tuhan
agama merupakan pegangan utama rakyat Malaysia.
rakyat yang beragama mudah diurus.
perlembagaan menetapkan Islam adalah agama rasmi tetapi agama lain bebas -diamalkan.

b)Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara
semua rakyat dituntut setia kepada raja dan negara.
Yang di Pertuan Agong merupakan ketua negara dan Raja Melayu merupakan ketua negeri.
Raja adalah simbol penyatuan rakyat dan pelindung hak istimewa peribumi.
penderhakaan kepada raja juga bermaksud penderhakaan kepada negara.

c)Keluhuran Perlembagaan
perlembagaan merupakan undang-undang utama
perlembagaan dianggap luhur, suci dan unggul
rakyat dituntut supaya menerima, mematuhi, menyanjung dan mempertahankannya

d)Kedaulatan Undang-Undang
rakyat dituntut menghormati undang-undang dengan tidak melakukan kesalahan di sisi undang-undang.
rakyat akan hidup dalam keamanan apabila kedaulatan undang-undang terpelihara.
rakyat bertanggungjawab memastikan undang-undang negara sentiasa didaulatkan dan tidak dicabar oleh mana-mana pihak.

e)Kesopanan Dan Kesusilaan
rakyat Malaysia dituntut bersopan dan bertatasusila.
ia merupakan nilai-nilai murni yang melambangkan keperibadian seseorang individu.
amalan ini akan menjamin kehidupan masyarakat yang harmoni, penyayang dan saling menghormati.

pemerhati said...

Akum dato, kawan dan rakan2 anak Johor terpanggil menyahut seruan berpakaian warna kuning setiap hari sabtu demi kedaulatan Diraja.

Kawan mengambil kesempatan di ruangan ini menyeru pembaca budiman khasnya rakyat Malaysia membuktikan kesetiaan kepada DYMM Agong Ketua Negara Malaysia.

Daulat Tuanku. Daulat Tuanku. Daulat Tuanku.

RetakBulan said...

Sedih bila membaca blog Datuk ni..Datuk merupakan ikon saya semasa Datuk dalam Kelab Penyokong Kerajaan..kenapa jadi begini datuk?..sayang rasaya orang seperti datuk keluar dari saf kepimpinan dan penyokong umno.

Mohd Shani said...

DSAI & top-gun pembangkang lain dapat political milage bila mereka yg menyampaikan Memorandum Rakyat. Sepatutnya rakyat biasa yg menyampaikan memo itu utk menunjukkan ini benar2 dari suara rakyat. Dah jadi begitu, tak terkata apa lagi. Hanya saya akan lebih berhati2 dgn memo yg akan datang.

Jika pemimpin tak boleh melihat hari esoknya, bolehkah kita harap vision meraka utk 2057 ?

Tahniah kepada mereka yg berhimpun sabtu lepas dan sama2 lah kita pakai kuning.

Saya harap pihak Istana akan memberi reaksi positif dgn gelombang kuning ini.

Wassalam

Yeop69 said...

Sdr. sekadar makluman ini kali kedua saya post keblog sdr setelah yang pertama gagal.

Sekadar terpanggil dengan panggilan yang ada, walaupun sekadar pemerhati pasif, namun runtunan naluri mendesak sebaliknya.

Pelbagai persoalan muncul dibenak ini.

1) benarkan golombang kuning tututan dari rakyat?

2) siapa dibelakang tabir dan siapa meraih keuntungannya?

3) perlukah kita melibatkan institusi DiRaja bagi menghadapi PM&Co yang kita bersama pilih atas prinsip demokrasi?

Teringat pepatah Melayu,
Kapak tidak menumbangkan kayu, sebaliknya kayu yang menumbangkan kayu.

Harapnya kebangkitan gelombang kuning ini bukanlah sebagai alat melaga-lagakan antara legislatif vs institusi DiRaja. Walau seburuk mana insan yang berada di dalam institusi tersebut, ianya tetap pemimpin kita.

The Eugenist said...

Tok, saya akan cuba untuk jadikan sebagai satu kemestian, memakai pakaian kuning pada tiap hari Sabtu (kecuali sabtu kedua dan ke empat sebab kena pakai uniform..)

Walaubagaimanapun Tok, jika seorang itu dilahirkan tidak minat membaca atau tidak cerdik, maka dia akan selamanya mengalami sindrom itu.

Berubahlah orang itu, untuk kebaikan..Jika tidak boleh, pergilah..

HESMEL FAZNEE FAISAL..

jjueco said...

Datuk,

Banyak informasi yang disiarkan di media utama semuanya berbunyi sumbang, dengan fakta yang mengatakan jumlah perhimpunan tersebut hanya sekitar 4,000 orang sahaja (Utusan Mingguan - 11/11/2007). Ini betul satu penipuan yang terang.

Mujur juga banyak informasi boleh diakses melalui kemudahan Internet. Saya seperti biasa akan menyalurkan informasi ini ke kampung saya dan mengharapkan kawan-kawan di sana akan menyebarkan perkara yang benar.

Banyak informasi telah disalurkan semasa bercuti raya baru lalu. Alhamdulillah ramai orang kampung sudah buka mata dan meminta saya terus menyalurkan apa juga maklumat yang baru...

InMine said...

Dato'

Saya setuju benar dengan komen En. Mohd Shani. Bila saya tahu bahawa DSAI dan para pemimpin pembangkang yang akan mewakili rakyat dalam menyerahkan memorandum kepada Istana, saya naik hambar. Sekarang kita baca komen pak lah yang mengatakan pembangkang yang cuba menyeret raja-raja ke kancah politik.

Unknown said...

Datuk, kat mana nak dapat baju BERSIH tu?? saya berminat sangat!!

Jebat Pembela said...

Datuk Ron,

Siapa dapat melupakan KEDURJANAAN DOLAH:

1. berpoya di atas kapal layar di Perth tatkala Rakyat Johor dilanda musibah banjir besar

2. berseronok sakan di Seri Perdana sempena 50 tahun merdeka dengan iringan pemuzik barat, artis dan para VIP secara ekslusif

3. tidak memikirkan perasaan para pekerja Malaysia yg ditahan wang CPF oleh Singapura

4. menggadaikan maruah negara dengan tunduk kepada Singapura dan Amerika secara melulu dan membabi buta

5. tatkala masyarakat India berarak beramai-ramai di Putrajaya tiada sebarang semburan gas pemedih mata

6. bersubahat dengan anak-beranak dalam program Oil for Food di Iraq

7. memenjarakan BS Tahir berkaitan kes komponen nuklear untuk menyelamatkan anak sendiri

8. diperbodohkan oleh para menteri bukan Islam yg menghantar memorandum berkaiatan kebebasan beragama dan menyentuh Islam secara langsung

9. diperkotak-katikkan oleh Gerakan yg kononnya mahukan satu parti demi perpaduan tapi sekolah kebangsaan/wawasan ditolak pula

10. memalukan seorang wanita Melayu Rakyat Malaysia yg dibogelkan di balai polis

11. memalukan Rakyat Malaysia tak semena-mena mengarahkan Azmi Khalid ke China memohon maaf sedangkan tak buat salah pun

12. menghina Rakyat Malaysia dan Melayu khususnya bila melantik Kali, Brendan Preira meneraju akhbar NST milik UMNO sendiri

13. menghina kebolehan anak Melayu meneraju GLC bila menyerahkan jawatan CEO Khazanah kepada rakyat Singapura, malah Idris Jala sendiri bukanlah bumiputera Islam

14. menaikkan harga petrol beberapa kali sepanjang 4 tahun memerintah bahkan awal 2008 akan naik lagi (tak pandai urus ekonomi negara - yg beliau tahu hanya umumkan koridor demi korodor sedangkan wang nya entah di mana?)

15. Berbaik-baik secara melampau dengan Singapura sampai Lee Hsien Loong boleh menepuk bahu beliau tatkala makan durian, main golf - ingatkan lepas tu boleh selesai masalah harga air, jambatan, tanah KTM, wang CPF - ternyata haprak!

Abu Hasan Adam said...

Saudara Ron,

Analisis yang kritikal. Syabas!

kudakepang said...

Sahabat-sahabat sekalian, terima kasih.

Anakmama: Saya serahkan soalan anda “apakah kejayaan yang dicapai oleh Abdullah & Co sehingga kini?” kepada rakyat jelata menjawabnya.

Pemerhati: Terima kasih di atas huraian anda mengenai Rukun Negara. Saya juga terharu di atas komitmen anda untuk turut menjayakan kempen SABTU YANG KUNING.

Naufal: Jangan sedih. Anda akan mengetahui tidak lama lagi mengapa saya memilih jalan yang saya lalui sekarang. Bertenang, bersabar dan tunggulah. Rasanya anda akan mengetahui dengan sendiri jika anda sudi menganalisa keadaan menerusi prespektif the bigger picture di Malaysia mutakhir. Untuk makluman anda, saya masih ahli UMNO dan tetap sayangkan UMNO.

Mohd Shani: Seperti saya jelaskan kepada Naufal, jangan terburu-buru membuat kesimpulan. Bila fajar perubahan menjelma di kaki langat nanti akan anda insafi di manakah realiti yang sebenar-benarnya.

Millie: Jawapan saya kepada anda adalah serupa dengan jawapan saya kepada Naufal dan Mohd Shani. Tenang, sabar dan be sensitive to the current development.

The Eugenist: Terima kasih atas ikrar menjayakan kempen SABTU YANG KUNING ATAU YELLOW SATURDAY!

Jue: Gunakanlah kebijaksanaan untuk memperolehi maklumat yang akan membolehkan anda membuat perbandingan komprehensif terhadap apa jua yang sedang berlaku di tanahair tercinta ini.

InMine: Kenyataan PM itu adalah hak beliau. Tetapi, janganlah diizinkan mana-mana pihak mempengaruhi kita membina persepsi bahawa SPB YDP Agong kononnya sebagai insan yang tidak mampu membuat perkiraan yang waras, rasional dan demi kepentingan rakyat dan negara. Sebagaimana saya tegaskan kepada Naufal, Mohd. Shani dan Millie, bersabar, bertenang dan jangan terlalu konklusif pada ketika ini. Seandainya anda analisa antara yang tersurat dan tersirat dan analisa profil peserta gelombang kuning, pasti anda akan terangsang untuk merungkai apakah agenda tersirat. Untuk makluman anda, di antara ribuat rakyat jelata yang menyertai gelombang kuning adalah ahli-ahli UMNO, professional muda, eksekutif tinggi dan pemimpin akar umbi yang tidak menganggotai mana-mana NGO. Sekali lagi, harap anda sabar dan teliti keadaan menerusi perspektif yang lebih analytical dan luas.

Muhammad Hafiz Muim: Saya akan cuba hubungi pihak penganjur. Tapi, untuk menyertai kempen SABTU YANG KUNING anda cuma perlu kenakan pakaian yang berwarna kuning tanpa memerlukan apa-apa logo.

Jebat Pembela: Terima kasih atas kiriman senarai kisah Abdullah. Semoga ini menggelorakan lagi gelombang kuning@gelombang rakyat.

Abu Hasan Adam: Terima kasih sahabat. Mana hilang. Saya lama tak membaca karya tulisan anda. Kirimlah ke KKepang untuk saya kongsikan dengan rakyat Malaysia.

Salam takzim, selamat berjuang, selamat maju jaya dan pastikan anda dan sabahat-sahabat anda akan menjayakan kempen berpakaian kuning setiap Sabtu.

Unknown said...

Saya setuju dengan Datuk Ron. Hari ini memang nampak macam pembangkang yang dapat nama daripada gelombang kuning. Tapi saya percaya satu hari nanti kita semua mungkin akan terlopong dan ternganga dengan apa juga kemungkinan yang akan menjelma. Saya cadangkan kita tawakufkan dulu kesimpulan kita kepada apa yang berlaku baru-baru ini. Sebaliknya, jadikan diri kita lebih sensitif dan perihatin kepada keadaan di sekeliling kita pada hari ini. Saya rasa macam Datuk Ron mungkin tau apa yang kita tak tau. Maklumalah bekas pengerusi backbencher, kot-kot dia ada dengar soksek sana soksek sini. Contohnya, kenapa Datuk Ron cepat-cepat buat cadangan kita pakai warna kuning mulai Sabtu ni. Kalau boleh Datuk Ron jelaskan.

pemerhati said...

Akum Dato. Kawan ucapkan banyak2 terima kasih kepada beruang hitam dan mertuanya kerana mengumunkan perhimpunan "Gelombang Kuning" kepada seluruh rakyat Malaysia.

Dari pengumuman di buat di Perhimpunan UMNO, seluruh rakyat mengetahui ada perhimpunan 10hb Nov 2007. Syabas kepada rakan2 pakar saraf di UMNO melaksanakan tugas.

Kepada bekas ahli Semangat 46, kini masanya sertai perjuangan warna kuning kembalikan kedaulatan Raja2 Melayu.

Kawan turut menyeru penduduk WPI berpakaian kuning demi maruah bumi Diraja Johor.

Salam Perjuangan Anak Johor.

ParitSaidi said...

Tok Ron,
Saya amat berbangga kerana Datok telah melakukan muhasabah diri sebagai bekas pemimpin rakyat di dalam Barisan. Saya harap Datuk akan terus melebarkan pengaruh Datuk untuk mengajak masyarakat Johor khususnya untuk mengalihkan minda yang telah tepu sejak beberapa abad yang lalu kapada yang lebih DINAMIK. Kita selalu mengharapkan kepimpinan negara yang Bersih dan tidak Korup. Diharap Datok akan dapat mewarnakan pemikiran Rakyat Johor untuk mencapai suatu nilai yang lebih berharga. Kita lihat perkembangan di awal 90'han. Korupsi berleluasa, penaggih dadah bertabah secara significant, mat rempit telah menguasai jalanan, tulisan jawi hampir terhapus, tarap pendidikan telah menurun, kemurtadan telah menigkat dan banyak lagi yang bolih sebutkan. Apabila Pehak penjagga keamanan Negara, Polis khususnya dan Badan kehakiman bolih di korup, inilah petanda keruntuhan negara. Ini akan menjadi lebih menjahanamkan apabila kita mempunyai Dolah badawi dan rakan kabinet yang terlalu lemah. Saya akan terus bersama sama Datuk untuk memperjuangkan dasar mengikut Rukun Islam dan Rukun Negara.

Terima Kasih
Selamat Berjuang.

semi said...

Assalamualaikum Datuk,

Saya berasa amat sedih kerana sangat sedikit bilangan saudara-saudara(?) yang bukan Islam yang turut sama-sama berjuang secara aman (secara aman!)menuntut 'kebersihan' negara ini dikembalikan.

Mereka 'bising' dan benci akan penyelwengan. Mereka mahukan level playing field. Tetapi ketika hari untuk 'berjuang' itu tiba, di manakah mereka?

Mengapakah 99% pejuang tempoh hari adalah orang Islam (orang Melayu secara umumnya)? Di manakah yang lain2? Negara siapakah ini? Milik siapakah tanah ini? Hak kita sama2 kah?

Ketika saya menghormati kesama rataan hak seperti yang diajar agama saya, Islam (bukan Islam Hadhari), saya AMAT kecewa dan meragui keikhlasan warga2 yang 'lain2'...

Semangat ini tidak akan hilang datuk. Tetapi saya Amat kecewa.
Sejarah lalu pun telah membuktikannya datuk...

kudakepang said...

Sahabat-sahabat yang saya hormati, terima kasih.

Nakhoda: Anda tak perlu bersetuju dengan pandangan saya. Dan saya pun tidak mengetahui apa yang anda fikirkan anda tidak ketahui. Saya mencetuskan idea kempen memakai pakaian berwarna kuning setiap Sabtu semata-mata untuk melihat seramai manakah jumlah rakyat jelata yang sebenarnya resah dan gelisah dengan seluruh perkembangan sosio-politik dan ekonomi negara di bawah pemerintahan Abdullah dengan nasihat memantunya.

Pemerhati: Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga….. Ini kerana Abdullah terlalu dependent kepada menantunya yang bijaksana tetapi kurang pengalaman dalam pencak silat politik. Ini juga membuktikan kepakaran dan pengalaman adalah gabungan yang perlu. Dan ini dibuktikan oleh pihak yang memerangkap Abdullah dan menantunya mengeluarkan kenyataan provokatif mengenai gelombang kuning.

Saya berterima kasih kepada anda kerana menyeru bekas ahli Semangat 46 untuk menyertai perjuangan warna kuning bagi mengembalikan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Begitu juga dengan seruan anda semoga penduduk WPI berpakaian kuning demi maruah bumi Diraja Johor tercinta.

Parit Saidi: Jangan kagumi saya, warga marhaen tanpa nama ini. Ini kerana apa yang saya sumbangkan hanya coretan pena tua yang sudah tumpul dan karat. Bagaimanapun, saya kagum kerana anda akan turut menyemarakkan kempen berpakaian kuning pada setiap Sabtu mulai hujung minggu ini.

Ikhwan: Rasanya elok kita rentikan soal-soal ini sekarang kerana ia mungkin boleh menghilangkan fokus dalam perjuangan yang sedang membara. Oleh itu, sementara saya mahu berkongsi pandangan anda, saya juga cadangkan kita terus lihat ke depan demi bangsa, agama dan tanahair dan juga masa depan anak cucu kita seluruhnya.

Salam takzim dan selamat berjuang.

Husin Lempoyang said...

Kerja Kosong

Kempen Manager untuk Husin Lempoyang.

Jawatan: Presiden UMNO

Masa: Tahun depan.

Minima Kelayakkan: Memperolehi 30 pencalunan

Keinginan ini timbul apabila melihat kepincangan AAB dan Zam dalam menangani isu Perhimpunan Aman Rakyat. Husin Lempoyang pasti boleh menangani isu Perhimpunan Rakyat dengan lebih baik. Sila Baca Apalah Pak Lah dan Zam gelabah sangat dengan Gelombang Kuning? ... HP6 HP6 ... hehehe ...

pemerhati said...

Akum Dato. Kawan terpanggil menyuarakan pertanyaan, salahkah rakyat berhimpun di Dataran Merdeka? Pernahkah tercatit sejarah berlaku rusuhan dalam perhimpunan rakyat menyambut Tahun Baru, Hari Merdeka selama ini!

Seluruh dunia ketahui rakyat Malaysia hidup harmoni berpegang teguh prinsip Rukun Negara. Rakyat Malaysia tidak mudah merusuh jika pihak tertentu tidak memulakan.

Di pejabat lama kawan menerima puluhan fax dari teman sejawat luar negara memandang tinggi jiwa kesabaran rakyat Malaysia sanggup di sirami air kimia bagi menunjukkan taat setia kepada Raja. Dalam ruang ini, izinkan kawan merakamkan SYABAS seluruh rakyat Malaysia memahami prinsip RUKUN NEGARA.

Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku...

Unknown said...

Kalau Abdullah bijaksana, beliau tak mungkin membuat pelbagai kenyataan mengenai gelombang kuning yang sudah berlalu. Sebaliknya, beliau patut post-mortem kesan gelombang kuning kepada kepimpinan diri beliau sendiri. So, let him alone. Biarkanlah Abdullah terus mabuk dengan post-gelombang propaganda yang bercelaru. Bila Abdullah bercelaru, lebih ramai rakyat jadi haru-biru dan malu dengan tindakan dan kenyataan kerajaan, termasuklah kenyataan Menteri Penerangannya. Biarkan, biarkanlah Abdullah terus bercelaru!!!!!!!! Biarkan!!!!!!!!

Unknown said...

Saya simpati dengan nasib Pak Abdullah. Sebagai rakyat asing, saya kaget kenapa Pak Abdullah begitu penasaran. Dia seharusnya calm. Dia seharusnya cool. Tenang dan sabar dong. Pak Abdullah harus pinter bertindak. Kalau air sudah membuak-buak arus dan geloranya, jangan dibendung perjalanan air itu. Biarkan lepas dengan seberapa segara. Kalau enggak, seluruh kawasan padi akan karam dan padinya musnah.

Unknown said...

This Abdullah never learnt. The other day I said he can untung very big if he allowed the yellow wave to be given police permit. Today, I am going to tell him, to sack his Minister of Information. What a stupid minister he is. Just look at how he answered the Al-jazeera. Stupid, stupid, stupid. And now all Malaysians are perceived stupid by the international community. And you know what, the MOST STUPID OF ALL IN MALAYSIA IS NOBODY ELSE BUT ……

Unknown said...

Pak Lah perintah negara pakai remote control. Sebab tu la ni dia out of control. Kalau macam ni berenti lebih baik. Rakyat malu dengan cara dia yang cacamarba.

kudakepang said...

Sahabat-sahabat surfers, terima kasih.

Husin Lempoyang: Harap masukkan spec yang anda gemar membaca, tidak tertidur dalam tugas dan tidak perintah negara cara sambil lewa. Saya pasti anda akan berjaya.

Pemerhati: Memang tidak salah. Rakyat tak salah berjalan ramai-ramai untuk sampaikan memo kepada Agong. Ini sebab negara kita amalkan sistem kembar dalam pemerintahannya iaitu sistem demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan. Kalau demokrasi dah tempang, kemana lagi rakyat nak mengadu hal kalau tak kepada rajanya? Nak ngadu pada Bush atau LK Yew? Fikirlah sendiri dan saya harap rakyat insaf, parlimen nak bubar, PM kena jumpa Agong, nak rasmi penggal parlimen, Agong kena rasmikan, undang-undang negara perlukan perkenan Agong, tapi kenapa rakyat tak boleh mengadu hal pada Agong bila pemerintahan PM sudah tak diyakini rakyat? Lagipun, apa salah rakyat nak tunjukkan kesetiaan mereka pada raja. Di Thailand pun buat. Saya terima kasih pada anda pasal idea kempen kuning dan kempen menjelaskan kepada rakyat akan prinsip-prinsip Rukun Negara. Terima kasih. Kepada Allah Berserah. Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku.

Cyber: Terserahlah kepada rakyat Malaysia untuk mengukur kebijaksanaan PM. Dan saya yakin hari ini pun rakyat kita dah tau setakat mana kebijaksanaan itu.

Keni: Kalau anda simpati dengan PM Malaysia, saya pula malu kepada anda kerana apa yang anda katakan itu memang sewajarnya yang harus dilakukan oleh PM saya. Salam hormat kepada sahabat senusantara di negara anda.

Cina: Thank you for your opinion on Zam who had blundered terribly last Saturday.

Azam: Saya harap para penasihat PM yang bijak pandai membaca komen anda.

JOM KITA CERIAKAN HARI SABTU KITA DENGAN PAKAIAN BERWARNA KUNING. DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU.

Salam takzim.

politica said...

Katalah apa saja mengenai gelombang kuning. Kepada saya itu adalah satu kebangkitan rakyat Malaysia yang dah jelak dengan kepimpinan AAB. Gelombang itu adalah kata dua kepada AAB. Kalau nak terus perintah kami, dengarlah rintihan kami. Kalau tidak, silakan berundur.

Berita dari gunung said...

Suatu masa dulu saya ada terbaca komen dari Bush tentang AAB dan Malaysia.

Selain mengucapkan tahniah kepada AAB, Bush secara spesifik menyentuh tentang suasana yang membenarkan rungutan dan kritik terhadap AAB dan kerajaan. Bush menganggap keadaan ini sebagai sihat.

Saya anggap apa yang berlaku pada 10-11, seiring dengan komen Bush.

Bush tentu tidak marah malah gembira dengan kecenderungan yang sihat ini. Siapa tahu, pelaburan akan melimpah masuk memenuhi koridor ekonomi ekuran dari trend sihat ini.

Lebih banyak isu-isu timbul dan diketengahkah secara terang terangan, lebih segak negara kita.

Bukankah KS Walia tanpa jemu, menggeledah kepincangan dan mencari punca dan langkah penyelesaian.

Bukankah semua jentera digunakan untuk segera mengheret mereka yang terpalit ekuran lapuran Ketua Audit Negara.

Bukan KS Walia dan Ketua Audit Negara saja yang mampu, layak dan berwibawa untuk menyelak kepincangan.

Gelombang Kuning saya lihat ada kesamaan dalam hal ini. Bersama gelombang, ada isu, tentunya perlukan penyelesaian. Apa sangat nak dimalukan.

KS Walia belum didakwa kerana tersalah selak walau ramai yang menggeletar dan berdoa jangan dijadikan bahan uji dan ketawa.

Apapun Sdr Bush saya yakin gembira dengan perkembangan sihat ini. Kita tidak perlu bimbang lagi dengan kebanjiran pelaburan dalam terowong Koridor!

Kamalkamal said...

Datuk,
Sehingga hari ini ramai rakyat marhaen bercakap mengenai Gelombang Kuning walaupun berita yang tersiar dalam akhbar perdana dan media elektronik amat terhad. Malah rata-rata rakyat muak dengan liputan RTM mengenai Gelombang Kuning.

Datuk, percayalah rakyat bukan mudah ditipu. Ramai yang tertanya-tanya dan ternanti-nanti bilakah PRU-12 akan diadakan? Mungkin ini ada satu petanda bahawa rakyat sudah jelak dengan kepimpinan yang ada.