Friday, December 10, 2010

PERSOALAN STRATEGIK MENJELANG PRU13



RUHANIE AHMAD



Banyak pihak meramalkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan diadakan pada tahun 2011 walaupun tempoh Parlimen ke-12 hanya akan berakhir pada Mac 2013. Spekulasi ini mengundang pelbagai persoalan strategik mengenai kesiap-sediaan BN menghadapi PRU berkenaan.

Pertama, dalam keadaan BN mutakhir ini tidak mempunyai majoriti yang mantap di peringkat parlimen apakah faktor-faktor yang menyebabkan BN berhasrat mengadakan PRU13 tahun depan dan cukup yakin untuk memenangi dengan majoriti lebih selesa daripada PRU12?

Kedua, oleh sebab BN tidak menguasai kerajaan negeri Kedah, Pulau Pinang, Selangor, dan Kelantan menerusi PRU12, apakah faktor-faktor yang memungkinkan keputusan sebaliknya jika PRU13 diadakan tahun depan?

Ketiga, oleh kerana PRU adalah proses di mana parti pemerintah menyerahkan kembali kuasanya kepada rakyat bagi membolehkan mereka memutuskan sama ada mandat kekuasaan tersebut akan diserahkan semula atau sebaliknya, adakah BN akan mengadakan PRU13 pada 2011 jika ianya belum yakin mengenai pola sokongan pengundi terhadapnya?


Lantaran itu wajar dipersoalkan seluruh faktor yang mendorong kemungkinan BN mengadakan PRU13 pada 2011 dan juga pola sokongn pengundi kepada BN dalam PRU berkenaan. Persoalan ini perlu membabitkan BN selaku parti pemerintah, komponen BN selaku pengendali PRU13 di peringkat negeri, dan rakyat jelata selaku pengundi.


BN selaku pemerintah

Persoalan di peringkat ini difokuskan kepada aspek berikut: Satu, sudahkah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak mengatasi majoriti sebab kenapa BN gagal mendapatkan kelebihan suara yang besar di peringkat parlimen dan kehilangan kuasa di Kedah, Pulau Pinang, dan Selangor, di samping gagal menawan semula Kelantan daripada PAS, dalam PRU12?

Dua: adakah pelbagai dasar, strategi, dan program pembaharuan sosio-politik dan ekonomi yang diperkenalkan oleh kerajaan BN sejak awal 2009 (1Malaysia rujuk Utusan Malaysia 27 Jun 2009; NKRA rujuk pmr.penerangan.gov.my; dan Model Baru Ekonomi rujuk Bernama 2 Mei 2009) sudah menerima legitimasi penuh daripada segolongan besar rakyat? Atau, adakah keseluruhan transformasi ini masih boleh menyebabkan sokongan majoriti pengundi terhadap BN mungkin terhakis menerusi PRU13?

Tiga: adakah persepsi rakyat terhadap kerajaan BN yang terhakis sewaktu pemerintahan sebelumnya sudah mampu dipulihkan ke tahap yang selesa untuk membolehkan PRU13 diadakan dalam tempoh terdekat ini?

Empat: adakah kecelaruan dalam Pakatan Rakyat (PR) serta kontroversi dan kesembronoan pemimpin tertingginya mutakhir ini menyebabkan majoriti pengundi berasa muak terhadap PR sehingga diterjemahkan dalam bentuk undi yang memihak kepada BN dalam PRU13?

Seluruh persoalan di atas memerlukan kajian teliti, terperinci, dan komprehensif oleh jentera-jentera risikan politik dan sosio-ekonomi kerajaan BN di semua peringkat. Kesemuanya memakan masa untuk memperolehi kesimpulan muktamadnya.

Kerajaan BN akan mendapat gambaran sebenar sokongan pengundi terhadapnya menerusi kajian di atas. Berikutan itu, BN perlu melakukan pelbagai program koreksi sekiranya wujud kelemahan, dan melaksanakan konsolidasi yang lebih rapi jika keputusannya cukup menggalakkan.

Jika kesemua ini diambilkira, adakah logik PRU13 diadakan tidak lama lagi? Sebaliknya, tidakkah ini membayangkan bahawa spekulasi PRU13 diadakan pada 2011 adalah sesuatu yang sukar untuk dirasionalkan sebab-sebabnya?


Komponen BN

Kepimpinan BN sebelum ini meninggalkan legasi negatif kepada sesetengah komponennya, terutama sekali di Malaysia Semenanjung. Lantaran itulah tercetus nada-nada sumbang yang menjejaskan permuafakatan serta wibawa BN. Walaupun ditegur oleh Najib dan kepimpinannya, nada-nada tersebut kelihatan belum reda, malah seolah-olah masih menggelegak dan terus membara.

Manifestasi serta impak perkembangan ini terpancar menerusi keputusan beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) di Terengganu, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, dan Sarawak sepanjang tempoh 2008 hingga 2010.

Hanya PRK di Sabah dan Kelantan baru-baru ini sahaja memberikan hasil positif kepada BN. Ini boleh dijadikan indikasi bahawa segolongan pengundi mungkin sudah muak dengan apa yang sedang berlaku dalam PR. Tetapi, tidakkah indikasi ini perlu dipastikan semasak-masaknya sebelum tergesa-gesa diadakan PRU13?

Pada waktu yang sama, UMNO, MCA, MIC, dan Gerakan selaku komponen terbesar di Malaysia Semenanjung masih dan sedang menjalani fasa transformasi untuk mengukuhkan jenteranya dan memulihkan kredibilitinya supaya sokongan bukan Melayu terhadap BN mampu dipulihkan. Selagi usaha ini masih samar-samar dan belum menunjukkan indikasi positif, adakah wajar PRU13 diadakan pada tahun 2011?

Apa yang diumumkan oleh Najib mengenai kepelbagaian keanggotaan BN di samping usaha mewujudkan Rakan Muda BN dan Kelab Sahabat BN baru-baru ini adalah sebahagian contoh utama mengenainya (rujuk Utusan Malaysia 20 November 2010 dan 27 November 2010).

Selanjutnya, sudahkah UMNO selaku tunggak BN, khususnya di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, dan Kelantan, diperkukuhkan semula organisasi dan komitmen perjuangannya untuk menang dengan cemerlang dalam PRU13?

Najib mengumumkan akan melakukan pembaharuan dalam hiraki kepimpinan UMNO. Ini belum dilaksanakan dan ini juga memerlukan masa untuk mengukuhkan legitimasi hiraki kepimpinan yang baru.

Sementara itu, penangguhan pemilihan kepimpinan UMNO yang diumumkan baru-baru ini tidak boleh dijadikan petanda bahawa PRU13 akan diadakan tidak lama lagi. Langkah itu mungkin untuk membolehkan UMNO melakukan pembaharuan menyeluruh dan besar-besaran.

Dan, oleh kerana tempoh Dewan Undangan Negeri Sarawak dijangka berakhir pada pertengahan 2011, adakah wajar PRU13 dilakukan serentak dengan PRU13? Bukankah lebih praktikal diadakan PRU DUN Sarawak sebelum PRU13?

Mengambilkira seluruh persoalan di atas serta kedudukan PR yang jelas sedang kucar-kacir, adakah benar tahun 2011 merupakan waktu terbaik bagi BN mengadakan PRU13? Tidakkah wujud kebijaksanaan lain untuk membuktikan bahawa seluruh komponen BN masih memerlukan penggemblengan kekuatan dan permuafakatannya menjelang PRU13?


Persepsi pengundi

Persepsi pengundi terhadap pemerintahan BN adalah determinen penting kepada sesuatu PRU atau PRK. Determinen ini sukar untuk diapa-apakan bagi sesuatu PRK. Tetapi, ia boleh diperbaiki jika didapati kurang menyakinkan menjelang sesuatu PRU.

Oleh itu, sesiapa sahaja, berasaskan perkembangan yang wujud mutakhir ini, boleh meramalkan bahawa PRU13 akan diadakan pada 2011. Tetapi, apa faedahnya PRU13 tahun depan jika keputusannya belum dipastikan lebih memihak kepada BN?

Dalam konteks ini, apakah persepsi pengundi terhadap BN dan PR? Adakah kenyataan dan perilaku sembrono PR menguntungkan BN? Adakah segolongan pengundi akan terus menyokong PR walaupun ianya terbukti kucar-kacir di Selangor dan penuh kontroversi di Pulau Pinang?


Banyak perkara perlu dijalankan mengenai hal ini. Sudahkah BN menjalankan kajian menyeluruh terhadap sikap dan persepsi pengundi terhadapnya di peringkat nasional, negeri, kawasan pilihan raya dan kawasan peti undi? Apakah sistem pembacaan serta pemantauan sikap ini sistematik dan efektif?

Maka, terbuktilah di sini bahawa BN memerlukan masa secukupnya untuk mendapatkan kepastian terhadap persoalan di atas kerana proses pembacaan sikap dan pemantauannya adalah rumit dan panjang. Mustahil BN akan mengadakan PRU13 sebelum usaha-usaha ini dibereskan.

Hakikatnya demikian kerana persepsi dan sikap pengundilah yang akan dijadikan asas penggubalan manifesto PRU BN dan juga bagi panduan dalam pemilihan dan penentuan calon-calon BN di peringkat Parlimen dan DUN.

Dalam PRU13, BN tidak boleh menyediakan manifestonya secara sembarangan kerana PRU12 membuktikan “kad laporan BN” (Bernama 21 Februari 2008) yang seolah-olah mempersendakan kebijaksanaan pengundi, merupakan antara faktor yang menigkatkan kemuakan pengundi terhadap BN dalam PRU12 (rujuk kuda-kepang.blogspot.com. 22 Februari 2008).

Contohnya, ‘kad laporan’ BN dalam PRU12 mendakwa prestasi kerajaan BN dalam ekonomi membuahkan perdagangan antarabangsa yang rancak dan menguntungkan. Maksudnya, ekonomi negara ketika itu sihat dan indeks kesejahteraan rakyat berada dalam tahap cukup selesa (Utusan Malaysia 8 Februari 2007, 16 Februari 2007, dan 22 Februari 2008).

Bagaimanapun, keputusan PRU12 membuktikan bahawa dakwaan itu meleset dan pengundi berasa marah dengan ilusi ekonomi yang dibentangkan oleh kerajaan BN kepada mereka.

Demikian juga dengan soal rasuah. Jika dalam manifesto BN bagi PRU11 pada tahun 2004, soal anti-rasuah mendominasikan agenda kerajaan BN, elemen ini langsung tidak disebut dalam ‘kad laporan’ BN bagi PRU12. Ironi ini juga membawa padah kepada BN (rujuk laporan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia 7 November 2003, 12 Disember 2003, 13 Januari 2004, 9 Februari 2004, 13 Februari 2004, 15 Februari 2004, 16 Februari 2004, 18 Februari 2004).

Begitu juga dengan proses memilih dan menentukan calon. Dalam PRU12, dakwaan dan desas-desus bahawa pemilihan dan penentuan calon kononnya hanya dilaksanakan oleh segelintir insan di keliling kepimpinan tertinggi ketika itu, gagal dinafikan untuk mengukuhkan sokongan pengundi terhadap BN (rujuk Kamalamir dalam Malaysia Today 18 Februari 2008).

Pada waktu yang sama, terdapat dakwaan bahawa “ada golongan muda telah membuat percubaan untuk mengambil alih kepimpinan negara secara terurus dan terancang melalui PRU12” tetapi gagal akibat tsunami politik yang melanda negara (rujuk Utusan Malaysia 11.3.2008).

Seluruh persoalan dan hujah ini membuktikan bahawa persepsi dan sikap pengundi perlu diurus dan diperbaiki menjelang sesuatu PRU. Proses pemilihan calon juga wajar dilaksanakan secara telus bagi memastikan konsensus kepimpinan semua peringkat BN.


Kesimpulan

Oleh kerana tempoh Parlimen ke-12 hanya akan berakhir pada MAC 2013, mengapakah BN diramalkan akan mengadakan PRU13 pada tahun 2011?

Persoalan-persoalan strategik terhadap BN selaku parti pemerintah, komponen BN selaku pelaksana PRU13, dan rakyat selaku pengundi bagi PRU13, menggambarkan bahawa BN masih memerlukan masa bagi memantapkan kekuatannya menjelang PRU13.

Lantas, logikkah untuk meramalkan bahawa PRU13 akan diadakan tahun depan? Jika ramalan itu tepat, apakah peluang BN dalam PRU berkenaan?

2 comments:

spycatcher03 said...

A.kum Datuk, lama tak berintraksi!!!!I fully agree with yr posting. It is very relevant and nonetheless ,BN leadership shld take heed of yr observations. Saya ingin menyimpul pemerhatian Datuk, dari perspektif lebih realistik jika ingin menangani isu strrategik!Risikan!!!!Sesuatu pelan strategik jarang membuahkan kejayaan tanpa bersandar kepada keupayaan risikan yang jitu. Kesemua persoalan yang Datuk lontarkan memerlukan keupayaan risikan par-excellant untuk mencari jawapan yang tepat! Untuk membuktikan apa jua masalh yang ujud memerlukan suatu kajian risikan yang mendalam bagi membolihkan para strategist memrancang tindakan'remedial'atau 'follow-up' yang tepat dan berkesan. Pada hemat saya BN/UMNO , obviously,lack in this sphere!!!Tindakan sombrono tanpa bersandar kepada risikan mengundah padah!! What say you, Datuk ?

kudakepang said...

Dear Spycatcher

Salam takzim. Memang dah lama kita tak berinteraksi. I fully agree with you sir, perisikan adalah amat diperlukan untuk verify ketepatan maklumat bagi operasi psyops atau psywar.. Terima kasih dan selamat berjuang. --- Ruhanie Ahmad