Thursday, December 30, 2010

SENAMROBIK DAP CABAR KESELAMATAN NEGARA

Ruhanie Ahmad

Tindakan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching, bersenamrobik bersama-sama jemaah masjid---termasuk lelaki---sempena Karnival Maal Hijrah di pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong, baru-baru ini, adalah masalah keselamatan negara.

Ia boleh memprovokasikan reaksi negatif terhadap Teo, parti yang diwakilinya, serta umat Islam yang menganjurkan acara berkenaan secara sedar.

Tindakan tersebut, walaupun pastinya dilakukan dengan kerelaan jawatankuasa dan jemaah masjid, adalah tindakan yang melangkaui politik.

Ia adalah isu keselamatan negara yang mesti segera ditangani mengikut undang-undang yang tegas dan berkesan.

Tulisan ini tidak mencerminkan ekstremisme Islam. Sebaliknya, mencerminkan kebimbangan terhadap tindak-balas negatif yang boleh tercetus akibat tindakan tersebut senandainya wujud segelintir umat Islam yang hilang sabar dan terlalu amat marah terhadap perbuatan yang mengenepikan prinsip-prinsip asas sensitiviti keagamaan.

Pihak berkuasa Malaysia perlu segera mensekuritisasikan tindakan seperti ini dan bertindak membanteras ianya daripada berulang.

Tidak ada gunanya peristiwa seperti ini dijadikan polemik kepartian. Isu keselamatan negara di sesebuah negara majmuk seperti Malaysia mesti dibanteras menerusi ketegasan undang-undang.

Friday, December 17, 2010

AL-FATEHAH BUAT DATUK SULAIMAN TAHA ADUN TENANG, JOHOR

Datuk Haji Sulaiman Taha, 59, ADUN Tenang merangkap Ketua UMNO Bahagian Labis, Johor, kembali ke rahmatullah di Hospital Ampang Puteri, Kuala Lumpur, pada jam 1.10 pagi, 17 Disember 2010. Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Labis selepas Fardhu Jumaat.

Allahyarham Sulaiman yang juga mantan Setiausaha Kerja Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di bawah kepimpinan Datuk Sri Najib Tun Razak, di masukkan ke Pusat Perubatan Ampang Puteri pada 24 November 2010 untuk menjalani rawatan penyakit kencing manis.

Sama-samalah kita hadiahkan Al-Fatehah kepada Allahyarham dan doakan semoga rohnya akan sentiasa dicucuri rahmat Allah SWT… Al-Fatehah!

Wednesday, December 15, 2010

DIGNITI MELAYU DI ABAD KE-21

RUHANIE AHMAD

Artikel ini difokuskan khusus kepada persoalan digniti Melayu kontemporari untuk menyanggah pelbagai polemik mengenai ketuanan Melayu yang kebelakangan ini dipolitikkan oleh sesetengah golongan di Malaysia. Ianya bertujuan supaya polemik berkenaan tidak berlarutan sehingga mengancam keselamatan dan perpaduan nasional yang dibina asasnya menerusi Perlembagaan Persekutuan.

Hipotesis artikel ini adalah: konsep ketuanan Melayu bukannya elitis, tidak diwujudkan untuk mengagung-agungkan bangsa Melayu, atau untuk mencanggahi aspirasi melahirkan bangsa Malaysia yang bermaruah di hari muka. Sebaliknya, konsep ini wujud untuk memberikan digniti kepada bangsa Melayu dan Bumiputera yang jadi daif serba-serbinya akibat penjajahan selama 446 tahun. Dalam ertikata lainnya, ketuanan Melayu adalah konsep anti-penjajahan biar dalam bentuk apa sekalipun dalam era pasca-merdeka.

Hakikatnya sedemikian kerana Persekutuan Tanah Melayu adalah entiti negara yang diwujudkan oleh para pemimpin multi-keturunan menerusi kemerdekaan tanah air pada 31 Ogos 1957. Malaysia juga terbentuk daripada permuafakatan multi-etnik di Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, dan Singapura.

Maksudnya, sebelum Tanah Melayu dijajah mulai 1511 hingga 1957, bumi ini adalah gabungan negeri-negeri Melayu yang dikategorikan sebagai nation-state atau negara-bangsa kerana majoriti rakyatnya terdiri daripada satu rumpun bangsa yang sama, berkogsi sejarah dan warisan budaya yang serupa, serta berasal daripada wilayah geografi yang satu, iaitu kepulauan Nusantara (rujuk Buzan 1983:36-72).

Realiti sejarah

Hakikat ini diakui oleh pelbagai sejarawan asing dan tempatan. Purcell (1965:40) menegaskan “dari sejarahnya, Malaya adalah negara Melayu.” Oleh sebab itulah “dasar British di Tanah Melayu sebelum Perang Dunia Kedua bersifat pro-Melayu dan menerima hakikat bahawa Tanah Melayu adalah untuk masyarakat Melayu” (Mohd Ashraf Ibrahim 2004:50).

Lantaran itu juga “pentadbir-pentadbir British memandang istimewa terhadap orang Melayu. Mereka menganggap orang Melayu sebagai penduduk bumiputera Malaya. Mereka mengakui bahawa orang Cina mempunyai peranan ekonomi yang penting tetapi ini bukanlah memberi orang Cina hak untuk memainkan peranan dalam politik. Malaya adalah tanah air orang Melayu” (Saunders 1978:35).

Selanjutnya, Tanah Melayu dan bangsa Melayu adalah negara dan bangsa yang telah mencipta tamadunnya di era Kesultanan Melayu Melaka. Pada ketika itu sudah wujud undang-undang syariah dan undang-undang maritim Melayu yang komprehensif.

Contohnya, “kurun ke-15 adalah satu peringkat di mana, secara umumnya, kegiatan ahli-ahli hukum berkisar kepada pengkanunan prinsip-prinsip shari’ah” dan “Undang-Undang Laut Melaka ialah kanun yang mengandungi hukum dan peraturan di laut yang berkaitan dengan tatacara dan undang-undang pelayaran serta penggunaan kapal” (Abdul Aziz Bari 2008:306-307).

Seluruh huraian di atas membuktikan Malaysia bukannya sebuah state-nation atau negara majmuk sejak sebelum era penjajahan. Sebaliknya, Malaysia hanya menepati kategori state-nation kerana kemerdekaannya diperjuangkan oleh bangsa Melayu menerusi UMNO, keturunan Cina menerusi MCA, dan keturunan India menerusi MIC, dan kewarganegaraannya pula merangkumi seluruh keturunan ini serta lain-lain kelompok etnik di Sabah dan Sarawak.

Sejarah silam juga membuktikan bangsa Melayu adalah bangsa yang mempunyai dignitinya yang tersendiri sejak berkurun lamanya. Lantas, bukan satu jenayah untuk membicarakan konsep ketuanan Melayu dalam konteks Malaysia kontemporari. Ini kerana bangsa Melayu adalah bangsa yang wujud bersama sejarah bumi Melayu yang kini diidentitikan sebagai Malaysia.

Konsep ketuanan Melayu juga tidak boleh ditafsirkan sebagai instrumen penindasan atau pendiskriminasian terhadap rakyat bukan Melayu dan bukan Bumiputera. Sebaliknya, konsep ini diterjemahkan ke dalam pelbagai dasar dan program pemerintah supaya wujud keseimbangan dalam survival dan digniti warganegara Malaysia yang berbilang keturunan dalam era merdeka.

Perlembagaan Persekutuan

Perjuangan memajmukkan Tanah Melayu menerusi kemerdekaan tidak diterima sepenuhnya oleh majoriti bangsa Melayu di era pra-merdeka. Tunku Abdul Rahman selaku Presiden UMNO dan Pengerusi Perikatan terpaksa menghadapi cabaran serius daripada kalangan UMNO dan bangsa Melayu di luar UMNO yang mencurigai implikasi perjuangan memerdekakan negara bersama-sama keturunan Cina dan India di hari muka.

Tetapi, Tunku Abdul Rahman tetap bertegas. Beliau menegaskan “ada yang berkata kita (orang Melayu) hendak berlawan dengan Raja-Raja Melayu. Tetapi, tuduhan yang palsu ini tidak ada tempat dalam perjuangan kita kerana kita telah mengisytiharkan bersama-sama MCA bahawa kita akan menjaga dan memelihara taraf Raja kita dan juga agama kita yang maha suci” (Tunku Abdul Rahman 2009:76).

Kenyataan ini membuktikan bahawa kemerdekaan tanah air pada 1957 adalah perjuangan yang mengiktiraf keindukan Melayu, status Raja-Raja Melayu, serta kedudukan Islam sebagai agama orang Melayu. Ia juga membuktikan bahawa ketuanan Melayu diiktiraf oleh seluruh pejuang kemerdekaan yang multi-keturunan bukan untuk mengagung-agungkan bangsa Melayu, tetapi untuk memanifestasikan kesinambungan sejarah kewarganegaraan Melayu di bumi Melayu dalam era pra-penjajah.

Antara buktinya, Perikatan secara sebulat suara memperakukan bahawa Islam dijadikan “agama rasmi Persekutuan Tanah Melayu” (Ahmad Ibrahim1978:48). Perikatan juga menyetujui supaya Perlembagaan Persekutuan memaktubkan perkara khusus mengenai struktur kewarganegaraan rakyat jelatanya yang berbilang kaum “untuk mengelakkan kebimbangan mereka bahawa struktur kewarganegaraan ini akan dipinda jika ianya digubal menerusi undang-undang biasa” (Sinnadurai 1978:93).

Hakikat ini membuktikan bahawa perkara khusus mengenai Islam dan struktur kewarganegaraan di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah antara dua peruntukan penting yang dimaktubkan sebagai manifestasi permuafakatan bangsa Melayu, keturunan Cina, dan keturunan India dalam era menjelang merdeka.

Kedua-dua peruntukan ini bukannya dimaktubkan atas dasar ketuanan Melayu. Sebaliknya, atas dasar kesinambungan sejarah pra-merdeka dan atas dasar memelihara keselamatan masyarakat dan keselamatan nasional.

Lantas, apakah kaitannya konsep ketuanan Melayu dengan kedua-dua peruntukan ini sehingga wujud pihak yang mencadangkan supaya konsep ini digantikan dengan konsep ketuanan rakyat kononnya “supaya anak-anak membesar dengan visi ‘bangsa bermaruah’ atau ‘Melayu bermaruah”? (rujuk Suara Keadilan 27 November 2010, Utusan Malaysia 28 November 2010, Berita Harian 28 November 2010, Bernama 2 Disember 2010 dan the Malay Mail 2 Disember 2010).

Dasar afirmatif

Konsep ketuanan Melayu juga sering dikecam menerusi perspektif dasar afirmatif kerajaan yang berpaksikan kepada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Dalam konteks ini, tidak ramai antara kita menyedari hakikat bahawa dasar-dasar berkenaan adalah sebahagian daripada ciri-ciri keselamatan insan, keselamatan ekonomi dan keselamatan nasional Malaysia selaras dengan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat yang memberikan digniti kepada insan manusia (rujuk mukadimah the Universal Declaration of Human Rights 1948).

Lantaran itu, segelintir parti siasah yang mendakwa sebagai jaguh hak asasi manusia sejagat semestinya menginsafi hakikat bahawa bangsa Melayu dan Bumiputera adalah kelompok warganegara Malaysia yang kehilangan digniti ekonomi dan sosialnya akibat polisi-polisi penindasan sistemik penjajah yang silih berganti selama 446 tahun.

Lantas, apa faedahnya dibangkit dan diungkit soal kuota 30 peratus yang dikhususkan kepada Melayu dan Bumiputera menerusi Dasar Ekonomi Baru apabila kedua-dua kelompok ini langsung tidak pernah mempersoalkan kuota 70 peratus yang dinikmati oleh bukan Melayu dan kapitalis asing di Malaysia selama ini?

Oleh sebab itulah orang Melayu dan Bumiputera menyifatkan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan dan pelbagai dasar afirmatif yang berindukan perkara ini “sebagai sesuatu yang suci, manakala sesetengah orang bukan Melayu mempersoalkan peruntukan tersebut adalah berkaitan dan mengikat hingga ke hari ini. Mengikut mana-mana tafsiran yang munasabah, manka peruntukan tersebut di dalam Perlembagaan adalah bahawa kesejahteraan ekonomi dan sosial orang Melayu yang lemah dari segi ekonomi hendaklah dilindungi dan digalakkan berbanding dengan orang bukan Melayu yang lebih maju” (Faaland, Parkinson & Rais Saniman 2002:16).

Sebagai balasan kerana diberikan perlindungan menerusi Perkara 153 “orang Melayu mengadakan konsesi yang berpadu mengikut kuasa politik dengan memberikan kewarganegaraan Persekutuan kepada orang bukan Melayu. Sebagai tambahan, orang bukan Melayu dijaminkan bahawa mereka bebas menjalankan perniagaan tanpa diganggu, dan mereka juga boleh mengekalkan dan mengembangkan budaya serta warisan bahasa mereka sendiri, dan boleh hidup secara berasingan” (ibid: 17).

Demikianlah hakikatnya semangat yang lahir daripada konsep ketuanan Melayu yang dijelmakan menerusi Perikatan dalam era menjelang kemerdekaan tanah air. Konsep tersebut tidak pernah membakar atau menyemarakkan sentimen perkauman di Malaysia sebelum munculnya konsep Malaysian Malaysia dalam tempoh 1963-1965 yang mempertikaikan seluruh perkara strategik dalam Perlembagaan Persekutuan, terutamanya mengenai Bahasa Melayu, Agama Islam, dan keistimewaan Melayu dan Bumiputera (rujuk Ghazali Ismail 1990).

Setelah Singapura tersingkir daripada Malaysia pada 1965, konsep Malaysia Malaysia diteruskan perjuangannya oleh DAP sebagaimana terkandung dalam the Setapak Declaration yang diperakukan dalam kongres DAP pertama pada 29 Julai 1967. Deklarasi tersebut “menjadi prinsip panduan perjuangan DAP sejak kelahirannya” (salinankarbon.com 14 Julai 2009).

DAP mengaplikasikan prinsip deklarasi ini dalam PRU 1969 dengan “menyerang MCA kerana menyerahkan hak-hak keturunan Cina kepada UMNO menerusi Perikatan. Pletfom DAP ketika itu adalah Setapak Declaration of Principles yang secara prinsipnya menentang hegemoni Melayu dan menyokong konsep Malaysian Malaysia” (Comber 2001:65).

Ini membuktikan bahawa isu mengenai struktur kewarganegaraan Malaysia, Bahasa Melayu, Agama Islam, Raja-Raja Melayu, dan keistimewaan bangsa Melayu dan Bumiputera hanya menjadi isu politik akibat kemunculan konsep Malaysian Malaysia yang kemudiannya diperjuangkan oleh segolongan parti pembangkang di Malaysia.

Contohnya, sepanjang kempen Pilihan Raya Umum 1969 “segolongan calon pembangkang telah menyerang Perlembagaan menerusi perspektif perkauman. Mereka memutarbelit dan menyalahtafsirkan sesetengah peruntukan dalam Perlembagaan, terutamanya Perkara 152 dan 153. Mereka mendesak supaya Perkara 153 yang memberikan perlindungan kepada keistimewaan Melayu dimansuhkan” (Tun Abdul Razak Hussein dalam Majlis Gerakan Negara 1969:v).

Kesimpulan

Kesimpulannya, ketuanan Melayu adalah konsep yang memanifestasikan kesinambungan sejarah dan tamadun Melayu sebelum tanah air ini dijajah selama 446 tahun. Ia bukannya konsep yang menglorifykan bangsa Melayu. Sebaliknya, adalah konsep yang memberikan digniti kepada bangsa Melayu sama seperti digniti keturunan bukan Melayu di negara asal masing-masing.

Dalam ertikata lain, konsep ketuanan Melayu tidak menggugat survival bukan Melayu di Malaysia. Sebaliknya, konsep Malaysian Malaysia yang dijelmakan semangatnya ke dalam the Setapak Declaration 1976 yang terbukti telah menggugat keselamatan insan, keselamatan politik, keselamatan ekonomi, keselamatan masyarakat, dan keselamatan nasional di Malaysia.

Maka, adalah meleset untuk menyifatkan konsep ketuanan Melayu bertujuan mengagung-agungkan bangsa Melayu dan bercanggah dengan kewujudan bangsa Malaysia yang bermaruah di hari muka. Konsep ketuanan Melayu lahir untuk memberikan digniti kepada bangsa Melayu dan Bumiputera yang jadi daif serba-serbinya akibat penjajahan. Konsep ketuanan Melayu adalah konsep anti-penjajahan biar dalam bentuk apa sekalipun dalam era kontemporari.

Friday, December 10, 2010

PERSOALAN STRATEGIK MENJELANG PRU13



RUHANIE AHMAD



Banyak pihak meramalkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan diadakan pada tahun 2011 walaupun tempoh Parlimen ke-12 hanya akan berakhir pada Mac 2013. Spekulasi ini mengundang pelbagai persoalan strategik mengenai kesiap-sediaan BN menghadapi PRU berkenaan.

Pertama, dalam keadaan BN mutakhir ini tidak mempunyai majoriti yang mantap di peringkat parlimen apakah faktor-faktor yang menyebabkan BN berhasrat mengadakan PRU13 tahun depan dan cukup yakin untuk memenangi dengan majoriti lebih selesa daripada PRU12?

Kedua, oleh sebab BN tidak menguasai kerajaan negeri Kedah, Pulau Pinang, Selangor, dan Kelantan menerusi PRU12, apakah faktor-faktor yang memungkinkan keputusan sebaliknya jika PRU13 diadakan tahun depan?

Ketiga, oleh kerana PRU adalah proses di mana parti pemerintah menyerahkan kembali kuasanya kepada rakyat bagi membolehkan mereka memutuskan sama ada mandat kekuasaan tersebut akan diserahkan semula atau sebaliknya, adakah BN akan mengadakan PRU13 pada 2011 jika ianya belum yakin mengenai pola sokongan pengundi terhadapnya?


Lantaran itu wajar dipersoalkan seluruh faktor yang mendorong kemungkinan BN mengadakan PRU13 pada 2011 dan juga pola sokongn pengundi kepada BN dalam PRU berkenaan. Persoalan ini perlu membabitkan BN selaku parti pemerintah, komponen BN selaku pengendali PRU13 di peringkat negeri, dan rakyat jelata selaku pengundi.


BN selaku pemerintah

Persoalan di peringkat ini difokuskan kepada aspek berikut: Satu, sudahkah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak mengatasi majoriti sebab kenapa BN gagal mendapatkan kelebihan suara yang besar di peringkat parlimen dan kehilangan kuasa di Kedah, Pulau Pinang, dan Selangor, di samping gagal menawan semula Kelantan daripada PAS, dalam PRU12?

Dua: adakah pelbagai dasar, strategi, dan program pembaharuan sosio-politik dan ekonomi yang diperkenalkan oleh kerajaan BN sejak awal 2009 (1Malaysia rujuk Utusan Malaysia 27 Jun 2009; NKRA rujuk pmr.penerangan.gov.my; dan Model Baru Ekonomi rujuk Bernama 2 Mei 2009) sudah menerima legitimasi penuh daripada segolongan besar rakyat? Atau, adakah keseluruhan transformasi ini masih boleh menyebabkan sokongan majoriti pengundi terhadap BN mungkin terhakis menerusi PRU13?

Tiga: adakah persepsi rakyat terhadap kerajaan BN yang terhakis sewaktu pemerintahan sebelumnya sudah mampu dipulihkan ke tahap yang selesa untuk membolehkan PRU13 diadakan dalam tempoh terdekat ini?

Empat: adakah kecelaruan dalam Pakatan Rakyat (PR) serta kontroversi dan kesembronoan pemimpin tertingginya mutakhir ini menyebabkan majoriti pengundi berasa muak terhadap PR sehingga diterjemahkan dalam bentuk undi yang memihak kepada BN dalam PRU13?

Seluruh persoalan di atas memerlukan kajian teliti, terperinci, dan komprehensif oleh jentera-jentera risikan politik dan sosio-ekonomi kerajaan BN di semua peringkat. Kesemuanya memakan masa untuk memperolehi kesimpulan muktamadnya.

Kerajaan BN akan mendapat gambaran sebenar sokongan pengundi terhadapnya menerusi kajian di atas. Berikutan itu, BN perlu melakukan pelbagai program koreksi sekiranya wujud kelemahan, dan melaksanakan konsolidasi yang lebih rapi jika keputusannya cukup menggalakkan.

Jika kesemua ini diambilkira, adakah logik PRU13 diadakan tidak lama lagi? Sebaliknya, tidakkah ini membayangkan bahawa spekulasi PRU13 diadakan pada 2011 adalah sesuatu yang sukar untuk dirasionalkan sebab-sebabnya?


Komponen BN

Kepimpinan BN sebelum ini meninggalkan legasi negatif kepada sesetengah komponennya, terutama sekali di Malaysia Semenanjung. Lantaran itulah tercetus nada-nada sumbang yang menjejaskan permuafakatan serta wibawa BN. Walaupun ditegur oleh Najib dan kepimpinannya, nada-nada tersebut kelihatan belum reda, malah seolah-olah masih menggelegak dan terus membara.

Manifestasi serta impak perkembangan ini terpancar menerusi keputusan beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) di Terengganu, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, dan Sarawak sepanjang tempoh 2008 hingga 2010.

Hanya PRK di Sabah dan Kelantan baru-baru ini sahaja memberikan hasil positif kepada BN. Ini boleh dijadikan indikasi bahawa segolongan pengundi mungkin sudah muak dengan apa yang sedang berlaku dalam PR. Tetapi, tidakkah indikasi ini perlu dipastikan semasak-masaknya sebelum tergesa-gesa diadakan PRU13?

Pada waktu yang sama, UMNO, MCA, MIC, dan Gerakan selaku komponen terbesar di Malaysia Semenanjung masih dan sedang menjalani fasa transformasi untuk mengukuhkan jenteranya dan memulihkan kredibilitinya supaya sokongan bukan Melayu terhadap BN mampu dipulihkan. Selagi usaha ini masih samar-samar dan belum menunjukkan indikasi positif, adakah wajar PRU13 diadakan pada tahun 2011?

Apa yang diumumkan oleh Najib mengenai kepelbagaian keanggotaan BN di samping usaha mewujudkan Rakan Muda BN dan Kelab Sahabat BN baru-baru ini adalah sebahagian contoh utama mengenainya (rujuk Utusan Malaysia 20 November 2010 dan 27 November 2010).

Selanjutnya, sudahkah UMNO selaku tunggak BN, khususnya di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, dan Kelantan, diperkukuhkan semula organisasi dan komitmen perjuangannya untuk menang dengan cemerlang dalam PRU13?

Najib mengumumkan akan melakukan pembaharuan dalam hiraki kepimpinan UMNO. Ini belum dilaksanakan dan ini juga memerlukan masa untuk mengukuhkan legitimasi hiraki kepimpinan yang baru.

Sementara itu, penangguhan pemilihan kepimpinan UMNO yang diumumkan baru-baru ini tidak boleh dijadikan petanda bahawa PRU13 akan diadakan tidak lama lagi. Langkah itu mungkin untuk membolehkan UMNO melakukan pembaharuan menyeluruh dan besar-besaran.

Dan, oleh kerana tempoh Dewan Undangan Negeri Sarawak dijangka berakhir pada pertengahan 2011, adakah wajar PRU13 dilakukan serentak dengan PRU13? Bukankah lebih praktikal diadakan PRU DUN Sarawak sebelum PRU13?

Mengambilkira seluruh persoalan di atas serta kedudukan PR yang jelas sedang kucar-kacir, adakah benar tahun 2011 merupakan waktu terbaik bagi BN mengadakan PRU13? Tidakkah wujud kebijaksanaan lain untuk membuktikan bahawa seluruh komponen BN masih memerlukan penggemblengan kekuatan dan permuafakatannya menjelang PRU13?


Persepsi pengundi

Persepsi pengundi terhadap pemerintahan BN adalah determinen penting kepada sesuatu PRU atau PRK. Determinen ini sukar untuk diapa-apakan bagi sesuatu PRK. Tetapi, ia boleh diperbaiki jika didapati kurang menyakinkan menjelang sesuatu PRU.

Oleh itu, sesiapa sahaja, berasaskan perkembangan yang wujud mutakhir ini, boleh meramalkan bahawa PRU13 akan diadakan pada 2011. Tetapi, apa faedahnya PRU13 tahun depan jika keputusannya belum dipastikan lebih memihak kepada BN?

Dalam konteks ini, apakah persepsi pengundi terhadap BN dan PR? Adakah kenyataan dan perilaku sembrono PR menguntungkan BN? Adakah segolongan pengundi akan terus menyokong PR walaupun ianya terbukti kucar-kacir di Selangor dan penuh kontroversi di Pulau Pinang?


Banyak perkara perlu dijalankan mengenai hal ini. Sudahkah BN menjalankan kajian menyeluruh terhadap sikap dan persepsi pengundi terhadapnya di peringkat nasional, negeri, kawasan pilihan raya dan kawasan peti undi? Apakah sistem pembacaan serta pemantauan sikap ini sistematik dan efektif?

Maka, terbuktilah di sini bahawa BN memerlukan masa secukupnya untuk mendapatkan kepastian terhadap persoalan di atas kerana proses pembacaan sikap dan pemantauannya adalah rumit dan panjang. Mustahil BN akan mengadakan PRU13 sebelum usaha-usaha ini dibereskan.

Hakikatnya demikian kerana persepsi dan sikap pengundilah yang akan dijadikan asas penggubalan manifesto PRU BN dan juga bagi panduan dalam pemilihan dan penentuan calon-calon BN di peringkat Parlimen dan DUN.

Dalam PRU13, BN tidak boleh menyediakan manifestonya secara sembarangan kerana PRU12 membuktikan “kad laporan BN” (Bernama 21 Februari 2008) yang seolah-olah mempersendakan kebijaksanaan pengundi, merupakan antara faktor yang menigkatkan kemuakan pengundi terhadap BN dalam PRU12 (rujuk kuda-kepang.blogspot.com. 22 Februari 2008).

Contohnya, ‘kad laporan’ BN dalam PRU12 mendakwa prestasi kerajaan BN dalam ekonomi membuahkan perdagangan antarabangsa yang rancak dan menguntungkan. Maksudnya, ekonomi negara ketika itu sihat dan indeks kesejahteraan rakyat berada dalam tahap cukup selesa (Utusan Malaysia 8 Februari 2007, 16 Februari 2007, dan 22 Februari 2008).

Bagaimanapun, keputusan PRU12 membuktikan bahawa dakwaan itu meleset dan pengundi berasa marah dengan ilusi ekonomi yang dibentangkan oleh kerajaan BN kepada mereka.

Demikian juga dengan soal rasuah. Jika dalam manifesto BN bagi PRU11 pada tahun 2004, soal anti-rasuah mendominasikan agenda kerajaan BN, elemen ini langsung tidak disebut dalam ‘kad laporan’ BN bagi PRU12. Ironi ini juga membawa padah kepada BN (rujuk laporan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia 7 November 2003, 12 Disember 2003, 13 Januari 2004, 9 Februari 2004, 13 Februari 2004, 15 Februari 2004, 16 Februari 2004, 18 Februari 2004).

Begitu juga dengan proses memilih dan menentukan calon. Dalam PRU12, dakwaan dan desas-desus bahawa pemilihan dan penentuan calon kononnya hanya dilaksanakan oleh segelintir insan di keliling kepimpinan tertinggi ketika itu, gagal dinafikan untuk mengukuhkan sokongan pengundi terhadap BN (rujuk Kamalamir dalam Malaysia Today 18 Februari 2008).

Pada waktu yang sama, terdapat dakwaan bahawa “ada golongan muda telah membuat percubaan untuk mengambil alih kepimpinan negara secara terurus dan terancang melalui PRU12” tetapi gagal akibat tsunami politik yang melanda negara (rujuk Utusan Malaysia 11.3.2008).

Seluruh persoalan dan hujah ini membuktikan bahawa persepsi dan sikap pengundi perlu diurus dan diperbaiki menjelang sesuatu PRU. Proses pemilihan calon juga wajar dilaksanakan secara telus bagi memastikan konsensus kepimpinan semua peringkat BN.


Kesimpulan

Oleh kerana tempoh Parlimen ke-12 hanya akan berakhir pada MAC 2013, mengapakah BN diramalkan akan mengadakan PRU13 pada tahun 2011?

Persoalan-persoalan strategik terhadap BN selaku parti pemerintah, komponen BN selaku pelaksana PRU13, dan rakyat selaku pengundi bagi PRU13, menggambarkan bahawa BN masih memerlukan masa bagi memantapkan kekuatannya menjelang PRU13.

Lantas, logikkah untuk meramalkan bahawa PRU13 akan diadakan tahun depan? Jika ramalan itu tepat, apakah peluang BN dalam PRU berkenaan?

Sunday, December 05, 2010

MANIFEST DESTINY @ SURATAN TAKDIR BN

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menghuraikan manifest destiny atau suratan takdir BN menerusi ucapan yang penuh tekad, padat, tepat, dan mujarab.

Ucapan tersebut adalah suntikan semangat juang yang wajar dijadikan amanat kepada seluruh rakyat dalam perjuangan mengembalikan digniti rakyat Malaysia dan kedaulatan negara Malaysia mutakhir ini.

Teks penuh ucapan beliau di Konvensyen BN di Dewan Lee San Choon, Kuala Lumpur, sebentar tadi adalah seperti berikut:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_14.htm


KETUANAN. PERMUFAKATAN. KEWARGANEGARAAN. PERLEMBAGAAN.


Ruhanie Ahmad

Seseorang individu bebas memilih bentuk dan aliran pemikirannya. Ada individu liberal, ada konservertif, ada super hipokrit, dan tak kurang juga yang berlagak pseudo Islamis par excellence. Tetapi, yang malang sekali adalah individu yang tidak mengenali asal-usul diri dan sejarah bangsa sendiri.

Lantas tulisan saya kali ini adalah mengenai diri saya sebagai seorang anak Bangsa Melayu yang dilahirkan di bumi bertuah bernama Tanah Melayu dalam lokasi geografi Alam Melayu. Tanah Melayu dijajah orang asing dari 1511 hingga 1957, iaitu 446 tahun lamanya. Sepanjang tempoh itu Bangsa Melayu kehilangan digniti, maruah, dan harga diri. Tanah Melayu pula tergadai integriti dan kedaulatannya.

Bangsa Melayu yang kehilangan digniti ditindas secara sistemik. Hidup mereka terbiar, mundur, dan daif di pinggir desa. Tanah Melayu yang kehilangan integriti pula diinjak-injak pendatang asing. Hasil buminya dirampok dan dieksploitasikan ke peringkat maksimum.

Bangsa Melayu yang kehilangan digniti tidak mampu berbuat apa-apa untuk menebus integriti dan kedaulatan Tanah Melayu. Lantas penjajah pun datang dan pergi silih berganti. Penjajah terakhir adalah British. Mereka hanya memelihara dan menitikberatkan pedagangannya dengan Negara China (Cowan 1970:367).

Oleh sebab itulah berjuta-juta buruh asing di import masuk ke Tanah Melayu untuk melombong bijih timah dan mengusahakan ladang getah milik kapitalis British. Akibatnya, bancian tahun 1921, 1931, dan 1941, mendapati jumlah Bangsa Melayu pada tahun 1921 hanya 49% daripada seluruh penduduk Tanah Melayu, pada tahun 1931 hanya 47%, dan pada tahun 1941 hanya 42%. Ini membuktikan bahawa pada tahun 1921 jumlah buruh asing di Tanah Melayu adalah 51%, pada 1931 sebanyak 53%, dan pada 1941 sejumlah 58%. (Ahmad Atory Hussain 1987:9).

Apabila jumlah mereka kian besar dan mereka juga sudah beranak-pinak di Tanah Melayu, mereka mula mendesak supaya diberikan nasionaliti Tanah Melayu. Ini menyebabkan penjajah British jadi dilemma sehingga terdapat cadangan supaya digubal undang-undang kerakyatan baru bagi membolehkan pekerja asing ini jadi rakyat Raja-Raja Melayu (Lau 1991:16).

Cadangan berkenaan ditolak. Tetapi, sesudah tamat Perang Dunia Kedua, British kembali menjajah Tanah Melayu dan cuba melaksanakan dasar Malayan Union yang antaranya mengandungi cadangan undang-undang memberikan kerakyatan kepada buruh asing yang diimportnya ke Tanah Melayu.

British merancang gagasan radikal ini semasa zaman perang kerana ketika itu orang-orang asing kononnya membantu tentera British menentang Jepun, sementara Bangsa Melayu kononnya rata-rata memihak kepada Jepun.

Apa yang sengaja dipadamkan daripada sejarah British ketika itu ialah pengorbanan pemuda-pemuda Bangsa Melayu yang bertungkus-lumus mati-matian mempertahankan tanah air mereka daripada Jepun. Contohnya kisah Leftenan Adnan dan Sarjan Hassan.

Juga sengaja dipadamkan daripada sejarah kolonial ketika itu adalah kisah Bangsa Melayu dibunuh, disula, dibakar, dan dikuburkan hidup-hidup oleh gerombolan Komunis Bintang Tiga yang mengganas sewaktu Jepun sudah berundur dan sebelum British kembali menjajah pada Jun-Julai 1945

Pada ketika itu Bangsa Melayu yang kehilangan digniti hanya pasrah kepada Allah. Dengan jeritan Allahuakbar, mereka berjuang mati-matian untuk menumpaskan gerombolan Komunis Bintang Tiga. Kaum kerabat dan saudara mara saya turut menjadi mangsa gerombolan ini di Simpang Kiri, Batu Pahat, Johor. Kisah kepahlawanan Bangsa Melayu menumpaskan gerombolan ini di bawah pimpinan Kiyai Salleh tercatat dalam buku sejarah Malaysia (rujuk Harper 1999:53).

Pada tahun 1946, berpuluh ribu Bangsa Melayu Batu Pahat yang darah saudara mara mereka pernah ditumpahkan oleh pihak gerombolan Komunis Bintang Tiga menunaikan Fardhu Jumaat di Masjid Jamek di Jalan Ampuan, Bandar Penggaram. Sesudah itu mereka mengadakan perhimpunan Melayu secara besar-besaran di bawah pimpinan Dato’ Onn Jaffar selaku Pegawai Daerah. Sebelum bermesyuarat, mereka melaungkan perkataan Hidup Melayu dengan lantang dan bersemangat.

Bertolak dari detik itu tertubuhlah Pertubuhan Melayu Bersatu atau United Malays Organisation. Gagasan UMO itu di bawa ke Kongres Melayu di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur, pada Jun 1946. Di kongres itulah UMO ditambah dengan abjad N atau National dan menjadi United Malays National Organisation---UMNO---atau dulunya dikenali sebagai Pekembar.

Untuk memendekkan kisah, gagasan kerakyatan untuk insan-insan pendatang yang termaktub dalam perancangan Malayan Union dijadikan senjata British untuk mendesak Bangsa Melayu bergabung dengan pendatang bagi memerdekakan Tanah Melayu.

Bangsa Melayu yang baik hati pun setuju walau golongan berkenaan masih bertaraf pendatang, bukannya rakyat Tanah Melayu. Menerusi kemerdekaan Tanah Melayu, mereka menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu.

MANA ADA NEGARA DI DUNIA INI MEMBERIKAN HAK POLITIK KEPADA PIHAK PENDATANG UNTUK BERGANDING BAHU DENGAN BANGSA MELAYU SELAKU PRIBUMI DALAM PERJUANGAN MEMERDEKAKAN NEGARA? PARADOKS INI HANYA TERJADI DI TANAH MELAYU DENGAN KERELAAN HATI BANGSA MELAYU YANG TERLALU GAIRAH UNTUK MENEBUS DIGNITI BANGSA MELAYU DAN KEDAULATAN TANAH MELAYU MENERUSI KEMERDEKAAN TANAH AIRNYA!

SEBAGAI TANDA MUHIBAH KEPADA KESUCIAN HATI BANGSA MELAYU YANG MEMBERIKAN HAK POLITIK DAN KEWARGANEGARAAN, KELOMPOK PENDATANG ITU PUN SETUJU BAHAWA RAJA MELAYU JADI YANG DI-PERTUAN AGONG, ISLAM MENJADI AGAMA RASMI PERSEKUTUAN, BAHASA MELAYU JADI BAHASA KEBANGSAAN, DAN BANGSA MELAYU DIBERIKAN SEDIKIT KEISTIMEWAAN DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN. (RUJUK TUNKU ABDUL RAHMAN 2009:112).

Kelompok-kelompok pendatang yang ketika itu belum jadi warganegara dan tidak pula aktif dalam politik juga berperanan menentukan corak Perlembagaan Persekutuan. Di antara 131 memorandum yang diterima oleh para penggubal Perlembagaan Persekutuan, 47 adalah daripada pihak pendatang, 43 daripada Bangsa Melayu, dan selebihnya daripada parti-parti politik, kesatuan buruh, dan kelompok kapitalis barat. Dalam kalangan 47 yang diterima daripada pendatang itu termasuklah daripada persatuan guru-guru, dewan perniagaan dan lain-lainnya (rujuk Report of the Federation of Malaya Constitutional Commission 1957:7).

Seluruh kisah di atas adalah kisah Bangsa Melayu dan kisah Tanah Melayu. Khususnya kisah Bangsa Melayu yang kehilangan digniti dan Tanah Melayu yang tergadai integritinya. Dalam bahasa mudahnya, kisah di atas adalah kisah Bangsa Melayu yang kehilangan maruah dan Tanah Melayu yang hilang kedaulatan.

Lebih jelas lagi, kisah di atas adalah kisah Bangsa Melayu dan Tanah Melayu tanpa ketuanannya. Oleh itu, jangan rasa jijik dan gerun dengan perkataan KETUANAN MELAYU kerana ia bukannya bermaksud Melayu mahu jadi tuan. Hakikatnya begitu kerana KETUANAN MELAYU adalah konsep anti-penjajahan yang disemarakkan oleh Bangsa Melayu untuk mengembalikan digniti Bangsa Melayu dan menebus maruah kedaulatan Tanah Melayu. Konsep ini konsep anti-penjajahan. Bukannya konsep hendak mendabik dada dan mengagung-agungkan Bangsa Melayu di Tanah Melayu yang kini dikenali sebagai Malaysia dengan rakyatnya yang berbilang keturunan.

Thursday, December 02, 2010

MENANTI KEMUNCULAN KING GHAZ DI ABAD KE-21

Oleh RMF7


Siapakah yang layak menerima gelaran Pahlawan KDN selepas pemergian Tan Sri Ghazali Shafie @ King Ghaz. Sehingga kini Malaysia masih lagi tercari-cari pemimpin yang boleh menjiwai kepahlawanan King Ghaz dalam menangani isu-isu keselamatan negara Malaysia.

Sejarah telah membuktikan King Ghaz adalah seorang patriot yang sukar dicari gantinya. Beliau sanggup melakukan apa sahaja demi untuk menjamin keselamatan dan keamanan negara bagi manfaat seluruh rakyat Malaysia.

Contohnya, King Ghaz berani menahan Sidek Ghause yang masa itu Setiausaha Politik kepada Tun Dr Mahathir Mohamed di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri semata-mata dengan tujuan murni demi keselamatan negara.

Ini membuktikan King Ghaz adalah seorang yang sangat cintakan negaranya. Beliau sanggup menahan sesiapa sahaja yang menganggu-gugat keselamatan dan keharmonian negara sama ada menerusi hasutan, mempersendakan perlembagaan negara, atau menunjukkan ketidaksetiaan kepada negara dan Raja-Raja Melayu.

Keberanian King Ghaz kini hanya tinggal kenangan. Malaysia masih menanti kemunculan seorang pahlawan baru yang peka terhadap isu-isu sensitif dewasa ini.

Nota: Posting di atas saya muat-turunkan daripada blog RMF7 yang berjodol KDN “Tersungkur” lagi, disiarkan pada 2 Disember 2010. Saya membuat suntingan terhadap posting tersebut untuk mengelakkan sebarang implikasi undang-undang. Saya juga hanya memfokus kepada legenda King Ghaz sekadar untuk memenuhi nostalgia diri terhadap Allahyarham Tan Sri Ghazali Shafie yang sedikit sebanyak telah menyemaikan semangat patriotisme kepada saya dan sahabat-sahabat seangkatan di ITM pada tahun 1969. Ketika itu King Ghaz adalah Pengerusi Majlis Penglola ITM.