Thursday, December 30, 2010

SENAMROBIK DAP CABAR KESELAMATAN NEGARA

Ruhanie Ahmad

Tindakan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching, bersenamrobik bersama-sama jemaah masjid---termasuk lelaki---sempena Karnival Maal Hijrah di pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong, baru-baru ini, adalah masalah keselamatan negara.

Ia boleh memprovokasikan reaksi negatif terhadap Teo, parti yang diwakilinya, serta umat Islam yang menganjurkan acara berkenaan secara sedar.

Tindakan tersebut, walaupun pastinya dilakukan dengan kerelaan jawatankuasa dan jemaah masjid, adalah tindakan yang melangkaui politik.

Ia adalah isu keselamatan negara yang mesti segera ditangani mengikut undang-undang yang tegas dan berkesan.

Tulisan ini tidak mencerminkan ekstremisme Islam. Sebaliknya, mencerminkan kebimbangan terhadap tindak-balas negatif yang boleh tercetus akibat tindakan tersebut senandainya wujud segelintir umat Islam yang hilang sabar dan terlalu amat marah terhadap perbuatan yang mengenepikan prinsip-prinsip asas sensitiviti keagamaan.

Pihak berkuasa Malaysia perlu segera mensekuritisasikan tindakan seperti ini dan bertindak membanteras ianya daripada berulang.

Tidak ada gunanya peristiwa seperti ini dijadikan polemik kepartian. Isu keselamatan negara di sesebuah negara majmuk seperti Malaysia mesti dibanteras menerusi ketegasan undang-undang.

Friday, December 17, 2010

AL-FATEHAH BUAT DATUK SULAIMAN TAHA ADUN TENANG, JOHOR

Datuk Haji Sulaiman Taha, 59, ADUN Tenang merangkap Ketua UMNO Bahagian Labis, Johor, kembali ke rahmatullah di Hospital Ampang Puteri, Kuala Lumpur, pada jam 1.10 pagi, 17 Disember 2010. Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Labis selepas Fardhu Jumaat.

Allahyarham Sulaiman yang juga mantan Setiausaha Kerja Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di bawah kepimpinan Datuk Sri Najib Tun Razak, di masukkan ke Pusat Perubatan Ampang Puteri pada 24 November 2010 untuk menjalani rawatan penyakit kencing manis.

Sama-samalah kita hadiahkan Al-Fatehah kepada Allahyarham dan doakan semoga rohnya akan sentiasa dicucuri rahmat Allah SWT… Al-Fatehah!

Wednesday, December 15, 2010

DIGNITI MELAYU DI ABAD KE-21

RUHANIE AHMAD

Artikel ini difokuskan khusus kepada persoalan digniti Melayu kontemporari untuk menyanggah pelbagai polemik mengenai ketuanan Melayu yang kebelakangan ini dipolitikkan oleh sesetengah golongan di Malaysia. Ianya bertujuan supaya polemik berkenaan tidak berlarutan sehingga mengancam keselamatan dan perpaduan nasional yang dibina asasnya menerusi Perlembagaan Persekutuan.

Hipotesis artikel ini adalah: konsep ketuanan Melayu bukannya elitis, tidak diwujudkan untuk mengagung-agungkan bangsa Melayu, atau untuk mencanggahi aspirasi melahirkan bangsa Malaysia yang bermaruah di hari muka. Sebaliknya, konsep ini wujud untuk memberikan digniti kepada bangsa Melayu dan Bumiputera yang jadi daif serba-serbinya akibat penjajahan selama 446 tahun. Dalam ertikata lainnya, ketuanan Melayu adalah konsep anti-penjajahan biar dalam bentuk apa sekalipun dalam era pasca-merdeka.

Hakikatnya sedemikian kerana Persekutuan Tanah Melayu adalah entiti negara yang diwujudkan oleh para pemimpin multi-keturunan menerusi kemerdekaan tanah air pada 31 Ogos 1957. Malaysia juga terbentuk daripada permuafakatan multi-etnik di Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, dan Singapura.

Maksudnya, sebelum Tanah Melayu dijajah mulai 1511 hingga 1957, bumi ini adalah gabungan negeri-negeri Melayu yang dikategorikan sebagai nation-state atau negara-bangsa kerana majoriti rakyatnya terdiri daripada satu rumpun bangsa yang sama, berkogsi sejarah dan warisan budaya yang serupa, serta berasal daripada wilayah geografi yang satu, iaitu kepulauan Nusantara (rujuk Buzan 1983:36-72).

Realiti sejarah

Hakikat ini diakui oleh pelbagai sejarawan asing dan tempatan. Purcell (1965:40) menegaskan “dari sejarahnya, Malaya adalah negara Melayu.” Oleh sebab itulah “dasar British di Tanah Melayu sebelum Perang Dunia Kedua bersifat pro-Melayu dan menerima hakikat bahawa Tanah Melayu adalah untuk masyarakat Melayu” (Mohd Ashraf Ibrahim 2004:50).

Lantaran itu juga “pentadbir-pentadbir British memandang istimewa terhadap orang Melayu. Mereka menganggap orang Melayu sebagai penduduk bumiputera Malaya. Mereka mengakui bahawa orang Cina mempunyai peranan ekonomi yang penting tetapi ini bukanlah memberi orang Cina hak untuk memainkan peranan dalam politik. Malaya adalah tanah air orang Melayu” (Saunders 1978:35).

Selanjutnya, Tanah Melayu dan bangsa Melayu adalah negara dan bangsa yang telah mencipta tamadunnya di era Kesultanan Melayu Melaka. Pada ketika itu sudah wujud undang-undang syariah dan undang-undang maritim Melayu yang komprehensif.

Contohnya, “kurun ke-15 adalah satu peringkat di mana, secara umumnya, kegiatan ahli-ahli hukum berkisar kepada pengkanunan prinsip-prinsip shari’ah” dan “Undang-Undang Laut Melaka ialah kanun yang mengandungi hukum dan peraturan di laut yang berkaitan dengan tatacara dan undang-undang pelayaran serta penggunaan kapal” (Abdul Aziz Bari 2008:306-307).

Seluruh huraian di atas membuktikan Malaysia bukannya sebuah state-nation atau negara majmuk sejak sebelum era penjajahan. Sebaliknya, Malaysia hanya menepati kategori state-nation kerana kemerdekaannya diperjuangkan oleh bangsa Melayu menerusi UMNO, keturunan Cina menerusi MCA, dan keturunan India menerusi MIC, dan kewarganegaraannya pula merangkumi seluruh keturunan ini serta lain-lain kelompok etnik di Sabah dan Sarawak.

Sejarah silam juga membuktikan bangsa Melayu adalah bangsa yang mempunyai dignitinya yang tersendiri sejak berkurun lamanya. Lantas, bukan satu jenayah untuk membicarakan konsep ketuanan Melayu dalam konteks Malaysia kontemporari. Ini kerana bangsa Melayu adalah bangsa yang wujud bersama sejarah bumi Melayu yang kini diidentitikan sebagai Malaysia.

Konsep ketuanan Melayu juga tidak boleh ditafsirkan sebagai instrumen penindasan atau pendiskriminasian terhadap rakyat bukan Melayu dan bukan Bumiputera. Sebaliknya, konsep ini diterjemahkan ke dalam pelbagai dasar dan program pemerintah supaya wujud keseimbangan dalam survival dan digniti warganegara Malaysia yang berbilang keturunan dalam era merdeka.

Perlembagaan Persekutuan

Perjuangan memajmukkan Tanah Melayu menerusi kemerdekaan tidak diterima sepenuhnya oleh majoriti bangsa Melayu di era pra-merdeka. Tunku Abdul Rahman selaku Presiden UMNO dan Pengerusi Perikatan terpaksa menghadapi cabaran serius daripada kalangan UMNO dan bangsa Melayu di luar UMNO yang mencurigai implikasi perjuangan memerdekakan negara bersama-sama keturunan Cina dan India di hari muka.

Tetapi, Tunku Abdul Rahman tetap bertegas. Beliau menegaskan “ada yang berkata kita (orang Melayu) hendak berlawan dengan Raja-Raja Melayu. Tetapi, tuduhan yang palsu ini tidak ada tempat dalam perjuangan kita kerana kita telah mengisytiharkan bersama-sama MCA bahawa kita akan menjaga dan memelihara taraf Raja kita dan juga agama kita yang maha suci” (Tunku Abdul Rahman 2009:76).

Kenyataan ini membuktikan bahawa kemerdekaan tanah air pada 1957 adalah perjuangan yang mengiktiraf keindukan Melayu, status Raja-Raja Melayu, serta kedudukan Islam sebagai agama orang Melayu. Ia juga membuktikan bahawa ketuanan Melayu diiktiraf oleh seluruh pejuang kemerdekaan yang multi-keturunan bukan untuk mengagung-agungkan bangsa Melayu, tetapi untuk memanifestasikan kesinambungan sejarah kewarganegaraan Melayu di bumi Melayu dalam era pra-penjajah.

Antara buktinya, Perikatan secara sebulat suara memperakukan bahawa Islam dijadikan “agama rasmi Persekutuan Tanah Melayu” (Ahmad Ibrahim1978:48). Perikatan juga menyetujui supaya Perlembagaan Persekutuan memaktubkan perkara khusus mengenai struktur kewarganegaraan rakyat jelatanya yang berbilang kaum “untuk mengelakkan kebimbangan mereka bahawa struktur kewarganegaraan ini akan dipinda jika ianya digubal menerusi undang-undang biasa” (Sinnadurai 1978:93).

Hakikat ini membuktikan bahawa perkara khusus mengenai Islam dan struktur kewarganegaraan di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah antara dua peruntukan penting yang dimaktubkan sebagai manifestasi permuafakatan bangsa Melayu, keturunan Cina, dan keturunan India dalam era menjelang merdeka.

Kedua-dua peruntukan ini bukannya dimaktubkan atas dasar ketuanan Melayu. Sebaliknya, atas dasar kesinambungan sejarah pra-merdeka dan atas dasar memelihara keselamatan masyarakat dan keselamatan nasional.

Lantas, apakah kaitannya konsep ketuanan Melayu dengan kedua-dua peruntukan ini sehingga wujud pihak yang mencadangkan supaya konsep ini digantikan dengan konsep ketuanan rakyat kononnya “supaya anak-anak membesar dengan visi ‘bangsa bermaruah’ atau ‘Melayu bermaruah”? (rujuk Suara Keadilan 27 November 2010, Utusan Malaysia 28 November 2010, Berita Harian 28 November 2010, Bernama 2 Disember 2010 dan the Malay Mail 2 Disember 2010).

Dasar afirmatif

Konsep ketuanan Melayu juga sering dikecam menerusi perspektif dasar afirmatif kerajaan yang berpaksikan kepada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Dalam konteks ini, tidak ramai antara kita menyedari hakikat bahawa dasar-dasar berkenaan adalah sebahagian daripada ciri-ciri keselamatan insan, keselamatan ekonomi dan keselamatan nasional Malaysia selaras dengan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat yang memberikan digniti kepada insan manusia (rujuk mukadimah the Universal Declaration of Human Rights 1948).

Lantaran itu, segelintir parti siasah yang mendakwa sebagai jaguh hak asasi manusia sejagat semestinya menginsafi hakikat bahawa bangsa Melayu dan Bumiputera adalah kelompok warganegara Malaysia yang kehilangan digniti ekonomi dan sosialnya akibat polisi-polisi penindasan sistemik penjajah yang silih berganti selama 446 tahun.

Lantas, apa faedahnya dibangkit dan diungkit soal kuota 30 peratus yang dikhususkan kepada Melayu dan Bumiputera menerusi Dasar Ekonomi Baru apabila kedua-dua kelompok ini langsung tidak pernah mempersoalkan kuota 70 peratus yang dinikmati oleh bukan Melayu dan kapitalis asing di Malaysia selama ini?

Oleh sebab itulah orang Melayu dan Bumiputera menyifatkan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan dan pelbagai dasar afirmatif yang berindukan perkara ini “sebagai sesuatu yang suci, manakala sesetengah orang bukan Melayu mempersoalkan peruntukan tersebut adalah berkaitan dan mengikat hingga ke hari ini. Mengikut mana-mana tafsiran yang munasabah, manka peruntukan tersebut di dalam Perlembagaan adalah bahawa kesejahteraan ekonomi dan sosial orang Melayu yang lemah dari segi ekonomi hendaklah dilindungi dan digalakkan berbanding dengan orang bukan Melayu yang lebih maju” (Faaland, Parkinson & Rais Saniman 2002:16).

Sebagai balasan kerana diberikan perlindungan menerusi Perkara 153 “orang Melayu mengadakan konsesi yang berpadu mengikut kuasa politik dengan memberikan kewarganegaraan Persekutuan kepada orang bukan Melayu. Sebagai tambahan, orang bukan Melayu dijaminkan bahawa mereka bebas menjalankan perniagaan tanpa diganggu, dan mereka juga boleh mengekalkan dan mengembangkan budaya serta warisan bahasa mereka sendiri, dan boleh hidup secara berasingan” (ibid: 17).

Demikianlah hakikatnya semangat yang lahir daripada konsep ketuanan Melayu yang dijelmakan menerusi Perikatan dalam era menjelang kemerdekaan tanah air. Konsep tersebut tidak pernah membakar atau menyemarakkan sentimen perkauman di Malaysia sebelum munculnya konsep Malaysian Malaysia dalam tempoh 1963-1965 yang mempertikaikan seluruh perkara strategik dalam Perlembagaan Persekutuan, terutamanya mengenai Bahasa Melayu, Agama Islam, dan keistimewaan Melayu dan Bumiputera (rujuk Ghazali Ismail 1990).

Setelah Singapura tersingkir daripada Malaysia pada 1965, konsep Malaysia Malaysia diteruskan perjuangannya oleh DAP sebagaimana terkandung dalam the Setapak Declaration yang diperakukan dalam kongres DAP pertama pada 29 Julai 1967. Deklarasi tersebut “menjadi prinsip panduan perjuangan DAP sejak kelahirannya” (salinankarbon.com 14 Julai 2009).

DAP mengaplikasikan prinsip deklarasi ini dalam PRU 1969 dengan “menyerang MCA kerana menyerahkan hak-hak keturunan Cina kepada UMNO menerusi Perikatan. Pletfom DAP ketika itu adalah Setapak Declaration of Principles yang secara prinsipnya menentang hegemoni Melayu dan menyokong konsep Malaysian Malaysia” (Comber 2001:65).

Ini membuktikan bahawa isu mengenai struktur kewarganegaraan Malaysia, Bahasa Melayu, Agama Islam, Raja-Raja Melayu, dan keistimewaan bangsa Melayu dan Bumiputera hanya menjadi isu politik akibat kemunculan konsep Malaysian Malaysia yang kemudiannya diperjuangkan oleh segolongan parti pembangkang di Malaysia.

Contohnya, sepanjang kempen Pilihan Raya Umum 1969 “segolongan calon pembangkang telah menyerang Perlembagaan menerusi perspektif perkauman. Mereka memutarbelit dan menyalahtafsirkan sesetengah peruntukan dalam Perlembagaan, terutamanya Perkara 152 dan 153. Mereka mendesak supaya Perkara 153 yang memberikan perlindungan kepada keistimewaan Melayu dimansuhkan” (Tun Abdul Razak Hussein dalam Majlis Gerakan Negara 1969:v).

Kesimpulan

Kesimpulannya, ketuanan Melayu adalah konsep yang memanifestasikan kesinambungan sejarah dan tamadun Melayu sebelum tanah air ini dijajah selama 446 tahun. Ia bukannya konsep yang menglorifykan bangsa Melayu. Sebaliknya, adalah konsep yang memberikan digniti kepada bangsa Melayu sama seperti digniti keturunan bukan Melayu di negara asal masing-masing.

Dalam ertikata lain, konsep ketuanan Melayu tidak menggugat survival bukan Melayu di Malaysia. Sebaliknya, konsep Malaysian Malaysia yang dijelmakan semangatnya ke dalam the Setapak Declaration 1976 yang terbukti telah menggugat keselamatan insan, keselamatan politik, keselamatan ekonomi, keselamatan masyarakat, dan keselamatan nasional di Malaysia.

Maka, adalah meleset untuk menyifatkan konsep ketuanan Melayu bertujuan mengagung-agungkan bangsa Melayu dan bercanggah dengan kewujudan bangsa Malaysia yang bermaruah di hari muka. Konsep ketuanan Melayu lahir untuk memberikan digniti kepada bangsa Melayu dan Bumiputera yang jadi daif serba-serbinya akibat penjajahan. Konsep ketuanan Melayu adalah konsep anti-penjajahan biar dalam bentuk apa sekalipun dalam era kontemporari.

Friday, December 10, 2010

PERSOALAN STRATEGIK MENJELANG PRU13



RUHANIE AHMAD



Banyak pihak meramalkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan diadakan pada tahun 2011 walaupun tempoh Parlimen ke-12 hanya akan berakhir pada Mac 2013. Spekulasi ini mengundang pelbagai persoalan strategik mengenai kesiap-sediaan BN menghadapi PRU berkenaan.

Pertama, dalam keadaan BN mutakhir ini tidak mempunyai majoriti yang mantap di peringkat parlimen apakah faktor-faktor yang menyebabkan BN berhasrat mengadakan PRU13 tahun depan dan cukup yakin untuk memenangi dengan majoriti lebih selesa daripada PRU12?

Kedua, oleh sebab BN tidak menguasai kerajaan negeri Kedah, Pulau Pinang, Selangor, dan Kelantan menerusi PRU12, apakah faktor-faktor yang memungkinkan keputusan sebaliknya jika PRU13 diadakan tahun depan?

Ketiga, oleh kerana PRU adalah proses di mana parti pemerintah menyerahkan kembali kuasanya kepada rakyat bagi membolehkan mereka memutuskan sama ada mandat kekuasaan tersebut akan diserahkan semula atau sebaliknya, adakah BN akan mengadakan PRU13 pada 2011 jika ianya belum yakin mengenai pola sokongan pengundi terhadapnya?


Lantaran itu wajar dipersoalkan seluruh faktor yang mendorong kemungkinan BN mengadakan PRU13 pada 2011 dan juga pola sokongn pengundi kepada BN dalam PRU berkenaan. Persoalan ini perlu membabitkan BN selaku parti pemerintah, komponen BN selaku pengendali PRU13 di peringkat negeri, dan rakyat jelata selaku pengundi.


BN selaku pemerintah

Persoalan di peringkat ini difokuskan kepada aspek berikut: Satu, sudahkah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak mengatasi majoriti sebab kenapa BN gagal mendapatkan kelebihan suara yang besar di peringkat parlimen dan kehilangan kuasa di Kedah, Pulau Pinang, dan Selangor, di samping gagal menawan semula Kelantan daripada PAS, dalam PRU12?

Dua: adakah pelbagai dasar, strategi, dan program pembaharuan sosio-politik dan ekonomi yang diperkenalkan oleh kerajaan BN sejak awal 2009 (1Malaysia rujuk Utusan Malaysia 27 Jun 2009; NKRA rujuk pmr.penerangan.gov.my; dan Model Baru Ekonomi rujuk Bernama 2 Mei 2009) sudah menerima legitimasi penuh daripada segolongan besar rakyat? Atau, adakah keseluruhan transformasi ini masih boleh menyebabkan sokongan majoriti pengundi terhadap BN mungkin terhakis menerusi PRU13?

Tiga: adakah persepsi rakyat terhadap kerajaan BN yang terhakis sewaktu pemerintahan sebelumnya sudah mampu dipulihkan ke tahap yang selesa untuk membolehkan PRU13 diadakan dalam tempoh terdekat ini?

Empat: adakah kecelaruan dalam Pakatan Rakyat (PR) serta kontroversi dan kesembronoan pemimpin tertingginya mutakhir ini menyebabkan majoriti pengundi berasa muak terhadap PR sehingga diterjemahkan dalam bentuk undi yang memihak kepada BN dalam PRU13?

Seluruh persoalan di atas memerlukan kajian teliti, terperinci, dan komprehensif oleh jentera-jentera risikan politik dan sosio-ekonomi kerajaan BN di semua peringkat. Kesemuanya memakan masa untuk memperolehi kesimpulan muktamadnya.

Kerajaan BN akan mendapat gambaran sebenar sokongan pengundi terhadapnya menerusi kajian di atas. Berikutan itu, BN perlu melakukan pelbagai program koreksi sekiranya wujud kelemahan, dan melaksanakan konsolidasi yang lebih rapi jika keputusannya cukup menggalakkan.

Jika kesemua ini diambilkira, adakah logik PRU13 diadakan tidak lama lagi? Sebaliknya, tidakkah ini membayangkan bahawa spekulasi PRU13 diadakan pada 2011 adalah sesuatu yang sukar untuk dirasionalkan sebab-sebabnya?


Komponen BN

Kepimpinan BN sebelum ini meninggalkan legasi negatif kepada sesetengah komponennya, terutama sekali di Malaysia Semenanjung. Lantaran itulah tercetus nada-nada sumbang yang menjejaskan permuafakatan serta wibawa BN. Walaupun ditegur oleh Najib dan kepimpinannya, nada-nada tersebut kelihatan belum reda, malah seolah-olah masih menggelegak dan terus membara.

Manifestasi serta impak perkembangan ini terpancar menerusi keputusan beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) di Terengganu, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, dan Sarawak sepanjang tempoh 2008 hingga 2010.

Hanya PRK di Sabah dan Kelantan baru-baru ini sahaja memberikan hasil positif kepada BN. Ini boleh dijadikan indikasi bahawa segolongan pengundi mungkin sudah muak dengan apa yang sedang berlaku dalam PR. Tetapi, tidakkah indikasi ini perlu dipastikan semasak-masaknya sebelum tergesa-gesa diadakan PRU13?

Pada waktu yang sama, UMNO, MCA, MIC, dan Gerakan selaku komponen terbesar di Malaysia Semenanjung masih dan sedang menjalani fasa transformasi untuk mengukuhkan jenteranya dan memulihkan kredibilitinya supaya sokongan bukan Melayu terhadap BN mampu dipulihkan. Selagi usaha ini masih samar-samar dan belum menunjukkan indikasi positif, adakah wajar PRU13 diadakan pada tahun 2011?

Apa yang diumumkan oleh Najib mengenai kepelbagaian keanggotaan BN di samping usaha mewujudkan Rakan Muda BN dan Kelab Sahabat BN baru-baru ini adalah sebahagian contoh utama mengenainya (rujuk Utusan Malaysia 20 November 2010 dan 27 November 2010).

Selanjutnya, sudahkah UMNO selaku tunggak BN, khususnya di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, dan Kelantan, diperkukuhkan semula organisasi dan komitmen perjuangannya untuk menang dengan cemerlang dalam PRU13?

Najib mengumumkan akan melakukan pembaharuan dalam hiraki kepimpinan UMNO. Ini belum dilaksanakan dan ini juga memerlukan masa untuk mengukuhkan legitimasi hiraki kepimpinan yang baru.

Sementara itu, penangguhan pemilihan kepimpinan UMNO yang diumumkan baru-baru ini tidak boleh dijadikan petanda bahawa PRU13 akan diadakan tidak lama lagi. Langkah itu mungkin untuk membolehkan UMNO melakukan pembaharuan menyeluruh dan besar-besaran.

Dan, oleh kerana tempoh Dewan Undangan Negeri Sarawak dijangka berakhir pada pertengahan 2011, adakah wajar PRU13 dilakukan serentak dengan PRU13? Bukankah lebih praktikal diadakan PRU DUN Sarawak sebelum PRU13?

Mengambilkira seluruh persoalan di atas serta kedudukan PR yang jelas sedang kucar-kacir, adakah benar tahun 2011 merupakan waktu terbaik bagi BN mengadakan PRU13? Tidakkah wujud kebijaksanaan lain untuk membuktikan bahawa seluruh komponen BN masih memerlukan penggemblengan kekuatan dan permuafakatannya menjelang PRU13?


Persepsi pengundi

Persepsi pengundi terhadap pemerintahan BN adalah determinen penting kepada sesuatu PRU atau PRK. Determinen ini sukar untuk diapa-apakan bagi sesuatu PRK. Tetapi, ia boleh diperbaiki jika didapati kurang menyakinkan menjelang sesuatu PRU.

Oleh itu, sesiapa sahaja, berasaskan perkembangan yang wujud mutakhir ini, boleh meramalkan bahawa PRU13 akan diadakan pada 2011. Tetapi, apa faedahnya PRU13 tahun depan jika keputusannya belum dipastikan lebih memihak kepada BN?

Dalam konteks ini, apakah persepsi pengundi terhadap BN dan PR? Adakah kenyataan dan perilaku sembrono PR menguntungkan BN? Adakah segolongan pengundi akan terus menyokong PR walaupun ianya terbukti kucar-kacir di Selangor dan penuh kontroversi di Pulau Pinang?


Banyak perkara perlu dijalankan mengenai hal ini. Sudahkah BN menjalankan kajian menyeluruh terhadap sikap dan persepsi pengundi terhadapnya di peringkat nasional, negeri, kawasan pilihan raya dan kawasan peti undi? Apakah sistem pembacaan serta pemantauan sikap ini sistematik dan efektif?

Maka, terbuktilah di sini bahawa BN memerlukan masa secukupnya untuk mendapatkan kepastian terhadap persoalan di atas kerana proses pembacaan sikap dan pemantauannya adalah rumit dan panjang. Mustahil BN akan mengadakan PRU13 sebelum usaha-usaha ini dibereskan.

Hakikatnya demikian kerana persepsi dan sikap pengundilah yang akan dijadikan asas penggubalan manifesto PRU BN dan juga bagi panduan dalam pemilihan dan penentuan calon-calon BN di peringkat Parlimen dan DUN.

Dalam PRU13, BN tidak boleh menyediakan manifestonya secara sembarangan kerana PRU12 membuktikan “kad laporan BN” (Bernama 21 Februari 2008) yang seolah-olah mempersendakan kebijaksanaan pengundi, merupakan antara faktor yang menigkatkan kemuakan pengundi terhadap BN dalam PRU12 (rujuk kuda-kepang.blogspot.com. 22 Februari 2008).

Contohnya, ‘kad laporan’ BN dalam PRU12 mendakwa prestasi kerajaan BN dalam ekonomi membuahkan perdagangan antarabangsa yang rancak dan menguntungkan. Maksudnya, ekonomi negara ketika itu sihat dan indeks kesejahteraan rakyat berada dalam tahap cukup selesa (Utusan Malaysia 8 Februari 2007, 16 Februari 2007, dan 22 Februari 2008).

Bagaimanapun, keputusan PRU12 membuktikan bahawa dakwaan itu meleset dan pengundi berasa marah dengan ilusi ekonomi yang dibentangkan oleh kerajaan BN kepada mereka.

Demikian juga dengan soal rasuah. Jika dalam manifesto BN bagi PRU11 pada tahun 2004, soal anti-rasuah mendominasikan agenda kerajaan BN, elemen ini langsung tidak disebut dalam ‘kad laporan’ BN bagi PRU12. Ironi ini juga membawa padah kepada BN (rujuk laporan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia 7 November 2003, 12 Disember 2003, 13 Januari 2004, 9 Februari 2004, 13 Februari 2004, 15 Februari 2004, 16 Februari 2004, 18 Februari 2004).

Begitu juga dengan proses memilih dan menentukan calon. Dalam PRU12, dakwaan dan desas-desus bahawa pemilihan dan penentuan calon kononnya hanya dilaksanakan oleh segelintir insan di keliling kepimpinan tertinggi ketika itu, gagal dinafikan untuk mengukuhkan sokongan pengundi terhadap BN (rujuk Kamalamir dalam Malaysia Today 18 Februari 2008).

Pada waktu yang sama, terdapat dakwaan bahawa “ada golongan muda telah membuat percubaan untuk mengambil alih kepimpinan negara secara terurus dan terancang melalui PRU12” tetapi gagal akibat tsunami politik yang melanda negara (rujuk Utusan Malaysia 11.3.2008).

Seluruh persoalan dan hujah ini membuktikan bahawa persepsi dan sikap pengundi perlu diurus dan diperbaiki menjelang sesuatu PRU. Proses pemilihan calon juga wajar dilaksanakan secara telus bagi memastikan konsensus kepimpinan semua peringkat BN.


Kesimpulan

Oleh kerana tempoh Parlimen ke-12 hanya akan berakhir pada MAC 2013, mengapakah BN diramalkan akan mengadakan PRU13 pada tahun 2011?

Persoalan-persoalan strategik terhadap BN selaku parti pemerintah, komponen BN selaku pelaksana PRU13, dan rakyat selaku pengundi bagi PRU13, menggambarkan bahawa BN masih memerlukan masa bagi memantapkan kekuatannya menjelang PRU13.

Lantas, logikkah untuk meramalkan bahawa PRU13 akan diadakan tahun depan? Jika ramalan itu tepat, apakah peluang BN dalam PRU berkenaan?

Sunday, December 05, 2010

MANIFEST DESTINY @ SURATAN TAKDIR BN

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menghuraikan manifest destiny atau suratan takdir BN menerusi ucapan yang penuh tekad, padat, tepat, dan mujarab.

Ucapan tersebut adalah suntikan semangat juang yang wajar dijadikan amanat kepada seluruh rakyat dalam perjuangan mengembalikan digniti rakyat Malaysia dan kedaulatan negara Malaysia mutakhir ini.

Teks penuh ucapan beliau di Konvensyen BN di Dewan Lee San Choon, Kuala Lumpur, sebentar tadi adalah seperti berikut:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_14.htm


KETUANAN. PERMUFAKATAN. KEWARGANEGARAAN. PERLEMBAGAAN.


Ruhanie Ahmad

Seseorang individu bebas memilih bentuk dan aliran pemikirannya. Ada individu liberal, ada konservertif, ada super hipokrit, dan tak kurang juga yang berlagak pseudo Islamis par excellence. Tetapi, yang malang sekali adalah individu yang tidak mengenali asal-usul diri dan sejarah bangsa sendiri.

Lantas tulisan saya kali ini adalah mengenai diri saya sebagai seorang anak Bangsa Melayu yang dilahirkan di bumi bertuah bernama Tanah Melayu dalam lokasi geografi Alam Melayu. Tanah Melayu dijajah orang asing dari 1511 hingga 1957, iaitu 446 tahun lamanya. Sepanjang tempoh itu Bangsa Melayu kehilangan digniti, maruah, dan harga diri. Tanah Melayu pula tergadai integriti dan kedaulatannya.

Bangsa Melayu yang kehilangan digniti ditindas secara sistemik. Hidup mereka terbiar, mundur, dan daif di pinggir desa. Tanah Melayu yang kehilangan integriti pula diinjak-injak pendatang asing. Hasil buminya dirampok dan dieksploitasikan ke peringkat maksimum.

Bangsa Melayu yang kehilangan digniti tidak mampu berbuat apa-apa untuk menebus integriti dan kedaulatan Tanah Melayu. Lantas penjajah pun datang dan pergi silih berganti. Penjajah terakhir adalah British. Mereka hanya memelihara dan menitikberatkan pedagangannya dengan Negara China (Cowan 1970:367).

Oleh sebab itulah berjuta-juta buruh asing di import masuk ke Tanah Melayu untuk melombong bijih timah dan mengusahakan ladang getah milik kapitalis British. Akibatnya, bancian tahun 1921, 1931, dan 1941, mendapati jumlah Bangsa Melayu pada tahun 1921 hanya 49% daripada seluruh penduduk Tanah Melayu, pada tahun 1931 hanya 47%, dan pada tahun 1941 hanya 42%. Ini membuktikan bahawa pada tahun 1921 jumlah buruh asing di Tanah Melayu adalah 51%, pada 1931 sebanyak 53%, dan pada 1941 sejumlah 58%. (Ahmad Atory Hussain 1987:9).

Apabila jumlah mereka kian besar dan mereka juga sudah beranak-pinak di Tanah Melayu, mereka mula mendesak supaya diberikan nasionaliti Tanah Melayu. Ini menyebabkan penjajah British jadi dilemma sehingga terdapat cadangan supaya digubal undang-undang kerakyatan baru bagi membolehkan pekerja asing ini jadi rakyat Raja-Raja Melayu (Lau 1991:16).

Cadangan berkenaan ditolak. Tetapi, sesudah tamat Perang Dunia Kedua, British kembali menjajah Tanah Melayu dan cuba melaksanakan dasar Malayan Union yang antaranya mengandungi cadangan undang-undang memberikan kerakyatan kepada buruh asing yang diimportnya ke Tanah Melayu.

British merancang gagasan radikal ini semasa zaman perang kerana ketika itu orang-orang asing kononnya membantu tentera British menentang Jepun, sementara Bangsa Melayu kononnya rata-rata memihak kepada Jepun.

Apa yang sengaja dipadamkan daripada sejarah British ketika itu ialah pengorbanan pemuda-pemuda Bangsa Melayu yang bertungkus-lumus mati-matian mempertahankan tanah air mereka daripada Jepun. Contohnya kisah Leftenan Adnan dan Sarjan Hassan.

Juga sengaja dipadamkan daripada sejarah kolonial ketika itu adalah kisah Bangsa Melayu dibunuh, disula, dibakar, dan dikuburkan hidup-hidup oleh gerombolan Komunis Bintang Tiga yang mengganas sewaktu Jepun sudah berundur dan sebelum British kembali menjajah pada Jun-Julai 1945

Pada ketika itu Bangsa Melayu yang kehilangan digniti hanya pasrah kepada Allah. Dengan jeritan Allahuakbar, mereka berjuang mati-matian untuk menumpaskan gerombolan Komunis Bintang Tiga. Kaum kerabat dan saudara mara saya turut menjadi mangsa gerombolan ini di Simpang Kiri, Batu Pahat, Johor. Kisah kepahlawanan Bangsa Melayu menumpaskan gerombolan ini di bawah pimpinan Kiyai Salleh tercatat dalam buku sejarah Malaysia (rujuk Harper 1999:53).

Pada tahun 1946, berpuluh ribu Bangsa Melayu Batu Pahat yang darah saudara mara mereka pernah ditumpahkan oleh pihak gerombolan Komunis Bintang Tiga menunaikan Fardhu Jumaat di Masjid Jamek di Jalan Ampuan, Bandar Penggaram. Sesudah itu mereka mengadakan perhimpunan Melayu secara besar-besaran di bawah pimpinan Dato’ Onn Jaffar selaku Pegawai Daerah. Sebelum bermesyuarat, mereka melaungkan perkataan Hidup Melayu dengan lantang dan bersemangat.

Bertolak dari detik itu tertubuhlah Pertubuhan Melayu Bersatu atau United Malays Organisation. Gagasan UMO itu di bawa ke Kongres Melayu di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur, pada Jun 1946. Di kongres itulah UMO ditambah dengan abjad N atau National dan menjadi United Malays National Organisation---UMNO---atau dulunya dikenali sebagai Pekembar.

Untuk memendekkan kisah, gagasan kerakyatan untuk insan-insan pendatang yang termaktub dalam perancangan Malayan Union dijadikan senjata British untuk mendesak Bangsa Melayu bergabung dengan pendatang bagi memerdekakan Tanah Melayu.

Bangsa Melayu yang baik hati pun setuju walau golongan berkenaan masih bertaraf pendatang, bukannya rakyat Tanah Melayu. Menerusi kemerdekaan Tanah Melayu, mereka menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu.

MANA ADA NEGARA DI DUNIA INI MEMBERIKAN HAK POLITIK KEPADA PIHAK PENDATANG UNTUK BERGANDING BAHU DENGAN BANGSA MELAYU SELAKU PRIBUMI DALAM PERJUANGAN MEMERDEKAKAN NEGARA? PARADOKS INI HANYA TERJADI DI TANAH MELAYU DENGAN KERELAAN HATI BANGSA MELAYU YANG TERLALU GAIRAH UNTUK MENEBUS DIGNITI BANGSA MELAYU DAN KEDAULATAN TANAH MELAYU MENERUSI KEMERDEKAAN TANAH AIRNYA!

SEBAGAI TANDA MUHIBAH KEPADA KESUCIAN HATI BANGSA MELAYU YANG MEMBERIKAN HAK POLITIK DAN KEWARGANEGARAAN, KELOMPOK PENDATANG ITU PUN SETUJU BAHAWA RAJA MELAYU JADI YANG DI-PERTUAN AGONG, ISLAM MENJADI AGAMA RASMI PERSEKUTUAN, BAHASA MELAYU JADI BAHASA KEBANGSAAN, DAN BANGSA MELAYU DIBERIKAN SEDIKIT KEISTIMEWAAN DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN. (RUJUK TUNKU ABDUL RAHMAN 2009:112).

Kelompok-kelompok pendatang yang ketika itu belum jadi warganegara dan tidak pula aktif dalam politik juga berperanan menentukan corak Perlembagaan Persekutuan. Di antara 131 memorandum yang diterima oleh para penggubal Perlembagaan Persekutuan, 47 adalah daripada pihak pendatang, 43 daripada Bangsa Melayu, dan selebihnya daripada parti-parti politik, kesatuan buruh, dan kelompok kapitalis barat. Dalam kalangan 47 yang diterima daripada pendatang itu termasuklah daripada persatuan guru-guru, dewan perniagaan dan lain-lainnya (rujuk Report of the Federation of Malaya Constitutional Commission 1957:7).

Seluruh kisah di atas adalah kisah Bangsa Melayu dan kisah Tanah Melayu. Khususnya kisah Bangsa Melayu yang kehilangan digniti dan Tanah Melayu yang tergadai integritinya. Dalam bahasa mudahnya, kisah di atas adalah kisah Bangsa Melayu yang kehilangan maruah dan Tanah Melayu yang hilang kedaulatan.

Lebih jelas lagi, kisah di atas adalah kisah Bangsa Melayu dan Tanah Melayu tanpa ketuanannya. Oleh itu, jangan rasa jijik dan gerun dengan perkataan KETUANAN MELAYU kerana ia bukannya bermaksud Melayu mahu jadi tuan. Hakikatnya begitu kerana KETUANAN MELAYU adalah konsep anti-penjajahan yang disemarakkan oleh Bangsa Melayu untuk mengembalikan digniti Bangsa Melayu dan menebus maruah kedaulatan Tanah Melayu. Konsep ini konsep anti-penjajahan. Bukannya konsep hendak mendabik dada dan mengagung-agungkan Bangsa Melayu di Tanah Melayu yang kini dikenali sebagai Malaysia dengan rakyatnya yang berbilang keturunan.

Thursday, December 02, 2010

MENANTI KEMUNCULAN KING GHAZ DI ABAD KE-21

Oleh RMF7


Siapakah yang layak menerima gelaran Pahlawan KDN selepas pemergian Tan Sri Ghazali Shafie @ King Ghaz. Sehingga kini Malaysia masih lagi tercari-cari pemimpin yang boleh menjiwai kepahlawanan King Ghaz dalam menangani isu-isu keselamatan negara Malaysia.

Sejarah telah membuktikan King Ghaz adalah seorang patriot yang sukar dicari gantinya. Beliau sanggup melakukan apa sahaja demi untuk menjamin keselamatan dan keamanan negara bagi manfaat seluruh rakyat Malaysia.

Contohnya, King Ghaz berani menahan Sidek Ghause yang masa itu Setiausaha Politik kepada Tun Dr Mahathir Mohamed di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri semata-mata dengan tujuan murni demi keselamatan negara.

Ini membuktikan King Ghaz adalah seorang yang sangat cintakan negaranya. Beliau sanggup menahan sesiapa sahaja yang menganggu-gugat keselamatan dan keharmonian negara sama ada menerusi hasutan, mempersendakan perlembagaan negara, atau menunjukkan ketidaksetiaan kepada negara dan Raja-Raja Melayu.

Keberanian King Ghaz kini hanya tinggal kenangan. Malaysia masih menanti kemunculan seorang pahlawan baru yang peka terhadap isu-isu sensitif dewasa ini.

Nota: Posting di atas saya muat-turunkan daripada blog RMF7 yang berjodol KDN “Tersungkur” lagi, disiarkan pada 2 Disember 2010. Saya membuat suntingan terhadap posting tersebut untuk mengelakkan sebarang implikasi undang-undang. Saya juga hanya memfokus kepada legenda King Ghaz sekadar untuk memenuhi nostalgia diri terhadap Allahyarham Tan Sri Ghazali Shafie yang sedikit sebanyak telah menyemaikan semangat patriotisme kepada saya dan sahabat-sahabat seangkatan di ITM pada tahun 1969. Ketika itu King Ghaz adalah Pengerusi Majlis Penglola ITM.

Tuesday, November 30, 2010

TRANSFORMASI JAMIN SURVIVAL



Ruhanie Ahmad


Datuk Seri Najib Razak Tun Razak melaksanakan transformasi siasah yang radikal dan bersejarah apabila Barisan Nasional (BN) membuka keanggotaan bersekutunya kepada individu, pertubuhan bukan kerajaan dan organisasi politik yang sudi mendukung misi perjuangannya, serta menyediakan ruang kepada generasi muda menyertai aktivitinya menerusi Kelab Rakan Muda BN dan Kelab Sahabat BN.

Transformasi ini mencerminkan pemikiran progresif kepimpinan kontemporari BN yang selaras dengan hasrat mempercepatkan pengintegrasian masyarakat Malaysia yang multi-etnik, secocok dengan transformasi sosioekonomi nasional, dan sesuai dengan cabaran modenisasi pada abad ke-21.

Dari perspektif kajian strategi dan keselamatan, transformasi ini bertujuan menghindarkan konflik dan pertembungan matlamat di kalangan rakyat, di samping untuk menjamin kelangsungan negara, keselamatan politik, keselamatan masyarakat, keselamatan ekonomi, dan keselamatan nasional Malaysia.

Realitinya demikian kerana satu daripada punca konflik yang boleh mengancam kelangsungan negara dan keselamatan nasionalnya adalah “ketidakseimbangan kuasa dan dispariti ekonomi yang mendorong kekecewaan” (Jeong 2009:43).

Bagaimanapun, “sesetengah konflik etnik yang lahir daripada ketidaksamarataan dan diskriminasi domestik boleh diatasi menerusi pluralisme dalam perwakilan pemerintahannya” (Azar & Moon 1988:288).

Kepimpinan Najib prihatin terhadap soal etnisiti ini kerana konflik etnik yang merupakan antara “ciri-ciri asas dalam sesuatu masyarakat majmuk” (Marger 2003:6) adalah “alah satu punca yang menimbulkan keadaan tidak selamat di seluruh dunia sejak zaman berzaman” (Kaufman 2008:201).

Keprihatinan ini diasaskan oleh Tunku Abdul Rahman Putra menerusi kewujudan mekanisme perkongsian kuasa di ambang kemerdekaan negara. Ia diperkukuhkan lagi oleh Tun Razak Hussein selepas konflik 1969.

Tunku Abdul Rahman mempelopori pembentukan Perikatan pada 1952 untuk menggabungkan UMNO selaku wakil majoriti orang Melayu dengan MCA mewakili keturunan Cina serta MIC mewakili keturunan India.

Mekanisme ini menghasilkan permuafakatan siasah yang positif dan sejati. Kemuncaknya adalah pemeteraian “apa yang disebut sebagai kontrak sosial (social bargain) pada 1957 di antara tiga kumpulan etnik utama sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan” (Mahathir 2002:iv).

Ini mencerminkan bahawa struktur parti pemerintah Malaysia iaitu dahulu Perikatan dan kini BN adalah gabungan parti siasah yang menitikberatkan perkongsian kuasa, permuafakatan, perpaduan, kesejahteraan, dan keselamatan masyarakat serta negara.

Bagaimanapun, kempen Malaysian Malaysia sepanjang tempoh 1963-1965 yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew telah menebalkan sentimen perkauman. Ini menyebabkan Perikatan terpaksa ditransformasikan menjadi entiti baru setelah meletus konflik etnik pada 13 Mei 1969.

Transformasi ini dilaksanakan oleh Tun Razak menerusi pembentukan BN pada 1 Julai 1974 yang memperluaskan gabungan UMNO, MCA dan MIC kepada lain-lain parti politik yang sanggup mendukung idealisme politik sederhana dan demokratik.

Tun Razak menggandingkan transformasi siasah ini dengan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebagai asas kepada penyusunan semula masyarakat dan pengenalan Rukun Negara sebagai asas perpaduan nasional.

Perdana Menteri Malaysia Kedua itu melaksanakan transformasi ini untuk mengukuhkan institusi negara, memelihara kelangsungan negara, memulihkan keselamatan nasional, memulihkan keselamatan masyarakat, memulihkan perpaduan rakyat, dan melindungi keselamatan ekonomi Malaysia.

Oleh sebab itulah, selepas konflik etnik pada 13 Mei 1969, kerajaan Malaysia segera melantik sekumpulan perunding dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat untuk merumuskan dimensi penyatuan nasional di Malaysia (Faaland, Parkinson & Rais 2002:352) dengan matlamat utamanya untuk menjamin survival serta memulihkan ketenteraman awam dan keselamatan nasional.

Lantaran itulah juga “strategi dan objektif asas DEB yang telah diperhalusi oleh Majlis Perundingan Negara dibentangkan di Parlimen Malaysia pada Februari 1971 menerusi Kertas Putih berjudul Ke Arah Keharmonian Nasional” (Gordon P. Means 1991:23).

Proses transformasi yang dilaksanakan oleh Tun Razak berjaya melonjakkan perpaduan rakyat, meningkatkan kemakmuran ekonomi, dan menstabilkan keselamatan nasional. Realiti ini membolehkan Tun Dr. Mahathir Mohamad memfokus kepada program pemodenan negara berasaskan gagasan Wawasan 2020.

Ia juga membolehkan Malaysia memberikan kepimpinan kepada komuniti dunia Selatan-Selatan. Dalam konteks ini, “Malaysia mempelopori penubuhan G-15 iaitu organisasi untuk menggalakkan kerjasama Selatan-Selatan pada 1989” (Milne & Mauzy 1999:134).

Bagaimanapun, evolusi pemikiran dan tindakan rakyat mutakhir ini seolah-olah mencabar kemampuan BN dalam menangani masalah sosiopolitik dan ekonomi kontemporari pada abad ke-21, khususnya sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008, suara dan tindakan komponen BN dan juga parti pembangkang jelas didasari sentimen perkauman yang kian meningkat.

Inilah sebabnya Najib melakukan transformasi terhadap struktur keahlian BN yang diumumkannya pada 20 November 2010. Beliau melakukan transformasi siasah ini tanpa merombak struktur komponen BN yang diasaskan oleh ayahandanya pada 1974.

Sebaliknya, beliau memperluaskan penyertaan rakyat Malaysia di dalam BN menerusi keanggotaan bersekutu serta menerusi kewujudan Rakan Muda BN dan Kelab Sahabat BN.

Usaha ini bijaksana kerana tidak menjejaskan status quo keanggotaan komponen BN sedia ada. Tetapi, transformasi ini radikal kerana ia mempunyai manfaat jangka panjang yang positif jika ia diuruskan secara sistematik dan berkesan.

Antara manfaatnya ialah keanggotaan individu, NGO dan pertubuhan politik sebagai ahli bersekutu BN akan membolehkan mereka menyalurkan sebarang rasa tidak puas hati atau kekecewaan mereka terhadap kerajaan secara langsung kepada BN untuk penyelesaian segera dan efektif.

Keanggotaan bersekutu ini juga dapat memperluaskan idealisme perjuangan BN kepada rakyat. Ini bermakna transformasi ini benar-benar memasyarakatkan BN dalam kalangan majoriti rakyat tanpa mengira kaum.

Penyediaan Kelab Rakan Muda BN dan Kelab Sahabat BN pula akan memudahkan proses sosialisasi politik dalam kalangan generasi pelapis Malaysia menerusi aktiviti tersusun dan positif.

Proses ini akan menjamin kesinambungan semangat perjuangan dan prinsip permuafakatan politik BN pada hari muka supaya perpaduan rakyat, kesejahteraan ekonomi serta keselamatan nasional sentiasa terjamin masa depannya.

Kesimpulannya, transformasi politik yang dilaksanakan oleh Najib adalah radikal, futuristik, dan demi kelangsungan negara dan bangsa Malaysia. Ini menepati aspirasi Gagasan 1Malaysia serta transformasi sosioekonomi yang dilaksanakan mutakhir ini. Bagaimanapun, sekali lagi saya tegaskan bahawa transformasi ini perlu diurus secara sistematik dan berkesan.

[Disiarkan oleh Utusan Malaysia : 27 November 2010]

Sunday, November 21, 2010

HAYAT PKR TIBA KE PENGHUJUNGNYA?



Ruhanie Ahmad


Rakyat Malaysia mengetahui susur-galur sejarah kemunculan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Oleh itu, mereka perlu mengaudit gelagat PKR dan karenah perilaku kepimpinan tertingginya mutakhir ini untuk memastikan ianya parti bermaruah atau sebaliknya.

Gelagat paling terakhir yang patut diaudit adalah episod pemimpin PKR keluar parti dan kisah baling-membaling kerusi dalam mesyuarat tahunan PKR baru-baru ini.

Gelagat ini merupakan elemen baru dalam perjuangan PKR yang mendakwa sebagai jaguh demokrasi par excellence di Malaysia.

Tetapi, kisah perilaku kepimpinan tertinggi PKR adalah episod sensasi paling terkini yang mesti diaudit oleh rakyat Malaysia.

Sebuah akhbar Australia menyiarkan berita sekumpulan Ahli Parlimen dan Senator Australia mendesak Malaysia menggugurkan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim atas nama demokrasi dan hak asasi kemanusiaan.

Laporan penuh Australian politicians lodge protest for sodomy trial against Anwar Ibrahim to be dropped boleh diakses di sini:

http://www.theaustralian.com.au/news/world/australian-lawmakers-lodge-portest-for-sodomy-trial-against-anwar-ibrahim-to-be-dropped/story-e6frg6so-1225829761369

Rakyat Malaysia, khususnya anggota PKR dan anggota PAS, perlu mengaudit berita ini dengan teliti. Mereka juga perlu memahami mesej di sebaliknya.

Satu lagi berita membabitkan Datuk Seri Anwar adalah Malaysian opposition leader Anwar Ibrahim has urged the Gillard government to step up pressure against his homeland yang juga terbit di Australia baru-baru ini. Berita sepenuhnya seperti berikut:

http://www.theaustralian.com.au/news/world/anwar-ibrahim-pleads-for-support/story-e6frg6so-1225953433729

Sesudah membaca kedua-dua berita di atas, seluruh rakyat Malaysia, terutamanya ahli PKR dan PAS, buatlah proses pengauditan tehadap PKR dan pemimpin tertingginya secara kritis, ikhlas dan jujur menerusi kerangka minda yang sejati.

Berikutnya, tepuk dada dan tanya selera masing-masing, adakah atas nama demokrasi dan hak asasi manusia, Malaysia boleh mengizinkan amalan liwat dihalalkan di negara ini?

Lantas, adakah fitnah jika dikatakan maruah politik PKR mutakhir ini sedang dicemari berita-berita seperti di atas?

Adakah hasutan jika dicadangankan supaya anggota PKR mendesak perhimpunan agungnya tahun ini untuk menyingkirkan sesiapa sahaja pemimpinnya yang mencemari nama baik partinya?

Dan, adakah hasutan jika dicadangkan supaya seluruh anggota PKR bangkit mendesak kepimpinan tertinggi partinya untuk mendefinisikan corak perjuangan PKR, sama ada ia parti multiracial, parti demokrasi liberal, atau parti yang tidak mempunyai sebarang corak dan warna perjuangan yang khusus bagaikan pelangi yang indah dalam kesementaraannya.

Perhimpunan agung PKR akan diadakan tidak lama lagi. Ini merupakan detik terbaik untuk ahli-ahli PKR menuntut proses pendefinisian ini dilakukan. Ini juga waktu terbaik untuk menyingkirkan mana-mana pemimpin parti yang songsang perilakunya.

Jika tidak, PKR akan terus digerhanai oleh publisiti negatif mengenai kesongsangan perilaku politik dan peribadi. Dan, kesembronoan inilah yang mungkin mentalqinkan PKR tidak lama lagi.

Tuesday, November 16, 2010

INTERDEPENDENSI SEMBERONO PKR-DAP



Ruhanie Ahmad


Interdependensi politik PKR-DAP mutakhir ini disifatkan sebagai “konspirasi syaitan.” Demikian intisari kenyataan Zulkifli Noordin, Ahli Parlimen Bebas-Kulim-Bandar Baharu, dalam Utusan Malaysia, 30 Oktober 2010.

Kenyataan ini adalah huraian kepada kenyataan Zulkifli sewaktu membahaskan Barjet 2011, di Dewan Rakyat, pada 28 Oktober 2010, yang antara lainnya dipetik oleh Utusan Malaysia 29 Oktober 2010, seperti berikut:

Hubungan PKR dan DAP begitu rapat sehingga wujud satu perjanjian rahsia berhubung pegangan kuasa politik antara kedua-dua parti itu yang tidak diketahui oleh Pas. Melalui perjanjian rahsia itu DAP akan memiliki kuasa autonomi terhadap Pulau Pinang sekiranya pakatan pembangkang berjaya mengambil alih kerajaan Persekutuan. Jika pakatan pembangkang menang dan ambil alih kerajaan Persekutuan, DAP akan diberi kuasa autonomi di Pulau Pinang (Zulkifli Noordin dalam Utusan Malaysia 29.10.10).

Laporan Zulkifli dalam Utusan Malaysia 30 Oktober 2010 yang mendedahkan wujudnya “konspirasi syaitan” adalah susulan kepada kenyataan di atas. Selanjutnya, Zulkifli menegaskan seperti berikut:

Perjanjian rahsia antara PKR dengan DAP bukan suatu perkara yang boleh dianggap ‘main-main' kerana ia didalangi oleh kepimpinan tertinggi parti terbabit. Pendedahan ini dibuat kerana saya mahu ahli bawahan Pas dan PKR serta rakyat Malaysia tahu bahawa wujudnya 'perjanjian syaitan' melibatkan PKR dan DAP. Jangan nanti apabila perkara sudah berlaku baru hendak menyesal. Baru hendak kata tidak jangka semua itu akan berlaku (Zulkifli dalam Utusan Malaysia 30.10.10).

Demikianlah kisah intimasi dan interdependensi DAP-PKR. Interdependensi adalah tindakan saling-kebergantungan yang wujud dalam susunan sosial, politik, dan ekonomi. Interdependensi pelbagai jenisnya, termasklah interdependensi positif dan interdependensi negatif.

Interdependensi positif bercorak akomodatif, dipraktikkan menerusi konsep menang-menang dan berdasarkan prinsip kerjasama. Interdependensi negatif bercorak eksploitatif, diamalkan menerusi konsep persiangan dan berdasarkan prinsip survival.

Dalam konteks politik PKR-DAP mutakhir ini sukar untuk dipastikan corak interdependensinya. Tetapi, DAP memang seakan-akan berhajat sangat untuk mengkudakan PKR, dan PKR juga seolah-olah amat berniat untuk mengkudakan DAP.

Kedua-dua parti ini terlalu sangat bercita-cita untuk menerajui Kerajaan Malaysia. Oleh sebab itulah interdependensi PKR-DAP seolah-olah bercorak oportunistik, dilaksanakan menerusi konsep wenang-wenangan dan dibina atas prinsip citarasa.

Jika inilah realitinya, tidak salah jika saling-kebergantungan PKR-DAP dikategorikan sebagai interdependensi sembrono yang bercorak oporcunistik, diamalkan menerusi konsep sewenang-wenang dan berdasarkan prinsip citarasa.

Bagi memudahkan pembaca mentakrifkan posting di atas, saya senaraikan di bawah ini maksud kata-kata kuncinya, iaitu: konspirasi, autonomi, semberono, sewenang-wenang, dan citarasa, yang dipetik daripada Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan (1995) dan Kamus Besar Bahasa Indonesia (1995) seperti berikut:

Konspirasi: maksudnya “komplotan” (Kamus Besar Bahasa Indonesia 1995:521). Komplot pula ertinya “bersekongkol, bersubahat, bersepakat, berkongsi, bersekutu, bergabung, berkongkalikong” (Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan 1995:930).

Autonomi atau otonomi: maksudnya “pemerintahan sendiri” (Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan 1995:96); atau “pemerintahan sendiri; memiliki hak dan kekuasaan menentukan arah tindakannya sendiri (Kamus Besar Bahasa Indonesia 1995:709).

Sembrono: ertinya “tidak hati-hati; tidak difikirkan baik-baik; sembarangan” (Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan 1995:1667); atau “kurang hati-hati, tidak difikirkan baik-baik, gegabah, kurang sopan” (Kamus Besar Bahasa Indonesia 1995:905)

Sewenang-wenang: maksudnya “melakukan atau membuat sesuatu dengan sekehendak hati atau sesuka hati sahaja; dengan sembarangan; dengan tidak teliti; tidak dengan usul periksa (Kamus Besar bahasa Melayu Utusan 1995:2182); atau “dengan tidak mengindahkan hak orang lain; dengan semau-maunya; dengan kuasa sendiri (Kamus Besar bahasa Indonesia 1995:1128).

Citarasa: maknanya “perasaan hati (Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan 1995:363); atau “perasaan; perasaan hati (Kamus Besar Bahasa Indonesia 1995:191).

Kesimpulannya, pendedahan Zulkifli bermaksud PKR-DAP kini terbabit dalam satu “konspirasi syaitan” di mana PKR akan memberikan hak kepada DAP untuk memerintah Pulau Pinang secara autonomi atau secara “berkerajaan sendiri” yang bebas daripada arah-tuju kekuasaan pusat jika PKR menguasai pemerintah Kerajaan Persekutuan.

Blog ini mengkategorikan realiti ini sebagai realiti interdependensi semberono kerana konspirasi yang didedahkan oleh Zulkifli didakwa telah diputuskan secara rahsia oleh pucuk kepimpinan tertinggi PKR-DAP tanpa berhati-hati, ikut sesuka rasa hati sendiri, dan dengan tidak mengindahkan hak seluruh rakyat jelata Malaysia, termasuk hak Pas yang menjadi komponen Pakatan Rakyat.

Oleh itu, persoalan yang ingin saya ketengahkan untuk renungan rakyat Malaysia, termasuk Pas, ialah: adakah keputusan “konspirasi syaitan” yang didedahkan oleh Zulkifli pada 28 Oktober 2010, akan meliputi lain-lain negeri jika mereka dikuasai oleh DAP dalam PRU 13 kelak; dan, apa akan jadi kepada corak pemerintahan dan kekuasaan di Malaysia jika andaian ini menjadi kenyataan?

Friday, October 15, 2010

Kerajaan BN Dan Keselamatan Rejim: Kesimpulan

Ruhanie Ahmad

Siri satu hingga lima di bawah tajuk ini menerima 59 komen yang memanifestasikan sentimen politik semasa terhadap pemerintahan BN serta warga institusi negara, termasuk segelintir orang besar parti serta pegawai-pegawai menteri.

Komen-komen tersebut memberikan indikasi bahawa Kerajaan BN seolah-olah berada dalam situasi yang kurang mantap. Sama ada ini realiti atau ilusi, terserahlah kepada BN untuk mentafsirkannya.

Tetapi, jika sentimen rakyat yang diluahkan menerusi blog-blog Malaysia menjelang PRU12 boleh dijadikan asas perbandingan, maka adalah tidak bijaksana jika komen-komen mengenai Kerajaan BN di alam siber mutakhir ini tidak dianalisis secara ikhlas dan jujur oleh pihak BN serta diberikan solusi yang segera lagi efektif.

Dalam pada itu, terdapat juga komen-komen sensitif yang saya tidak siarkan untuk mengelakkan kontroversi dan mungkin tindakan undang-undang.

Kesimpulan

Kesimpulannya, keselamatan rejim BN mutakhir ini diancam oleh masalah intra dan inter-party dalam BN, khususnya dalam UMNO, serta antara UMNO dan MCA.

Rejim BN juga diancam oleh persepsi negatif segolongan rakyat jelata terhadap segelintir warga institusi negara, termasuk pegawai-pegawai lantikan politik, khususnya dalam konteks salahguna kuasa.

Persepsi seperti ini menyebabkan majoriti warga institusi negara yang dedikasi dan bersungguh-sungguh menjunjung slogan 1Malaysia turut tercemar nama baik mereka.

Huraian di atas bermakna bahawa ancaman daripada pembangkang tidak merupakan isu besar jika BN ketika ini benar-benar pukal kemuafakatannya dan seluruh warga institusi negara pula amat insaf akan tanggungjawab mereka untuk mempertahankan pemerintahan negara.

Oleh itu, Kerajaan BN serta Ibupejabat BN perlu mengatur strategi tegas dan berkesan untuk mencorakkan suasana yang lebih positif menjelang PRU13 kelak.

Bagaimanapun, strategi tersebut tidak seharusnya dalam bentuk konsesi atau akomodasi politik. Strategi berkenaan wajar difokuskan kepada niat memperbaiki organisasi BN dan mengentalkan semangat juang anggotanya di semua peringkat demi untuk menebus prestasi BN dalam PRU12 menerusi PRU13.

Sunday, October 10, 2010

Kerajaan BN Dan Keselamatan Rejim: Siri Lima

Ruhanie Ahmad

Dalam siri terawal ditegaskan bahawa keselamatan sesebuah rejim bergantung kepada perjuangan parti pemerintah, para menteri, pembantu-pembantunya, serta warga institusi negara, iaitu kakitangan awam di semua peringkat.

Jika salah satu komponen ini pincang, menyalahgunakan kuasa, atau bertindak semberono, impak negatifnya adalah kepada rejim yang akan diadili oleh para pengundi dalam Plihan Raya Umum (PRU).

Pegawai Menteri

Oleh itu, siri ini akan memfokus kepada karenah segelintir pegawai menteri atau para pegawai menteri besar BN yang bertindak berleluasa menyebabkan banyak pihak kecewa dengan sifat mereka.

Kekecewaan umum ini menyebabkan menteri mereka disumpah seranah oleh sesetengah rakyat jelata. Sumpah seranah ini juga pasti akan dijelmakan dalam bentuk undi protes dalam PRU.

Siri ini menyenaraikan beberapa kisah benar membabitkan beberapa pegawai menteri dan menteri besar BN. Nama mereka tidak akan disebut. Tetapi, kisah mereka adalah hakiki.

Satu: seorang pegawai khas seorang menteri telah menghantar surat kepada Kementerian Kewangan (MOF) dan memberikan arahan supaya MOF mengizinkan sebuah syarikat membekalkan satu barangan kepada satu agensi di bawah kementerian berkenaan menerusi kontrak secara runding terus untuk selama 15 tahun.

MOF pun menghubungi agensi terbabit untuk mendapatkan maklumat yang lebih sahih. Agensi terbabit terkejut besar kerana ianya bercadang untuk mendapatkan barangan tersebut secara tender terbuka. Tidakkah karenah seperti ini menyebabkan banyak pihak terkilan dengan kelompok pegawai khas seperti ini?

Dua: Seorang usahawan mengemukakan cadangan kepada sebuah kementerian untuk membekalkan sesuatu barangan kepada satu agensi di bawah kementerian tersebut. Tiba-tiba, usahawan tersebut mendapat tahu bahawa proposalnya disampaikan kepada agensi terbabit tetapi sesudah ditukar nama syarikatnya kepada satu syarikat lain yang tidak dikenali asal usulnya.

Amalan ini banyak diperkatakan dan pastinya menjadikan sesetengah usahawan kecewa dengan pihak yang menyalahgunakan kuasa seperti ini.

Tiga: Seorang usahawan memajukan permohonan sebidang tanah kepada seorang menteri besar menerusi seorang wanita yang nama ayahnya sama dengan nama ayah menteri besar terbabit.

Wanita tersebut telah mengambil wang sejumlah melebihi satu juta ringgit daripada usahawan berkenaan atas alasan untuk membayai majlis-majlis politik UMNO di negeri terbabit.

Kini wang sudah lesap, tanah tidak diperolehi, malahan wanita itu juga marah-marah apabila didesak untuk membereskan urusan permohonan tanah berkenaan.

Dalam kes ini nama menteri besar dijual secara borong oleh wanita berkenaan. Bagaimana jika kes ini jatuh ke tangan pembangkang yang sedang aktif menyediakan profile salahguna kuasa oleh pihak BN di seluruh negara?

Pokoknya, memang para menteri dan ramai pegawai menteri yang berprinsip dan sentiasa menjunjung nama baik rejim dan parti. Tetapi, tidakkah kes contoh di atas menjadi seperti akibat nila setitik, rosak susu sebelanga?

Menjual Nama

Karenah kedua adalah perbuatan segelintir orang parti dan pegawai parti menjual nama sesetengah menteri atau isterinya. Sebuah agensi kerajaan pernah memberikan kontrak secara tender runding terus kepada sekumpulan pegawai menteri atas cara ini.

Akibatnya, tender untuk kerja berkenaan baru siap kira-kira satu per lapan, wang beratus ribu sudah diberikan kepada kumpulan berkenaan, tetapi kerjanya terbengkalai dan terpaksa ditenderkan semula.

Ada juga pihak pegawai parti menggunakan nama isteri menteri tertentu untuk mendapatkan faedah diri sendiri. Tiada pihak berani mendapatkan kepastian daripada isteri menteri terbabit. Dengan itu, pegawai berkenaan pun mendapatkan habuan peribadi yang dihajatinya.

Sekali lagi, ini perbuatan yang boleh menyebabkan parti berkenaan rosak dan dibenci ramai. Bagaimana hendak dibetulkan karenah seperti ini?

Aktiviti Pembangkang

Ada pihak mendakwa bahawa kini terdapat sesetengah pihak yang kecewa dengan kerajaan sengaja membocorkan rahsia kepada pihak pembangkang.

Dakwaan seperti ini serius implikasinya. Walaupun pihak pembangkang memang sedang bercelaru, gaduh sama sendiri hinggakan baling-baling kerusi, apa akan jadi jika maklumat yang dibocorkan ini dijadikan senjata untuk mengkahis kredibiliti kerajaan? Siapa bertanggungjawab untuk menyekat aktiviti seperti ini?

Oleh itu, persoalan pokok untuk siri ini adalah, bagaimanakah seluruh karenah di atas akan diatasi oleh pihak pemerintah? Dan, siapakah yang bertanggungjawab untuk membanterasnya?

[Bersambung dalam siri keenam]

Wednesday, September 22, 2010

Kerajaan BN Dan Keselamatan Rejim: Siri Empat

Ruhanie Ahmad


Keselamatan rejim BN sedang terancam. Inilah persepsi umum di kalangan rakyat biasa Malaysia mutakhir ini. Sukar untuk dipastikan sama ada ini adalah realiti. Tetapi, persepsi berperanan besar dalam politik.

Persepsi ini muncul berdasarkan pelbagai indikator politik dalaman BN dan luaran BN serta dinamikanya. Antaranya adalah seperti berikut:

Pemuda UMNO

Sayap penting UMNO ini didakwa sebagai lemah dan gagal memahami aspirasi sebenar Melayu dalam kerangka politik kontemporari. Perang mulut antara Ketua Pemuda UMNO Malaysia dengan PERKASA dikatakan sebagai menyebabkan ramai lagi orang Melayu berasa kecewa dengan Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Sayap ini juga dikatakan sebagai kehilangan idealism dalam perjuangannya membela orang Melayu. Seluruh persepsi ini wajar ditangkis secara berhemah dan segera. Pastinya Ketua Pemuda UMNO Malaysia cukup berwibawa untuk bertindak secara positif dan efektif dalam konteks ini.

Karenah MCA

Persepsi segolongan orang Melayu terhadap MCA amat negatif. Mereka beranggapan suara MCA mutakhir ini seolah-olah hampir senada suara parti pembangkang Chinese-based. Kenyataan provokatif Lee Kuan Yew terhadap Malaysia tempohari disifatkan sebagai indikator dan manifestasi kepada kecelaruan permuafakatan komponen bukan Melayu dalam BN ini. Lantaran itu, wujud segolongan orang Melayu bimbang akan kemenangan BN di kerusi-kerusi DUN dan Parlimen yang mempunyai 51 peratus majoriti pengundi bukan Melayu. Bagaimanakah persepsi ini mahu dimansuhkan sebelum PRU13 kelak?

Warga Perkhidmatan Awam

Jika ditinjau kembali posting awal dalam siri ini, terbukti bahawa warga perkhidmatan awam sama-sama berperanan penting dalam mempertahankan keselamatan rejim negaranya. Oleh sebab itu tidak wujud dictum bahawa kononnya mereka perlu bersikap neutral. Dalam konteks ini, persepsi umum menyatakan bahawa warga perkhidmatan awam perlu sama-sama berusaha untuk menjamin kemenangan BN dalam PRU13. Lantas, apakah usaha yang akan dilaksanakan?

Orang Besar BN

Paling serius lagi, ada persepsi mengatakan bahawa segelintir Orang Besar BN sendiri kononnya sudah hilang keyakinan terhadap kemenangan BN dalam PRU13. Mereka kini didakwa sebagai sibuk menyiap-sediakan langkah-langkah menyelamatkan tengkok dan tembolok masing-masing. Persepsi ini meluas, tetapi mungkin juga fitnah dan dakyah semata-mata. Tetapi, jika inilah realitinya, apakah cara untuk mengatasinya?

Gelagat Menteri

Kini wujud persepsi negatif terhadap gelagat segelintir Menteri. Kenyataan-kenyataan mereka boleh jadi bagaikan nila setitik yang akan merosakkan susu sebelanga. Segelintir Timbalan Menteri juga dikatakan tergolong dalam kategori ini. Gelagat mereka bukan sahaja menyebabkan segolongan rakyat jadi marah, malahan menyebabkan segolongan warga perkhidmatan awam hilang hormat kepada individu terbabit dan parti yang diwakilinya.

Ibu Pejabat UMNO Malaysia

Orang UMNO ramai beranggapan bahawa pengurusan Ibu Pejabat UMNO masa ini disamakan dengan pengurusan korporat. Ahli-ahli yang berkunjung untuk berurusan terpaksa mengisi borang dan sebagainya. Di samping itu terdapat seorang bos tertentu dikatakan bertindak lebih semberono dan menyebabkan kemarahan ahli-ahli UMNO serta melemahkan morale kakitangan Ibu Pejabat UMNO. Soalnya, adakah ini hakikat dan bila agaknya punca kekalutan ini mahu diatasi?

Tindakan Tegas

Seluruh persepsi di atas penting untuk dihalusi dan dimansuhkan. Ini menuntut kepimpinan negara bertindak tegas terhadap kesemuanya. Jadikanlah impak persepsi terhadap kepimpinan pasca Najib dalam PRU12 sebagai pengajaran untuk membolehkan kepimpinan mutakhir ini bertindak menyelamatkan rejim BN dan kekuasaannya.

[Bersambung dalam siri kelima]

Wednesday, August 18, 2010

Kerajaan BN Dan Keselamatan Rejim: Siri Tiga

Ruhanie Ahmad

Dalam posting siri dua saya cadangkan BN dan UMNO memperkenalkan Prosidur Operasi Seragam bagi mengendalikan perjalan organisasinya untuk merebut semula seluruh negeri yang kini dikuasai oleh Pakatan Rakyat. Hakikat ini penting kerana di kesemua negeri berkenaan, BN adalah parti pembangkang. Pada waktu yang sama, BN mesti mempertahankan seluruh negeri yang kini dalam kekuasaannya dan mesti meningkatkan jumlah kerusinya di Dewan Rakyat.

Prosidur Operasi Seragam ini akan membolehkan seluruh jentera BN yang digerakkan oleh parti-parti komponennya bergerak dan bertindak dengan satu langkah dan satu suara. Paling penting sekali, BN perlu mengarahkan seluruh pemimpinnya di semua peringkat supaya mengelakkan daripada membuat kenyataan kontroversial. Arahan ini perlu disegerakan supaya tidak wujud polarisasi dan ‘permusuhan’ di kalangan seluruh komponennya yang sekaligus menghakis kredibiliti BN serta menghakis keyakinan rakyat kepadanya.

Objek Politik BN

Sehubungan dengannya, BN juga perlu memperingatkan seluruh komponen dan ahli-ahlinya bahawa perjuangan BN adalah untuk mengekalkan kuasa pemerintahannya di peringkat pusat dan negeri. Jika komponen BN bertelagah secara terbuka, kredibiliti BN tercemar dan keyakinan rakyat menjadi luntur.

Oleh itu, seluruh pemimpin komponen BN wajar diingatkan supaya memahami serta mengamalkan kaedah dan strategi peperangan. Jika kaedah peperangan Sun Tzu didapati paling sesuai, hayati dan amalkan strategi tersebut. Jika strategi peperangan oleh Von Clausewitz perlu digandingkan bersama seni peperangan Sun Tzu, lakukan gandingan ini secara segera. Pokoknya, strategi peperangan BN biar ketara, tetapi objek politik BN dalam peperangan itu biar terus dirahsiakan daripada pengetahuan pihak lawan.

Dalam konteks ini, wajar dikenalpasti sistem kerahsiaan dalam BN. Dalam konteks ini juga perlu dipantau kemungkinan wujudnya talibarut atau pengkhianat di kalangan pemimpin dan ahli BN yang mungkin membocorkan objek politik peperangan BN kepada pihak lawan.

Institusi Negara

Seluruh organisasi Institusi Negara juga mesti mendukung objek politik peperangan BN terhadap parti lawan. Dalam konteks keselamatan rejim dan keselamatan nasional, organisasi Institusi Negara mesti komited untuk mempertahankan kedua-duanya. Anggapan bahawa organisasi Institusi Negara perlu bersikap neutral atau berkecuali adalah anggapan yang meleset.

Memang demokratik untuk mengizinkan seluruh individu memilih parti politik yang secocok dengan selera dan citarasa mereka. Tetapi, dalam konteks mempertahankan keselamatan rejim dan keselamatan nasional, pendemokrasian citarasa ini menjadi faktor kedua. Faktor yang utama dan prima adalah mempertahankan kelangsungan rejim dan negara.

Oleh sebab itu, adalah paradoksikal jika anggota organisasi Institusi Negara gagal dan enggan mempertahankan kelangsungan negara. Oleh sebab itu juga, seluruh anggota dalam organisasi Institusi Negara mesti dituntut mempertahankan kelangsungan negara menerusi khidmat yang cemerlang dan menerusi tindak-tanduk yang positif.

Hakikat ini kritikal kerana kini wujud anggota dalam organisasi Institusi Negara yang membocorkan rahsia rejim dan negara kepada pihak lawan semata-mata untuk menumbangkan rejim yang memerintah negara. Perbuatan seperti ini amat terkutuk dan mesti ditangani dengan setegas-tegasnya.

Oleh itu pemimpin negara perlu bertegas. Jika perlu, mereka wajar bertindak seperti seekor singa. Dan, jika perlu juga, mereka perlu bertindak seperti seekor kancil. Kombinasi kegarangan singa dan kebijaksanaan kancil ini perlu diamalkan bagi menangani karenah anggota Institusi Negara yang mahu mengkhianati kelangsungan kerajaan dan negara.

Memang pihak kerajaan mungkin akan dilabelkan sebagai tidak demokratik. Tetapi, dalam konteks mempertahankan kelangsungan dan keselamatan nasional, ada waktunya pihak pemimpin kerajaan perlu bertindak kurang demokratik, terutamanya dalam sesuatu senario peperangan di mana objek politik adalah mengatasi kepentingan objek peperangan itu sendiri!

[Bersambung dalam siri keempat.]



Friday, July 16, 2010

Kerajaan BN Dan Keselamatan Rejim: Siri Dua


Ruhanie Ahmad


Siri ini bertujuan merungkai masalah semasa BN serta beberapa komponen utamanya---UMNO, MCA, MIC. Ketiga-tiga parti ini adalah komponen parti pemerintah yang pernah menggerakkan perjuangan kemerdekaan Malaya menerusi Perikatan pada 1957.

Masalah BN yang paling ketara adalah politiking dalaman parti UMNO, MCA, dan MIC, serta politiking tiga penjuru MCA lawan UMNO dan MIC lawan UMNO. Ini bermakna UMNO sebagai parti induk BN kini menerima serangan daripada dua penjuru.

Politiking Dalaman

Puncanya bukan kerana UMNO tidak memperjuangkan bukan Melayu seperti dulu. Hakikatnya, UMNO sentiasa menjunjung tinggi matlamat perjuangannya untuk “mewujudkan kerjasama antara kaum bagi melahirkan satu bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu berasaskan Hak-Hak Asasi Manusia dan Hak-Hak Orang Melayu dan Bumiputera (Fasal 3.6 Perlembagaan UMNO).

Punca sebenar kepada serangan ini adalah kerana MCA dan MIC dilanda proses politiking dalaman parti untuk membuktikan siapakah antara pemimpinnya yang kononnya benar-benar memerjuangkan aspirasi ahlinya dan etnik yang diwakilinya sehingga mereka tergamak untuk bersuara berasaskan racial line yang ekstrim.

Perkembangan ini terjadi atas tiga sebab khusus. Satu, kerana MCA yang mengalami kekalahan besar dalam PRU12 khuatir kehilangan pengaruh kepada DAP, dan kerana MIC yang megalami nasib yang sama, takut dihakis pengaruhnya oleh lain-lain entiti, waima entiti haram atau sah, yang vokal terhadap isu-isu kaum India.

Dua, MCA dan MIC yang juga dilanda krisis kredibiliti, tidak berani atau sengaja enggan bertegas untuk menjelaskan kepada ahli-ahlinya bahawa perkongsian kuasa menerusi BN adalah atas prinsip serta konsensus silam di mana UMNO adalah paksi kepada perjuangan politik negara.

Tiga, kerana MCA dan MIC melihat bahawa UMNO sebagai tulangbelakang BN seolah-olah dalam keadaan terdesak untuk memenangi PRU13 sehingga prinsip “sudah betis sediakan peha” seakan-akan menjadi landasan kepada seluruh layanannya kepada bukan Melayu mutakhir ini.

MCA-MIC Makin Eksploitatif

Perkembangan seperti ini menimbulkan dua implikasi. Satu, MCA dan MIC menjadi lebih eksploitatif dengan tuntutannya kepada UMNO, sementara UMNO pula jadi tersepit akibat bantahan Orang Melayu dan Bumiputera yang mahukan ianya bertegas dalam mempertahankan status quo etniki, terutama sekali mengenai hal-hal sosio-budaya dan ekonomi.

Ini semua menyebabkan proliferasi dan polirisasi sentimen perkauman antara rakyat multi keturunan. Dalam konteks ini, malangnya UMNO yang menjadi pihak yang tertuduh. MCA dan MIC pula bebas daripada sebarang kecaman.

UMNO terheret ke dalam situasi seperti ini kerana segolongan pemimpinnya di semua peringkat dan yang mewakili semua sayapnya, seolah-olah gagal untuk mengartikulasikan masalah sebenar yang dihadapi oleh BN. Dengan itu, mereka terus bungkem atau lebih serius lagi, terus menjadi pemerhati. Jika ada yang berani bersuara, suara itu pula menimbulkan paradoks---isu yang perlu dipertahan, dibangkangnya; isu yang perlu dibangkang pula, disokongnya tanpa mengambilkira keserasian tindakan itu dengan citarasa majoriti ahli UMNO!

Dilema Keselamatan Rejim

Dampak kepada semua ini adalah: BN dijebak dilema keselamatan rejim---dalam kesungguhannya untuk memenangi PRU13, rejim BN menjadi semakin destabilized; dalam kesungguhannya untuk mempertahan kuasanya, komponen BN sendiri yang membantu untuk melemahkan kuasa tersebut!

Nmun segala-galanya masih boleh diperbaiki dengan seberapa segera menerusi pelbagai pendekatan yang tegas dan komprehensif. Pertama, kepimpinan tertinggi BN terpaksa diinsafkan bahawa BN di beberapa negeri adalah parti pembangkang. Dalam situasi seperti ini seluruh pemimpin BN wajar begerak dan berjuang dengan psikologi darurat.

Psikologi Perang

Kedua, mereka terpaksalah bergerak dan berjuang dengan mentaliti untuk mengembalikan kuasa, glori, dan survival BN. Dalam situasi seperti ini, seluruh pemimpin BN kena berbincang dalam war-room situation di mana setiap gerakan dan keputusan perlu serius, precise, decisive, dan berkesan.

Ketiga, dalam situasi seperti ini juga, para jeneral yang uzur wajar dipaksa berundur ke bilik sakit atau dinasihati supaya bersara. Para leftenan yang tempeng dan cedera kembalikan mereka ke pangkuan keluarga dan berundur daripada politik.

Empat, jika sebelum ini tidak pernah dipost-mortemkan kekalahan BN dalam PRU12, ini kena dilakukan dengan seberapa segera. Hakikat getir kena ditelan, dan realiti negatif kena diterima dan dipositifkan dengan minda terbuka, ikhlas dan jujur.

Prosidur Operasi Seragam

Lima, jika terdapat seorang dua leftenen yang masih dalam servis, tetapi dicengkam krisis kredibiliti, leftenan-leftenan ini perlu diberikan kata dua---berundur atau segera diundurkan.

Enam, Ingatkan seluruh warga BN, bahawa Clausewitz---pakar strategi peperangan---pernah mengatakan bahawa “war is something in which the entire nation must take part.” Oleh itu, jika BN memang benar-benar mahu memerangi pembangkang, seluruh pemimpin dan warga BN mesti melibatkan diri. Tetapi, yang dibenarkan membabitkan diri hanyalah mereka yang tidak tempang, tidak cacat, dan tidak rendah kredibilitinya!

Tujuh, BN perlu menyediakan piawaian prosidur operasi atau standard operating procedure (SOP) yang rigid dan jelas kepada semua komponennya merangkumi seluruh arahan yang mesti dipatuhi dan larangan yang nesti dihindari, siap dengan apakah balasannya jika sesiapa bertindak sebaliknya.

Senarai war-room operation ini boleh dikembang mengikut kesesuaian dan kreativiti seluruh komponen BN, termasuklah menggerakkan bilik operasi di seluruh peringkat di serata pelusuk Negara mulai hari ini. Tetapi, the cardinal rule di sini adalah: laksanakan segala-galanya dengan senyap dan penuh kerahsiaan. [Bersambung. Siri tiga akan disiarkan pada Khamis depan.]

Friday, July 09, 2010

Kerajaan BN Dan Keselamatan Rejim: Siri Satu

Ruhanie Ahmad

Perkataan rejim mempunyai pelbagai definisi yang luas. Dari sudut yang negatif, rejim dedefinisikan sebagai sebuah kerajaan diktator yang memerintah secara represif atau menggunakan penindasan dan kekerasan.

Ia juga merujuk kepada satu kerajaan yang lemah yang mengukuhkan kedudukannya menerusi penipuan, pembohongan, manipulasi, penindasan, dan kekerasan.

Dari perspektif yang positif, rejim pula merujuk kepada suatu bentuk kerajaan, pemerintahan, sistem negara, atau sistem politik.

Kerajaan Malaysia bukannya diktator, tetapi mengamalkan sistem demokrasi. Kerajaan Malaysia juga tidak tergolong sebagai kerajaan yang lemah. Ringkasnya, Malaysia tidak pernah dikategorikan sebagai sebuah failed stated atau negara bobrok.

Definisi Rejim

Oleh sebab itu, siri ini mendefinisikan rejim sebagai parti politik yang diberikan mandat oleh rakyat jelatanya menerusi sistem pilihan raya untuk memerintah sesebuah negara dalam suatu tempoh tertentu yang ditetapkan oleh sistem kenegaraan terbabit.

Dalam konteks Malaysia, rejim yang dimaksudkan adalah Barisan Nasional (BN) yang dianggotai oleh pelbagai komponen dengan UMNO sebagai parti yang terbesar dan menjadi induk kepada komponen tersebut. Mandat pemerintahan ini diperbaharui setiap lima tahun sekali menerusi Pilihan Raya Umum (PRU).

Dalam konteks pemerintahan Malaysia mutakir ini, rejim yang dimaksudkan adalah kerajaan BN yang kini menjadi pemerintah di peringkat pusat dan menguasai kerajaan negeri Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sabah, dan Sarawak.

Keselamatan Rejim

Keselamatan adalah mengenai kelangsunan atau survival sesuatu entiti. Ia juga membabitkan inisiatif untuk menghapuskan ancaman kepada entiti berkenaan. Dalam konteks keselamatan rejim, ianya memfokus kepada survival rejim, kerajaan, atau pemerintah di sesebuah negara terbabit.

Keselamatan rejim juga membabitkan dayausaha untuk menghapuskan seluruh ancaman yang boleh menjejas atau memusnahkan survival serta destini rejim tersebut.

Buzan (1991:19) menegaskan, keselamatan politik (keselamatan rejim) adalah mengenai kestabilan organizational sesebuah negara, sistem pemerintahannya, dan juga ideologi yang memberikan legitimasi kepada negara dan pemerintah terbabit.

Ini bermakna bahawa keselamatan rejim adalah mengenai usaha menumpaskan seluruh ancaman kepada survival sesebuah parti politik yang menjadi paksi kepada pemerintahan di sesebuah negara. Dalam konteks Malaysia, hakikat ini menjurus kepada survival BN dan UMNO sebagai paksi utama kepada komponen BN.

Ancaman Rejim

Sementara itu, sasaran kepada ancaman-ancaman politik dihuraikan oleh Buzan (1991) seperti berikut:

Ancaman-ancaman politik adalah disasarkan kepada kestabilan organizational sesebuah negara. Matlamatnya pelbagai, termasuk desakan ke atas kerajaan mengenai sesuatu dasar menerusi penggulingan kerajaan terbabit; menggerakkan usaha pemisahan; atau menghuru-harakan sistem politik yang wujud sebelum sesuatu serangan ketenteraan. Idea negara (the idea of the state), terutamanya identiti nasional dan ideologinya, serta institusi negara, adalah sasaran kepada ancaman-ancaman politik. Oleh kerana negara adalah entiti politik, ancaman-ancaman politik amat ditakuti sama seperti ancaman ketenteraan. Keadaan ini lebih menonjol dalam sesebuah negara lemah. Namun begitu, walaupun sesebuah negara itu kuat dan powerful, ancaman-ancaman politik seharusnya ditakuti seperti ancaman militari (Buzan 1991:118-119).

Apa yang dimaksudkan menerusi huraian ini adalah: ancaman-ancaman politik boleh menyebabkan penggulingan sesebuah kerajaan; sasaran utamanya adalah identiti nasional, ideologi nasional, dan juga institusi negara; dan ancaman-ancaman ini sama impaknya seperti ancaman ketenteraan daripada sesebuah negara asing.

Dalam konteks Malaysia belum pernah berlaku sesuatu tindakan menggulingkan pemerintah menerusi rampasan kuasa. Tetapi, penggulingan kerajaan boleh terjadi menerusi PRU. Ini telah pun terjadi di beberapa negeri dalam PRU12.

Institusi Negara

Pada waktu yang sama, terminologi instutisi negara dalam konteks takrifan di atas adalah merujuk kepada seluruh jentera kerajaan merangkumi sektor legislatif atau pembikin undang-undang (Parlimen dan DUN); sektor eksekutif atau perkhidmatam awam serta agensi-agensi berkaitan kerajaan termasuk GLCs; dan juga sektor judisiri atau pengurus undang-undang, lebih khusus lagi Peguam Negara dan para hakim.

Oleh itu, adalah jelas di sini bahawa dalam menghujah soal keselamatan rejim, jangan sesiapa beranggapan bahawa seluruh jentera kerajaan ini tidak terlibat atau perlu berpeluk tubuh serta menjadi entiti yang non-partisan.

Hakikatnya demikian kerana sesebuah negara adalah didukung oleh ketiga-tiga institusi ini. Dan, oleh kerana idea negara adalah satu konsep politik dan konsep keselamatan, institusi negara tidak boleh memisahkan diri daripada terlibat untuk mempertahankan keselamatan negara dan juga keselamatan rejim yang memerintah negara berkenaan.

Fokus Analisis

Oleh sebab itu, persoalan pokok dalam siri ini adalah: apakah destini BN dalam PRU13? Jika dalam PRU12 BN kehilangan kuasa di beberapa negeri; hanya menang dengan majoriti dua kerusi di Negeri Sembilan; majoriti kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan dikuasai pembangkang; dan BN gagal merampas semula Kelantan yang dikuasai PAS sejak 1990; apakah BN mampu menguasai semula negeri-negeri yang dikuasai pembangkang, menambahkan majoritinya di Negeri Sembilan, serta mengekalkan prestasi serta kekuasaannya di lain-lain negeri yang diperintahnya pada hari ini, menerusi PRU13?

Persoalan ini akan dirungkai menerusi pendekatan berikut. Satu, analisis terhadap BN serta beberapa komponen utamanya; serta menyorot kredibaliti kepimpinan tertinggi BN dan sayap-sayap terpenting dalam komponen utama BN. Dua, merungkai prestasi dan sikap Ahli Parlimen serta DUN BN, perkhidmatan awam, dan judisiari, yang sewajarnya berperanan mengukuhkan institusi negara. Tiga, memperincikan dasar-dasar baru Kerajaan BN dan impaknya kepada sokongan rakyat jelata.

Persoalan ini penting dikaji kerana PRU13 dijangka pada 2013. Tetapi, ia juga boleh diadakan pada bila-bila masa berasaskan keputusan BN selaku parti pemerintah di peringkat pusat. Persoalan ini jadi lebih kritikal kerana BN telah dilanda tsunami siasah dalam PRU12. [Bersambung. Siri dua akan disiarkan pada Khamis depan.]

Monday, July 05, 2010

Kerajaan BN Dan Keselamatan Rejim: Pengenalan

Ruhanie Ahmad

Satu daripada kategori keselamatan bukan tradisional dalam era kontemporari adalah keselamatan rejim atau keselamatan pemerintah sesebuah negara. Dalam konteks Malaysia, ianya adalah mengenai keselamatan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditulangbelakangi oleh UMNO.

Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden UMNO, kebelakangan ini terbukti amat prihatin terhadap keselamatan rejim BN. Kedua-duanya sentiasa mengeluarkan kenyataan, ingatan, serta harapan, semoga semua pihak turut prihatin terhadap hakikat yang sama.

Tetapi, keprihatinan, ingatan, dan harapan Najib serta Muhyiddin seolah-olah tidak menerima reaksi sewajarnya. baik oleh sayap-sayap terpenting dalam UMNO, mahupun oleh komponen terbesar BN di Malaysia Semenanjung.

Latarbelakang

Senario seperti ini boleh mengancam keselamatan Kerajaan BN. Memang pakatan pembangkang sendiri sedang bercelaru dan dilanda oleh pelbagai skandal dan masalah, seperti yang terjadi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Penasihat PKR, dan juga Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor. Tetapi, BN dan UMNO juga berada dalam keadaan yang kurang mantap.

Contohnya, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO terus digerhanai oleh “krisis kredibaliti” akibat tuduhan politik wang dalam pemilihan parti tempoh hari. Ketua Pergerakan Pemuda MCA juga dilanda pelbagai tohmah dan dakwaan, terutamanya menerusi beberapa blog yang disasarkan khusus kepadanya.

Pada waktu yang sama, permuafakatan dalam BN, terutamanya di Malaysia Semenanjung, jelas rapoh. Polemik demi polemik tercetus. Sesetengah komponen BN tergamak bermain api yang impaknya membakar perasaan dan jiwa orang Melayu dan Bumiputera yang menjadi penyumbang undi terbesar kepada BN.

Di dalam UMNO sendiri wujud protes senyap terhadap kredibaliti sesetengah pegawai bergaji dan tidak bergaji yang dilantik untuk berkhidmat di Ibupejabat UMNO Malaysia.

Hakikat ini bagaikan api dalam sekam. Jika tidak segera diatasi, ia boleh menyebabkan segolongan warga UMNO bersikap acuh-tak-acuh dalam perjuangannya untuk agama, bangsa, dan tanah air. Sokongan warga UMNO terhadap Kerajaan BN juga mungkin merosot.

Persoalan Pokok

Oleh sebab itu, persoalan pokok dalam tulisan ini adalah: apakah destini Kerajaan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)? Jika dalam PRU12 BN kehilangan kuasa di Selangor, Perak, Pulau Pinang, dan Kedah; hanya menang dengan majoriti dua kerusi di Negeri Sembilan; dan gagal merampas semula Kelantan yang dikuasai PAS sejak 1990; apakah BN mampu menguasai semula negeri-negeri terbabit, menambahkan majoritinya di Negeri Sembilan, serta mengekalkan prestasinya di lain-lain negeri yang dikuasainya pada hari ini, menerusi PRU13?

Persoalan ini akan dirungkai menerusi pendekatan berikut. Satu, analisis terhadap BN, UMNO, serta beberapa komponen utamanya. Dua, menyorot kredibaliti kepimpinan tertinggi sayap-sayap terpenting dalam komponen utama BN. Tiga, merungkai prestasi perkhidmatan awam yang sewajarnya berperanan mengukuhkan institusi negara. Empat, memperincikan dasar-dasar baru Kerajaan BN dan impaknya kepada sokongan rakyat jelata.

[Nota: Anda dipersilakan untuk berkongsi pendapat---pro dan kontra---untuk merungkai seluruh persoalan di atas menerusi blog ini bagi membolehkan persoalan-persoalan tersebut dibicarakan secara terperinci demi manfaat bersama.]

Sunday, July 04, 2010

Pentadbiran Awam Dan Rasuah: Kesimpulan

Ruhanie Ahmad

Siri ini merumuskan bahawa pentadbiran awam yang cekap adalah tidak bebas dari rasuah. Ini bermaksud bahawa kecekapan warga perkhidmatan awam tidak boleh dijadikan indikator total kepada ketiadaan amalan rasuah dalam sektor berkenaan.

Sebaliknya, hanya warga pertadbiran awam yang cekap dan membenci rasuah sahaja yang boleh mengurangkan tahap rasuah dan lama kelamaan menghapuskan jenayah tersebut secara komprehensif.

Dalam konteks ini, seluruh institusi negara dan NGO berkaitan dengannya wajar melaksanakan prorgam membanteras rasuah menerusi pemupukan iman yang lurus dan jiwa yang murni.

Seterusnya, kerajaan wajar memastikan bahawa pelbagai institusi anti-rasuah untuk memupuk sikap membenci jenayah ini perlulah fokus dan tidak terjebak dalam sesawang birokrasi yang akhirnya melunturkan impak perjuangan anti-rasuah.

Akhir sekali, pihak penguatkuasa undang-undang anti-rasuah mestilah mempunyai pegawai di semua peringkat yang benar-benar bebas daripada persepsi, tuduhan, dan amalan rasuah.

[nota: sepanjang siri ini tidak ada sesiapa yang sudi menyahut rayuan saya untuk memberikan bukti-bukti konkrit mengenai amalan rasuah di sektor awam dan swasta di Malaysia. Sekali lagi saya merayu agar anda yang mempunyai maklumat sahih kirimkanlah ke blog ini atau kirimkanlah menerusi e-mail saya yang tercatat di sidebar blog ini. Rayuan ini adalah untuk membolehkan saya menulis sebuah buku ringkas mengenai rasuah demi untuk manfaat kita bersama.]


Tuesday, June 29, 2010

Perkhidmatan Awam Dan Rasuah: Siri Lima

Ruhanie Ahmad
Siri sebelum ini membuktikan bahawa kecekapan sesuatu pentadbiran awam atau syarikat swasta hanya boleh mengurangkan tahap rasuah atau membasmi rasuah keseluruhannya jika semua individu dalam organisasi berkenaan membenci rasuah.

Lantaran itu, analisis ini berpendapat bahawa rasuah hanya boleh dihapuskan menerusi tiga kaedah utama. Pertama, menerusi sistem perundangan yang tegas, penguatkuasaan undang-undang yang berkesan, dan penalti undang-undang yang berat.

Bagaimanapun, pastikan pihak penguatkuasa undang-undang itu sendiri tidak terlibat dengan rasuah. Benveniste (1997:119) yang menitikberatkan masalah ini menegaskan ”rasuah hanya akan terhapus jika pihak berkuasa yang bertanggungjawab membanteras rasuah tidak boleh dirasuah oleh sesiapa. Situasi seperti ini wujud jika badan berkuasa berkenaan mempunyai komitmen kepada ideologi perjuangan negara dan komitmen kepada profesionalisme kerjaya.”

Kedua, rasuah boleh dihapuskan menerusi pelaksanaan dasar, konsep serta program anti-rasuah yang berterusan, program yang menerima iltizam politik yang jujur, serta program yang digandingi oleh strategi penjernihan minda menerusi ajaran agama dan pemupukan norma-norma masyarakat yang positif. Ini penting kerana sasaran utama program, konsep dan dasar anti-rasuah adalah individu dalam perkhidmatan awam dan swasta.

Dalam konteks ini, Caiden et. al. (2001:253) menegaskan, ”warga perkhidmatan awam perlu mengamalkan sistem etika dan tanggungjawab moral yang murni. Mereka boleh mengamalkannya jika mereka menginsafi bahawa mereka berkhidmat untuk negara dan kesejahteraan rakyat. Amalan ini sangat diutamakan dalam negara yang demokratik kerana jika tidak, warga perkhidmatan awam akan dituduh mengamalkan birokrasi ala-Nazi yang mengorbankan kepentingan rakyat demi memenuhi matlamat birokrasi yang kejam.”

Dobel (1999:95) pula menyatakan ”jika penjawat awam tidak menjunjung nilai-nilai demokrasi, mereka akan dijebak dilema moral. Jika mereka hanya menentingkan keselesaan peribadi, mereka akan berleluasa tanpa mengambilkira hak-hak rakyat serta integriti perlembagaan negaranya.”

Ketiga, jenayah rasuah boleh dihapuskan menerusi kebangkitan serta kewujudan masyarakat sivil yang berani bersuara dan bertindak secara berwibawa dalam soal-soal anti-rasuah. Hakikat ini signifiken kerana di kebanyakan negara, jenayah rasuah berleluasa sebab rakyat jelatanya tidak peduli, takut atau berasa terancam jika mereka berbicara tentang rasuah.

Johnston (2007:197) menegaskan, “penyertaan masyarakat sivil diperlukan dalam pembanterasan rasuah kerana jenayah ini adalah sistemik. Oleh sebab itulah reformasi menghapuskan rasuah perlukan dukungan minat serta tenaga masyarakat.”

Kesemua pra-syarat di atas wujud di Malaysia. Negara ini mempunyai institusi serta undang-undang anti-rasuah yang berwibawa. Tetapi, kredibiliti penguatkuasaan yang lahir daripada institusi dan undang-undang itu masih diragui dan dipertikaikan oleh rakyat.

Malaysia mempunyai dasar, konsep serta program anti-rasuah yang dilaksanakan secara berterusan. Tetapi, sesetengah program berkenaan terlalu dibelenggu oleh kewujudan institusi birokrasi yang tidak fokus terhadap misi membanteras rasuah. Pada waktu yang sama, program-program keagamaan dan ketatanegaraan yang disasarkan khusus terhadap aspek anti-rasuah juga masih berkurangan.

Akhir sekali, Malaysia mempunyai pelbagai pertubuhan masyarakat sivil untuk menjana minat serta tumpuan umum kepada kegiatan membanteras dan membenci rasuah. Bagaimanapun, sebilangan pertubuhan ini jelas terikat kepada parti-parti politik tertentu. Oleh sebab itu, suara dan tindakan organisasi ini lebih disorot daripada perpektif politik. Itulah sebabnya suara dan tindakan mereka hanya menerima respons yang sinis daripada pemerintah.

Oleh sebab itu, Kerajaan Malaysia tidak perlu menjadikan pentadbiran awam yang cekap sebagai indikator untuk mengukur tahap rasuah di kalangan warga perkhidmatan awam ataupun pemimpin kerajaan. Sebaliknya, di samping kewujudan dan pematuhan kepada seluruh peraturan, arahan, prosidur dan undang-undang untuk meningkatkan mutu, kecekapan, dan sikap membenci rasuah, kerajaan perlu memberikan emfasis secara konsisten kepada usaha penjernihan minda dan pengukuhan iman dan moral menerusi pendekatan agama dan ketatanegaraan.

Seterusnya, kewujudan organisasi masyarakat sivil yang anti-rasuah dan bebas daripada naungan atau kongkongan politik perlu digalakkan. Moga-moga dengan cara ini rasuah dapat diminimumkan dan lama kelamaan berjaya dihapuskan.

Dengan itu, pentadbiran awam yang cekap adalah tidak bebas dari rasuah. Tetapi, pentadbiran awam yang cekap dan mempunyai warganya yang jijik dan benci kepada rasuah adalah ideal uuntuk membebaskan organisasi berkenaan, kerajaan dan negara daripada belenggu gejala rasuah. [Siri penutup mengenai rasuah akan disiarkan Jumaat depan.]

Monday, June 28, 2010

Universalis, Gedebe Dan Natey

Sabtu lalu, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, menulis kisah Melayu universalis dalam Utusan Malaysia. Kini beliau diserang oleh seorang universalis dengan tuduhan gedebe. Jika universalis itu mengetahui maksud perkataan natey, mungkin dia juga akan menggunakannya untuk mendiskripsikan Ibrahim.

Semua ini terjadi bukan kerana Ibrahim benar-benar gedebe. Tetapi kerana beliau kini menikmati limelight yang suatu ketika dulu mungkin milik orang lain, dan orang lain itu mutakhir ini seolah-olah ketandusan publisiti akibat fenomena perubahan cuaca dan suhu siasah negara.

Maka, orang lain yang berkenaan itu pun mencipta polemik dangkal membabitkan Ibrahim semata-mata untuk memperolehi sedikit limelight yang kebelakangan ini menggerhanai siasahnya.

Inilah pendekatan siasah di kalangan segelintir universalis. Jika Ibrahim dianggap berminda katak bawah tempurung, universalis terbabit sentiasa berfikiran out-of-the-box. Oleh sebab itulah Ibrahim sentiasa mengapresiasi falsafah mengenai hujan lembing di tanah airnya sendiri, sementara universalis itu terus terpesona dengan the glittering diamonds in the sky sehingga tak tergapai tangan untuk mencapainya!

Saya tertunggu-tunggu komen universalis terbabit mengenai saranan Tuanku Paduka Sultan Johor supaya jambatan baru di bina menggantikan Tambak Johor yang usang. Ini kerana banyak pihak pasti bahawa universalis itu mengetahui seribu satu kisah di sebalik pembatalan projek jambatan itu oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi beberapa tahun yang lalu!

Jambatan: Dolah Badawi Pun Sambut Baik?

Sesiapa yang membaca komen Tun Abdullah Ahmad Badawi yang saya petik daripada Utusan Malaysia di bawah ini pasti akan terpinga-pinga. Adakah kenyataan ini memanifestasikan bahawa pembatalan yang dilakukannya dulu adalah suatu keputusan unilateralnya sendiri tanpa restu Kabinet Malaysia?

Sambut baik kaji semula bina jambatan ganti Tambak Johor

KUALA LUMPUR 27 Jun - Beberapa pemimpin negara menyambut baik titah Sultan Johor agar Kerajaan Pusat mengkaji semula rancangan asal membina jambatan baru menggantikan Tambak Johor.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau menyambut baik hasrat kerajaan untuk mengkaji semula rancangan asal pembinaan jambatan itu.

"Bagus, terserah kepada kerajaan kerana ini projek besar. Kerajaan sendiri tahu apa nak buat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Puteri UMNO Bahagian Kepala Batas di Pulau Pinang, hari ini.

Semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mahu Kerajaan Persekutuan menimbangkan semula rancangan asal pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor yang dibatalkan pembinaannya sebelum ini.

Ekoran itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan mengkaji semula rancangan asal pembinaan jambatan berkenaan.

Pembinaan jambatan bengkok yang menghubungkan Tanjung Puteri di Johor dan Woodlands di Singapura merupakan cetusan idea bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bernilai RM600 juta bagi menggantikan Tambak Johor yang dibina pada 1924.

Sementara itu, UMNO Bahagian Pasir Gudang pula menyatakan bahagian itu akan membawa usul menyokong penuh titah Sultan Johor untuk mengkaji pembinaan jambatan itu ke Perhimpunan Agung UMNO akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usul tersebut diluluskan untuk dibawa ke peringkat ibu pejabat pada mesyuarat perwakilan UMNO bahagian itu hari ini.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman pula berkata, kerajaan negeri menyifatkan pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor itu sebagai satu keperluan bagi memenuhi hasrat rakyat.

Abdul Ghani berkata, dari sudut perdagangan antarabangsa, kapal-kapal kargo dari Selat Melaka tidak perlu lagi mengelilingi Singapura sebaliknya mempunyai pilihan untuk terus melalui Selat Tebrau untuk ke arah laut China Selatan.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula berpendapat, pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor tidak akan memberi sebarang implikasi negatif terhadap tahap keselamatan Malaysia dan Singapura.

Sunday, June 27, 2010

Sultan Johor, Najib, Jambatan, Dan Pemikiran Strategik

Ruhanie Ahmad

Dua berita di bawah ini merupakan perkembangan yang amat menarik kepada rakyat Malaysia, terutamanya majoriti warga Johor dan kepada blog ini. Sebabnya kerana blog ini adalah antara yang sangat kritikal terhadap keputusan mendadak pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi membatalkan projek Jambatan Bengkok yang dirancangkan dalam era kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, dengan alasan yang sukar untuk dirasionalkan oleh mereka yang berfikiran strategik.

Lantaran itulah saya menerbitkan buku Mahathir Menyinga untuk mendokumentasikan kenyataan-kenyataan para pemimpin Malaysia dan Singapura, termasuk Tun Abdullah, yang positif sebelum projek berkenaan dibatalkan. (Bagaimanapun, jutaan maaf kerana buku yang diPDFkan dan terpapar ikonnya di sidebar blog ini sudah tidak dapat diakses secara digital akibat masalah teknikal.)

Tindakan Tun Abdullah membatalkan projek berkenaan menjadi kontroversi politik. Ia mencetuskan perang dingin antara Tun Mahathir dan penyokongnya terhadap pentadbiran Tun Abdullah; menyebabkan warga Johor kecewa; dan bertambah marah apabila tidak lama selepas itu diwujudkan pula projek Iskandar Malaysia yang disifatkan oleh sebilangan besar warga Johor sebagai penggadaian kedaulatan Malaysia dan bumi Johor Darul Takzim kepada sebuah negara di seberang Selat Teberau yang sememangnya amat dahagakan tanah.

Akibatnya, kemarahan warga Johor pun diterjemahkan dalam bentuk undi rosak dalam PRU12 pada 2008. Oleh sebab itulah jumlah undi rosak dalam PRU12 yang terbesar sekali datangnya daripada pengundi Johor. Hakikat ini dihuraikan secara terperinci oleh blogger Amir Hamzah Mohamad---sahabat saya di Parlimen Parit Sulong---dalam blog Segalanya Mungkin seperti berikut http://amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com/2009/05/undi-rosak-tertinggi-di-johor-apa.html

Oleh itu, semoga Datuk Seri Najib Tun Razak yang berminda strategik akan mengkaji semula saranan Baginda Sultan Johor secara positif. Gunakanlah hubungan baik Malaysia-Singapura mutakhir ini untuk menyakin Republik Pulau berkenaan bahawa pembinaan jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor yang usang adalah demi manfaat dan kepentingan bersama.

Sultan mahu jambatan ganti Tambak Johor

JOHOR BAHRU 26 Jun - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar hari ini mahu Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan semula rancangan asal pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor.

Sultan Ibrahim bertitah, usaha menaik taraf Tambak Johor dengan membina jambatan tersebut amat penting bagi institusi Kesultanan Johor dan sentiasa ditunggu-tunggu oleh rakyat negeri ini sejak dahulu.

"Saya yakin seluruh rakyat Johor berasa gembira dengan terbinanya bangunan JB Sentral yang serba lengkap dan indah ini, namun masih terdapat kekurangan dan kecacatannya apabila komponen utamanya iaitu jambatan masih belum dilaksanakan hingga hari ini.
"Sekali lagi, saya ingin menyeru kerajaan Persekutuan agar dapat mempertimbangkan rancangan asal pembinaan jambatan yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Johor," titah baginda.---Mingguan Malaysia 27 Jun 2010.

Kerajaan kaji semula ganti jambatan

KUANTAN 26 Jun - Kerajaan akan mengkaji semula rancangan asal pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung cadangan yang dititahkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini.

"Kita akan kaji," katanya ringkas kepada pemberita selepas merasmikan program Mengukuh Wadah Memperkasakan Ummah anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) di sini hari ini.---Mingguan Malaysia 27 Jun 2010.