Friday, September 16, 2011

Mansuh ISA: halusi konsep keselamatan masyarakat

RUHANIE AHMAD


Tindakan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA adalah selaras dengan tuntutan zaman. Ia menghapuskan dakyah kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) menggunakan ISA untuk menganaiya parti-parti pembangkang.

Namun pembentukan undang-undang baru berasaskan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan adalah penting untuk menjamin kelangsungan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk.

Tindakan ini juga penting untuk memelihara kepentingan serta keselamatan nasional Malaysia dari pelbagai ancaman bukan tradisional seperti keganasan terancang serta sabotaj atau pengkhianatan.

Ini kerana Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan adalah paksi kepada nilai-nilai teras Malaysia, iaitu memelihara negara daripada ancaman keganasan terancang, daripada konflik etnik, daripada tindakan merampas kerajaan secara tidak demokratik, dan daripada tindakan jenayah besar yang memudaratkan ketenteraman awam serta memusnahkan harta benda.

Bagaimanapun, oleh kerana Malaysia adalah sebuah negara majmuk yang sentiasa terdedah kepada kemungkin ancaman keselamatan masyarakat atau societal security dan juga ancaman etnik dan konflik jati diri atau identiti, adalah penting untuk kerajaan membentuk undang-undang berasaskan perkara 149 Perlembagaan Persekutuan, untuk menangani ancaman seperti ini.

Pada waktu yang sama, semangat memelihara sensitiviti agama, kaum, bahasa dan lain-lainnya seperti termaktub dalam Perkara 10(4) Perlembagaan Persekutuan, perlu dikekalkan menerusi pelbagai peruntukan yang relevan dalam pelbagai undang-undang seperti undang-undang mengenai persuratkabaran dan sebagainya.

Pendek kata, cadangan kerajaan untuk menggantikan ISA dengan undang-undang baru perlu menitikberatkan soal keselamatan masyarakat – societal security – yang membabitkan etnisiti dan identiti di Malaysia sebagai sebuah negara majmuk.

Fokus terhadap aspek ini penting sebab etnisiti dan identiti sudah dikenalpasti oleh pakar keselamatan antarabangsa sebagai satu daripada ancaman utama kepada kelangsungan sesebuah negara majmuk seperti Malaysia di abad ke-21.

1 comment:

Rawa Lanunbahasa said...

Halus macam buih nescafe(original)

Mat Sabu boleh disiasat ikut Akta Hasutan - Hanif Omar

Bekas Ketua Polis Negara Tun Haniff Omar berpendapat Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bukanlah tindakan yang perlu diambil terhadap Mohamad Sabu berikutan kenyataannya yang menganggap komunis sebagai hero dalam tragedi serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong di Johor.

Ini kerana, menurut beliau, kenyataan Timbalan Presiden PAS itu tidak memberi ancaman kepada keselamatan negara, namun siasatan boleh dijalankan terhadapnya di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melibatkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam atau Akta Hasutan.

"Siasatan boleh dijalankan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana banyak pihak terperanjat dan cemas dengan kenyataannya. Beliau telah membuatkan orang ramai marah.

"Akta Hasutan juga boleh digunakan sebab dia kata, kalau PAS berkuasa (memerintah), dia akan ubah sejarah (negara ini). Ada implikasinya kalau kita teliti perkara ini secara mendalam kerana di situ terdapat bibit-bibit hasutan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di sini Selasa.

Ahad lepas, Hishammuddin dipetik sebagai berkata kenyataan Mohamad Sabu tidak mengancam keselamatan negara dan oleh itu bukan satu opsyen untuk menyiasat beliau mengikut ISA.

Hishammuddin berkata terpulang kepada Peguam Negara untuk mengambil sebarang tindakan terhadap Mohamad Sabu berhubung kenyataannya itu.

Mengulas lanjut, Haniff berkata beliau melihat Mohamad Sabu tidak menyesal dengan kenyataan yang dikeluarkannya itu.

"Dia sudah jauh tersilap daripada segi fakta dan daripada segi sentimen (orang ramai). Saya nyatakan perkara ini kerana saya tengok dia tidak menyesal, yang mana kalau dia menyesal, dia akan cakap dia terlanjur (keluarkan kenyataan sedemikian)," katanya.

Haniff berkata Peguam Negara juga perlu mengambil kira kepentingan awam apabila menentukan sama ada tindakan perlu diambil terhadap Mohamad Sabu atau sebaliknya.

"Sekiranya laporan siasatan telah dimajukan kepada Peguam Negara dan tidak cukup bukti, maka laporan itu perlu dikembalikan kepada polis secepat mungkin," katanya..-13/9/2011

http://www.blogger.com/comment.g?blogID=29933783&postID=1979823200439519197

Salam Takzim