Friday, July 17, 2009

Bumiputera diidentitikan menerusi perlembagaan (1)

Ruhanie Ahmad

Identiti rakyat Malaysia yang terbahagi kepada bumiputera dan bukan bumiputera, atau pribumi dan bukan pribumi, adalah identiti yang dibina secara berperlembagaan. Pihak yang mempertikaikan hakikat ini adalah kelompok yang mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan.

Kelompok yang mempertikaikan identiti ini adalah segelintir individu bukan bumiputera yang berusaha untuk membina identiti yang baru. Ada juga golongan bumiputera, terutamanya orang Melayu, yang apologis dan beranggapan bahawa perjuangan mempertahankan identiti bumiputera adalah perjuangan perkauman.

Kedua-dua kumpulan ini boleh disinonimkan dengan para pendukung konsep Malaysian Malaysia pada tahun 1964 atau disinonimkan dengan imperialis Inggeris yang memperjuangkan konsep Malayan Union pada tahun 1946.

Konsep Malaysian Malaysia diperjuangkan oleh sekelompok etnik Cina yang menjadi warganegara Malaysia. Konsep Malayan Union diperjuangkan oleh pihak penjajah Inggeris.

Kedua-dua konsep ini menjadikan Islam, Raja-Raja Melayu, orang Melayu, masyarakat bumiputera, Bahasa Melayu, dan lain-lain aspek sosio-ekonomi serta nilai dan budaya Melayu dan bumiputera sebagai sasarannya.

Ini bermakna konsep Malaysian Malaysia adalah disasarkan kepada orang Melayu dan bumiputera serta seluruh komponen identiti mereka. Usaha ini sama seperti yang cuba dilakukan oleh konsep Malayan Union.

Menurut Malik Munip (1981), jika konsep Malayan Union diperjuangkan oleh pihak kolonialis. Konsep Malaysian Malaysia pula diperjuangkan oleh sekelompok individu tempatan yang mempunyai kerangka pemikiran kolonialis.

Konsep Malaysian Malaysia pernah disinonimkan dengan Lee Kuan Yew, Perdana Menteri Singapura sewaktu republik itu menjadi sebahagian wilayah Malaysia mulai 16 September 1963 hingga 8 Ogos 1965.

Pada ketika itu Lee menjadi Setiausaha Agung PAP, parti politik yang diwujudkan di Singapura pada 21 November 1954. Menurut Lau (1998:22), PAP adalah parti politik berhaluan kiri yang mendukung fahaman sosialisme demokratik.

Vasil (1984:26) menjelaskan, PAP berhaluan kiri kerana anggotanya pada ketika itu adalah gabungan antara individu berpendidikan Inggeris yang mendukung aliran sosialisme demokratik dan kelompok berpendidikan Cina yang pro-komunis.

Chan (1976:10) pula menegaskan, perkembangan pesat PAP dalam tahun 1950-an adalah disebabkan oleh perikatannya dengan puak-puak komunis yang memberikan keupayaan di bidang organisasi dan mobilisasi politik. PAP terpaksa berhaluan kiri untuk memelihara barisan bersatunya dengan puak yang pro-komunis.

Oleh sebab itulah PAP pada ketika itu memperjuangkan supaya bahasa Cina dan bahasa Tamil diberikan status rasmi seperti bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. PAP juga mendesak kewujudan hak-hak kewarganegaraan yang sama bagi seluruh rakyat, tanpa mengira bangsa, bahasa dan agama (Vasil, 1984:30).

Matlamat perjuangan PAP pada ketika itu adalah serupa dengan objektif konsep Malaysian Malaysia. Ghazali Ismail (1990:11) menyatakan, intisari konsep Malaysian Malaysia adalah: seluruh rakyat, tanpa mengira bangsa, budaya dan agama, berhak memperolehi layanan yang sama, berhak menuntut hak yang sama, berhak menikmati apa jua keistimewaan yang sudah diberikan kepada orang-orang Melayu.

Ini bermakna, etnik bukan Melayu wajar mendapat status istimewa seperti orang Melayu (Perkara 153), agama mereka perlu diberikan taraf seperti Agama Islam yang menjadi agama rasmi Persekutuan (Perkara 3), dan bahasa Cina serta bahasa Tamil pula hendaklah diberikan taraf seperti Bahasa Melayu yang menjadi Bahasa Kebangsaan (Perkara 152).

Berasaskan huraian di atas, salahkah bagi orang Melayu dan bumiputera mempertahankan identiti mereka yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan? Wajarkah tindakan sesetengah bukan Melayu dan bukan bumiputera untuk meminta identiti mereka yang berasaskan kaum pendatang disamaratakan dengan identiti orang Melayu dan bumiputera? Tidakkah usaha seperti ini merupakan usaha mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan?

Dan, patutkah wujud kelompok Melayu apologis yang beranggapan bahawa perjuangan mempertahankan identiti Melayu dan bumiputera adalah perjuangan perkauman, sementara perjuangan bukan Melayu dan bukan bumiputera yang mempertikaikan identiti Melayu dan bumiputera adalah tindakan yang selaras dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia sejagat?

Fikir-fikirkanlah! -- [bersambung dalam bahagian dua].

Wednesday, July 08, 2009

Renungan sempena 100 hari kepimpinan Najib

Ruhanie Ahmad

Pada Sabtu,11 Julai 2009, jam 10.30 pagi, di KLCC, Kuala Lumpur, akan berlangsung majlis “100 hari Najib bersama rakyat.” Daripada jemputan yang saya terima, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, juga dijangka turut hadir.

Sempena majlis berkenaan, saya ada beberapa catatan buat renungan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri Malaysia keenam merangkap Presiden UMNO Malaysia.

Satu: Segolongan orang Melayu kini berasa cemas terhadap beberapa pengumuman kerajaan mengenai liberalisasi baru-baru ini. Perkara ini perlu dijelaskan hingga ke peringkat akar umbi jika kerajaan mahukan kemenangan dalam PRU 13. Ada pihak mengatakan kesemuanya baik dan selaras dengan tuntutan global. Tapi banyak pihak juga yang merasakan kerajaan seolah-olah memberikan terlalu banyak muka kepada pihak bukan Melayu dan kelompok asing.

Dua: Konsep 1Malaysia perlu mempunyai satu dokumen yang rasmi dan komprehensif. Ini perlu dikeluarkan dengan seberapa segera untuk mengelakkan ianya dieksploitasikan oleh pihak oportunis yang mahu memesongkan rakyat kononnya konsep 1Malaysia adalah sinonim dengan konsep Malaysian Malaysia yang dihebahkan oleh PAP serta Malaysian Solidarity Council di Singapura pada 6 Jun 1965, dan diumumkan oleh DAP menerusi Deklarasi Setapak, di Kuala Lumpur, menjelang PRU pada tahun 1967.

Tiga: Biasiswa Nasional yang diumumkan oleh kerajaan atas dasar meritokrasi cukup menarik. Tetapi, belum pasti ianya diterima baik oleh pribumi, iaitu orang Melayu dan Bumiputera, terutama sekali bila soal biasiswa adalah soal yang termaktub dan dilindungi oleh Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Untuk merincikan polemik ini kajilah maksud dan semangat Perkara 153 dengan tenang dan terbuka. Pihak bukan Melayu yang asyik mendesak dengan tuntutan demi tuntutan mengenai soal biasiswa juga perlu memahami semangat Perkara 153 ini. Menurut Leong (2003:91), penganugerahan hak-hak kewarganegaraan kepada bukan Melayu (pada 1957) adalah sebagai pertukaran kepada pengiktirafan bukan Melayu pada ketika itu terhadap kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera (sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan). Oleh itu, kerajaan sewajarnya mempertahankan semangat dan maksud Perkara 153 tanpa sebarang kompromi.

Empat: Pengumuman kerajaan mengenai jambatan ketiga bagi menghubungkan Malaysia dengan Singapura kurang disenangi oleh sebilangan rakyat, terutamanya rakyat Johor Darul Takzim. Sebaliknya, kerajaan akan terbukti bijaksana jika Projek Jambatan Bengkok dapat diteruskan pembinaannya.

Lima: Adakah UMNO sudah benar-benar pulih dan kembali perkasa? Bukankah UMNO masih lagi dipalit dan dicalit dengan beberapa kontroversi membabitkan beberapa individu yang terbukti terlibat dengan rasuah politik? Apakah tindakan tegas sudah dikenakan ke atas mereka? Atau, masihkah UMNO mahu meneruskan patronage ke atas individu-individu ini? Persoalan-persoalan ini perlu dihayati demi kelangsungan UMNO dan kerajaan dalam PRU13.

Demikian lima perkara khusus buat renungan Najib dan Muhyiddin serta seluruh anggota kabinetnya sempena majlis “100 hari Najib bersama rakyat” pada 11 Julai 2009. Saya akan artikulasikan seluruh perkara ini satu per satu tidak lama lagi.

Mudah-mudahan kepimpinan Najib-Muhyiddin akan mampu memberikan sinar harapan serta keunggulan realiti kepada orang Melayu, Bumiputera dan bukan Melayu seluruhnya berasaskan semangat dan maksud perkara-perkara strategik dalam Perlembagaan Persekutuan yang diwujudkan khusus demi negara yang majmuk dan kelangsungannya di hari muka. KEPADA ALLAH BERSERAH!

Saturday, July 04, 2009

E-Maklum Balas PM Malaysia Tak Berfungsi?

Semalam saya menerima email daripada seorang Hamba Allah yang pernah menyandang jawatan tinggi dalam sektor pendidikan awam. Beliau memperkenalkan dirinya. Tetapi, kerana blog beliau masih bertopeng, identiti beliau tidak akan saya dedahkan di sini. Bagaimanapun, saya berikan indikasi bahawa beliau adalah seorang yang pernah berjasa besar dalam sektor pendidikan negara dan bergelar Dato’.

Mesej blogger VIP ini ditujukan khas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak. Kandungannya adalah seperti yang tersiar di dalam posting di blog beliau, Jumaat, 3 Julai 2009, yang boleh diakses di: luahfikiran.blogspot.com. Sinopsisnya adalah: “MANA PERGI JANJI KERAJAAN BERJIWA RAKYAT? ADUAN KEPADA PERDANA MENTERI TIDAK MENDAPAT RESPONS!”

Saya yakin blogger VIP ini faham bahawa apa yang beliau alami bukannya akibat tindakan PM yang disengajakan. Sebaliknya, mungkin terdapat aral melintang di pihak web-master atau moderator kepada E-Maklumbalas yang bertugas untuk PM.

Saya harap menerusi posting ini, webmaster atau moderator E-Maklumbalas PM akan segera bertindak dengan sewajarnya. Para pegawai PM yang membaca blog ini juga seharusnya bertindak dengan secepat mungkin kerana blogger yang mengirimkan masalahnya kepada saya ini berbuat demikian atas semangat dan prinsip 1Malaysia Rakyat Diutamakan! – Ruhanie Ahmad.

Friday, July 03, 2009

Dagang usah ditanakkan, kera jangan disusukan!

Ruhanie Ahmad

Bala sudah mula tiba. Orang Hindraf marahkan DAP. Pembesar DAP berbalah dengan chief PKR. PAS tersepit di tengah-tengah. Ini semua akibat kepura-puraan dalam Pakatan Rakyat.

Kepura-puraan ini wujud kerana kesemuanya mempunyai mimpi yang berlainan. Mereka mempunyai nilai dan matlamat perjuangan yang berbeza. Mereka mempunyai idealisme yang tidak serasi. Tetapi mereka wujud dalam satu kerangka mimpi (an imagined framework) kononnya mereka boleh bersatu. Inilah corak dan wajah PR.

DAP masih tetap setia dengan perjuangannya untuk menegakkan konsep Malaysian Malaysia. Menurut Malik Munip (1981) jika konsep Malayan Union yang bertujuan untuk menghapuskan Melayu dan seluruh identitinya pernah diperjuangkan oleh kolonialis Inggeris, konsep Malaysian Malaysia pula diperjuangkan oleh warganegara Malaysia yang hidup dalam kerangka minda kolonialis.

Pejuang-pejuang Malaysian Malaysia ini lupakan hakikat bahawa nenek moyang mereka diberikan hak-hak kewarganegaraan di negara ini pada 1957 sebagai gantian kepada pengiktirafan nenek moyang mereka kepada keistimewaan Melayu dan Bumiputera yang dimaktubkan dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Rumusan ini ditegaskan oleh Leong H Liew (2003:91) yang menyatakan, the granting of citizenship rights to non-Malays (was) in exchange for recognition of the special position of the Malays.

Malangnya orang-orang PAS dan pemimpin-pemimpin besar PKR (orang Melayu) sudah dijangkiti sindrom lupakan sejarah. Oleh sebab itu mereka sanggup bersekutu dengan puak-puak yang masih memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia yang sinonim dengan konsep Malayan Union.

Oleh sebab itu TG Datuk Seri Nik Aziz pun sedia menerima kunjungan LK Yew dan memuji LK Yew sebagai pejuang yang tidak mengamalkan rasuah. Orang-orang besar PKR pula merasionalkan persekongkolan mereka dengan pejuang-pejuang konsep Malaysian Malaysia kononnya kerana mereka adalah universalist yang memperjuangkan hak-hak asas dan kebebasan.

Mereka lupa bahawa hak-hak asas dan kebebasan (fundamental rights and liberties) juga diperjuangkan menerusi aliran culturalist. Jika aliran universalist didukung dan disokong oleh imperialis dan neo-imperialis Barat, aliran culturalist adalah berpaksikan kepada nilai-nilai Timur atau the Asian values.

Aliran culturalist memperjuangkan hak-hak asas dengan berpaksikan kepada the Asian values, iaitu nilai-nilai di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Aliran universalist pula memijak bumi dan menjunjung langit imperialis dan neo-imperialis. Pihak ini menuduh aliran the Asian values sebagai kolot dan salah.

Lebih aneh lagi, ada juga golongan pak turut yang mengikuti aliran universalist ini. Contohnya, mereka sama-sama menjeritkan konsep-konsep kesamarataan dan kemanusiaan Barat semata-mata untuk menghalalkan Chin Peng kembali ke Malaysia.

Puak ini lupa atau tidak mengerti bahawa Chin Peng adalah simbol keganasan dan kezaliman. Beribu-ribu perwira Melayu terkorban akibat perjuangan teroris yang dikepalai oleh Chin Peng. Beribu-ribu lagi yang cacat dan cedera, yang kodong tangan dan kodong kaki akibat perjuangan Chin Peng.

Seterusnya wujud pula Hindraf. Puak ini juga lupa bahawa nenek moyang mereka menjadi warganegara atas prinsip yang dihuraikan oleh Leong di atas. Mereka tergamak menghantar surat kepada Ratu Elizabeth II kononnya Perlembagaan Persekutuan adalah menindas.

Mereka masih hidup dalam kepompong imagined society (masyarakat impian) mereka di benua kecil di Asia Selatan. Sebab itulah pihak yang memperjuangkan hak-hak pribumi dituduh sebagai pihak yang memperjuangkan perkauman, sementara mereka yang mempersoal dan mempertikaikan hak-hak pribumi menyifatkan diri mereka sebagai pihak yang non-racialist.

Pribumi Malaysia mutakhir ini sudah insaf, dagang yang lalu tidak akan ditanakkan, kera di hutan tidak akan disusukan sebab dagang yang lalu kini mendakwa dirinya sebagai tuan tanah dan kera yang disusukan pula mendakwa dirinya sebagai tauke ladang pisang. Mereka tidak insaf bahawa apabila identiti sesuatu kelompok mahu dihapuskan maka percubaan itu akan ditentang habis-habisan kerana itulah hakikatnya di seluruh dunia yang sudah diakui oleh para pengkaji sains keselamatan kontemporari antarabangsa.

Kesimpulannya, semua pihak perlu insaf, pribumi Malaysia mutakhir ini (secara peribahasanya) memang sudah hilang sabar dengan gelagat sesetengah pedagang yang pernah ditanakkan dan cukup meluat dengan gelagat sesetengah kera yang pernah disusukan di zaman pra-merdeka.

Jika kelompok ini masih mahu menegakkan dunia impian masing-masing, berhentilah daripada impian itu, kembali ke alam realiti dan sesudah itu pulanglah ke alam nyata yang wujud di dalam mimpi tersebut.

Kepada pihak PAS dan majoriti orang Melayu dalam PKR, (sekali lagi secara peribahasa) rentikanlah kebodohan Melayu mentanakkan pedagang yang lalu dan rentikanlah kebodohan Melayu menyusukan kera di hutan.

Akhir sekali, ingatan kepada DAP dan HINDRAF. Hak Melayu, keistimewaan Melayu dan seluruh elemen yang menjadi komponen kepada identiti Melayu dan peribumi di negara ini jangan sekali-kali cuba dipertikaikan. Kepada PAS dan Melayu dalam PKR, insaflah, rujukan utama politik kuasa adalah agama, bangsa dan tanah air, iaitu Alif, Ba, Ta. Jika rujukan politik kuasa yang sedang diperjuangkan oleh PAS dan Melayu PKR hari ini adalah kuasa demi kuasa, (sekali secara berperibahasa) jangan salahkan ibu mengandung jika pedagang yang lalu dan kera yang di hutan akan menginjak-injak Melayu dan Islam walaupun menerusi strategi sehalus jarum peniti.


Saturday, June 27, 2009

Perlembagaan Payung Keselamatan Rakyat

Ruhanie Ahmad

Kerajaan perlu menghayati semula Perkara 149 dan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan sebelum meminda mana-mana akta keselamatan negara, khususnya ISA. Kedua-duanya memperuntukkan kuasa mecegah perbuatan subversif, kekerasan terrancang, perbuatan serta jenayah yang memudaratkan awam, dan mengenai kuasa-kuasa darurat.

Dalam konteks kajian keselamatan kontemporari, kedua-dua peruntukan perlembagaan ini menjamin keselamatan negara, keselamatan politik, keselamatan rejim, keselamatan pribumi, keselamatan etnik, keselamatan masyarakat dan keselamatan ekonomi, serta aspek acaman yang dijangka muncul (perceived threats) dan keselamatan bukan tradisional seperti terorisme, sabotaj, ekstremisme, cauvinisme dan pengkhianatan terhadap negara.

Seluruh aspek ini dikaji secara serius, meluas dan mendalam sejak awal tahun 1990-an, setelah meletus beberapa konflik etnik yang menyebabkan peperangan di era pasca Perang Dingin. Antara kajian ini terkandung dalam buku-buku Buzan (1991), Buzan, Waever, De Wilde (1998), Scherrer (2003), Mackerras (2003), Guzzini & Jung (2004), Sheehan (2005), dan Booth (2007).

Perkara 149 dan Perkara 150 juga adalah lambang keprihatinan pemimpin Malaysia pelbagai kaum yang proaktif dan futuristik terhadap perceived threats dan ancaman bukan tradisional yang terbukti dengan tercetusnya tragedi 13 Mei 1969.

Keselamatan Politik

Keselamatan politik merangkumi keupayaan organizational sesebuah negara, sistem kerajaan dan ideologi yang melegitimasikan kerajaan berkenaan (Buzan 1991:19). Aspek ini di Malaysia dihuraikan dalam Perkara 149(1)(b) yang mencegah tindakan “membangkitkan perasaan tidak suka terhadap Yang diPertuan Agong atau mana-mana kerajaan dalam Persekutuan,” dan Perkara 149(1)(d) yang melarang tindakan ”untuk mendapatkan diubah, dengan apa-apa cara lain daripada cara yang sah, apa-apa jua yang tertubuh menurut undang-undang.” Ini kerana Yang diPertuan Agong adalah lambang demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan, dan usaha merobah kerajaan secara demokratik adalah mencanggahi amalan demokrasi.

Keselamatan Masyarakat

Keselamatan masyarakat adalah mengenai kemampanan pola tradisional bahasa, kebudayaan dan agama serta identiti dan adat resam dalam suatu keadaan yang melalui evolusi (Buzan 1991:19). Dalam konteks yang seluas-luasnya, aspek keselamatan masyarakat juga merangkumi keselamatan insan, keselamatan pribumi, keselamatan etnik dan keselamatan identiti. Hal ini dilundungi oleh 149 Perkara 149(1)(a) yang mencegah tindakan “menyebabkan kekerasan yang dirancang terhadap orang atau harta, atau untuk menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan kekerasan itu,” Perkara 149(1)(c) yang mencegah perbuatan “mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan antara beberapa kaum atau golongan penduduk yang mungkin menyebabkan kekerasan,” dan Perkara 149(1)(f) yang melarang tindakan “mendatangkan mudarat ketenteraman awam atau keselamatan, dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya.”

Ini membuktikan bahawa ISA yang bersumberkan Perkara 149 dan 150 bukannya undang-undang, seperti kata Lim Kit Siang (1978:180), yang menjadi instrumen politik untuk melenyapkan pengkritik kerajaan, ketua parti pembangkang, pemimpin pelajar dan peneraju kesatuan sekerja.

Sebaliknya, Perkara 149 dan 150 serta ISA adalah instrumen undang-undang yang menghalalkan tindakan sesiapa juga yang memerintah Malaysia secara demokratik untuk melindungi keselamatan rakyat supaya identiti mereka tidak terjejas, konflik etnik dapat dibendung dan keganasan etnik dapat dielakkan.

Keselamatan Ekonomi

Keselamatan ekonomi adalah melibatkan akses kepada sumber-sumber, kewangan dan pasaran yang diperlukan untuk memelihara tahap kebajikan rakyat dan kuasa negara (Buzan 1991:19). Aspek keselamatan ini termaktub dalam Perkara 149(1)(a) yang melarang tindakan “kekerasan yang dirancang terhadap harta”, Perkara 149(1)(e) yang memfokus kepada tindakan yang “mendatangkan mudarat kepada ketenteraman awam atau keselamatan dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya,”dan Fasal 8(1) ISA yang khusus mengenai tindakan individu yang “boleh mendatangkan mudarat kepada penyenggaraan perkhidmatan perlu di dalam negara atau kepada kehidupan ekonominya.”

Keselamatan Rejim

Seluruh peruntukan dalam Perkara 149 dan Perkara 150 serta ISA juga memberikan perlindungan kepada keselamatan rejim. Konsep ini memfokus kepada negara, individu, dan kumpulan sosial yang wujud dalam sesebuah negara. Antara nilai-nilai teras yang dipertahankannya adalah ideologi politik pemerintah, perpaduan etnik, keharmonian agama, institusi raja, pembangunan dan kemakmuran.

Ini membuktikan konsep ini hampir serupa dengan konsep keselamatan politik, keselamatan masyarakat dan keselamatan ekonomi. Keselamatan rejim disifatkan sebagai keselamatan kerajaan (Buzan 1985) kerana konsep ini penting kepada kelangsungan negara Dunia Ketiga, khususnya bila wujud masyarakat majmuk yang tidak berkongsi nilai dan kepentingan nasional yang serupa.

Keselamatan Pribumi

Konsep keselamatan pribumi dihuraikan secara tidak langsung menerusi konsep keselamatan etnik dan identiti. Oleh sebab itu, antara cabang keselamatan masyarakat yang dihalusi oleh Buzan serta rakan-rakannya di Copenhagen Peace Research Institute (COPRI) adalah mengenai migrasi serta dampaknya kepada pribumi. Menurut Sheehan (2005:92), Buzan menyifatkan migrasi sebagai ancaman kepada masyarakat (pribumi), bukan kepada negara, dan mulai 1990-an, isu migrasi didilabelkan sebagai ancaman keselamatan.

Pendapat ini membuktikan masalah keselamatan pribumi adalah isu penting mutakhir ini. Scherrer (2003:95-97) menyatakan, serangan berterusan terhadap elemen-elemen mengenai identiti sesuatu kelompok mewujudkan penentangan yang mendorong pemberontakan; perbuatan mempolitikkan etnisiti makin bertambah; dan etnisiti terus menjadi elemen dalam sesuatu pertelingkahan sosial.

Tindakan Proaktif

Pejuang kemerdekaan tanah air yang pelbagai kaum berfikiran jauh bila identiti pribumi Malaysia dikonstruk secara berperlembagaan menerusi Perkara 160, Perkara 161A, (6)(a)), 161A(7) dan 161A(6)(b) Perlembagaan Persekutuan; dan konsep kewarganegaraan bagi bukan pribumi pula dikonstruk menerusi Perkara 14, 15, 15A, 16, 16A, 18, 19 dan 22 Perlembagaan Persekutuan serta digandingi oleh prinsip muafakat dan toleransi supaya mereka turut mendukung prinsip kehidupan secara aman, rukun dan damai.

Etnik keturunan Cina yang membangkang huraian ini wajar membaca beberapa buku mengenai etnisiti, termasuk Ethnicity in Asia (Mackerras (2003), yang membuktikan etnisiti di Malaysi adalah lebih baik berbanding layanan kepada kaum minoriti di China, Singapura, Indonesia dan Thailand.

Pelindung Rakyat

Kesimpulannya, tragedi 13 Mei yang meletus setelah tidak wujud lagi ancaman komunis dan konfrontasi, adalah disebabkan adanya kelompok politik menyemarakkan isu etnisiti menerusi kritikan terhadap beberapa peruntukan mengenai pribumi dalam Perlembagaan Persekutuan. Tragedi ini boleh berulang berasaskan faktor-faktor yang dihuraikan di atas. Ia juga boleh meletus kerana soal-soal hak asasi dan kebebasan asas kini digandingkan dengan isu-isu etnisiti.

Wacana mengenai hak-hak asasi ini muncul dalam pelbagai bentuk, termasuk hak-hak sivil, politik, etnik dan demokrasi.Ia terbahagi kepada aliran universalis yang popular di Barat dan aliran komunitarian yang wujud di Asia (Mackerras 2003:4-5). Aliran universalis menitikberatkan hak sesuatu kelompok. Mereka ketepikan elemen sejarah dan permuafakatan kaum di Malaysia serta enggan mengambilkira dampak perjuangannya kepada keselamatan negara dan rakyat.

Gerakan ini kian menonjol di Malaysia. Kes-kes membabitkan Islam diheret ke mahkamah sivil. Keistimewaan pribumi terus dipolitikkan. Bahasa Melayu mahu disinonimkan dengan bahasa etnik lain, termasuk untuk kegunaan di papan tanda jalan. Ini membuktikan kebenaran hujah bahawa tragedi 13 Mei akan berulang jika fenomena aliran universalis dalam memperjuangkan isu etnisiti di Malaysia tidak dibendung secara berkesan.

Ini juga membuktikan Perkara 149 dan 150 Perlembagaan Persekutuan serta ISA adalah pelindung kepada seluruh peruntukan perlembagaan mengenai pribumi yang masih dipolitikkan oleh sesetengah pemimpin parti politik di negara ini. Ia juga memperkukuhkan hujah bahawa seluruh peruntukan perlembagaan mengenai Agama Islam, Raja-Raja Melayu, orang Melayu, Bumiputera, dan Bahasa Melayu tidak akan mencetuskan konflik etnik seperti tragedi 13 Mei jika kesemuanya tidak dijadikan permainan kuasa oleh segolongan pemimpin politik dan pertubuhan sivil.

Lantaran itu, orang Melayu dan Bumiputera tidak harus terpengaruh dengan dakyah bahawa ISA yang bersumberkan Perkara 149 dan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan adalah akta yang memindas rakyat. Bukan Melayu dan bukan Bumiputera juga perlu memahami hakikat ini kerana jika negara dilanda konflik etnik, mereka juga turut terjejas, keselamatan ekonomi tidak terjamin, keselamatan etnik juga turut tergugat.

Orang Melayu, umat Islam dan bukan Bumiputera di Malaysia juga perlu bersyukur dengan kewujudan Perkara 149 dan Perkara 150 yang menjadi sumber kepada ISA dan lain-lain undang-undang keselamatan kerana kesemuanya adalah payung kepada keselamatan negara dan rakyat.

Kerajaan tidak wajar memansuhkan seluruh undang-undang ini. Sebarang pindaan yang wajar dilakukan tidak boleh mengkompromikan Perkara 149 dan 150 yang melindungi kepentingan serta kelangsungan pribumi, rakyat bukan pribumi dan lain-lain peruntukan strategik dalam Perlembagaan Persekutuan.

Thursday, June 25, 2009

Jambatan bengkok penting, jambatan ketiga tidak diperlukan....

Satu kesilapan besar era pemerintahan lalu adalah membatalkan projek Jambatan Bengkok bagi menggantikan Tambak Johor. Untuk membaca huraian mengenai isu ini sila baca buku Mahathir Menyinga yang dipaparkan di sidebar blog ini.

Antara kesilapan yang mungkin terjadi di hari-hari mendatang pula adalah jika kerajaan pada hari ini menyetujui cadangan jirannya untuk membina Jambatan Ketiga merentangi Selat Teberau bagi menghubungkan timur Johor dengan zon timur Singapura.

Banyak sebab-sebab strategik untuk menyokong hujah di atas. Antaranya adalah seperti yang dinyatakan oleh Datuk Abdul Halim Suleiman, ADUN BN-Puteri Wangsa, Johor, bahawa kerajaan wajar mengkaji semula cadangan pembinaan jambatan itu kerana terlalu banyak pintu keluar masuk dari Johor ke Singapura hingga boleh menimbulkan masalah daripada segi kawalan keselamatan (Utusan Malaysia 24.6.2009).

Minggu lalu, blog ini mencadangkan supaya kerajaan memerkenalkan kajian impak keselamatan negara bagi projek penting dan stategik di perbatasan tanah air seperti di sempadan Johor-Singapura.

Ini kerana soal keselamatan negara mutakhir ini tidak lagi wajar berasaskan rasional pemikiran era Perang Dingin (PD) yang ditentukan oleh pertimbangan antara peperangan dan keamanan. Sebaliknya, keselamatan negara yang kontemporari wajar berpaksikan kepada lima faktor utama, iaitu keselamatan militari, keselamatan politik, keselamatan ekonomi, keselamatan masyarakat dan keselamatan alam sekitar. Berdasarkan komponen keselamatan negara yang kontemporari ini, wajar diwujudkan satu sistem kajian impak keselamatan (KIK) bagi mana-mana projek penting kerajaan, terutamanya di lokasi yang strategik, termasuk di kawasan perbatasan negara. Sebagai permulaan, wajar dilakukan KIK terhadap cadangan projek Jambatan Ketiga di perbatasan Malaysia-Singapura. Kajian KIK ini penting untuk memastikan secara terperinci bahawa projek berkenaan memenuhi seluruh aspek keselamatan di atas. Jangan sampai kemudian hari kelak projek ini menjejaskan keupayaan militari, politik, ekonomi, masyarakat dan alam sekitar Malaysia. Kajian ini juga amat penting untuk mengelakkan sebarang implikasi kepada keselamatan negara seluruhnya. Ini kerana Malaysia sudah pun mempunyai precedent mengenai ancaman keselamatan kepada satu projek besar di sempadan Singapura (kuda-kepang 19.6.2009).

Kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin pastinya amat prihatin terhadap suara ADUN Johor dan saranan kuda-kepang seperti di atas. – Ruhanie Ahmad

Friday, June 19, 2009

Perkenalkan kajian impak keselamatan negara bagi projek penting dan stategik

Ruhanie Ahmad

Rejim keselamatan dunia dan keselamatan sesebuah negara sentiasa melalui evolusi. Oleh sebab itu soal keselamatan negara mutakhir ini sewajarnya tidak lagi berasaskan rasional pemikiran era Perang Dingin (PD) yang ditentukan oleh pertimbangan antara peperangan dan keamanan. Sebaliknya, keselamatan negara yang kontemporari wajar berpaksikan kepada lima faktor utama, iaitu keselamatan militari, keselamatan politik, keselamatan ekonomi, keselamatan masyarakat dan keselamatan alam sekitar.

Demikian pendapat kritikal beberapa sarjana keselamatan, termasuk Barry Buzan, Ken Booth serta lain-lainnya, terutama sekali mereka yang memperjuangkan aliran pemikiran Copenhagen Peace Research Institute atau COPRI.

Menurut Buzan (1991:19), keselamatan militari menjurus kepada kemampuan ketenteraan dalam konteks ofensif dan defensif. Keselamatan politik merangkumi keupayaan organizational sesebuah negara, sistem kerajaannya dan ideologi yang melegitimasikan kerajaan berkenaan. Keselamatan ekonomi melibatkan akses kepada sumber-sumber, kewangan dan pasaran yang diperlukan untuk memelihara satu tahap kebajikan dan kuasa yang sewajarnya di sesebuah negara. Keselamatan masyarakat mengenai kemampanan pola tradisional bahasa, kebudayaan dan agama serta identiti dan adat resam dalam suatu keadaan yang melalui evolusi. Keselamatan alam sekitar mengenai pemuliharaan biosphere lokal dan planetary yang diperlukan oleh manusia.

Berdasarkan komponen keselamatan negara yang kontemporari seperti di atas, wajar diwujudkan satu sistem kajian impak keselamatan (KIK) bagi mana-mana projek penting kerajaan, terutamanya di lokasi yang strategik, termasuk di kawasan perbatasan negara.

Sebagai permulaan, wajar dilakukan KIK terhadap cadangan projek Jambatan Ketiga di perbatasan Malaysia-Singapura. Kajian KIK ini penting untuk memastikan secara terperinci bahawa projek berkenaan memenuhi seluruh aspek keselamatan di atas. Jangan sampai kemudian hari kelak projek ini menjejaskan keupayaan militari, politik, ekonomi, masyarakat dan alam sekitar Malaysia.

Kajian ini juga amat penting untuk mengelakkan sebarang implikasi kepada keselamatan negara seluruhnya. Ini kerana Malaysia sudah pun mempunyai precedent mengenai ancaman keselamatan kepada satu projek besar di sempadan Singapura.

Contohnya: Kota Iskandar, the sprawling new (Johore) state administrative capital in Nusajaya, faces a major security risk as it is located near a Singapore firing range. The range, inside the Sarimbun Camp, is operated by the Singapore Armed Forces and involves the use of a live ammunition from tanks and aircraft including helicopter gunships.There have been instances when the explosions at the range have caused vibrations on the Malaysian side less than 2km away (The Star 21.5. 2009).

Contoh di atas sukar untuk dipastikan akibat kesilapan siapa -- Malaysia atau Singapura. Perbincangan mengenainya hanya akan jadi sesuatu yang akademik. Tetapi, ancaman seperti ini pasti boleh dielakkan jika ianya adalah kesilapan Malaysia. Dan ancaman ini juga pasti boleh dijadikan isu dua-hala jika sebelum ibu negeri Johor itu dibina, apa yang kini wujud di Singapura itu memang belum lagi wujud.

Demikianlah contoh mengenai kepentingan KIK. Ia sangat penting untuk dilakukan bagi cadangan projek Jambatan Ketiga. Ini kerana projek tersebut masih dalam peringkat kajian. Tetapi, mungkin juga lebih bermanfaat besar jika Malaysia langsung ketepikan projek ersebut, lebih-lebih lagi bila DYMM Sultan Johor sendiri pun tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan. DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU!