Monday, June 19, 2006


MUNGKIN TOYOL BOLEH HAPUSKAN RASUAH...

Kerajaan Malaysia digesa menubuhkan satu agensi perisikan khas untuk membanteras rasuah. Pegawai-pegawai agensi berkenaan perlu diberikan licence to kill atau lesen untuk membunuh para perasuah. Cadangan di atas dibuat kerana rasuah di negara ini dikatakan sudah menjadi barah. Jika tidak dibanteras secara tegas, ia boleh menggagalkan rancangan pembangunan yang dilaksanakan demi kesejahteraan, kemakmuran dan kegemilangan rakyat.

Cadangan di atas agak radikal. Ia diketengahkan oleh Datuk Mohamad Said Yusof, Ahli Parlimen Jasin, Melaka - seorang wakil rakyat yang sering mengketengahkan idea segar dan menarik.

Sebenarnya, apa yang disuarakan oleh Datuk Mohamad Said seperti di atas adalah satu cetusan jiwa yang mencerminkan tahap kekecewaan masyarakat Malaysia terhadap keberkesanan usaha-usaha pembasmian rasuah. Kalau tidak, mana mungkin Ahli Parlimen parti pemerintah membuat cadangan sedemikian?

Saya tidak pasti sejauh mana cadangan Datuk Mohamad Said akan diterima oleh kerajaan. Saya juga tidak dapat menjangka bagaimanakah Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan menyediakan jawapan kepada cadangan tersebut.

Tetapi, seandainya cadangan Datuk Mohamad Said hanya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri, saya syorkan beliau mendesak seluruh pengamal rasuah di Malaysia memelihara toyol.
Mungkin toyol boleh menghapuskan rasuah. Ini kerana toyol sanggup memberikan wang yang berguni-guni kepada pemeliharanya, tanpa menuntut sebarang balasan.
Dengan cara ini, tuan punya toyol tidaklah terpaksa jadi lembu korban atau kuda kepang kepada toyol berkenaan. Ini bermakna pemilik toyol itu tidaklah terpaksa jadi perasuah par excellence .

Saya ketengahkan syor ini kepada Datuk Mohamad Said berdasarkan sebuah kisah yang diceritakan oleh seorang penduduk kampung saya sewaktu saya masih remaja.
Penduduk kampung saya itu menunaikan Haji di Mekah pada 1970. Pada suatu malam dia terserempak dengan seorang saudagar di satu sudut sunyi di Masjidil Haram. Saudagar itu mengeluarkan kata-kata berikut:

“Ente mau kaya, pasanglah toyol. Ente mau senang, simpanlah toyol. Bila ada toyol, hari-hari ente boleh dapat wang. Ini toyol angkat wang kasi ente. Ente tak payah kerja. Hari-hari banyak wang masuk ente punya poket.”

Saudagar itu cuba mempengaruhi penduduk kampong saya itu untuk membeli seekor toyol. Bagaimanapun, dia enggan membelinya. Katanya, perbuatan memelihara toyol dilaknati Allah SWT.

Saya bawa kisah di atas untuk memberi petua kepada seluruh kaki rasuah di Malaysia akan cara-cara mendapatkan wang berguni-guni tanpa melakukan rasuah.

Sesiapa sahaja boleh berkata, cadangan di atas cadangan bahlul. Bahlul tak bahlul, ia mungkin boleh selamatkan kaki rasuah daripada menerima rasuah. Kaki rasuah yang pelihara toyol tentu akan mempunyai wang yang melimpah ruah.

Jadi, kalau boleh dapat wang daripada toyol, apalah bodoh sangat kaki rasuah nak makan rasuah? Apa susah-susah cari lembu untuk dapatkan duit rasuah? Apa pasal tak pergi Masjidil Haram dan beli toyol yang boleh mengaut duit bersompet-sompet ?

Bagaimanapun, memang benar cadangan di atas adalah cadangan bahlul. Saya ketengahkan cadangan ini kerana amalan rasuah juga amalan si tolol dan si bahlul.

Tetapi, jika cadangan kaki rasuah memelihara toyol susah hendak diterima, macam mana kalau ditubuhkan Bursa Rasuah Nasional Berhad (BRNB)? Pilihlah di mana ibu pejabat BRNB. Kalau hendak glamour, di KLCC. Kalau tidak, di Putrajaya.

Jadikanlah BRNB sebagai pusat transaksi wang rasuah negara. Sesiapa yang mahu berurusan dengan seseorang berpengaruh secara rasuah, perlulah mendaftar dengan BRNB. Ini akan memudahkan pihak pemberi rasuah untuk mendapatkan kadar wang rasuah yang perlu dibayar untuk mendapatkan sesuatu perkhidmatan di sektor mana sekalipun di negara ini.
Pada waktu yang sama, BRNB juga akan menyediakan kadar bayaran rasuah mengikut taraf individu yang akan menerimanya, dari serendah-rendahnya hingga ke setinggi-tingginya, dari bilis hinggalah naga.

Dengan adanya kadar rasuah sedemikian, mudahlah agensi percukaian menentukan kadar cukai yang perlu dikutip daripada penerima rasuah dan berapa banyak pula cukai yang akan dikecualikan kepada pemberi rasuah.
Dengan cara ini, mudah-mudahanlah terhapus segala bentuk dakwa dakwi dan desas-desus, kononnya badan percukaian juga terpalit dengan rasuah.
Begitu juga dengan BPR. Dengan adanya BRNB, mudahlah BPR menjalankan tugas. Tak payahlah susah-susah, kerja lintang pukang, siang malam, tapi hasilnya tak sampai ke mana.
Hingga ke peringkat ini, saya yakin para pembaca akan berkata: “Ini cadangan gila. Idea menyuruh kaki rasuah pelihara toyol adalah idea gila. Cadangan mewujudkan BRNB juga cadangan gila.”
Saya setuju sepenuhnya kerana apa yang saya suarakan seperti di atas, dan apa yang telah dicadangkan oleh Datuk Mohamad Said di Dewan Rakyat, adalah cetusan jiwa yang mencerminkan rasa kecewa yang amat sangat..

Kegilaan bentuk cadangan di atas mencerminkan bahawa soal rasuah tidak boleh dibanteras menerusi pendekatan yang sentiasa akademik, administratif dan terlalu mengikut buku.
Ini kerana pengamal rasuah – pemberi dan penerimanya – adalah kelompok manusia yang bijak. Mereka tahu undang-undang. Setelah mendalami selok-belok undang-undang, mereka pun jadi pakar untuk melanggar undang-undang berkenaan.
Dan, oleh kerana rasuah adalah jenayah, cara membanterasnya juga perlu menggunakan pendekatan jenayah. Mungkin, itulah antara sebabnya Datuk Mohamad Said minta pegawai secret service yang membasmi rasuah diberikan lesen untuk membunuh!
Tidak ada gunanya kita belanja wang berjuta-juta untuk mencuci, memberos dan mengcloroxkan pemikiran bakal-bakal penerima rasuah atau pemberi rasuah. Demi wang ringgit, kaki rasuah tetap sanggup berbuat apa sahaja.
Jenis manusia rasuah macam ini tidak peduli akan pendapat reformer China, Wang An Shih, (A.D. 102¬1086), bahawa rasuah wujud kerana adanya undang-undang yang tidak tegas dan manusia yang buruk laku.

Mereka juga tidak hiraukan pandangan Sarjana Islam seperti Abdul Rahman Ibn Khaldun, (11.D. 1332-1406), yang berkata, rasuah wujud bila golongan pemimpin terlalu didorong oleh nafsu mengejar kemewahan tanpa batasan.
Sebaliknya, kaki rasuah amat arif bahawa rasuah berlaku bila seseorang individu didorong nafsu untuk melanggar undang-undang, peraturan, etika, disiplin, norma atau budaya, untuk mendapatkan manfaat dan faedah diri, tanpa pendulikan perbuatan itu merosakkan masyarakat, bangsa, agama dan negaranya. Pendek kata, biarpun sarjana tempatan seperti Dr. Syed Hussein Al-Attas, menyatakan dalam bukunya The Sosiology of Corruption , rasuah adalah wabak yang menimbulkan implikasi buruk kepada akhlak seseorang individu, amalan rasuah tetap berterusan.

Biarpun cerdik pandai mengatakan, rasuah boleh menjejaskan pentadbiran kerajaan serta mengancam keselamatan negara, amalan rasuah tetap terus berlaku.

Walaupun Dr. Syed Hussein berkata, melalui rasuah, seseorang individu boleh dipengaruhi untuk melakukan sesuatu tindakan mengikut apa yang dikehendaki oleh si pemberi rasuah, rasuah masih lagi terjadi. Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi, menyatakan dalam puisi Mencari Damai Abadi bahawa “Aku cari bukan harta bertimbun-timbun, untuk hidup kaya. Aku cari bukan wang berjuta-juta, untuk hidup bergaya. Aku cari bukan kawan-kawan, untuk hidup sekadar berfoya-foya. Aku cari mana dia Al-Ghazali. Aku cari mana dia Al-Shafie. Kita bongkar rahsia kitab suci, cari pedoman. Kita bongkar rahsia sunnah Nabi, cari panduan. Aku hidup kerana dia Rabbi, dialah teman, dialah wali, dia mencukupi. Aku hidup bererti, menikmati damai abadi,” rasuah nampaknya tetap berleluasa.

Jadi, macam mana hendak menghapuskan rasuah? Bukankah rasuah ada tawaran dan permintaannya. Bukankah rasuah itu satu perbuatan yang berasaskan kepada prinsip suka sama suka? Bukankah rasuah dilakukan secara sulit dan berahsia?

Dalam keadaan seperti ini, macam mana rasuah hendak dihapuskan? Gunakan secret service yang mempunyai lesen untuk membunuh? Wujudkan BRNB? Galakkan kaki rasuah memelihara toyol?

1 comment:

A Voice said...

Syabas Dato kerana memulakan Blog ini.

"Barbarian is at the gate" dan sepatutnya kita lebih berhati-hati.

Menantu dan budak2 mentah yang mengelilingi YDP PM bukannya memikirkan pasal mempertahankan negara dari arus globalisasi. Tetapi mereka sudah terlena dengan pujuk rayunya dan bukan saja membuka gate pagar, malah menjemput masuk rumah.

Nak masuk 50 tahun kita merdeka, kita seolah-olah rela dijajah kembali.

Memanda menteri yang mengelilingi boleh hilang fikiran dan takut menentang si kitul dan YDP PM yang sudah ter .....zzzz....