Ruhanie Ahmad
Kehidupan adalah mengenai keselamatan. Konsep keselamatan pula ditakrifkan sebagai wujudnya situasi yang terbebas daripada ancaman, angkara, musibah dan bencana.
Lantas muncullah pelbagai konsep keselamatan yang secara umumnya bersifat tradisional dan bukan tradisional serta bercorak nyata (imminent) atau dijangka (perceived).
Keselamatan tradisional menitikberatkan kemerdekaan, kedaulatan, ketenteraman, keamanan, kemakmuran dan kelangsungan negara. Keselamatan bukan tradisional lazimnya memfokuskan kepada seluruh elemen keinsanan dan kesejahteraannya.
Kedua-dua konsep keselamatan ini, dalam konteks Malaysia, menjadi paksi kepada pemuliharaan dan pemeliharaan seluruh nilai-nilai teras negara.
Nilai-nilai teras ini pula mencakupi aneka bentuk ketatanegaraan termasuk keharmonian agama, permuafakatan insan dan kestabilan politik.
Dari sudut negara majmuk seperti Malaysia, matlamat keselamatannya adalah bebas daripada angkara komunal yang berpotensi mengorbankan harta dan nyawa seluruh rakyat jelatanya.
Dari sisi pemerintahan negara, objektif keselamatannya adalah menjamin keabadian nilai-nilai teras nasional yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Rukunegara, Wawasan 2020 dan Gagasan 1Malaysia (bukannya propaganda Malaysian Malaysia yang antaranya telah mencetuskan tragedi berdarah 13 Mei 1969).
Di aras peribadi, keselamatan ditakrifkan mengikut keutamaan yang tersendiri. Kepada orang Melayu/Islam, keselamatan utamanya adalah terbebas daripada bencana neraka.
Kepada masyarakat bukan Melayu/Islam di Malaysia, terutamanya keturunan Cina, keselamatan primanya adalah terbebas daripada ancaman terhadap perniagaan serta harta kekayaannya.
Dengan ini jelaslah bahawa keselamatan adalah konsep yang penting kepada seluruh aspek kehidupan insan manusia, termasuk mengenai keharmonian agama, permuafakatan rakyat, kemakmuran ekonomi dan kelangsungan negara.
Dalam konteks Malaysia, hanya Barisan Nasional (BN) sahaja --- bukannya Pakatan Rakyat --- yang terbukti berupaya menjamin seluruh aspek keselamatan tradisional dan bukan tradisional sejak 1957 hingga sekarang.
Namun semuanya akan lupus dan musnah jika formula perkongsian kuasa BN diganggu-gugat, diharu-biru dan dihuru-harakan menerusi konsep dan prinsip yang sedang diperjajakan oleh siasah alternatif mutakhir ini.
Oleh sebab itu, berasaskan prinsip demokrasi yang memberikan kuasa membuat pilihan secara bebas, terserahlah kepada kewarasan peribadi untuk menentukan bahawa pilihan sebaik-baiknya adalah yang diputuskan atas perhitungan menjamin keselamatan, kehidupan dan kelangsungan diri, masyarakat dan negara.