Ruhanie Ahmad
Rasuah mengancam demokrasi dan keselamatan negara. Jenayah ini juga menjejaskan proses pembangunan ekonomi dan menggugat kesejahteraan rakyat. Lazimnya rasuah dilakukan oleh segolongan anggota birokrasi yang tergamak untuk menggadaikan kuasa awam yang diamanahkan kepada mereka untuk memperolehi keuntungan peribadi. Ia juga dilakukan oleh sesetengah pihak yang mempunyai kuasa atau naungan politik.
Oleh sebab itulah Perry (1997:30) menghuraikan kewujudan rasuah politik dan rasuah pentadbiran. Ini kerana pertalian antara pentadbian awam, politik, dan rasuah sistemik adalah fenomena yang universal.
Oleh sebab itu juga Fethi Ben Jomma Ahmed (2005:104) menghuraikan masalah rasuah ekonomi kerana jenayah ini ”mengurangkan aktiviti ekonomi dan keuntungan.”
Lantaran itulah juga Syed Hussein Alatas (1995:viii-xiv) menyifatkan rasuah sebagai “pengkhianatan kepercayaan yang membawa pengaruh buruk kepada pemerintah, pembangunan, kesejahteraan masyarakat, institusi swasta atau masyarakat umum.” Dan, Mahathir Mohamad (1980:181) pula menegaskan, “rasuah boleh membawa keruntuhan kerajaan.”
Huraian-huraian di atas adalah antara faktor utama yang menyebabkan Kerajaan Malaysia sentiasa prihatin terhadap usaha pembanterasan rasuah.
Terbaru sekali, Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, di Dewan Rakyat, Khamis 10 Jun 2010, antara lainnya menghuraikan tindakan Kerajaan untuk membanteras rasuah.
Keprihatinan Perdana Menteri terhadap jenayah ini sangat dihargai dan sewajarnya mendapat sokongan serta kerjasama daripada rakyat jelata di semua lapisan masyarakat.
Antara fokus tindakan pembanterasan rasuah yang terkandung dalam Ringkasan Eksekutif RMK-10 (Unit Perancang Ekonomi 2010:30) adalah seperti berikut:
Memperkukuh pematuhan agensi barisan hadapan menerusi pemantauan secara berkala ke atas proses pengkuatkuasaan serta penyiasatan kes rasuah yang dilaporkan.
Mempertingkat ketelusan dalam Kerajaan termasuk meneruskan edaran Laporan Ketua Audit Negara kepada umum dan mengamalkan ketelusan melalui portal MyProcurement yang akan memaparkan maklumat perolehan Kerajaan kepada rakyat.
Mengenakan hukuman dengan cepat serta lebih berat untuk mencegah amalan memberi rasuah termasuk mendedahkan kepada umum maklumat terperinci individu yang didapati bersalah mengamalkan rasuah.
Meningkatkan kesedaran awam mengenai peranan penting mereka dalam menangani rasuah.
Menilai semula institusi utama yang memerangi rasuah bagi meningkatkan kebebasan dan pemerkasaan institusi tersebut.
Memupuk sistem nilai berteraskan integriti dan moral melalui pelan tindakan Tekad integriti yang akan diperkenalkan sebagai penambahbaikan kepada Tekad 2008.
Sehubungan dengan keseriusan Kerajaan membanteras rasuah, blog ini akan menyiarkan beberapa siri posting mengenai rasuah. Persoalan utama posting ini ialah, adakah benar bahawa pentadbiran awam yang cekap adalah pentadbiran awam yang bebas dari rasuah?
Saya harap para pembaca blog ini akan bersama saya untuk merungkaikan persoalan ini. Saya juga amat berbesar hati jika anda sekalian sudi berkongsi maklumat sahih dengan saya mengenai rasuah di Malaysia.
Contohnya, saya mendapat maklumat yang masih belum dapat disahkan, kononnya kekurangan gula di Malaysia mutakhir ini adalah akibat amalan rasuah di kalangan beberapa agensi Kerajaan.
Tuduhan ini sedang hangat dikedaikopikan kerana kononnya bekalan gula yang sampai di pelabuhan Malaysia kemudiannya diseludupkan pula ke sebuah negara jiran. Adakah ini benar? Adakah ini fitnah? [Siri pertama mengenai rasuah akan disiarkan Isnin depan.]
5 comments:
Tahniah DS Najib. Namun lebih baik diberi kuasa pendakwaan kepada ketua pesuruhjaya SPRM.
Keduanya, SPRM perlu segera bertindak terutamanya hasil laporan audit negara.
Saudara,
Petikan saudara mengenai betapa serius dan prihatinnya Kerajaan dalam menangani gejalah rasuah di negara ini amatlah melucukan.
Bagi saya ianya adalah sebuah lawak bodoh, cakap-cakap kosong untuk menyedap hati rakyat. Samalah macam ceritera penglipur lara dahulu kala sahaja.
Apa tidaknya, sehingga ke saat ini MACC masih lagi dilihat sebagai harimau tak bertaring. Ngaumnya saja yang kuat.
Kalau pentadbiran Najib benar benar ikhlas dalam menangani gejala rasuah, mengapa tidak mengikut saja jejak langkah ICAC Hong Kong dengan memperkenalkan klausa 'living beyond the means' dalam Akta MACC? Pesuruhjaya MACC sekarang arif benar dalam hal ini. Malah beliaulah yang memperkenalkan perkara ini kepada saya dalam satu ceramah beberapa tahun lalu.
Melalui klausa ini, 'burden of proof' akan terjatuh kepada penjawat awam (dan pak menteri-menteri dan YB-YB kita) untuk memberikan bukti bagaimana mereka mampu bergaya hidup melebihi pendapatan yang diwartakan.
Secara peribadi, saya langsung tidak yakin dengan Najib 'tak muktamad' untuk membanteras rasuah. Mungkin kerana takut senjata makan tuan.
Saudara AmatMok
Salam takzim dan terima kasih atas respons anda.
Apa yang tidak efektif waktu ini bukannya hasil tindakan PM. Tetapi, beliau menunjukkan inisiatif untuk memperbailki keadaan.
Biarpun begitu saya setuju dengan pandangan anda mengenai burden of proof. Saya juga mempunyai pandangan yang radikal mengenai hal ini. Ikutilah siri selanjutnya dalam blog ini. --- Ruhanie Ahmad
"Mengenakan hukuman dengan cepat serta lebih berat untuk mencegah amalan memberi rasuah termasuk mendedahkan kepada umum maklumat terperinci individu yang didapati bersalah mengamalkan rasuah."
Saya amat sokong
Tuan,
Bayangkan jika satu perkara itu sudah jadi budaya atau 'life-style' pasti sekali teramat sukar diubah kalau dengan hanya tekad politik biasa.
Dalam konteks ini di Malaysia -'rasuah' kalau bukan bertahap budaya pun- adalah sesuatu yang biasa dan bukan satu yang keji dan salah bagi sesetengah rakyat!
Maka dengan itu orang dengan mudah anggap usaha atau kemahuan menghapus rasuah itu hanya satu lakonan sahaja!
Post a Comment