Wednesday, June 28, 2006

SIAPA BERI MANDAT
NAZRI PERANGI MAHATHIR?

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, cari pasal sekali lagi. Kali ini, dia tuduh Tun Dr. Mahathir Mohamad kononnya bersekongkol dengan pembangkang. Kali ini, dia minta Tun Dr. Mahathir keluar daripada UMNO. Kali ini, dia suruh Tun Dr. Mahathir, kalau mahu terus mengkritik kerajaan, sertailah parti pembangkang.

Waduh-waduh! Hebat betul Datuk Seri Nazri. Kenyataan akhbarnya pada 26 Jun 2006, seolah-olah memberikan mesej kepada seluruh rakyat Malaysia, dia benar-benar seorang anak jantan. Kenyataan itu juga cuba membuktikan seolah-olah dia telah mengangkat martabat dirinya sendiri sebagai manusia yang paling hebat, paling berani, paling lantang, paling tajam lidahnya, dan paling layak sekali untuk memerangi Tun Dr. Mahathir.

Sebab itulah agaknya Berita Harian 27 Jun 2006 melaporkan Nazri isytihar perang terhadap Dr Mahathir. Sebab itulah juga agaknya Utusan Malaysia pada hari yang sama melaporkan Nazri kesal Dr. Mahathir terus kritik kerajaan.

Apa pun, syabas. Kita semua ucapkan syabas kerana bukan calang-calang orang berani menentang Tun Dr. Mahathir. Hanya individu yang tidak pondan seperti Datuk Seri Nazri sahaja yang berani berbuat demikian.

Harap-harap ramai lagi jantan seperti Datuk Seri Nazri muncul dalam Kabint Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak lama lagi. Kemunculan ini pastinya menjadikan peperangan terhadap Tun Dr. Mahathir yang diisytiharkan oleh Datuk Seri Nazri (bukan oleh Datuk Seri Abdullah atau Datuk Seri Najib Tun Razak) jadi lebih hangat dan lebih berkesan.

Tetapi, walau pun Datuk Seri Nazri hebat dan berani, beberapa pihak kini mempersoalkan kejantanan, kreabiliti, integriti, dan ketulusan hatinya di dalam siasah negara. Sesetengah pihak juga mempertikaikan kehalusan tutur katanya dan keluhuran budi bahasanya.

Persoalan mengenai kreabiliti dan integriti, serta pertikaian terhadap tutur kata dan budi bahasa ini kian rancak diperkatakan oleh rakyat jelata Malaysia sejak Datuk Seri Nazri mengisytiharkan dia mahu memerangi Tun Dr. Mahathir.

Contohnya, belum sempat tulisan saya memuji-muji Datuk Seri Nazri seperti di atas, disiarkan oleh Agendadaily, saya telah menerima dua SMS dan lima panggilan telefon yang marah-marah kepada Datuk Seri Nazri.

Penghantar pesanan ringkas dan pemanggil telefon itu masing-masing marahkah Datuk Seri Nazri kerana mengisytiharkan perang terhadap Tun Dr. Mahathir. Kesemuanya mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sebagai manusia yang tidak bertimbang rasa, apatah lagi mengenang budi.

SMS pertama saya terima pada 3.30 petang, 27 Jun 2006. Mesejnya seperti berikut: “Bila orang tua tegur yang muda, itu nasihat. Bila orang muda tegur yang tua, itu adalah biadap. Tapi, (nota: ayat sebenar dipadam kerana sensitif dan prejudis terhadap Perdana Menteri) pada hari ini, bila orang tua tegur yang muda, itulah biadap. Bila orang muda tegur yang tua, itu adalah budi bahasa, budaya kita. Fikir-fikirkanlah, gila tak gilanya sekarang.”

Pengirim pesanan ringkas di atas bukan ahli UMNO biasa. Dia dikenali ramai. Pernah jadi Setiausaha UMNO Bahagian. Aktif dalam UMNO sejak tahun 60-an. Dia juga antara beratus-ratus hadirin di majlis dialog anjuran gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dan Rakan Media Alternatif di Kelab Century Paradise, Taman Melawati, Sabtu, 24 Jun 2006.

Pada kira-kira jam 11.30 pagi, 27 Jun 2006, seorang sahabat saya melahirkan rasa marahnya kepada Datuk Seri Naztri. Dia menelefon saya daripada Petaling Jaya. Dengan suara manis, lemah lembut, tetapi marah, dia bertanya kepada saya mengenai Tun Dr. Mahathir. Dia ingin tahu, apakah hak Datuk Seri Nazri untuk mengisytiharkan perang terhadap Tun Dr. Mahathir?

Sahabat saya ini adalah seorang Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di zaman Allahyarham Tun Razak Hussein. Beliau orang kuat Allahyarham Datuk Harun Idris. Beliau juga penyokong setia Tun Musa Hitam. Dia kata, dia kesal dengan kenyataan Datuk Seri Nazri. Katanya, siapakah yang berikan mandat supaya Datuk Seri Nazri seolah-olah mewakili UMNO, rakyat Malaysia, dan Perdana Menteri, untuk menyerang Tun Dr. Mahathir?

Pada kira-kira jam 5.30 petang, seorang lagi sahabat menelefon saya daripada Kota Bahru, Kelantan. Dia juga amat marah kepada Datuk Seri Nazri. Dengan loghat Kelantannya yang pekat, sahabat saya itu meluahkan kemarahannya dengan penuh emosi. Katanya, adalah tidak sopan untuk sesiapa berkasar terhadap Tun Dr. Mahathir.

Sahabat saya yang dari Kota Bharu ini juga bukan calang-calang orang. Dia seorang pesara Kerajaan. Dia pernah menyandang jawatan tinggi dalam sebuah kementerian yang rapat dengan rakyat akar umbi. Kini, dia jadi salah seorang penggerak Persatuan Veteran UMNO Kelantan.

Pada kira-kira jam 8.15 malam, salah seorang sahabat saya dari Seri Medan, dalam Parlimen Parit Sulong, Johor, pula mengirim SMS seperti berikut: “Kenapa pihak kerajaan yang ada sekarang macam takut je Bang? Betulkah Tun Dr. Mahathir buat kenyataan yang Kabinet yang ada ikut telunjuk menantu PM?”

Pengirim pesanan ringkas di atas adalah seorang lulusan universiti tempatan. Dia memilih jadi usahawan tani. Dia juga pernah aktif dalam Pergerakan Pemuda UMNO. Kini, dia berdiam diri. Katanya, dia kebingungan dengan seluruh perkembangan politik UMNO di bawah kepimpinan mutakhir. Katanya lagi, Datuk Seri Nazri tidak perlu nak isytiharkan apa-apa terhadap Tun Dr. Mahathir.

Pada kira-kira jam 8.30 malam seorang lagi sahabat daripada Kluang, Johor, menelefon saya. Dia amat bersimpati kepada Tun Dr. Mahathir. Katanya, adakah salah untuk seseorang menyuarakan kebenaran? Katanya, adakah Datuk Seri Nazri mahu menghebahkan kepada seluruh rakyat Malaysia, bahawa sesiapa yang hendak mengkritik kerajaan mutakhir ini mestilah jadi anggota parti pembangkang?

Sahabat saya itu salah seorang anggota UMNO. Dia masih muda. Tetapi, sejak di universiti lagi dia sudah aktif dalam UMNO. Dia bertanya kepada saya, tidakkah Datuk Seri Nazri sedar bahawa kenyataannya mengenai Tun Dr. Mahathir dalam akhbar-akhbar 27 Jun 2006 menyebabkan banyak pihak menyampah dan meluat?

Pada jam 11.15 pagi, 28 Jun 2006, seorang sahabat menelefon saya daripada Kedah. Dia bertemu banyak pihak di Business Class Lounge MAS di KLIA pada 27 Jun 2006. Katanya, rata-rata yang beliau kenali dan temui di lounge berkenaan dikatakan mentertawakan Datuk Seri Nazri.

Sahabat saya ini bekas Setiausaha Parlimen. Dia juga berpengaruh di dalam UMNO. Katanya, pihak-pihak yang beliau temui juga menyatakan bahawa apa yang dilakukan oleh Datuk Seri Nazri, sebenarnya menambahkan simpati rakyat jelata Malaysia kepada Tun Dr. Mahathir.

Pada kira-kira 3.15 petang, 28 Jun 2006, seorang sahabat yang mendakwa sebagai saudara kepada Perdana Menteri, menelefon saya. Dia dalam ketakutan kerana gambarnya bersalaman dengan Tun Dr. Mahathir disiarkan oleh The New Straits Times 27 Jun 2006. Dia marahkan Datuk Seri Nazri kerana memerangi Tun Dr. ,Mahathir.

Sahabat saya yang ini mendakwa dirinya sebagai orang kuat Perdana Menteri. Dia juga hadir di majlis di mana Tun Dr. Mahathir berucap pada Sabtu 24 Jun 2006. Di majlis itu, saya lihat dia berwajah merah padam. Saya tidak tahu mengapa. Mungkin kerana kata-kata Tun Dr. Mahathir sangat-sangat dihayati olehnya.

Di majlis berkenaan, sebenarnya ramai lagi orang yang mendakwa dirinya sebagai orang Perdana Menteri dan orang Khairy hadir bersama. Jadi, tidak adillah kalau ada pihak cuba-cuba menganggap seluruh hadirin sebagai kelompok anti-kerajaan!

Demikianlah intisari dua pesanan ringkas dan lima panggilan telefon yang saya terima pada 27 dan 28 Jun 2006. Kesemuanya berkaitan dengan kenyataan Datuk Seri Nazri dalam Berita Harian dan Utusan Malaysia pada Selasa 27 Jun 2006. Saya tidak memberikan apa-apa raksi kepada seluruhnya.

Bagaimanapun, kesemua intisari yang saya paparkan di atas mencerminkan rasa kurang hormatnya rakyat biasa terhadap Dauk Seri Nazri. Mereka marah dan kesal terhadap kenyataan Datuk Seri Nazri. Mereka kesal dan marah juga kerana Datuk Seri Nazri seolah-olah dibiarkan sahaja tanpa teguran oleh pemimpin-pemimpin besar negara.

Jadi, benarkah Datuk Seri Nazri boleh disifatkan sebagai anak jantan yang menganggap dirinya sebagai insan yang paling layak sekali untuk berperang dengan Tun Dr. Mahathir? Siapakah agaknya yang akan menjawab soalan: siapakah yang memberikan mandat kepada Datuk Nazri untuk berperang dengan Tun Dr. Mahathir? Dan, wajarkah Datuk Seri Nazri menonjolkan dirinya seolah-olah dia bertindak untuk memerangi Tun Dr. Mahathir bagi pihak Perdana Menteri Malaysia, Kerajaan Malaysia, dan rakyat Malaysia seluruhnya?

Bagaimanapun, sebagai salah seorang jemputan di majlis yang dihadiri oleh Tun Dr. Mahathir, pada Sabtu 24 Jun 2006, saya terpanggil untuk membetulkan beberapa kesilapan fakta, sebagaimana yang ditegaskan oleh Datuk Seri Nazri, dalam sidang akhbarnya di lobi Parlimen Malaysia, pada Isnin 26 Jun 2006.

Fakta pertama: Majlis berkenaan adalah anjuran gabungan NGO dan Rakan Media Alternatif. Ini termasuklah pelbagai akhbar berasaskan internet, bloggers dan juga akhbar-akhbar kecil. Para jemputan ke majlis itu termasuklah segolongan kecil anggota dan pemimpin parti pembangkang. Bagaimanapun, ramai juga ahli dan pemimpin UMNO yang turut hadir. Beberapa pesara kakitangan kerajaan juga ada.

Jadi, adakah NGO dan pengamal media alternatif boleh dikategorikan sebagai pembangkang? Kalau NGO dan pengamal media altrnatif bukan pembangkang, maka adalah tidak tepat untuk mana-mana pihak mendakwa Tun Dr. Mahathir yang berucap di majlis berkenaan sebagai “bersekongkol dengan pembangkang.”

Fakta kedua: Dalam majlis itu, Tun Dr. Mahathir tidak mempersenda-sendakan Islam Hadhari. Beliau hanya menjawab satu soalan secara bertulis mengenai Islam Hadhari, yang diterimanya daripada hadirin. Dalam jawapannya, Tun Dr. Mahathir mengatakan, dirinya adalah fundementalis Islam. Maksudnya, dia sentiasa berpegang teguh pada Quran dan Hadis. Jadi, tidak adillah kalau Tun Dr. Mahathir dituduh sebagai telah “memperlekehkan Islam Hadhari.” (Kalau masih tidak puas hati, layarilah lamanweb kmu.net. Lamanweb ini memberikan transkrip ucapan Tun Dr. Mahathir yang sepenuhnya)

Fakta ketiga: Dalam majlis tersebut, Tun Dr. Mahathir tidak langsung menyebut pasal Datuk Seri Najib. Jadi, mengapakah perlu ada pihak mendakwa kononnya Tun Dr. Mahathir marah kepada Datuk Seri Najib kerana setia kepada Datuk Seri Abdullah?

Apa yang saya tegaskan di atas bukan atas suruhan Tun Dr. Mahathir. Sebaliknya, adalah atas dorongan hati saya sendiri. Kesemuanya adalah kebenaran. Begitu pun saya insaf akan kata-kata Datuk A. Kadir Jasin yang duduk di sebelah saya pada majlis berkenaan. Di akhir ucapan Tun Dr. Mahathir, Datuk Kadir menyatakan kpada saya sesuatu yang memeranjatkan seperti berikut:

“You percaya tak? Pada saat dan ketika ini juga pihak-pihak yang memusuhi Tun Dr. Mahathir tentu sedang menyediakan serangan balas terhadap apa yang Tun Dr. Mahathir kata dan huraikan sekejap tadi?”

Teringatkan kata-kata itu, saya pun tergerak untuk bertanyakan kepada diri saya sendiri: adakah kenyataan akhbar Datuk Seri Nazri, di lobi Parlimen Malaysia, pada Isnin 26 Jun 2006, satu daripada serangan balas yang dimaksudkan oleh Datuk Kadir?

Bagaimanapun, sebagai penutup, elok juga kita sama-sama renungkan kisah Teguran Yang Berfaedah yang membabitkan Hassan Al-Basri, seorang sufi besar, pada awal sejarah Islam. Kisah yang terkandung dalam Ensiklopedia PARA WALI adalah seperti berikut:

Pada suatu hari, Hassan Al-Basri berada di tebing Sungai Dajlah Irak. Tiba-tiba dia terlihat seorang lelaki sedang duduk-duduk bersama seorang perempuan. Di hadapan mereka pula ada sebotol arak.

“Masya Allah, jahat betul orang itu. Kalaulah dia berkeadaan sepertiku adalah lebih baik,” kata Hassan Al-Basri dalam hatinya.

Sebentar kemudian, datang sebuah perahu belayar di sungai itu. Tanpa diketahui apa sebabnya, tiba-tiba perahu tersebut karam sedikit demi sedikit. Orang yang ada di dalamnya nyaris mati lemas. Maka, lelaki yang bersama orang perempuan tadi langsung terjun ke sungai untuk menyelamatkan para penumpang yang jumlahnya ada tujuh orang. Enam orang berjaya diselamatkan sementara yang seorang lagi mati lemas.

“Hai, jika engkau merasa lebih mulia dari saya, sila selamatkan yang seorang itu semata-mata kerana Allah. Kalau kamu berhasil, bererti engkau menyelamatkan nyawa seorang, sedangkan aku telah menyelamatkan enam nyawa,” kata lelaki berkenaan kepada Hassan Al-Basri.

Akan tetapi, Hassan Al-Basri tidak dapat menyelamatkan yang seorang tersebut. Maka, berkatalah lelaki itu kepada Hassan Al-Basri seperti berikut:

“Ketahuilah tuan, bahawa perempuan yang duduk-duduk bersama saya itu adalah ibuku sendiri. Sedangkan sebotol arak yang kau sangkakan itu sebenarnya air biasa. Hanya botolnya saja bekas botol arak. Ketahuilah sesungguhnya apa yang kamu saksikan itu hanyalah untuk menguji engkau sahaja.”

Mendengar itu, Hassan Al-Basri terkejut, jatuh terduduk, lalu berkata kepada lelaki tersebut seperti berikut:

“Wahai hamba Allah! Sebagaimana engkau telah menyelamatkan enam jiwa, maka selamatkanlah jiwaku ini dari sifat membanggakan diri dan kesombongan.”

“Semoga Allah mengabulkan keinginanmu,” jawab lelaki itu.

Semenjak peristiwa itu, Hassan Al-Basri, seorang seorang sufi besar di zamannya, sentiasa merendah diri dan menganggap semua orang lebih baik dari dirinya. Bahkan pada suatu hari, ketika melihat seekor anjing, dia berkata: “Ya Allah, demi anjing yang baik ini, terimalah aku sebagai hamba Mu.”

Renungkan dan fahamilah iktibar daripada kisah di atas. Moga-moga semua pihak dapat mengambil iktibar daripadanya demi agama, bangsa, dan negara Malaysia yang tercinta. Mudah-mudahan hilang gelap, timbul terang, langit tidak terus bermendung, mentari juga kembali ceria seperti sedia kala. Insya Allah!






Tuesday, June 20, 2006


MICHIAVELLI, PEMIDATO
BRENDON & PENGAMPU


Kita sering mendengar istilah pencacai, balaci, juak-juak, gurkha, langau, pengampu dan kroni. Akhir-akhir ini, ada pula istilah baru yang sinonim dengan semua istilah di atas. Istilah ini dikatakan lahir daripada perasaan meluat dan jelek segolongan rakyat terhadap karenah segelintir manusia yang sedang berada di sekeliling sesetengah pembesar negara. Istilahnya adalah keranis. Ia diistilahkah begitu kerana sesetengah manusia terbabit, kononnya berlagak seperti kera, monyet atau beruk. Mereka diberi istilah keranis kerana karenah dan perilaku mereka seperti kera kena belacan atau seperti beruk mendapat bunga. Jadi, pencacai, balaci, juak-juak, pengampu, langau, kroni dan keranis ini adalah kelompok manusia dalam kategori yang sama. Mereka adalah golongan manusia yang sering berada di sekeliling seseorang pemimpin, pembesar, pemerintah atau pun raja semata-mata untuk mencapai matlamat dan cita-cita peribadinya sendiri.

Demikianlah hakikatnya, di mana sahaja di dunia ini. Di sekeliling Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush, ada manusia kategori ini. Di sekeliling Perdana Menteri Britain, Tony Blair, ada manusia jenis ini. Di sekeliling mana-mana pembesar, pemimpin, pemerintah atau raja, memang sering terdapat manusia jenis ini.

Di samping itu, ada pelbagai lagi jenis manusia di sekeliling seseorang pemimpin, pemerintah, pembesar atau pun raja. Ada penasihat, ada perasuah, ada pengkhianat, ada pemfitnah, ada pengampu. Para penasihat selalunya mempunyai jawatan rasmi. Hubungan seseorang penasihat dengan seseorang pembesar, pemerintah, pemimpin atau raja selalunya juga secara rasmi. Bagaimanapun, ada juga kumpulan perasuah, pengkhianat dan pemfitnah yang kadang-kadang bertindak sebagai penasihat. Kumpulan ini agak sukar dikesan aktivitinya secara rasmi. Hubungan mereka dengan seseorang pembesar, pemerintah, pemimpin atau raja juga lazimnya agak casual dan tidak rasmi. Mereka bergerak secara discreet dan berhati-hati. Tetapi, kumpulan manusia yang dikategorikan sebagai pengampu memang amat mudah untuk dikesan oleh sesiapa. Manusia jenis ini selalunya bermulut manis, penuh dengan pujian-pujian, penuh dengan berita baik, penuh dengan ikrar dan janji, penuh dengan jiwa pengabdian dan kesetiaan, serta penuh dengan kepura-puraan dan kepalsuan. Golongan ini selalunya mendampingi seseorang pemimpin, pembesar, pemerintah, atau raja, dengan niat serta dorongan yang peribadi dan sempit bentuknya.

Seseorang penasihat yang berjawatan rasmi mungkin sukar untuk jadi seorang perasuah, pengkhianat, pemfitnah atau pengampu. Tetapi, seseorang perasuah, pengkhianat, pemfitnah dan pengampu mungkin boleh dengan mudahnya memainkan peranan sebagai seorang penasihat kepada seseorang pembesar, pemerintah, pemimpin atau raja. Seseorang pengampu juga boleh jadi seorang pengkhianat, pemfitnah, dan perasuah. Dia boleh memainkan pelbagai jenis peranan dajjal pada bila-bila masa, semata-mata untuk menyenangkan hati pemimpin, pembesar, pemerintah dan raja yang jadi sasarannya. Dia juga boleh berperanan sedemikian semata-mata untuk mencapai matlamat dan manfaat peribadi yang menguntungkan.

Oleh itu, kumpulan pengampu adalah antara kumpulan manusia talam pelbagai muka dan manusia berjiwa kotor yang boleh menyebabkan kejatuhan seseorang pembesar, pemimpin, pemerintah atau pun raja. Sebab itulah Niccolo Michiavelli berpendapat melalui bukunya berjodol Penguasa, bahawa seseorang pembesar, pemimpin, pemerintah atau raja mestilah bertindak secara bijaksana. Menurut Michiavelli, seseorang pembesar, pemimpin, pemerintah dan raja perlu menyingkirkan para pengampu daripada memenuhi pejabat atau istana mereka. Kalau tidak, mereka akan dikongkong dan dikuasai oleh para pengampu berkenaan. Jika ini terjadi, pastinya mereka tidak akan dihormati oleh rakyat jelatanya sendiri.

Muhammad Yasin Mazhar pula menyatakan dalam bukunya Organisasi Kerajaan Pimpinan Rasullah, bahawa penyair dan pemidato diberikan tempat yang penting dan tinggi dalam struktur sosial dan politik orang-orang Arab. Ini kerana penyair dan pemidato adalah penyimpan hasrat hati rakyat. Mereka boleh mencipta, mengolah, dan membentuk buah fikiran masyarakat umum. Mereka boleh mencetuskan peperangan. Mereka juga boleh mendorong pencapaian sesuatu perdamaian. Penyair dan pemidato melakukan ini semua menerusi pengaruh lidah masing-masing. Hakikatnya demikian kerana penyair atau pemidato mampu menaikkan semangat pendengarnya. Mereka juga mampu meniupkan angin peperangan dengan amat mudah. Walaupun Rasulullah S.A.W tidak pernah membenarkan syair-syair yang melampau dan keterlaluan, Baginda tidak lupa menghargai pengaruh dan jasa penyair. Tetapi, syair di zaman Rasullah S.A.W hanya boleh digunakan untuk maksud-maksud yang terpuji sahaja.

Kedua-dua buku di atas ditulis berasaskan kepada dua tamadun yang berbeza. Machiavelli (1469-1527) yang masyhur dengan The Prince yang diterjemahkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai Penguasa, menulis berasaskan kepada tamadun Roman dan agama Kristian. Dia menitikberatkan cara-cara mendapatkan keunggulan politik dan keunggulan kuasa. Keprihatinan Michiavelli supaya seseorang pembesar, pemerintah, pemimpin atau raja membersihkan jemaah perjuangannya daripada elemen pengampu adalah antara prinsip asas untuk membolehkan seseorang pembesar, pemimpin, pemerintah atau raja untuk mewujudkan keunggulan politik dan keunggulan kuasa di sesebuah negara.

Buku Organisasi Kerajaan Pimpinan Rasullah pula ditulis berasaskan tamadun Islam dan Arab. Buku ini menjuruskan kepada soal-soal kerajaan, kekuasaan dan pemerintahan di zaman Rasullah S.A.W. Menerusi buku ini, Muhammad Yasin Mazhar, memfokus kepada pentingnya penyair dan pemidato kepada pembentukan sesuatu iklim politik dan pendapat umum, serta penggemblengan sokongan rakyat jelata kepada pemerintahnya.

Saya berpendapat, intisari daripada kedua-dua buku di atas penting dan sesuai untuk dijadikan bahan renungan dan rujukan bersama. Khususnya sebelum kita berbicara mengenai isu The New Straits Times (NST) dan Brendon Priera. Kisah selanjutnya adalah seperti berikut.

Pada Ahad 23 April 2006, Wartawan Negara, Tan Sri A. Samad Ismail, (Pak Samad), merayakan harijadinya yang ke-82. Ramai anak didik, sahabat, saudara mara dan jiran tetangga Pak Samad yang diundang ke kediamannya di Seksyen 16, Petaling Jaya. Antara hadirin pada malam itu adalah Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin, Peguam Negera, Tan Sri Abdul Ghani Patail, pejuang kemerdekaan, Tan Sri Mohd. Khir Johari, Tan Sri Mazlan Noordin, Datuk A. Samad Said, Datuk A. Kadir Jasin, Datuk Mohd.Nazri Abdullah, Datuk Mohd. Khalid Mohamad, Datuk Rejal Arbee, Datuk Ahmad Talib, Datuk P. C. Shivadas, Datuk Ng Poh Tip, Ho Sai Kong, Sutong Omar RS, Dinsman, Datuk Sharifah Aini, M. Nasir, dan saya sendiri bersama isteri. Pendek kata, majoriti hadirin adalah orang suratkhabar dan penulis.

Maka, masing-masing pun merongkai beberapa kisah di sebalik berita. Ada kisah lucu, ada kisah sedih, ada kisah panas. Maka, timbullah kisah Tunku Abdul Rahman, Presiden Sukarno, Adam Malik, Tun Razak Hussein dan lain-lainnya. Segala kisah itu tidak pernah dilaporkan oleh mana-mana akhbar. Tetapi, keseluruh kisah itu juga masih meniti dari bibir ke bibir bila ada sessi bekas wartawan bertemu bekas wartawan.

Dalam suasana gembira, penuh hilai dan tawa itu, tiba-tiba terpacul soalan ini: you kenal tak siapa dia Brendon Preira? Soalan itu ditujukan kepada saya. Pihak yang bertanya adalah salah seorang wartawan veteran yang duduk semeja dengan saya. Wajahnya serius. Dia seolah-olah benar-benar mahu tahu, siapakah Brendon Preira.

Jadi, saya pun bertanya balik kepada si pembawa soalan tadi. Kata saya, apa hal dengan Brendon Preira? Kata wartawan veteran berkenaan, dia tidak tau. Tetapi, kebelakangan ini, katanya, dia terdengar macam-macam cerita pasal Brendon Priera. Contohnya, kata wartawan veteran itu, ada beberapa anak didik Pak Samad baru sahaja mengucapkan selamat tinggal kepada NST. Mereka bersara menerusi Voluntary Seperation Scheme atau VSS. Desas-desus di pasaran mengatakan exodus anak-anak didik Pak Samad ini, walaupun menerusi VSS, dipercayai ada kaitannya dengan kehadiran Brendon Preira di NST pada hari ini.

Jawapan daripada wartawan veteran itu menyebabkan saya terdorong untuk mengenali siapakah Brendon Preira. Saya juga mahu tahu, apa kena mengenanya kisah ramai wartawan kanan NST berhenti menerusi VSS, dengan Brendon Preira? Siapakah sebenarnya Brendon Preira? Apa dosa dia kepada kumpulan yang meninggalkan NST menerusi VSS? Atau, apakah dosa kumpulan VSS ini kepada Brendon Preira?

Seorang anak didik Pak Samad yang masih bertugas di NST terdengar pertanyaan saya seperti di atas. Dengan sukarela dia pun memberitahu kami semua, Brendon Preira adalah bossnya di NST. Oh, kata saya, Brendon Preira boss kamu di NST. Cakaplah. Apa pasal tak cakap awal-awal yang Brendon Preira adalah bos kamu di NST? Saya ingatkan Nuraina anak Pak Samad yang jadi boss kamu di NST. Nuraina tu senior. Dia masuk kerja di NST pada tahun 70-an. Paling kurang, Nuraina dah mendedikasikan hampir tiga puluh tahun kesetiaannya kepada NST.

Saya hairan macam mana Nuraina Samad boleh jadi kumpulan yang malang di NST. Dia dah kerja dengan NST hampir 30 tahun, tapi tak dapat jadi boss. Brendon Preira pula tergolong kepada pihak yang bernasib baik. Kata orang, dia mulai kerja dengan NST pada 2004, tapi dapat jadi boss. Jadi, atas perkiraan apa, Nuraina Samad tak boleh jadi boss? Atas perkiraan apa, Brendon Preira dapat jadi boss?

Bagaimanapun, apa lagi yang boleh kita buat? Memang NST akhbar milik UMNO. Tapi, kalau UMNO sendiri pun mungkin sudah merestui Brendon Priera menjadi boss di NST, kita kenalah hormati keputusan tersebut. Kalau kita tidak mahu hormat, siapa pun tidak boleh mengubah keputusan itu?

Pada esok harinya, saya pun menghubungi seorang sahabat lama di NST. Rupa-rupanya, sahabat itu juga memilih untuk meninggalkan NST menerusi VSS. Saya bertanya kepadanya, siapakah Brendon Preira. Katanya, Brendon Preira adalah Group Editor NST. Dia ni dulu kerja di mana, tanya saya. Kata sahabat saya, dia tidak pasti. Tapi, dengar-dengarnya, Brendon Preira pernah jadi wakil The Straits Times Singapura di Kuala Lumpur. Dia memulakan khidmatnya di NST pada Februari 2004. Umurnya dalam lingkungan lewat 30-an atau awal 40-an. Dia dikatakan sahabat karib kepada Datuk Kalimullah.

Saya juga bertanya kepada sahabat berkenaan, apakah pengalaman Brendon Preira sebelum menjadi Group Editor NST? Sahabat saya tidak pasti mengenai pengalaman Brendon Priera. Dia tidak pasti kalau Brendon Preira pernah jadi editor di mana-mana akhbar sebelum ini. Dia tidak pasti kalau Brendon Preira pernah berkhidmat sebagai editor dengan mana-mana akhbar di seberang laut. Kalau begitu, kata saya, hebatlah manusia bernama Brendon Preira ini. Nasib dia amat baik. Tup-tup, dia naik jadi Group Editor NST, satu suratkhabar paling berprestij di Malaysia. Syabas Brendon Preira! Syabas!

Tapi, kata sahabat saya, ada juga cerita-cerita yang tidak menyeronokkan di sebalik kehadiran Brendon Preira di NST hari ini. [Nota: Tulisan ini disiapkan sebelum Kelab Senator Parlimn Malaysia mendedahkan isu iklan bir dalam NST, sebelah menyebelah dengan cerita pasal sambutan UMNO 60 Tahun. Kisah penyiaran kartun mengenai Rasullah dalam NST juga tidak disorot.] Kata sahabat saya, entah betul entah tidak, banyak jiwa yang tercalar, dada yang terguris, dan kepala yang terpijak bila Brendon Preira dilantik ke jawatan Group Editor NST. Ini kerana Brendon Preira baru sahaja dua tahun berkhidmat dengan NST. Ramai lagi wartawan yang telah berkhidmat hampir 30 tahun dengan NST atau akhbar sekutunya, tidak langsung dipertimbangkan mengisi jawatan berkenaan.

Kenapa? Kerana mereka tidak ada know-how? Atau, kerana mereka tidak ada know-who? Atau, adakah mereka tidak dipertimbangkan ke jawatan Group Editor NST bukan kerana mereka tidak layak, tetapi kerana mereka tidak jadi pencacai atau pengampu? Siapakah yang perlu diampu? Pastinya mana-mana pembesar NST yang makan ampu. Sebab itulah Michiavelli membayangkan melalui bukunya The Prince atau Penguasa, bahawa sesebuah organisasi mestilah dibersihkan daripada seluruh kelompok pengampu. Kalau tidak, parah kesan dan implikasinya.

Maka, oleh kerana beberapa wartawan kanan NST terasa tersindir, terasa tersingkir, dan terasa terpinggir, oleh perlantikan Brendon Preira sebagai Group Editor NST, mereka pun kecewa, mereka pun demoralised, mereka pun dalam keadaan terumbang-ambing, dan mereka pun terima sahajalah bila diberi tawaran VSS. Mereka dikatakan telah mengadu hal kepada beberapa pihak yang dipercayai rapat dengan Perdana Menteri dan Presiden UMNO Malaysia. Tetapi, aduan itu, diprcayai hanya tinggal aduan. Kesian!

Tetapi, walau apa sekalipun yang telah berlaku, hakikatnya di NST pada hari ini adalah: majoriti yang menerima VSS adalah wartawan Melayu yang berkelulusan tinggi di bidang kewartawanan. Hampir kesemuanya anak didik Pak Samad. Kesemuanya telah membuktikan kesetiaan mereka yang tidak berbelah bagi kepada NST. Kesemuanya adalah berpengalaman. Kesemuanya telah menyumbang kepada kemajuan NST menerusi bidang pengkhususan masing-masing.

Pada waktu yang sama, hakikat semasa di NST pada hari ini adalah: sebilangan besar wartawan yang kini berada di beberapa kedudukan prominen dalam NST adalah bukan Melayu. Ada dua wartawan veteran yang dikatakan telah diterbangkan pulang daripada Hong Kong, kini jadi editor di NST. Ada seorang wartawan yang telah berhenti daripada NST berpuluh tahun dulu, kini dikatakan telah dilantik menjadi editor di NST. Ada wartawan junior juga dikatakan mendapat kedudukan tinggi di NST.

Kalau ada mana-mana pihak curiga atau meragui hakikat ini, gunakanlah kuasa yang ada dan mintalah pengurusan NST memberikan senarai penuh para wartawan dan editornya di semua peringkat pada awal 2004. Kemudian, bandingkanlah senarai itu dengan senarai para wartawan dan editornya pada tahun ini. Dari perbandingan senarai berkenaan, pastinya akan dikesan keseluruhan missing link terhadap apa yang sedang berlaku di NST sekarang. Daripada senarai itu juga, pastinya akan terjawab mengapa sipolan bin polan berhenti, terpinggir atau tersingkir. Dan, mungkin juga terjawab soalan berapa ramaikah wartawan serta editor Melayu yang memilih VSS dan berapa ramai pula wartawan dan editor bukan Melayu yang dapat kedudukan istimewa dalam NST mutakhir ini.

Memang apa yang berlaku di NST adalah hal dalaman. Tetapi, NST bukannya organisasi sebarangan. NST adalah organisasi milik UMNO. NST dan UMNO mempunyai sejarahnya yang tersendiri. NST adalah organisasi yang mempunyai roots politik. NST adalah manifestasi kepada perjuangan Tun Razak Hussein mulai 1972. NST adalah manifestasi kepada perjuangan Datuk Harun Idris. NST adalah menifestasi perjuangan Tan Sri Syed Jaffar Albar. NST adalah manifestasi perjuangan Datuk Haji Suhaimi Kamaruddin. NST adalah manifestasi perjuangan ratusan nasionalis Melayu yang mahukan suratkhabar itu dikuasai oleh majoriti anak-anak pribumi yang berkelayakan di bidang kewartawanan dan pengurusan korporat.

Oleh itu, orang-orang UMNO perlu bimbang terhadap apa yang sedang berlaku di NST hari ini. Kalau semuanya benar belaka, ini adalah proses memutarbalikkan seluruh pencapaian dan kejayaan kepada seluruh perjuangan di atas. Ini bermakna perjuangan Tun Razak, Datuk Harun, Tan Sri Syed Jaffar, Datuk Suhaimi dan semua nasionalis Melayu, kini sedang diputar balikkan ke zaman awal 70-an. Siapakah yang bertanggungjawab memutar balikkan perjuangan ini? Adakah UMNO prihatin dengan perkembangan seperti ini?

Sebagai seorang yang pernah bertugas dengan kumpulan NST dari 1972 hingga 1982, pastinya saya telah mengikuti dan menginsafi perjuangan UMNO dalam mewujudkan sebuah syarikat tempatan untuk menjadi wadah kepada NST, The Malay Mail dan Berita Harian pada 1973. Sebab itulah saya sentiasa terkenangkan perjuangan Tun Razak. Sebab itulah saya sentiasa terkenangkan perjuangan Datuk Harun selaku Ketua Pergrakan Pemuda UMNO Malaysia, yang tidak jemu-jemu mendesak supaya kapitalis asing dilarang menguasai mana-mana akhbar di Malaysia. Saya juga teringatkan desakan bertalu-talu daripada Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pimpinan Tan Sri Syed Jaffar Albar dan Datuk Suhaimi. Kedua-dua tokoh ini mendesak supaya jawatan-jawatan sensitif dalam semua akhbar yang dikuasai UMNO, termasuk NST, mestilah terdiri daripada individu yang jelas asal usulnya, dan juga ikhlas hati perutnya.

Kepada Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ketika itu, soal asal usul yang jelas, dan soal hati perut yang ikhlas ini adalah penting. Ia sangat penting untuk mempastikan tidak ada infiltrasi atau penyusupan oleh mana-mana elemen anti-nasional ke dalam oraganisasi media milik UMNO pada tahun 70-an. Jadi, kalaulah apa yang berlaku dalam NST hari ini betul, pra-syarat seperti ini nampaknya sudah tidak lagi relevan di abad ke-21.

Oleh itu, saya harap, sahabat-sahabat saya yang masih berkhidmat di NST dan BH, sampaikanlah salam hormat saya kepada Brendon Preira. Tolonglah tanya kepadanya, sama ada beliau insaf akan perjuangan Tun Razak, Datuk Harun, Tan Sri Syed Jaffar Albar dan Datuk Suhaimi dalam mewujud dan memartabatkan NST pada tahun 70-an? Tanyalah juga kepadanya, sama ada Brendon Preira insaf akan perjuangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan perjuangan lain-lain nasionalis Melayu di sebalik sejarah kewujudan NST di Malaysia pada awal 70-an? Kalau Brendon Preira insaf, dengan takzimnya kita ucapkan syabas kepadanya. Kalau dia langsung tidak tahu akan hal-hal seperti ini, maka dengan takzimnya juga, kita ucapkan syabas kepada pihak yang merestui perlantikan Brendon Preira sebagai Group Editor NST. Sekurang-kurangnya ahli-ahli UMNO di seluruh negara akan berpeluang memperolehi penjelasan daripada pihak yang merestui perlantikan Brendon Priera.

Oleh itu, ingatlah. NST dan UMNO mempunyai sejarahnya sendiri. Sesiapa yang hendak bermain tinta dalam NST, janganlah main tunjal-tunjal kepala pemimpin UMNO seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad, atau pun mana-mana pemimpin UMNO sekalipun. Tun Dr. Mahathir adalah negarawan ulung. Tun Dr. Mahathir adalah antara negarawan yang turut menyumbangkan perjuangannya kepada perkembangan awal NST. Saya tahu akan hakikat ini. Sahabat-sahabat saya, khususnya Alias Rahim, Shafie Nor dan Tengku Mohamad Taib juga tahu akan hal ini. Kami tahu tentang keprihatinan Tun Dr. Mahathir terhadap akhbar ulung yang dimilikki oleh UMNO ini.

Begitulah panjang lebarnya kisah mengenai Brendon Preira. Oleh itu, sesuailah kalau kita merujuk kepada muka surat 79, buku Penguasa, tulisan Niccolo Michiavelli. Di bawah kepala kecil Para Pengampu Harus Disingkirkan, antara lainnya Michiavelli menyatakan perkara berikut:

Seseorang raja hendaklah bijaksana sewaktu memilih para menterinya. Bila raja bertindak bijaksana, para pengampu tidak akan memenuhi istananya. Cara terbaik untuk seseorang raja membebaskan dirinya daripada golongan pengampu adalah dengan memberitahu rakyat jelatanya bahawa dia mengharapkan maklum balas yang sebenar-benarnya.

Seseorang raja yang pintar akan memilih orang-orang bijaksana untuk mengurus pemerintahan negara. Orang-orang ini pula hendaklah berani menyatakan kebenaran kepadanya. Raja yang tidak melaksanakan kebijaksanaan tentu akan dihasut oleh para pengampu atau orang yang selalu berubah pandangan kerana menerima nasihat yang saling bertentangan. Kalau ini berlaku, raja itu sendiri tidak akan dihormati.

Saya sedut pendapat di atas daripada tulisan Michiavelli supaya pihak-pihak yang diamanahkan dengan kuasa rakyat di Malaysia dapat bertindak secara bijaksana pada setiap masa. Pada waktu yang sama, supaya mereka tidak dipengaruhi atau dikuasai oleh kelompok pengampu. Sebagaimana telah saya katakan, sesetengah sahabat saya yang masih berkhidmat dengan NST, mengesyakki bahawa apa yang berlaku di akhbar itu hari ini, mungkin hasil amalan bodekisme, kronisme, dan keranisme. Adakah dakwaan seperti ini benar? Siasatlah sendiri!

Seterusnya, saya juga akan meminjam tulisan Muhammad Yasin Mazhar dalam buku Organisasi Kerajaan Pimpinan Rasulullah, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 1993. Sila rujuk kepada muka surat 242, 243, 244, 245, dan bacalah kisah Penyair dan Pemidato (Shu’ara’ wa Khutaba’). Oleh kerana kisah ini membabitkan perjuangan Baginda Rasulullah SAW, maka izinkanlah saya menceduk sepenuhnya hal ini untuk renungan bersama, seperti berikut:

Kepentingan dan ketinggian tempat para penyair dan pemidato dalam struktur sosial dan politik orang-orang Arab telah diterangkan dengan jelas oleh seorang cendekiawan moden. Mereka diberi jolokan sebagai "penyimpan hasrat hati rakyat".

Oleh kerana orang-orang Arab banyak menggunakan percakapan, mereka terlalu berbangga dengan bahasa. Penyair dan pemidato mereka mendapat penghormatan dan kedudukan yang tinggi dalam masyarakat mereka. Mereka boleh mencipta, mengolah, dan membentuk buah fikiran. Banyak contoh terdapat dalam sastera Arab dan sejarahnya yang menunjukkan bahawa peperangan dan perdamaian sekalipun berada dalam pengaruh lidah mereka. Seorang penyair atau pemidato yang boleh menaikkan semangat pendengarnya mampu meniupkan angin peperangan dengan amat mudah.

Walaupun Rasulullah (S.A.W.) tidak pernah membenarkan syair-syair yang melampau atau keterlaluan, Baginda tidak lupa menghargai pengaruh dan jasa penyair. Syair hanya boleh digunakan untuk maksud-maksud yang terpuji sahaja.

Saya memetik tulisan di atas untuk membuktikan betapa pentingnya peranan penyair dan pemidato di zaman pemerintahan Rasulullah SAW. Dalam zaman mutakhir, kumpulan penyair dan pemidato ini mungkin dijelmakan semula sebagai kumpulan penulis, wartawan dan editor. Oleh itu, semua pihak perlulah berhati-hati dalam melantik kepimpinan akhbar, khususnya yang dikuasai oleh UMNO. Ini penting supaya peneraju akhbar milik UMNO adalah insan yang berjiwa UMNO. Kepimpinan akhbar milik UMNO mesti hormat kepada pemimpin UMNO. Kepimpinan akhbar milik UMNO mesti tahu sejarah perjuangan UMNO. Kepimpinan akhbar milik UMNO mesti rela berperanan mengukuhkan UMNO dan negara pada hari ini.

Kepimpinan akhbar-akhbar terbabit hendaklah insaf bahawa setiap patah perkataan yang mereka tulis di dalam akhbar milik UMNO mestilah mencerminkan aspirasi nasional. Janganlah akhbar-akhbar itu diheret, diseret dan digunakan sebagai wadah perjuangan peribadi seseorang individu tertentu sahaja. Janganlah akhbar itu juga diheret, diseret dan dijadikan wadah publisiti kepada manusia-manusia tertentu sahaja. Insaflah, media milik UMNO adalah milik anggota UMNO di semua peringkat.

Pada waktu yang sama, cuba-cubalah bayangkan kalau kumpulan penyair dan pemidato di zaman Nabi seakan-akan sama fungsinya dengan pemimpin media massa seperti Brendon Preira di NST. Cuba bayangkan apa akan jadi kalau di antara penyair dan pemidato yang sangat dipercayai oleh UMNO adalah seorang insan bernama Brendon Preira. Cuba bayangkan kalau-kalau di belakang Brendon Preira berdiri pula satu individu lain yang lebih berkuasa daripadanya. Ayuh. Bayangkanlah.

Saya tidak mengatakan yang Brendon Preira tidak boleh jadi penyair atau pemidato UMNO. Tetapi, cuba bayangkan, bolehkah S. H. Alattas atau Pak Habib, umpamanya, menjadi penyair dan pemidato kepada MIC? S. H. Alattas menerima pengiktirafan daripada MIC, tak apa juga. Itu pasal UMNO asyik pandang serong kepada beliau. Tapi, tentu haru-biru kalau S. H. Alattas jadi penyair atau pemidato MIC. Layak, memang dia layak. Tapi, takut-takut habis disumpitnya pihak-pihak yang tidak disukainya dalam parti berkenaan!

Oleh itu, kalau nak lantik kumpulan penyair dan pemidato, pilihlah dengan sebaik-baiknya. Dan, kalaulah NST itu memang milik UMNO, dosakah kalau anak Melayu atau anak orang UMNO yang jadi Group Editornya? Moga-moga selepas ini nasib para penyair dan pemidato yang berkhidmat dengan mana-mana akhbar milik UMNO akan dijaga dan dipelihara secara adil dan saksama.

Monday, June 19, 2006


SAKIT ?...JOM KE ' RUMAH SEMBELIH

'Hari ini wujud macam-macam jenis perniagaan. Ada perniagaan yang sah. Ada perniagaan yang haram. Ada perniagaan untuk memuaskan nafsu seks. Ada perniagaan mengenai orang separuh mati. Ada juga perniagaan mengenai orang yang sudah mati. Pendek kata, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Siapa sanggup pecah royong, tentu dia dapat sagunya.

Perniagaan mengenai orang separuh mati, khususnya perniagaan di bidang perkhidmatan kesihatan dan perubatan pakar, nampaknya mendatangkan pulangan yang amat lumayan.

Golongan yang kaya raya dan takut mati sanggup membayar kos yang melangit tingginya untuk menyelamatkan diri mereka daripada ajal dan maut. Lantas, mereka pun membayar apa sahaja kos yang ditentukan oleh pengoperator pusat perubatan pakar.

Mereka sanggup membayar puluhan ribu ringgit untuk sesuatu perkhidmatan perubatan di sesebuah pusat perubatan pakar. Malah, mereka juga sanggup membayar ratusan ribu ringgit asalkan peluang survivalnya dikatakan melebihi 65 peratus..

Golongan ini yakin, kononnya, lagi mahal kos perubatan pakar yang mereka bayar, lagi tinggilah status sosial mereka di mata mayarakat. Maksudnya, mereka akan rasa lebih hebat kalau membayar ratusan ribu ringgit walaupun untuk suatu pembedahan kecil.

Tetapi, bukan orang kaya sahaja yang didatangi maut, yang sering jatuh sakit teruk, atau sering mengidap penyakit kronik yang memerlukan rawatan pakar. Penyakit kronik juga menemui golongan bergaji rendah serta insan papa kedana.

Hospital pakar, nampaknya seolah-olah tidak mempunyai belas ehsan langsung kepada kumpulan manusia sebegini. Mereka akan dikenakan caj perkhidmatan yang sama dengan golongan kaya raya.

Ada duit, ada perkhidmatan pakar. Tak ada wang, nyawa biarkan sahaja melayang. Kaya atau miskin sama sahaja bayarannya. Kaya miskin, nampaknya seolah-olaqh tiada ada perbezaan langsung kepada pengoperator pusat perubatan pakar.

Jadi, nak buat macam mana? Si miskin dan si papa kedana pun terpaksalah meminta-minta. Mereka minta sana, mereka minta sini. Mereka minta belas kesian rakyat jelata di seluruh negara. Sementara mereka meminta-minta, penyakit yang dihidapnya jadi semakin serius.

Pihak media pun sering mensensasikan rayuan dan permintaan sedekah seperti ini. Kisah hidup keluarga pengidap penyakit kronik yang memerlukan khidmat pakar di siarkan di kaca TV.

Sebab itulah hampir setiap hari ada sahaja berita mengenai rakyat Malaysia memerlukan bantuan berpuluh atau beratus ribu ringgit untuk membiayai pembedahan sesuatu penyakit kronik. Kadang-kadang, oleh kerana terlalu terdesak, ada juga pihak yang memerlukan bantuan terpaksa bertikam lidah secara terbuka dengan pihak kerajaan menerusi media.

Perbuatan meminta-minta seperti ini sudah sampai ke satu peringkat di mana masyarakat umum seolah-olah jadi jelak dan meluat. Lepas mereka menderma kepada seorang pesakit, seorang lagi pesakit muncul meminta bantuan.

Jadi, macam mana agaknya masyarakat umum hendak melayani rayuan demi rayuan sebegini? Rakyat jelata pun ada komitmen masing-masing. Mana larat mereka asyik hendak menderma, menderma dan menderma pada setiap masa.

Anehnya, tidak ada sesiapa pun, termasuk mana-mana media, yang mahu bersuara dan bertanya, mengapakah pembedahan untuk sesuatu penyakit kronik di negara ini memakan kos berpuluh atau beratus ribu ringgit?

Kenapakah tidak ada pihak yang bertanya, bagaimanakah kos rawatan itu ditentukan? Kenapa tidak ada pihak yang meminta pihak pengoperator hospital pakar supaya memberikan pecahan kepada komponen harga yang ditetapkan?

Mungkin ada pihak akan berkata, ini bukan tugas rakyat jelata untuk mempersoalkannya. Tetapi, mengapakah pihak media yang sering menjuarai rayuan untuk kes-kes kronik ini juga tidak mahu bertanya, apakah yang menyebabkan pembedahan sesuatu penyakit kronik mencecah berpuluh atau betratus ribu ringgit harganya?

Pihak media mungkin mengatakan tugas ini pun bukan tanggungjawabnya. Baiklah. Kalau begitu, kenapakah kerajaan juga mendiamkan diri? Mengapakah kerajaan pun seolah-olah merestui amalan yang boleh disifatkan sebagai penindasan ini?

Kementerian Kesihatan bagaimana? Bukankah kementerian ini sepatutnya bertindak proaktif untuk mencari penyelesaian mengenai penindasan seperti ini? Tidakkah kementerian ini perlu mengkaji, apakah yang sebenarnya menyebabkan pembedahan penyakit kronik di sesebuah hospital pakar di negara ini jadi super mahal?

Mustahil kalau kementerian berkenaan tidak menyedari masalah ini. Tak masuk akal kalau kementerian ini insaf akan masalah tersebut, tetapi mendiamkan diri dan terus berpeluk tubuh.

Kementerian Kesihatan bertindak demikian mungkin kerana tindakan ini menjadikannya tidak popular dengan pengoperator pusat-pusat perubatan pakar. Tetapi, bukankah Kementerian Kesihatan wujud demi rakyat jelata?

Oleh itu, sewajarnyalah Kementerian Kesihatan pastikan, apakah sebenarnya yang menyebabkan pembedahan untuk penyakit kronik jadi terlalu mahal? Adakah mahal kerana kepakaran di bidang itu amat terhad? Adakah mahal kerana kos ubat yang sukar diperolehi? Adakah mahal kerana fasiliti dan kelengkapan pembedahan yang luarbiasa? Adakah mahal akibat mentaliti pengusaha hospital pakar yang bertindak seperti lintah darat?

Ada pihak mendakwa, kos rawatan itu masih murah kalau dibandingkan dengan rawatan di luar negara. Jawapan seperti ini tidak adil. Mengapakah demi kesejahteraan rakyat Malaysia, perlu dibuat perbandingan dengan perkhidmatan di negara asing?

Jadi, setelah dirongkai seluruh sebab dan puncanya, Kementerian Kesihatan hendaklah mengambil keputusan mengenai struktur harga perkhidmatan dan rawatan perubatan pakar di semua hospital di negara ini.

Pada waktu yang sama, kerajaan juga hendaklah memperkenalkan insentif-insentif tertentu supaya pengoperator pusat perubatan pakar tidak mengalami kerugian apabila mereka memberikan perkhidmatan kepada golongan miskin dan papa kedana dengan harga yang bersubsidi.

Umpamanya, wajar difikirkan insentif cukai bagi pengoperator yang sudi melaksanakan sesuatu perkhidmatan pakar kepada golongan miskin dengan harga paling minima.

Pendek kata, kerajaan perlu memikirkan sesuatu secara bijaksana. Pendek kata, kerajaan hendaklah mengketengahkan strategi yang memberikan manfaat kepada rakyat dan pembekal perkhidmatan pakar terbabit. Kata orang putih, kerajaan mestilah mewujudkan a win-win pricing strategy dalam hal ini.

Seluruh tindakan di atas penting supaya tidak ada diskriminasi dalam soal pemberian atau memperolehi perkhidmatan serta rawatan perubatan pakar kepada seluruh rakyat Malaysia yang memerlukannya.

Tindakan tersebut juga penting supaya semua pusat perkhidmatan dan perubatan pakar di Malaysia jadi mesra rakyat sepanjang hayat.

Kalau tidak, siapakah yang akan membela nasib rakyat miskin yang memerlukan perkhidmatan pakar yang terlalu mahal harganya? Kalau tidak, bilakah rakyat yang terbabit akan terus meminta-minta sepanjang masa sementara menunggu ajal mautnya?

Jika masalah di atas gagal di atasi, tergamakkah mana-mana pihak mengeluarkan arahan supaya rakyat jelata yang papa kedana dan sangat memerlukan khidmat perubatan pakar yang mahal, pergilah sahajalah ke rumah sembelih?

Kalau arahan mencari rawatan di rumah sembelih dikatakan zalim, bagaimana kalau semua pesakit kronik yang miskin dan sangat-sangat memerlukan rawatan pakar di negara ini dicadangkan menemui bomoh, pawang atau dukun di kampung halaman masing-masing?

Tetapi, memandangkan Kerajaan Malaysia adalah satu-satunya yang prihatin terhadap kesejahteraan rakyat, saya yakin isu yang saya utarakan menerusi tulisan ini akan dihalusi secara ikhlas dan jujur sehingga menghasilkan suatu keputusan, dasar dan tindakan yang positif.

Kalau tidak, seluruh anggota keluarga lelaki kepada semua pesakit kronik, pakat-pakatlah bawa tempurung atau baldi untuk mengemis di Jalan Chow Kit.

Rasa-rasanya, kalau semua orang itu mengemis hingga janggut mereka mencecah lantai pun mereka belum berjaya memperolehi wang yang diperlukan untuk sesuatu harga perkhidmtan perubatan pakar yang tinggi kadarnya di negara ini.

MUNGKIN TOYOL BOLEH HAPUSKAN RASUAH...

Kerajaan Malaysia digesa menubuhkan satu agensi perisikan khas untuk membanteras rasuah. Pegawai-pegawai agensi berkenaan perlu diberikan licence to kill atau lesen untuk membunuh para perasuah. Cadangan di atas dibuat kerana rasuah di negara ini dikatakan sudah menjadi barah. Jika tidak dibanteras secara tegas, ia boleh menggagalkan rancangan pembangunan yang dilaksanakan demi kesejahteraan, kemakmuran dan kegemilangan rakyat.

Cadangan di atas agak radikal. Ia diketengahkan oleh Datuk Mohamad Said Yusof, Ahli Parlimen Jasin, Melaka - seorang wakil rakyat yang sering mengketengahkan idea segar dan menarik.

Sebenarnya, apa yang disuarakan oleh Datuk Mohamad Said seperti di atas adalah satu cetusan jiwa yang mencerminkan tahap kekecewaan masyarakat Malaysia terhadap keberkesanan usaha-usaha pembasmian rasuah. Kalau tidak, mana mungkin Ahli Parlimen parti pemerintah membuat cadangan sedemikian?

Saya tidak pasti sejauh mana cadangan Datuk Mohamad Said akan diterima oleh kerajaan. Saya juga tidak dapat menjangka bagaimanakah Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan menyediakan jawapan kepada cadangan tersebut.

Tetapi, seandainya cadangan Datuk Mohamad Said hanya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri, saya syorkan beliau mendesak seluruh pengamal rasuah di Malaysia memelihara toyol.
Mungkin toyol boleh menghapuskan rasuah. Ini kerana toyol sanggup memberikan wang yang berguni-guni kepada pemeliharanya, tanpa menuntut sebarang balasan.
Dengan cara ini, tuan punya toyol tidaklah terpaksa jadi lembu korban atau kuda kepang kepada toyol berkenaan. Ini bermakna pemilik toyol itu tidaklah terpaksa jadi perasuah par excellence .

Saya ketengahkan syor ini kepada Datuk Mohamad Said berdasarkan sebuah kisah yang diceritakan oleh seorang penduduk kampung saya sewaktu saya masih remaja.
Penduduk kampung saya itu menunaikan Haji di Mekah pada 1970. Pada suatu malam dia terserempak dengan seorang saudagar di satu sudut sunyi di Masjidil Haram. Saudagar itu mengeluarkan kata-kata berikut:

“Ente mau kaya, pasanglah toyol. Ente mau senang, simpanlah toyol. Bila ada toyol, hari-hari ente boleh dapat wang. Ini toyol angkat wang kasi ente. Ente tak payah kerja. Hari-hari banyak wang masuk ente punya poket.”

Saudagar itu cuba mempengaruhi penduduk kampong saya itu untuk membeli seekor toyol. Bagaimanapun, dia enggan membelinya. Katanya, perbuatan memelihara toyol dilaknati Allah SWT.

Saya bawa kisah di atas untuk memberi petua kepada seluruh kaki rasuah di Malaysia akan cara-cara mendapatkan wang berguni-guni tanpa melakukan rasuah.

Sesiapa sahaja boleh berkata, cadangan di atas cadangan bahlul. Bahlul tak bahlul, ia mungkin boleh selamatkan kaki rasuah daripada menerima rasuah. Kaki rasuah yang pelihara toyol tentu akan mempunyai wang yang melimpah ruah.

Jadi, kalau boleh dapat wang daripada toyol, apalah bodoh sangat kaki rasuah nak makan rasuah? Apa susah-susah cari lembu untuk dapatkan duit rasuah? Apa pasal tak pergi Masjidil Haram dan beli toyol yang boleh mengaut duit bersompet-sompet ?

Bagaimanapun, memang benar cadangan di atas adalah cadangan bahlul. Saya ketengahkan cadangan ini kerana amalan rasuah juga amalan si tolol dan si bahlul.

Tetapi, jika cadangan kaki rasuah memelihara toyol susah hendak diterima, macam mana kalau ditubuhkan Bursa Rasuah Nasional Berhad (BRNB)? Pilihlah di mana ibu pejabat BRNB. Kalau hendak glamour, di KLCC. Kalau tidak, di Putrajaya.

Jadikanlah BRNB sebagai pusat transaksi wang rasuah negara. Sesiapa yang mahu berurusan dengan seseorang berpengaruh secara rasuah, perlulah mendaftar dengan BRNB. Ini akan memudahkan pihak pemberi rasuah untuk mendapatkan kadar wang rasuah yang perlu dibayar untuk mendapatkan sesuatu perkhidmatan di sektor mana sekalipun di negara ini.
Pada waktu yang sama, BRNB juga akan menyediakan kadar bayaran rasuah mengikut taraf individu yang akan menerimanya, dari serendah-rendahnya hingga ke setinggi-tingginya, dari bilis hinggalah naga.

Dengan adanya kadar rasuah sedemikian, mudahlah agensi percukaian menentukan kadar cukai yang perlu dikutip daripada penerima rasuah dan berapa banyak pula cukai yang akan dikecualikan kepada pemberi rasuah.
Dengan cara ini, mudah-mudahanlah terhapus segala bentuk dakwa dakwi dan desas-desus, kononnya badan percukaian juga terpalit dengan rasuah.
Begitu juga dengan BPR. Dengan adanya BRNB, mudahlah BPR menjalankan tugas. Tak payahlah susah-susah, kerja lintang pukang, siang malam, tapi hasilnya tak sampai ke mana.
Hingga ke peringkat ini, saya yakin para pembaca akan berkata: “Ini cadangan gila. Idea menyuruh kaki rasuah pelihara toyol adalah idea gila. Cadangan mewujudkan BRNB juga cadangan gila.”
Saya setuju sepenuhnya kerana apa yang saya suarakan seperti di atas, dan apa yang telah dicadangkan oleh Datuk Mohamad Said di Dewan Rakyat, adalah cetusan jiwa yang mencerminkan rasa kecewa yang amat sangat..

Kegilaan bentuk cadangan di atas mencerminkan bahawa soal rasuah tidak boleh dibanteras menerusi pendekatan yang sentiasa akademik, administratif dan terlalu mengikut buku.
Ini kerana pengamal rasuah – pemberi dan penerimanya – adalah kelompok manusia yang bijak. Mereka tahu undang-undang. Setelah mendalami selok-belok undang-undang, mereka pun jadi pakar untuk melanggar undang-undang berkenaan.
Dan, oleh kerana rasuah adalah jenayah, cara membanterasnya juga perlu menggunakan pendekatan jenayah. Mungkin, itulah antara sebabnya Datuk Mohamad Said minta pegawai secret service yang membasmi rasuah diberikan lesen untuk membunuh!
Tidak ada gunanya kita belanja wang berjuta-juta untuk mencuci, memberos dan mengcloroxkan pemikiran bakal-bakal penerima rasuah atau pemberi rasuah. Demi wang ringgit, kaki rasuah tetap sanggup berbuat apa sahaja.
Jenis manusia rasuah macam ini tidak peduli akan pendapat reformer China, Wang An Shih, (A.D. 102¬1086), bahawa rasuah wujud kerana adanya undang-undang yang tidak tegas dan manusia yang buruk laku.

Mereka juga tidak hiraukan pandangan Sarjana Islam seperti Abdul Rahman Ibn Khaldun, (11.D. 1332-1406), yang berkata, rasuah wujud bila golongan pemimpin terlalu didorong oleh nafsu mengejar kemewahan tanpa batasan.
Sebaliknya, kaki rasuah amat arif bahawa rasuah berlaku bila seseorang individu didorong nafsu untuk melanggar undang-undang, peraturan, etika, disiplin, norma atau budaya, untuk mendapatkan manfaat dan faedah diri, tanpa pendulikan perbuatan itu merosakkan masyarakat, bangsa, agama dan negaranya. Pendek kata, biarpun sarjana tempatan seperti Dr. Syed Hussein Al-Attas, menyatakan dalam bukunya The Sosiology of Corruption , rasuah adalah wabak yang menimbulkan implikasi buruk kepada akhlak seseorang individu, amalan rasuah tetap berterusan.

Biarpun cerdik pandai mengatakan, rasuah boleh menjejaskan pentadbiran kerajaan serta mengancam keselamatan negara, amalan rasuah tetap terus berlaku.

Walaupun Dr. Syed Hussein berkata, melalui rasuah, seseorang individu boleh dipengaruhi untuk melakukan sesuatu tindakan mengikut apa yang dikehendaki oleh si pemberi rasuah, rasuah masih lagi terjadi. Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi, menyatakan dalam puisi Mencari Damai Abadi bahawa “Aku cari bukan harta bertimbun-timbun, untuk hidup kaya. Aku cari bukan wang berjuta-juta, untuk hidup bergaya. Aku cari bukan kawan-kawan, untuk hidup sekadar berfoya-foya. Aku cari mana dia Al-Ghazali. Aku cari mana dia Al-Shafie. Kita bongkar rahsia kitab suci, cari pedoman. Kita bongkar rahsia sunnah Nabi, cari panduan. Aku hidup kerana dia Rabbi, dialah teman, dialah wali, dia mencukupi. Aku hidup bererti, menikmati damai abadi,” rasuah nampaknya tetap berleluasa.

Jadi, macam mana hendak menghapuskan rasuah? Bukankah rasuah ada tawaran dan permintaannya. Bukankah rasuah itu satu perbuatan yang berasaskan kepada prinsip suka sama suka? Bukankah rasuah dilakukan secara sulit dan berahsia?

Dalam keadaan seperti ini, macam mana rasuah hendak dihapuskan? Gunakan secret service yang mempunyai lesen untuk membunuh? Wujudkan BRNB? Galakkan kaki rasuah memelihara toyol?