Tuesday, November 30, 2010

TRANSFORMASI JAMIN SURVIVAL



Ruhanie Ahmad


Datuk Seri Najib Razak Tun Razak melaksanakan transformasi siasah yang radikal dan bersejarah apabila Barisan Nasional (BN) membuka keanggotaan bersekutunya kepada individu, pertubuhan bukan kerajaan dan organisasi politik yang sudi mendukung misi perjuangannya, serta menyediakan ruang kepada generasi muda menyertai aktivitinya menerusi Kelab Rakan Muda BN dan Kelab Sahabat BN.

Transformasi ini mencerminkan pemikiran progresif kepimpinan kontemporari BN yang selaras dengan hasrat mempercepatkan pengintegrasian masyarakat Malaysia yang multi-etnik, secocok dengan transformasi sosioekonomi nasional, dan sesuai dengan cabaran modenisasi pada abad ke-21.

Dari perspektif kajian strategi dan keselamatan, transformasi ini bertujuan menghindarkan konflik dan pertembungan matlamat di kalangan rakyat, di samping untuk menjamin kelangsungan negara, keselamatan politik, keselamatan masyarakat, keselamatan ekonomi, dan keselamatan nasional Malaysia.

Realitinya demikian kerana satu daripada punca konflik yang boleh mengancam kelangsungan negara dan keselamatan nasionalnya adalah “ketidakseimbangan kuasa dan dispariti ekonomi yang mendorong kekecewaan” (Jeong 2009:43).

Bagaimanapun, “sesetengah konflik etnik yang lahir daripada ketidaksamarataan dan diskriminasi domestik boleh diatasi menerusi pluralisme dalam perwakilan pemerintahannya” (Azar & Moon 1988:288).

Kepimpinan Najib prihatin terhadap soal etnisiti ini kerana konflik etnik yang merupakan antara “ciri-ciri asas dalam sesuatu masyarakat majmuk” (Marger 2003:6) adalah “alah satu punca yang menimbulkan keadaan tidak selamat di seluruh dunia sejak zaman berzaman” (Kaufman 2008:201).

Keprihatinan ini diasaskan oleh Tunku Abdul Rahman Putra menerusi kewujudan mekanisme perkongsian kuasa di ambang kemerdekaan negara. Ia diperkukuhkan lagi oleh Tun Razak Hussein selepas konflik 1969.

Tunku Abdul Rahman mempelopori pembentukan Perikatan pada 1952 untuk menggabungkan UMNO selaku wakil majoriti orang Melayu dengan MCA mewakili keturunan Cina serta MIC mewakili keturunan India.

Mekanisme ini menghasilkan permuafakatan siasah yang positif dan sejati. Kemuncaknya adalah pemeteraian “apa yang disebut sebagai kontrak sosial (social bargain) pada 1957 di antara tiga kumpulan etnik utama sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan” (Mahathir 2002:iv).

Ini mencerminkan bahawa struktur parti pemerintah Malaysia iaitu dahulu Perikatan dan kini BN adalah gabungan parti siasah yang menitikberatkan perkongsian kuasa, permuafakatan, perpaduan, kesejahteraan, dan keselamatan masyarakat serta negara.

Bagaimanapun, kempen Malaysian Malaysia sepanjang tempoh 1963-1965 yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew telah menebalkan sentimen perkauman. Ini menyebabkan Perikatan terpaksa ditransformasikan menjadi entiti baru setelah meletus konflik etnik pada 13 Mei 1969.

Transformasi ini dilaksanakan oleh Tun Razak menerusi pembentukan BN pada 1 Julai 1974 yang memperluaskan gabungan UMNO, MCA dan MIC kepada lain-lain parti politik yang sanggup mendukung idealisme politik sederhana dan demokratik.

Tun Razak menggandingkan transformasi siasah ini dengan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebagai asas kepada penyusunan semula masyarakat dan pengenalan Rukun Negara sebagai asas perpaduan nasional.

Perdana Menteri Malaysia Kedua itu melaksanakan transformasi ini untuk mengukuhkan institusi negara, memelihara kelangsungan negara, memulihkan keselamatan nasional, memulihkan keselamatan masyarakat, memulihkan perpaduan rakyat, dan melindungi keselamatan ekonomi Malaysia.

Oleh sebab itulah, selepas konflik etnik pada 13 Mei 1969, kerajaan Malaysia segera melantik sekumpulan perunding dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat untuk merumuskan dimensi penyatuan nasional di Malaysia (Faaland, Parkinson & Rais 2002:352) dengan matlamat utamanya untuk menjamin survival serta memulihkan ketenteraman awam dan keselamatan nasional.

Lantaran itulah juga “strategi dan objektif asas DEB yang telah diperhalusi oleh Majlis Perundingan Negara dibentangkan di Parlimen Malaysia pada Februari 1971 menerusi Kertas Putih berjudul Ke Arah Keharmonian Nasional” (Gordon P. Means 1991:23).

Proses transformasi yang dilaksanakan oleh Tun Razak berjaya melonjakkan perpaduan rakyat, meningkatkan kemakmuran ekonomi, dan menstabilkan keselamatan nasional. Realiti ini membolehkan Tun Dr. Mahathir Mohamad memfokus kepada program pemodenan negara berasaskan gagasan Wawasan 2020.

Ia juga membolehkan Malaysia memberikan kepimpinan kepada komuniti dunia Selatan-Selatan. Dalam konteks ini, “Malaysia mempelopori penubuhan G-15 iaitu organisasi untuk menggalakkan kerjasama Selatan-Selatan pada 1989” (Milne & Mauzy 1999:134).

Bagaimanapun, evolusi pemikiran dan tindakan rakyat mutakhir ini seolah-olah mencabar kemampuan BN dalam menangani masalah sosiopolitik dan ekonomi kontemporari pada abad ke-21, khususnya sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008, suara dan tindakan komponen BN dan juga parti pembangkang jelas didasari sentimen perkauman yang kian meningkat.

Inilah sebabnya Najib melakukan transformasi terhadap struktur keahlian BN yang diumumkannya pada 20 November 2010. Beliau melakukan transformasi siasah ini tanpa merombak struktur komponen BN yang diasaskan oleh ayahandanya pada 1974.

Sebaliknya, beliau memperluaskan penyertaan rakyat Malaysia di dalam BN menerusi keanggotaan bersekutu serta menerusi kewujudan Rakan Muda BN dan Kelab Sahabat BN.

Usaha ini bijaksana kerana tidak menjejaskan status quo keanggotaan komponen BN sedia ada. Tetapi, transformasi ini radikal kerana ia mempunyai manfaat jangka panjang yang positif jika ia diuruskan secara sistematik dan berkesan.

Antara manfaatnya ialah keanggotaan individu, NGO dan pertubuhan politik sebagai ahli bersekutu BN akan membolehkan mereka menyalurkan sebarang rasa tidak puas hati atau kekecewaan mereka terhadap kerajaan secara langsung kepada BN untuk penyelesaian segera dan efektif.

Keanggotaan bersekutu ini juga dapat memperluaskan idealisme perjuangan BN kepada rakyat. Ini bermakna transformasi ini benar-benar memasyarakatkan BN dalam kalangan majoriti rakyat tanpa mengira kaum.

Penyediaan Kelab Rakan Muda BN dan Kelab Sahabat BN pula akan memudahkan proses sosialisasi politik dalam kalangan generasi pelapis Malaysia menerusi aktiviti tersusun dan positif.

Proses ini akan menjamin kesinambungan semangat perjuangan dan prinsip permuafakatan politik BN pada hari muka supaya perpaduan rakyat, kesejahteraan ekonomi serta keselamatan nasional sentiasa terjamin masa depannya.

Kesimpulannya, transformasi politik yang dilaksanakan oleh Najib adalah radikal, futuristik, dan demi kelangsungan negara dan bangsa Malaysia. Ini menepati aspirasi Gagasan 1Malaysia serta transformasi sosioekonomi yang dilaksanakan mutakhir ini. Bagaimanapun, sekali lagi saya tegaskan bahawa transformasi ini perlu diurus secara sistematik dan berkesan.

[Disiarkan oleh Utusan Malaysia : 27 November 2010]

Sunday, November 21, 2010

HAYAT PKR TIBA KE PENGHUJUNGNYA?



Ruhanie Ahmad


Rakyat Malaysia mengetahui susur-galur sejarah kemunculan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Oleh itu, mereka perlu mengaudit gelagat PKR dan karenah perilaku kepimpinan tertingginya mutakhir ini untuk memastikan ianya parti bermaruah atau sebaliknya.

Gelagat paling terakhir yang patut diaudit adalah episod pemimpin PKR keluar parti dan kisah baling-membaling kerusi dalam mesyuarat tahunan PKR baru-baru ini.

Gelagat ini merupakan elemen baru dalam perjuangan PKR yang mendakwa sebagai jaguh demokrasi par excellence di Malaysia.

Tetapi, kisah perilaku kepimpinan tertinggi PKR adalah episod sensasi paling terkini yang mesti diaudit oleh rakyat Malaysia.

Sebuah akhbar Australia menyiarkan berita sekumpulan Ahli Parlimen dan Senator Australia mendesak Malaysia menggugurkan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim atas nama demokrasi dan hak asasi kemanusiaan.

Laporan penuh Australian politicians lodge protest for sodomy trial against Anwar Ibrahim to be dropped boleh diakses di sini:

http://www.theaustralian.com.au/news/world/australian-lawmakers-lodge-portest-for-sodomy-trial-against-anwar-ibrahim-to-be-dropped/story-e6frg6so-1225829761369

Rakyat Malaysia, khususnya anggota PKR dan anggota PAS, perlu mengaudit berita ini dengan teliti. Mereka juga perlu memahami mesej di sebaliknya.

Satu lagi berita membabitkan Datuk Seri Anwar adalah Malaysian opposition leader Anwar Ibrahim has urged the Gillard government to step up pressure against his homeland yang juga terbit di Australia baru-baru ini. Berita sepenuhnya seperti berikut:

http://www.theaustralian.com.au/news/world/anwar-ibrahim-pleads-for-support/story-e6frg6so-1225953433729

Sesudah membaca kedua-dua berita di atas, seluruh rakyat Malaysia, terutamanya ahli PKR dan PAS, buatlah proses pengauditan tehadap PKR dan pemimpin tertingginya secara kritis, ikhlas dan jujur menerusi kerangka minda yang sejati.

Berikutnya, tepuk dada dan tanya selera masing-masing, adakah atas nama demokrasi dan hak asasi manusia, Malaysia boleh mengizinkan amalan liwat dihalalkan di negara ini?

Lantas, adakah fitnah jika dikatakan maruah politik PKR mutakhir ini sedang dicemari berita-berita seperti di atas?

Adakah hasutan jika dicadangankan supaya anggota PKR mendesak perhimpunan agungnya tahun ini untuk menyingkirkan sesiapa sahaja pemimpinnya yang mencemari nama baik partinya?

Dan, adakah hasutan jika dicadangkan supaya seluruh anggota PKR bangkit mendesak kepimpinan tertinggi partinya untuk mendefinisikan corak perjuangan PKR, sama ada ia parti multiracial, parti demokrasi liberal, atau parti yang tidak mempunyai sebarang corak dan warna perjuangan yang khusus bagaikan pelangi yang indah dalam kesementaraannya.

Perhimpunan agung PKR akan diadakan tidak lama lagi. Ini merupakan detik terbaik untuk ahli-ahli PKR menuntut proses pendefinisian ini dilakukan. Ini juga waktu terbaik untuk menyingkirkan mana-mana pemimpin parti yang songsang perilakunya.

Jika tidak, PKR akan terus digerhanai oleh publisiti negatif mengenai kesongsangan perilaku politik dan peribadi. Dan, kesembronoan inilah yang mungkin mentalqinkan PKR tidak lama lagi.

Tuesday, November 16, 2010

INTERDEPENDENSI SEMBERONO PKR-DAP



Ruhanie Ahmad


Interdependensi politik PKR-DAP mutakhir ini disifatkan sebagai “konspirasi syaitan.” Demikian intisari kenyataan Zulkifli Noordin, Ahli Parlimen Bebas-Kulim-Bandar Baharu, dalam Utusan Malaysia, 30 Oktober 2010.

Kenyataan ini adalah huraian kepada kenyataan Zulkifli sewaktu membahaskan Barjet 2011, di Dewan Rakyat, pada 28 Oktober 2010, yang antara lainnya dipetik oleh Utusan Malaysia 29 Oktober 2010, seperti berikut:

Hubungan PKR dan DAP begitu rapat sehingga wujud satu perjanjian rahsia berhubung pegangan kuasa politik antara kedua-dua parti itu yang tidak diketahui oleh Pas. Melalui perjanjian rahsia itu DAP akan memiliki kuasa autonomi terhadap Pulau Pinang sekiranya pakatan pembangkang berjaya mengambil alih kerajaan Persekutuan. Jika pakatan pembangkang menang dan ambil alih kerajaan Persekutuan, DAP akan diberi kuasa autonomi di Pulau Pinang (Zulkifli Noordin dalam Utusan Malaysia 29.10.10).

Laporan Zulkifli dalam Utusan Malaysia 30 Oktober 2010 yang mendedahkan wujudnya “konspirasi syaitan” adalah susulan kepada kenyataan di atas. Selanjutnya, Zulkifli menegaskan seperti berikut:

Perjanjian rahsia antara PKR dengan DAP bukan suatu perkara yang boleh dianggap ‘main-main' kerana ia didalangi oleh kepimpinan tertinggi parti terbabit. Pendedahan ini dibuat kerana saya mahu ahli bawahan Pas dan PKR serta rakyat Malaysia tahu bahawa wujudnya 'perjanjian syaitan' melibatkan PKR dan DAP. Jangan nanti apabila perkara sudah berlaku baru hendak menyesal. Baru hendak kata tidak jangka semua itu akan berlaku (Zulkifli dalam Utusan Malaysia 30.10.10).

Demikianlah kisah intimasi dan interdependensi DAP-PKR. Interdependensi adalah tindakan saling-kebergantungan yang wujud dalam susunan sosial, politik, dan ekonomi. Interdependensi pelbagai jenisnya, termasklah interdependensi positif dan interdependensi negatif.

Interdependensi positif bercorak akomodatif, dipraktikkan menerusi konsep menang-menang dan berdasarkan prinsip kerjasama. Interdependensi negatif bercorak eksploitatif, diamalkan menerusi konsep persiangan dan berdasarkan prinsip survival.

Dalam konteks politik PKR-DAP mutakhir ini sukar untuk dipastikan corak interdependensinya. Tetapi, DAP memang seakan-akan berhajat sangat untuk mengkudakan PKR, dan PKR juga seolah-olah amat berniat untuk mengkudakan DAP.

Kedua-dua parti ini terlalu sangat bercita-cita untuk menerajui Kerajaan Malaysia. Oleh sebab itulah interdependensi PKR-DAP seolah-olah bercorak oportunistik, dilaksanakan menerusi konsep wenang-wenangan dan dibina atas prinsip citarasa.

Jika inilah realitinya, tidak salah jika saling-kebergantungan PKR-DAP dikategorikan sebagai interdependensi sembrono yang bercorak oporcunistik, diamalkan menerusi konsep sewenang-wenang dan berdasarkan prinsip citarasa.

Bagi memudahkan pembaca mentakrifkan posting di atas, saya senaraikan di bawah ini maksud kata-kata kuncinya, iaitu: konspirasi, autonomi, semberono, sewenang-wenang, dan citarasa, yang dipetik daripada Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan (1995) dan Kamus Besar Bahasa Indonesia (1995) seperti berikut:

Konspirasi: maksudnya “komplotan” (Kamus Besar Bahasa Indonesia 1995:521). Komplot pula ertinya “bersekongkol, bersubahat, bersepakat, berkongsi, bersekutu, bergabung, berkongkalikong” (Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan 1995:930).

Autonomi atau otonomi: maksudnya “pemerintahan sendiri” (Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan 1995:96); atau “pemerintahan sendiri; memiliki hak dan kekuasaan menentukan arah tindakannya sendiri (Kamus Besar Bahasa Indonesia 1995:709).

Sembrono: ertinya “tidak hati-hati; tidak difikirkan baik-baik; sembarangan” (Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan 1995:1667); atau “kurang hati-hati, tidak difikirkan baik-baik, gegabah, kurang sopan” (Kamus Besar Bahasa Indonesia 1995:905)

Sewenang-wenang: maksudnya “melakukan atau membuat sesuatu dengan sekehendak hati atau sesuka hati sahaja; dengan sembarangan; dengan tidak teliti; tidak dengan usul periksa (Kamus Besar bahasa Melayu Utusan 1995:2182); atau “dengan tidak mengindahkan hak orang lain; dengan semau-maunya; dengan kuasa sendiri (Kamus Besar bahasa Indonesia 1995:1128).

Citarasa: maknanya “perasaan hati (Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan 1995:363); atau “perasaan; perasaan hati (Kamus Besar Bahasa Indonesia 1995:191).

Kesimpulannya, pendedahan Zulkifli bermaksud PKR-DAP kini terbabit dalam satu “konspirasi syaitan” di mana PKR akan memberikan hak kepada DAP untuk memerintah Pulau Pinang secara autonomi atau secara “berkerajaan sendiri” yang bebas daripada arah-tuju kekuasaan pusat jika PKR menguasai pemerintah Kerajaan Persekutuan.

Blog ini mengkategorikan realiti ini sebagai realiti interdependensi semberono kerana konspirasi yang didedahkan oleh Zulkifli didakwa telah diputuskan secara rahsia oleh pucuk kepimpinan tertinggi PKR-DAP tanpa berhati-hati, ikut sesuka rasa hati sendiri, dan dengan tidak mengindahkan hak seluruh rakyat jelata Malaysia, termasuk hak Pas yang menjadi komponen Pakatan Rakyat.

Oleh itu, persoalan yang ingin saya ketengahkan untuk renungan rakyat Malaysia, termasuk Pas, ialah: adakah keputusan “konspirasi syaitan” yang didedahkan oleh Zulkifli pada 28 Oktober 2010, akan meliputi lain-lain negeri jika mereka dikuasai oleh DAP dalam PRU 13 kelak; dan, apa akan jadi kepada corak pemerintahan dan kekuasaan di Malaysia jika andaian ini menjadi kenyataan?