Friday, March 23, 2012

PERGINYA SEORANG LAGI NASIONALIS MELAYU


KUALA LUMPUR 22 Mac 2012 - Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Mazlan Nordin, 87, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dekat sini pada pukul 4.15 petang hari ini.

Anak keempat beliau, Yuri Azhar, 39, berkata, bapanya dimasukkan ke PPUM selepas terjatuh dalam bilik air di rumahnya semalam.

"Arwah berada dalam keadaan kritikal selepas terjatuh dan doktor telah memberinya sedatif bagaimanapun meninggal dunia kira-kira pukul 4.15 petang ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Allahyarham meninggalkan lima cahaya mata iaitu empat lelaki dan seorang perempuan serta empat cucu.---Utusan Malaysia.

Blog ini menguapkan takziah kepada seluruh anggota Allahyarham Pak Mazlan yang merupakan antara tokoh nasionalis Melayu terbilang. Moga-moga roh Allahyarham berada di kalangan orang yang soleh dan sentiasa dicucuri rahmat Allah SWT. Al-Fatehah!!!

Monday, March 12, 2012

Keselamatan, kesejahteraan dan kelangsungan

Ruhanie Ahmad

Kehidupan adalah mengenai keselamatan. Konsep keselamatan pula ditakrifkan sebagai wujudnya situasi yang terbebas daripada ancaman, angkara, musibah dan bencana.

Lantas muncullah pelbagai konsep keselamatan yang secara umumnya bersifat tradisional dan bukan tradisional serta bercorak nyata (imminent) atau dijangka (perceived).

Keselamatan tradisional menitikberatkan kemerdekaan, kedaulatan, ketenteraman, keamanan, kemakmuran dan kelangsungan negara. Keselamatan bukan tradisional lazimnya memfokuskan kepada seluruh elemen keinsanan dan kesejahteraannya.

Kedua-dua konsep keselamatan ini, dalam konteks Malaysia, menjadi paksi kepada pemuliharaan dan pemeliharaan seluruh nilai-nilai teras negara.

Nilai-nilai teras ini pula mencakupi aneka bentuk ketatanegaraan termasuk keharmonian agama, permuafakatan insan dan kestabilan politik.

Dari sudut negara majmuk seperti Malaysia, matlamat keselamatannya adalah bebas daripada angkara komunal yang berpotensi mengorbankan harta dan nyawa seluruh rakyat jelatanya.

Dari sisi pemerintahan negara, objektif keselamatannya adalah menjamin keabadian nilai-nilai teras nasional yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Rukunegara, Wawasan 2020 dan Gagasan 1Malaysia (bukannya propaganda Malaysian Malaysia yang antaranya telah mencetuskan tragedi berdarah 13 Mei 1969).

Di aras peribadi, keselamatan ditakrifkan mengikut keutamaan yang tersendiri. Kepada orang Melayu/Islam, keselamatan utamanya adalah terbebas daripada bencana neraka.

Kepada masyarakat bukan Melayu/Islam di Malaysia, terutamanya keturunan Cina, keselamatan primanya adalah terbebas daripada ancaman terhadap perniagaan serta harta kekayaannya.

Dengan ini jelaslah bahawa keselamatan adalah konsep yang penting kepada seluruh aspek kehidupan insan manusia, termasuk mengenai keharmonian agama, permuafakatan rakyat, kemakmuran ekonomi dan kelangsungan negara.

Dalam konteks Malaysia, hanya Barisan Nasional (BN) sahaja --- bukannya Pakatan Rakyat --- yang terbukti berupaya menjamin seluruh aspek keselamatan tradisional dan bukan tradisional sejak 1957 hingga sekarang.

Namun semuanya akan lupus dan musnah jika formula perkongsian kuasa BN diganggu-gugat, diharu-biru dan dihuru-harakan menerusi konsep dan prinsip yang sedang diperjajakan oleh siasah alternatif mutakhir ini.

Oleh sebab itu, berasaskan prinsip demokrasi yang memberikan kuasa membuat pilihan secara bebas, terserahlah kepada kewarasan peribadi untuk menentukan bahawa pilihan sebaik-baiknya adalah yang diputuskan atas perhitungan menjamin keselamatan, kehidupan dan kelangsungan diri, masyarakat dan negara.

Saturday, March 03, 2012

BUKIT SERINDIT DAN BUKIT GEDUNG: MANIFESTASI MELAYU HILANG KUASA…

Ruhanie Ahmad
Pada Khamis 1 Mac 2012, saya dan dua orang sahabat, meluangkan waktu untuk meninjau beberapa makam pembesar Melayu/Islam di zaman kegemilangan Empayer Melayu di Melaka.

Pertama sekali kami ziarahi dua makam Raja-Raja Melayu di zaman Empayer Melayu Melaka di Bukit Serindit. Sedihnya hati kami tidak terkira apabila mendapati sebuah permakaman Raja-Raja Melayu/Islam Empayer Melayu Melaka di bukit berkenaan dikelilingi oleh beratus-ratus pusara kristian.

Keduanya, kami ziarahi Makam Tun Mamat dan ayahandanya di Bukit Gedung. Kawasan permakaman ini pernah menjadi salah satu lokasi Pesta Mandi Safar sebelum ianya diharamkan.

Makam pembesar Islam Empayer Melayu Melaka di bukit ini juga dikelilingi oleh ratusan jirat Cina. Lantas sedih hati kami pun kian memuncak.

Ketiganya, kami ziarahi sebuah permakaman rahsia beberapa pembesar Islam Empayer Melayu Melaka di sebuah bukit di Kampung Duyong.

Salah seorang sahabat kami jadi amat sedih kerana menurutnya, antara makam itu adalah makam salah seorang anggota Laksamana Hang Tuah lima bersaudara.

Malangnya, makam-makam rahsia ini sudah dimusnahkan untuk satu projek pelancongan kononnya untuk mengabadikan kegemilangan era Hang Tuah.

Persoalannya, bagaimanakah makam pembesar Islam Empayer Melayu Melaka di Bukit Serindit dan Bukit Gedung boleh dicerobohi oleh ratusan kubur kristian dan Cina?

Adakah ini bermakna bahawa ketika Empayer Melayu Melaka lumpuh diserang Portugis, maka kawasan permakaman Islam Empayer Melayu Melaka juga diizinkan untuk dijadikan perkuburan bukan Islam?

Persoalan seterusnya, bagaimanakah fenomena berkenaan diizinkan oleh penjajah Portugis, Belanda dan British? Adakah sesudah Empayer Melayu Melaka musnah, maka permakaman Islam Empayer Melayu Melaka juga boleh dijadikan perkuburan bukan Islam?

Paling malang sekali, bagaimanakah makam rahsia pembesar Islam Empayer Melayu Melaka di bukit di Kampung Duyong boleh di pindahkan ke tempat lain semata-mata kerana penduduk di situ gagal memberikan fakta nyata bahawa di antara makam-makam itu adalah makam salah seorang anggota Laksamana Hang Tuah lima bersaudara.

Seluruh persoalan di atas memang akademik untuk dihujah pada hari ini. Tetapi, kami merumuskan bahawa inilah iktibarnya apabila orang Melayu/Islam kehilangan kuasa di buminya sendiri.

Itulah sebabnya bila Empayer Melayu Melaka dimusnahkan oleh penjajah Portugis, Belanda dan British, maka orang Melayu/Islam Melaka ketika itu gagal mempertahankan permakaman pembesar Melayu/Islam Empayer Melayu Melaka daripada dicerobohi pihak bukan Islam.

Jika inilah iktibarnya sejarah tersebut, kami tidak dapat membayangkan apa yang boleh terjadi jika Melayu di Malaysia kontemporari kehilangan kuasanya secara total menerusi PRU13 kelak!!!