Monday, June 21, 2010

Pentadbiran Awam dan Rasuah: Siri Tiga

Ruhanie Ahmad

Saya amat bersimpati dengan insan-insan mulia dalam perkhidmatan awam Malaysia yang dipalitkan dengan persepsi rasuah akibat perbuatan segelintir penjawat awam di semua peringkat.

Ini kerana walaupun rasuah adalah jenayah peribadi seseorang individu, persepsi buruk jenayah ini distereotaipkan sebagai amalan keseluruhan warga perkhidmatan awam.

Oleh sebab itu, saya tetap berpendapat bahawa hanya perkhidmatan awam atau kerajaan yang tidak mempunyai kakitangan serta pemimpin yang rasuah sahaja yang boleh terbebas daripada persepsi rasuah.

Oleh itu, NGO perkhidmatan awam Malaysia wajar sensitif terhadap persepsi negatif ini. Mereka wajar melaksanakan pelbagai tindakan anti-rasuah di semua peringkat.

Seluruh institusi negara yang diwujudkan untuk memantau dan memerangi rasuah wajar diorientasikan semula bagi membanteras rasuah dalam sektor awam tepat kepada sasarannya. Janganlah institusi-insitusi ini akhirnya terkubur dengan tindihan pita birokrasi.

Kajian di Argentina

Bagaimanapun, persepsi seperti ini bukan sahaja wujud di Malaysia. Satu kajian di Argentina untuk mendapatkan pandangan rakyat mengenai rasuah dan definisinya, membuktikan hakikat ini.

Menurut kajian Boniolo & Elbert (2005), rakyat Argentina mendefinisikan rasuah sebagai karenah dan perilaku individu besar dan kecil dalam perkhidmatan awam. Sebagai kesimpulan kepada kajiannya, Boniolo & Elbert (2005:3) menegaskan:

”Rasuah telah memusnahkan demokrasi di Amerika Latin kerana kesannya terhadap prestasi institusi ekonomi di negara-negara terbabit dan kerana rasuah telah menyebabkan rakyat jelata di negara-negara terbabit hilang keyakinan kepada institusi kerajaan mereka.”
Anti-rasuah 2004-2008

Hakikat di Argentina ini hampir serupa dengan di Malaysia dalam tempoh 2004-2008. Akibat persepsi bahawa segelintir pemimpin negara, ahli keluarganya, serta sekelompok kakitangan awam Malaysia adalah bergelumang dengan rasuah, segolongan rakyat di negara ini telah hilang kepercayaan kepada kerajaan.

Biarpun demikian, pemimpin terbabit langsung tidak bertindak untuk menghapuskan persepsi ini secara tegas. Akibatnya, jika agenda membasmi rasuah menjadi tema utama dalam manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) 2004, tema yang sama langsung tidak tersenarai dalam manifesto PRU 2008. Impak kepada hakikat ini sudah pun dimanifestasikan menerusi keputusan PRU 2008.

Sebagai imbasan, manifesto Barisan Nasional (BN) dalam PRU 2004 dengan tema Ke arah Malaysia Cemerlang, Gemilang, Terbilang, menyatakan dalam perenggan pertamanya bahawa “memerangi rasuah dan memperbaiki mutu perkhidmatan kerajaan” adalah matlamat utama kerajaan BN.

Agenda anti-rasuah dalam manifesto PRU 2004 ini didahulu dengan beberapa kenyataan Perdana Menteri Kelima mengenai usaha membanteras rasuah. Contohnya, Utusan Malaysia 7 November 2003, melaporkan PM Kelima mengarahkan pihak polis “mempercepatkan siasatan terhadap kes-kes rasuah, termasuk isu Perwaja, supaya imej kerajaan tidak tercemar.”

Rakyat Kecewa

Utusan Malaysia 13 November 2003, memetik beliau mengeluarkan arahan “semua siasatan kes rasuah diselesaikan bagi mengelakkan timbul tanda tanya mengenai status kes tersebut.”

Sempena 100 hari kepimpinannya, salah sebuah saluran TV Malaysia bertanyakan soalan mengenai rasuah. PM Kelima menjawab: “rasuah adalah amalan jijik. Pendekatan lebih berkesan menangani rasuah hendaklah diterokai. Pendekatan pencegahan sama penting dengan pendekatan punitif.”

Utusan Malaysia 12 Disember 2003, memetik PM Kelima “mempelawa pemimpin ASEAN menghantar peserta ke Akademi Pencegahan Rasuah” yang akan ditubuhkan di Malaysia.

Pada 13 Januari 2004, PM Kelima membuat kenyataan ”kerajaan akan menjadikan sistem pemberian tender terbuka sebagai amalan bagi mengurangkan rasuah dan mengekang peningkatan kos perniagaan di negara ini. Rundingan secara langsung pula akan dihadkan hanya kepada kes istimewa yang tertentu sahaja.” Pada 18 Februari 2004, beliau menyatakan di Tehran, Iran, beliau “komited dalam usaha perangi rasuah.”

Bagaimanapun, selepas PRU 2004, PM Kelima dibelenggu tuduhan skandal ECM-Libra yang didakwa membabitkan anggota keluarganya. Mulai ketika itu beliau sentiasa berada dalam sindrom penafian. Oleh sebab itulah agenda membasmi rasuah tidak langsung disebut dalam manifesto BN dalam PRU 2008.

Impak Kepada PRU 12

Impak daripada kedolak-dalikan pemerintahan PM Kelima dalam melaksanakan agenda anti-rasuahnya telah kita semua ketahui. Di samping lain-lain isu, kekecewaa rakyat Malaysia terhadap agenda anti-rasuah dalam era 2004-2008 adalah antara penyumbang kepada kehilangan keyakinan rakyat terhadap parti pemerintah.

Imbasan di atas adalah hakikat. Saya yakin masih ramai rakyat jelata insaf akan hakikat ini. Ianya perlu dijadikan cermin sejarah kepada kepimpinan mutakhir dalam agendanya membanteras rasuah.

Untuk mengakhiri siri ini sama-samalah kita fahami kenyataan ini: Fenomena korupsi sistemik kini dipergunakan oleh penjenayah untuk menyogok jentera kerajaan, daripada kalangan pembikin dasar, sektor pentadbiran, penguatkuasa undang-undang, hinggalah kepada anggota judisiari, bagi memudahkan operasi jenayah rentas sempadan di sesebuah negara (Williams 2007:199; Holmes 2007:84).

Mungkinkah rasuah sistemik seperti ini wujud di Malaysia, contohnya dalam jenayah pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah, transmigrasi haram, dan lain-lainnya? [Siri keempat mengenai rasuah akan disiarkan Khamis depan.]


6 comments:

The Eugenist said...

Uncle Ron!!

Salam.. Long time no see!

Mesti tengah sibuk dengan ulangkaji pelajaran eh?

Artikel uncle tu, sebahagian daripada kertas kajian untuk Uncle punya PhD ka?

HESMEL FAZNEE FAISAL

kudakepang said...

Salam takzim Hesmel

Waktu ini semester break. Hujung bulan balik kampus ada satu paper lagi. Paper pasal rasuah tu bukan untuk Phd. Hanya satu elective paper politik dan pentadbiran.

Anda bagaimana? Sihat?

Salam takzim: Ruhanie Ahmad

Mika Angel-0 said...

Bung Ruhanie Ahmad,
Salaams


Author Profile Page on
June 23, 2010 4:11 AM


YABhg Tun Dr Mahathir,
Salaams

Facebook: Kallim Sewart

Bouthaina Shaaban: Lovely Dr Bouthaina Shaaban
Salaams

I have informed Tun Dr Mahathir of the Wawasan2020 new bilboard:
http://www.facebook.com/profile.php?id=1241407&ref=ts.


Tun,
Should we invite Kallim Stewart and have him on board the PGPO Malaysian ship to Gaza, please?


Apa kata Bung Ruhanie?
KL Open 2010 pada bulan September, Bung Ruhanie.

Salam Takzim

rahman said...

Ron.
Keghairahan mengumpul harta untuk melayan keinginan jadi orang kaya melalui salah guna kuasa sangatlah tidak baik. Itu satu hal kecil tanpa kesan "membina gelombang".

Ada juga yang ghairah mengumpul dana bagi melayan keinginan jadi orang berkuasa melalui cara salah guna kuasa. Dulu orang selalu sebut budak aras 4, sekarang sudah ada bualan tentang budak aras 7 di bangunan yang lain. Sama saja sikap mereka, sombong, ganas, melampaui kuasa dan susila serta menapis semua.

Orang tuanya tetap senyum selamba, sama ada dia mengia dan tahu tentang gara-gara budak-budaknya, itu kita tidak tahu. Kalau dia tidak tahu, itu sangat malang.

Cikgu Jo said...

Artikel baik dan boleh dijadikan pengajaran.Tahniah. Datuk Ron yang banyak membantu kampungku.Terima kasih.
http://kgsungainibong.blogspot.com

The Eugenist said...

Salam..

Maaf, lambat reply. Saya sihat.. Sudah pun mendirikan rumahtangga. Baru 2 bulan. Hehehe.. Nikah dgn org JB, uncle...