Friday, March 23, 2012

PERGINYA SEORANG LAGI NASIONALIS MELAYU


KUALA LUMPUR 22 Mac 2012 - Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Mazlan Nordin, 87, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dekat sini pada pukul 4.15 petang hari ini.

Anak keempat beliau, Yuri Azhar, 39, berkata, bapanya dimasukkan ke PPUM selepas terjatuh dalam bilik air di rumahnya semalam.

"Arwah berada dalam keadaan kritikal selepas terjatuh dan doktor telah memberinya sedatif bagaimanapun meninggal dunia kira-kira pukul 4.15 petang ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Allahyarham meninggalkan lima cahaya mata iaitu empat lelaki dan seorang perempuan serta empat cucu.---Utusan Malaysia.

Blog ini menguapkan takziah kepada seluruh anggota Allahyarham Pak Mazlan yang merupakan antara tokoh nasionalis Melayu terbilang. Moga-moga roh Allahyarham berada di kalangan orang yang soleh dan sentiasa dicucuri rahmat Allah SWT. Al-Fatehah!!!

Monday, March 12, 2012

Keselamatan, kesejahteraan dan kelangsungan

Ruhanie Ahmad

Kehidupan adalah mengenai keselamatan. Konsep keselamatan pula ditakrifkan sebagai wujudnya situasi yang terbebas daripada ancaman, angkara, musibah dan bencana.

Lantas muncullah pelbagai konsep keselamatan yang secara umumnya bersifat tradisional dan bukan tradisional serta bercorak nyata (imminent) atau dijangka (perceived).

Keselamatan tradisional menitikberatkan kemerdekaan, kedaulatan, ketenteraman, keamanan, kemakmuran dan kelangsungan negara. Keselamatan bukan tradisional lazimnya memfokuskan kepada seluruh elemen keinsanan dan kesejahteraannya.

Kedua-dua konsep keselamatan ini, dalam konteks Malaysia, menjadi paksi kepada pemuliharaan dan pemeliharaan seluruh nilai-nilai teras negara.

Nilai-nilai teras ini pula mencakupi aneka bentuk ketatanegaraan termasuk keharmonian agama, permuafakatan insan dan kestabilan politik.

Dari sudut negara majmuk seperti Malaysia, matlamat keselamatannya adalah bebas daripada angkara komunal yang berpotensi mengorbankan harta dan nyawa seluruh rakyat jelatanya.

Dari sisi pemerintahan negara, objektif keselamatannya adalah menjamin keabadian nilai-nilai teras nasional yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Rukunegara, Wawasan 2020 dan Gagasan 1Malaysia (bukannya propaganda Malaysian Malaysia yang antaranya telah mencetuskan tragedi berdarah 13 Mei 1969).

Di aras peribadi, keselamatan ditakrifkan mengikut keutamaan yang tersendiri. Kepada orang Melayu/Islam, keselamatan utamanya adalah terbebas daripada bencana neraka.

Kepada masyarakat bukan Melayu/Islam di Malaysia, terutamanya keturunan Cina, keselamatan primanya adalah terbebas daripada ancaman terhadap perniagaan serta harta kekayaannya.

Dengan ini jelaslah bahawa keselamatan adalah konsep yang penting kepada seluruh aspek kehidupan insan manusia, termasuk mengenai keharmonian agama, permuafakatan rakyat, kemakmuran ekonomi dan kelangsungan negara.

Dalam konteks Malaysia, hanya Barisan Nasional (BN) sahaja --- bukannya Pakatan Rakyat --- yang terbukti berupaya menjamin seluruh aspek keselamatan tradisional dan bukan tradisional sejak 1957 hingga sekarang.

Namun semuanya akan lupus dan musnah jika formula perkongsian kuasa BN diganggu-gugat, diharu-biru dan dihuru-harakan menerusi konsep dan prinsip yang sedang diperjajakan oleh siasah alternatif mutakhir ini.

Oleh sebab itu, berasaskan prinsip demokrasi yang memberikan kuasa membuat pilihan secara bebas, terserahlah kepada kewarasan peribadi untuk menentukan bahawa pilihan sebaik-baiknya adalah yang diputuskan atas perhitungan menjamin keselamatan, kehidupan dan kelangsungan diri, masyarakat dan negara.

Saturday, March 03, 2012

BUKIT SERINDIT DAN BUKIT GEDUNG: MANIFESTASI MELAYU HILANG KUASA…

Ruhanie Ahmad
Pada Khamis 1 Mac 2012, saya dan dua orang sahabat, meluangkan waktu untuk meninjau beberapa makam pembesar Melayu/Islam di zaman kegemilangan Empayer Melayu di Melaka.

Pertama sekali kami ziarahi dua makam Raja-Raja Melayu di zaman Empayer Melayu Melaka di Bukit Serindit. Sedihnya hati kami tidak terkira apabila mendapati sebuah permakaman Raja-Raja Melayu/Islam Empayer Melayu Melaka di bukit berkenaan dikelilingi oleh beratus-ratus pusara kristian.

Keduanya, kami ziarahi Makam Tun Mamat dan ayahandanya di Bukit Gedung. Kawasan permakaman ini pernah menjadi salah satu lokasi Pesta Mandi Safar sebelum ianya diharamkan.

Makam pembesar Islam Empayer Melayu Melaka di bukit ini juga dikelilingi oleh ratusan jirat Cina. Lantas sedih hati kami pun kian memuncak.

Ketiganya, kami ziarahi sebuah permakaman rahsia beberapa pembesar Islam Empayer Melayu Melaka di sebuah bukit di Kampung Duyong.

Salah seorang sahabat kami jadi amat sedih kerana menurutnya, antara makam itu adalah makam salah seorang anggota Laksamana Hang Tuah lima bersaudara.

Malangnya, makam-makam rahsia ini sudah dimusnahkan untuk satu projek pelancongan kononnya untuk mengabadikan kegemilangan era Hang Tuah.

Persoalannya, bagaimanakah makam pembesar Islam Empayer Melayu Melaka di Bukit Serindit dan Bukit Gedung boleh dicerobohi oleh ratusan kubur kristian dan Cina?

Adakah ini bermakna bahawa ketika Empayer Melayu Melaka lumpuh diserang Portugis, maka kawasan permakaman Islam Empayer Melayu Melaka juga diizinkan untuk dijadikan perkuburan bukan Islam?

Persoalan seterusnya, bagaimanakah fenomena berkenaan diizinkan oleh penjajah Portugis, Belanda dan British? Adakah sesudah Empayer Melayu Melaka musnah, maka permakaman Islam Empayer Melayu Melaka juga boleh dijadikan perkuburan bukan Islam?

Paling malang sekali, bagaimanakah makam rahsia pembesar Islam Empayer Melayu Melaka di bukit di Kampung Duyong boleh di pindahkan ke tempat lain semata-mata kerana penduduk di situ gagal memberikan fakta nyata bahawa di antara makam-makam itu adalah makam salah seorang anggota Laksamana Hang Tuah lima bersaudara.

Seluruh persoalan di atas memang akademik untuk dihujah pada hari ini. Tetapi, kami merumuskan bahawa inilah iktibarnya apabila orang Melayu/Islam kehilangan kuasa di buminya sendiri.

Itulah sebabnya bila Empayer Melayu Melaka dimusnahkan oleh penjajah Portugis, Belanda dan British, maka orang Melayu/Islam Melaka ketika itu gagal mempertahankan permakaman pembesar Melayu/Islam Empayer Melayu Melaka daripada dicerobohi pihak bukan Islam.

Jika inilah iktibarnya sejarah tersebut, kami tidak dapat membayangkan apa yang boleh terjadi jika Melayu di Malaysia kontemporari kehilangan kuasanya secara total menerusi PRU13 kelak!!!

Sunday, February 26, 2012

Aku seorang rasis?

Ruhanie Ahmad
Orang Melayu yang mempertahankan identiti, status serta hak-hak Melayu, Islam dan Bumputra di dalam Perlembagaan Persekutuan dengan sewenang-wenangnya dilabelkan oleh segolongan bukan Melayu sebagai rasis.

Sekumpulan bukan Melayu yang mempertikaikan identiti, status dan hak-hak Melayu, Islam dan Bumiputra di dalam perlembagaan yang sama pula dengan angkuhnya mendabik dada kononnya merekalah juara kesamarataan dan hak-hak asasi manusia sejagat.

Dalam konteks hujah ini, maknanya orang Melayu tidak boleh mempertahankan identiti, status dan hak-hak bangsanya, Islam dan Bumiputra. Bukan Melayu pula diizin untuk mempertikaikan identiti, status dan hak-hak Melayu, Islam dan Bumiputra. Pendek kata, orang Melayu salah, bukan Melayu betul!

Anehnya, fenomena ini menyebabkan majoriti orang Melayu berdiam diri. Mereka tidak berani mempertahankan identiti, status dan hak-hak bangsanya, Islam dan Bumiputra secara terangan-terangan kerana takut dilabelkan sebagai rasis.

Lantas mereka pun jadi golongan the silent majority yang membiarkan bangsanya, Islam dan Bumiputra diganggu-gugat oleh juara-juara kesamarataan dan kesaksamaan yang kononnya berdiri atas prinsip hak-hak asasi insan sejagat.

Mengapa jadi begini dan sampai bilakah fenomena ini harus kita biarkan wujud? Pertanyaan ini bukan berniat untuk mendorong orang Melayu, Islam dan Bumiputra membenci bukan Melayu. Sebaliknya bertujuan menegakkan kebenaran yang hakiki.

Hakikatnya demikian kerana Malaysia adalah sebuah negara majmuk. Dalam sesebuah negara seperti Malaysia, tidak sewajarnya identiti, status dan hak sesuatu bangsa dan agama yang termaktub dalam perlembagaan negara diancam atau dipertikaikan.

Jika identiti, status dan hak-hak Melayu, Islam dan Bumiputra ini terus diancam dan digugat kononnya atas alasan prinsip-prinsip kesamarataan barat yang diamalkan di Malaysia secara total, siapa bertanggungjawab jika ancaman dan gugatan ini mencetuskan konflik etnik yang serius dan parah?

Thursday, February 09, 2012

AL-FATEHAH BUAT HAJI ABDUL MANAN ZAKARIA

Sahabat dan mantan pembantu peribadi saya, Haji Abdul Manan Zakaria, 70 tahun, kembali ke rahmatullah pada 6 Februari 2012.

Allahyarham adalah bekas Tentera British di Singapura. Setelah bersara, beliau pernah berkhidmat dengan Jabatan KEMAS di Batu Pahat. Allahyarham juga memainkan peranan dalam mewujudkan sistem Bilik Gerakan Pilihan Raya bagi UMNO Bahagian Parit Sulong.

Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Pekuburan Islam Kampung Peserai pada pagi 7 Februari 2010. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah SWT dan diletakkan di kalangan orang-orang yang soleh. Al-Fatehah!!!!

Tuesday, January 31, 2012

ANDA TAHU SUSUR-GALUR BANGSA MIM?

Ruhanie Ahmad

Baru-baru ini ada tokoh sejarah mengatakan Hang Tuah hanya mitos atau lagenda. Itu pandangannya sebagai sejarawan. Saya tidak mampu untuk berpolemik dengan beliau.

Seorang sahabat pula memberitahu saya, Hang Tuah memang pernah wujud. Hang Tuan, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu, katanya, mengaji al-Quran bersama-sama di Serambi Melaka di Pulau Besar selaku pusat ulamak Nusantara terbesar di era pra-Portugis.

Oleh sebab itulah mereka dikenali sebagai lima bersaudara. Persaudaraan ini bukannya mengikut pertalian darah, tetapi persaudaraan seperguruan mengaji al-Quran.

Pada tahun 2004, saya dan sahabat yang sama menjelajah ke Pulau Bentan untuk menjejakki Makam Hang Nadim Laksamana Johor-Riau. Orang Bentan sendiri tidak ramai yang tahu di mana lokasi makam berkenaan.

Kami yang berbekalkan sepotong ayat “Makam Hang Nadim berada di Gunung Bentan Kapor” yang kami download daripada internet, pun menyelusur sepanjang jalan dari Pekan Tanjung Pinang hingga ke Kampung Bentan Kapor.

Sesampainya di sana kami menemui Pak Iman Masjid Bentan Kapor dan bertanyakan arah Makam Hang Nadim. Pak Iman tersentak dan terkejut dengan pertanyaan kami.

“Encik nak cari Makam Hang Nadim Singapura dilanggar todak atau Hang Nadim Laksamana Johor-Riau?” tanya Pak Iman dalam loghat Melayu Johor.

Kami jelaskan tujuan kami. Setelah itu kami bersama Pak Imam dan dua orang anak buahnya meredah hujan lebat mendaki Gunung Bentan Kapor. Kira-kira satu jam perjalanan, meniti batang dan menuruni lurah, kami sampai ke satu kawasan dusun duku. Di sana kering kontang, tidak hujan setitik pun.

“Di sinilah Makam Hang Nadim. Kawasan ini namanya Hulu Melaka. Sungai di belakang tu Sungai Duyong” jelas Pak Imam.

Lantas kami pun menunaikan hajat kami untuk mengadakan tahlil di Makam Hang Nadim. Tiada makam lain di kawasan yang sama. Laksamana Hang Nadim seorang diri!

Persoalannya di sini, di Melaka ada tempat dikenali sebagai Hulu Melaka dan Sungai Duyong. Mengikut riwayatnya, Hang Tuah lima bersaudara membesar di Kampung Duyong Melaka. Adakah ini satu kebetulan?

Hang Nadim yang diriwayatkan sebagai anak lelaki Hang Tuah menyemadi diri keseorangan di Kampung Hulu Melaka berhampiran Sungai Duyong di Bentan. Adakah laksamana ini mengabdikan diri kepada Ilahi di sebuah kampung berhampiran Sungai Duyong untuk mengabadikan sejarah kampung Almarhum ayahandanya?

Hang Tuah lima bersaudara pula berkampung di Duyong Melaka. Dan Hang Tuan lima bersaudara juga dikatakan belajar ilmu persilatan di Hulu Melaka, Melaka. Lantas adakah Laksamana Hang Nadim pula memilih kawasan persemadiannya di kampung yang bersempenakan kawasan perguruan silat Almarhum ahayandanya?

Dua tiga hari lalu saya mengakses beberapa websites mengenai sejarah Nusantara. Di satu daripadanya tertulis perkataan “kami masih belum mengetahui di mana lokasi Makam Hang Nadim Laksamana Johor-Riau.”

Aneh, pelik dan penuh tanda tanya. Namun hati kecil saya amat yakin bahawa makam yang kami ziarahi adalah Makam Hang Nadim sebab ramai masyarakat Melayu di sana adalah keturunan beliau. Salah seorang yang membawa kami ke makamnya adalah keturunan beliau yang kini bertanggungjawab atas kebersihan makam dan dusun persekitarannya.

Kesimpulannya, Hang Nadim Laksamana Johor-Riau bukannya mitos. Beliau pahlawan Melayu dari keturunan Bangsa MIM. Siapakah Bangsa MIM sebenarnya? Melayu? Malaya? Madaya atau siapa?

Namun Bangsa MIM inilah umat Mohamad yang hebat keperkasaan dan kepehlawanannya! Usah dicabar Bangsa MIM dan janganlah dipecahbelahkan Bangsa MIM!!!

Monday, January 30, 2012

Politica still alive and kicking?

Monday, January 30, 2012A

MSYTERIOUS MANSION WITH PURPLE ROSES IN HOLLAND?

http://politica-net.blogspot.com/

Saturday, January 28, 2012

Anwar dan Israel

Ruhanie Ahmad


Di bawah ini adalah kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Israel dalam The Wall Street Journal Asia baru-baru ini.

“I support all efforts to protect the security of the state of Israel" (The Wall Street Journal Asia pada 26 Januari 2012).

Maksudnya, Anwar menyokong segala usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel.

Seterusnya adalah kenyataan Kementerian Luar Malaysia mengenai hubungan dua hala dengan pelbagai negara di seluruh dunia.

Malaysia places equal importance to ties with the other Asian, African, Middle-Eastern, and Latin American countries and will continue to strengthen and enhance the already strong ties with the regions. Bilateral relations with other Asian, African, Middle-Eastern, and Latin American countries would continue to be pursued without neglecting our traditional economic partners in Europe and America. Japan, the European Union, the US, and Australia and the Republic of Korea, would remain Malaysia's major trading partners as well as the source of investment and technology.

The only exception is Israel. Like other countries, Malaysia is also concerned with continued tension and conflict in the Middle East, such as the Palestinian - Israel conflict, which remain unresolved. [In showing its concern, Malaysia would consider beginning relations with Israel only when a comprehensive peace agreement between Israel and the Palestinian people is successfully concluded.] (www.kln.gov.my).

Akhir sekali adalah kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai reaksi kepada kenyataan Anwar.

MUAR 28 Jan. – Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil memberi penjelasan tentang komitmennya untuk mempertahankan Israel ketika ditemu ramah oleh akhbar Wall Street Journal (WSJ). Timbalan Perdana Menteri bertanyakan sama ada kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bermakna beliau (Anwar) mementingkan Israel dan menidakkan hak rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Yahudi itu. "Adakah dia (Anwar) lebih mengutamakan Yahudi dan Israel daripada Palestin? “Adakah ini pendirian sebenar Pakatan Rakyat, sedangkan kerajaan tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel,” katanya kepada pemberita selepas mengunjungi Kampung Kebun Baru, Jementah hari ini (Utusan Malaysia on-line 28/01/2012 6:17pm).

Kesimpulannya, Anwar perlu jelaskan kenyataannya di atas seperti dituntut oleh Tan Sri Mahyuddin. Jika tidak, Anwar memang mencanggahi dasar luar Malaysia. Jika Anwar gagal membuat penjelasan, seluruh umat Islam Malaysia buatlah perhitungan yang paling bijaksana sebelum mendukung dan menyokong perjuangan Anwar mutakhir ini.

Friday, January 27, 2012

Patah sayap bertongkatkan paroh, namun tetap terbang jua!!!

Ruhanie Ahmad

Di bawah ini satu lagi reaksi kisah burung. Cukup menarik. Ia membawa saya kepada kenangan seorang sahabat pelukis di Kuala Lumpur. Beliau sanggup berkemah dan bermalam di Taman Negara, Pahang, hingga berhari-hari seorang diri, sekadar untuk mendekati burung-burung yang unik di kawasan tersebut, ambl foto dan kadang-kadang melukis spesies burung di sana sehingga siap.

Hasilnya, sahabat saya kini mempunyai pelbagai lukisan cat minyak bersaiz besar mengenai burung-burung di Taman Negara. Lukisan aslinya kini menjadi koleksi pelbagai warga korporat tempatan dan asing. Namun replika lukisan itu dijadikan post-card limited edition dan juga kalender collectors’ item.

Menarik bukan jika kita sudi memerhati dan menghayati kehidupan burung? Bila kita kenali kepelbagaiannya, idiosinkrasinya dan keunikannya, maka kita akan sentiasa tertawan dengan sistem kehidupannya.

Mohd Ali Suratman: Assalammualaikum Dato' dan semua. Kalau nak faham realiti burung, maka perlulah kita mendekati mereka kerana mustahil kita boleh menjadi burung. Burung, walaupun jinak, ia tetap tidak semesera yang kita sangka dan akan terbang bila kita cuba dekati. Antara kejinakan ayam hutan dengan kejinakan ayam kampung belaan pasti dapat kita bezakan. Taburlah secupak padi, yang pasti datang hanya si pipit dan si murai. Mereka juga akan terbang bila didekati.

Bila manusia mengasihi Merbuk dan Tekukur, burung mahu juga dikurung takut akan terbang jauh ke tempat lain. Kasihnya pada kemerduan suara, bulu badannya tidak secantik Serindit dan Tiong. Tak kurang akan mudah naik berang bila siulan dan panggilan manja tidak berjawab. Tiong dikatakan boleh diajar bercakap sepatah dua bila lidahnya dialin dengan emas. Tidak perlulah kita membuktikannya.

Ada burung sebesar Helang. Kita percaya kerana kita pernah melihatnya berterbangan. Tidak seperti Garuda yang mungkin cerita dongengan seperti dakwaan seorang pakar akan kewujudan Hang Tuah pahlawan Melayu kita. Ada yang kecil badannya sekenit pipit.

Bulu burung juga berbagai rupa dan warna. Putih, merah biru dan lainnya. Yang hitam sering sahaja mahu dipunah. Bertuah sungguh si Merak, walau hidupmu tidak sebebas murai dan pipit.

Di kampung saya zaman kecil-kecil dahulu, kecauan murai di hadapan rumah menandakan ada tetamu yang akan singgah. Kini sudah lain keadaannya, namun masih ada antara kita yang sedia menerima siapa saja walau pun untuk bercerita.

Merpati walaupun sebangsa (?), tidak semua sama warnanya. Merpati tetap jinak walaupun hanya ditaburkan segengam jagong. Merpati akan meloncat dan terbang bila didekati. Seburuk-buruk Merpati mereka akan pulang ke rumah binaan tuannya.

Kita manusia punya banyak persaingan. Katakan apa sahaja maka akan tercabarlah nafsunya. Manusia bukan sahaja pandai berkicau seperti burung, mereka juga boleh terbang seperti Garuda. Wassalam.

Orang Melayu dulu-dulu pun banyak memerhati dan menghayati kehidupan burung. Lantas lahirlah bidalan, kiasan dan peribahasa mengenai burung. Contohnya, gagak pulang ke benua; patah sayap bertongkat paroh, namun tetap terbang jua; pipit sesama pipit, enggang sesama enggang; jika burung masih terbang, jangan kita pipiskan lada; jangan ikut perangai merak; burung tempua tak akan bersarang rendah; pungguk rindukan bulan dan lain-lainnya.

Berapa ramai agaknya antara kita yang mengetahui maksud di sebalik kiasan, bidalan dan peribahasa ini? Apa pun ini menunjukkan bahawa orang Melayu adalah bangsa yang tinggi ilmunya. Mereka jauhi perangai merak, mereka tidak memepes lada sewaktu burung masih terbang, mereka jauhi perangai pungguk merindukan bulan, mereka berjuang walau patah sayap bertongkat paruh, mereka tetap berusaha untuk terbang jua!!!

Thursday, January 26, 2012

Reaksi kisah burung

Ruhanie Ahmad

Semalam saya poskan kisah burung kerana terkenangkan kampung. Malangnya ada juga sahabat-sahabat yang melencongkan kisah ini kepada realiti kehidupan harian kita mutakhir ini seperti berikut:

x-classmate: Salam. Lain bunyi entri kau Ron hari ini. Kisah burung dan anak kampung. Apa hal? Fed dengan kisah Pak Sheikh dan liwat ke? Ke mual dengan kisah bloggers guna bahasa kesat dan bagai-bagai? Kalau engkau boleh nasihatkan dia orang Ron, tolong lah. Kalau nak up BN baik. Aku orang BN. Tapi kenalah budi bahasa dan ada etika macam cerita burung yang kau tulis ni... Jangan nanti keris makan tuan. Kan susah jadinya...

aiman permatang pauh: Datuk. Ada tak Datuk terpandang Mat Jenin, yang memipiskan lada walaupun burung masih berterbangan? Hari ini ada Datuk. Si Anwar Ibrahim tu, belum pun dapat kuasa dah nak tukar sana tukar sini. Yang tu tak apa. Tapi bila dia nak tukar undang-undang liwat, ini dia nak nahas. Hukumnya, biar dia jadi Mat Jenin, burung terbang dipipiskan lada....

raymond pj: Interesting piece. But isnt there a Malay saying like jangan jadi burung kakak tua or something like that, meaning dont just follow blindly? How do you place those people who followed Anwar blindly? Burung kakak tua Sir?

NURI: Kisah ni menarik Datuk. Tapi saya rasa Datuk nak kaitkan kisah ni dengan kecelaruan politik Anwar waktu ni, tak ada budi bahasa dan ada etika. Betul Datuk?

Anonymous: Komuniti manusia tak boleh jadi macam kisah burung ni Datuk. Dia orang [manusia] ada fikiran, ada otak. Malangnya otak dia orang diganggu nafsu syaitan. Sebab tu dia orang tak kenal amal makruf nahil mungkar walaupun dia orang dakwa dirinya Islamik. Sebab tu dia orang ni macam dah munafik kata-kata dan tindak tanduknya.

Saya tidak akan memberikan reaksi kepada komen-komen di atas. Saya paparkan kisah komuniti burung sebab nostalgia sewaktu membesar di kampung. Kalau ada pihak ingin mengaitkan kisah ini dengan sesiapa sahaja, buatlah. Kalau ada pihak yang ingin mengesan siapa dia Mat Jenin, siapa dia burung kakak tua dan lain-lainnya, pun buatlah.

Kepada saya, sampai hari ini, kicauan burung, di mana-mana sahaja, adalah menyegarkan, menggembirakan, menceriakan, sebab dalam komuniti burung, mereka see no evil, hear no evil, and talk no evil.

Wednesday, January 25, 2012

Sistem komuniti burung

Ruhanie Ahmad

Saya cukup kagum dengan sistem kehidupan komuniti burung – murai sesama murai, merbah sesama merbah, serindit sesama serindit, punai sesama punai, begitu jugalah lain-lainnya --- aman, damai, harmonis.

Mereka tidak komunal. Mereka tidak cauvinis. Mereka tidak radikal. Mereka tidak sombong. Mereka tidak bongkak. Mereka memang ada kepak. Tetapi mereka tidak berkepak. Sistem komuniti mereka cukup tersusun, teratur, sistematik, harmoni, mesra, selesa, gembira dan ceria.

Mereka tidak mempunyai sistem politik. Tetapi, mempunyai sistem kehidupan. Menjelang fajar, mereka riuh berkicauan. Menjelang senja mereka terbang beriringan pulan ke sarang.

Mereka mempunyai sense of time. Sekian waktu mereka bangun. Sekian waktu mereka memburu rezeki. Sekian waktu berdendang sayang bersuka ria.

Mereka juga mempunyai sense of precision. Mereka mendendangkan kicauan masing-masing mengikut irama yang sangat individualistik melodinya, setiap hari dan sesaban hari. Namun melodi itu jadi sangat harmonik apabila mereka mula menyanyi beramai-ramai, sambut menyambut, antara satu sama lainnya.

Mereka mempunyai etika yang kukuh. Tidak pernah sekali seekor burung memijak kepala sahabat atau keluarganya. Tidak pernah sekali seekor burung menenggek di kepala sesama warga komunitinya. Tidak pernah sekali sayap seekor burung akan bertautan dengan lainnya sewaktu mereka terbang berkawan di alam yang luas.

Lantas hari demi hari sepanjang tempoh saya dibesarkan di kampung, saya tetap memerhati dan menghayati sistem kehidupan beraneka spesies burung di persekitaran rumah.

Cukup menyeronokkan dan amat mengasyikkan. Mereka sekadar komuniti burung. Namun mereka mengenal yang baik dan menjauhi yang mungkar

Syukur Alhamdulillah. Inilah manifestasinya kebesaran Allah SWT --- Tuhan Pencipta seluruh alam!!!!

Sunday, January 22, 2012

CONG-XI-FA-CAI

Blog ini mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada seluruh komuniti Cina di Malaysia, khususnya Dr Kuik Cheng Chwee di UKM, Yam Kee Man di Kepong, Raymond Ling di Petaling Jaya, Alex Tan di Ampang, Tan Ching Weng di Cheras, dan Francis Chai di Sibu, Sarawak, serta keluarga masing-masing.

Juga diucapkan selamat tahun baru Cina kepada sahabat-sahabat di Parit Sulong, Yong Peng, Bandar Penggaram, Segamat dan Labis yang pernah bersama saya untuk mengukuhkan politik Barisan Nasional dan pemerintahan negara.

Semoga tahun naga akan membawa manfaat kehidupan yang lebih bahagia dan makmur kepada anda semua.

Tuesday, January 17, 2012

ANWAR DAN GEOPOLITIK ASIA TENGGARA

Ruhanie Ahmad


[Utusan Malaysia 17 Januari 2012]

AMALAN siasah Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak era reformasi hingga ke era pra-901 sentiasa menerima dukungan moral dan simpati segelintir individu serta organisasi di Amerika Syarikat (AS), termasuk mantan Naib Presiden dan seorang pengasas neokonservatif.

Ini menyemarakkan gerakan siasah alternatif yang kurang etika, dangkal susila dan longgar disiplin, di samping menyamakan demokrasi dengan aktiviti jalanan, atas motif peribadi.


ttp://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm

Sunday, January 15, 2012

SIAPAKAH ANWAR IBRAHIM?


Ruhanie Ahmad

Saya mula mengenali Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak tahun 1969. Sewaktu menjadi Pengerusi BBC Parlimen Malaysia, saya berurusan dengan beliau selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap Ketua Whip BN yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal urusan Dewan Rakyat.

Selain mengetahui beliau memang pintar mennyanyikan lagu Hindustan dan beberapa lagi oldies Inggeris, dan mengetahui hubungannya dengan Ikatan Cendikiawan Muslim Indonesia (ICMI) serta World Assembly of Muslim Youth (WAMY), saya kurang arif mengenai network beliau dengan lain-lain individu tertentu di seluruh dunia.

Namun sepotong berita di bawah ini menyebabkan saya merungkai semula persoalan strategik ini --- siapakah Anwar sebenar-benarnya.

KUALA LUMPUR (malaysiaaktif) – Walaupun akhirnya dibebaskan daripada tuduhan meliwat, nampaknya Datuk Seri Anwar Ibrahim terus berusaha untuk mengaitkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan konspirasi kerajaan untuk menjatuhkan selain wujudnya tekanan daripada pihak luar untuk membebaskan beliau (http://malaysiaaktif.my).

Kemudiannya saya tonton semula interview Anwar bersama Stephen Sackur dalam BBC World Hard Talk 10 Mei 2005 menerusi http://www.youtube.com/watch?v=siJWFJOl40o&noredirect=1



Seterusnya, saya terjumpa pula sepotong berita oleh Christopher Badeaux, New Ledger dalam internet --- http://www.anwaraidc.com/?p=11465






Sesudah itu, saya terjumpa pula sesi Anwar bersama Paul Wolfowitz selaku mantan bos Bank Dunia, mantan Timbalan Setiausaha Pertahan Amerika Syarikat (AS) dan salah seorang pengkarya Project for the New American Century (PNAC) yang didukung sepenuhnya oleh kelompok neokonservatif yang pro-Israel dan pro-perang anti-teror di Iraq dan Afghanistan.

http://web.worldbank.org/WBSITE/EXTERNAL/EXTABOUTUS/ORGANIZATION/EXTPRESIDENT2007/EXTPASTPRESIDENTS/EXTOFFICEPRESIDENT/0,,contentMDK:20977460~menuPK:64343277~pagePK:51174171~piPK:64258873~theSitePK:1014541,00.html dan http://malaysiane.ws/al-gore-anwar-ibrahim-paul-wolfowitz/26




Semua data di atas mengembalikan ingatan saya kepada kisah RAND Corporation yang didakwa sebagai satu daripada organisasi jaringan Zionis International “untuk memecah belah umat Islam di berbagai belahan dunia, termasuk di Indonesia” (Dwi Hardianto, Majalah Sabili 3 Februari 2011:32).

Anehnya, majalah Indonesia ini turut menyatakan bahawa RAND Corporation yang ditaja oleh “AS, negara barat, termasuk jaringan Zionis International” (ibid) juga memberikan penghargaan kepada “Anwar Ibrahim” (ibid:33).

Akhir sekali, saya imbas semula kenyataan Naib Presiden Al-Gore pada tahun 1998 yang memuji kelompok pro-Anwar yang menentang kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai “the brave people of Malaysia” (The New York Times 17 November 1998; BBC 18 November 1998).

Seluruh maklumat dan data di atas menjadikan saya terus tertanya-tanya, mengapakah Anwar berkata bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari 2012 yang lalu adalah hasil tekanan “pihak luar.”

Kesimpulannya, siapakah Anwar dalam konteks politik Malaysia, politik AS, dan kepentingan neokonservatif; apakah kaitan Anwar dengan RAND Corporation dan mengapakah organisasi ini memberikan penghargaan kepada beliau; dan mungkinkah “pihak luar” yang dimaksudkannya adalah AS serta Paul Wolfowitz dan rangkaian neokonservatif yang bercita-cita menguasai rantau Asia Tenggara dan Asia Timur di abad ke-21…

Saturday, January 14, 2012

Tuesday, January 10, 2012

CHECKMATE!!!!

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi semalam menyebabkan Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam situasi checkmate.

Keputusan itu menafikan dakwaan Anwar bahawa beliau diheret ke mahkamah kononnya atas konspirasi UMNO dan BN.

Keputusan itu menafikan dakwaan Anwar bahawa para hakim di Malaysia kononnya dikongkong oleh kerajaan BN.

Keputusan itu menafikan dakwaan Anwar bahawa beliau mahu dipenjarakan kononnya sebab BN takut berhadapan dengannya dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

Keputusan itu menyebabkan politik Anwar mulai 9 Januari 2012 kematian punca --- lebih luntur kredibilitinya, kurang masin tutur katanya, makin longlai derap langkahnya.

Namun keputusan itulah juga yang sebenarnya menyebabkan Datuk Seri Najib Tun Razak jadi lebih berwibawa, sementara BN dan UMNO pula jadi lebih perkasa.

Dalam keadaan terjebak seperti ini tidak mungkin Anwar mampu memenuhi kegairahan nafsunya untuk bertakhta di Putrajaya selepas PRU 13….

Friday, January 06, 2012

901: Mentafsir Gurindam Raja Ali Haji

Wahai bangsaku bangsa Melayu
setiap masa mesti bersatu

Jauhi diri dari berseteru
junjunglah hukum dari yang SATU

Setiap detik sepanjang hayat
gurindam kelima jadi azimat

Jika hendak mengenal orang yang berbangsa
lihatlah kepada budi bahasa

Jika hendak mengenal orang yang berbahagia
sangat memelihara yang sia-sia

Jika hendak mengenal orang mulia
lihatlah kepada kelakuan dia

Jika hendak mengenal orang berilmu
bertanya dan belajar tidaklah jemu

Jika hendak mengenal orang yang berakal
di dalam dunia mengambil bekal

Jika hendak mengenal orang yang baik perangai
lihatlah ketika bercampur dengan orang ramai

sewaktu dikau penasaran
alif-ba-ta usah korbankan

jika dikau hendak bahagia
alif-ba-ta jangan diperkosa

kerana dikau bangsa mulia
maruah bangsa mesti dijaga

kerana kita umat berilmu
junjunglah ilmu sekuat kudratmu

kerana dikau bangsa berakal
dendam kesumat bukannya tangkal

kerana Melayu indah perangai
usah bertindak menongkah badai

hujung kata noktah bicara
kanun nusa usah dibinasa

Ruhanie Ahmad

Monday, January 02, 2012

ALFATEHAH BUAT DATUK SALLEH MAJID

KUALA LUMPUR 2 Jan. - Datuk Salleh Majid, bekas Presiden Bursa Malaysia dan pakar ekonomi tersohor meninggal dunia pada jam 10.20 pagi tadi di Hospital Kuala Lumpur akibat penyakit kanser usus dan buah pinggang.

Jenazah Allahyarham akan bawa ke rumah ibu beliau di 1055 Jalan Hj. Mokhtar, Kg. Pasir, Ulu Kelang dan disembahyangkan di Masjid Kg.Pasir, Ulu Kelang. – UTUSAN 02/01/2012 1:01pm

Kami ratusan ribu pelajar Institut Teknologi MARA atau maracong (sebut seperti vietcong), yang mengenali Allahyarham sejak di ITM, kehilangan seorang intelektuil dan nasionalis Melayu yang mengabdikan diri kepada agama, bangsa dan tanah air hingga ke akhir hayatnya.

Semoga keluarga Allahyarham akan sentiasa meredakan beliau pulang kepada Penciptanya, dan moga-moga roh beliau akan sentiasa dicucuri rahmat Allah SWT dan berada di kalangan orang-orang yang soleh.. AL-FATEHAH!!!! – Ruhanie Ahmad

ANTARA SITC DAN UPSI

Ruhanie Ahmad

Sewaktu saya di sekolah rendah, saya dididik oleh dua orang guru lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris @ Sultan Idris Training College (SITC) di Tanjung Malim, Perak.

Hampir setiap hari kawan-kawan dan saya ditanamkan semangat nasionalisme dan patriotisme menerusi sesi menyanyikan lagu-lagu patriotik dan juga sesi bual kisah-kisah kepahlawanan Melayu.

Guru-guru ini hanya berbasikal untuk datang di sekolah. Di musim hujan, mereka bungkus pakaian dengan upih pinang supaya tidak kotor akibat jalan yang lecak.

Mereka sanggup mengayuh basikal kira-kira 15 batu jauhnya dengan berpakaian baju hujan untuk menyelubungi tubuh mereka yang hanya memakai singlet dan seluar pendek.

Apabila saya menuntut di sekolah menengah, ada seorang lagi guru lulusan SITC. Beliau menceritakan kisah intelektuil dan barisan nasionalis lepasan SITC, termasuk Allahyarham Tun Ghafar Baba selaku mantan Timbalan Perdana Menteri.

Saya imbas sejarah ini kerana saya bangga dengan lulusan SITC. Tetapi, saya juga mengimbasnya sebab saya muak dengan gelagat segolongan pelajar yang berdemonstrasi di hadapan UPSI @ SITC sempena tahun baru 2012.

Mereka terlaung dan terlolong bagaikan dirasok polong, kononnya merekalah jaguhan yang berjuang untuk membebaskan mahasiswa dari belenggu AUKU dan sebagainya.

Apabila Polis datang untuk mengawal suasana, mereka memberikan amaran kepada pihak penguasa keamanan negara ini supaya jangan ganggu, kononnya kerana apa yang yang mereka lakukan adalah demi nasib “anak-anak pakcik.”

Apabila Polis bertindak, mereka mencari perlindungan dengan memecah masuk ke sebuah klinik di hadapan UPSI.

Mereka lupa perbuatan itu adalah satu kesalahan yang boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan undang-undang.

Untuk menyaksikan sendiri gelagat dan keangkuhan pelajar-pelajar ini, sila akses link di bawah ini.

http://khairulryezal.blogspot.com/2012/01/video-kerja-gila-kumpulan-smm-menyerang.html


Persoalan saya: apa akan jadi kepada pelajar-pelajar Melayu jika apa yang terpapar dalam video tersebut memanifestasikan kebiadapan mereka di hari-hari mendatang?


Mengapakah mereka memusuhi UMNO? Lupakah mereka UMNO yang dianggotai oleh datuk nenek merekalah yang memerdekakan negara ini dan UMNO mutakhir inilah pula yang berjuang mengisi kemerdekaan tersebut?


Akhir sekali, kalau mereka benar-benar bijak, adakah mereka faham maksud hak-hak asasi manusia yang sebenar-benarnya?


Renungan: Saya pun pernah menjadi setiausaha agung kesatuan pelajar di IPTA. Tetapi saya jauhi radikalisme dan ekstremisme kerana perjuangan yang radikal dan ekstrem tidak membuahkan faedah yang dicita-citakan!