Monday, April 27, 2009

ALFATEHAH BUAT SAUDARA BASRAH HAJI ALI

Hari ini masyarakat di Parit Sulong dan warga akhbar di Johor kehilangan seorang aktivis masyarakat, pendukung kerajaan dan wartawan sambilan, iaitu Saudara Basrah Haji Ali, yang dikenali ramai sejak awal 1960-an.

Allahyarham Basrah, 68, pulang ke rahmatullah tengahari tadi. Jenazahnya selamat disemadikan di tanah perkuburan Kampung Parit Yusof, Parit Sulong, Batu Pahat, petang tadi.

Allahyarham menceburi dunia kewartawanan sejak awal 1960-an. Beliau pernah menyumbangkan berita-berita politik Johor kepada Berita Harian, Watan, Buletin Rakyat dan lain-lain akhbar mingguan.

Allahyarham Basrah pernah menjawat pelbagai jawatan dalam UMNO Parit Sulong, UMNO Semerah dan UMNO Air Hitam sama ada di peringkat cawangan atau bahagian. Beliau pernah menjadi Ketua Penerangan UMNO Bahagian Parit Sulong dan Ahli Majlis Daerah Batu Pahat Timur.

Allahyarham Basrah @ Busro Madali, mendapat pendidikan di Sekolah Melayu-Arab Madarasah Samsudiniah Gersik, Muar; Madarasah Sa’adiah Al-Islamiah, Temoh, Batang Padang, Perak; dan Pondok Haji Hassan, Kampung Pisang, Kupang, Baling, Kedah. Beliau pernah menjadi guru agama di Singapura di bawah nazir Ustaz Haji Daud Ali.

Pada September 2004, Allahyarham Basrah menerbitkan buku UMNO organisasi bukan arahan. Antara lainnya, beliau menyorot kata-kata Dato’ Onn Jafar bahawa “masa depan orang Melayu akan gelap jika tiada persefahaman dan perpaduan,” memaparkan kisah beliau mengucup tangan Tunku Abdul Rahman Putra sewaktu perasmian bangunan UMNO Singapura di Geylang, mencatatkan keajaiban slogan Malaysia Boleh di era Tun Dr Mahathir Mohamad, mengupas slogan “mari bekerja bersama saya” yang dipopularkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi, menyifatkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai “pemimpin yang jujur dan lembut hati,” menganalisis potensi besar Tan Sri Muhyiddin Yassin di dalam UMNO, menghuraikan kelangsungan politik Tengku Razaleigh Hamzah, dan menyifatkan Allahyarham Tan Sri Othman Saat sebagai legenda.

Dalam buku tersebut Allahyarham Basrah juga memaparkan foto beliau bersebelahan dengan Naib Presiden Indonesia, Tun Adam Malik, pada 1983. Turut di dalam foto berkenaan adalah Pak Habib atau Saudara S. H. Alattas.

Kini Allahyarham Basrah sudah kembali ke rahmatullah. Saya sekeluarga kehilangan seorang sahabat. Kami mengucapkan takziah kepada balu, anak-anak dan saudara maranya di Parit Yusof, Pasir Sulong. Kami juga memohon semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan mudah-mudahan Allahyarham juga ditempatkan di kalangan orang yang soleh. Alfatehah! – Ruhanie Ahmad

5 comments:

amirhamzah64 said...

Salam Datuk,

Warga UMNO Pt.Sulong kehilangan seorang aktivis masyarakat, pendukung kerajaan dan wartawan sambilan, iaitu Saudara Basrah Haji Ali. Beliau dikenali sebagai seorang yang tidak lokek dengan pengalaman dan mudah mesra walaupun baru berkenalan.

Semoga Allah tempatkan rohnya bersama roh orang-orang yang soleh.

A Voice said...

Inna lillahi wa innan hi rojiun

Al Fatihah!

Alias Mohd Yusof said...

Wartawan yang ada integriti akan dikenang orang selama-lamanya.

Saya amat tertarik buku yang ditulis oleh Zaid Ibrahim bertajuk "Saya Pun Melayu". Buku ini menekankan integriti.

Semua orang Melayu mesti ada integriti dan patut baca buku ini.

ku_seman said...

Salam Datuk Ruhani,
Jemputlah melawat laman saya : kayangdailypost.blogspot.com

Abdul Azeez Abdul Rahim said...

Berjuta Rakyat Thailand Tengok Anwar Ibrahim Diurut 'Live' Dalam TV ...baca di sini --->

http://malaysia-instinct.com/english (pilih ruangan bahasa Malaysia)