Saturday, July 23, 2011

IKS SANGKAL PROPAGANDA PEMBANGKANG: MALAYSIA PALING SELAMAT DI ASIA TENGGARA

Ruhanie Ahmad

Indeks Keamanan Sejagat (IKS) atau Global Peace Index, memberikan ranking kepada Malaysia sebagai negara paling aman di Asia Tenggara, keempat paling selamat di rantau Asia Pasifik, dan ke-19 daripada 153 negara yang selamat dan aman di seluruh dunia. Demikian laporan Bernama yang dipetik oleh majoriti media tempatan arus perdana Melayu dan Inggeris pada 23 Julai 2011.

Penemuan edisi kelima kaji selidik oleh Institute for Economics and Peace, di Sydney, Australia ini diumumkan pada hujung Mei 2011 (Berita Harian).

Pada 2007, Malaysia yang menduduki tangga ke-37 jatuh ke tangga 38 pada 2008 sebelum memperbaiki kedudukan daripada tempat ke-26 pada 2009 ke tempat ke-22 pada 2010 dan ke-19 pada 2011 (ibid).

IKS merangkumi 23 indikator kualitatif dan kuantatif yang diperolehi menerusi sumber-sumber berwibawa. Ia juga menggabungkan faktor luaran dan dalaman, termasuk perbandingan tahap perbelanjaan ketenteraan serta tahap penghormatan terhadap hak asasi manusia (NST).

Dalam konteks kajian akademik di bidang keselamatan, indeks ini adalah merangkumi aspek keselamatan tradisional dan keselamatan bukan tradisional, terutamanya keselamatan societal atau masyarakat, keselamatan insan, keselamatan politik dan keselamatan ekonomi yang jadi prominen sejak era pasca-Perang Dingin.

Dalam konteks kajian yang sama, indeks ini juga membawa maksud bahawa antara aspek keselamatan yang dijadikan indikatornya termasuklah kebebasan bersuara, berakhbar dan berpersatuan seperti termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan juga Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (rujuk posting kuda-kepang, Ahad, 3 Julai 2011 untuk menhgalusi hakikat ini).

Lantaran itu, jika pada hari wujud pihak-pihak tertentu di Malaysia--- terutama sekali pembangkang, NGO dan portal berita pro-pembangkang---yang berusaha untuk memaparkan imej Malaysia di arena antarabangsa dan serantau sebagai negara yang menindas dan zalim, usaha itu adalah negatif dan berniat songsang.

Usaha seperti ini juga adalah propaganda siasah yang bermatlamat menumbangkan pemerintah Malaysia menerusi cara tidak demokratik dan berasaskan kehendak serta citarasa luaran yang mahukan satu pertukaran rejim supaya pemimpin rejim yang baru di Malaysia kelak boleh dijadikan boneka kuasa-kuasa asing tertentu (rujuk kuda-kepang, Sabtu, 9 Julai 2011).

Maka, persoalannya di sini, mengapakah propaganda tajaan asing ini menerima sokongan segelintir rakyat Malaysia, dan mengapakah majoriti rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian hanya berdiam diri dan menjadi pemerhati?

Seterusnya, bukankah jadi sebahagian tugas rakyat untuk memastikan bahawa elemen dalaman yang melaksanakan propaganda ini perlu dibanteras secara habis-habisan menerusi cara yang berhemah, bijaksana dan demokratilk?

Kesimpulannya, laporan IKS di atas wajar dijadikan sebahagian input utama untuk mematahkan propaganda jahat yang menyatakan kononnya mutakhir ini Malaysia adalah negara yang kucar-kacir dan hari-biru.

No comments: