Tuesday, November 30, 2010

TRANSFORMASI JAMIN SURVIVAL



Ruhanie Ahmad


Datuk Seri Najib Razak Tun Razak melaksanakan transformasi siasah yang radikal dan bersejarah apabila Barisan Nasional (BN) membuka keanggotaan bersekutunya kepada individu, pertubuhan bukan kerajaan dan organisasi politik yang sudi mendukung misi perjuangannya, serta menyediakan ruang kepada generasi muda menyertai aktivitinya menerusi Kelab Rakan Muda BN dan Kelab Sahabat BN.

Transformasi ini mencerminkan pemikiran progresif kepimpinan kontemporari BN yang selaras dengan hasrat mempercepatkan pengintegrasian masyarakat Malaysia yang multi-etnik, secocok dengan transformasi sosioekonomi nasional, dan sesuai dengan cabaran modenisasi pada abad ke-21.

Dari perspektif kajian strategi dan keselamatan, transformasi ini bertujuan menghindarkan konflik dan pertembungan matlamat di kalangan rakyat, di samping untuk menjamin kelangsungan negara, keselamatan politik, keselamatan masyarakat, keselamatan ekonomi, dan keselamatan nasional Malaysia.

Realitinya demikian kerana satu daripada punca konflik yang boleh mengancam kelangsungan negara dan keselamatan nasionalnya adalah “ketidakseimbangan kuasa dan dispariti ekonomi yang mendorong kekecewaan” (Jeong 2009:43).

Bagaimanapun, “sesetengah konflik etnik yang lahir daripada ketidaksamarataan dan diskriminasi domestik boleh diatasi menerusi pluralisme dalam perwakilan pemerintahannya” (Azar & Moon 1988:288).

Kepimpinan Najib prihatin terhadap soal etnisiti ini kerana konflik etnik yang merupakan antara “ciri-ciri asas dalam sesuatu masyarakat majmuk” (Marger 2003:6) adalah “alah satu punca yang menimbulkan keadaan tidak selamat di seluruh dunia sejak zaman berzaman” (Kaufman 2008:201).

Keprihatinan ini diasaskan oleh Tunku Abdul Rahman Putra menerusi kewujudan mekanisme perkongsian kuasa di ambang kemerdekaan negara. Ia diperkukuhkan lagi oleh Tun Razak Hussein selepas konflik 1969.

Tunku Abdul Rahman mempelopori pembentukan Perikatan pada 1952 untuk menggabungkan UMNO selaku wakil majoriti orang Melayu dengan MCA mewakili keturunan Cina serta MIC mewakili keturunan India.

Mekanisme ini menghasilkan permuafakatan siasah yang positif dan sejati. Kemuncaknya adalah pemeteraian “apa yang disebut sebagai kontrak sosial (social bargain) pada 1957 di antara tiga kumpulan etnik utama sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan” (Mahathir 2002:iv).

Ini mencerminkan bahawa struktur parti pemerintah Malaysia iaitu dahulu Perikatan dan kini BN adalah gabungan parti siasah yang menitikberatkan perkongsian kuasa, permuafakatan, perpaduan, kesejahteraan, dan keselamatan masyarakat serta negara.

Bagaimanapun, kempen Malaysian Malaysia sepanjang tempoh 1963-1965 yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew telah menebalkan sentimen perkauman. Ini menyebabkan Perikatan terpaksa ditransformasikan menjadi entiti baru setelah meletus konflik etnik pada 13 Mei 1969.

Transformasi ini dilaksanakan oleh Tun Razak menerusi pembentukan BN pada 1 Julai 1974 yang memperluaskan gabungan UMNO, MCA dan MIC kepada lain-lain parti politik yang sanggup mendukung idealisme politik sederhana dan demokratik.

Tun Razak menggandingkan transformasi siasah ini dengan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebagai asas kepada penyusunan semula masyarakat dan pengenalan Rukun Negara sebagai asas perpaduan nasional.

Perdana Menteri Malaysia Kedua itu melaksanakan transformasi ini untuk mengukuhkan institusi negara, memelihara kelangsungan negara, memulihkan keselamatan nasional, memulihkan keselamatan masyarakat, memulihkan perpaduan rakyat, dan melindungi keselamatan ekonomi Malaysia.

Oleh sebab itulah, selepas konflik etnik pada 13 Mei 1969, kerajaan Malaysia segera melantik sekumpulan perunding dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat untuk merumuskan dimensi penyatuan nasional di Malaysia (Faaland, Parkinson & Rais 2002:352) dengan matlamat utamanya untuk menjamin survival serta memulihkan ketenteraman awam dan keselamatan nasional.

Lantaran itulah juga “strategi dan objektif asas DEB yang telah diperhalusi oleh Majlis Perundingan Negara dibentangkan di Parlimen Malaysia pada Februari 1971 menerusi Kertas Putih berjudul Ke Arah Keharmonian Nasional” (Gordon P. Means 1991:23).

Proses transformasi yang dilaksanakan oleh Tun Razak berjaya melonjakkan perpaduan rakyat, meningkatkan kemakmuran ekonomi, dan menstabilkan keselamatan nasional. Realiti ini membolehkan Tun Dr. Mahathir Mohamad memfokus kepada program pemodenan negara berasaskan gagasan Wawasan 2020.

Ia juga membolehkan Malaysia memberikan kepimpinan kepada komuniti dunia Selatan-Selatan. Dalam konteks ini, “Malaysia mempelopori penubuhan G-15 iaitu organisasi untuk menggalakkan kerjasama Selatan-Selatan pada 1989” (Milne & Mauzy 1999:134).

Bagaimanapun, evolusi pemikiran dan tindakan rakyat mutakhir ini seolah-olah mencabar kemampuan BN dalam menangani masalah sosiopolitik dan ekonomi kontemporari pada abad ke-21, khususnya sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008, suara dan tindakan komponen BN dan juga parti pembangkang jelas didasari sentimen perkauman yang kian meningkat.

Inilah sebabnya Najib melakukan transformasi terhadap struktur keahlian BN yang diumumkannya pada 20 November 2010. Beliau melakukan transformasi siasah ini tanpa merombak struktur komponen BN yang diasaskan oleh ayahandanya pada 1974.

Sebaliknya, beliau memperluaskan penyertaan rakyat Malaysia di dalam BN menerusi keanggotaan bersekutu serta menerusi kewujudan Rakan Muda BN dan Kelab Sahabat BN.

Usaha ini bijaksana kerana tidak menjejaskan status quo keanggotaan komponen BN sedia ada. Tetapi, transformasi ini radikal kerana ia mempunyai manfaat jangka panjang yang positif jika ia diuruskan secara sistematik dan berkesan.

Antara manfaatnya ialah keanggotaan individu, NGO dan pertubuhan politik sebagai ahli bersekutu BN akan membolehkan mereka menyalurkan sebarang rasa tidak puas hati atau kekecewaan mereka terhadap kerajaan secara langsung kepada BN untuk penyelesaian segera dan efektif.

Keanggotaan bersekutu ini juga dapat memperluaskan idealisme perjuangan BN kepada rakyat. Ini bermakna transformasi ini benar-benar memasyarakatkan BN dalam kalangan majoriti rakyat tanpa mengira kaum.

Penyediaan Kelab Rakan Muda BN dan Kelab Sahabat BN pula akan memudahkan proses sosialisasi politik dalam kalangan generasi pelapis Malaysia menerusi aktiviti tersusun dan positif.

Proses ini akan menjamin kesinambungan semangat perjuangan dan prinsip permuafakatan politik BN pada hari muka supaya perpaduan rakyat, kesejahteraan ekonomi serta keselamatan nasional sentiasa terjamin masa depannya.

Kesimpulannya, transformasi politik yang dilaksanakan oleh Najib adalah radikal, futuristik, dan demi kelangsungan negara dan bangsa Malaysia. Ini menepati aspirasi Gagasan 1Malaysia serta transformasi sosioekonomi yang dilaksanakan mutakhir ini. Bagaimanapun, sekali lagi saya tegaskan bahawa transformasi ini perlu diurus secara sistematik dan berkesan.

[Disiarkan oleh Utusan Malaysia : 27 November 2010]

1 comment:

kudakepang said...

Sahabat-sahabat budiman:

Jutaan maaf sebab komen-komen anda telah being deleted secara tidak sengaja akibat ingorance saya terhadap sitem baru dalam pengurusan komen yang diperkenalkan oleh Blogger.

Ruhanie Ahmad