Sunday, July 31, 2011

KEDAH: ULAR TEDUNG DAN ULAR KAPAK

Ruhanie Ahmad


Di Kedah mutakhir ini kononnya tercetus satu psywar atau perang saraf yang menggunakan analogi sikap ular tedung dan ular kapak.

Psywar ini jauh berbeza dengan huraian Niccolo Machiavelli mengenai singa dan serigala dalam karyanya the Pricne kerana Machiavelli mengeluarkan analoginya untuk memotivasikan kepimpinan negara dalam menjaga kelangsungannya.

Tetapi, perang saraf di Kedah ini mempunyai matlamat yang sama dengan kisah singa dan serigala ala-Machiavelli. Perang saraf ini dipercayai adalah satu daripada strategi PAS Kedah untuk mempertahankan kelangsungannya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 13 kelak.

Ular tedong bila ditiupkan serunai dengan irama yang lunak dan merdu akan membangkitkan kepalanya yang seperti senduk, kemudiannya menghembus-hembus, tetapi jarang sekali mematuk peniup serunai berkenaan.

Ular kapak tidak boleh dijinakkan oleh mana-mana peniup serunai. Ia juga sering bertindak seolah-olah mematikan dirinya. Tetapi, bila dipijak oleh binatang buas atau manusia, dia terus bingkas mematuk si pemijak tersebut dengan bisanya yang boleh membawa maut.

Perang saraf ala-ular kapak ini kononnya sudah diketahui umum di Kedah pada hari ini. Ianya dikatakan ditujukan khusus kepada kalangan ADUN BN, terutamanya UMNO.

Menerusi doktrin ini PAS Kedah dikatakan cuba menyebarkan mesej perang safar bahawa ADUN BN jangan cuba-cuba menggugatnya tanpa usul periksa.

Jika mereka berbuat demikian, pentadbiran Negreri Kedah di bawah PAS dikatakan akan berindak seperti ular kapak yang dipijak (walaupun secara ak sengaja) oleh binatang buas atau manusia. Ia akan terus mematuk sipemijaknya dengan bisanya yang boleh menyebabkan nahas.

Inilah kisah yang berlegar di kedai-kedai kopi di Kedah sekarang. Benar atau tidak, sukar untuk dipastikan. Namun begitu, sumber-sumber memberitahu saya baru-baru ini, kononnya wujud sesetengah kalangan yang memang gentar dengan psywar ini.

Tetapi, ada juga sahabat-sahabat memberitahu saya bahawa majoriti pihak UMNO tidak gentar dengan perang saraf ini. Mereka terus bekerja keras untuk menebus kekalahan BN di Kedah menerusi PRU13.

Kata mereka, jika karenah beberapa ‘panglima perang’ atau warlords di kalangan mereka dapat dihapuskan, dan semua pihak bekerja keras sebagai satu pasukan yang komited, peluang BN menebus Kedah adalah tidak mustahil.

Dalam pada itu, ada juga sahabat-sahabat berkata, BN Kedah perlu menganalisis tindak-tanduk serta gerak-geri Menteri Besar Kedah yang dikatakan sentiasa merendah diri dan pintar memikat hati orang BN menerusi pendekatan ala-kampungan, walaupun dikatakan sehingga menyebabkan sesetengah kalangan PAS berasa kecil hati.

Pada waktu yang sama, Menteri Besar Kedah mutakhir ini adalah seorang yang tidak jauh bezanya dengan kalangan BN. Beliau dikatakan sering memberikan sidang media dalam bahasa Inggeris yang fasih, tidak berjubah malahan selalu berkemeja siap dengan cufflings, dan pernah menghadiri majlis rasmi dengan berpakaian monkey jacket siap dengan bow-tie.

Demikian ole-ole yang saya bawa pulang dari Kedah baru-baru ini. Kisah di atas mungkin kecil, tetapi inilah realitinya di Kedah sekarang. Menteri Besarnya boleh disorong ke tengah dan di heret ke tepi---bertindak serba boleh untuk menawan hati orang UMNO, MCA serta masyarakat Siam yang menjadi sumber kekuatan BN di era pra PRU 12.

Kesimpulannya, doktrin ala-ular kapak di Kedah hanya sekadar perang saraf, BN Kedah, khususnya UMNO, perlu mengukuhkan saf serta jemaah perjuangan mereka, seluruh warlords UMNO perlu segera berdamai, dan kesemua lapisan kepimpinan BN juga perlu mendampingi rakyat secara kampungan dengan ikhlas dan jujur. Jika ini sedang dilakukan, ianya perlu ditingatkan sehingga rakyat jelata, khususnya golongan atas pagar, kembali tertawan dengan BN dalam PRU 13.

Saturday, July 23, 2011

IKS SANGKAL PROPAGANDA PEMBANGKANG: MALAYSIA PALING SELAMAT DI ASIA TENGGARA

Ruhanie Ahmad

Indeks Keamanan Sejagat (IKS) atau Global Peace Index, memberikan ranking kepada Malaysia sebagai negara paling aman di Asia Tenggara, keempat paling selamat di rantau Asia Pasifik, dan ke-19 daripada 153 negara yang selamat dan aman di seluruh dunia. Demikian laporan Bernama yang dipetik oleh majoriti media tempatan arus perdana Melayu dan Inggeris pada 23 Julai 2011.

Penemuan edisi kelima kaji selidik oleh Institute for Economics and Peace, di Sydney, Australia ini diumumkan pada hujung Mei 2011 (Berita Harian).

Pada 2007, Malaysia yang menduduki tangga ke-37 jatuh ke tangga 38 pada 2008 sebelum memperbaiki kedudukan daripada tempat ke-26 pada 2009 ke tempat ke-22 pada 2010 dan ke-19 pada 2011 (ibid).

IKS merangkumi 23 indikator kualitatif dan kuantatif yang diperolehi menerusi sumber-sumber berwibawa. Ia juga menggabungkan faktor luaran dan dalaman, termasuk perbandingan tahap perbelanjaan ketenteraan serta tahap penghormatan terhadap hak asasi manusia (NST).

Dalam konteks kajian akademik di bidang keselamatan, indeks ini adalah merangkumi aspek keselamatan tradisional dan keselamatan bukan tradisional, terutamanya keselamatan societal atau masyarakat, keselamatan insan, keselamatan politik dan keselamatan ekonomi yang jadi prominen sejak era pasca-Perang Dingin.

Dalam konteks kajian yang sama, indeks ini juga membawa maksud bahawa antara aspek keselamatan yang dijadikan indikatornya termasuklah kebebasan bersuara, berakhbar dan berpersatuan seperti termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan juga Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (rujuk posting kuda-kepang, Ahad, 3 Julai 2011 untuk menhgalusi hakikat ini).

Lantaran itu, jika pada hari wujud pihak-pihak tertentu di Malaysia--- terutama sekali pembangkang, NGO dan portal berita pro-pembangkang---yang berusaha untuk memaparkan imej Malaysia di arena antarabangsa dan serantau sebagai negara yang menindas dan zalim, usaha itu adalah negatif dan berniat songsang.

Usaha seperti ini juga adalah propaganda siasah yang bermatlamat menumbangkan pemerintah Malaysia menerusi cara tidak demokratik dan berasaskan kehendak serta citarasa luaran yang mahukan satu pertukaran rejim supaya pemimpin rejim yang baru di Malaysia kelak boleh dijadikan boneka kuasa-kuasa asing tertentu (rujuk kuda-kepang, Sabtu, 9 Julai 2011).

Maka, persoalannya di sini, mengapakah propaganda tajaan asing ini menerima sokongan segelintir rakyat Malaysia, dan mengapakah majoriti rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian hanya berdiam diri dan menjadi pemerhati?

Seterusnya, bukankah jadi sebahagian tugas rakyat untuk memastikan bahawa elemen dalaman yang melaksanakan propaganda ini perlu dibanteras secara habis-habisan menerusi cara yang berhemah, bijaksana dan demokratilk?

Kesimpulannya, laporan IKS di atas wajar dijadikan sebahagian input utama untuk mematahkan propaganda jahat yang menyatakan kononnya mutakhir ini Malaysia adalah negara yang kucar-kacir dan hari-biru.

Saturday, July 09, 2011

BERSIH: ANALISIS AWAL PASCA-DEMONSTRASI

Ruhanie Ahmad


Pengenalan

Tindakan mana-mana individu atau pertubuhan menuntut perjalanan pilihan raya yang mereka sifatkan sebagai lebih demokratik adalah tidak salah (rujuk Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan). Janji awal mereka untuk mencapai matlamatnya secara aman juga adalah selaras dengan undang-undang negara.

Tetapi, apabila pencapaian matlamat mereka dilakukan menerusi provokasi terhadap undang-undang, pasukan keselamatan, ketenteraman awam dan kelangsungan negara, maka tindakan menghalalkan cara ini adalah tidak wajar sama sekali (rujuk Perkara 10(2)(b) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 29(2) Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948).

Pada waktu yang sama, apabila individu atau pertubuhan terbabit yang pada awalnya menafikan penglibatan politik parti-parti tertentu, tetapi pada saat-saat akhir terbukti bahawa penglibatan itu adalah benar dan sahih, maka tuntutan individu atau pertubuhan tersebut tidak boleh dikatakan sebagai tanpa campur tangan politik, sebaliknya satu tindakan yang cukup politikal.

Lebih serius lagi, jika tuntutan individu atau pertubuhan terbabit dipercayai dibiayai oleh sesetengah organisasi asing yang berkait rapat dengan dasar campur tangan sesebuah negara tertentu di dalam urusan dalaman negara lain, maka tuntutan individu atau pertubuhan berkenaan adalah foreign-motivated yang matlamatnya adalah tidak positif.

Bersih dan Pakatan Rakyat

Berasaskan pengenalan di atas, cuba kita kaji tuntutan dan tindakan Bersih mutakhir ini. Di peringkat awal, pertubuhan berkenaan menafikan penglibatan politik Pakatan Rakyat. Tetapi, hari ini pengerusi pertubuhan itu mengadakan sidang medianya dengan di apit oleh Penasihat PKR dan juga DAP, dua parti utama dalam Pakatan Rakyat (rujuk http://mesintaipburuk.blogspot.com/
9 Julai 2011). Tidakkah ini bermakna bahawa pertubuhan itu sebenarnya dijadikan perkakas oleh kedua-dua parti politik berkenaan?

Begitu juga dengan penglibatan sebilangan besar pemimpin PAS dalam demonstrasi itu hari ini (rujuk Harakahdaily 9 Julai 2011). Tidakkah ini jelas membuktikan bahawa pertubuhan tersebut turut mendapat dukungan kuat daripada PAS, satu lagi keluarga Pakatan Rakyat.

Menurut laporan akhbar dan blog, dalam demonstrasi hari ini dijeritkan perkataan yang mencerminkan bahawa tindakan itu adalah sama seperti demonstrasi reformasi pada tahun 1998 yang dilaksanakan untuk mencerca dan menumbangkan kerajaan BN (rujuk http://mesintaipburuk.blogspot.com/ 9 Julai 2011).

Jika ini benar, adakah demonstrasi hari ini mengenai tuntutan supaya diadakan proses pilihan raya yang lebih bersih ikut ukuran pertubuhan berkenaan, ataupun satu demonstrasi politik yang dirancang supaya menimbulkan kesan di Malaysia seperti apa yang terjadi di Asia Barat mutakhir ini?

Jika ini benar, tidakkah boleh dianggap bahawa tuntutan mengenai pilihan raya itu hanya satu alasan untuk menganjurkan demonstrasi yang matlamat tersirat, rencam, dan utamanya, adalah untuk menimbulkan chaos, keadaan tindak menentu dan sekali gus menjejaskan kestabilan negara?

Memprovokasi Polis

Dalam demonstrasi hari ini terdapat segolongan pesertanya, termasuk pemimpin utama PAS, yang ditahan oleh pihak pasukan keselamatan. Tindakan seperti ini sudah pastinya terjadi sebab yang terbabit melanggar undang-undang dan mencanggahi perintah mahkamah (rujuk Malaysiakini 8 Julai 2011 jam 12.27 tengahari).

Tetapi, apabila PAS pula mengeluarkan kata-dua (lebih tepat jika disifatkan sebagai ugutan) mengatakan bahawa mereka yang ditahan perlu dibebaskan dalam tempoh 24 jam, jika tidak beratus ribu akan berdemonstrasi di Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur (rujuk Harakahdaily 9 Julai 2011 4.50 petang), tidakkah ini bermakna bahawa matlamat tersurat organisasi penganjur demonstrasi itu sudah menjadi sekunder, sementara matlamat rencam dan tersirat parti-parti politik yang turut mendukungnya pula kini menjadi prima?

Dalam konteks yang sama, tidakkah ini bermakna bahawa demonstrasi yang secara tersuratnya dikatakan akan dilakukan secara aman, sebenarnya dilakukan untuk memenuhi selera parti-parti politik tertentu untuk menmbangkan pemerintahan Barisan Nasional (BN) mutakhir secara jalanan?

Jika tidak, mengapakah sesetengah kalangan dalam pertubuhan itu dipercayai telah menyebarkan maklumat palsu yang memburuk-burukkan pasukan polis? (rujuk Bernama 9 Julai 2011 10.13 pagi dan Utusan Malaysia 9 Julai 2011 8.50 malam). Jika tidak, mengapakah segolongan pendemonstrasi sengaja merempoh kawalan polis?

Lantas, adakah tidak tepat jika diandaikan bahawa demonstrasi hari ini adalah bukan untuk menuntut perjalanan pilihan raya yang lebih demokratik, tetapi sengaja diadakan untuk menduga kesabaran polis, untuk mencerca kerajaan dan seterusnya untuk mendapatkan liputan media antarabangsa (rujuk Malaysiakita 9 Julai jam 5.33 petang) bagi menggambarkan kononnya Malaysia tidak demokratik?

Penglibatan Asing

Seterusnya, adalah tidak mustahil jika dikatakan bahawa demonstrasi pada hari ini adalah suatu tindakan yang dikendali dan dinasihati oleh segolongan tangan ghaib tertentu. Oleh sebab itulah dilaporkan beberapa hari lalu bahawa penganjur utama demonstrasi berkenaan telah menerima dana asing (rujuk Utusan Malaysia 3 Julai 2011).

Perkembangan seperti ini tidak boleh dikatakan sebagai tidak benar. Pada tahun 1998, seorang Naib Presiden sebuah negara tertentu terbukti telah menggunakan Sidang Kemuncak APEC di Kuala Lumpur untuk memberikan pujian dan galakan kepada pendemonstrasi reformasi pada ketika itu yang bermatlamat menumbangkan kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad secara jalanan (rujuk laporan BBC 18 November 1998 dan The New York Times 17 November 1998).

Perkembangan seperti ini juga tidak mustahil apabila selama ini diwar-warkan secara meluas bahawa segelintir individu yang terlibat dalam demonstrasi hari ini, sebenarnya mempunyai hubungan dan rangkaian dengan kelompok tertentu di peringkat internasional yang berniat serong terhadap Malaysia.

Perkembangan seperti ini juga tidak mustahil apabila di kalangan individu yang terlibat di sebalik demonstrasi hari ini adalah seorang Raja Muda politik yang mahu ditabalkan ke persada kekuasaan Malaysia untuk memudahkan apa jua strategi agung pihak yang sentiasa berselindung di sebalik tabir.

Kesimpulan

Tuntutan Bersih supaya pilihan raya umum dilaksanakan lebih demokratik (ikut ukuran Bersih) adalah tidak salah. Tetapi cara Bersih mencapai matlamat itu menerusi provokasi yang menjejaskan ketenteraman awam adalah tindakan yang tidak mengambilkira kepentingan nasional.

Matlamat asal dan awal demonstrasi Bersih pada hari ini---mendesak kerajaan merobah proses pilihan raya supaya dikatakan lebih demokratik---kini sudah menjadi matlamat sekunder. Matlamat prima demonstrasi Bersih pada hari ini tidak silap jika disifatkan sebagai usaha untuk mencetuskan kacau-bilau supaya wujud rantaian reaksi seperti di Asia Barat yang akhirnya menyebabkan beberapa kerajaan tumbang akibat gerakan jalanan.

PENDALANGAN ASING BERTERUSAN?

Ruhanie Ahmad

Sebuah adikuasa (superpower) tertentu memang sentiasa campur tangan dalam urusan dalaman sesebuah negara yang kurang disenanginya, sama ada kerana pemerintahnya kurang mesra dengannya, ataupun kerana ia mahukan seorang pemimpin baru yang boleh mengikut telunjuknya bagaikan lembu cocok hidung.

Malaysia pernah dan mungkin akan terus mengalami percaturan oleh adikuasa berkenaan, terutama sekali sejak krisis politik 1997. Senjatanya yang paling berkesan adalah mengapi-apikan segolongan NGO tertentu supaya memperjuangkan demokrasi liberal yang total menerusi apa jua kekurangan yang wujud di dalam Perlembagaan Persekutuan serta lain-lain undang-undang, termasuklah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Pilihan Raya.

Lantas, adakah apa yang sedang berlaku di Malaysia pada hari ini adalah satu daripada percaturan terbaru oleh adikuasa berkenaan? Kenyataan demi kenyataan mengenainya, antaranya seperti yang ditegaskan oleh Chandra Muzaffar baru-baru ini, mungkin memanifestasikan bahawa percaturan berkenaan di Malaysia pada ketika ini, adalah benar.

Bagaimanapun, tanpa sebarang niat untuk mengembangkan kerangka teori konspirasi, atau menyemaikan prasangka buruk, adalah wajar jika kita baca sendiri beberapa buku yang menghuraikan tindak-tanduk adikuasa berkenaan sejak dulu hingga mutakhir ini.

Antara buku-buku tersebut adalah seperti berikut:

Audrey R. Kahin and George McT. Kahin, 1995, Subversion as foreign policy: the secret Eisenhower and Dulles debacles in Indonesia; William Blum, 2000, Rouge state: a guide to the world’s only superpower; Noam Chomsky, 2000, Rouge states: the rule of force in world affairs; Chalmers Johnson, 2002, Blowback; Scott Ritter, 2002, War on Iraq: what team Bush doesn’t want you to know; Vernon Coleman, 2003, Rouge nation: why America is the most dangerous state on earth; Noam Chomsky, 2003, Hegemony or survival: America’s quest for global dominance; Eric Alterman, 2004, When the president lie: a history of official deception and its consequences; Peter Lance, 2004, 911 Commission cover up: what the government is still hiding about the war on terror; Jeremy Brecher, Jill Cutler and Brendan Smith, 2005, In the name of democracy: American war crimes in Iraq and beyond; dan Stephen Grey, 2006, Ghost plane: the true story of the CIA torture program.

Setelah membacanya, mudah-mudahan kita dapat mengambil iktibar serta membuat kesimpulan sendiri mengenainya. Sesudah itu kita juga boleh membuat keputusan secara bijaksana terhadap segala kemungkinan siasah di Malaysia di hari-hari mendatang.

Sunday, July 03, 2011

HAK DAN KEBEBASAN DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN, DEKLARASI HAK ASASI MANUSIA SEJAGAT DAN PIAGAM PBB

Oleh Ruhanie Ahmad


Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan memberikan hak dan kebebasan kepada rakyat jelata Malaysia untuk bercakap dan bersuara, berhimpun secara aman dan tanpa senjata, serta membentuk persatuan.

Ini membuktikan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang demokratik---bukannya penindas rakyat ataupun penyekat kepada hak-hak dan kebebasan mereka.

Bagaimanapun, seluruh hak dan kekebasan ini pastinya mempunyai had dan sekatan yang berpaksikan kepada soal ketenteraman awam dan keselamatan nasional.

Had dan batasan ini diwujudkan selaras dengan sensitiviti, persekitaran serta komposisi rakyat Malaysia yang berbilang latarbelakang. Matlamatnya adalah untuk mengelakkan pertembungan, perbalahan, pertelingkahan dan konflik di kalangan rakyat di negara yang majmuk.

Had dan batasan kebebasan ini juga selaras dengan beberapa peruntukan di dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat yang diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 10 Disember 1948.

Contohnya, Perkara 19 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat menyatakan, setiap individu mempunyai hak kepada kebebasan bersuara dan pendapat.

Tetapi, Perkara 29(2) deklarasi yang sama pula memaktubkan bahawa dalam melaksanakan seluruh hak dan kebebasan, setiap individu adalah tertakluk kepada sekatan-sekatan yang ditentukan oleh undang-undang khusus.

Sekatan-sekatan ini adalah bagi memastikan keperluan-keperluan yang saksama terhadap moraliti, ketenteraman awam dan kesejahteraan umum di dalam suatu masyarakat yang demokratik.

Perkara 29(3) deklarasi berkenaan pula menegaskan bahawa seluruh hak dan kebebasan tidak boleh mencanggahi seluruh matlamat dan prinsip PBB.

Menurut Piagam PBB, antara matlamat dan prinsip PBB adalah pengamalan toleransi dan kehidupan bersama secara aman; bersatu memelihara keamanan dan keselamatan antarabangsa; menghapuskan seluruh ancaman kepada keamanan; pemansuhan tindakan-tindakan ganas; dan bertindak selaras dengan undang-undang antarabangsa untuk meleraikan persengketaan atau lain-lain tindakan yang menjejaskan keamanan.

Perkara 30 deklarasi yang sama pula memaktubkan bahawa tiada peruntukan dalam Deklarasi yang boleh ditafsirkan sebagai menggambarkan sesebuah negara, kumpulan atau individu mempunyai hak untuk melakukan apa-apa kegiatan atau melakukan apa-apa tindakan yang bertujuan untuk menghancurkan seluruh hak dan kebebasan yang termaktub dalam deklarasi.

Huraian di atas membuktikan bahawa kebebasan yang dijamin oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat adalah kebebasan yang terhad, bersyarat, mempunyai batas dan mempunyai sekatan.

Hakikat ini kurang diketahui oleh masyarakat umum. Ini kerana pihak-pihak yang mendakwa diri mereka sebagai juara kebebasan sengaja menyembunyikan fakta-fakta ini supaya masyarakat umum dapat dikelirukan bahawa kebebasan mereka---termasuk kebebasan akhbar, kebebasan bersuara dan kebebasan untuk berhimpun secara aman---adalah kebebasan yang hakiki dan tanpa batas atau sekatan.

Huraian di atas juga membuktikan bahawa nilai-nilai teras yang dititikberatkan dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dan oleh PBB adalah kesusilaan, kesejahteraan, ketenteraman, keamanan, keselamatan, kesaksamaan, toleransi, serta pemeliharaan hak dan kebebasan manusia daripada kemusnahan.

Kesimpulannya, hak dan kebebasan setiap insan manusia, walau di mana mereka berada, waimah di Malaysia, adalah terhad dan terbatas. Had dan batasan ini pula bukan disebabkan pihak yang mengenakan sekatan adalah tidak demokratrik.

Sebaliknya kerana pihak yang mengenakan sekatan adalah bertanggungjawab untuk memelihara serta mempertahankan ketenteraman awam, keselamatan masyarakat, keselamatan nasional dan kelangsungan negara.