Friday, June 18, 2010

Pentadbiran Awam dan Rasuah: Siri Dua

Ruhanie Ahmad

Adakah benar pentadbiran awam yang cekap menjadi indikator bahawa ianya bebas daripada amalan rasuah? Adakah meleset untuk mempertikaikan bahawa pentadbiran awam yang cekap belum pasti terbebas daripada amalan rasuah? Persoalan pokok ini dikemukakan kerana pada hakikatnya, kecekapan warga pentadbiran awam tidak menjamin bahawa segolongan mereka pastinya berjiwa murni, beriman kukuh, dan bermatian-matian menjauhi serta membenci rasuah.

Contohnya, Malaysia sentiasa menitikberatkan aspek mutu, produktiviti, dan kecekapan pertadbiran awam. Hakikat ini diperincikan oleh Ahmad Sarji (1991) yang menghuraikan bahawa Kerajaan Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha memupuk serta menerapkan budaya kerja cemerlang dengan emfasis kepada nilai-nilai murni, disiplin, kualiti, produktiviti, akauntabiliti, dan amalan bersih dari rasuah. Mohd Sidek (2008:9) pula berkata, ”usaha menyediakan satu Perkhidmatan Awam Kelas Pertama adalah merupakan satu usaha berterusan Kerajaan Malaysia.”

Selanjutnya, pada 19 Mac 1983, Tun Dr. Mahathir Mohamad, melancarkan kempen Penerapan Nilai-Nilai Islam dan Kepimpinan Melalui Teladan. Kedua-dua kempen ini didasari oleh pelaksanaan konsep Bersih Cekap, Amanah (BCA) yang antara matlamat terasnya adalah untuk melahirkan warga pentadbiran awam ”yang mempunyai moral yang tinggi, bertatatertib dan berdisiplin, tidak menyeleweng dan tidak rasuah.” Konsep BCA kemudiannya dirangkumkan ke dalam Wawasan 2020 yang diumumkan pada 28 Februari 1991.

Pada 23 April 2004, Tun Abdullah Ahmad Badawi, melancarkan Pelan Integriti Negara (PIN) yang sasaran utamanya adalah untuk ”mengurangkan gejala rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan secara berkesan.”

Menerusi pelan ini, kerajaan berazam untuk meningkatkan kedudukan (ranking) anti-rasuah di Malaysia yang ditentukan oleh Transparancy International (TI), daripada tangga ke-37 dari 133 negara di seluruh dunia, dengan skor 5.2 mata pada tahun 2003, kepada skor 6.5 mata pada 2008. Ironisnya, ranking anti-rasuah di Malaysia yang statis pada tangga ke-43 dengan skor 5.1 pada tahun 2006 dan tahun 2007, meredum kepada tangga 47 juga dengan skor 5.1 mata, pada tahun 2008.

Pada awal 2009, Parlimen Malaysia pula meluluskan kewujudan instrumen perundangan serta institusi anti-rasuah yang baru menerusi kewujudan SPRM dengan harapan kedua-duanya akan memperhebatkan pembanteras rasuah di kalangan sektor awam dan swasta.

Selain itu, pada 28 April 2009, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengisytiharkan pelaksanaan Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi meningkatkan keberkesanan pentadbiran awam. Pada 27 Julai 2009, Najib pula mengumumkan Bidang Keberhasilan Utama Nasional atau National Key Results Area (NKRA) yang antara sasaran utamanya adalah membasmi rasuah. Ini kerana menurut Najib (27 Julai 2009), ”kerajaan amat komited dalam usaha memerangi rasuah.”

Kecekapan Pentadbiran Awam

Seluruh program di atas memang membuktikan komitmen Kerajaan Malaysia untuk meningkatkan mutu serta kecekapan pentadbiran awam. Ia juga membuktikan kesungguhan kerajaan untuk membanteras rasuah di kalangan warga sektor awam. Tetapi, adakah inisiatif tersebut menjamin bahawa pentadbiran awam yang cekap adalah bebas daripada rasuah?

Tidakkah analogi ini mengelirukan? Tidakkah ia memberi gambaran seolah-olah kecekapan dalam pentadbiran awam adalah sinonim dengan sikap anti-rasuah; boleh dijadikan determinan utama kepada amalan menjauhi rasuah; dan boleh mengikis mentaliti kotor pemberi serta penerima rasuah?

Persoalan in penting diperdalami. Ini kerana Harvey (2007) yang mendefinisikan kecekapan perkhidmatan awam sebagai kadar bandingan (ratio) antara input dan output, menegaskan bahawa kadar ini rumit untuk dipastikan secara tepat, kualitatif dan kuantitatif.

Mukherjee (2000) pula menyatakan, usaha mengukur prestasi dan kecekapan sektor awam adalah sukar. Pertama, sebab sektor ini tidak mempunyai satu indikator prestasi yang khusus seperti sektor swasta yang boleh diukur prestasinya menerusi kadar perolehan keuntngan atau berasaskan penguasaan pasarannya. Kedua, sebab sektor awam bertanggungjawab untuk mengendalikan barangan yang rendah tahap ukuran keuntungannya.

Biarpun begitu, kini memang wujud sistem penilaian prestasi bagi warga perkhidmatan awam. Tetapi, menurut Klingner & Nalbandian (2003:262-263), penilaian ini hanya menitikberatkan matlamat teknikal dan pengurusan organisasi awam. Ia juga bertujuan untuk memberikan motivasi kepada warga pentadbiran awam disamping memastikan soal-soal kenaikan gaji dan pangkat.

Ini bermakna sistem penilaian prestasi ini tidak boleh dijadikan pengukur kepada kecekapan perkhidmatan awam, apatah lagi untuk mengetahui secara sistematik sama ada kecekapan organisasi awam itu akan mengurangkan kadar rasuah secara keseluruhannya.

Bagaimanapun, kajian oleh Antonio, Schuknecht & Tanzi (2003:6) mendapati bahawa memang mutakhir ini soal pengukuran kecekapan sektor awam mulai ditikberatkan di negara-negara maju.

Tetapi, usaha ini masih terhad. Keputusan kajian berkenaan mendapati ”negara yang mempunyai tahap kecekapan yang tinggi di dunia adalah Jepun, Luxembourg, Australia, Amerika Syarikat (AS) dan Switzerland.”

Oleh sebab itu, jika mauduk perbincangan siri ini mengandaikan bahawa pentadbiran awam yang cekap adalah bebas dari rasuah, benarkah rasuah di negara-negara ini rendah tahapnya ataupun sifar kadarnya?

Indeks Persepsi Rasuah

Oleh sebab itu wajar dipastikan apakah tahap rasuah di negara-negara tersebut. Kepastian ini akan diperolehi menerusi perbandingan Indeks Persepsi Rasuah (IPR) yang diterbitkan oleh TI pada tahun 2006, 2007, dan 2008.

Menurut IPR pada tahun 2006, daripada 163 negara yang dikaji, Switzerland menduduki tangga ke-7 dengan skor 9.1 mata; Australia di tangga ke-9 dengan skor 8.7 mata; Luxembourg di tangga ke 11 dengan skor 8.6 mata, Jepun di tangga ke-17 dengan 7.6 mata, dan AS di tangga ke-20 dengan skor 7.3 mata.

Daripada 179 negara yang dianalisis pada tahun 2007, Switzerland berada di tangga ke-5 dengan skor 9 mata; Australia di tempat ke-11 dengan skor 8.6 mata; Luxembourg di tahap ke 12 dengan skor 8.4 mata; Jepun di peringkat ke-17 dengan skor 7.5 mata; dan AS di tangga ke-20 dengan skor 7.2 mata.

Daripada 180 negara yang dikaji pada tahun 2008, Switzerland menduduki tangga ke-5 dengan skor 9 mata; Australia di tangga ke-9 dengan skor 8.7 mata; Luxembourg di tangga ke 11 dengan skor 8.6 mata; sementara Jepun dan AS sama-sama menduduki tangga ke-17 dengan skor 7.5 mata.

Ironisnya, kedudukan IPR bagi ketiga-tiga tahun di atas didahului oleh Denmark, New Zealand, Sweden, Singapura dan Iceland yang kecekapan pentadbiran awamnya belum dikaji secara sanitifik. Oleb sebab itu, adalah tidak salah untuk mengatakan bahawa IPR di atas membuktikan bahawa analogi pentadbiran awam yang cekap adalah bebas dari rasuah, adalah analogi yang stereotaip dan meleset.

Ini kerana jika andaian ini benar, pastinya IPR di atas menujukkkan kadar anti-rasuah di Switzerland, Australia, Luxembourg, Jepun dan AS adalah lebih rendah daripada Denmark, New Zealand, Singapura dan Iceland.

Maka terbuktilah bahawa tahap rasuah dalam pentadbiran awam tidak boleh dipastikan tinggi-rendahnya berasaskan kecekapannya. Ini kerana tahap kecekapan perkhidmatan awam tidak memberikan korelasi positif kepada kadar rasuah dalam organisasi berkenaan.

Sebabnya, rasuah bukannya dilakukan oleh pentadbiran awam. Sebaliknya, rasuah diamalkan oleh sekelompok individu dalam perkhidmatan awam atau oleh sesetengah pemimpin dalam kerajaan. Namun begitu, impak jenayah rasuah tetap dibebankan kepada perkhidmatan awam dan kerajaan. Hakikat ini selaras dengan maksud pribahasa di mana seekor kerbau bergelumang lumpur, seluruh kandang akan pasti terpalit!
[Siri ketiga mengenai rasuah akan disiarkan Isnin depan.]


11 comments:

Mika Angel-0 said...
This comment has been removed by the author.
kudakepang said...

Salam takzim kepada anda Bung Mika, semoga selamat sejahtera.

Kali ini saya paparkan siri rasuah kerana saya khuatir rasuah akan meruntuhkan kerajaan kita suatu hari kelak.

Seharusnya, anda juga perlu bertanya mengapakah PAS tidak ada program anti-rasuah sedangkan rasuah juga dilarang Allah...

Salam takzim: Ruhanie Ahmad

Mika Angel-0 said...

Anda sememangnya pintar geliga ulama.

Ya, dan apa katanya orang Bulan nanti? Wadah kemas dan tarbiah yang syumul berserta qiamul-lail dan berkat do'a guru mereka menghindarkan PAS dari gejala yang terkutuk ini... tetapi biar saya periksa dulu; mana tahu dapat pakej pergi buat haji di Makkah Mukarramah istimewa - percuma!

Alhamdulillah. Tangkas setangkas Tamingsari anda merodok menikam.

Salam Takzim

kudakepang said...

Bung Mika, kita ketemu kembali. Muktamar PAS baru saja selesai. Ada anda terdengar delegasi PAS bersuara mengenai rasuah?

Tapi, sahabat-sahabat saya di Kelantan pernah berkata bahawa kalangan pembesar PAS pun dok balun semacam. Sampai gondol hutan di Gua Musang dibuatnya.

Ini kenyataan yang belum disahihkan. Tapi, kalaulah ada surfers dari Kelantan membaca komen ini, harap mereka boleh sahkan atau nafikan...

Salam takzim: Ruhanie Ahmad.

amatMok said...

Saudara,

Tidak kira lah kalau rasuah hanya dilakukan oleh segolongan dari penjawat awam baik segolongan kecil atau besar, ianya tetap memberi persepsi bahawa pentadbiran awam kita sininim dengan rasuah. Bak kata pepatah melayu, kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Hakikat yang harus kita terima ialah penjawat awam kita mengamalkan rasuah; bukan semua tetapi kerana mereka yang melakukannya maka terpalitlah ke muka semua penjawat awam.

Dalam hal ini saya merasakan bahawa pimpinan negara masa kini tidak serius dalam menangani gejala ini.

imah said...

Dato & Maikel...

Nak tahu lebih mendalam mengenai bukit gondol atau kepala gondol, sila baca The Kelantan Insider dari awal sampai artikel akhir.

Mika Angel-0 said...
This comment has been removed by the author.
Mika Angel-0 said...

Blogger Mika Angel-0 said...

Bung Ruhanie Ahmad,
Salaams.

Harapnya Bung maafkan salah dan khilaf kita yang dhaif dan kurang arif.

Dengan izin.


(Sdr)imah,

Terima kasih.

Dalam hal istana Kelantan Darul Naim dan hak-hak tuanku sultan, orang Kelantan lebih arif. Namun kita orang Islam sesama muslim adalah bersaudara-saudaraan.

Dalam hal Pentadbiran Awam dan Rasuah, institusi Raja-raja Melayu bebas dari tercemarnya duli-duli tuanku memihak kepada mana-mana pihak melainkan mereka yang lebih zahir pendirian di atas kebenaran berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan daulah-daulah Raja Melayu masing-masing yang berasaskan Kalamullah dan RasulNya selawat dan salam buat baginda rasul al-amin.

Selebihnya, maka tercemarlah duli-duli tuanku.

Dalam hal bukit gondol dan kepala gondol, maka apa kata mamanda menteri besar Darul Naim dalam hal-hal rasuah di kalangan rakyat, (sdr)imah?

Salam Takzim

Mika Angel-0 said...

Raja Adil Raja DiJunjung

Bung Ruhanie Ahmad,
Salaams.

Harapnya Bung maafkan salah dan khilaf kita yang dhaif dan kurang arif.

Dengan izin.


(Sdr)imah,

Terima kasih.

Dalam hal istana Kelantan Darul Naim dan hak-hak tuanku sultan, orang Kelantan lebih arif. Namun kita orang Islam sesama muslim adalah bersaudara-saudaraan.

Dalam hal Pentadbiran Awam dan Rasuah, institusi Raja-raja Melayu bebas dari tercemarnya duli-duli tuanku memihak kepada mana-mana pihak melainkan mereka yang lebih zahir pendirian di atas kebenaran berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan daulah-daulah Raja Melayu masing-masing yang berasaskan Kalamullah dan RasulNya selawat dan salam buat baginda rasul al-amin.

Selebihnya, maka tercemarlah duli-duli tuanku.

Dalam hal bukit gondol dan kepala gondol, maka apa kata mamanda menteri besar Darul Naim dalam hal-hal rasuah di kalangan rakyat, (sdr)imah?

Salam Takzim

Rillink said...

Assalam Tuan,

Bagaimana penjawat awam dan orang awam tak makan dan memberi rasuah!!sedangkan perkara menerima dan memberi rasuah ini telah di amalkan lebih 50 tahun oleh pentadbir yang mentadbir negara kita iaitu kerajaan UBN terutamanya parti Umno...rasuah di-tukar nama politik wang untuk menghalalkannya.

kudakepang said...

Sdra(i) Rillink,

Persepsi anda mengenai amalan rasuah terhadap anggota dan pemimpin UMNO pun serupa dengan persepsi umum terhadap warga dan pemimpin perkhidmatan awam.

Pokoknya, amalan rasuah mungkin tidak berleluasa dalam pentadbiran awam atau UMNO. Tetapi, amalan oleh segelintir penjenayah rasuah dalam organisasi terbabit menyebabkan semua pihak dipersepsikan sebagai perasuah. Akibatnya, orang akan hilang kepercayaan terhadap perkhidmatan awam dan UMNO.

Inilah apa yang terjadi di negara kita. Oleh itu, gerakan dalaman oleh warga parti dsn perkhidmatan awam boleh membantu persepsi ini dikurangkan dari semasa ke semasa.

Peraturan dan undang-undang kurang berkesan kerana rasuah tidak dilakukan secara terang-terangan. Strategi paling efektif mungkin dengan wujudnya whistleblowers seperti yang diura-urakan oleh pemerintah sekarang.

Saya ada dua posting terdahulu mengenai whistleblowers. Silalah baca dan fahami maksudnya.

Salam takzim: Ruhanie Ahmad