Ruhanie Ahmad
Dalam posting siri dua saya cadangkan BN dan UMNO memperkenalkan Prosidur Operasi Seragam bagi mengendalikan perjalan organisasinya untuk merebut semula seluruh negeri yang kini dikuasai oleh Pakatan Rakyat. Hakikat ini penting kerana di kesemua negeri berkenaan, BN adalah parti pembangkang. Pada waktu yang sama, BN mesti mempertahankan seluruh negeri yang kini dalam kekuasaannya dan mesti meningkatkan jumlah kerusinya di Dewan Rakyat.
Prosidur Operasi Seragam ini akan membolehkan seluruh jentera BN yang digerakkan oleh parti-parti komponennya bergerak dan bertindak dengan satu langkah dan satu suara. Paling penting sekali, BN perlu mengarahkan seluruh pemimpinnya di semua peringkat supaya mengelakkan daripada membuat kenyataan kontroversial. Arahan ini perlu disegerakan supaya tidak wujud polarisasi dan ‘permusuhan’ di kalangan seluruh komponennya yang sekaligus menghakis kredibiliti BN serta menghakis keyakinan rakyat kepadanya.
Objek Politik BN
Sehubungan dengannya, BN juga perlu memperingatkan seluruh komponen dan ahli-ahlinya bahawa perjuangan BN adalah untuk mengekalkan kuasa pemerintahannya di peringkat pusat dan negeri. Jika komponen BN bertelagah secara terbuka, kredibiliti BN tercemar dan keyakinan rakyat menjadi luntur.
Oleh itu, seluruh pemimpin komponen BN wajar diingatkan supaya memahami serta mengamalkan kaedah dan strategi peperangan. Jika kaedah peperangan Sun Tzu didapati paling sesuai, hayati dan amalkan strategi tersebut. Jika strategi peperangan oleh Von Clausewitz perlu digandingkan bersama seni peperangan Sun Tzu, lakukan gandingan ini secara segera. Pokoknya, strategi peperangan BN biar ketara, tetapi objek politik BN dalam peperangan itu biar terus dirahsiakan daripada pengetahuan pihak lawan.
Dalam konteks ini, wajar dikenalpasti sistem kerahsiaan dalam BN. Dalam konteks ini juga perlu dipantau kemungkinan wujudnya talibarut atau pengkhianat di kalangan pemimpin dan ahli BN yang mungkin membocorkan objek politik peperangan BN kepada pihak lawan.
Institusi Negara
Seluruh organisasi Institusi Negara juga mesti mendukung objek politik peperangan BN terhadap parti lawan. Dalam konteks keselamatan rejim dan keselamatan nasional, organisasi Institusi Negara mesti komited untuk mempertahankan kedua-duanya. Anggapan bahawa organisasi Institusi Negara perlu bersikap neutral atau berkecuali adalah anggapan yang meleset.
Memang demokratik untuk mengizinkan seluruh individu memilih parti politik yang secocok dengan selera dan citarasa mereka. Tetapi, dalam konteks mempertahankan keselamatan rejim dan keselamatan nasional, pendemokrasian citarasa ini menjadi faktor kedua. Faktor yang utama dan prima adalah mempertahankan kelangsungan rejim dan negara.
Oleh sebab itu, adalah paradoksikal jika anggota organisasi Institusi Negara gagal dan enggan mempertahankan kelangsungan negara. Oleh sebab itu juga, seluruh anggota dalam organisasi Institusi Negara mesti dituntut mempertahankan kelangsungan negara menerusi khidmat yang cemerlang dan menerusi tindak-tanduk yang positif.
Hakikat ini kritikal kerana kini wujud anggota dalam organisasi Institusi Negara yang membocorkan rahsia rejim dan negara kepada pihak lawan semata-mata untuk menumbangkan rejim yang memerintah negara. Perbuatan seperti ini amat terkutuk dan mesti ditangani dengan setegas-tegasnya.
Oleh itu pemimpin negara perlu bertegas. Jika perlu, mereka wajar bertindak seperti seekor singa. Dan, jika perlu juga, mereka perlu bertindak seperti seekor kancil. Kombinasi kegarangan singa dan kebijaksanaan kancil ini perlu diamalkan bagi menangani karenah anggota Institusi Negara yang mahu mengkhianati kelangsungan kerajaan dan negara.
Memang pihak kerajaan mungkin akan dilabelkan sebagai tidak demokratik. Tetapi, dalam konteks mempertahankan kelangsungan dan keselamatan nasional, ada waktunya pihak pemimpin kerajaan perlu bertindak kurang demokratik, terutamanya dalam sesuatu senario peperangan di mana objek politik adalah mengatasi kepentingan objek peperangan itu sendiri!
[Bersambung dalam siri keempat.]