Friday, December 30, 2011

NOTA HUJUNG TAHUN II: UMNO DAN AUDIT PERSEPSI

Ruhanie Ahmad

Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menerajui kepimpinan Negara, UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan latar belakang siasah yang bercelaru --- serupa dengan latar belakang sewaktu ayahanda beliau, Allahyarham Tun Razak Hussein, mengambil alih teraju negara pada tahun 1971.

Namun Datuk Seri Najib pastinya sudah melakukan audit hujung tahun untuk mengukur prestasi seluruh Jemaah Menteri, kesemua Menteri Besar dan Ketua Menteri serta Exco Negeri di kalangan warga BN, serta seluruh barisan kepimpinan UMNO dan BN di semua peringkat.

Paling penting lagi, oleh kerana politik adalah membabitkan persepsi, audit yang dilakukan perlulah merangkumi seluruh persepsi rakyat terhadap pemerintahan, UMNO dan BN.

Ini akan membolehkan Datuk Seri Najib melakarkan strategi, sama ada segala persepsi negatif yang wujud boleh di atasi secara berkesan hanya menerusi jelingan mata yang tajam, atau perlu dihapuskan menerusi strategi pulas tangan, strategi piat telinga, strategi melontarkan fail berpalang merah ke muka pihak-pihak berkenaan, atau strategy of last resort dalam bentuk pukul maut secara siasah.

Tetapi, oleh kerana kaedah audit mutakhir ini berbagai ragamnya --- termasuklah audit kreatif, audit pengurusan, audit perundangan, audit kewangan dan audit teknologi --- audit yang wajar dilakukan oleh Datuk Seri Najib perlulah berpaksikan kaedah konvensional, iaitu proses audit yang mengambil kira stok, aset, liabiliti, accrued payment, sunken cost dan lain-lainnya, dengan secara tegas.

Maksudnya, usah lakukan kaedah audit kreatif yang digunakan oleh sesetengah corporate players untuk menunjukkan kunci kira-kira dan penyata kewangan tahunan yang kononnya bersih, semata-mata untuk mengaburi mata pemegang saham bahawa syarikat terbabit masih berdayasaing dan berpotensi untuk maju.

Lantas apa jua faktor yang menimbulkan persepsi negatif dan menjadi liabiliti yang boleh memudaratkan entiti, integriti dan kredibiliti BN, UMNO dan Kerajaan --- waimah persepsi mengenai ayam, itek, lembu, kerbau, kadal, celeng atau gondorowo --- perlu dijadikan faktor debit dan kredit dalam proses auditing berkenaan.

Ini adalah untuk membolehkan kunci kira-kira dalam penyata tahunan yang disediakan oleh Datuk Seri Najib menunjukkan keadaan yang sebenar-benarnya bersih dan biru ….

Mudahan-mudahan nota ini, serba sedikit, membantu Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Pengerusi BN, menyusun strategi mempertahankan survival pemerintahan negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

Akhir sekali, survival ini, jika perlu, wajarlah distrategikan menerusi prinsip Niccolo Michiavelli yang merumuskan bahawa a political leader must be as brave as a lion, as cunning as a fox, and able to analyze the right timing to strike, and possibly kill, just to ensure the very survival of its empire dan rakyat jelata seluruhnya.

Tuesday, December 27, 2011

NOTA HUJUNG TAHUN: PARADOKS DAP-PAS-PKR

Ruhanie Ahmad




Sepanjang tahun 2011 Pakatan Rakyat memaparkan pelbagai karenah, ragam dan dakyah yang jelas dan rencam untuk memenangi hati pengundi Malaysia menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 bagi merampas takhta kekuasaan negara di Putrajaya.

Paling menonjol adalah kesongsangan tabiat, perilaku dan tutur kata individu utama dalam PKR. Untuk mengatasi suasana karam yang tenat, seluruh ranting dan dahan pun cuba dipaut dan diragutnya menerusi apa jua tindakan yang selaras dengan dictum matlamat menghalalkan cara.

Keduanya adalah penukaran matlamat PAS daripada memperjuangkan Negara Islam kepada Negara Kebajikan. Tindakan ini memanifestasikan sikapnya yang kini kow-tau kepada DAP. Sekali lagi, inilah bentuknya tindakan matlamat menghalalkan cara.

Akhir sekali – tapi tidak kurang hebatnya --- adalah pemaparan pelbagai tembelang DAP yang selama ini mendabik dada kononnya dialah parti yang sempurna, demokratik, bersih, bebas daripada rasuah, membenci kronisme dan mengutuk neopotisme.

Maka, sebesar dan selebar mana sekalipun tudung yang digunakan, bangkai gajah DAP tetap tidak boleh ditutup. Bau busuknya kian merebak dan mencemari imejnya sendiri di seluruh tanah air.

Mutakhir ini komponen Pakatan Rakyat pula tenat dicengkam krisis. PKR dilanda krisis integriti. DAP digugat krisis Karpal-Ramasamy. PAS diancam krisis Hassan Ali-Mustapha Ali.

Ini semua petanda yang Pakatan Rakyat sedang kucar-kacir. Parti-parti macam ini mana boleh perintah Malaysia seperti Barisan Nasional?

DAP kini kelam kabut tuduh menuduh pasal pembahagian projek dan sebagainya. Selama ini DAP tuduh BN dan UMNO amalkan kronisme. Sekarang bukankah DAP yang berpecah oleh sebab kronisme?

Kelompok India dalam DAP kini sedang bertelagah sesama sendiri. Kelompok Cina dalam DAP pula hanya berdiam diri sebagai pemerhati. Inikah amalan multi-racialisme dalam DAP?

PAS kecoh tuduh menuduh pasal Datuk Hassan Ali kononnya berjumpa dengan orang UMNO. Hassan memberontak dan berkata, Datuk Mustafa Ali yang sebenarnya menemui orang UMNO. Dolak-dalik pun berlaku dalam parti yang kononnya lebih Islam daripada umat Islam lainnya di seluruh dunia?

Parti Keadilan Rakyat sedang dibelenggu tabiat songsang pucuk pimpinan tertingginya. Individu yang mendakwa sebagai tokoh besar macam inikah yang boleh jadi Perdana Menteri?

Seluruh kisah mutakhir ini menutup tirai tahun 2011. Bersamanya tertudunglah seluruh kedangkalan pemikiran, kedolak-dalikan kata dan tindakan, kesongsangan perilaku dan kepalsuan imej Pakatan Rakyat yang dipamerkan kepada audiens politik Malaysia sepanjang tahun ini.

Namun kelompok parti-parti inilah yang sedang tonggang-langgang mempengaruhi rakyat Malaysia menerusi cita-cita Mat Jenin, Pak Kadok dan Lebai Malang.

Inilah sebabnya, walaupun dalam kemelut yang serius, mereka terus memepeskan lada bagi burung yang masih terbang, dan mencurahkan air dari tempayan walaupun guruh berdentum dan hujan tak jadi.

Lantas terserahlah kepada UMNO dan BN untuk bergerak dan bertindak dengan penuh yakin dan semangat yang tinggi. Namun waspada, yang diperlukan adalah tindakan yang sepadu, berkesan dan jitu. Jangan bergerak ikut hati dan rasa. Tetapi, bertindak secara komited dan bijaksana.

Tuesday, December 20, 2011

Hak asasi: di mana bumi dipijak di situ langit mesti dijunjung ….

Ruhanie Ahmad


Mutakhir ini wujud segolongan ahli organisasi bukan kerajaan --- termasuk pelajar yang dibiayai oleh dana awam --- dan pemimpin parti siasah tertentu yang memperjuangkan prinsip hak-hak asasi manusia sejagat dan konsep kebebasan total untuk mewujudkan persepsi kononnya pemerintah negara adalah tidak demokratik, tidak saksama, zalim dan menindas.

Mereka bertindak demikian kerana gagal memahami maksud sebenar prinsip dan konsep tersebut dan enggan mendalami matlamat murni di sebalik beberapa sekatan terhadap sesetengah kebebasan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan selaku undang-undang tertinggi negara.

Mereka juga bertindak begitu kerana sengaja enggan untuk memahami maksud prinsip hak-hak asasi manusia seperti dihuraikan oleh Datuk Prof. Dr Shad Saleem Faruqi, dalam buku Document of Destiny: the Constitution of the Federation of Malaysia (2008).

Konsep dan prinsip ini juga diperjelaskan oleh Chandra Muzaffar dalam Human Rights and the New World Order (1993), Sheikh Showkat Hussain dalam Islam and Human Rights (1991), dan Harry Groves dalam Fundamental Liberties in the Constitution of the Federation dalam buku The Constitution of Malaysia: Its Development 1957-1977 (1979) suntingan Tun Mohamed Siffian, H.P. Lee dan F.A. Trindade.

Shad Saleem (2008:183) antaranya menghuraikan bahawa prinsip hak-hak asasi manusia dari perspektif teori politik dan moral memang inherent, independent of the State; universal; belong to individuals as well as to group; pre-requisites for democracy; and impose limits on the government.


Namun Shad Saleem (ibid) juga menjelaskan bahawa prinsip hak-hak asasi manusia dari perspektif negara membangun, seperti Malaysia, perlulah ditakrif, dihayati dan diamalkan dalam konteks perspektif negara ketiga yang digandingi oleh perkiraan etika dan dibatasi oleh prinsip kesejahteraan bersama.

Hakikatnya demikian kerana prinsip ini adalah sama pentingnya dengan kebebasan politik, intisarinya adalah ditentukan oleh konteksnya, ia seiringan dengan konsep darjat atau digniti manusia, dan negara pula diibaratkan sebagai pelindung serta pembekal hak-hak asasi berkenaan (ibid).

Chandra (1993:12) pula menyatakan bahawa Deklarasi Hak-Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 yang terlalu prihatin terhadap hak-hak politik dan sivil, hanya memberikan perhatian yang kecil terhadap hak-hak ekonomi, sosial dan kebudayaan.

Walaupun the International Covenent on Economic, Social and Cultural Rights yang diterima pakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mulai tahun 1969 bertujuan memperbetulkan kelemahan Deklarasi Hak-Hak Asasi Manusia Sejagat 1948, prinsip-prinsip hak-hak asasi ini masih terus disinonimkan dengan liberti politik dan sivil (ibid).

Chandra (ibid) juga menjelaskan bahawa kerajaan-kerajaan barat telah membantu untuk memunculkan kekeliruan kononnya hak-hak asasi manusia hanya mengenai political freedoms and civil liberties.

Hakikat kekeliruan inilah yang menyebabkan sesetengah kumpulan di Malaysia hanya memahami konsep hak-hak asasi manusia dari perspektif kebebasan politik dan sivil. Mereka tidak memahami bahawa konsep ini mempunyai sekatan, menitikberatkan kesejahteraan bersama, dan mempunyai batasan etika.

Oleh sebab itu, kelompok-kelompok di atas perlu membaca serta mentakrifkan Deklarasi Hak-Hak Manusia Sejagat 1948 bersama-sama dengan the International Covenent on Economic, Social and Cultural Rights 1969. Dengan cara ini mereka akan faham maksud hak-hak asasi dan kebebasan yang sebenar-benarnya, terutama dalam konteks negara Dunia Ketiga seperti Malaysia.

Dalam konteks kebebasan bersuara, Sheikh Showkat (199:24) pula menyatakan, Islam memang memberikan kebebasan pemikiran dan bersuara kepada seluruh umat Manusia. Tetapi, kebebasan ini perlulah digunakan untuk menegakkan kemuliaan dan kebenaran, bukannya untuk spreading evil or wickedness.

Beliau juga menegaskan, Islam juga memberikan hak kepada umatnya mengenai kebebasan berpersatuan dan penubuhan organisasi atau parti [siasah]. Tetapi, kebebasan ini juga should be exercised for propagation of virtue and righteousness and should never be used for spreading evil or mischief (ibid:34).

Groves (1979:28) yang menjelaskan kebebasan dalam konteks Perlembagaan Persekutuan, menegaskan bahawa antara kebebasan asasi yang mutlak adalah kebebasan daripada perhambaan, perlindungan daripada undang-undang jenayah kuat kuasa kebelakang dan perbicaraan berulang, larangan buang negeri, dan kebebasan individu untuk menganuti dan mengamalkan agamanya.

Ini bermakna bahawa lain-lain kebebasan dalam Perlembagaan Persekutuan adalah konsep yang tertakluk kepada tindakan memelihara keselamatan nasional, menjamin ketenteraman awam dan juga menjunjung prinsip moral yang murni. Oleh sebab itulah kebebasan bersuara, bergerak dan berpersatuan di Malaysia dibatasi oleh sekatan-sekatan yang membabitkan prinsip moral, ketenteraman awam, dan keselamatan negara.

Seluruh huraian di atas --- melainkan yang dari perspektif Islam, walaupun konsep menerusi perspektif ini disifatkan sebagai sumber utama kepada prinsip hak-hak asasi manusia dan konsep kebebasan dan kesamarataan ciptaan barat --- adalah serupa dengan huraikan di dalam Universal Declaration of Human Rights, United Nations.

Article I dalam deklarasi ini memaktubkan: all human beings are born free and equal in dignity and rights. They are endowed with reason and conscience and should act towards one another in a spirit of brotherhood.

Article 19: Everyone has the right to freedom of opinion and expression; this right includes freedom to hold opinions without interference and to seek, receive and impart information and ideas through any media and regardless of frontiers.

Article 20(1): Everyone has the right to freedom of peaceful assembly and association.

Article 29 (1): Everyone has duties to the community in which alone the free and full development of his personality is possible.

Dan yang penting sekali adalah yang menghuraikan soal batas dan sekatan mengenai kebebasan dalam Article 29(2) yang memaktubkan seperti berikut: In the exercise of his rights and freedoms, everyone shall be subject only to such limitations as are determined by law solely for the purpose of securing due recognition and respect for the rights and freedoms of others and of meeting the just requirements of morality, public order and the general welfare in a democratic society.

Kesimpulannya, rakyat Malaysia yang menjuarai prinsip hak-hak asasi manusia dan konsep kebebasan total, mesti faham dan insaf bahawa seluruh prinsip dan konsep tersebut adalah dibatasi oleh prinsip moral, dibatasi oleh prinsip hormat menghormati antara sesama insan manusia, dan prinsip ketenteraman awam serta keselamatan nasional.

Lantas jangan izinkan diri kita jadi kakak tua yang hanya menyebut prinsip dan konsep ini tanpa mendalami maksud serta tafsirannya; dan jangan pula kita relakan diri untuk dikuda dan dipesongkan oleh mana-mana pihak oportunis yang hanya mentafsirkan prinsip dan konsep ini berasaskan definisi yang dipesong serta diselewengkan oleh kuasa-kuasa besar barat, teutama sekali Amerika Syarikat.

Pepatah Melayu menegaskan bahawa di mana bumi dipijak, di situlah langit mesti dijunjung; dan jangan tertawan dengan kuman di seberang lautan, tetapi tidak hiraukan gajah yang berada di depan mata ….

Monday, December 12, 2011

Imbasan Kisah Jambatan Bengkok Dalam KK

Ruhanie Ahmad


Untuk menyegarkan semula ingatan para pembaca terhadap latarbelakang kepada posting saya mengenai PRU13: Jambatan Bengkok dan Pengundi Johor, saya turunkan semula di bawah ini beberapa posting awal dalam KK yang berkaitan dengannya.

Sunday, November 05, 2006
Sultan Johor mahu Tambak Johor diroboh untuk laluan kapal
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=1105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_05.htm



Monday, November 06, 2006
Titah Sultan Johor timbulkan tanda tanya
– Bernama
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=1106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_09.html






Monday, November 06, 2006
Sultan Johor mahu tambak dirobohkan
http://www.beritakmu.net/






Monday, November 06, 2006
Call to demolish causeway "curious", says S'pore


Wednesday, November 08, 2006
Kerajaan tidak pernah menentang pembinaan jambatan ganti tambak
Posted by kudakepang at 1:15 AM
http://kuda-kepang.blogspot.com/2006/11/kerajaan-tidak-pernah-menentang.html





Saturday, June 26, 2010
Timbang Semula Pembinaan Jambatan Ganti Tambak Johor
Posted by kudakepang at 2:15 PM
http://kuda-kepang.blogspot.com/2010/06/timbang-semula-pembinaan-jambatan-ganti.html



Sultan mahu jambatan ganti Tambak Johor
Mingguan Malaysia 27 Jun 2010
Kerajaan kaji semula ganti jambatan
Mingguan Malaysia 27 Jun 2010.
http://kuda-kepang.blogspot.com/2010/06/ruhanie-ahmad-dua-berita-di-bawah-ini.html



Monday, June 28, 2010
Jambatan: Dolah Badawi Pun Sambut Baik?
http://kuda-kepang.blogspot.com/2010/06/jambatan-dolah-badawi-pun-sambut-baik.html


Posted by kudakepang at 2:03 AM

Mudahan-mudahan maklumat latar ini akan memudahkan pembesar BN, UMNO dan negara membuat keputusan positif dan segera mengenai pelaksanaan semula Projek Jambatan Bengkok di Negeri Johor Darul Takzim.

Sunday, December 11, 2011

PRU13: JAMBATAN BENGKOK DAN PENGUNDI JOHOR

Ruhanie Ahmad

Johor mencatatkan undi rosak paling besar dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), iaitu sejumlah 54,164 daripada keseluruhan 321,885 undi rosak di seluruh negara. Pecahannya -- 28,709 undi rosak bagi seleuruh 26 kawasan parlimen dan 25,455 bagi seluruh 56 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Para pemerhati politik berpendapat, antara lainnya, kerosakan undi ini menerminkan protes pengundi Johor, terutama sekali Melayu, terhadap pembatalan Projek Jambatan Bengkok.

Lantas adakah pelaksanaan semula projek ini boleh memulihkan keyakinan pengundi yang memprotes dalam PRU12 kembali menyokong Barisan Nasional (BN) dalam PRU13 kelak?

Oleh kerana Johor adalah “tiang seri UMNO” dan “jantung hati BN” pemimpin tertinggi UMNO, BN dan pemerintah wajar sensitif terhadap pandangan umum mengenai projek ini seperti berikut.

Desak bina jambatan bengkok (utusan.com.my) Shah Alam 10 Disember 2011: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi meminta Kerajaan Pusat secara serius mempertimbangkan semula cadangan untuk membina jambatan bengkok di Johor Bahru.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat turut menggesa Kerajaan Pusat mengadakan rundingan dengan Singapura, sekiranya perlu, untuk menggantikan keseluruhan Tambak Johor dengan jambatan baru.

Mohon teruskan jambatan bengkok (metro.com.my): Shah Alam: 10 Disember 2011: Badan Perhubungan Umno Johor memohon Kerajaan Pusat menimbang dan menilai semula permintaan membina jambatan bengkok bagi menggantikan Tambak Johor.

Timbalan Menteri Pelajaran yang juga Ketua Umno Bahagian Batu Pahat, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Badan Perhubungan Umno Johor sebulat suara bersetuju supaya projek pembinaan jambatan bengkok yang dibatalkan sebelum ini dapat dinilai semula, seterusnya dilaksanakan.

“Sebelum ini kita (Badan Perhubungan Umno Johor) memang menghantar surat dan berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Namun ia sudah lama iaitu ketika Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Tenang, Februari lalu. Walaupun sudah lama, kami tetap dengan pendirian supaya Kerajaan Pusat menimbang semula pembinaan projek ini kerana bagi kami, ia mempunyai pelbagai manfaat sama ada untuk negara mahupun untuk rakyat di Johor,” katanya.

Dr M: Teruskan pembinaan jambatan bengkok (malaysiakini) 29 Mei 2010: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengulangi pendapatnya bahawa kerajaan perlu meneruskan pembinaan jambatan bengkok merentasi Selat Tebrau.

"Ya," merupakan jawapan ringkas beliau terhadap pertanyaan pemberita sama ada beliau masih berpendapat pembinaan jambatan bengkok perlu diteruskan untuk menggantikan Tambak Johor.

Terdahulu pada dialog Wacana Kepimpinan di Johor Bahru, Dr Mahathir berkata pembinaan jambatan bengkok tidak memerlukan persetujuan Singapura kerana keseluruhan jambatan itu terletak di dalam wilayah Malaysia.

Kerajaan disaran teruskan jambatan bengkok (malaysiakini) 14 April 2009: Pemuda Umno Johor mencadangkan kerajaan mengkaji semula projek Jambatan Bengkok yang pembinaannya dibatalkan pada 2006 kerana berpendapat projek itu mampu merancakkan ekonomi negara, khususnya di Johor.

Bina semula Jambatan Bengkok (utusan.com.my) 28 Mei 2010: Johor Bahru: Kerajaan diminta menggunakan kelebihan hubungan dua hala yang erat antara Malaysia dan Singapura untuk meneruskan semula projek pembinaan Jambatan Bengkok yang ditamatkan pada April 2006.

Ini kerana idea pembinaan jambatan tersebut yang dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tetap relevan dan amat penting untuk diteruskan kerana akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara pada masa depan.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Rohazam Shah Ahmad berkata, Singapura tidak perlu gusar terhadap pembinaan jambatan itu kerana iklim ekonomi kini memberi kelebihan kepada Singapura dan Malaysia untuk mendapat manfaat yang besar.

Mahathir ‘pujuk’ Umno Johor bantu pulih projek jambatan bengkok: (malaysianinsider) 8 Februari 2011: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengadakan pertemuan dengan Umno Johor hujung minggu lalu dalam usaha menghidupkan semula idea membina “jambatan bengkok” bagi menggantikan Tambak Johor.

The Malaysian Insider difahamkan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman telah memanggil satu pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Umno bahagian di mana Dr Mahathir telah meminta akar umbi memberi tekanan ke atas kerajaan pusat supaya meneruskan projek tersebut.

Laporan FACEBOOK: Rakyat Johor Menyokong Rakyat Johor Menyokong Penerusan Pembinaan Jambatan Bengkok.

Tiada kata putus sambung kerja jambatan bengkok. Berita Harian18 april 2009: Singapura: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan belum membuat sebarang keputusan sama ada untuk meneruskan semula pembinaan jambatan bengkok yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura.

"Sehingga kini, kita belum lagi membuat sebarang keputusan (sama ada untuk menyambung semula pembinaannya atau tidak," kata Timbalan Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada pembinaan jambatan itu yang dibatalkan pada 2006 akan dilaksanakan semula.

Kesimpulan: Oleh kerana Johor adalah “tiang seri UMNO” dan “jantung hati BN” tibalah masanya kepimpinan tertinggi UMNO, BN dan pemerintah menyatakan pendiriannya yang ikhlas dan positif mengenai projek ini.

Saturday, December 03, 2011

UMNO: HANG TUAH DAN ERA PASCA-MATERIALISME

Ruhanie Ahmad


Saya orang UMNO. Datuk saya terlibat dengan penubuhan UMNO. Ayah saya mempunyai lencana UMNO dengan nombor keahlian terpahat di bahagian belakangnya. Ibu saya ahli UMNO yang setia. Nombor keahlian UMNO saya adalah 00003472.

Hari ini dua orang sahabat saya – juga orang UMNO -- mengadu hal kepada saya mengenai UMNO. Sahabat yang pertama membuat dua kesimpulan yang memeranjatkan.

Kesimpulan yang pertama: UMNO sudah reput! Sebabnya kerana terdapat ahli-ahli UMNO sekarang, terutama pemimpin mudanya, cukup berlagak. Datang ke perhimpunan pakai kereta mewah bercermin gelap dan siap dengan drebar. Yang datang sebagai pemerhati, pakai baju linen, kaca mata hitam, sembang di coffeehouse dengan nada berdegar-degar. Mereka semua pentingkan form daripada substance [maksudnya lebih mementing gaya hidup daripada idealisme perjuangan].

Kesimpulan kedua: UMNO sekarang perlu berada dalam era post-materialism [maksudnya dalam era pasca-materialisme atau era yang tertumpu kepada soal idealism bukannya materialisme]. Dalam era ini para pengundi, terutama sekali pengundi baru, tidak terpikat dengan ucapan-ucapan yang berdentam-dentum mengenai kisah harta karun dan sebagainya. Mereka lebih tertambat hati dengan suara-suara idealisme, mereka lebih merindui suara-suara perpaduan dan keperkasaan bangsa. Anehnya, banyak pemuda UMNO tabur duit nak jadi AJK bahagian. Lepas tu mohon lesen kontraktor kelas F. Kemudiannya, beli kereta pacuan 4 roda dan golf-set. Akhirnya, hari-hari cuba nak gesel bahu dengan ADO projek di kelab golf. Kebajikan ahli-ahli UMNO pun tidak dipedulikan sehingga waktu pemilihan untuk dia tabur duit dan beli undi! Dalam keadaan seperti ini mana mereka mampu mengartikulasikan apa itu form, apa itu substance, dan apa pula pasca-materialisme?

[Jika anda nak mengetahui apa itu pasca-materialisme sila akses link berikut:
http://en.wikipedia.org/wiki/Post-materialism





Kedua-dua rumusan ini ada kebenarannya. Ini kerana apa yang dirumuskan oleh sahabat saya ini adalah mengenai pertembungan aspirasi antara sekumpulan kepimpinan muda UMNO yang elitis dan materialistik dengan aspirasi majoriti pengundi muda Melayu yang agak sosialistik dan tidak materialistik. Oleh sebab itu, wujudlah satu jurang di antara pihak kepimpinan muda UMNO dan pihak pengundi muda Melayu, majoritinya anak-anak kepada orang UMNO.

Sahabat saya yang kedua pula membawa kisah Hang Tuah. Beliau menanya saya sama ada bangsa Melayu boleh mentafsirkan kata-kata hikmat Hang Tuah – TAK AKAN MELAYU HILANG DI DUNIA. Katanya, maksud kata-kata ini amat dalam, membabitkan Raja-Raja Melayu dan juga kiblat. Jelas beliau, kata-kata hikmat ini bermaksud bahawa selagi negara ini bersimbolkan Raja-Raja Melayu, maka selagi itulah Melayu tak akan kehilangan kuasa; selagi seluruh orang Melayu bersolat ke arah kiblat yang sama, maka selagi itulah orang Melayu mesti bersatupadu pada setiap masa. Jelasnya lagi, ini bermakna bangsa Melayu mesti mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Ini juga bermakna bangsa Melayu jangan berpecahbelah, sebaliknya taat kepada perintah Allah untuk bersatupadu.

Luahan hati sahabat saya yang kedua ini berat untuk dianalisis. Suara beliau terlalu feudalistik dan filosofikal. Tetapi, betul juga rumusannya. Kalau sewaktu era Malayan Union bangsa Melayu lintang-pukang menentang Inggeris yang nak menghapuskan kedaulatan Raja-Raja Melayu, mengapa sekarang ada orang Melayu memperlekehkan Raja-Raja Melayu?

Satu lagi perkara mengenai Raja-Raja Melayu yang tidak diketahui oleh ramai orang Melayu dan bukan Melayu adalah mengenai Perkara 14 mengenai kewarganegaraan bukan Melayu dan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan yang memberikan keistimewaan kepada bangsa Melayu dan Bumiputera.

Pihak warganegara bukan Melayu selama ini beranggapan bahawa Perkara 14 ini dimaktubkan atas desakan MCA atau MIC. Anggapan ini meleset. Perkara 14 dimaktubkan oleh kerana Ratu Inggeris dan Raja-Raja Melayu memberikan mandat khusus kepada Suruhanjaya Reid bahawa keistimewaan Melayu perlu dipertahankan, dan kepentingan bukan Melayu yang akan jadi warganegara juga perlu diperjuangkan. Ini bermakna Raja-Raja Melayu sebenarnya yang merestui kewarganegaraan bukan Melayu.

Oleh sebab itulah apabila kelompok radikal Melayu, termasuk di kalangan UMNO, menentang kewarganegaraan secara jus soli, jawatankuasa tripartite yang terdiri daripada wakil Ratu Inggeris, Raja-Raja Melayu dan Perikatan, mempertahankannya.

Oleh sebab itulah juga apabila bukan Melayu menuntut keistimewaan yang sama seperti bangsa Melayu, mereka diingatkan bahawa kewarganegaraan secara jus soli ini adalah hadiah paling berharga kepada bukan Melayu di era merdeka. Dan, oleh sebab itulah juga polemik yang mempersoalkan status kewarganegaraan adalah disifatkan sebagai kesalahan di bawah Akta Hasutan. Lebih penting lagi, sebab itulah peruntukan mengenai kewarganegaraan ini dilindungi oleh Perkara 150(6A) yang melarang sesiapa untuk memindanya.

Sementara itu, Perkara 153 juga dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan bukannya atas desakan UMNO. Sebenarnya Perkara 153 dimaktunkan dalam Perlembagaan Persekutuan oleh kerana peruntukan yang sama telah wujud di dalam perlembagaan Negeri-Negeri Melayu di era penjajah. Oleh sebab itu, UMNO hanya memohon peruntukan ini dikekalkan dalam perlembagaan merdeka.

Dengan ini, Hang Tuah betul, bahawa selagi Raja-Raja Melayu masih didaulatkan oleh bangsa Melayu maka selagi itulah bumi Melayu ini tidak akan tergadai ke tangan asing. Dan selagi Raja-Raja Melayu masih didaulatkan oleh bukan Melayu, maka selagi itulah kewarganegaraan secara jus soli terus terjamin dan dilindungi oleh perlembagaan. Lantas inilah sebabnya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah simbol perpaduan nasional di Malaysia!

Saya tidak termampu untuk mengulas ketiga-tiga rumusan di atas dengan lebih lanjut. Ilmu yang ada pada saya pun tak sedalam mana. Namun sebagai orang UMNO, saya memang rimas dan cemas dengan kedudukan UMNO mutakhir ini. Sebagai orang Melayu, saya juga bimbang akan nasib mereka seluruhnya di hari muka. Dan, sebagai rakyat Malaysia, saya juga kesal dan terkedu bila segolongan bukan Melayu pada hari ini seolah-olah lupakan sejarah bagaimana seluruh bangsa di negara ini ditransformasikan menjadi warganegara menerusi Perlembagaan Persekutuan sempena kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.

Namun hati kecil saya tetap berbisik: mungkinkah seluruh orang Melayu yang sedang berpecahbelah dalam politik pada hari ini boleh kembali bersatu seperti mana mereka bersolat mengarah kepada kiblat yang satu?

Dalam pada itu, sebagai generasi radikal yang dibesarkan oleh pengajaran tragedi 13 Mei 1969, saya tetap tidak akan lupa bahawa Melayu kembali bersatupadu dalam siasah setelah mereka mengambil iktibar daripada tragedi berkenaan; sementara golongan bukan Melayu yang anti-establishment pula berhenti daripada mempertikaikan pelbagai peruntukan strategik dalam Perlembagaan Persekutuan.

Oleh sebab itu, berdasarkan hipotesis bahawa bangsa Melayu telah kembali bersatupadu dalam siasah sejurus sesudah peristiwa 13 Mei, dan golongan bukan Melayu yang anti-establishment pula berhenti daripada mempertikaikan pelbagai peruntukan strategik dalam Perlembagaan Persekutuan, maka kita perlu merungkaikan persoalan, apakah rahsia di sebalik tragedi tersebut, dan kita juga perlu menetapkan matlamat bersama untuk mengenalpasti adakah episod perpaduan Melayu yang sangat-sangat dirindui ini boleh wujud semula di abad ke-21; dan adakah kepatuhan golongan bukan Melayu yang anti-establishment terhadap Perlembagaan Persekutuan pula kembali kepada era pasca-13 Mei?