Monday, April 11, 2011

PILIHAN RAYA SARAWAK: SATU TSUNAMI POLITIK?

Ruhanie Ahmad


Hari pembuangan undi bagi Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sarawak kali ke-10 atau PRU DUN Sarawak 10, hanya tinggal beberapa hari lagi. Maka, spekulasi mengenai keptusannya pun makin menjadi-jadi. Paling serius sekali, terdapat pihak meramalkan Sarawak akan dilanda tsunami politik menerusi PRU DUN kali ini.


Soalnya, adakah ramalan ini benar atau sekadar spekulasi liar dan penuh emosi? Jika benar, mampukah kepimpinan BN Sarawak dan BN Pusat membuat strategi terakhir bagi mencegah tsunami ini?


Dalam pada itu, banyak juga cakap-cakap mengatakan bahawa tsunami ini mungkin tidak akan berlaku sebab BN Pusat kini sedang berkempen secara serius dan menyeluruh. Kehadiran Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN Pusat serta Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin untuk berkampung di Sarawak pada ketika ini adalah bukti kesungguhan BN untuk memenangkan parti berkenaan.


Kedudukan pakatan pembangkang yang sedang dilanda masalah juga menyebabkan spekulasi mengenai tsunami politik di Sarawak ini disifatkan sebagai mustahil akan berlaku. Namun BN tidak boleh bersikap sambil lewa atau over confident terhadap ramalan ini.


Media internet, terutamanya blog dan portal berita, nampaknya penuh dengan suara protes, kekecewaan dan kemarahan rakyat Sarawak terhadap BN. Sasaran utama mereka adalah soal kepimpinan Tan Sri Taib Mahmud. Di internet penuh dengan luahan suara kemarahan warga maya Sarawak terhadap apa yang dikatakan sebagai karenah seorang ahli keluarga terdekat Tan Sri Taib yang didakwa sebagai terlalu menjadi-jadi.


Sukar untuk dipastikan impak dakwaan ini kepada PRU DUN Sarawak. Tetapi, persepsi umum di Sarawak yakin inilah antara punca kemarahan dan kekecewaan pengundi Sarawak terhadap BN kali ini.


Para pengundi Cina juga dikatakan marahkan pucuk kepimpinan SUPP yang juga didakwa sebagai sudah tidak sensitif terhadap masalah keturunan Cina di Sarawak. Dakwaan seperti ini pastinya kurang tepat sebab majoriti pengusaha dan pedagang besar di Sarawak adalah keturunan Cina yang selama ini mendapat pelbagai kemudahan untuk melaksanakan kegiatan ekonomi mereka. Oleh sebab itu, SUPP perlu dan wajar bekerja keras untuk memenangkan BN dalam PRU DUN Sarawak kali ini. Keturunan Cina akan turut kerugian jika Sarawak jatuh ke tangan pembangkang.


Para pengundi pribumi bukan Islam pula dikatakan memprotes menerusi pilihan raya kali ini disebabkan persepsi bahawa mereka yang merupakan rakyat majoriti Sarawak dikatakan ketinggalan dalam arus ekonomi.


Tetapi, adakah SNAP yang menjadi parti pembangkang di Sarawak yang kali ini tidak bergabung dalam Pakatan Rakyat mempunyai kemampuan untuk menggerakkan undi pribumi bukan Islam Sarawak untuk menumbangkan BN?


Seluruh persoalan di atas perlu difikirkan dengan segera dan wajar dijadikan strategi memenangkan BN menerusi kempen saat akhir oleh pihak BN sebab kemenangan atau kekalahan BN di Sarawak kali ini membawa implikasi besar kepada BN Pusat yang dijangka mengadakan Pilihan Raya Umum PRU13 pada tahun 2012.


Kemenangan BN Sarawak kali ini akan memberikan semangat yang tinggi kepada BN Pusat dalam PRU13. Kekalahan BN Sarawak pula akan melembabkan semangat BN Pusat. Inilah realitinya sebab BN Sarawak, sama seperti BN Sabah, BN Johor, BN Pahang dan BN Melaka, adalah penyumbang kerusi yang besar kepada BN Pusat di Parlimen Malaysia dalam PRU13.


Pengundi di Sarawak wajar memikirkan pertimbangan ini dengan semasak-masak dan sedalam-dalamnya sebab jika BN Sarawak kali ini kucar-kacir, peluang BN Pusat memperolehi kemenangan selesa di peringkat Parlimen menerusi PRU13 juga mungkin kucar-kacir. Lantas, soal emosi dan kemarahan dalam PRU DUN Sarawak kali ini perlu dirasional dan dipertimbangkan bersama-sama dengan soal kekuasaan negara di peringkat Parlimen.


Datuk Seri Najib perlu bertindak decisive dalam hal ini. Jika dua tiga hari lalu beliau menyakinkan pengundi Sarawak bahawa Tan Sri Taib akan mengundurkan diri selepas PRU DUN Sarawak, Datuk Sri Najib perlu memberikan satu tempoh yang lebih spesifik, mengenai tarikh Tan Sri Taib akan berundur.


Tan Sri Taib juga terpaksa memutuskan secara muktamad dan jelas akan tarikh peralihan kuasa di Sarawak. Tarikh muktamad ini perlu diumumkan sebelum hari pembuangan undi. Jika tidak, pengundi Sarawak akan terus dibelenggu teka-teki yang jawapanya masih belum pasti. Jika tidak, pengundi Sarawak akan terus marah dan kecewa dan kemarahan dan kecewaan ini mungkin menyebabkan tsunami politik di Sarawak menerusi PRU DUN kali ini.


Memang para pemimpin BN boleh merayu kepada pengundi Sarawak supaya bersikap rasional. Tetapi, soal ini tidak mungkin meredakan kekecewaan dan kemarahan mereka terhadap BN dan Tan Sri Taib. Maka, langkah paling wajar yang perlu dilaksanakan di saat-saat akhir ini adalah menetapkan tarikh peralihan kuasa di Sarawak.


BN Pusat terpaksa menyatakan bahawa ia akan bertanggungjawab melaksanakan proses peralihan kuasa ini tanpa sebarang dolak-dalik, dengan secepat mungkin dan dengan secara aman.


BN Pusat perlu bertindak menerusi kaedah ini sebab sebilangan pengundi Sarawak masih belum yakin bahawa Tan Sri Taib akan berundur selepas PRU DUN Sarawak ke-10. Mereka sinis terhadap pengumuman Tan Sri Taib sebab yang mereka pertikaikan adalah kredibiliti pengumuman tersebut.


BN Pusat perlu memberikan kredibiliti kepada persoalan peralihan kuasa ini menerusi pengumuman yang jelas, segera dan meluas, termasuk menerusi iklan di media, bahawa Tan Sri Taib akan berundur dengan segera selepas PRU DUN Sarawak.


Jika ini dapat dilakukan, kemungkinan nasi menjadi bubur dalam tsunami politik Sarawak kali ini mungkin berkurangan. Jika tidak, kemungkinan ini akan berterusan menjadi misteri sehingga peti undi dibuka, undinya dikira dan keputusannya diumumkan kepada rakyat Malaysia seluruhnya.

3 comments:

Anonymous said...

betul tu bro.. tv3 dan astro bantu kempen.. lepas ni no way meka nak buat liputan..yg menyeiarkan masalah atau kesusahan rakyat swk...aduan rakyat mana ada ruang di tv3...jika ada pun tak akan disiarkan...pengankuatn awam paling teruk di malaysia..banyak taman peruamahn papan tanda pun tak ada.. adakah ini dikata kan kmajuan dan bandar selamat..polis/bomba dan ambulan mau pergi cari tak jumpa.. lepas tu marahkan agensi ini... kena bodoh lagi...jalan usah kira.. berombak macam naik perahu gi mengail dilaut ajak....dgr kata kaum cian meka bukan marah BN tp Taib/dan mr Chan...itu aja...Bn semenanjung tumbang 5 negeri seban rakyat marah pak lah bukan BN.. BN dihukum sebab itu aja..

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
john brown said...

bro ron,
good write-ups on sarawak political scenario for the coming state election. anymore analytical updates towards the end of the polling day? all the best to you bro - old friend.