Monday, May 11, 2009

Novel Suara 11 Mei sentiasa menerjah memori

Ruhanie Ahmad

Hari ini 11 Mei 2009. Menurut Wikipedia, 11 Mei adalah hari ke-131 (hari ke-132 dalam tahun lompat) dalam kalender Gregorian. Kita mempunyai 234 hari lagi menjelang hujung tahun ini. UMNO lahir pada 11 Mei 1946. Pada 13 Mei 1969 sejarah Malaysia moden bermandi darah.

Sempena 11 Mei 2009, saya siarkan di sini sedutan daripada beberapa bab novel Suara yang saya tulis tetapi belum siap hingga ke hari ini kerana saya masih menanti babak-babak menarik untuk menjadi penutup novel berkenaan. Amaran: jika posting kali ini panjang lebar, anggaplah ianya hadiah 11 Mei 2009. Kalau ianya meloyakan, anggaplah kisah di bawah ini hanya layak untuk khazanah Alam Flora!

SATU: 11 Mei, jam 7.15 pagi. Suasana alam ketika itu sungguh menawan, tenteram, aman dan damai. Matahari masih bersembunyi di sebalik bukit. Cahayanya yang kuning-kuning air dan keemasan kelihatan sayup-sayup mewarnai langit di arah timur. Hawa masih dingin, kabus masih tebal, embun juga masih segar di hujung rumput. Dalam keadaan demikian, burung-burung sudah meninggalkan sarang. Mereka keluar mencari rezeki. Mereka terbang berkawan-kawan, menyanyi-nyanyi, mendendangkan lagu-lagu syahadu yang mengandungi seribu satu rahsia kehidupan. Dalam suasana seindah itulah juga Penghulu Mukim Tanjung Periok, Haji Razali bin Ali, 51 tahun, beredar dari rumahnya di Kampung Danausari. Dia berpakaian Bush Jacket warna kelabu muda. Kasut kulit hitamnya kilat bersinar. Jam tangan Rolexnya berkilau-kilau. Sebentuk cincin zamrud berikat emas dan bertatah berlian menghiasi jari manis di tangan kanannya. Sebatang mana pena Mont Blanc tersisip di poket atas sebelah kiri. Beberapa sentimeter daripada poket atas di sebelah kanannya, tersemat satu tanda nama berwarna hitam.

Haji Razali memandu kereta Perdana V6 dengan nombor pendaftaran SB12. Dia melalui Jalanraya Rimba Lingga. Destinasinya adalah Bandar Saga, pusat pentadbiran Daerah Gersik, 40 kilometer dari kampungnya. Dia memecut kereta tersebut dengan kelajuan 60 KSJ. Dia terburu-buru. Dia tergesa-gesa. Dia mahu segera sampai di Pejabat Daerah Gersik. Dia mahu meneliti kandungan beberapa fail penting sebelum menghadiri Mesyuarat Tindakan Daerah mulai jam 8.30 pagi......

Sambil memandu, Haji Razali menikmati siaran radio daripada Rangkaian Ringan & Selesa. Rangkaian itu terkenal dengan lagu-lagu Melayu klasik. Ada lagu langgam, ada lagu ghazal, ada lagu zapin, ada lagu keroncong, dan ada lagu pop yeh-yeh 60-an. Antara artis yang menghiasi rangkaian itu adalah P. Ramlee, R. Azmi, Saloma, S. Affandi, M. Bakri, Broery Marantika, Ahmad Jais, Jeffry Din, A. Ramlee, Rafeah Buang, Eddy Ahmad, A. Halim dan A. Rahman Onn. Haji Razali gemar mendengar lagu-lagu dari angkatan penyanyi tersebut kerana dipengaruhi oleh citarasa Allahyarham ayahnya.....

Kini Haji Razali hampir tiba ke satu kawasan ladang kelapa sawit seluas 4,000 ekar. Ladang tersebut milik Persatuan Peladang Daerah Gersik. Kawasan itu agak sepi. Tidak terdapat sebarang rumah di sepanjang jalan kira-kira 6 kilometer. Tiba-tiba telefon bimbit Haji Razali berbunyi cit-cit, cit-cit… Dia tahu itulah tandanya ada orang mengirimkan pesanan menerusi SMS. Dia hairan, siapakah yang mengirimkan pesanan ringkas kepadanya di pagi hari. Lantas, dia pun memperlahankan keretanya untuk membolehkannya mengakses pesanan tersebut. Dia tidak mengenali nombor telefon dan juga pengirim pesanan tersebut. Tetapi, dia tertarik dengan pesanannya yang berbunyi: “Assalam’kum Tok Penghulu. Bila sampai sk j-bakti pagi ni, harap brhnti jap. Ada hal pnting. Tk. Arif.”

Kini Haji Razali sudah hampir tiba ke kawasan Sekolah Kebangsaan Jasa Bakti. Dia memperlahankan keretanya untuk membelok masuk ke sebatang jambatan menuju ke sekolah berkenaan. Dengan tiba-tiba, dia terpandang tiga orang pemuda yang berjogging berhampiran jambatan sekolah tersebut meluru ke arah keretanya. Mereka bergandingan tangan dan berdiri tegak merentangi jambatan. Haji Razali menekan brake. Dia memberhentikan keretanya dalam keadaan cemas. Dia nyaris-nyaris melanggar pemuda-pemuda tersebut.....

“Apa halnya?” tanya Haji Razali menerusi tingkap keretanya yang telah dibuka.

“Tak ada apa-apa Tok,” jawab salah seorang daripada pemuda itu dengan senyuman meleret.

"Jangan bimbang Tok. Tak ada apa-apa," kata seorang lagi pemuda itu kepada Haji Razali yang dalam kebingungan.

“Apa pasal engkau orang tahan saya?” tanya Haji Razali lagi.

Ketiga-tiga pemuda itu tidak menjawab. Sebaliknya, salah seorng daripada mereka mengarahkan Haji Razali supaya menghidupkan semula enjin keretanya dan mengundurkan kereta tersebut ke arah jalan besar. Setelah itu, seorang daripada pemuda berkenaan pun masuk ke kereta tersebut. Haji Razali panik. Dia cuba menghalang pemuda berkenaan menyerbu ke keretanya. Dia gagal berbuat demikian. Tidak beberapa minit sesudah itu, kereta tersebut pun dipandu oleh pemuda yang memasukki keretanya. Dia memandu kereta Haji Razali ke arah Ladang Persatuan Peladang Daerah Gersik yang telah pun dilalui oleh Haji Razali sebentar tadi...

DUA: 11 Mei, jam 8.45 pagi: Serkop kepala berwarna hitam yang menyelubungi mata Haji Razali sudah dibuka. Dia pun terus berusaha mengenalpasti perekitaran lokasinya pada ketika itu. Pertama sekali, dia terkejut kerana nombor pendaftaran keretanya sudah bertukar daripada SB 12 kepada SN 90. Hakikat itu menyebabkan Haji Razali berasa cemas. Hatinya terus berteka-teki. Mungkinkah ketiga-tiga pemuda terbabit mewakili sebuah organisasi tertentu dalam kerajaan? Mungkinkah mereka daripada Cawangan Khas Polis Bukit Aman? Mungkinkah mereka daripada Cawangan Perisikan Tentera? Atau, mungkinkah mereka daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR)?

Tidak jauh daripada tempat dia berdiri, Haji Razali terpandang sebuah pondok. Tiangnya daripada batang pinang, atapnya atap rembia, dindinnya daripada buluh yang dianyam. Pondok itu mempunyai bekalan elektrik, bekalan air bersih dan talian telefon. Di sekeliling pondok tersebut terdapat beberapa pohon kelapa gading, pokok pinang, pokok jambu bertih, pokok leban, pokok singkel, pokok tenggek burung, pokok limau bali, pokok limau nipis, pokok belimbing buluh, pokok rambutan, pokok mangga, pokok nangka dan pokok kelor.

Haji Razali dipelawa naik ke pondok tersebut. Dia terkejut. Keadaan pondok yang kelihatan daif jika dipandang daripada luar, amat berbeza sekali dengan keadaan sebenarnya di sebelah dalam. Pondok seluas 30x40 kaki itu kelihatan kemas dan bersih. Hiasan dalamannya menarik. Dindingnya daripada papan lapis yang dicat varnish warna kayu asli. Atapnya bersiling. Satu kipas angin model antik tergantung di siling. Lantai papannya ditutupi permaidani berwarna kelabu muda daripada sudut ke sudut. Di ruang tamunya terdapat satu set kerusi rotan. Berhampiran dengannya terdapat sebuah peti televisyen 40 inci model terbaru. Tidak jauh dari situ pula terdapat sebuah set radio dan perakam video, juga model terbaru. Gambar Yang Di Pertuang Agong dan Permaisuri Agong serta Sultan dan Sultanah Negeri Hujung Padang dalam bingkai keemasan, tergantung di dinding…..

"Engkau orang ni sapa? Kenapa tahan Tok macam ni?" tiba-tiba Haji Razali memberanikan diri dan bertanya kepada ketiga-tiga pemuda yang duduk semeja dengannya. Dia memandang jam di dinding pondok tersebut. Ketika itu tepat 8.30 pagi.....

"Kenapa buat Tok macam ni?" tanya Haji Razali sekali lagi. Othman, Arif dan Nordin berpandangan antara satu sama lain. Tiada sesiapa berkata apa-apa buat beberapa ketika.

"Kami nak berkenalan dengan Tok. Kami nak bual-bual kosong pasal banyak perkara," kata Arif dengan suara lembut dan senyuman manis.

"Engkau orang ni gila ke?" kata Haji Razali yang mula meradang. Mukanya merah padam, telinganya panas, matanya bulat.

"Kami tak gila Tok. Othman tu lulusan universiti. Saya lulusan universiti. Nordin juga lulusan universiti. Orang gila mana lulus universiti," jelas Arif dengan tenang. Matanya terkedip-kedip memandang Nordin dan Othman.

"Ikut suka hati Toklah. Kalau Tok fikir kami semua gila, gilalah kami. Kalau Tok kata kami tak gila, tak gilalah kami," kata Nordin pula.

TIGA: 11 Mei, jam 9.50 pagi: Nordin bangkit mengemaskan pinggan mangkuk dan cawan-cawan daripada meja rotan. Othman pula menghidangkan sepinggan buah rambutan dan empat botol air mineral di atas meja yang sama. Arif terus mendengar siaran berita daripada saluran BBC. Hatinya geram kerana tentera Amerika Syarikat (AS) semakin mengganas di Iraq. Hatinya marah kerana pertumpahan darah di negara tersebut semakin berleluasa. Dia kesal kerana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) nampaknya tidak terdaya menyekat kegelojohan AS yang sedang mengganas di beberapa buah negara menerusi satu peperangan yang kononnya bertujuan menumpaskan keganasan teroris antarabangsa.

Haji Razali langsung tidak menumpukan perhatian kepada siaran berita BBC. Pertama, kerana dia lemah dalam Bahasa Inggeris. Kedua, kerana dia tidak peka terhadap pergolakan siasah antarabangsa. Ketiga, kerana kehidupannya kini terlalu selesa sehingga dia berpendapat negara ini juga akan selama-lamanya merdeka, aman, makmur dan bahagia. Keempat, kerana dia beranggapan politik semasa hanya relevan kepada perjuangan peribadi, bukannya untuk bangsa, agama dan negara....

Arif menutup semua tingkap di bilik berkenaan dan terus duduk di atas sehelai tikar mengkuang buruk. Dia duduk membelakangkan dua tingkap yang telah ditutup dan bertentangan dengan pintu. Di hadapannya terdapat beberapa fail berwarna merah dan biru. Othman duduk di sudut di kanan Arif. Di hadapannya terdapat sebuah meja kecil. Di atas meja itu terdapat sebuah komputer bimbit dan sebuah projektor kecil. Di sudut bilik bertentangan dengan Othman tergantung sebuah screen berukuran 6x 4 kaki. Nordin pula duduk bersila bulat di lantai tanpa tikar. Dia di sebelah kiri Arif. Di hadapannya terdapat berpuluh-puluh naskah buku ilmiah dan separuh ilmiah, dalam Bahasa Melayu dan Inggeris. Buku-buku tersebut mengenai pelbagai subjek. Ada buku-buku mengenai politik, ekonomi dan sosiologi. Ada buku-buku tulisan Tun Dr. Mahathir Mohamad seperti Dilema Melayu dan Menghadapi Cabaran. Ada buku-buku tulisan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra. Banyak buku-buku mengenai pemimpin Malaysia, pemimpin Nusantara dan pemimpin dunia. Terdapat buku-buku mengenai rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Terdapat juga buku-buku mengenai Islam….

Cahaya di dalam bilik itu hanya samara-samar. Di dinding bertentangan dengannya terdapat screen yang memaparkan gambar Haji Razali dalam pakaiannya yang dipakai pagi tadi. Di bawah gambar tersebut tertulis nama penuhnya diikuti dengan jawatan rasminya. Di bawah sekali tertulis singkatan-singkatan pingat-pingat kebesaran yang pernah di terimanya. Di bahagian atas gambarnya tertulis perkataan “Selamat Datang Ke Kebun Sayur.”

Seterusnya, ditayangkanlah beberapa klip video mengenai bangsa Melayu dari zaman Kesultanan Melayu Melaka sampailah ke zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad. Klip itu bermula dengan cebisan-cebisan sejarah dan lagenda purba Empayer Melayu Melaka. Mengenai Melaka sebagai pusat perdagangan antarabangsa. Mengenai Melaka sebagai pusat pengembangan agama Islam di Nusantara. Mengenai Melaka sebagai pusat kepahlawanan di Asia Tenggara. Mengenai Melaka sebagai sebuah Kesultanan Melayu yang dibelenggu wabak hasad, dengki, khianat dan fitnah. Mengenai Melaka yang menyaksikan pembelotan sesetengah pembesarnya kepada pihak musuh. Mengenai Melaka yang diserang oleh Portugis. Mengenai keruntuhan Empayer Melayu Melaka. Mengenai Sultan-Sultan Melaka yang berundur ke Pagoh dan Johor Lama. Seterusnya dan seterusnya.....

“Tok faham tak klip video yang kita tengok tadi?” tanya Arif kepada Haji Razali yang duduk di sebelah kirinya. Haji Razali tidak bersuara. Dalam remang-remang suasana, Arif, Othman dan Nordin nampak dia mengangguk-anggukkan kepalanya.

Kini, klip video itu adalah mengenai perjuangan beberapa kuasa Melayu untuk menawan semula Melaka. Maka dipaparkanlah kegagahan panglima-panglima Melayu dan Bentan. Maka dipaparkanlah kemasyhuran Kerajaan Johor Lama, Kerajaan Johor-Riau dan lain-lainnya.

Sesudah itu, klip video itu menayangkan kisah kedatangan Inggeris menerusi Syarikat India Timur. Mengenai tipu helah Inggeris ke atas beberapa Sultan dan Raja Melayu. Mengenai seni adu-domba Inggeris ke atas pemimpin-pemimpin Melayu. Mengenai usaha Inggeris mempengaruhi dan melemahkan kuasa Raja-Raja Melayu. Mengenai strategi Inggeris meminggirkan bangsa Melayu supaya terus-menerus menjadi mundur dan merempat. Dan mengenai kerakusan Inggeris mengaut hasil mahsul dan kekayaan negara untuk memperkayakan orang putih dan Ratu Inggeris.

Berikutnya, sampailah ke babak kemasukan Tentera Jepun dan Perang Dunia Kedua. Klip video tersebut memaparkan kezaliman Tentera Jepun. Mengenai, tempelengan, tendangan dan terajangan Jepun ke atas penduduk tempatan yang tidak memahami Bahasa Jepun. Mengenai kesengsaraan hidup di zaman Jepun. Mengenai penyakit tokak, kudis dan sampar yang menyerang beribu-ribu rakyat jelata di zaman Jepun. Mengenai nyawa-nyawa pejuang tanahair yang melayang di hujung pedang tentera Jepun. Mengenai anak-anak bangsa yang dipaksa belajar di sekolah Jepun, menyembah bendera Jepun dan menyanyikan Kimigayo, iaitu lagu kebangsaan Jepun.

Sesudah Jepun menyerah kalah, dipaparkan pula kisah gerombolan Komunis Bintang Tiga yang mengganas di beberapa daerah di Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Pahang. Maka diriwayatkanlah keganasan dan kezaliman Komunis Bintang Tiga di daerah Batu Pahat, Johor. Ada rakyat jelata yang direbus di dalam kawah besar berisi minyak kelapa yang menggelegak. Ada kisah masjid dan surau dijadikan premis pesta babi, pesta arak dan tempat militen komunis merogol dan memperkosa gadis-gadis yang dilarikan daripada kampung-kampung yang telah dibakar rumah-rumahnya. Dipaparkanlah kisah beberapa keluarga dikuburkan secara hidup-hidup dalam lubang kubur yang besar. Ada juga paparan mengenai kepala-kepala yang digantungkan di pokok pedada di sepanjang Sungai Batu Pahat. Dan juga kisah kegagahan Panglima Salleh dan Tentera Selempang Merah yang menghapuskan gerila komunis daripada Batu Pahat hingga ke Muar.

Berikutnya, ditayangkan pula klip video mengenai kisah pentadbir British memujuk Raja-Raja Melayu menandatangani Gagasan Malayan Union. Klip ini diikuti dengan kisah penentangan rakyat jelata terhadap gagasan tersebut. Mengenai tunjuk perasaan besar-besaran di serata Tanah Melayu. Tentang babak-babak cemas bila British mengugut untuk menyerang beberapa istana Raja sekiranya mereka enggan memihak kepada penjajah. Mengenai Kongres Melayu di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Mengenai ucapan Allahyarham Datuk Onn Jaffar dan juga penubuhan wadah perjuangan politik Melayu untuk memerdekakan negara.

Sebelum sampai ke babak pengisytiharan kemerdekaan negara, klip video itu memaparkan perjuangan Askar Melayu, Pasukan Polis Khas atau Special Constable (SC) dan juga Pasukan Kawalan Kampung atau Home Guard menentang pengganas komunis. Maka, dipaparkanlah keganasan pengganas komunis di seluruh Malaya. Bagaimana ramai rakyat yang tidak berdosa telah disembelih beramai-ramai. Bagaimana gerabak-gerabak Keretapi Tanah Melayu dibakar bersama penumpang-penumpangnya. Bagaimana Balai Polis juga dibakar dan seluruh anggota polis serta keluarganya dimusnahkan. Bagaimana penduduk kampung hidup dalam ketakutan. Mengenai kepahlawanan anak-anak muda memburu komunis di hutan belantara. Mengenai wanita-wanita turut memikul senapang untuk mempertahankan kampung halaman. Dan mengenai bekalan beras yang terpaksa dicatu kerana takut jatuh ke tangan pengganas komunis....

“Hah. Awak tua keparat. Apa awak dapat daripada menonton klip video tadi?” tiba-tiba Nordin bersuara dengan lantang sambil mengacu-acukan jari telunjuk kanannya ke arah Haji Razali yang duduk di sebelah kanannya.

Haji Razali tersentak. Dia hairan mengapakan dia digelar keparat. Dia hairan mengapa Nordin bersuara biadap kepadanya. Dia hairan mengapa dia mesti insaf dengan klip video sebentar tadi.

“Ya Tok. Hari ini 11 Mei. Klip video seperti ini perlu ditayangkan kepada seluruh rakyat pada setiap kali 11 Mei,” kata Othman pula....

“Sudahlah Din. Jangan buang masa. Orang macam keparat tua ni mana nak hargai sejarah. Yang dia tau, kaut duit secara rasuah,” kata Nordin lagi sambil beredar keluar daripada bilik tersebut.

EMPAT: 11 Mei, jam 1.30 petang. Arif, Othman dan Nordin bersembahyang Zohor bersama Haji Razali sebagai imam. Panjang doa yang diaminkan oleh mereka bertiga. Razali memohon restu kepada Allah semoga dimurahkan rezeki, dipanjangkan umur dan ditetapkan iman. Dia juga memohon keselamatan dunia dan akhirat, serta dijauhkan dari fitnah dan siksa kubur.

Sesudah itu Arif, Othman dan Nordin bersalaman di antara satu sama lain. Kemudian mereka bersalaman dengan Haji Razali. Mereka mencium tangan Penghulu Mukim Tanjung Periok tanda hormat kepada orang tua dan juga hormat kepada pemimpin. Haji Razali tersenyum melihatkan gelagat tiga pemuda aneh itu......

Arif menjemput Haji Razali duduk bersamanya di amben-amben. Dalam keadaan serba salah, Haji Razali menurut pelawaan Arif. Perasaan giannya terhadap rokok semakin melonjak.

"Betul ke Tok ni rasuah?" tiba-tiba Arif bertanya kepada Haji Razali.

"Rasuah? Siapa yang rasuah?" tanya Haji Razali dengan suara garang dan lantang. Matanya merenung wajah Arif yang masih tunduk merenung anak-anak tangga.

"Saya tanya, betulkah Tok ni rasuah. Banyak orang kata Tok rasuah," kata Arif lagi.

"Siapa yang kata Tok rasuah?" tanya Haji Razali lagi dengan nada tegas.

"Betulkah Tok rasuah?" tanya Arif dengan suara yang semakin tinggi.

"Engkau orang ni betul-betul gila. Siapa kata Tok rasuah?" kata Haji Razali.

"Jangan putarbelit Tok. Soalan saya, betul atau tidak Tok ni rasuah. Kalau betul, kata betul. Kalau tak, jawab tidak. Saya bukan gila. Tok pun belum hilang akal," kata Arif secara selamba......

"Kalau Tok rasuah, apa engkau orang boleh buat? Kalau Tok tak rasuah, apa engkau orang nak lakukan," tanya Haji Razali. Dia mencabar kesabaran Arif. Di matanya terlukis beberapa wajah yang mengganggu perasaannya. Di fikirannya, berputar beberapa kisah yang mengusik jiwa.

"Sekali lagi saya tanya. Betul atau tidak Tok ni rasuah? Saya tidak berhak untuk bertanya lebih dari itu. Tetapi, saya berhak bertanya begitu," kata Arif dengan wajah serius…..

LIMA: 11 Mei, jam 2.15 petang. Haji Razali tidak berselera makan. Dia cuma menjamah sesudu-dua mee segera yang disiapkan oleh Othman dan Nordin. Dia terbayang makanan lebih lazat yang selalunya dihidangkan sesudah sesuatu Mesyuarat Tindakan Daerah. Kalau tidak nasi beriyani gam dari Restoren Mat Shah, ada pula asam pedas kepala ikan merah dari Restoren Mak Esah. Lauk sampingannya adalah sambal tumis udang campur petai, sayur pucuk ubi masak lemak cili api, ayam percik dan rendang daging. Kesemua hidangan itu disediakan mengikut nafsu, bukannya menurut naluri kesihatan tubuh badan seseorang individu.

“Orang besar mana makan benda-benda macam ni," kata Nordin sambil menelan mee segeranya dengan pelahap. Dia lapar. Dia makan menurut seleranya. Haji Razali juga lapar. Tetapi, dia langsung tidak beselera. Sebagai seorang penghulu, dia rasa terhina kerana dihidangkan dengan mee segera campur telur sahaja.

Dengan tiba-tiba Arif dan Othman bangun serentak dan menuju ke bilik tayangan klip video. Nordin juga turut bergegas bangun dan terus meminta Haji Razali mengikutnya menuju ke bilik berkenaan.

Arif, Othman dan Nordin kembali duduk di tempat masing-masing seperti di sessi sebelum Zohor. Haji Razali juga di arahkan duduk di tempat yang sama, iaitu di antara Arif dan Nordin.

"Kat mana Tok beli jam ini? Berapa harganya," tanya Arif sambil menunjukkan jam tangan emas bertatah berlian milik Haji Razali kepada Othman dan Nordin. Mata Haji Razali terkebil-kebil. Mulutnya terkunci dan membisu.

Serentak dengan pertanyaan tadi, screen di dinding pun memaparkan beberapa gambar model jam Rolex dan senarai harganya. Haji Razali tersentak dengan persembahan multimedia di dalam bilik tersebut. Dia terkejut kerana pondok tersebut mempunyai komputer bimbit yang bersambung ke internet. Haji Razali terus membisu. Matanya merenung model jam yang dipakainya terpapar di screen. Menurut maklumat yang dipancarkan daripada komputer bimbit ke screen berkenaan, harga jam model itu adalah RM75,000.

"Din. Engkau lama di London. Berapa harga jam yang Tok pakai ni?," kata Arif lagi sambil memberikan jam tersebut kepada Nordin yang duduk di sebelah kirinya Haji Razali.

Nordin membelek-belek jam tersebut. Dia pasti talinya dibuat dari emas putih pukal. Bingkainya juga dibuat daripada emas putih pukal. Jarum-jarumnya juga adalah emas pukal. Nombor-nombor waktunya bertatahkan berlian. Hebat betul jam tersebut. Harganya lebih mahal daripada sebuah rumah teres tiga bilik. Jam itu jadi bertambah hebat apabila ianya dipakai hanya oleh seorang penghulu, bukannya oleh seorang jutawan.

“Yang ini? Kalau ikut taraf Harrods, harganya beribu-ribu pound. Kalau ikut taraf Bond Street begitu juga. Kalau ikut taraf Regent Street pun sama. Pukul borong, ikut harga London ke, ikut harga New York ke, jam ini memang mahal,” jawab Nordin.

"Kalau ikut maklumat internet yang terpancar kat screen tu, jam ini berharga RM75,000. Kami tak bohong Tok. Internet pun tak bohong,” kata Arif lagi.

“Tok. Dengan RM75,000, Tok boleh beli berapa peket mee segera? Boleh beli berapa helai sejadah? Boleh beli berapa naskah Quran? Boleh naik Haji berapa kali? Boleh tanggung anak yatim berapa orang?” tanya Arif kepada Haji Razali secara bertubi-tubi. Mata Haji Razali terus terkebil-kebil. Mulutnya juga semakin terkunci.

"Kalau sebungkus mee segera harganya satu ringgit, jam yang Tok pakai boleh membeli 75,000 peket mee segera. Kalau Tok makan sendiri, perut Tok boleh boncet dan jadi busung. Kalau satu naskah Quran harganya $20, jam yang Tok pakai boleh beli lebih 3,750 naskah Quran. Kalau Tok khatam satu kali dengan menggunakan satu Quran, Tok boleh khatam Quran 3750 kali,” kata Arif lagi.....

Berikutnya, Arif menjelaskan kepada Haji Razali, Othman dan Nordin bahawa jam adalah perakam waktu, perakam peristiwa dan perakam sejarah. Pada 11 Mei 1946, ribuan jam tangan dan jam dinding telah merakamkan waktu, peristiwa dan sejarah perjuangan orang Melayu yang dijajah Inggeris. Pada 31 Ogos 1957, jam besar di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, telah merakamkan detik, waktu, peristiwa dan sejarah kemerdekaan tanahair. Pada 13 Mei 1969, beribu-ribu jenis jam di seluruh negara telah merakamkan detik hitam, peristiwa hitam dan sejarah hitam di negara ini. Dan, pada petang itu, sebuah jam tangan Rolex sedang merakamkan persoalan-persoalan bagaimana seorang penghulu mampu hidup dengan barangan mewah, anak sulungnya yang bekerja sebagai eksekutif bank mampu memberikan hadiah mewah kepada ayah yang dikasihinya, dan bagaimana seorang jejaka Melayu berpendidikan tinggi sudah kehilangan susila dan batasan hidup sebagai seorang muslim.

“Jeng.. jeng.. jeng… Sekarang kita saksikan gaya istimewa anak Tok Penghulu yang sedang mabuk arak dengan beberapa GRO Melayu di sebuah pusat karaoke di Kuala Lumpur,” kata Nordin sambil menayangkan satu lagi gambar gambar ke screen.....

“Nanti dulu. Nanti dulu Rif. Kita kena jelaskan kepada Tok ni kenapa kita kurung dia dari pagi sampai petang pada 11 Mei ni,” kata Othman pula.....

ENAM: 11 Mei, jam 4.45 petang. Kini masuk waktu Asyar. Cahaya matahari petang mulai mencuri-curi masuk ke bilik tersebut melalui dinding atap rembia yang berkerawangan. Haji Razali yang sudah selesai menunaikan sembahyang waktu, duduk seorang diri di bilik berkenaan. Dia membelek-belek akhbar Warta Prima yang diberikan oleh Nordin kepadanya sebentar tadi. Di muka hadapan akhbar tersebut tersiar berita mengenai dirinya. Berita itu dihiasi gambarnya memakai kopiah putih. Tajuknya berbunyi “Razali Nafi Tuduhan Rasuah”.

Dalam berita berumur dua minggu itu, Haji Razali menytakan bahawa dia tidak rasuah. Tetapi, katanya, musuh-musuh politiknya memfitnahkan dia sebagai rasuah. Ini kerana salah seorang daripada mereka mahu merampas jawatan Penghulu Tanjung Periuk daripadanya. Oleh itu, dia pun meminta BPR menyiasat dirinya. Dia juga merayu kepada anak-anak buahnya di Mukim Tanjung Periuk supaya bertenang dan jangan mempercayai sebarang berita angin atau fitnah mengenai dirinya.

Kini Haji Razali seram sejuk. Setelah berulang-kali membaca kenyataan dirinya dalam akhbar itu, dia kembali tertanya-tanya, adakah Arif, Othman dan Nordin pegawai-pegawai BPR yang ditugaskan menyiasat kesnya? Adakah mereka pegawai BPR yang menyahut cabaran supaya menyiasat dirinya? Adakah… Adakah… Adakah.. Berbagai-bagai soalan kini membelenggu jiwa dan perasaannya....

Tidak lama selepas itu, ketiga-tiga pemuda tersebut pun masuk ke bilik di mana Haji Razali sedang duduk termenung seorang diri. Haji Razali tidak memperdulikan ketiga-tiganya. Dia terus tunduk merenung tikar. Fikirannya berkecamuk. Dia marah, dia malu, dia bimbang, dia juga serba salah.

"Ini perakam suara. Kami mahu Tok beritahu kami, dari mana anak Tok dapat RM75,000 untuk beli jam yang Tok pakai,” kata Nordin sambil meletakkan perakam suara itu di hadapan Haji Razali.

Haji Razali meninjau wajah-wajah Arif yang duduk di sebelah kanannya, Othman di sebelah kanan Arif, dan Nordin di sebelah kirinya. Gambar anak sulungnya dalam keadaan mabuk di sebuah pusat karaoke dipancarkan semula ke screen di dinging. Haji Razali menggaru-garu kepalanya. Dia meraba-raba poket baju batik lusuh yang dipinjamkan oleh Arif. Dia mencari-cari sesuatu. ....

TUJUH: 11 Mei, jam 6.00 petang. Nordin mengetuk pintu dengan lembut. Othman membukanya. Nordin masuk. Dia melutut di depan Haji Razali dan terus mencium tangannya. Dia meminta ampun di atas kekasaran tindakannya sebentar tadi. Arif dan Othman terharu melihat perbuatan Nordin. Haji Razali menitiskan air mata.

Kini, konflik jiwa jelas terlukis di wajah Haji Razali. Dengan sukarela, dia pun mencapai perakam suara yang berada di tangan Othman. Dia meminta Arif memtik suis perakam suara itu untuk membolehkan dia memulakan pengakuannya.

"Saya tidak pasti saya ni rasuah atau tidak. Saya dapat jam tangan ini daripada seorang tauke di Kuala Lumpur. Dia kata, ini hadiah buat saya. Cincin ini pun dia yang kasi,” katanya. Haji Razali membuka cincin zamrud bertatah berlian yang merangkuli jari manis di tangan kanannya. Dia menghulurkan cincin tersebut kepada Arif.

Arif, Othman dan Nordin berpandangan antara satu sama lain. Mereka membiarkan Haji Razali diseksa oleh batinnya sendiri. Detik-detik jarum jam Rolex yang dipakai oleh Haji Razali mencatatkan detik-detik masa pengakuan itu. Perakam suara itu pula merakamkan seluruh pengakuan yang sama, perkataan demi perkataan....

LAPAN: 11 Mei, jam 8.45 malam. Arif, Othman dan Nordin masuk semula ke bilik. Ketiga-tiga sahabat itu membincangkan pendekatan soal-jawab mereka untuk sessi sesudah Isyak. Mereka berbisik-bisik. Mereka berbicara dengan suara yang rendah. Mereka berazam mencari kebenaran yang paling pasti daripada Haji Razali pada malam tersebut. Selagi kebenaran belum menjelma, selagi itu mereka akan mendesak Haji Razali dengan soalan-soalan yang penuh provokasi.

Arif mencadangkan mereka mengambil pendekatan lembut. Pendekatan berbudi bahasa. Pendekatan penuh puji-pujian dan kata-kata manis. Othman bersetuju. Nordin membantah.

"Kita kena pecahkan orang tua ni. Liat betul dia nak keluarkan maklumat yang kita perlukan," kata Nordin yang kini hanya berseluar pendek dan memakai baju T lengan pendek berwarna hitam.

"Hah, duduk Tok. Silakan. Kami minta maaf, kat pondok ni tak ada lain, tapi mee segera," tiba-tiba Othman berkata sambil mempersilakan Haji Razali yang terpacul di muka pintu bilik tersebut. Matanya masih terpaku kepada perkataan Bersih, Cekap, Amanah yang menghiasi screen di bilik berkenaan. Dia juga gerun melihat gambar Perdana Menteri yang menjeling tajam dengan seribu satu makna.

"Nama kamu Razali. Ayah kamu bernama Ali. Emak kamu bernama Aminah. Isteri kamu Fatimah binti Ehsan. Umur kamu 51 tahun. Kamu ada tiga orang anak. Seorang lelaki, dua perempuan. Seorang anak perempuan kamu dah berkahwin. Nama dia Amalina. Anak sulung kamu kerja di KL. Nama dia Rais. Man, tunjuk balik klip orang mabuk di karaoke tadi,” kata Nordin. Atas permintaannya, gambar Rais, anak sulung Haji Razali yang dalam keadaan mabuk di kelilingi oleh beberapa wanita Melayu yang juga mabuk, sekali lagi dipancarkan ke screen.

“Seorang lagi anak kamu namanya Juliana. Dia belajar di luar negeri. Rais bekerja dengan bank. Tapi dia juga baruah kakak ipar kamu. Secara tak rasmi, dia jaga Projek Jambatan Sungai Buaya," sambung Nordin lagi secara terperinci. Wajahnya selamba, bahasanya kasar, tingkah-lakunya sedikit kurang ajar.

"Jangan gitu Din. Kita kena hormatkan jawatan dia sebagai Penghulu. Jadi, kita kenalah panggil dia Tok Penghulu. Dia ketua di mukim kita," kata Othman menegur Nordin yang boleh disifatkan sebagai biadab.

"Biarkan. Teruskan Din," kata Arif pula seolah-olah memberi lampu hijau kepada Nordin untuk bersikap lebih biadab. Othman tidak membantah. Haji Razali terperangkap di tengah-tengah perbezaan pendapat tersebut.

"Baik. Sekarang saya nak tau. Sapa kontraktor Jalanraya Rimba Lingga-Bandar Saga sepanjang 50 kilometer? Berapa kosnya? Apa kepentingan kamu dalam projek tersebut? " tanya Nordin lagi.

Haji Razali memandang wajah Nordin, Othman dan Arif. Dia nampak pita perakam berputar-putar merakamkan setiap kata-kata Nordin sebentar tadi. Dia masih ingat betapa bengisnya Nordin beberapa jam tadi. Dia masih ingat bagaimana dua batang giginya patah akibat terjangan Nordin. Dia masih ingat mulut dan hidungnya berdarah akibat terajangan tersebut.

"Jalanraya Rimba Lingga-Bandar Saga dibina oleh Syarikat Tenaga Rakyat atau STAR," kata Haji Razali memulakan kata-katanya dengan nada perlahan.

“Apa? STAR bukannya Syarikat Tenaga Rakyat. STAR adalah singkatan Syarikat Tindas Rakyat," sampuk Nordin. Arif dan Othman tersenyum sumbing. Haji Razali mengeleng-ngelengkan kepalanya.

"Teruskan Tok. Teruskan," kata Othman memberi perangsang kepada Haji Razali.

"STAR adalah Syarikat Tenaga Rakyat, anak syarikat Jasa Holdings. Anak saya, Rais, jadi salah seorang ahli lembaga pengarahnya," kata Haji Razali dengan suara yang masih juga tersekat-sekat.

Nordin bangun menuju ke arah Haji Razali. Dia mencekak kolar baju batik Haji Razali supaya dia bangun dan berdiri tegak. Nordin mengheret Haji Razali menuju ke arah screen di dinding yang dihiasi oleh slogan Bersih, Cekap, Amanah.

"Awak baca ni dengan jelas dan kuat," katanya sambil menunding-nunding jari ke arah slogan tersebut.

"Bersih," kata Haji Razali.

"Apa erti bersih?" tanya Nordin. Soalan itu tidak berjawab.

"Cekap," kata Haji Razali.

"Apa erti cekap?" tanya Nordin. Soalan itu juga tidak dijawab.

"Amanah," kata Haji Razali.

"Apa erti amanah," kata Nordin lagi. Razali tetap enggan menjawab...

"PM suruh orang jangan rasuah, awak rasuah. PM suruh orang jangan salahguna kuasa, awak salahgunakan kuasa. Kenapa?" tanya Nordin lagi....

Sesudah itu, Arif pun memulakan peranannya. Dia memberitahu Haji Razali sekali lagi bahawa apa yang dilaluinya pada sepanjang hari itu adalah suatu proses insaf diri sempena hari perjuangan 11 Mei. Buat kali keduanya, Arif juga mengingatkan Haji Razali bahawa Nordin adalah wakil generasi muda negara yang radikal, tetapi cintakan bangsa, agama dan tanahair. Nordin adalah contoh generasi muda yang marah-marahkan pemimpin yang bersikap seperti ketam menyuruh anak-anaknya berjalan dengan betul. Nordin adalah simbol generasi muda yang mempunyai jiwa pemberontak akibat nasionalisme yang sungguh dalam takrifannya.....

"Sebentar lagi Tok akan berada di hadapan sebuah cermin besar. Kami bertiga akan cuba membantu Tok melihat wajah Tok yang sebenarnya. Man, kasi dia cermin tu," kata Nordin lagi.

Othman menghulurkan sebuah cermin berukuran 4 kaki lebar dan 6 kaki tingginya kepada Haji Razali. Nordin bangkit menuju ke arah Haji Razali dan duduk di sisinya.

"Sekarang Tok berdiri dan tengok muka Tok dalam cermin ni," kata Nordin kepada Haji Razali.

"Tengok dalam cermin tu Tok Penghulu. Tok nampak muka siapa? Muka babi ke, muka setan ke, muka iblis ke, muka lanun ke, muka apa sahaja, Tok tengok lama-lama," kata Othman pula.

"Muka sayalah," jawab Haji Razali.

"Muka Tok atau muka iblis?" tanya Othman. Haji Razali mendiamkan diri.

"Tengok betul-betul Tok. Silap-silap haribulan, muka Tok tapi hidungnya macam hidung babi, gigi bertaring dan kepala bertanduk," kata Arif pula. Haji Razali mematikan diri. Dia menutup mata dan pemikirannya.

"Jawab Tok. Apa yang Tok nampak dalam cermin tu?" tanya Nordin dengan marah.

"Muka sayalah," kata Haji Razali.

"Muka Tok tu muka manusia atau muka dajal. Muka Tok tu muka manusia atau muka ular kepala tujuh dengan lidah cabang sepuluh?" tanya Nordin lagi. Haji Razali membisu seribu bahasa.

"Kalau Tok Penghulu orang yang bersih, jujur, amanah dan tidak rasuah, Tok akan nampak muka orang yang berwajah manis berseri-seri. Kalau Tok orang perjuangan, cermin itu akan memutarkan kembali segala peristiwa dan sejarah sewaktu nenek monyang kita menentang Gagasan Malayan Union. Tok juga akan terpandang imbasan sejarah TERAS ditubuhkan pada tanggal 11 Mei 1946," kata Arif dengan penuh sindiran.

Haji Razali langsung tidak berkata apa-apa. Air matanya sekali lagi meleleh ke pipi. Dia tersedu-sedu. Dia meraung sekuat hatinya. Dia meraung dan membalingkan cermin muka itu ke arah Othman yang sedang tersandar ke dinding. Othman mengelak. Maka bersepai dan berderailah cermin itu pecah. Serpihannya singgah ke paha Arif yang duduk di sebelah Othman. Melihatkan keadaan itu, Nordin kembali meradang.

"Awak ingat bila cermin tu pecah, bayang-bayang yang awak nampak tadi akan mati. Awak tau tak, selagi awak tak insaf, bersihkan diri dan sikap awak, awak akan terus diburu oleh bayang-bayang itu?" kata Nordin. Haji Razali membisu. Dia bergerak untuk duduk di antara Arif dan Othman....

SEMBILAN: 11 Mei, jam 10.30 malam. Nordin membalingkan senaskah surat khabar NUSA ke arah Haji Razali. Muka depan akhbar tabloid itu dihiasi kepala berita Razali Nafi Tuduhan Rasuah. Berita tersebut menghuraikan kenyataan Haji Razali dua minggu lalu. Dia berkata, dia tidak rasuah. Kalau dia rasuah, katanya, dia meminta BPR menyiasat dan mengheretnya ke mahkamah. Dia meminta anak-anak buahnya di Mukim Tudung Periok jangan menjadikan isu rasuah itu sebagai isu politik. Katanya, isu rasuah itu dibangkitkan oleh golongan politik yang bankrup.

Berita tersebut juga memetik Haji Razali sebagai berkata bahawa tuduhan yang mengatakan dia rasuah adalah permainan golongan yang cuba mengkhianati perjuangannya kepada bangsa, agama dan tana­hair. Kumpulan itu, katanya, ingin merampas kuasa darinya. Kumpu­lan itu juga didakwa mahukan seorang yang baru untuk menjadi Penghulu Mukim Tudung Periok.

"Kami tahu awak ada orang atas," kata Nordin ringkas.

"Kami juga tahu Tok ada bapak mafia," sampuk Othman pula....

Arif sibuk mengakses lamanweb www.nusa.com.my menerusi komputer bimbit di hadapannya. Dia cuba mengakses lamanweb akhbar NUSA itu untuk mencari berita yang sedang mereka perbincangkan daripada arkib digital akhbar berkenaan. Tidak beberapa minit berikutnya, screen di bilik berkenaan pun memaparankan berita Razali Nafi Tuduhan Rasuah yang telah berjaya diakses oleh Arif menerusi internet.

Haji Razali buta komputer dan buta internet. Dia tidak mahu mempelajari cara-cara menguasainya dengan alasan kononnya dia sudah tua. Bagaimanapun, kini dia menerima hakikat bahawa teknologi semasa memang menghalang dia untuk berbohong. Ini kerana teknologi internet membolehkan apa sahaja maklumat boleh diakses secara on-line dan digital untuk dipaparkan ke screen dengan menggunakan projektor yang disambungkan ke komputer bimbit atau komputer desktop. Bahan-bahan digtal yang diakses pula tidak hanya terhad kepada bahan-bahan tempatan sahaja. Ia meliputi apa jua subjek dari semua lokasi di seluruh dunia....

"Kita orang muda. Kita terpelajar. Jangan kita ikutkan emosi. Jangan terlalu radikal macam zaman kita dalam kesatuan pelajar," kata Arif pula sambil menggosok-gosok tapak tangan Haji Razali.

"Baiklah.Sekarang ni dia mesti jawab pertanyaan tadi. Dia rasuah atau tidak? Mana dia dapat duit $75,000 untuk beli jam Rolex emas. Mana dia dapat duit beli Proton Perdana V6?," kata Nordin.

Tiba-tiba terdengar bunyi cit-cit, cit-cit. Nordin melihat telefon bimbitnya yang disimpan di saku seluar pendeknya. Arif melihat telefon bimbit yang diletakkan di lantai di hadapannya. Othman juga melihat telefon bimbit yang disimpan dalam saku baju melayunya. Haji Razali teraba-raba. Dia mencari telefon bimbitnya. Dia terlupa telefon tersebut kini dalam simpanan Arif.

“Aduhai.. Ada sms pula untuk Tok,” kata Arif. Dia membacanya dengan lantang untuk didengar oleh semua di dalam bilik itu, termasuk Haji Razali.

“u dengan betina mana? kata nak jumpa i lepas miting. dah malam buta pun tak sampai lagi. apa halnya? ana.”

Othman dan Nordin tertarik dengan mesej tersebut. Haji Razali geleng-geleng kepala. Arif terus menghampiri Haji Razali.

“Sapa Ana? Apa pasal dia u, u dan i, i dengan Tok? Sapa dia? Tok kena kabar pada kami dengan ikhlas dan jujur,” kata Arif.

“Saya tak kenal dia. Saya tak kenal,” jawab Haji Razali.

“Hey iblis tua, sapa Ana yang sms awak ni?” gertak Nordin dengan wajah bengis dan suara lantang.

Haji Razali tidak menjawab pertanya tersebut. Dia membisu. Dia membatu. Dia dibelenggu seribu satu perasaan yang cacamarba.

SEPULUH: 11 Mei, jam 11.45 malam. Suasana di sekeliling pondok jadi semakin sepi. Muzik katak dan jengkerik semakin nyaring iramanya. Sekali sekala kedengaran pula bunyi guruh yang sayup-sayup. Nordin sedang menikmati ubi goreng ketumbar. Arif dan Othman pun begitu juga. Haji Razali hanya memerhatikan segala-galanya. Dia hanya meminum kopi panas yang dihidangkan bersama ubi goreng tersebut. Wajahnya kosong dan kelihatan sayu. Jasad dan mentalnya sudah keletihan.

“Lepas ni apa lagi?” tanya Haji Razali memecahkan kesunyian.

“Apa lagi apa Tok?” jawab Arif sambil bangun menuju ke bilik operasi. Dia diikuti oleh Othman dan Nordin. Haji Razali juga turut bangkit menuju ke bilik berkenaan.

“Saya nak tau, lepas ni apa lagi?” ulang Haji Razali setelah dia duduk bersila di samping Arif dan Othman. Nordin tetap memilih untuk duduk bertentangan muka dengan Haji Razali.

“Lepas ni kita teruskan,” jawab Arif sambil memberi isyarat kepada Othman untuk memulakan sesuatu.....

“Sebelum dia mulakan pengakuannya, saya nak tau siapa Ana?,” kata Nordin kepada Othman.

“Ya Tok, siapa dia ana yang hantar sms tadi?” kata Arif pula.

Persoalan itu menjadikan fikiran Haji Razali semakin buntu. Dia mahu menjawab pertanyaan itu. Tetapi, dia berasa malu kerana Ana adalah perempuan simpanannya. Dia hendak menjawab soalan tersebut, tetapi dia segan kalau jawapan itu akan menambahkan masalah yang sedang dihadapinya pada ketika itu.

“Cakaplah, sapa dia Ana,” kata Nordin sekali lagi. Haji Razali tersentak. Matanya melihat wajah Nordin yang seolah-olah menelannya.

“Ana?” kata Haji Razali.

“Ya… Ana,” kata Nordin semakin kurang sabar dengan sikap Haji Razali.

“Ana… Ana… Ana orang Bandar Saga. Dia kerja di Pasaraya Billion. Dia berumur 30 tahun. Dia janda anak dua,” kata Haji Razali.

Dengan tiba-tiba terpancar gambar Haji Razali bersama seorang wanita berbaju merah jambu di screen di bilik itu. Haji Razali bertambah gawat. Hatinya menyumpah seranah. Dia hairan macam mana ketiga-tiga pemuda berkenaan mempunyai banyak sungguh data dan gambar mengenai dirinya dan keluarganya.

“Ini dia Ana? Selama ni kita simpan saja gambar ni. Kita tak tau siapa dia. Mungkin anak Tok, mungkin adik Tok, mungkin kendak Tok,” kara Arif sambil memperbetulkan gambar tersebut yang agak senget di screen......

Dengan sekelip mata, screen di dinding dalam bilik tersebut pun memancarkan gambar Haji Razali bersama Ana memasukki sebuah feri di Pangkalan Perpat untuk menuju ke Pulau Karimun, Indonesia. Tarikh tercatat dalam gambar itu adalah 5.9.00. Waktunya adalah 10.50 pagi. Ini bermakna Haji Razali dan Ana melancong ke Pulau Karimun, Indonesia, dengan menaiki feri 10.50 pagi daripada Pangkalan Perpat, Pontian, Johor.

Gambar itu menjadikan Haji Razali semakin gelabah. Semua pasal dirinya ada dalam simpanan pemuda-pemuda tersebut. Sebut sahaja, keluarlah gambar dan ceritanya, siap dengan tarikh dan waktunya......

“Ana adalah teman wanita saya. Dia orang Kelantan. Dia dah tiga tahun bekerja di Bandar Saga,” kata Haji Razali tersipu-sipu.

“Jangan malu Tok. Teruskan. Banyak lagi orang umur macam Tok ada girlfriend, ada kendak, ada penyedap. Tak percaya Tok tanya anak Tok yang di KL,” kata Othman pula.

“Cakap aja yang Ana tu kendak awak atau penyedap awak. Kalau tak mau cakap, saya akan tayangkan video apa yang awat buat sama-sama Ana di Karimun,” ugut Nordin dengan wajah serius.

Sekali lagi Haji Razali terkejut besar. Mana mungkin ketiga-tiga pemuda tersebut mempunyai bukti dalam bentuk video sewaktu dia dan Ana melancong ke Pulau Karimun, Indonesia, kira-kira enam bulan yang lalu.

“Yalah. Ana memang macam yang dia cakap tadi. Dia.. Dia perempuan simpanan saya,” kata Haji Razali dengan nada malu-malu...

Sekali lagi, Haji Razali menyedari impak teknologi moden. Teknologi itu boleh menjadi kawan dan boleh juga menjadi musuh. Teknologi itu boleh membantu seseorang menjalankan tugasnya dan boleh juga menyebabkan kehancuran nama baik seseorang insan. Teknologi itu menjadikan Haji Razali serba salah.

“Cukuplah pasal di Ana tu. Tapi sebelum kita meneruskan sessi ini saya mahu awak renung betul-betul wajah lelaki dan perempuan yang sedang berdangdut dalam screen di depan awak,” kata Nordin dengan gigi menyeringai. Othman dan Arif turut tersengih kerana gelihati melihat paparan gambar tersebut.

Haji Razali hampir-hampir sesak nafas memandang gambar berkenaan. Dia memandang dirinya sendiri sedang seronok berdangdut dengan kekasihnya, Ana. Tarikhnya 5.9.00, iaitu sama dengan tarikh dia melancong ke Pulau Karimon, Indonesia. Waktunya adalah 11.15 malam. Lokasinya adalah sebuah kamar dangdut di sebuah hotel di pulau berkenaan. Haji Razali mengosok-gosok bahagian kanan dadanya. Dia terasa seolah-olah digigit-gigit semut api secara bertubi-tubi. Dia mengherup kopi di hadapannya. Dia tercungap-cungap menarik nafas. Dia rebah ke lantai.....

SEBELAS: 12 Mei, jam 1.00 pagi. Arif, Nordin, Othman dan Haji Razali baru sahaja kembali memasukki bilik soal-jawab. Sewaktu mereka berehat, Arif memujuk Haji Razali supaya bekerjasama dan memberikan segala jawapan dari seluruh soalan-soalan yang dikemukakan kepada sepanjang hari. Terutama sekali mengenai soal rasuah. Jika Haji Razali enggan bekerjasama, kata Arif, sessi berkenaan terpaksa diteruskan sehingga Subuh.

Haji Razali mencapai perakam suara yang berada di hadapannya. Dia memeriksa sama ada ia sudah berputar. Dia mengangkat perakam itu dekat dengan mulutnya. Dia memulakan pengakuannya tanpa di suruh atau dipaksa oleh sesiapa.

“Saya Haji Razali bin Ali. Umur saya 51 tahun. Saya Penghulu Mukim Tudung Periok sejak tahun 1973. Saya ada kebun sawit seluas 20 ekar. Saya memandu kereta Proton Perdana V6 pemberian anak saya yang bekerja di KL. Saya memakai jam Rolex berharga $75,000 hadiah daripada seorang towke. Saya ada seorang isteri dan tiga orang anak. Yang sulung, lelaki, sudah bekerja. Yang kedua, perempuan, sudah berkahwin. Yang bongsu, perempuan, sedang menuntut di luar negeri. Saya ada dua orang cucu. Saya menjadi AJK TERAS Bahagian Tudung Periok sejak lima tahun yang lalu. Saya menjadi anggota Biro Perisikan. Saya Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Mukim Tudung Periok. Saya juga ….,”

‘Tok, minta maaf Tok. Yang itu semua kami dah tau. Kami nak dengar Tok cerita pasal Raisb yang jadi pengarah STAR dan juga towke yang hadiah jam Rolex pada Tok,” kata Arif.

“Baik. Rais, anak sulung saya jadi Pengurus Bank Watan Cawangan Damansara. Dia juga jadi pengarah STAR. Dia Ketua Pemuda TERAS Bahagian Tudung Periok sejak tahun 1998. Dia masih bujang. Dia pernah menuntut di Amerika Syarikat atas biasiswa Kerajaan Pusat,” kata Haji Razali.

Pada ketika itu gambar Rais yang dalam keadaan mabuk dan dikelilingi gadis-gadis Melayu yang juga dalam keadaan mabuk dipancarkan semula ke screen di bilik berkenaan. Haji Razali tidak mempedulikan hal itu. Dia meneruskan kata-katanya dengan jelas dan tegas.

“Saya kesal melihat gambar Rais dalam screen itu. Saya tidak terdaya untuk membetulkan keadaan. Saya juga tidak terdaya untuk merobah gaya hidupnya,” kata Haji Razali…..

“STAR milik Puan Seri Amizon. Suaminya bererkedudukan tinggi dalam petadbiran Kerajaan Pusat,” kata Haji Razali lagi.

“Apa hubungan Wong yang hadiah jam pada Tok dengan Puan Seri Amizon?” tanya Othman pula.

“Saya bawa Wong jumpa Puan Seri adik ipar saya. Wong minta tolong Puan Seri pujuk Tan Sri, adik saya, supaya pilih syarikatnya untuk Projek Jambatan Sungai Buaya dalam daerah Gersik ni,” jawab Haji Razali.

“Projek itu tender terbuka atau secara rundingan?” tanya Arif.

“Saya kurang faham. Tapinya, Wong minta Puan Seri pujuk Tan Seri naikkan harga projek jambatan itu daripada $20 juta kepada $30 juta. Dengan cara itu, dia bagi hadiah pada Puan Seri sebanyak $5 juta. Saya hanya dihadiahkan jam ini,” kata Haji Razali sambil menunjukkan jam Rolex di tangannya kepada Arif, Nordin dan Othman......

Demikianlah antara sedutan daripada novel Suara tulisan saya yang belum mempunyai kesudahan. Setakat ini saya sudah tulis 26 bab. Tetapi, saya masih terus menulis bila terluang masa. Saya tidak pasti bila novel ini akan selesai. Apa pun, kesemua watak dalam novel ini adalah fiksyen dan tidak ada sebarang kaitan dengan sesiapa di dunia nyata!

Thursday, May 07, 2009

REALITI KEBEBASAN MEDIA DI MALAYSIA

Ruhanie Ahmad

Pengenalan

Kebebasan adalah antara elemen penting dan fundamental bagi seluruh umat manusia. Elemen ini termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagaat 1948. Ia ditikberatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Sesebuah negara yang demokratik juga memaktubkan aspek kebebasan dalam perlembagaannya. Contohnya, Groves (1978:27) menyatakan, Perlembagaan Persekutuan memaktubkan sembilan aspek hak dan kebebasan. Satu daripadanya adalah mengenai kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.

Bagaimanapunm antara aspek kebebasan yang sering dipolemik dan dipolitikkan oleh sesetengah pihak di Malaysia adalah kebebasan akhbar. Pihak-pihak terbabit melontarkan pelbagai tuduhan dan kecaman kononnya Malaysia tidak mengamalkan kebebasan akhbar. Mereka mendakwa kononnya Malaysia tidak mematuhi prinsip kebebasan yang termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat. Mereka juga memperbesar-besarkan ranking kebebasan akhbar Malaysia yang dikeluarkan oleh pelbagai pertubuhan antarabangsa untuk menyokong dakwaan kononnya Malaysia adalah negara yang tidak mesra akhbar dan menggunakan akhbar semata-mata demi keselamatan rejimnya sahaja.

Anehnya, majoriti golongan yang mendakwa sebagai juara kebebasan akhbar di negara ini bukannya pengamal kewartawanan. Mereka juga bersuara dan berbicara mengenai isu tersebut bukan atas dasar professionalisme. Majoriti mereka adalah pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Mereka menggunakan isu kebebasan akhbar sebagai perkakas untuk mengkecam kerajaan yang melaksanakan beberapa undang-undang yang matlamat utamanya adalah bagi memelihara nilai-nilai teras Malaysia yang berbilang keturunan. Mereka menggunakan isu kebebasan akhbar untuk memperolehi perbatuan siasah.

Konsep media dan akhbar

Media massa, terutamanya akhbar, tidak wujud berasingan daripada lain-lain institusi masyarakat. Ianya merupakan bahagian penting dalam proses perubahan dan pemeliharaan sesebuah masyarakat (Ryan & Wentworth 1999:23). Menurut teori liberal, akhbar mempunyai empat fungsi utama, iaitu menyampaikan maklumat kepada masyarakat umum, memantau kerajaan, mendorong debat umum, dan menyalurkan pendapat umum. Lain-lain fungsi tambahan adalah memupuk nilai-nilai utama yang dikongsikan oleh sesuatu masyarakat, membantu masyarakat menyesuaikan diri kepada perubahan, dan mendedahkan kemungkaran (Curran & Seaton, 2003:346).

Dalam pada itu, istilah media massa pula tidak boleh didefinisikan dengan sejelas-jelasnya. Sesetengah media memang benar-benar bersifat media massa. Ini termasuklah radio, aktiviti perakaman, pangung wayang dan televisyen. Bagaimanapun, media massa lazimnya merujuk kepada radio, akhbar, televisyen dan media rakaman (Ryan & Wentworth, 1999:11). Dalam konteks Malaysia, akhbar adalah apa-apa hasil penerbitan yang mengandungi berita, penerangan, laporan kejadian atau apa-apa pendapat, pemerhatian atau ulasan, berhubungan dengan apa-apa berita, penerangan atau kejadian, atau dengan apa-apa perkara lain, yang menarik minat orang ramai, atau apa-apa majalah, komik atau bentuk majalah berkala lain yang dicetak dalam apa-apa bahasa untuk dijual atau diedarkan dengan percuma pada lat-lat tempoh yang kerap atau tak kerap, tetapi tidaklah termasuk apa-apa hasil penerbitan yang diterbitkan oleh atau untuk Kerajaan Persekutuan atau mana-mana Kerajaan Negeri atau Kerajaan Singapura (Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, 1984:Fasal 2).

Konsep kebebasan akhbar sejagat

Sebagaimana dinyatakan dalam pengenalan atikel ini, konsep kebebasan akhbar termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat yang diluluskan oleh PBB pada 10 Disember 1948. Artikel 19 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat menyatakan, setiap individu mempunyai hak kepada kebebasan bersuara dan pendapat. Hak ini termasuklah kebebasan mempertahankan pendapat-pendapat tanpa gangguan. Ia juga merangkumi kebebasan memperoleh, menerima dan menyebarkan maklumat serta idea menerusi sebarang media tanpa mengira sempadan. Artikel 29(2) deklarasi tersebut memaktubkan, dalam melaksanakan seluruh hak dan kebebasan, setiap individu adalah tertakluk kepada sekatan-sekatan yang ditentukan oleh undang-undang khusus. Sekatan-sekatan itu adalah bagi memastikan keperluan-keperluan yang saksama terhadap moraliti, ketenteraman awam dan kesejahteraan umum di dalam suatu masyarakat yang demokratik. Artikel 29(3) deklarasi berkenaan menegaskan, seluruh hak dan kebebasan tidak boleh mencanggahi seluruh matlamat dan prinsip PBB. Menurut Piagam PBB, antara matlamat dan prinsip PBB adalah pengamalan toleransi dan kehidupan bersama secara aman; bersatu memelihara keamanan dan keselamatan antarabangsa; menghapuskan seluruh ancaman kepada keamanan; pemansuhan tindakan-tindakan ganas; dan bertindak selaras dengan undang-undang antarabangsa untuk meleraikan persengketaan atau lain-lain tindakan yang menjejaskan keamanan. Artikel 30 deklarasi yang sama pula memaktubkan, tiada peruntukan dalam Deklarasi yang boleh ditafsirkan sebagai menggambarkan sesebuah negara, kumpulan atau individu mempunyai hak untuk melakukan apa-apa kegiatan atau melakukan apa-apa tindakan yang bertujuan untuk menghancurkan seluruh hak dan kebebasan yang termaktub dalam Deklarasi.

Huraian di atas membuktikan kebebasan akhbar yang dijamin oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat adalah kebebasan yang terhad, bersyarat, mempunyai batas dan mempunyai sekatan. Hakikat ini kurang diketahui oleh masyarakat umum. Ini kerana pihak-pihak yang mendakwa diri mereka sebagai juara kebebasan akhbar sengaja menyembunyikan fakta-fakta tersebut supaya masyarakat umum dapat dikelirukan bahawa kebebasan akhbar adalah kebebasan yang total dan tanpa batas atau sekatan.

Huraian tersebut juga membuktikan nilai-nilai teras sejagat yang dititikberatkan dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dan oleh PBB adalah kesusilaan, kesejahteraan, ketenteraman, keamanan, keselamatan, kesaksamaan, toleransi, serta pemeliharaan hak dan kebebasan manusia daripada kemusnahan. Ini bermakna seluruh anggota komuniti dunia wajar memelihara dan mempertahankan nilai-nilai teras sejagat atau universal core values ini supaya tidak terancam dan tergugat. Hakikatnya demikian kerana ramai sarjana keselamatan antarabangsa berpendapat ancaman dan gugatan kepada nilai-nilai teras dunia atau nilai-nilai teras sesebuah negara memang boleh mengancam keselamatan serta menjejaskan kelangsungan sesebuah negara yang berdaulat dan merdeka.

Konsep kebebasan akhbar di Malaysia

Kebebasan akhbar di Malaysia tidak dimaktubkan secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Bagaimanapun, Fasal 10 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan memaktubkan bahawa tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4), tiap-tiap warganegara adalah berhak bebas bercakap dan mengeluarkan pendapat. Bagaimanapun, Fasal 10 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan pula memaktubkan bahawa Parlimen boleh dengan undang-undang menggunakan ke atas hak-hak yang diberi oleh perenggan (a) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, perhubungan persahabatan dengan negeri-negeri lain, ketenteraman awam untuk melindungi keistimewaan-keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Negeri atau untuk mengelakkan penghinaan terhadap mahkamah, fitnah, atau perbuatan mengapi-apikan supaya dilakukan sesuatu kesalahan.

Fasal 10(4) Perlembagaan Persekutuan pula memaktubkan bahawa pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasal 10(2)(a), Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang perbuatan mempersoal apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau hak kedaulatan yang ditetapkan atau diperlindung oleh Bahagian 3, Perkara 152, 153 dan 181 berhubung dengan apa-apa jua melainkan berhubung dengan pelaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang itu. Bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan yang dimaksud di atas adalah mengenai kewaganegaraan, Perkara 152 mengenai Bahasa Kebangsaan, 153 mengenai perezapan quota mengenai perkhidmatan, permit dan sebagainya untuk orang Melayu.

Hakikat sekatan terhadap kebebasan di Malaysia seperti di atas adalah selaras dengan Artikel 29(2) Artikel 29(3) dan Artikel 30 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat. Ia juga selari dengan matlamat serta prinsip PBB. Nilai-nilai teras di sebalik sekatan yang dikenakan oleh kerajaan Malaysia pula adalah keselamatan negara, ketenteraman awam, dan perpaduan rakyat. Ini membuktikan bahawa sekatan-sekatan terhadap kebebasan akhbar di Malaysia adalah demi kepentingan negara dan majoriti rakyat jelatanya.

Konsep Kebebasan akhbar di Singapura

Kebebasan akhbar di Singapura adalah berasaskan falsafah kebebasan akhbar PAP selaku parti pemerintah. Oleh sebab itulah PAP menjadi determinen yang tunggal dan penting kepada perkembangan akhbar di Singapura. Falsafah berkenaan adalah berasaskan kenyataan Lee Kuan Yew di Perhimpunan Agung International Press Institute, di Helsenki, pada 9 Jun 1971. Lee menyatakan: “freedom of the press, freedom of the news media, must be subordinated to the overriding needs of the integrity of Singapore, and to the primacy of purpose of an elected government.” Lee juga menyatakan, kerajaan Singapura mahukan “the mass media to reinforce, not to undermine, the cultural values and social attitudes being inculcated in our schools and universities.” Nilai-nilai yang dimaksudkan adalah nilai-nilai multirasialisme, toleransi agama dan menghormati hak-hak golongan minoriti. PAP juga berpendapat, “the press may be separate and independent of the government but in no circumstances should it imagine itself as having an equal role or status. An elected government is ultimately the only institution with the legitimacy to represent public opinion and interpret the national interest. The press is unelected, and cannot be permitted to obstruct the government as it carries out its mandate.” Falsafah kebebasan akhbar ini direalisasikan menerusi undang-undang akhbar, terutamanya the Newspaper and Printing Presses Act. (presspedia.journalism.sg: diakses pada 8 Mei 2009).

Hakikat di atas membuktikan bahawa Singapura juga memberikan kebebasan akhbar secara bersyarat, berdasarkan kepada nilai-nilai terasnya, iaitu multirasialisme, toleransi agama dan perasaan hormat terhadap masyarakat minoriti. Amalan ini adalah selaras dengan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat. Menurut presspedia.journalism.sg, kebebasan akhbar di Singapura juga diberikan berasaskan agenda pembangunan negara dan tanggungjawab sosial. Menurut www.wikipedia.org (diakses pada 8 Mei 2009), oleh sebab itulah kerajaan Singapura tidak berasa malu terhadap ranking kebebasan akhbar yang rendah yang diberikan oleh sebuah NGO antarabangsa. Ini kerana republik itu mempunyai ranking yang tinggi di bidang kebebasan ekonomi dan kemakmuran.

Konsep Kebebasan akhbar di Indonesia

Kebebasan akhbar di Indonesia adalah bersumberkan kepada Artikel 28 Perlembagaan Indonesia 1945. Konsep kebebasan ini diperkukuhkan lagi menerusi Akta Akhbar 1999. Artikel 2 akta tersebut menyatakan, kebebasan akhbar adalah satu daripada ciri-ciri kedaulatan rakyat berasaskan kepada prinsip-prinsip demokrasi, kesaksamaan dan supremasi undang-undang. Artikel 4(1) menyatakan, kebebasan akhbar adalah dijamin sebagai hak asasi setiap warganegara. Artikel 4(2) menegaskan, akhbar nasional tidak mempunyai tapisan, sekatan atau larangan. Bagaimanapun, Artikel 5(1) menyatakan, akhbar nasional mempunyai obligasi untuk melaporkan peristiwa dan pendapat dengan menghormati nilai-nilai agama dan nilai-nilai masyarakat umum. Sementara itu, Artikel 6(b) menyatakan, akhbar nasional mestilah memainkan peranan menguatkuasakan prinsip-prinsip asas demokrasi, mempromosikan kedaulatan undang-undang dan hak-hak asasi manusia, serta menghormati kepelbagaian. Artikel 6(c) menyatakan, akhbar nasional mestilah mengembangkan pendapat umum berasaskan kepada maklumat yang benar, tepat dan sah. Selanjutnya, Artikel 13 pula menghuraikan, syarikat akhbar dilarang memaparkan iklan yang merendahkan maruah sesuatu agama, menjejaskan keharmonian hubungan antara pelbagai penganut agama, dan bertentangan dengan kesusilaan masyarakat.

Hakikat di atas membuktikan bahawa akhbar di Indonesia tidak tertakluk kepada tapisan, larangan dan sekatan. Ini boleh ditafsirkan bahawa akhbar di Indonesia menimkati kebebasan yang total. Bagaimanapun, akhbar nasional di Indonesia adalah dituntut supaya menghormati nilai-nilai agama, menghormati nilai-nilai masyarakat, menguatkuasakan prinsip-prinsip asas demokrasi, mempromosikan kedaulatan undang-undang dan hak-hak asasi manusia, menghormati kebelpagaian masyarakat, tidak merendahkan maruah seseuatu agama, tidak menjejaskan keharmonian antara penganut pelbagai agama, dan tidak mencemarkan kesusilaan masyarakat. Oleh sebab itu, walaupun Akta Akhbar Indonesia memang tidak mengenakan sebarang tapisan, sekatan ataupun larangan kepada kebebasan akhbar; tapisan, sekatan ataupun larangan itu sebenarnya dijelmakan dalam bentuk nilai-nilai teras yang termaktub di dalam akta berkenaan. Lantaran itu, kebebasan akhbar di Indonesia juga adalah selaras dengan Deklarasi Hak Asia Manusia Sejagat 1948. Maksudnya, kebebasan akhbar di Indonesia adalah kebebasan yang mempunyai had. Dan, had tersebut adalah temaktub di dalam Artikel 5, Artikel 6 dan Artikel 13 Akta Akhbar Indonesia 1999 seperti yang dihuraikan di atas.

Konsep kebebasan akhbar di Amerika Syarikat

Demikianlah hakikatnya kebebasan akhbar di Malaysia, Singapura dan Indonesia. Tetapi, oleh kerana sesetengah pihak di Malaysia yang mendakwa diri mereka sebagai jaguh kebebasan akhbar sering berkiblatkan kepada Amerika Syarikat (AS), maka wajarlah ditinjau apakah bentuk dan realiti kebebasan akhbar di negara tersebut.

Kebebasan akhbar di AS adalah bersumberkan the First Amendment (1791) Perlembagaan AS. Di antara seluruh media di AS, media cetak adalah yang paling bebas. Bagaimanapun, kebebasan akhbar di AS juga adalah bersyarat. Kebebasan itu tidak termasuk kebebasan untuk menyiarkan bahan-bahan lucah dan fonografi. Kebebasan itu juga tidak mengatasi keselamatan serta kepentingan negara. Media penyiaran yang terangkum di bawah First Amendment AS pula menghadapi regulasi dan sekatan. The Communications Act 1934 AS mewujudkan the Federal Communications Commission (FCC) untuk meregulasikan radio, televisyen dan telekomunikasi. Anggota FCC dilantik oleh Presiden AS (Ryan & Wentworth 1999:120-122).

Pada awal 1990-an Kerajaan AS menggunakan alasan “keselamatan ketenteraan” untuk menyekat kebebasan akhbar di negara berkenaan. Contohnya, intervensi ketenteraan AS di Granada, Panama dan Teluk Parsi memberikan kerajaan AS untuk menggunakan isu “keselamatan ketenteraan” sebagai alasan untuk memperkenalkan satu sistem yang menyeluruh bagi menapis penyaluran berita mengenai perang terbabit. Wartawan yang membuat liputan Perang Teluk, contohnya, hanya diizinkan melaporkan berita-berita atas kawalan pegawai Pentagon. Wartawan yang diizin membuat liputan juga disaring oleh pihak Pentagon (Exoo, 1994:96).

Berikutan tragedi 11 September 2001, kerajaan AS pula mengambil beberapa langkah yang disifatkan sebagai menjejaskan kebebasan akhbar. Hakikat ini dihuraikan secara panjang lebar oleh Navasky (2002:28). Antaranya, Navasky menyatakan, Kerajaan AS mengeluarkan satu arahan eksekutif untuk menghalang pengedaran kertas-kertas maklumat mengenai bekas Presiden AS. Peguam Negara AS menarik balik andaian di sebalik Freedom of Information Act bahawa sesuatu dokumen hanya akan dilarang daripada edaran jika ianya menimbulkan mudarat. Kerajaan AS juga meluluskan Patriot Act. Akibatnya, pengaliran maklumat di AS telah dikompromikan dan hak rakyat AS untuk mendapatkan maklumat juga turut terjejas.

Hakikat kebebasan akhbar di AS seperti dihuraikan di atas membuktikan Perlembagaan AS juga memberikan kebebasan akhbar secara bersyarat. Ianya selaras dengan kebebasan akhbar yang dipelopori menerusi Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dan PBB. Pada waktu yang sama, dua nlai teras yang amat dipelihara oleh AS adalah kepentingan dan keselamatan negara. Oleh sebab itulah kebebasan akhbar di AS tidak boleh mengatasi aspek nilai-nilai teras berkenaan.

Realiti kebebasan akhbar di Malaysia

Berdasarkan seluruh huraian di atas, kerajaan Malaysia terbukti memberikan kebebasan akhbar di negara ini selaras dengan prinsip dan konsep kebebasan akhbar yang dipelopori oleh Deklarasi Hak Manusia Sejagat, PBB dan juga AS. Nilai-nilai teras yang dipertahankan oleh kerajaan Malaysia juga sama dengan nilai-nilai teras yang dipertahankan menerusi Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat, PBB dan AS. Dalam lain-lain perkataan, kebebasan akhbar di Malaysia adalah sama piawaiannya dengan kebebasan akhbar yang dilindungi oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat, selaras dengan matlamat serta prinsip PBB dan sama tarafnya dengan standard kebebasan di AS. Pada waktu yang sama, amalan kebebasan akhbar di Malaysia juga tidak jauh berbeza dengan amalan di Singapura dan Indonesia.

Oleh sebab itu, mengapakah pihak yang kononnya juara kebebasan akhbar di Malaysia gagal menerima hakikat di atas? Oleh itu, mengapakah NGO antarabangsa yang memberikan ranking negatif terhadap kebebasan akhbar di negara ini seolah-olah tidak mahu menerima realiti ini? Mengapakah diketepikan kebenaran dan diperbesarkan pula kepalsuan?

Isu kebebasan akhbar di Malaysia juga dipolemik dan dipolitikkan mungkinkah kerana ia adalah antara isu terbaik untuk dijadikan perkakas yang boleh melumpuhkan kekuasaan Melayu yang menjadi teras pemerintahan negara ini? Oleh sebab itu, adakah soal kebebasan akhbar di negara ini yang kononnya negatif akan lenyap bila kuasa negara beralih ke tangan yang lain, khususnya ke tangan bukan Melayu? Mengapakah kelompok antarabangsa dan lokal yang prihatin terhadap kebebasan akhbar di Malaysia tidak memberikan minat dan komen terhadap tindakan seorang ahli exco sebuah kerajaan negeri yang baru-baru ini menyaman sebuah akhbar Melayu dengan jumlah beratus juta ringgit semata-mata kerana akhbar itu menyiarkan sebuah cerpen mengenai seorang individu yang hanya wujud dalam dunia hayalan? Mengapakah kelompok ini juga tidak pernah membuat apa-apa kritikan bila ahli exco yang sama juga menyaman seorang penyair dan menuntut gantirugi sebanyak RM30 juta semata-mata kerana penyair itu mengkaryakan sebuah puisi yang kononnya merujuk kepada ahli exco tersebut? Tidakkah tindakan undang-undang seperti ini merupakan tindakan yang tidak kondusif kepada kebebasan bekarya dan kebebasan akhbar?

Kesimpulan

Kebebasan akhbar yang menjadi sebahagian ciri-ciri kebebasan dalam masyarakat yang demokratik adalah kebebasan yang bersyarat dan kebebasan yang dihadkan oleh nilai-nilai teras sesebuah masyarakat dan negara. Nilai-nilai teras yang sangat ditikberatkan oleh kerajaan Malaysia adalah ketenteraman awam, keselamatan negara, keharmonian kaum dan perpaduan masyarakat. Amalan kebebasan akhbar yang bersyarat ini juga terdapat di AS, Singapura dan Indonesia. Oleh sebab itu, tuduhan kononnya kerajaan Malaysia tidak memberikan kebebasan akhbar adalah dakyah semata-mata.

Wednesday, May 06, 2009

Blog, citramaya, lamancitra, lacitra, blogger dan citrawan

Posting terbaru saya mengundang pelbagai reaksi. Ada yang setuju dan ada yang sebaliknya. Inilah lumrah sesuatu yang baru. Saya amat insaf akan fenomena seperti ini. Bagaimanapun, ramai di kalangan pembaca yang terkeliru. Saya ketengahkan istilah lamancitra atau citramaya bagi blog dan citrawan bagi blogger semata-mata untuk menyahut saranan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim. Tidak lebih dan tidak kurang daripada niat itu.

Bagaimanapun, saya serahkan kepada anda semua. Saya sendiri selesa dengan istilah blog dan blogger. Kalau kemudian hari ada pihak nak mengistilahkan blog sebagai lamancitra, silakan. Dan, kalau nak istilahkan blogger sebagai citrawan pun apa salahnya. Segala-galanya terserah kepada keselesaan kita.

Tetapi, walaupun saya bukan pakar bahasa, usaha yang saya lakukan bukannya kerja mengarut. Ini kerana peristilahan bukannya domain eksklusif pakar bahasa. Persitilahan juga wujud daripada pengamal sesuatu bidang tertentu. Pengkayaan khazanah peristilahan sesuatu bangsa juga bukannya boleh terjadi dengan sekelip mata.

Biarpun begitu, sesuatu istilah juga kadang-kadang wujud menerusi suatu situasi yang lucu dan tidak disangka-sangka. Oleh itu, dalam sejuta kelucuan, bagaimana agaknya kalau kita istilahkan blog sebagai LACITRA (singkatan kepada laman citra tapi bunyi macam labamba) dan blogger sebagai CITRAWAN? – Ruhanie Ahmad

Sunday, May 03, 2009

Citrawan dan citramaya

Ruhanie Ahmad

Dalam satu jamuan makan malam dengan sekumpulan bloggers tanahair di Kuala Lumpur baru-baru ini, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, menyarankan kita mencipta istilah Bahasa Melayu bagi blog dan blogger.

Saya mengambil lebih seminggu untuk membelek kamus dan membaca buku mengenai ICT untuk mendapatkan istilah paling sesuai bagi kedua-duanya. Malam tadi saya memutuskan dua pilihan, iaitu blog diistilahkan dalam Bahasa Melayu sebagai lamancitra atau citramaya dan blogger pula sebagai pencitra atau citrawan. Bagaimanapun, beberapa sahabat saya bersetuju blog diistilahkan sebagai citramaya dan blogger sebagai citrawan.

Ada juga sahabat yang mencadangkan agar blogger lelaki diistilahkan sebagai citrawan dan perempuan sebagai citrawati. Tetapi, oleh kerana istilah blogger adalah mesra gender, wajarlah kita istilahkan blogger hanya sebagai citrawan.

Kamus Besar Bahasa Melayu (Utusan) memberikan maksud citra dalam bentuk kata-kata teras sebagai gambar, gambaran, wujud, rupa, bentuk, lukisan, arca. Ini bermakna bahawa menurut kamus ini, citra adalah suatu gambaran yang wujud dalam bentuk, rupa, lukisan dan arca.

Kamus Dewan Bahasa pula memberikan erti kepada citra sebagai gambar, lukisan, arca. Ini bermakna kamus ini juga hanya menitikberatkan bentuk fizikal iaitu gambar, lukisan dan arca.

Kamus Besar Bahasa Indonesia memberikan empat maksud citra. Satu: dari segi kesusasteraan Melayu klasik, citra bermakna rupa, gambar, gambaran. Dua: dari sudut pengurusan, citra bermaksud gambaran yang dimiliki orang banyak mengenai peribadi, perusahaan, organisasi atau produk. Tiga, dari aspek sastera, citra adalah kesan mental atau bayangan visual yang ditimbulkan oleh sesebuah kata, frase, atau kalimat, dan merupakan unsur dasar yang khas di karya prosa dan puisi. Empat, dari konteks perhutanan, citra adalah data atau informasi dari potret udara untuk bahan evaluasi.

Kata-kata teras kepada maksud citra daripada ketiga-tiga kamus berkenaan adalah gambar, gambaran, bentuk, rupa, lukisan, arca, kesan mental, kata, frase, kalimat, informasi dan evaluasi. Keseluruhan kata-kata teras ini boleh membawa maksud bahawa citra adalah gambaran atau persepsi umum yang lahir daripada rupa, bentuk, lukisan, acra, barisan kata-kata, frase, kalimat dan informasi yang boleh memberikan kesal mental atau pun boleh dievaluasikan.

Dalam kata-kata yang lain, citra adalah sesuatu yang abstrak. Ia boleh ditakrifkan sebagai pemikiran, imajinasi, persepsi, reaksi, evaluasi atau pendapat seseorang insan setelah membaca, meneliti atau menghayati sesuatu gambar, lukisan, arca, puisi, prosa, maklumat ataupun data.

Maksud yang saya bina ini hampir bertepatan dengan maksud blog. Untuk pembinaan istilah ini, saya definisikan blog sebagai sebuah halaman siber yang interaktif yang memaparkan teks, gambar dan suara secara keseluruhannya, secara bercampur-campur atau secara berasingan untuk menimbulkan kesan mental kepada pembacanya, untuk dinilai oleh pembacanya atau untuk mendorong reaksi dalam bentuk komen daripada pembacanya.

Definisi blog seperti di atas mempunyai persamaan dengan maksud perkataan citra kerana kedua-duanya membabitkan aspek pemikiran, imajinasi, persepsi, reaksi, evaluasi atau pendapat manusia. Kesan mental akan wujud daripada seseorang insan sesudah ia meneliti, memahami serta menghayati sesuatu prosa, puisi, lukisan, gambar ataupun arca. Kesan mental juga akan lahir daripada seseorang insan setelah mengakses sesuatu blog, membaca postingnya sama ada dalam bentuk teks, video ataupun audio. Impak daripada penghayatan, pemahaman dan penelitian sesuatu gambar, lukisan, arca ataupun posting adalah citra kepada gambar, lukisan, arca ataupun posting terbabit.

Oleh sebab itu, kalau laman siber yang memberikan citra ini diistilahkan dalam Bahasa Inggerisnya sebagai blog, manis sungguh jika laman yang sama kita istilahkan dalam Bahasa Malaysia sebagai laman citra. Bagaimanapun, oleh kerana alam siber atau alam digital yang menjadi domain sesuatu blog di angkasaraya juga dikenali dalam Bahasa Melayu sebagai alam maya, manis sungguh jika blog atau laman citra ini diistilahkan sebagai citramaya. Dan, oleh kerana pemilik blok dikenali sebagai blogger, adalah wajar jika pemilik dan pengoperator citramaya ini kita istilahkan dalam Bahasa Melayu sebagai citrawan.

Lantaran itu, jika anda sependapat dengan saya, mulai hari ini kita istilahkanlah blog sebagai citramaya dan blogger sebagai citrawan. Mulai hari ini juga wajar kita hebahkan ke seluruh dunia nusantara, blog adalah citramaya dan blogger adalah citrawan.

Saya bukannya seorang pakar bahasa. Tetapi, saya mendedikasikan masa kira-kira seminggu untuk membina istilah ini kerana menyahut seruan Rais. Mudah-mudahan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang cukup halus jiwa seninya ini sudi menerima istilah ini dengan sepenuh hati.

Saya tidak akan mempaten atau mengcopyrightkan istilah ini kerana sebagai seorang citrawan sejak Jun 2006, saya rasa inilah sumbangan kecil saya kepada dunia citramaya Malaysia dan kepada warga citrawan tanahair seluruhnya.

Saya percaya istilah ini akan menerima legitimasi dan pengiktirafan sewajarnya bila Rais dan kita semua setuju mengguna serta mempopularkan kedua-duanya secara yakin dan meluas sehingga ianya meniti dari bibir ke bibir dan menjadi buat mulut di Malaysia.

Akhir sekali, marilah kita mula gelarkan diri kita sebagai citrawan dan blog kita sebagai citramaya. Kepada saya, citramaya saya adalah kuda-kepang dan puteramaya. Sebagai seorang citrawan, saya akan akan sentiasa berusaha untuk berpegang teguh kepada disiplin dan akauntabiliti diri sendiri dalam berkarya menerusi citramaya di alam siber!

Saturday, May 02, 2009

Anak Kampung Dan Komuniti Burung

Ruhanie Ahmad

Dalam kesibukan hidup seharian, tiba-tiba saya teringatkan kampung halaman di Batu Pahat. Paling mencuit kerinduan saya adalah mengenai kicauan aneka spesies burung yang menyegarkan jiwa. Hakikatnya begitu kerana majoriti anak kampung memang menghayati kemerduan nyanyian burung di kala Subuh, tengahari dan senja. Di kala malam bulan mengambang, mereka akan berasa sayup dengan dendangan burung pungguk tanpa renti mendayu-dayu sampai ke fajar. Kadang-kadang mereka akan dikejutkan dengan suara burung helang yang terbang bertebaran di angkasa pada waktu tengahari sambil cuba menyambar mangsanya di bumi. Di musim tengkujuh mereka akan melihat burung raja udang berkejar-kejaran sambil menerjah hujan. Pendek kata, kicauan burung dan perilaku hidup masing-masing tetap mengasyikkan kepada mereka yang mempunyai jiwa seni.

Warga burung memang menjadi sebahagian penghuni sesebuah kampung terutama sekali kampung yang terceruk jauh daripada hiruk-pikuk kemajuan dan pembangunan. Burung-burung akan terbang berkawan-kawan mencari rezeki di awal pagi. Mereka pulang ke sarang masing-masing di kala senja menjelang tiba. Mereka hidup rukun damai, tinggi semangat kesetiakawanan dan sungguh mulia kemuafakatan antara sesama kelompok atau dengan kelompok yang lain.

Hakikat ini amat menakjubkan. Saya tidak pernah terlihat seekor burung raja udang hinggap di atas kepala kawannya. Saya tidak pernah terpandang seekor buruk belatuk berebutan rezeki. Saya tidak pernah terjumpa seekor burung murai bergaduh sesama sendiri sebab seekor cacing. Saya tidak pernah terserempak dengan seekor burung kelicap yang bertengkar sesama sendiri kerana berebut madu di mayang kelapa yang sedang mekar.

Burung tempua membuat sarangnya tanpa dicemburui oleh pipit uban. Burung pungguk yang rabun di siang hari tidak pernah diganggu-gugat oleh burung perling. Burung kebayan tidak pernah bermegah diri kerana warnanya yang menawan. Burung gereja tidak pernah sekali mengganggu keharmonian burung terocok. Burung tekukur tidak pernah beradu kemerduan suara dengan tekukur. Burung merpati terbang dan hinggap tanpa cemburu kepada serindit yang berwarna kuning diraja.

Saya menulis kisah burung-burung ini kerana pada ketika ini nostalgia kerukunan burung-burung itu amat menjentik naluri diri. Mereka sentiasa sehati sejiwa. Mereka sentiasa muafakat. Mereka hidup menjunjung nilai-nilai, adat, etika dan disiplin diri. Mereka tidak tamak. Mereka tidak haloba. Jiwa mereka bersih daripada hasad dan dengki.

Setiap spesies burung mengenal asal usul dan susur-galur spesies masing-masing. Murai tidak akan berlagak sebagai merbah. Kebayan tidak akan menjadi perling. Belatuk tidak akan jadi raja udang. Serindit tidak akan menjadi pipit. Tempua tidak akan bersarang rendah. Burung pungguk tidak akan mendayu-dayu di siang hari. Sekali sekala murai memang akan jadi kecoh di tengah malam bila didapati ada bahaya di persekitaran persarangannya.

Persoalannya di sini mengapa harus manusia terpegun dengan komuniti burung? Mengapakah sistem kemasyarakatan komuniti burung wajar dikaji dan dihayati? Kenapakah komuniti burung sentiasa menjunjung tinggi etika, adat, resam, budaya dan kelaziman hidup tanpa rasa jelak, jemu dan lelah?

Apapun burung dan cara hidupnya sentiasa menakjubkan saya. Sewaktu membuat ucapan sulung di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia pada 11 Disember 1990, saya berucap mengenai demokrasi. Lantas saya ambil iktibar burung yang mengetahui batas dan tahap kebebasan masing-masing, yang tahu menghormati hak dan keistimewaan spesies yang lain, yang tidak pernah hinggap di atas kepala spesies sendiri atau spesies lain, yang tidak pernah memijak kepala sesama sendiri apatah lagi kepala spesies lain.

Ucapan itu saya tujukan kepada Lim Kit Siang yang sebelum itu membahaskan soal demokrasi secara berapi-api. Saya tidak pasti beliau memahami analogi saya itu kerana di kalangan Ahli Parlimen BN pun ramai yang bertanya mengapakah saya mengheret soal demokrasi dengan sistem kehidupan burung-burung?

Saya tidak dapat menghuraikan jawapan kepada pertanyaan itu. Tetapi, mereka juga tidak dapat menjawab pertanyaan saya, salahkah jika manusia yang dianugerahi Allah dengan pemikiran meluangkan sejenak masa mereka untuk meneliti karenah, gelagat, perilaku dan kaedah kehidupan komuniti burung? Fikir-fikirkanlah!

Wednesday, April 29, 2009

ALFATEHAH BUAT WANITA PERTAMA SARAWAK DAN TAKZIAH KEPADA KETUA MENTERI SARAWAK SEKELUARGA

Wanita Pertama Sarawak, Datuk Patinggi Puan Sri Hajah Dr. Laila Taib, isteri kepada Ketua Menteri Sarawak, Pehin Seri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, pulang ke rahmatullah di kediamannya di Demak Jaya, Kuching, jam 3.45 petang tadi. Almarhumah, 68, meninggalkan empat orang anak.

Isteri saya, Aisah Zainab Mahmud serta saya sekeluarga kehilangan seorang kakak ipar yang selama hayatnya sentiasa memberikan kasih sayang sewajarnya kepada kami.

Sesungguhnya kepulangan Almarhumah adalah satu kehilangan yang besar. Kami mendoakan semoga roh Almarhumah akan sentiasa dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan berada di kalangan orang yang solehah jua.

Kepada Abang Taib serta anak-anak, iaitu Jamelah, Mahmud, Rahman dan Hanifah serta keluarga masing-masing, kami sekeluarga amat bersedih di atas kembalinya Almarhumah ke rahmatullah. Sembah salam takziah dan salam takzim kepada Abang Taib dan salam hormat kepada seluruh anggota keluarga. Alfatehah! – Ruhanie Ahmad

Isteri Taib Mahmud meninggal dunia

KUCHING 29 April – Puan Sri Laila Taib, isteri kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud meninggal dunia pada 3.45 petang ini di kediaman mereka di Demak Jaya di Kuching.

Pegawai akhbar kepada Ketua Menteri, Amin Sahmat mengesahkan.

Allahyarham berusia 68 tahun. – BERNAMA 6.03 petang.

Monday, April 27, 2009

ALFATEHAH BUAT SAUDARA BASRAH HAJI ALI

Hari ini masyarakat di Parit Sulong dan warga akhbar di Johor kehilangan seorang aktivis masyarakat, pendukung kerajaan dan wartawan sambilan, iaitu Saudara Basrah Haji Ali, yang dikenali ramai sejak awal 1960-an.

Allahyarham Basrah, 68, pulang ke rahmatullah tengahari tadi. Jenazahnya selamat disemadikan di tanah perkuburan Kampung Parit Yusof, Parit Sulong, Batu Pahat, petang tadi.

Allahyarham menceburi dunia kewartawanan sejak awal 1960-an. Beliau pernah menyumbangkan berita-berita politik Johor kepada Berita Harian, Watan, Buletin Rakyat dan lain-lain akhbar mingguan.

Allahyarham Basrah pernah menjawat pelbagai jawatan dalam UMNO Parit Sulong, UMNO Semerah dan UMNO Air Hitam sama ada di peringkat cawangan atau bahagian. Beliau pernah menjadi Ketua Penerangan UMNO Bahagian Parit Sulong dan Ahli Majlis Daerah Batu Pahat Timur.

Allahyarham Basrah @ Busro Madali, mendapat pendidikan di Sekolah Melayu-Arab Madarasah Samsudiniah Gersik, Muar; Madarasah Sa’adiah Al-Islamiah, Temoh, Batang Padang, Perak; dan Pondok Haji Hassan, Kampung Pisang, Kupang, Baling, Kedah. Beliau pernah menjadi guru agama di Singapura di bawah nazir Ustaz Haji Daud Ali.

Pada September 2004, Allahyarham Basrah menerbitkan buku UMNO organisasi bukan arahan. Antara lainnya, beliau menyorot kata-kata Dato’ Onn Jafar bahawa “masa depan orang Melayu akan gelap jika tiada persefahaman dan perpaduan,” memaparkan kisah beliau mengucup tangan Tunku Abdul Rahman Putra sewaktu perasmian bangunan UMNO Singapura di Geylang, mencatatkan keajaiban slogan Malaysia Boleh di era Tun Dr Mahathir Mohamad, mengupas slogan “mari bekerja bersama saya” yang dipopularkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi, menyifatkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai “pemimpin yang jujur dan lembut hati,” menganalisis potensi besar Tan Sri Muhyiddin Yassin di dalam UMNO, menghuraikan kelangsungan politik Tengku Razaleigh Hamzah, dan menyifatkan Allahyarham Tan Sri Othman Saat sebagai legenda.

Dalam buku tersebut Allahyarham Basrah juga memaparkan foto beliau bersebelahan dengan Naib Presiden Indonesia, Tun Adam Malik, pada 1983. Turut di dalam foto berkenaan adalah Pak Habib atau Saudara S. H. Alattas.

Kini Allahyarham Basrah sudah kembali ke rahmatullah. Saya sekeluarga kehilangan seorang sahabat. Kami mengucapkan takziah kepada balu, anak-anak dan saudara maranya di Parit Yusof, Pasir Sulong. Kami juga memohon semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan mudah-mudahan Allahyarham juga ditempatkan di kalangan orang yang soleh. Alfatehah! – Ruhanie Ahmad

Saturday, April 25, 2009

KENYATAAN AKHBAR DATUK IBRAHIM ALI, PRESIDEN PERTUBUHAN PRIBUMI PERKASA MALAYSIA (PERKASA)

1. PERKASA menghormati tindakan kerajaan meliberalisasikan 27 subsektor dalam bidang perkhidmatan kesihatan dan sosial, pelancongan, pengangkutan, perniagaan, komputer dan yang berkaitan dengannya berkuat kuasa serta-merta tanpa mengenakan sebarang syarat ekuiti seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada Rabu 22 April 2009.

2. PERKASA juga menginsafi bahawa tujuan tindakan tersebut adalah untuk membentuk satu persekitaran perniagaan yang kondusif bagi menarik pelaburan, teknologi serta menjana peluang pekerjaan bertaraf tinggi. Ini bermakna langkah ini dilaksanakan demi kepentingan negara dan rakyat jelatanya.

3. PERKASA juga menghormati kenyataan kerajaan bahawa inisiatif liberalisasi ini tidak akan menjejaskan industri perkhidmatan tempatan kerana ianya dilaksanakan dibawah kawalseliaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerusi Jawatankuasa Kebangsaan bagi Kelulusan Pelaburan Sektor Perkhidmatan di bawah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA).

4. Bagaimanapun PERKASA kesal kerana kerajaan memansuhkan syarat peruntukan ekuiti 30 peratus tempatan untuk subsektor berkenaan. Ini bermakna usahawan Bumiputera tertutup peluang menyertai sektor ini walaupun ianya merupakan komponen penting dalam ekonomi negara yang menyumbang sebanyak 55 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2008 dengan 47.6 peratus merupakan sumbangan perkhidmatan bukan kerajaan.

5. Memang mutakhir ini wujud segolongan usahawan Bumiputera yang berkemampuan untuk bersaing menerusi sistem yang terbuka. Tetapi, jumlah usahawan yang mampu berjaya menerusi sistem meritokrasi ini pastinya masih kecil dan belum menyeluruh.

6. Oleh itu, PERKASA bimbang bahawa keputusan kerajaan ini, walaupun demi untuk negara dan rakyat jelatanya, kemungkinan ianya menjejaskan majoriti usahawan Bumiputera di sektor perkhidmatan yang diliberalisasikan ini tidak dapat dinafikan. PERKASA juga bimbang bahawa tindakan kerajaan ini menjadi permulaan kepada pemansuhan ekuiti 30 peratus sepenuhnya bagi sektor-sektor lain di masa akan datang.

7. Oleh itu, PERKASA berpendapat bahawa keputusan memansuhkan ekuiti 30 peratus dalam sektor perkhidmatan yang dilebralisasikan dua hari lalu wajar dikaji semula dengan seberapa segera. Sekurang-kurangnya kerajaan wajar menetapkan ekuiti yang yang lebih kecil daripada kadar 30 peratus sebelum ini. Pada waktu yang sama, kerajaan perlu menyatakan secara tegas bahawa tahap ekuiti 30 peratus yang dikenakan sebelum ini akan dikuatkuasakan semula sebaik sahaja ekonomi negara pulih seperti sedia kala.

8. PERKASA menyatakan pendapat serta mengemukakan saranan di atas kerana dalam apa jua keadaan adalah kurang wajar jika status Bumiputera di negara ini seolah-olah diremehkan. Tindakan seperti ini memberikan persepsi dan impak negatif kepada kesungguhan kerajaan mempertahankan program dan dasar affirmatifnya bagi masyarakat Bumiputera seluruhnya.

9. Sekian. Terima kasih dan salam takzim.


Ibrahim Ali
25 April 2009

Friday, April 24, 2009

SENARAI PENUH PENGERUSI PERHUBUNGAN UMNO NEGERI

KUALA LUMPUR 24 April – Berikut senarai penuh Pengerusi-pengerusi Perhubungan UMNO negeri-negeri sepertimana diumumkan oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi.

Selangor - Datuk Seri Najib Razak

Wilayah Persekutuan - Tan Sri Muhyiddin Yassin

Perak - Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir

Pulau Pinang - Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi

Kedah - Datuk Seri Shafie Apdal

Perlis - Datuk Md. Isa Sabu

Kelantan - Datuk Mustapa Mohamed

Pahang - Datuk Seri Adnan Yaacob

Terengganu - Datuk Seri Hishammuddin Hussein

Negeri Sembilan - Datuk Mohamad Hasan

Melaka - Datuk Seri Mohd. Ali Rustam

Johor - Datuk Abdul Ghani Othman

Sabah - Datuk Seri Musa Aman

- Utusan

MOHD. ALI DILANTIK MT, KEKAL TERAJUI MELAKA


KUALA LUMPUR 24 April – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam adalah antara yang dilantik sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini.

Mohd. Ali yang dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, turut dikekalkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka.

Selain beliau, turut dilantik sebagai MT ialah bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Datuk Jamil Khir Baharom, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Datuk Abdul Ghani Othman, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir. - Utusan

Tuesday, April 21, 2009

MALAYSIA-SINGAPURA: REALIST-INDEPENDENCE LAWAN REALIST-INTERDEPENDENCE

Ruhanie Ahmad

Dasar dan hubungan luar Singapura adalah berasaskan falsafah realist-independence. Dasar dan hubungan luar Malaysia pula berteraskan falsafah realist-interdependence. Singapura terkenal sebagai pengamal sikap kiasu. Malaysia pula masyhor sebagai pengamal sikap perkayakan jiran anda (enrich thy neighbour).

Inilah ironi dan paradoks hubungan Malaysia-Singapura. Bagaimanapun, kita ikutilah apa yang dimaksudkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kenyataannya mengenai Iskandar Malaysia di bawah ini, apa olahan semula ke atas Iskandar Malaysia yang dimaksudkannya, apa sikap Singapura mengenainya, apa reaksi Najib terhadap saranan Datuk Shahrir Abdul Samad mengenai jambatan lurus merentasi Selat Teberau dan apa pula sikap Singapura mengenai projek jambatan ini yang pernah dibatalkan oleh rejim lama Malaysia dengan penuh tanda tanya.

Pada waktu yang sama, moga-mogalah kepimpinan baru Malaysia menginsafi fenomena dan perkembangan politik antarabangsa di abad ke-21 ini yang kononnya akan dibebani oleh masalah yang mungkin timbul daripada konsep kedaulatan negara dan identiti bangsa dalam konteks dunia rentas-sempadan dan dunia tanpa sempadan yang kini sedang dirincikan oleh para sarjana keselamatan dan hubungan antarabangsa di peringkat global. Oleh itu, mungkinkah soal kedaulatan Malayia di Iskandar Malaysia akan dijejaskan oleh konsep kedaulatan yang baru ini?

Apapun, jangan bimbang. Tulisan ini sekadar untuk menjolok minda pemimpin kita. Tetapi, realitinya yang belum pasti tidak boleh diketepikan tanpa kajian mendalam oleh pihak pemerintah!

ISKANDAR MALAYSIA DIOLAH SEMULA

JOHOR BAHRU 20 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan Pusat akan mengolah semula pelaksanaan Iskandar Malaysia bagi memastikan sasaran meletakkannya di peta dunia tercapai tanpa meminggirkan rakyat.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0421&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_11.htm

FDI ISKANDAR MALAYSIA HAMPIR RM47 BILION

KUALA LUMPUR 20 April - Iskandar Malaysia hampir memenuhi sasaran keseluruhan pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah AS$13 bilion (RM47.19 bilion) bagi fasa yang berakhir pada 2010.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0421&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm

JAMBATAN LURUS BUKAN BENGKOK – SHAHRIR

JOHOR BAHRU 20 April - Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad, hari ini memperbetulkan laporan Utusan Malaysia bahawa cadangan projek jambatan ke Singapura yang dimaksudkannya adalah jambatan lurus.

"Apa yang saya maksudkan semalam adalah jambatan lurus, bukannya jambatan bengkok," katanya semasa memperbetulkan laporan Utusan Malaysia tersebut.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0421&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_04.htm

PM KOMITED TERUS BANGUNKAN ISKANDAR MALAYSIA

JOHOR BAHARU, 20 April (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan pusat akan meneruskan komitmen pembangunan Iskandar Malaysia bagi menjadikannya sebuah pusat pertumbuhan baru di negara ini.

Perdana Menteri berkata dasar pembangunan Iskandar Malaysia kerajaanya merupakan kesinambungan dari dasar pentadbiran bekas Perdana Menteri ke-lima, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.

"Sudah sampai masanya satu pusat pertumbuhan baru wujud di Semenanjung negara ini kerana keadaan di Lembah Klang akan menjadi padat dengan kehadiran rakyat dari negeri lain terutama Pantai Timur ke kawasan berkenaan.

"Oleh itu, apabila ada kawasan pertumbuhan yang membangun yang mendapat suntikan dari dalam dan luar negara, maka rakyat akan mempunyai pilihan untuk berhijrah ke kawasan seperti Iskandar Malaysia ini," katanya.

Najib berkata demikian semasa berucap pada program pertemuan bersama kakitangan perkhidmatan awam, di sini Isnin. Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohamed Yassin, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman, barisan exco kerajaan negeri dan pegawai-pegawai kerajaan.

Perdana Menteri berkata kerajaan pusat dalam merencanakan pembangunan Iskandar Malaysia akan meminta pandangan kerajaan Johor bagi menjayakan koridor pembangunan berkenaan.

Beliau turut menegaskan bahawa rakyat Johor tidak akan terpinggir dengan pembangunan tersebut dan tetap mendapat pelbagai habuan daripadanya.

"Bukan masanya kita cuba politikkan isu Iskandar Malaysia. Saya percaya kita tidak perlu menjadikan projek ini sebagai polemik politik tetapi melihatnya sebagai sesuatu yang positif.

"Dengan suntikan dari pelaburan luar, adanya pelaburan berteknologi tinggi, pembangunan eko pelancongan, perubatan dan pengajian tinggi antarabangsa, sudah tentu kita akan berbangga kerana Iskandar Malaysia ini akan meletakkan Johor di peta dunia," katanya.

Projek pembangunan Iskandar Malaysia dilancarkan oleh Sultan Johor pada November 2006 yang merangkumi kawasan seluas 2,217 km persegi, yang merupakan tiga kali ganda luasnya daripada Singapura.

Sejak dirasmikan, Iskandar Malaysia telah berjaya menarik pelaburan RM40 bilion dari dalam dan luar negera yang menghampiri sasaran pelaburan RM47 bilion pada 2010. -- BERNAMA

Lagi:http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=405451

Saturday, April 18, 2009

KONSEP SATU MALAYSIA PERLU HURAIAN KOMPREHENSIF

Ruhanie Ahmad

Konsep adalah intipati kepada sesuatu gagasan, idea atau pemikiran. Ia tidak boleh diketengahkan kepada masyarakat menerusi pendekatan yang adhok ataupun runcit. Ia memerlukan huraian secara jelas, padat, terperinci dan komprehensif.

Begitulah juga hakikatnya dengan Konsep Satu Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, baru-baru ini. Belum sempat Najib menghuraikan konsep berkenaan secara terperinci, pihak pembangkang sudah mengeksploitasikan konsep itu kononnya sebagai sinonim dengan Malaysian Malaysia ciptaan DAP.

Pihak pembangkang tidak boleh disalahkan dalam hal ini. Najib juga tidak boleh dikatakan sebagai tersilap kerana mengketengahkan konsep itu seolah-olah dalam keadaan tergesa-gesa.

Bagaimanapun, sewajarnya pihak-pihak tertentu dalam kerajaan tampil untuk mengartikulasikan putra-minda (brainchild) Najib ini dengan seberapa segera. Pihak-pihak ini termasuklah pelbagai think-tanks, badan kajian, kelompok intelektual dan golongan akademik. Hasil pengartikulasian ini pula mesti dirujuk semula kepada Najib sebelum ianya dihebahkan kepada rakyat jelata.

Cadangan ini dikemukakan bukan kerana Najib tidak mampu untuk mendalami konsep berkenaan. Tetapi, sudah menjadi kelaziman di mana-mana bahawa konsep yang dilahirkan oleh seseorang pemimpin perlu dihalusi, dirinci dan dituntasi oleh kumpulan pemikir yang akan membantu pemimpin berkenaan mentransformasikan konsep tersebut supaya menjadi dasar dan program yang menyeluruh serta menepati matlamat teras konsep terbabit.

Tindakan ini perlu dilakukan dengan segera untuk mengelakkan konsep ini daripada dieksploitasikan dengan lebih lanjut oleh puak-puak oportunis dan untuk mengelakkan kelompok kakak tua daripada menghuraikan konsep ini sekadar sebagai retorik semata-mata.

Sewajarnya sebelum 40 hari Najib menerajui kepimpinan negara, Konsep Satu Malaysia ini sudah boleh ditransformasikan kepada Doktrin Satu Malaysia yang menjurus kepada pelbagai aspek dasar, program dan strategi yang membabitkan perjuangan serta pengurusan kerajaan yang serasi dengan citarasa rakyat seluruhnya.

Setakat ini Najib sudah memberikan beberapa indikator dan ciri-ciri penting kepada Konsep Satu Malaysia. Semoga apa jua indikator dan ciri-ciri berkenaan, Konsep Satu Malaysia wajarlah berindukkan kepada Perlembagaan Persekutuan, Rukunegara dan Wawasan 2020.

Sunday, April 12, 2009

ARTIKULASIKAN KONSEP SATU MALAYSIA

Ruhanie Ahmad

Konsep Satu Malaysia yang diumumkan oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak minggu lalu adalah bukti keprihatinan kepimpinan beliau terhadap destini negara-bangsa Malaysia, perpaduan, kemakmuran, keamanan, keselamatan, kecemerlangan, keunggulan dan kelangsungannya di hari muka.

Konsep sosio-politik yang berteraskan cita-cita untuk membina satu era baru di Malaysia menerusi satu transformasi yang besar ini bermatlamat untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan prestasi berpaksikan keutamaan rakyat.

Najib telah merincikan konsep ini menerusi blog peribadinya, 1 Malaysia. Contohnya, pada 5 April 2009, Najib menghuraikan aspek-aspek budaya kecemerlangan. Pada 8 April 2009, beliau pula menghuraikan maksud nilai-nilai ketabahan.

Ini bermakna budaya kecemerlangan dan nilai-nilai ketabahan adalah antara ciri-ciri teras kepada Konsep Satu Malaysia. Pastinya dalam siri tulisan Najib selanjutnya beliau akan menghuraikan ertinya perpaduan dalam kepelbagaian (unity in diversity) yang mendasari elemen kemajmukan rakyat Malaysia dan lain-lain aspek kenegaraan yang sewajarnya menjadi perisian serta input kepada Konsep Satu Malaysia.

Rakyat jelata Malaysia juga perlu menyumbangkan dayausaha mereka untuk memperdalami dan merincikan konsep ini. Dayausaha ini pasti dapat membantu kepimpinan Najib untuk segera menterjemahkan konsep ini menjadi dasar dan program perjuangan nasional yang efektif dan bermanfaat dalam tempoh terdekat ini.

Oleh sebab itu, sama-samalah kita bangkit dan bertindak. Kita yang terdiri daripada golongan akademik, profesional, pemimpin gerakan akar umbi, aktivis belia, aktivis pelajar, elit politik yang merentasi ideologi, dan seluruh rakyat jelata wajar bergabung tenaga dan minda untuk menghalusi konsep ini dengan seberapa segera.

Kita rincikan konsep ini, kita hayati cita-citanya, kita terokai input dan perisian yang sewajarnya, dan akhir sekali kita ketengahkan penemuan daripada dayausaha kita ini kepada pihak kerajaan untuk menjadikannya kepada dasar dan program nasional yang kita perlukan.

Namun adalah penting jika dayausaha ini kita laksanakan dengan bersandarkan kepada prinsip dan semangat Perlembagaan Persekutuan, Rukunegara dan Wawasan 2020 supaya Konsep Satu Malaysia ini tidak meminggirkan ciri-ciri asas dan utama kepada kenegaraan, perpaduan dan kemajuan Malaysia seluruhnya. Dengan cara ini, moga-moga usaha untuk mengeksploitasikan Konsep Satu Malaysia kononnya sebagai sinonim dengan Konsep Malaysian Malaysia akan menjadi usaha yang terpencil dan dengan sendirinya ditolak oleh majoriti rakyat jelata Malaysia.

Friday, April 10, 2009

USAH ULANGI CITRA LAMA

Sekali air bah sekali pasir berubah. Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sudah pun mengumumkan kabinetnya. Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Timbalannya. Para menteri dalam kabinet Najib juga ramai muka-muka baru. Wajah-wajah yang mencerminkan kepimpinan lama dimansuhkan bayangnya.

Bagaimanapun kenyataan di bawah ini wajar dihalusi erti dan maksudnya supaya tidak terulang gelagat dan citra lama. Eloklah jika Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang baru mahu membantu Najib dalam apa jua kapisiti. Tetapi waspada, jangan sokong membawa rebah dan padah. – Ruhanie Ahmad

Khairy sedia bantu PM

MELAKA 9 April - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sedia membantu Perdana Menteri walaupun tidak terpilih menganggotai barisan Kabinet yang diumumkan Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, jawatan dalam Kabinet tidak penting baginya apatah lagi dengan tanggungjawab beratnya sebagai ketua pergerakan tersebut.

"Sebagai Ketua Pemuda UMNO, saya sedia membantu Perdana Menteri sama ada dalam atau luar kerajaan dan saya rasa jawatan (Kabinet) itu tidak penting," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0410&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_02.htm

Thursday, April 09, 2009

HARAPAN RAKYAT KEPADA NAJIB DAN KABINETNYA

Hari ini Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dijangka mengumumkan senarai jemaah menterinya (kabinet) yang baru. Saya tidak berminat untuk mengulas siapa yang perlu digugurkan daripada senarai lama atau siapa pula yang harus dirangkumkan ke dalam barisan yang baru. Ini adalah hak Perdana Menteri untuk memuktamadkannya.

Bagaimanapun, saya cuma menyampaikan harapan rakyat jelata dengan secara umum. Pertama, singkirkan mana-mana pihak yang terbabit dalam rasuah atau disyaki terlibat dengan rasuah. Jika seseorang itu sudah didapati salah akibat rasuah dalam politik, SPRM wajar menyiasat kes individu berkenaan dengan lebih rinci dan mendalam. Individu seperti ini juga wajar dikeluarkan daripada barisan kabinet yang baru.

Kedua, memang wajar untuk pihak kerajaan memperkecilkan semula jumlah kementeriannya. Tetapi, warga kampus, baik segolongan pensyarah atau pelajar, sangat-sangat berharap semoga Kementerian Pendidikan Tinggi tidak digabungkan semula dengan Kementerian Pelajaran. Moga-moga, kementerian yang antara lainnya bertanggungjawab terhadap tadika tidak akan dicantumkan semula dengan kementerian yang bertanggungjawab terhadap IPTA, kata mereka.

Ketiga, mereka yang tewas dalam pertandingan Majlis Tertinggi UMNO baru-baru ini wajar dikeluarkan daripada senarai. Tetapi, mereka yang menang pula tidak semuanya perlu dipertimbangkan memasuki kabinet yang baru. Maksudnya, mereka yang langsung tidak bertanding apa-apa jawatan baru-baru ini juga wajar dipertimbangkan asalkan individu-individu ini mempunyai keikhlasan, keprihatinan dan komitmen mendalam terhadap perjuangan agama, bangsa dan negara.

Akhir sekali, rakyat jelata memohon agar seluruh anggota kabinet Malaysia yang baru, termasuk Najib, wajar insaf untuk tidak mengulangi kebobrokan kerajaan dan parti akibat permainan politik isteri, anak, menantu, adik-beradik, besan, ipar, duai dan kroni. Elemen-elemen asing seperti yang daripada hujung Tambak Johor juga wajar diharamkan daripada memunculkan wajah atau jari-jari mereka di mana-mana. Pendek kata, jangan sekali-kali libatkan mereka dalam pengurusan kerajaan dan parti.

Selamat maju jaya dan Kepada Allah Berserah. – Ruhanie Ahmad

Sunday, April 05, 2009

SELEPAS TEORI RAHMAN TEORI HAMKA?

Warga siasah Malaysia mempunyai satu teori (baca: sistem meramal giliran) yang unik mengenai siapakah yang bakal menjadi Perdana Menteri di negara ini selama enam generasi mulai 1957. Sistem meramal giliran ini dikenali sebagai TEORI RAHMAN.

Teori ini bukannya teori dalam ertikata ilmiah yang sebenar-benar. Ia sekadar satu singkatan abjad kepada nama lazim Perdana Menteri Malaysia mulai dengan Tunku Abdul Rahman Putera, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan akhir sekali perkataan (N) yang baru saja dipenuhi oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam.

Saya diperkenalkan kepada teori ini oleh sekumpulan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di era Datuk Harun Idris pada tahun 1973. Bagaimanapun, tiada sesiapa mengetahui siapakah insan pertama yang mencipta teori berkenaan.

Mengikut pendukung teori ini, bakal-bakal PM Malaysia selama enam generasi mulai 1957, adalah dari kalangan mereka yang pangkal namanya terangkum dalam abjad perkataan RAHMAN.

Teori ini pernah menjadi polemik hangat di era Mahathir bila Tun Musa Hitam menjadi Timbalan Perdana Menteri. Kata pendukung teori, Musa tidak akan menjadi PM kerana abjad pangkal namanya tidak menepati huruf A selepas M yang diisi oleh Mahathir.

Bila Musa meletakkan jawatan dan Tun Abdul Ghaffar Baba mengisi kekosongannya, para pendukung teori ini mengatakan Ghaffar mungkin menjadi PM sesudah Mahathir. Bagaimanapun proses politik menggantikan Ghaffar dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Oleh kerana abdaj di pangkal nama itu adalah A, maka pendukung teori itu yakin Anwar akan menjadi PM selepas Mahathir.

Hajat Anwar tidak kesampaian. Proses politik meminggirkan beliau daripada teori RAHMAN. Tetapi, Abdullah pula yang mengisi abjad A dalam teori RAHMAN.

Abjad terakhir N dalam teori RAHMAN ini dipenuhi oleh Najib semalam. Ini bermakna tamatlah curcuit teori RAHMAN ini. Dengan itu, mungkin muncul pihak yang akan mengemukakan teori-teori lain bagi meramalkan siapakah PM Malaysia di masa akan datang? Mungkinkah muncul teori HAMKA – H=Hishamuddin. A=Ahmad Zahid Hamidi. M=Mukhiz. K=Khairy. A=????? – Ruhanie Ahmad

Friday, April 03, 2009

ERA ABDULLAH BERAKHIR ERA NAJIB BERMULA

Hari ini berakhirlah era kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi (30 Oktober 2003-3 April 2009) dan bermulalah episod kepimpinan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.

Dengan itu sama-samalah kita raikan perlantikan Najib dengan mengirimkan harapan kita kepada beliau melalui blog ini. Ayuh kita suarakan kepadqa Najib apakah pantang larangnya sebagai seorang Perdana Menteri, Pengerusi BN dan Presiden UMNOdi zaman yang amat mencabar ini. – Ruhanie Ahmad

Abdullah serah surat letak jawatan

KUALA LUMPUR 2 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi menyerahkan surat peletakan jawatan serta memohon perkenan baginda bagi pelantikan penggantinya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang menaiki kenderaan rasmi, Proton Perdana Eksekutif berwarna hitam dengan nombor pendaftaran WCH 13 memasuki pintu pagar utama Istana Negara tepat pukul 10 pagi, lima minit selepas ketibaan Tuanku Mizan.

Sejurus berakhir majlis berkenaan, Abdullah hanya membuat kenyataan ringkas bahawa beliau menyerahkan perkara berkenaan kepada Tuanku Mizan.

“Terserah kepada Tuanku,” katanya kepada pemberita yang memenuhi pekarangan luar Istana Negara.

Beliau meninggalkan Istana Negara 55 minit kemudian sambil tersenyum ceria dan melambaikan tangan kepada lebih 80 petugas media tempatan dan luar negara yang berkumpul sejak pukul 7.30 pagi.

Sementara itu, Najib pula kelihatan memasuki Istana Negara pukul 11.20 pagi untuk menghadap Tuanku Mizan berhubung peralihan kuasa itu.

Beliau yang menaiki Proton Perdana dengan nombor pendaftaran WRP 11 meninggalkan Istana Negara pada pukul 12.15 tengah hari.

“Terima kasih” kata Najib sambil melambaikan tangan dan tersenyum kepada petugas media.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Abdullah serah tugas PM kepada Najib

PUTRAJAYA 3 April - Tun Abdullah Ahmad Badawi baru sahaja menyerahkan tugas Perdana Menteri kepada Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabat Perdana Menteri di Bangunan Putra Perdana, di sini.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_11.htm