Thursday, April 14, 2011

PRU DUN SARAWAK: HAK DEMOKRASI DAN KEBIJAKSANAAN

Ruhanie Ahmad


Rakyat Sarawak akan menentukan parti yang akan memimpin kerajaan negerinya menerusi PRU DUN dalam tempoh dua hari lagi. Ada pihak meramalkan berlakunya tsunami. Ada yang mengatakan pengundi muda akan membuat upset terhadap Barisan Nasional (BN). Ramai juga berpendapat kalangan pengundi berumur akan terus bersama BN.


Sarawak mempunyai sejumlah 950000 pengundi berdaftar. Pengundi muda hanya hanya sekadar 33 peratus atau 310000 orang sahaja---140000 Bumiputra Sarawak, 100000 keturunan Cina, 70000 Melayu.


Dah Ikhwan Weblog (8 April 2011) yang menjalankan kajian sentimen kaum Melayu-Islam, Dayak dan Cina menerusi kaedah analisis regression berasaskan keputusan PRU DUN Sarawak 2006, pula mendapati “seramai 77 peratus dari jumlah pengundi Melayu dan Melanau telah mengundi BN, berbanding dengan 67 peratus pengundi Dayak dan 40 pengundi pengundi Cina.”


Kajian yang sama juga mendapati corak pengundian dalam dua pilihan raya kecil di Sarawak, “menunjukkan sentimen setiap kaum tidak banyak berganjak dalam kawasan kawasan pilihan raya ini berbanding suasana dalam tahun 2006 atau tahun 2008.”


Lantas, adakah corak dan sentimen pengundian dalam PRU DUN Sarawak 2006 ini akan kekal dalam PRU DUN Sarawak kali ini?


Dengan mengambilkira kedudukan parti-parti pembangkang Semenanjung-based---DAP, PAS dan Parti Keadilan---yang sudah tidak lagi sehaluan dengan SNAP sebagai parti pembangkang Sarawak-based, mampukah pihak pembangkang menggugat BN secara berwibawa?


Jika pengundi baru dikatakan mahu melakukan upset terhadap BN, mampukah mereka yang hanya merupakan 33 peratus daripada keseluruhan pengundi di Sarawak melakukan gugatan tersebut?


Dan, jika pengundi Cina di Sarawak dikatakan akan meneruskan corak pengundian masyarakat Cina di Semenanjung dalam PRU 12, dalam PRU DUN Sarawak kali ini, tidakkah mereka insaf bahawa yang rugi besar adalah mereka, bukannya sahabat handai mereka di Semenanjung?


Oleh sebab itu, keyakinan Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Taib Mahmud bahawa BN akan memperolehi dua per tiga majoriti dalam PRU DUN Sarawak kali ini adalah keyakinan yang berasas.


Oleh sebab itu juga, para pengundi Sarawak sewajarnalah memberikan keyakinan total kepada BN pimpinan Datuk Seri Najib yang sedang dalam proses mentransformasikan Malaysia ke arah kecemerlangan.


Namun segala-galanya terserah kepada kuasa demokrasi yang berada di tangan para pengundi Sarawak---baik yang berumur atau yang muda---sebab undi mereka adalah rahsia.


Maka, pengundi Sarawak perlu bijaksana: marahkan nyamuk jangan dibakar kelambunya; burung terbang jangan dipipiskan lada; jangan sampai berkerat rotan dan berpatah arang. Parti-parti pembangkang juga perlu menerima realiti: jika kail panjang sejengkal usah diduga laut yang dalam.


Kesimpulannya, pilihan raya bukannya pesta tinju dan bukannya pesta sabung ayam. Pilihan raya adalah proses di mana para pengundi diberikan hak demokrasi untuk menentukan kuasa, kerajaan, dan kesejahteraan serta masa depan bersama. Maka, gunakanlah kebijaksanaan masing-masing sewaktu melaksanakan hak demokrasi ini.

No comments: