Saturday, March 12, 2011

Peperangan Gaya Baru di Abad ke-21

Tulisan ini sekadar menerminkan kebimbangan peribadi yang amat sangat terhadap perkembangan dunia mutakhir terutamanya mengenai serangan virus serta siri gempa bumi dan letupan gunung berapi yang kian menjadi-jadi di rantau Asia-Pasifik, termasuk di Malaysia. Bagaimanapun, ini tidak bermaksud saya tidak mempercayai qada' dan qadar Allah SWT.

Kebimbangan ini mendorong saya merujuk kembali kepada beberapa buah buku mengenai gaya peperangan di era kontemporari---sama ada peperangan psikologi (propaganda), peperangan ekonomi, peperangan kimia atau peperangan teknologi, khususnya yang menggunakan teknologi scalar yang kini dikuasai oleh Amerika Syarikat (AS).

Peperangan psikologi: Peperangan ini kian berkesan berikutan ledakan ICT. Contohnya, CNN diperkenalkan sempena Perang Teluk Pertama bila AS menyerang Iraq setelah Iraq melanggar Kuwait pada tahun 1990. Dalam peperangan itu, rangkaian CNN hanya memaparkan kejayaan AS, tetapi menyorokkan segala fakta mengenai depleted uranium yang terkandung dalam bom yang digugurkan oleh AS dalam peperangan berkenaan sehingga menyebabkan kecacatan bayi, menyebabkan keguguran serta lain-lain penyakit kronik, termasuk penyakit misteri dikenali sebagai Gulf War Syndrome yang dialami oleh tentera AS.

Dalam Perang Teluk kedua atau perang terorisme AS terhadap Iraq, propaganda TV ini jadi semakin canggih. AS memperkenalkan embedded journalism atau kewartawanan khas di mana wakil-wakil rangkaian TV hanya membuat laporan berdasarkan fakta dan maklumat yang disalurkan oleh bahagian propaganda tentera AS. Oleh sebab itulah tidak disiarkan bahawa 100,000 rakyat awam Iraq terkorban dalam tempoh setahun, majoritinya akibat napalm bom dan juga depleted uranium (Brecher, Cutler dan Smith 2005).

Dengan itu, seluruh kezaliman AS dalam peperangan ini tersorok daripada pandangan komuniti dunia. Oleh sebab itulah terdapat penganalisis menamakan peperangan berkenaan sebagai TV War atau peperangan yang dipentaskan untuk liputan TV dan dipancarkan ke serata jagat.

Peperangan ekonomi: Peperangan ini telah menyerang beberapa negara di Asia Timur dan Asia Tenggara, termasuk Malaysia, menerusi krisis mata wang Asia 1997-1998. Hakikat ini dihuraikan secara panjang lebar oleh Kenichi Ohmae (2000). Oleh sebab itulah Tun Dr Mahathir Mohamad melabelkan serangan spekulator mata wang yang menyebabkan krisis berkenaan sebagai neoimperialisme.

Peperangan kimia: Senjata kimia banyak digunakan oleh kuasa-kuasa besar. Tetapi, kuasa besar seperti AS pula menghalalkan serangannya ke atas Iraq pada 2003 sebab kononnya Iraq mempunyai senjata kimia---antrax----yang boleh menggugat AS.

Setelah membelanjakan berjuta-juta dollar, tidak satu pun kilang antrax ditemui di Iraq. Juga tidak ditemui sebarang tanda bahawa Iraq mempunyai WMD. Hakikat ini dihuraikan sendiri oleh Han Blix, ketua IAEA dalam buku beliau terbitan 2005. Tetapi, Saddam Hussein sudah dihukum gantung dan Iraq sudah dijajah AS hingga ke hari ini.

Berkait dengan senjata kimia ini, adalah penyebaran pelbagai virus baru yang dipercayai virus yang dikeluarkan menerusi makmal ujian pihak keselamatan beberapa negara besar. Kisah ini kita sering tonton dalam siri TV. Kisah ini bukan fiksyen, tetapi kisah benar.

Oleh sebab itulah China di serang virus SARS menjelang olimpik di negara berkenaan. Oleh sebab itulah kini muncul pelbagai virus yang tidak pernah dikenali oleh para saintis. Lantaran itu (bukan dengan niat menghasut) autoriti kesihatan Malaysia perlu cemburu terhadap serangan virus yang kini terjadi di PULAPOL dan Hospital Besar KL.

Kita tidak buruk sangka terhadap sesiapa. Tetapi, kita mesti cemburu akan asal-usul virus seperti ini, lebih-lebih lagi bila ianya tidak pernah ditemui di mana-mana tempat di Malaysia sebelum ini.

Saya bukan mempercayai teori konspirasi. Tetapi terdapat sebuah buku 2004 yang mendedahkan bahawa apa sahaja kini boleh dijadikan senjata untuk menghuru-harakan sesebuah negara sasaran sesetengah kuasa besar tertentu.

Contohnya, buku berkenaan menyebutkan tentang wujudnya teknologi untuk menjadikan musim menuai yang lazimnya musim kemarau, menjadi musim hujan selebat-lebatnya sehingga memusnahkan seluruh hasil tuaian; dan menjadikan musim menanam yang lazimnya musim hujan supaya menjadi musim kemarau kontang sehingga musnah seluruh benih tanaman berkenaan.

Hakikat ini pernah terjadi di Russia dan Korea Utara sehingga ratusan ribu rakyatnya dilanda kebuluran dan sehingga mereka menerima bantuan makanan daripada beberapa kuasa besar tertentu kononnya untuk membuktikan mereka mempunyai sifat peri kemanusiaan yang tinggi.

Dalam konteks ini, wujud pula teknologi scalar yang dipercayai boleh memanipulasikan cuaca menerusi gelombang radio biasa, sehinggga terjadi ribut taufan dahsyat seperti di Myanmar beberapa tahun lalu, sehingga terjadi banjir besar yang luar biasa di China juga beberapa tahun lalu, dan juga gempa bumi dahsyat di Iran dan Pakistan.

Dalam konteks ini juga, saya jadi bimbang----sekadar kebimbangan biasa---kalau-kalaulah teknologi scalar ini juga boleh menanipulasikan gempa bumi atau pun tsunami!

Kepada para peminat blog ini yang ingin mengetahui lebih lanjut apa yang saya huraikan secara singkat dalam posting ini, bacalah sendiri buku-buku ini: Bruce Berkowitz, 2003, The new face of war, New York: The Free Press; Chris Hables Gray, 1997, Postmodern war: the new politics of conflicts, London: Routlesge; Kenichi Ohmae, 2000, The invisible continent: four strategic imperatives on the new economy, London: Nicholas Brealey Publishing; Jeremy Brecher, Jill Cutler dan Brendan Smith, 2005, In the name of democracy: American war crimes in Iraq and beyond, New York: Metropolitan Books, Hans Blix, 2005, Disarming Iraq: the search for weapons of mass destruction, London: Bloomsbury; dan Lawrence Dunegan, 2004, The new barbarians: the diabolical plot for an imminent totalitarian world government exposed! Selangor: Thinker’s Library.

No comments: