Tuesday, January 25, 2011

PAKCIK SPRING RETURN DI BBB?

Baru-baru ini seorang sahabat blogger minta saya link blognya di Kuda Kepang. Hari ini baru saya terluang masa mengunjungi blog tersebut berjodol BANGI-O-BANGI. Menarik juga kandungannya. Posting terbarunya mengisahkan Pakcik Spring Return. Kunjungi blog ini dan ketahui sendiri apa maksud posting berkenaan. Alamatnya ada di sidebar blog ini. Salam takzim: Ruhanie Ahmad.

Thursday, January 20, 2011

REVOLUSI UMNO DI TENANG?

Pemilihan seorang penolong pegawai daerah (ADO), Mohamad Azahar Ibrahim, sebagai calon PRK DUN Tenang, di Labis, Johor, merupakan satu pembaharuan yang dilakukan oleh Datuk Sri Najib Tun Razak. Syabas!

Sehubungan dengan pembaharuan ini, saya turunkan di bawah ini tujuh perenggan daripada buku Revolusi UMNO (1994) seperti berikut:

Satu lagi pendekatan yang wajar diberi pertimbangan ialah mewujudkan sistem mengesan bakat kepimpinan di dalam UMNO. Sistem ini tidak perlu dimunculkan secara rasmi dan penuh gembar-gembor. Sebaliknya, sistem ini hanya dipertanggungjawabkan kepada segolongan kumpulan yang menerima mandat dari pucuk kepimpinan parti.

Matlamat sistem ini adalah untuk mengesan, mengenalpasti, dan mengembangkan bakat kepimpinan seseorang individu, khususnya dari kalangan generasi pelapis dari segenap bidang, sektor dan profesion. Ini bermakna individu tersebut tidak semestinya dari kalangan ahli-ahli UMNO sahaja.

Individu-individu Bumiputera dari generasi pelapis yang sudah dikenalpasti hendaklah diberi bimbingan dan didikan parti supaya mereka membangun sebagai golongan yang seimbang, dengan semangat perjuangan, keagamaan, rohani serta inteleknya yang serasi dengan idealism UMNO.

Kumpulan ini wajar dijadikan kumpulan teras yang akan menerima latihan di Kolej Parti kerana mereka merupakan sebahagian dari sumber kepimpinan UMNO di hari muka. Ini bererti walaupun kumpulan teras ini berpotensi besar memimpin UMNO di abad ke-21, tidaklah pula individu-individu Bumiputera lain yang jujur, ikhlas, tegas, berdedikasi dan perprinsip akan terlepas peluang memimpin parti di masa akan datang.

Memang akan terdapat pihak yang akan mengatakan langkah seperti ini amat radikal, progresif dan boleh jadi regimented. Ataupun, mungkin wujud kalangan yang akan memperkecil-kecilkan perkara ini.

Pokoknya, dalam UMNO mencari kecemerlangan masa depan, adakah parti tersebut mahu terus menerus memaksa perjuangannya dibelenggu negativisme dan kekunoan sepanjang masa? Atau, tidak wajarkah UMNO bersikap inovatif dan positif demi survival satu wadah perjuangan yang memang serasi dan sentimental kepada majoriti orang Melayu?

Pada waktu yang sama, apakah UMNO mempunyai pilihan? Sampai bilakah UMNO harus tertunggu-tunggu untuk melaksanakan satu revolusi ke arah menjernihkan lagi perjuangannya? Jika masalah revolusi ini tidak dilaksanakan segera sebagai usaha pelengkap kepada segala reformasi pengurusannya, siapa yang akan bertanggungjawab jika sekali lagi UMNO dibunuh oleh sesetengah ahli-ahlinya sendiri? Dan, siapa pula yang harus dipersalahkan jika usaha seperti ini tidak dijalankan dan akibatnya UMNO akan terbunuh dalam keadaan yang lebih dahsyat daripada tahun 1988?
(Ruhanie Ahmad dan Sazali Kamilan 1994: 62-64).

Perenggan-perenggan di atas saya dedikasikan kepada seluruh warga UMNO, terutama sekali warga UMNO Labis yang sedang mengendalikan PRK DUN Tenang. Selamat berjuang dan selamat maju jaya!

Tuesday, January 11, 2011

CABARAN TAHUN 2011

Ruhanie Ahmad
Kedatangan tahun 2011 diiringi rungutan rakyat mengenai ketiadaan bekalan barang-barang kawalan di pasaran, terutamanya minyak masak. Tahun ini juga berhadapan dengan persoalan sama ada Pilihan Raya Umum (PRU) 13 akan diadakan dalam tempoh terdekat, mungkin selari dengan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Jun atau Julai 2011. Paling mendebarkan lagi, apakah peluang BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Tenang, Labis, Johor, yang hari pembuangan undinya pada 30 Januari 2011.

Bekalan minyak masak: Sampai bilakah rakyat akan didera oleh pihak pembekal dengan masalah kekurangan bekalan barang-barang kawalan seperti gula, minyak masak, dan lain-lainnya? Apakah ini melambangkan sikap tamak pihak pengeluar dan pembekal atau mencerminkan ketidakcekapan pihak penguatkuasa di kementerian yang bertanggungjawab? Di mana pun silapnya, janganlah rakyat yang terus dijadikan mangsa deraan mereka. Mungkin juga wajar SPRM memberikan tumpuan kepada persoalan ini untuk memastikannya ianya bebas daripada amalan rasuah!

PRU13: Banyak penganalisis dan pemerhati sentiasa memperkatakan kemungkinan PRU13 diadakan tahun 2011---dua tahun lebih awal daripada tempoh tamatnya Parlimen ke-12 pada Mac 2013. Blog ini telah memberikan pendapatnya menerusi posting pada Jumaat 10, Disember 2010, dengan tajuk Persoalan Strategik Menjelang PRU13. Antara komen yang menarik mengenainya adalah daripada Spycatcher yang mengketengahkan soal perisikan terhadap kesiapsediaan BN di peringkat akar umbi. Saya amat setuju dengan Spycatcher kerana perisikan memainkan peranan penting untuk menentukan kesediaan BN mengadakan PRU13 pada bila-bila masa sebelum Mac 2013. Selain itu, BN perlu mewujudkan sistem perisikan multi-sumber, jangan hanya bergantung kepada risikan rasmi KEMAS, JASA, SERANTA FELDA, MIO dan SB sahaja. BN perlu mempunyai satu mekanisme khas untuk double check seluruh laporan rasmi pihak-pihak ini, bukan kerana tidak mempercayai mereka yang selama ini pun sudah menjalankan tugas cemerlang, tetapi untuk menentukan segala-galanya adalah sahih dan benar kerana PRU13 adalah amat mencabar dan penuh dugaan.

PRK DUN Tenang: Saya mengenali DUN ini secara peribadi sewaktu bertugas sebagai Setiausaha Politik Tun Musa Hitam (1982-1986). Ramai sahabat dan kenalan saya daripada semua kaum. Ada Koon Yew, ada Abang Juraimi, Penghulu Ibrahim, Cikgu Ismail dan lain-lainnya. Pastinya mereka sudah pun lebih lanjut usia daripada saya. Lantas, kemenangan PRK DUN Tenang bukan sahaja bergantung kepada mereka malahan pengundi generasi barunya. Tapi, bila saya tinjau beberapa blog tempoh hari, nampaknya seakan-akan ada juga perebutan soal calon di Tenang. Moga-moga ini cuma ribut dalam cawan yang tidak akan menjejaskan peluang kemenangan DUN Tenang. Saya yakin YAB Ghani Othman yang jadi pengarah PRK tersebut mampu mengekalkan kemenangannya.